Showing posts with label Felda. Show all posts
Showing posts with label Felda. Show all posts

Monday, December 25, 2017

TANAH FELDA - SATU PELURU UNTUK MENJATUHKAN BEBERAPA EKOR HELANG...


Sejujurnya, saya tidak percaya isu pemilikan tanah FELDA bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur akan menyusahkan Perdana Menteri, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan FELDA sendiri.

Sebaliknya, jika isu ini dikendalikan dengan baik, ia akan memberikan kelebihan kepada Najib Razak dan BN menempuh Pilihan raya Umum ke-14 nanti.

Ingin disebutkan di sini, sesuatu yang aneh berlaku ialah apabila akhbar arus perdana, Berita Harian yang ‘membongkar dan mendedahkan’ isu ini.

Berdasarkan pengalaman lalu, jika akhbar perdana yang pro-UMNO mendedahkan sesuatu isu, ia lebih kepada kepentingan kerajaan atau BN mencari keuntungan politik.

Pengalaman bekerja di akhbar perdana menguatkan kepercayaan saya bahawa isu ini sengaja didedahkan untuk kepentingan dan keuntungan politik Najib dan BN.

Malah, bukan Berita Harian sahaja nampaknya berminat dengan isu ini, malah akhbar perdana lain juga turut memainkan isu ini.

Pendedahan sebegini memang tidak berani dilakukan oleh semua media perdana jika tiada ‘telunjuk’ yang menunjukkan arah untuk mereka bertindak.

Ingat kembali, siapa mendedahkan isu membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik? Bukankah akhbar pro-UMNO, Utusan Malaysia yang mula mendedahkan ‘isu seks dan budak bawah umur’ berkenaan?

Jadi bila Berita Harian tiba-tiba mendedahkan isu ini, ia mesti ada ‘udang di sebalik batu’.

Silap-silap UMNO/BN akan menggunakan satu pelauru untuk menjatuhkan beberapa ekor helang.

Asalkan membawa keuntungan dalam PRU14 dan Najib dapat dikekalkan kedududukannya, mangsa politik atau ‘kambing hitam’ yang terpaksa dikorbankan bukan isu besar bagi mereka.

Dibimbangi  isu ini akan dijadikan ‘peluru terancang’ untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan Najib dan BN telus.

Malah Najib dengan tegas mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung isu pemilikan tanah melibatkan FELDA sambil menegaskan  tindakan akan diambil terhadap sebarang kecuaian atau salah laku berasaskan laporan siasatan.

“Langkah memelihara kepentingan FELDA dan peneroka perlu diambil,” katanya.


Kedua, kenapa selepas setahun ia diketahui oleh pihak tertentu dalam kerajaan dan FELDA mengenai perkara ini, baru didedahkan? Kenapa ketika diambang PRU14?

“Perkara tentang pindah milik tanah FELDA  ini saya sedar pada akhir Januari apabila Jabatan Pengurusan FELDA memaklumkan pada saya ada 3 perjanjian jual beli melibatkan tanah milik Felda,” kata Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Samad.

Jika sudah diketahui kenapa lambat mengambil tindakan? Sengaja dirancang dan memang ‘terancang sepenuhnya?’

Ketiga, kenapa pemimpin kerajaan khususnya menteri dan pengurusan FELDA langsung  tidak menampakkan mereka panik dengan isu ini?

Shahrir turut mengatakan laporan polis telah dibuat selepas isu itu dibangkitkan di Jabatan Perdana Menteri 12 Disember lalu.

Ditanya sama ada laporan polis turut menamakan Isa atau ahli lembaga pengarah pada waktu itu, Shahrir berkata hanya pemaju disebut dan menyerahkan soal lain kepada polis untuk siasatan.

Shahrir menegaskan bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah berkenaan. Malah, selain laporan polis yang dibuat pada 12 Disember lepas, tindakan turut diambil dengan mendaftarkan kaveat ke atas tanah itu, membatalkan surat kuasa wakil penuh yang dikeluarkan dan mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terlibat.

Berita Harian melaporkan Jabatan Perdana Menteri sudah mengarahkan audit forensik terhadap kes berkenaan disiapkan dalam tempoh sebulan bermula Januari depan.

Audit forensik terbabit akan dilaksanakan pasukan audit dari luar FELDA seperti diarahkan Perdana Menteri.

Selain audit forensik, FELDA  juga dilapor sedang dalam proses membatalkan surat kuasa (PA) yang dipercayai sudah disalahgunakan selain menukar kaveat persendirian kepada Kaveat Pendaftar dengan Jabatan Tanah dan Galian Kuala Lumpur.

Amat jelas sama ada Najib, Shahrir atau FELDA sudah tahu apa langkah rapi atau terancang yang boleh dilakukan untuk mengambil balik tanah berkenaan.


Keempat, selain FELDA, Tan Sri Isa Samad juga nampaknya tidak gelabah. Isa adalah pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017 selain merupakan bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan bekas Pengerusi FELDA  Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Isa tenang dan Shahrir juga tenang sahaja. Sedangkan menurut pendedahan itu, FELDA berisiko hilang pemilikan tanah bernilai RM270 juta di Jalan Semarak itu, ekoran pemindahan hak milik pada 2015 yang didakwa "meragukan".

