Monday, December 21, 2009

JIKA BENAR BERANI & PUNYA FAKTA...

Untungnya menjadi penggendali blok dan mempunyai wang. Jika ada masalah dengan tulisan sendiri, boleh lari atau menyelinap ke luar negara.

Selain itu, pada ketika mendabik dada fakta yang ditulis memang benar dan tepat – bukan kutip daripada sumber tidak berasas – seseorang yang berduit mampu berselindung di sebalik apa juga ‘kekebalan’.


Itulah mungkin yang dinikmati oleh pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin ketika ini.

Dia mungkin mempunyai wang dan kalaupun tidak cukup, mungkin dibantu oleh ‘orang di belakang’ kerana sejauh ini tulisan-tulisannya selain yang “telus dan bernas’ada juga yang disangsikan punca sumber dan untuk siapa beliau mengemukan pandangannya.

Raja Petra, 59, dibicarakan atas tuduhan menerbitkan satu artikel berunsur hasutan dalam Malaysia Today pada 25 April tahun lalu di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini.

Ada laporan akhbar sebelum ini memetik sumber, polis berjaya mengesan penulis blog itu dan mendapati Raja Petra lari dari Malaysia menuju ke Thailand melalui jalan haram sebelum menaiki penerbangan terus ke Australia.

Isunya bukan ‘melakukan tangkapan dan menyoal’Raja Petra mengenai sumbernya tetapi sejauh mana tulisannya – khususnya dakwaannya terhadap beberapa individu termasuk isteri Perdana Menteri – apakah berasas atau sebaliknya.

Juga dia perlu diheretkan ke mahkamah kerana beberapa kesnya yang tertangguh itu.
Pada 12 November lalu, polis menegaskan akan terus menjejaki Raja Petra yang didakwa menerbitkan artikel berunsur hasutan, walaupun mahkamah melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan itu semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menegaskan, penulis itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja dan usaha menjejaknya kini dipertingkatkan. "Kita tidak akan hentikan usaha mengesan Raja Petra selagi waran penahanannya masih ada.”Saya tegaskan di sini, kita akan bertindak untuk menangkapnya dan membawa ke mahkamah," katanya.

Sehari sebelum itu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Rozina Ayob membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Raja Petra selepas polis masih gagal menjejaki beliau walaupun waran tangkap sudah dikeluarkan.

Kita mengalu-alukan hasrat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memohon perintah ekstradisi terhadap) jika benar dia kini berada di sebuah pangsapuri mewah di London.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya tidak akan lepas pandang mengenai laporan tersebut dan kini sedang menyiasat sama ada benar Raja Petra sedang bersembunyi di negara itu.

Menurut beliau, pihaknya turut meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) dan kerajaan British bagi memastikan dakwaan itu benar.

‘‘Kita sedang siasat laporan Mingguan Malaysia hari ini dan meminta bantuan Interpol serta kerajaan British. Jika benar dia (Raja Petra) berada di sana, kita akan minta bantuan kerajaan British mendapatkan perintah ekstradisi kerana dia perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah,’’ katanya.

Kelmarin Mingguan Malaysia melaporkan pengendali laman web itu dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.

Menurut sumber, Raja Petra dipercayai menyewa salah sebuah unit di pangsapuri mewah enam tingkat itu sejak menjadi buruan polis, kira-kira lapan bulan lalu.

Pangsapuri terbabit dikategorikan sebagai kediaman mewah. Setiap unitnya mempunyai dua bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.

Persoalan paling penting ialah bagaimana Raja Petra menyelinap keluar dari Malaysia dan polis pula gagal mengesannya sejak sekian lama?

Siapa dalang di sebalik pemergiannya ke London dan apakah selama lapan bulan ini kita tidak meminta bantuan Interpol?

Pada 26 November lalu, polis mengatakan ia tidak menerima sebarang laporan yang mengatakan pengendali laman web Malaysia Today itu kini berada di Melbourne, Australia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis tidak tahu di mana dia (Raja Petra) berada kerana semuanya dalam siasatan. “Saya tidak tahu dari mana datangnya laporan itu (Raja Petra bersembunyi di Melbourne),” mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mengatakan penulis laman blog itu dikesan berada di Melbourne selepas lebih tujuh bulan usaha mencari dilakukan.

Apapun, polis perlu terus menyiasat kerana hanya keadilan di mahkamah dapat membuktikan Raja Petra memang menulis dengan ‘tepat dan berwibawa’sementara mereka yang dituduh juga mempunyai hak untuk menafikan ada juga tuduhan oleh Raja Petra.

No comments:

Post a Comment