Tuesday, November 6, 2018

PEMBANGUNAN LUAR BANDAR SEWAJARNYA ‘BOTTOM-UP’


Pakatan Harapan (HARAPAN) yang tidak lekang daripada sebutan REFORMASI yang sewajarnya diterjemah dan dipraktikkannya ke pentadbiran peringkat bawahan.

Kalaupun tidak peringkat Majlis Tempatan, biarlah reformasi itu dilaksanakan dahulu di peringkat mukim dan kampung.

Ini masanya untuk mereformasikan pentadbiran ‘bottom-up’ yang bukan sahaja untuk membuktikan  kepada rakyat bahawa perancangan dan pelaksanaan bukan hanya dibuat di peringkat Putrajaya dan ibu-ibu negeri tetapi juga peringkat bawah, khususnya di  kampung-kampung.

‘Perintah dan arahan Putrajaya’ rasanya perlu direformasikan dalam konteks pentadbiran luar bandar yang memerlukan perhatian mendalam.

Ini kerana di situlah wujud kemiskinan tegar, kepayahan petani, nelayan, peladang, penganggur, anak muda yang terbiar, masalah moral dan dadah serta banyak lagi.

Kemiskinan membelenggu segala-galanya dan menjadi punca kepada kemunduran berterusan.

Manifesto HARAPAN Terengganu ada menggariskan pembangunan luar bandar yang sewajarnya secara ‘bottom-up’ melalui tajuk ‘Cakna Rakyat’ dan ‘Cakna Kampung’ namun malang sekali, rakyat negeri berkenaan memilih PAS untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional (BN).

HARAPAN ditolak secara total melalui pilihan raya umum ke-14.

Namun, kekalahan itu bukanlah segala-galanya. Dengan kerajaan Pusat kini dikuasai HARAPAN, ruang dan peluang masih ada. Yang penting, pemimpin di Putrajaya mendengar dan mengambil perhatian terhadap saranan pemimpin HARAPAN di negeri dan bahagian-bahagian.

Beberapa hari ini banyak perbincangan dibuat khususnya di Kelantan dan Terengganu mengenai isu Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK).serta pelantikan anggotanya yang menjadi agensi penting peringkat mukim dan kampung.

Semua tahu, termasuk orang UMNO, MPKK yang menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) walaupun direformasikan tetapi berfungsi sebagai suara dan keputusan perancangan dan pembangunan peringkat bawah.

Malah ia adalah ‘alat politik dan kuasa’ peringkat bawahan yang begitu penting untuk sokongan sam ada secara moral, penegasan  atau melalui pengundian.

Berikutan itu, peruntukan yang disalurkan daripada wang rakyat perlulah digunakan sebaik-baiknya untuk rakyat, bukan untuk tujuan kepentingan pihak tertentu, apalagi ‘rompakan’.

Bagaimanapun amat mengejutkan apabila isu MPKK ini bagaikan tiada penyelesaian dan terus kabur dalam konteks pelaksanaannya.

Sedangkan MPKK ini jika dilaksanakan dengan baik mampu mewujudkan landasan berikut:

1.     Masyarakat  luar bandar diberikan peranan  yang lebih dalam memberikan gagasan dari awal hingga penilaian pelaksanaan. KPLB sudah pasti menjadi fasilitator pembangunan;

2.     Masyarakat  bawahan akan lebih aktif dalam  memberikan pendapat, idea dan gagasan sebenar mengenai situasi di luar bandar;dan

3.     Pemimpin luar bandar menjadi  lebih dominan dan mereka tahu dengan sepenuhnya apa dan kesan pelaksanaan pembangunan dari awal hingga akhir. Jika gagal, apakah kerajaan Pusat dan negeri wajar dipersalahkan? Mereka perlu ambil tanggungjawab.

Mungkin ada perbezaan pandangan antara KPLB dengan orang bawahan tetapi dengan reformasi yang menekankan integriti dan kecekapan, isu seperti ini pastinya tidak wajar timbul.’

Memanglah bagi  yang pesimis akan mengatakan hasil pembangunan belum tentu baik tetapi dengan KPLB menjadi fasilitator ‘periksa/semak  dan imbang’ pastinya wujud kea rah hasil dan kesan maksimum.