Malah, penilai bebas menganggarkan harga tanah berkenaan kini mencecah RM1 bilion.

Selain kerugian berbilion ringgit bagaikan perkara biasa di era Najib, kehilangan harta FELDA ini bagaikan seseuatu yang enteng dan bukan sesuatu yang perlu disegerakan.

Sedangkan jelas tanah itu sedang dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC). Ia melibatkan tujuh menara - termasuk sebuah menara FELDA, bangunan 68 tingkat merangkumi 59 tingkat ruang pejabat dan helipad.

Juga menarik ialah Perdana Menteri dan Shahril sudah menegaskan mereka begitu yakin tanah itu akan dapat balik.

Maknanya, yang akan dijadikan mangsa ialah pihak tertentu sedangkan semuanya akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan ini.

Jika ini berjaya dilakukan, imej Najib, Kerajaan BN akan naik mendadak. Pastinya, akan ada laungan Najib dan UMNO memang menjaga kepentingan Melayu.

Maka, dengan kejayaan itu kelak, mudahlah Najib dan BN memperbodohkan pembangkang dengan hanya satu peluru tetapi menembak beberapa ekor burung serentak, termasuk pembangkang sendiri.

Maka Najib dan UMNO akan berceramah serta meratib di seluruh pelusuk negara bahawa mereka mengambil,berat dan menjamin bahawa FELDA yang diasaskan dengan penuh visi dan misi oleh Almarhum Tun Abdul Razak, sentiasa dibela dan terbela!

Cumanya, kita mengharapkan Najib, BN dan FELDA tersilap langkah dalam perkiraan mereka.

Daripada mahu mendapat untung besar sebaliknya mereka mungkin akan menerima kerugian teruk jika nanti ada pihak yang  dijadikan ‘kambing hitam’ mendedahkan lebih banyak rahsia mengenai isu berkaitan tanah ini selain  perkara lain dalam FELDA yang diketahui memang sedang menghadapi banyak masalah dan skandal kewangan. 

Monday, February 13, 2017

RM4.3 BILION – PENGURUSAN TERTINGGI FELDA ‘FLIP-FLOP’ ATAU MEDIA TIDAK BERINTEGRITI?


Misteri sungguh dengan tingkah laku pengurusan tinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengenai wang RM4.3 bilion yang dikatakan ‘lesap’.

Tidak faham bagaimana pengurusan tinggi FELDA boleh mengubah kenyataannya dengan mengatakan tidak berlaku kehilangan dana berjumlah RM4.3 bilion di dalam FELDA, berbanding sebelumnya.

Kenyataan bersifat ‘flip-flop’ FELDA dalam tempoh 24 jam – kelmarin dan semalam – sebelummnya mempersoal dan kemudian menafikan mengenai kehilangan RM4.3 bilion itu - FELDA menyalahkan beberapa portal berita kononnya ada perbuatan memesongkan kenyataan mengenai dana itu yang dibuat oleh Pengerusi Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Bagaimana boleh menyalahkan laporan portal berita sedangkan akhbar yang berintegriti seperti Utusan Malaysia (Utusan Online),  terutamanya Sinar Harian (Sinar Online) dan Berita Minggu edisi Terengganu juga melaporkan perkara yang sama.

Utusan Online membawa laporan bertajuk ‘Mana perginya RM4.3 bilion?’ turut melaporkan Shahrir mahu tahu bagaimana FELDA belanja dana.

Shahrir kelmarin dilaporkan menyatakan demikian mengulas mengenai tindakan yang akan diambil pihak­nya bagi mengembalikan kepercayaan semua pihak khususnya peneroka berikutan penahanan bekas Pengarah Besar FELDA oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu.

Selepas menafikan laporan awal itu, dinyatakan oleh Shahrir bahawa pihaknya mempunyai senarai yang jelas mengenai perbelanjaan baki wang sebanyak RM4.3 bilion tersebut.

Antaranya ia digunakan bagi tujuan pelaburan jangka panjang oleh FELDA di dalam dan luar negara.

Kenyataan terbaru Pengerusi FELDA itu jauh bezanya dengan apa yang diperkatakannya sehari sebelum ini melalui laporan-laporan.

Benarkah portal berita silap melaporkannya? Apakah mereka ini tidak teliti dalam laporan mereka?

Laporan Utusan Online.
Kenapa laporan sebelumnya tidak sejelas laporan semalam yang lengkap dengan fakta. atau memang benar Shahrir mengemukakan pertanyaan sedemikian pada laporan awal kelmarin?

Seperti Shahrir yang menekankan integriti, apakah media sosial dan akhbar online tidak menekankan ketepatan dan berintegriti dalam laporan mereka?

Jika portal berita silap, bagaimana dengan laporan Utusan Online dan Sinar Harian? Akhbar itu tidak berintegriti menyiarkan pertanyaan beliau bagaimana RM4.3 ‘lesap’?

