Showing posts with label merdeka. Show all posts
Showing posts with label merdeka. Show all posts

Wednesday, September 7, 2011

MERDEKA - SUMBANGAN UMNO TERSANGAT BESAR...

Pada Persidangan Agung UMNO 25 dan 26 Mac 1951 di Kuala Lumpur, wakil Pemuda UMNO, Encik Abdul Samad Idris (Allahyarham Tan Sri) dari Kuala Pilah dengan semangat yang membakar dan berkobar-kobar membentangkan usul Pemuda UMNO menukar slogan perjuangan UMNO dari 'Hidup Melayu' kepada 'Merdeka' untuk diluluskan oleh badan induk UMNO.

Ulasan pemimpin PAS mengenai kemerdekaan menggambarkan seolah-olah rakyat Malaysia dan penyokong UMNO buta sejarah.

Tidak siapa pun yang menolak sejarah bahawa pemimpin lain, selain UMNO turut memperjuangkan kemerdekaan.

Namun, perjuangan UMNO tetap utuh dan perlu disanjung. PAS yang lahir selepas kewujudan UMNO pada hakikatnya tidak layak bercakap mengenai kemerdekaan!

Semalam, PAS mula menerima hakikat bahawa UMNO memang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Berbeza dengan kenyataan kontroversi Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu sebelum ini, Setiausaha Agung parti itu Datuk Mustafa Ali memberitahu sidang akhbar di ibu pejabat Pas di ibu negara bahawa parti itu tidak menafikan bahawa Umno memperjuangkan kemerdekaan.

Mustafa berkata, terdapat dua kaedah perjuangan menuntut kemerdekaan iaitu secara konfrontasi menolak British dan cara 'peaceful cooperation' (kerjasama damai) yang dilakukan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar.

"Kita nak sebut perjuangan (kemerdekaan) tak bermula dengan penubuhan UMNO. PAS juga menolak ideologi dan menolak perjuangan komunis. Perjuangan sudah mula lama sejak Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman (Pahang), Dol Said (Melaka dan Negeri Sembilan), Tok Janggut (Kelantan), dan banyak lagi lain, menentang penjajahan Inggeris," katanya.

Dalam buku saya ‘Putera Mahkota UMNO’ (1995) yang asalnya berdasarkan sebuah tesis untuk ijazah sarjana M. Soc. Sc. (USM, 1982) dengan jelas menyebut bahawa perjuangan kemerdekaan lebih dahulu diperjuangkan oleh kumpulan lain sebelum UMNO.

Cuma yang dipertikaikan kini ialah kenyataan Mat Sabu mengagungkan komunis berbanding perjuang di Bukit Kepong.

Mat Sabu di Tasek Gelugor 21 Ogos lepas yang antara lain dipetik sebagai berkata bahawa Kompeni Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang Bukit Kepong sehingga mengorbankan 25 perajurit dan keluarga mereka pada 1950 sebagai wira atas alasan mangsa yang terkorban adalah polis penjajah British.

Dalam Bab Ketiga buku saya bertajuk ‘Merdeka – Slogan Tidak Ternilai’ dengan jelas saya menyebut bahawa kemerdekaan membebaskan tanah air dariapada cengkaman penjajah mucul sejak awal kurun kedua puluh lagi.

Al-Imam, majalah bulanan bertulisan jawi yang diterbitkan di Singapura berusia lebih kurang dua tahun setengah, iaitu sehingga 1908, dipimpin oleh Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin, Sayid Sheikh Ahmad Al-Hadi, Haji Abas Mohd Taha dan Sheikh Mohd Salim Al-Kalali, walaupun membincangkan soal bahasa dan ekonomi Melayu, menyebut beberapa faktor utama kemunduran orang Melayu adalah kerana sikap mereka sendiri.

Namun ketika pendudukan Jepun, suasana ketika itu memberikan kesan yang mendalam dari aspek nasionalisme Melayu dan gerakan kemerdekaan di Indonesia turut mempengaruhi semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu.

Golongan yang paling menonjol dan mendapat galakan Jepun dalam soal politik ialah kumpulan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada bulan Mei 1937.

KMM lahir daripada usaha pelajar-pelajar di Maktab Perguruan Sultan Idris yang bergerak secara sulit, pada mulanya terdapat tiga kumpulan radikal yang berpecah, Sebelum terbentuknya KMM kumpulan ini berpadu dulu dalam Belia Malaya, bagaimanapun terpaksa dibubarkan kerana pemimpin-pemimpinnya keluar dari maktab.

