Tuesday, November 25, 2008

AKHIRNYA SHAH RUKH KHAN SETUJU DATANG

(Rehat Minda2)

Bayangkan bagaimana agaknya jika Shah Rukh Khan berpakaian baju Melayu serba hitam dan bersongkok.

Apakah dia akan lebih handsome daripada Datuk Seri Mohd Ali Rustam?

Ia bukan impian lagi dan Ketua Menteri Melaka itu kini boleh menarik nafas lega.

Shah Rukh Khan akan menjadi satu-satunya artis Bollywood yang diberi penghormatan memakai busana baju kebangsaan yang pasti akan ditonton seluruh dunia.

Di mana dan bila? Melaka pada 6 Disember 2008.
Kini ‘awan mendung yang meliputi’ isu ini sudah berarak pergi.

Shah Rukh Khan bersetuju datang ke Melaka pada 6 Disember ini untuk menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Mohd Ali sebelum ini dikritik hebat kononnya pelakon popular Bollywood, Shah Rukh Khan tidak pun menghargai penghargaan negeri berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Omar Kaseh berkata semalam Shah Rukh Khan akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 7.30 pagi dan akan berada di Melaka selama sehari.

Istiadat penganugerahan darjah berkenaan kepada Shah Rukh Khan akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada 10 pagi.

Dalam kenyataannya, Omar berkata pada majlis istiadat penganugerahan itu, Shah Rukh Khan akan berpakaian baju Melayu serba hitam dan bersongkok, satu-satunya artis Bollywood yang diberi penghormatan memakai busana baju kebangsaan yang pasti akan ditonton seluruh dunia.

Shah Rukh Khan, yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke-70 hari lahir Mohd Khalil pada 11 Oktober lepas.

Katanya seramai 1,000 orang akan dijemput ke majlis istiadat penganugerahan berkenaan dan ia terhad kepada jemputan sahaja.

Omar berkata Shah Rukh Khan akan turut melawat beberapa tempat terkenal di kawasan Melaka Bandaraya Warisan Dunia dan orang ramai boleh menemui pelakon itu di tempat-tempat berkenaan.

Katanya artis itu dijadual melawat Menara Taming Sari pada 2.10 petang, menaiki beca ke jam besar melalui Jalan Quayside (2.25 petang), Eye On Malaysia (2.50 petang), pentas Jonker Walk (3.25 petang), menaiki bot dari Padang Nyiru ke Eye On Melaka (3.45 petang), kampung Morten (4.10 petang) dan bertemu peminat di konsert Jom Ke Melaka Bandaraya Warisan Dunia di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (4.45 petang).

Beliau berkata Shah Rukh Khan kemudiannya akan ke KLIA untuk penerbangan balik ke Mumbai pada 8 malam hari sama.

No comments:

Post a Comment