Dengan mengatakan portal berita membuat silap melaporkan kenyataannya, apakah Shahril cuba menafikan kenyataannya sendiri?

Sebelum ini, Shahrir mengatakan  FELDA bukan kekurangan dana tetapi wang itu disalah guna.

Beliau mempersoalkan apa terjadi kepada berbilion ringgit hasil daripada tawaran awam permulaan FELDA Global Ventures (FGV).

“FELDA menerima RM6 bilion daripada penyenaraian FGV, iaitu dalam perniagaan hartanahnya. Daripada jumlah itu, RM1.7 bilion dibelanjakan sebagai durian runtuh.

“Kami salurkan RM15,000 kepada setiap peneroka dan keluarga mereka, dan masih ada baki RM4.3 bilion.

Jadi ke mana perginya RM4.3 bilion itu?,” katanya dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian.

Apakah Shahrir dipaksa memperbetulkan kenyataannya selepas menggambarkan seolah-olah ada pihak ‘melesapkan wang RM4.3 juta’ itu?

Laporan Sinar Harian itu turut menyebut Shahrir sebagai berkata,  beliau percaya itulah sebabnya mengapa peneroka FELDA kecewa dengan agensi itu, dan beliau berjanji untuk memperbetulkan keadaan.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata kira-kira RM200 juta dana dibelanjakan secara tidak betul, seperti dinyatakan dalam laporan ketua audit negara.

Malah pada kenyataan awalnya, Shahrir turut mengatakan walaupun sukar mendapatkan kembali wang itu, beliau akan cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan sekurang-kurangnya sebahagian wang berkenaan.

“Mustahil untuk mendapat balik RM200 juta apabila ia hilang. Dilaporkan banyak perkara dibuat tanpa kelulusan, dan tanpa mengikut protokol ditetapkan agensi itu.

“Itu sebabnya saya ditugaskan untuk cuba dan membetulkan kedudukan kewangan FELDA. Bukannya kita tidak ada wang itu, tetapi ya, ia mungkin disalahgunakan,” katanya.

Apakah portal berita dan akhbar online memandai-mandai membuat atau merekakan laporan?

Mempertikaikan kredibiliti dan integriti wartawan dan akhbar online yang mereka wakili?

Shahril dilaporkan kelmarin turut  mengakui tersangat penting untuk pengurusan baharu di bawah kepimpinannya untuk melakukan kerja dengan betul supaya mereka dapat memperoleh semula keyakinan peneroka kembali kepada agensi itu.

Atau apakah kenyataan awalnya itu dibuat pada ketika beliau sebenarnya tidak dimaklumkan atau tidak tahu apa yang beliau katakan sebagai pelaburan jangka panjang FELDA di dalam dan luar negara?

Laporan Sinar Online
Semalam Shahrir menegaskan: "Tidak ada dana yang hilang. Daripada RM6 bilion, kita telah belanjakan RM1.7 bilion kepada peneroka FELDA dengan setiap keluarga menerima bayaran sebanyak RM15,000.

"Baki sebanyak RM4.3 bilion pula antaranya dibelanjakan bagi pembayaran one off kepada kerajaan negeri Sabah sebanyak RM300 juta dan Pahang RM250 juta, pinjaman perumahan peneroka sebanyak RM400 juta, perbelanjaan pengurusan RM883 juta, selain pelaburan hartanah dalam dan luar negara, pembelian saham dan banyak lagi," katanya cuba memperbetulkan kenyataan awalnya.

Shahrir berkata nilai pelaburan RM1.438 bilion itu kebanyakannya melibatkan sektor perkhidmatan perhotelan sebagai pelaburan jangka masa panjang yang memerlukan masa yang lama sebelum memberi pulangan.

FELDA juga dikatakan  membeli semula FELDA Technoplant Sdn Bhd dengan nilai RM38 juta dan sehingga kini jumlah kerugian yang ditanggung FELDA adalah sebanyak RM108 juta melibatkan projek Transnovasi.

Shahrir yang juga anggota Parlimen Johor Bahru menyatakan perkara ini dengan menyifatkan beberapa portal berita yang didakwa telah memesongkan kenyataannya berhubung dana berjumlah RM6 bilion yang diterima FELDA selepas disenaraikan di bursa saham.

Apakah perlu portal berita dan akhbar online yang melaporkan kenyataannya kelmarin membuat kenyataan maaf dan ralat?

Jika tidak benar yang membabitkan isu RM4.3 bilion ini, kenyataan silap perlu diperbetulkan.

Menjelaskan lebih lanjut semalam, Shahril memberitahu sebanyak RM1.438 bilion telah digunakan bagi pembelian pelaburan hartanah yang merangkumi pembelian hartanah di Bukit Katil, Melaka (RM304 juta), Grand Borneo Hotel di Sabah (RM86 juta), Apartmen Perkhidmatan Grand Plaza di London (RM500 juta), bangunan Institut Penilaian Negara (INSPEN) (RM225 juta) selain pembelian saham Iris Corporation Berhad (RM110 juta).

