Ramadan bulan bisnes di Malaysia. Ia menyumbang menggerakkan ekonomi dalam negara.
Sumbangan umat Islam kepada negara yang berbelanja sebanyak RM1,700 juta (RM1.7b) untuk berbuka dan persediaan hari raya adalah sesuatu yang perlu diberikan pengiktirafan.
Angka itu berdasarkan anggaran purata perbelanjaan RM100 bagi setiap individu Islam di negara ini yang kini mencecah kira-kira 16 juta orang, sama ada kos itu dikeluarkan individu terbabit atau pembelian kelengkapan untuk mereka ditanggung pihak lain melalui aktiviti amal jariah.
Ini belum dikira sumbangan zakat serta sumbangan lain sama ada oleh individu Islam atau syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Islam seperti bank, persatuan dan badan-badan lain sepanjang Ramadan.
Kerana itu, rakyat Malaysia jangan melihat Islam sebagai membawa kemuduran sebaliknya memainkan peranan penting menggerakkan ekonomi dalam negara.
Perayaan Ramadan bukan sekadar menjadikan hotel ‘hidup’ dengan tempahan tetapi pusat beli belah membuat promosi selama sebulan – mengatasi perayaan lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas atau juga promosi jualan murah ketika musim cuti sekolah yang selalunya selama seminggu.
Sementara bazaar Ramadan memberikan peluang untuk seluruh rakyat berniaga menjual pakaian, makanan dan kelengkapan lain. Setidak-tidaknya peluang ini dapat direbut oleh mereka yang berusaha mencari pendapatan lebih menerjunkan diri dalam alam perniagaan kecil-kecilan.
Perbelanjaan untuk Aidilfitri tahun ini dijangka meningkat sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu berikutan kedudukan ekonomi negara yang semakin pulih hasil pelbagai program rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan.
Profesor Ekonomi, Prof Dr Mohd Fauzi Mohd Jani, berkata rakyat akan berbelanja lebih sedikit untuk Aidilfitri kali ini kerana keadaan ekonomi semakin baik, selain pengguna tidak mempunyai bebanan lain selain persiapan hari raya.
Katanya, tahun lalu, sambutan Aidilfitri yang jatuh pada Oktober dikira sudah hampir penghujung tahun yang mana duit disimpan untuk menampung perbelanjaan bagi persiapan persekolahan anak-anak.
“Tahun ini, agak berbeza sedikit kerana pengguna semakin yakin dengan perkembangan ekonomi negara yang dalam proses pemulihan, selain banyak simpanan akibat kebimbangan mengenai krisis ekonomi yang melanda negara sejak akhir tahun lalu.
“Oleh kerana sesi persekolahan masih berjalan dan sesi baru lambat lagi iaitu kira-kira tiga bulan lagi, ramai yang akan berbelanja lebih sedikit berbanding tahun lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Prof Mohd Fauzi yang juga Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata perbelanjaan pengguna petanda yang baik untuk ekonomi negara terutama kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS).
Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin pula berpendapat sambutan Aidilfitri kali ini sederhana berikutan majoriti penganut Islam dijangka berjimat cermat dalam keadaan ekonomi yang belum begitu stabil ketika ini.
“Pengguna dijangka membuat persiapan secara `ala kadar’ dan wang dikeluarkan hanya untuk perkara perlu - mungkin untuk sepasang pakaian baru, manakala kuih muih pula dibeli sekadar ‘cukup syarat’,” katanya.
No comments:
Post a Comment