Paling penting ciri ‘bottom-up’ ialah pembangunan  yang selama ini bercirikan ‘top-down’ di mana rakyat bawahan hanya ‘menurut dan akur perintah’ perlu direformasikan.

HARAPAN perlu ingat beberapa perkara penting:

1.     Bahawa mengundi dan setia kepada kerajaan adalah rakyat yang kebanyakannya dari luar bandar, yang lain mengikut kepentingan dan suasana politik;

2.     Parti seperti BERSATU, AMANAH dan PKR – sumber sokongan daripada luar bandar, walaupun AMANAH dan PKR mengharakan pengundi campuran;

3.     BERSATU mahu ganti UMNO, juga berteraskan undi luar bandar; dan

4.     Sokongan  orang Melayu dan Islam kepada kerajaan akan pupus sekiranya luar bandar dipinggirkan.

Apabila disebut luar bandar, ia bukan bermakna fizikal tetapi juga pergerakan rakyat dan pemikiran mereka.

Ramai penduduk bandar adalah dari luar bandar dan skop pemikiran mereka boleh berubah mengikut keadaan – bandar dan luar bandar.

Kita lihat yang berhijrah ke bandar untuk bekerja, mencari rezeki dan peluang, apabila tiba musim pilihan raya, negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu menerima pulang pengundi dari Pantai Barat, Utara Semenanjung, Selatan Semenanjung, Singapura, malah selatan Thailand.

Bukan sedikit, malah berjuta pengundi luar bandar akan pulang. Ia juga diibaratkan sebagai ‘Hari Raya 5 Tahun Sekali’.

Ciri-ciri ini menggambarkan kekuatan luar bandar. Bila disebut Luar Bandar, menteri dan kementerian yang terbayang pantas ialah Menteri dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Di situlah banyak agensi berkaitan luar bandar ditempatkan dan sewajarnya menjadi ‘nucleus’ kepada pembangunan luar bandar. Perancangan dan pelaksanaan dasar dan programnya mestilah memanfaatkan penduduk luar bandar.

RISDA, FELCRA, MARA dan banyak agensi lain seperti KEMAS dan MPKK adalah antara agnsi penting di bawah KPLB.

Kenapa Perdana Menteri meletakkan menteri BERSATU menjalankan tugas KPLB?

Ia pastinya berkaitan dengan fungsi kementerian berkenaan. Malah kementerian ini yang diwujudkan semula oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ke-4 ialah kerana ia penting.

Kementerian inilah yang mampu mendengar suara dan naluri rakyat luar bandar.

Pendapat dan hasrat rakyat luar bandar boleh dan sewajarnya datang ke kerajaan dan Putrajaya melalui kementerian ini. Bukan sebaliknya.

Namun, adakah menteri yang dilantik sensitif dan bersedia mendengar hasrat rakyat?

Jika HARAPAN mahu membezakan cara pentdbirannya di peringkat mukim dan luar bandar berbanding Barisan Nasional, inilah masa untuk membuktikannya.

Banyakkan peruntukan untuk luar bandar di mana kebanyakan Bumiputera dan Islam tinggal di kawasan berkenaan

Benarkan perancangan dan pelaksanaan’ pembangunan dijalankan secara terbuka dan adil oleh wakil penduduk luar bandar.

Melalui cara ini, keyakinan penduduk luar bandar akan dapat dipupuk dan ini akan memudahkan HARAPAN mendapat sokongan – sama ada untuk tujuan menggembleng tenaga untuk pembangunan atau juga sokongan dalam pilihan raya.

Segala-galanya terletak di tangan menteri dan KPLB.

1 comment:

  1. Macam sedap aje apabila membacanya tapi hakikatnya MPKK dikampung nak cari AJK pun susah. Mungkin penulis tak tahu antara parti tersebut sedang berebut jawatan menjadi ketua kampung. Inikan pula nak mengambil tahu keadaan rakyat yang dilanda musim tengkujuh, harga sawit jatuh, harga getah jatuh, kelapa tak laku. Sembang kencang bolehlah . Ini semua sembang ayat-ayat penyedap mebaca.

    ReplyDelete