Bila tugas ini disambung oleh Ibrahim Yaakub, terbentuklah KMM yang dikatakan bersifat sosialistik, anti kolonial, anti feudal dan bercita-cita untuk bersatu dengan Indonesia. Jepun menggalakkan kumpulan ini kerana ia bersikap anti-British.

Walaupun KMM terpaksa dibubarkan kerana kehendak Jepun juga namun pergerakannya tetap tidak berubah di segi matlamat perjuangan dengan nama baru iaitu Pembela Tanah Air atau PETA yang kemudiannya bertukar pula menjadi Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS). KMM pimpinan Ibrahim Yaakub menjadi penting kerana adanya perjumpaan dengan pemimpin Indonesia, Sukarno dan Hatta pada bulan Ogos 1945 untuk mengistiharkan kemerdekaan serentak dengan Indonesia.

Bagaimanapun bila Jepun menyerah kalah, Indonesia telah mengistiharkan kemerdekaannya dan Sukarno seolah-olah "terlupa" janji-janjinya dengan KMM, bila Tanah Melayu telah dilupakan untuk sama-sama diistiharkan merdeka.

Soal kemerdekaan ini tiba-tiba menjadi isu besar dalam UMNO dan menyeluruh di kalangan masyarakat Melayu apabila pada tahun 1951 UMNO Bahagian Kuala Pilah mendesak supaya slogan Hidup Melayu ditukarkan kepada Merdeka.

Slogan ini adalah usul dari Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah yang dibawa ke Persidangan Pemuda UMNO 1951. Ia dibentangkan sebagai usul di Mesyuarat Setengah Tahun Ahli-ahli Perikatan Pemuda UMNO di Kuala Lumpur pada 4hb.Februari 1951 dan satu ketetapan telah diambil untuk dibawa ke dalam Mesyuarat Agung UMNO yang akan nantinya diadakan pada bulan Mac 1951.

Usul Merdeka ini menarik minat golongan muda yang mana sebelum ini tidak begitu diminati sama ada oleh Pemuda UMNO mahupun UMNO secara keseluruhannya.

Tetapi setelah usul ini mula dibentangkan oleh golongan muda dari Kuala Pilah dan seterusnya dibincangkan lagi di kalangan pemuda-pemuda di Kuala Lumpur kira-kira sebulan kemudiannya, perjuangan seperti yang diidam-idamkan oleh golongan muda semakin cerah.

Kerana itu di Persidangan Agung UMNO pada 25 dan 26 Mac 1951 di Kuala Lumpur, wakil pemuda Encik Abdul Samad Idris (Allahyarham Tan Sri) dari Kuala Pilah dengan semangat yang membakar dan berkobar-kobar membentangkan usul Pemuda UMNO ini untuk diluluskan oleh badan induk UMNO.

Bagaimanapun bukanlah mudah untuk menukar corak perjuangan UMNO pimpinan Dato' Onn (jaafar) ketika itu yang masih asyik dengan slogan Hidup Melayu.

Slogan Merdeka ini amat sesuai dengan fahaman dan matlamat perjuangan bukan sahaja kalangan muda dalam UMNO itu sendiri tetapi memang menjadi matlamat utama perjuangan PKMM yang telah pun lumpuh kerana diharamkan oleh British.

Jadi, kemungkinan mereka akan menyertai UMNO sebagai jalan terakhir untuk memperjuangkan terus matlamat politik mereka dari terus berdiam diri adalah cerah sekali.

Dalam konteks inilah agaknya Dato' Onn seakan-akan menolak slogan Merdeka kerana PKMM pernah menjadi "musuh ketat" UMNO dan dengan mengambil perjuangan Merdeka, UMNO seolah-olah mengambil perjuangan parti yang pernah menjadi "musuhnya" dan memberikan implikasi bahawa UMNO "kekeringan modal perjuangan".

Tetapi bagi mereka yang bersemangat muda, persoalan kemerdekaan adalah sesuatu yang penting dan "perlu" demi memungkinkan UMNO memasuki era baru dalam perjuangannya dan mendapat reaksi menggalakkan di kalangan golongan muda dalam UMNO.

Walaupun demikian keadaannya, sepanjang tahun 1951 agak kurang jelas sejauh manakah slogan tersebut benar-benar diperjuangkan oleh Pemuda UMNO. Ini mungkin kerana persoalan jus-soli masih terus "menghantui" pemimpin-pemimpin pusat UMNO dan begitu juga dengan persoalan Dato' Onn keluar dan masuk kembali dan keluar semula dari UMNO.

Juga, perubahan seruan dan lambang perjuangan UMNO belum cukup untuk menarik perhatian orang ramai dan rakyat jelata kerana pucuk pimpinannya masih juga di tangan orang-orang lama (kecuali jawatan Ketua Pemuda dari Kapten Hussein kepada Encik Abdul Razak).