Shahris mengatakan tugasnya  (selaku pengerusi FELDA) adalah untuk memastikan kesemua pelaburan yang telah dilakukan FELDA berjalan mengikut perancangan, bagaimana pelaburan itu dilakukan dan memastikan pelaburan tersebut memberikan pulangan.

Bukan sekadar itu sahaja, Shahrir juga jangan membuat kenyataan ‘flip-flop’ kerana ini membabitkan agensi kerajaan dan jumlah wang yang besar.

Dengan berdiam diri dan tidak memperbetulkan laporan mereka atau meminta maaf di atas 'kesilapan kelmarin' tidakkah ini menunjukkan media sosial dan akhbar online juga mempertahankan integriti mereka.

Atau ini membayangkan laporan mereka tepat, khususnya oleh Sinar Harian yang turut dipetik beberapa portal berita dan akhbar online lain seperti themalaymailonline (gambar di bawah).


Dalam pada itu Shahril turut memaklumkan FELDA memutuskan untuk menjual sebuah hotel milik agensi berkenaan di London yang dibeli dengan harga RM548 juta pada 2012, dengan proses penjualan sedang dilaksanakan dan dijangka dapat dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Tender bagi penjualan hotel berkenaan kini sedang dalam proses dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

 "Syor cadangan menjual aset pelaburan lain di London akan dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA yang akan berlangsung 20 Februari ini.

"Ada beberapa pelaburan lain yang akan diteliti, antaranya pembelian tanah di Bukit Katil, Melaka bernilai RM504 juta, Grand Borneo Hotel di Sabah (RM86 juta) dan Apartmen Perkhidmatan Grand Plaza di London (RM500 juta," katanya.

Adalah penting untuk media sosial dan akhbar online yang membuat kenyataan Shahrir kelmarin memperbetulkan segera laporan mereka jika ia tidak benar.

Dan jika laporan mengenai kenyataan Shahrir itu bukan tersalah petik atau bukan kenyataan dipesongkan,  sebaliknya LAPORAN BENAR (oleh media sosial dan akhbar online), mereka perlu mempertahankan kenyataan mereka demi mempertahankan INTEGRITI mereka agar tidak tercabar.

Malah akhbar online seperti Utusan Online dan Sinar Online jangan sampai hilang keyakinan kepercayaan pembaca atau pengikutnya kerana ‘sengaja memesongkan kenyataan Pengerusi FELDA’ mengenai kehilangan dana RM4.3 bilion itu.

Janganlah biarkan kedudukan pembaca yang semakin menurun itu diburukkan lagi dengan 'laporan salah dan kerja-kerja 'memesongkan' kenyataan seperti didakwa oleh Shahrir.

Hanya laporan yang benar dan penuh berintegriti akan dapat meyakinkan pembaca, termasuk dalam isu 'kehilangan RM4.3 bilion oleh FELDA' ini!!!!


Friday, May 18, 2012

JIKA RASA DITIPU OLEH FELDA, BAWA ANAK BINI KELUAR...

 
"Tiada sebarang paksaan kepada peneroka untuk tinggal di tanah rancangan (Felda)... sebenarnya lebih baik (mereka tinggalkan Felda) daripada mereka terus menjadi duri dalam daging bagi kelompok peneroka serta bersubahat dengan pihak tertentu untuk mengkhianati segala perjuangan dan usaha kerajaan untuk terus memajukan tanah rancangan Felda..." - Datuk Seri Ahmad Said
 
Kenapa marahkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seorang sahaja?

Bukan Ismail Sabri seorang saja yang mengeluarkan kenyataan meminta peneroka keluar dari Felda sekiranya berasa diri mereka ditipu kerajaan dan Felda.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan juga mengeluarkan kenyataan yang sama. Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said turut menyatakan perkara yang sama.


Apa, Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Malaysia (ANAK), Mazlan Aliman tidak suka mereka mengatakan demikian?

Apalah Ismail Sabri, Ahmad Said dan Azalina tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata sedemikian? Kenapa tidak boleh kata?

Mazlan kata macam-macam kat Felda tidak mengapa?

Yang pasti, gara-gara "gangguan" daripada ANAK menyebabkan kelewatan proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Malaysia.

"Gangguan" ini menyebabkan proses penyenaraian lewat kira-kira sebulan lebih.

NamunFelda tidak akan menghentikan usaha penyenaraian ini kerana kerajaan ada kaedah tertentu dan akan terus membela nasib peneroka.

Jadual penyenaraian FGVH terpaksa ditunda kepada Jun setelah Mahkamah Tinggi Kuantan pada Februari lepas membenarkan injunksi interim bagi melarang Koperasi Permodalan Felda (KPF) melupuskan ekuitinya kepada FGVH.

Bagaimanapun sekiranya injuksi itu gagal diketepikan, Felda kemungkinan besar akan membuat penyenaraian itu tanpa KPF.

Yang dikesali, jika ini berlaku, ia akan merugikan KPF. Namun, kerajaan sudah mempunyai satu formula bagi memastikan kepentingan peneroka dan petugas Felda akan dapat dibela.