Tetapi, pada tahun 1952, persoalan kemerdekaan ini tiba-tiba memuncak kerana dua sebab utama. Pertamanya, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinan Dato' Onn (setelah keluarnya beliau dari UMNO) sama-sama berjuang ke arah kemerdekaan.

IMP dengan tegas menyebut bahawa kemerdekaan boleh dicapai "lima hingga sepuluh tahun dari sekarang (1952)" di mana UMNO tidak pernah menentukan masa yang tepat atau jangkamasa tertentu dalam perjuangannya dalam UMNO yang diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman, kegiatan UMNO ke arah kemerdekaan semakin ranck walaupun caranya jauh berbeza dari langkah-langkah IMP.

UMNO mengharapkan bantuan MCA dari segi sumber kewangan dan setelah merdeka, Tanah Melayu akan berada di dalam Commonwealth British seperti yang diterima oleh India, Ceylon ataupun Pakistan.

Bertolak dari sinilah, perjuangan kemerdekaan UMNO bermula sehinggalah terbentuknya Perikatan yang menang dalam pilihan raya 1955 dan membawa kepada tuntutan kemerdekaan melalui rombongan yang diketuai Tunku Abdul Rahman ke London.

Amat jelas tuntutan kemerdekaan bukan jalan mudah tetapi perjuangan UMNO tetap mulia dan patut disanjung, bukan menagung-agungkan komunis yang memang menggangu-gugat perjuangan untuk memerdekakan tanah air!

Juga amat jelas Mat Sabu sengaja mahu spin sejarah untuk kepentingan perjuangan PAS sambil menidakkan perjuangan UMNO.

Namun, sejarah tidak boleh diubah dan sumbangan UMNO perlu dihormati oleh semua pihak, walaupun pahit untuk ditelan pembangkang!

Wednesday, September 1, 2010

BLOGGER ProUMNO - TERUSKAN PERJUANGAN MEMBELA ISLAM, MELAYU & MALAYSIA

Saya tertarik dengan nukilan Jefri Zachariah dari Malaysia-Instinct yang kemudian dipetik blogger House PK mengatakan ramai penganalisis dan pemerhati politik berpendapat blog kini menjadi instrumen terpenting, bukan sahaja sebagai penyebar maklumat biasa malah mampu membentuk kepercayaan politik kepada masyarakat untuk memilih kerajaan yang dikehendaki.

Menurut Jefri, antara faktor besar kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu adalah disebabkan kesan maklumat yang disebar melalui media baru di internet khususnya blog.

Blog dikatakan menjadi pilihan dan rujukan paling utama generasi muda dalam lingkungan usia 21 hingga 41 tahun berbanding media konvensional yang lain.

Dalam kajian dari Februari hingga Mac 2008 yang dikendalikan Zentrum Future Study Malaysia mendapati, blog berada ditangga teratas dengan 39.2 peratus berbanding akhbar 14.8 peratus, televisyen 23.5 peratus dan media baru lain 26.2 peratus.

Dengan semangat Merdeka yang disambut semalam, seharusnya blogger yang proUMNO terus bersatu.

Yang buat onar itu adalah satu dua yang hidupnya di atas ihsan orang lain dan menindas orang lain. Mereka kononnya blogger terkenal dan mendapat hits yang tinggi.

Itu bukan ukurannya. Hits banyak cara. Ada yang menambah dengan sengaja dan ada yang rela membiarkan bilangan hits mengikut cara yang ‘halal’.

Soal penting kita perlu memeruskan perjuangan. Jangan ikut mereka yang suka menempel di tepi pemimpin UMNO atau kerajaan untuk menunjukkan mereka blogger penting.

Kalaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku mansor atau Setiuasaha Kerja, Datuk Abdul Rauf Yusof tidak mengenali kita pun tidak apa.

Mereka tidak hulur atau iktiraf kita pun tidak apa. Perjuangan adalah demi UMNO dan masa depan anak kita.

Kita bukan blogger yang mengharapkan diambil bekerja dengan Perdana Menteri atau sesiapa yang berpangkat. Nawaitu kita bukan begitu kerana perjuangan menegakkan UMNO, bangsa dan agama Islam perlu diteruskan.

Blogger macam kita - Najib, Tengku Adnan atau pemimpin UMNO tidak peduli atau pandang sebelah mata pun tidak apa. Hakikatnya kita tidak tunduk dan kadangkala terpaksa ‘berbohong sunat’ untuk diundi atau menang pilihan raya!

Blogger kekal blogger. Kepada orang politik, kalah hari ini, esok orang tak buka lagi pintu kereta untuk mereka!