Ismail Sabri kelmarin berkata, tiada guna terus tinggal di tanah rancangan Felda jika peneroka berasa kehidupan tidak pernah berubah dan masih dihimpit kemiskinan. Peneroka seperti itu, menurut Ahli Parlimen Bera itu, jika masih berada di tanah rancangan hanya akan menjadi parasit dan sentiasa meracuni pemikiran peneroka lain dengan menyebarkan pelbagai tohmahan terhadap kerajaan serta pengurusan Felda.

Kalau tidak pandai bersyukur, sila tulis surat dan keluar dari Felda supaya tempat mereka boleh diisi orang lain kerana masih ramai lagi berminat untuk menyertai Felda. Tetapi, mereka sanggup jadi duri dalam daging yang sanggup mengkhianati perjuangan peneroka dan kerajaan dalam usaha memajukan tanah rancangan,” katanya semasa berucap pada majlis Pemimpin Bersama Peneroka dan penyerahan wang durian runtuh Felda di Dewan Orang Ramai Felda Mayam, kelmarin.

Menurut Mazlan, kenyataan Ismail Sabri itu hanya mengundang kemarahan rakyat terutama dalam kalangan peneroka dan ia secara tidak langsung menunjukkan beliau bukanlah pemimpin wajar dicontohi.

Mazlan berhujah, sekiranya mana-mana pemimpin BN tidak bersetuju dengan tindakan peneroka, mereka seharusnya menegur dengan cara betul dan bukan meminta peneroka keluar dari tanah rancangan.

” Gambar diatas ialah Rahim B. Ahmad. Dia ialah Ketua PAS Cawangan Felda Bukit Ramun, Kulai, Johor. Gambar ini diambil ketika majlis penyerahan 'Durian Runtuh' Felda pada 15hb Mei...
Kata Mazlan: “Ada dalam kalangan peneroka sudah mengusahakan kebun mereka lebih 20 tahun dan mengetahui selok-belok urusan Felda. Jadi, memang wajar sekiranya mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan kerajaan dan Felda. Perkara ini seharusnya boleh dibawa berunding dan bukannya dihalau pemimpin sedemikian.”

Persoalannya, apakah peserta lain selain yang menyokong ANAK bodoh dan tidak tahu selok-belok Felda? Mereka semua DUNGU?

Pengurusan Felda yang lebih lama daripada peneroka tidak tahu selok belok pentadbiran Felda?

Mazlan baru berapa tahun ‘ambil tahu hal Felda?

Sebenarnya Mazlanlah  yang tidak rasional dan memburuk-burukkan pengurusan Felda hanya kerana mementingkan kedudukannya sebagai Penyelaras Pakatan Rakyat (PR) Parlimen Bera.

Azalina lagi keras apabila mengatakan mereka yang mengutuk kerajaan dicabar untuk keluar daripada tanah rancangan Felda kerana mereka tidak diperlukan di dalam kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Pengerang itu mendakwa, ramai lagi masyarakat di luar yang mahu menjadi warga Felda menggantikan tempat mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Saya nak cabar mereka yang mengutuk kerajaan Umno agar jangan ambil duit durian runtuh ini. Bawa anak dan isteri keluar daripada tanah rancangan Felda kerana kita tidak perlukan mereka. Ramai lagi yang mahu masuk Felda,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Duit Durian Runtuh di hadapan kira kira 800 masyarakat Felda di Dewan Felda Sening, kelmarin.

Bagi Azalina, durian runtuh dan juga durian gugur yang diumumkan Perdana Menteri diberikan bukan untuk pancing undi.

“Bukan duit rasuah seperti yang didakwa pihak tertentu, sebaliknya ia adalah duit jaminan daripada kerajaan bahawa peneroka Felda akan dapat keuntungan dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke bursa Malaysia.FGVH disenaraikan agar peneroka Felda dapat pembelaan di bawah satu payung untuk mengaut kekayaan.

Di mana dengan penyenaraian FGVH ini bakal memberikan keuntungan yang besar buat masyarakat Felda sendiri," katanya.

Pada Perjumpaan MB Bersama Warga Felda, di Jerangau kelmarin, Ahmad Said meminta peneroka yang rasa tertipu dengan kerajaan dan Felda dinasihatkan segera berundur secara terhormat dengan meninggalkan tanah rancangan diduduki kini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, jika tidak berbuat demikian mereka boleh dilabelkan ‘tidak tahu malu’. “Tiada sebarang paksaan kepada peneroka untuk tinggal di tanah rancangan ini dan jika mereka merasakan telah ditipu oleh kerajaan serta Felda, kita tiada sebarang halangan andainya golongan ini ingin keluar. Malah, ia adalah cara undur diri secara terhormat. Tindakan sedemikian juga sebenarnya lebih baik daripada mereka terus menjadi duri dalam daging bagi kelompok peneroka serta bersubahat dengan pihak tertentu untuk mengkhianati segala perjuangan dan usaha kerajaan untuk terus memajukan tanah ranca¬ngan Felda,” katanya.

Malah, kata Ahmad Said, bagus juga sekiranya kita naikkan papan tanda gergasi di kawasan Felda yang bertulis 'Felda adalah Kubu Barisan Nasional, Orang PAS Tidak Dibenarkan Masuk.

Friday, August 27, 2010

PENEROKA BERNASIB BAIK - FIRMA PEGUAM MANA SABOTAJ’ FELDA?

Kenyataan Pengerusi FELDA, Tan Sri Dr Yusof Noor bahawa kegagalan peguam FELDA untuk hadir ke Mahkamah Persekutuan menjadi penyebab organisasi itu tewas dalam kes tuntutan 354 orang peneroka FELDA Kemahang, mengundang banyak pertanyaan.

Pertama, firma peguam jenis apa yang digunakan oleh FELDA?

Kedua, apakah pentadbiran FELDA tidak alert mengenai perbicaraan itu sehingga menyebabkan pasukan peguam mereka tidak hadir? Ini membayangkan bahawa pentadbiran FELDA tidak peduli langsung mengenai tuntutan peneroka Kemahang 3 itu.

Ketiga, jika pentadbiran FELFA sudah melakukan yang terbaik tetapi peguamnya tetap tidak hadir, apakah firma atau peguam berkenaan segaja ‘sabotaj’? FELDA perlu perjelaskan soal ini kerana ia membabitkan nama baik FELDA dan juga firma peguam berkenaan.


Seramai 354 peneroka menyaman FELDA bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu telah memberikan nilai yang rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka.

Mereka menamakan FELDA, pengurus FELDA Kemahang 3 Ibrahim Ismail (yang telah meninggal dunia) dan FELDA Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.

Hakikatnya apa juga sebabnya FELDA perlu telus mengenai perkara ini. Ia membabitkan kepentingan rakyat dan imej kerajaan.

Memalukan kerana FELDA adalah ‘di bawah dagu Perdana Menteri’.

Semalam Dr Yusof berkata keputusan Mahkamah Persekutuan ini bukan disebabkan wujudnya penipuan, konspirasi dan sebagainya seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak.

"Kegagalan kes ini sebenarnya disebabkan oleh peguam yang dilantik oleh FELDA gagal hadir semasa perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kota Baharu," katanya dalam satu kenyataan akhbar. (Untuk lebih jelas mengenai perbicaraan di Kota Bharu, KLIK DI SINI).

Kerana itu, FELDA tidak dapat membela tuntutan yang dikemukakan oleh kumpulan peneroka itu sebagaimana sepatutnya dalam mana-mana tindakan sivil, katanya.

Melihat kepada kenyataan Dr Yusof bahawa FELDA sedang mengkaji dan meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap firma guaman terbabit kerana menjadi punca utama kekalahan kes ini membayangkan bahawa ia berkaitan firma guaman berkenaan.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sherif, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata FELDA tiada pilihan kecuali membayar RM11 juta ganti rugi kepada 354 peneroka sebagai bayaran bagi buah kelapa sawit.

Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan FELDA supaya mahkamah yang sama menyemak semula keputusannya pada 19 Januari lalu yang tidak membenarkan agensi itu merayu.

Alauddin menolak permohonan FELDA berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan permohonan FELDA membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka.

Panel hakim, yang turut terdiri Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak dapat membenarkan permohonan itu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya.

Mahkamah juga memerintahkan FELDA membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan FELDA membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka itu selepas peguam agensi itu gagal hadir di mahkamah semasa saman itu didengar, dan mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi-saksi mereka.

Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul. Setiap peneroka dianggarkan akan menerima RM30,000 sebagai ganti rugi.

Seramai 100 peneroka hadir di mahkamah di Putrajaya semalam.

Mereka diwakili sepasukan peguam diketuai Wan Rohimi Wan Daud manakala Felda diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Berikutan keputusan itu, FELDA telah mengarahkan peguamnya untuk melepaskan jumlah wang penghakiman bertarikh 13 Januari 2008 yang mana telah didepositkan ke dalam akaun bersama kedua-dua peguam dalam tempoh terdekat ini.

Wang penghakiman berjumlah RM11 juta itu akan dilepaskan kepada peguam peneroka untuk membolehkan mereka mengagih-agihkan wang tersebut kepada kumpulan peneroka berkenaan.

Apapun, kememangan peneroka Kemahang 3 ini dijangka tidak akan menjadi satu titik tolak kepada saman peneroka selepas ini kerana kes ini ternyata peneroka hanya bernasib baik.

Monday, August 16, 2010

FELDA SAMAN WAN AZIZAH & 5 YANG LAIN RM200j

Datuk Mohd Hafarizam Harun memfailkan saman malu RM200 juta Felda dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, petang tadi (16 Ogos 2010).

Boleh tidak boleh Felda dan anak syarikatnya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd petang tadi memfailkan saman RM200 juta terhadap enam pihak termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah dalam akhbar parti itu, Suara Keadilan, pada Jun lalu.

Peguam yang dilantik oleh akhbar berkenaan, N Surendran sebelum ini berkata Felda tidak boleh menyaman fitnah ke atas akhbar Suara Keadilan kerana agensi itu ditubuhkan dengan menggunakan dana rakyat.