Berapa banyak askar yang mati atau sudah pencen yang tidak menerima bintang dan hidup melarat sebaliknya ketua mereka yang diiktiraf. Apakah mereka berkecil hati? Tidak...mereka bangga kerana menyumbang untuk negara.

Nah begitulah juga kita. Kita tidak mahu menjadi blogger yang melaga-laga antara kita atau tidak amanah membahagi-bahagikan ‘kek’ atau ‘sumbangan’ yang dihadiahkan. Biarlah mereka hidup cara mereka.

Cumanya jangan jadikan antara kita ada blogger elit, blogger yang kononnya 'rapat' dengan pihak tertentu dan mempunyai hits yang tinggi dan memandang rendah kepada blogger-blogger lain.

Tidak seharusnya ada blogger picisan atau kasta antara kita.

Janganlah kita patah semangat kerana senjata kita kini sudah terhunus dan pembangkang sudah panas dengan kehadiran kita.

Tinggalkan blogger yang terus mengharap subsidi dan bantuan orang besar UMNO kerana mereka mempunyai kepentingan diri.

Dalam kedudukan ini, kita yang merdeka perlu menyata dan membuktikan bahawa kita bebas dari segi perjuangan, semangat dan halatuju kita.

Kitalah blogger pembela bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air tercinta – MALAYSIA. Merdeka, Merdeka, Merdeka!!

Wednesday, September 2, 2009

KONTRAK SOSIAL – PENGORBANAN BESAR ORANG MELAYU

Individu lain mungkin masih muda. Kata-kata mereka tidak dipedulikan kerana dianggap ‘masih mentah’.

Jika pemimpin seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau veteran lain mengecam perosak perpaduan dan mereka yang mempersoalkan kontrak sosial, mereka dikatakan berpihak dan berbau UMNO.

Tetapi bagaimana dengan individu yang disanjung rakyat dan pernah menjadi Yang DiPertuan Agong pada ketika usia Malaysia masih muda?

Yang dimaksudkan ialah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah?

Tuanku Sultan adalah bekas Yang di-Pertuan Agong dari 21 September 1970 hinggga 20 September 1975.

Golongan muda mungkin tidak merasai betapa sukarnya tempoh ini kerana ia adalah selepas tragedi 13 Mei 1969 selain untuk kali pertamanya Barisan Nasional (BN) bertanding dalam pilihan raya umum 1974 selepas negara berada di bawah kuasa MAGERAN.

Malah, pada tempoh inilah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan dan Tuanku Sultan amat memahami bagaimana perundingan kontrak sosial kali kedua diadakan.

Dalam konteks politik untuk kali pertamanya UMNO dan PAS duduk semeja melalui kerjasama Barisan Nasional, selain tolak ansur yang begitu padu dalam membentuk DEB.

Kita jangan lupa bahawa setiap rang undang-undang yang diluluskan di Parlimen perlu perkenan Yang DiPertuan Agung untuk ia menjadi undang-undang.

Dan dalam tempoh getir itu, Tuanku Sultan sudah pasti dimaklumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein selain terbabit dalam perbincangan perkara-perkara yang membabitkan tolak ansur dan perundingan untuk menjamin Malaysia menuju ke suatu tahap baru melalui DEB.

Malah satu lagi perkara penting ketika pemerintahan Tuanku ialah terlancarnya Rukun Negara yang menjadi asas amalan dan rujuk demi perpaduan Malaysia.

Tuanku Sultan tidak akan memperkatakan mengenai isu perosak perpaduan dan kumpulan yang antikontrak sosial jika tidak melalui pengalaman yang menakutkan ketika menjadi ketua negara.

Apakah apabila individu seperti ini menyuarakan pandangan seperti ini ia didasarkan kepada kepentingan parti seperti UMNO atau memang menyedari kini sudah benar-benar wujud perosak perpaduan dan mereka yang antikontrak sosial?

Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada 18 Ogos lalu, memberi amaran negara akan huru-hara dan masyarakat ditimpa bencana jika kontrak sosial dipertikaikan serta dijadikan bahan politik.

Titah baginda, keamanan yang dikecapi pada masa ini tidak datang bergolek kerana ia dicapai hasil permuafakatan, toleransi dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu.

‘‘Mereka duduk semeja berbincang bagi menuntut kemerdekaan. Perbincangan ini mewujudkan peruntukan perlembagaan yang menjamin kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam dan hak istimewa orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang dikenali sebagai kontrak sosial.

‘‘Kontrak sosial ini merupakan pengorbanan besar orang Melayu kepada kaum lain. Oleh itu, tidak wajar kontrak ini dipertikai, disemak semula atau diubah kerana ia adalah asas pembentukan Malaysia,’’ titah baginda.

Tamadun dan kemerdekaan negara akan runtuh sebagaimana berlaku terhadap banyak negara apabila api kemarahan akar umbi tidak dapat dikawal dan semua pihak perlu ingat bahawa kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan adalah perkara suci yang mempunyai ’rahsia’.

Natijahnya, ia harus dipertahankan kerana ia menjamin kerukunan serta keamanan negara seperti dibuktikan sejak 52 tahun yang lalu.

“Jika perkara-perkara ini dijadikan bahan perbincangan umum dan berpolitik, ia akan membawa bencana kepada masyarakat dan negara,” titah baginda semasa merasmikan seminar khas Perlembagaan Persekutuan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di Alor Setar.

Saya yakin Tuanku Sultan bertitah untuk meningatkan rakyat semua kaum kerana kebelakangan ini keharmonian yang wujud sekian lama mula terjejas ekoran adanya pihak tertentu yang berani mempertikaikan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, antara sebab yang dikenal pasti berlakunya pertikaian mengenai peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah kedangkalan pihak-pihak tertentu terhadap latar belakang sejarah mengapa ia dimaktubkan.

Selain itu, titah baginda, ia juga disebabkan pengaruh prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diaplikasikan di negara ini tanpa bertunjangkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara.

“Situasi ini jika tidak dibendung boleh membawa kepada ketegangan kaum,’’ titah baginda.

Persoalannya, apakah UMNO dan sekutunya yang antikontrak sosial dan menjadi makhluk perosak perpaduan?

Jika bukan UMNO, siapa lagi?

Monday, August 31, 2009

1ISLAM, 1AL-QURAN LEBIH SELAMAT

Selamat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia untuk semua.

Saya sambut merdeka tahun ini pada usia 55 tahun, tiga tahun lebih tua daripada usia kemerdekaan negara.

Saya menyokong penuh apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib melalui perutusan Hari Kemerdekaan ke 52 malam semalam bahawa rakyat perlu terus mengurus kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini.

"Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malahan akan musnah jika rakyat tidak berwaspada. Buktinya, lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan,” katanya.

Bagi saya, sambutan kali ini bukan kerana 1Malaysia semata-mata atau apa juga slogan tetapi di atas keikhlasan saya sebagai rakyat yang cintakan keamanan, perpaduan, kemakmuran dan akhir sekali menjamin Islam terus utuh di negara ini.

Kenapa saya katakan demikian?

Ini kerana Islam mampu menjamin kesejahteraan, keamanan, kemakmuran dan kesatuan berasaskan satu Tuhan dan satu kitab suci al-Quran.

Bagi saya Allah yang satu menjamin semua umat untuk hidup secara damai dan hormat menghormati sesama Islam antara antara Islam dan bukan Islam.

Kerana itu saya berpendapat UMNO sebagai teras dan tunjang kepada Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini perlu meletakkan Islam sebagai dasar pejuangan, kerana Islam adalah amalan dan anutan orang Melayu yang menekankan pentingnya perpaduan dalam kepelbagaian.

Apa lagi, Islam itu sendiri tidak pernah menafikan kepelbagaian sambil menekankan perpaduan yang menolak dan memerangi sebarang bentuk tindakan perkauman dan ekstrem.

Kesederhaan yang ditekankan Islam akan menjadikan UMNO sebagai wadah perjuangan orang Islam-Melayu diterima dan dibelai untuk sampai bila-bila.

Namun untuk mencapainya, pemimpin UMNO perlulah meletak dan mengamalkan Islam sebagai yang penting dalam perjuangan bagi diri dan UMNO – bukan sekadar retorik politik semata-mata.

Sebagai rakyat Malaysia, saya menjunjung Rukun Negara dan konsep 1Malaysia yang diterapkan kepada seluruh rakyat yang sewajarnya dijadikan sebagai satu resolusi untuk setiap sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan negara.

Namun lebih penting, apakah pemimpin UMNO bersedia untuk menegakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang benar-benar menjadi contoh perpaduan, keamanan, kemakmuran dan kelestarian sejagat?

Jika UMNO dan BN gagal, peranan ini akan dimainkan oleh pihak lain dan jangan meratap jika UMNO semakin terpinggir kerana bukan sahaja ia tidak memahami aspirasi rakyat jelata tetapi hilang arah kerana UMNO itu dilahirkan untuk menjamin masa depan orang Melayu dan Islam ditegakkan sesuai dengan kedudukan sebagai agama rasmi negara.

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!