"Soal yang timbul di sini adakah secara undang-undang, moral dan etika, Felda tidak boleh membawa apa-apa tindakan undang-undang kepada rakyat yang mengeluarkan kritikan ke atas Felda. Felda adalah badan berkanun yang ditubuhkan dengan menggunakan wang rakyat. Felda ditubuhkan untuk memberi bantuan dan faedah kepada rakyat. Undang-undang adalah jelas, Felda tidak boleh saman fitnah (kepada Suara Keadilan).

"Prinsip undang-undang adalah jelas, apa-apa badan yang yang ditubuhkan dengan wang rakyat dan untuk kebaikan rakyat, tidak boleh mengeluarkan saman fitnah setiap kali dikritik oleh rakyat," katanya Sabtu lalu (14 Ogos 2010)

Namun hari ini Felda dan anak syarikatnya itu mengemukakan saman dan dalam penyataan tuntutannya, Felda selaku plaintif, yang diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, mendakwa akhbar itu telah menerbitkan dua artikel itu bertarikh 22 Jun 2010 dan 29 Jun 2010 terhadap Felda.

Selain Wan Azizah, mereka yang dinamakan sebagai defendan ialah Naib Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin Ali, Pelita Koridor Sdn Bhd., Percetakan NPK Sdn Bhd., editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib dan penulis artikel itu Rusnizam Mahat.

Sabtu lalu, Surendren menasihatkan Felda agar mencari penasihat undang-undang yang bijak, membuat kajian serta tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak mempunyai asas undang-undang.

Turut hadir pada sidang media itu adalah naib presiden PKR Sivarasa Rasiah, pengerusi biro Felda PKR Suhaimi Said dan bekas timbalan menteri tanah dan koperasi Datuk Tan Kee Kwong di ibu pejabat parti itu petang ini.

Menurutnya, berdasarkan undang-undang lazim atau 'commom law' itu, yang diamalkan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, kerajaan tempatan atau badan berkanun tidak boleh membuat saman fitnah ke atas rakyat.

Mengulas lanjut, Surendren mendakwa selain badan berkanun, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri juga tidak dibenarkan menyaman rakyat.

"Jika perkara itu dibenarkan, maka hak rakyat untuk mengeluarkan kritikan terhadap kerajaan, institusi kerajaan dan badan berkanun, akan tergugat," katanya.

Mengulas dari sudut moral, Surendren berkata Felda ditubuhkan dengan menawarkan skim-skim tertentu bagi membantu peneroka, bukannnya "dipergunakan oleh segelintir orang untuk menghentam parti politik pembangkang".

"Itu bukan tujuan (penubuhan) Felda. Tujuan Felda adalah untuk membantu orang (peneroka) di luar bandar dengan skim-skim perladangan.

"Bagaimana sebuah badan berkanun, yang ditubuhkan untuk tujuan itu, menggunakan wang dan sebagainya untuk menyerang individu tertentu dan parti-parti politik. Langsung tidak masuk akal," katanya

Dalam sidang media yang sama, Suhaimi mendakwa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan pemberian duit raya sebanyak RM350 dan RM150 masing-masing kepada peneroka bersama dan tidak bersama agensi itu adalah "satu perkara lama yang telah diamalkan oleh BN".

Beliau mendakwa duit yang diberikan itu adalah asalnya duit yang dikumpulkan oleh peneroka dan ia dikembalikan kepada mereka semula.

"Seolah-olah peneroka tidak tahu, bahawa duit itu adalah duit mereka sendiri," katanya.

Sivarasa turut melontar persoalan kepada pengerusi Felda Tan Sri Yusof Nor sama ada benar atau tidak jumlah gaji dan elaun yang diterimanya adalah sebanyak hampir RM2 juta setahun.

Adakah benar atau tidak bahawa jumlah gaji, elaun, dan apa-apa bayaran yang Tan Sri Yusof dapat daripada Felda dan daripada anak-anak syarikat Felda, jumlah ini adalah hampir RM2 juta setahun. Sila beritahulah (kepada rakyat), betul atau tidak," katanya.

Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang berkata rakyat dan peneroka Felda menunggu jawapan yang akan diberikan Yusof susulan soalan yang dilontarkannya.

“Saya cuma nak tahu ya atau tidak, itu sahaja. Jadi saya menantikan jawapan daripada beliau. Ini kerana sebagai Pengerusi Felda yang mengawal anak-anak syarikat sudah tentu pendapatannya tinggi. Itu yang saya mahu tahu apakah ganjaran sebenarnya yang diperoleh beliau setiap tahun. Adakah ia ada mencecah RM2 juta,” kata Sivarasa.

Dalam samannya semalam, Felda mendakwa artikel pertama bertajuk "Felda Bangkrap" dan artikel kedua berserta gambar bertajuk "Kontroversi" dan "Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu" berunsur fitnah yang boleh menyebabkan reputasi plantif terjejas.

Felda turut mendakwa pihak defendan dengan sengaja menerbitkan artikel berunsur fitnah itu dengan tujuan untuk memusnahkan kepercayaan dan keyakinan peneroka Felda sekaligus menyebabkan kerugian yang besar kepada lembaga itu.

Selain menuntut ganti rugi RM200 juta, termasuk ganti rugi keterlaluan dan teladan, plaintif juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula perkataan fitnah secara lisan di media cetakan atau internet.

Felda juga menuntut pihak defendan memohon maaf secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar dan majalah, kos dan relif lain yang difikirkan adil dan wajar oleh mahkamah.

Selain itu, Felda juga menuntut faedah lapan peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi dari tarikh saman itu difailkan sehingga tarikh kes selesai sepenuhnya.

Saman yang difailkan melalui Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpour pada pukul 3 petang tadi itu ‘mengotakan kata-kata’ bahawa Felda tetap menolak fitnah berkenaan.

Saturday, July 3, 2010

PKR ‘BOLAYAN’ TUNTUTAN FELDA, SANGGUP KE MAHKAMAH

Apa yang Felda boleh buat jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) enggan layan tuntutan saman mereka?

Jelas sekali, PKR ‘bolayan’ dengan tuntutan berkenaan dan sanggup berdepan dengan Felda di mahkamah.

Malah, PKR gembira sekiranya isu ini dibawa ke mahkamah dengan harapan akan mendedahkan lebih banyak perkara. Itu pendapat mereka.


Naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah berkata parti itu tidak akan melayan tuntutan saman Felda sebanyak RM200 juta selain tidak akan memohon maaf kepada Felda.

Menurut Sivarasa, pihaknya bersedia ke mahkamah bagi mengemukakan segala bukti terhadap pendedahan yang dilakukan itu."Pendirian kita jelas, memang kita tidak akan layan dan kita akan jawab di mahkamah," katanya yang juga ahli parlimen Subang, di lobi Parlimen semalam. Katanya: "Kalau mereka ingin membawa kes itu ke mahkamah kita alu-alukan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan ganti rugi Felda terhadap PKR dan Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit serta Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd.

"Berhubung perkataan 'bankrap', maksud kita jelas bahawa penyelewengan berlaku sehingga menjejaskan kewangan Felda," katanya.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali pula berkata PKR bersedia ke mahkamah untuk menghadapi saman daripada Felda berhubung laporan akhbar rasmi parti itu 'Suara Keadilan' yang menyiarkan artikel bertajuk 'Felda Bankrap' yang disiarkan pada 22 hingga 29 Jun lepas.

Beliau berkata PKR bersedia berhadapan dengan tindakan mahkamah dan mendakwa akan membongkar lebih banyak maklumat mengenai keadaan sebenar Felda yang dicuba disembunyikan oleh pihak tertentu.

"Kita bersedia untuk menggunakan pentas ini (mahkamah) dan membongkar lebih banyak fakta supaya rakyat tidak ditipu.

"Saya tidak nampak logiknya peneroka Felda yang sudah bertahun ditekan tampil untuk berdemonstrasi seperti baru-baru ini melainkan mereka ditaja untuk menutup kelemahan tertentu," katanya pada sidang media Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Pakatan Rakyat di Shah Alam semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan semalam berkata jumlah gantirugi yang dituntut kerana menyebar fitnah kononnya Felda bangkrap ialah sebanyak RM200 juta.

Felda juga menuntut PKR sebagai pemilik, Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit dan Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai pencetak, membuat permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari.

Surat tuntutan berkenaan dihantar sudah dihantar hari ini.Suara Keadilan menyiarkan artikel yang menjejaskan reputasi Felda dalam terbitannya 22-29 Jun baru ini.

Ahmad Maslan memberitahu demikian dalam sidang akhbar di lobi parlimen petang kelmarin.

Katanya notis tuntutan gantirugi atas kerosakan reputasi Felda sebanyak RM200 juta bukan nilai sebenar 'harga diri' Felda yang difitnah kerana ianya sebuah organisasi tuanpunya ladang yang terbesar dan berjaya di dunia.

Ianya juga merupakan satu pengajaran dan tindakan terhadap mereka yang menggunakan kebebasan media untuk menyebar fitnah yang teruk sehingga dianggap bangkrap.

Menurut Ahmad, dua bahagian Felda iaitu bahagian melibatkan perniagaan yang mempunyai pelanggan serata dunia dan bahagian peneroka pula mempunyai jutaan orang dari pelbagai generasi.

"Kedua-dua bahagian Felda itu berpendapat jumlah itu bukan nilai sebenar kerana ianya tidak ternilai berbanding reputasi Felda yang difitnah", katanya.

Felda mempunyai kepentingan mempunyai pelaburan di luar negara seperti Indonesia, Afrika Selatan, China, Turki, Amerika Syarikat, Kanada, Pakistan, Australia, Thailand, Perancis, India dan Arab Saudi.

Manakala jumlah peneroka pula seramai 225,270 di 317 buah tanah rancangan dengan kira-kira 1.6 juta generasi baru disamping kumpulan Felda mempunyai 23,000 orang pekerja di syarikat-syarikat berkaitan dan seramai 40,000 orang pekerja kontrak ladang.

Sumber: Agendadaily & Malaysiakini