Showing posts with label Saman. Show all posts
Showing posts with label Saman. Show all posts

Friday, October 30, 2015

YANG DITUNGGU SUDAH TIBA…NAH SAMAN YANG KAU MAHU!


"Perkataan-perkataan berbau fitnah itu merupakan satu serangan kepada moral dan perwatakan plaintif dalam erti kata bahawa beliau sekarang dilabelkan sebagai seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai dan seorang yang tidak bertanggungjawab." 
- Kenyataan Tuntutan Saman PM

Nah saman yang kau mahu…

Itulah yang berlaku semalam apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman terhadap bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuat ke atasnya.

Saman itu difailkan pada 27 Oktober (Selasa) lepas melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib antara lain memohon perintah supaya Dr Ling menyiarkan kenyataan mohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan oleh plaintif (Najib).


Najib juga memohon injunksi untuk menghalang Dr Ling, atau melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.

Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


Pada 28 Oktober (Rabu), Dr Ling menganggap dirinya seorang yang penyabar tetapi hairan mengapa Perdana Menteri lambat dalam memfailkan saman terhadapnya.

"Saya masih menunggu. Saya seorang penyabar. Tidak perlu terburu-buru, saya menunggu,” katanya yang dipetik oleh The Star Online.

"Saya juga hairan mengapa beliau mengambil masa yang sebegitu lama (untuk menyaman), tetapi saya akan terus bersabar," katanya.

Dalam tuntutannya, Najib berkata Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di Kuala Lumpur, yang disiarkan dalam portal berita pada 3 Oktober 2015,  menerusi satu artikel.

Perdana menteri mendakwa bahawa defendan telah menuturkan perkataan-perkataan berbaur fitnah dengan berniat jahat supaya plaintif berada dalam kancah skandal, dipandang hina dan kebencian.

Najib berkata mengikut pengertian nyata dan biasa, perkataan-perkataan yang diterbitkan dalam artikel itu difahamkan membawa maksud, antara lain, beliau telah menggelap dana awam ke dalam akaun peribadi beliau, dan bahawa beliau telah menyalah guna dana itu untuk kepentingan peribadi, dan beliau telah menyalah guna dana itu untuk meraih kekayaan dan keuntungan untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

Najib juga berkata pengertian nyata dan biasa perkataan-perkataan yang disiarkan dalam artikel itu difahamkan bermaksud, antara lain, bahawa beliau telah menyalah guna dana kerajaan milik sebuah syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kepentingan peribadi, beliau telah menyalah guna kuasanya sebagai pemimpin sebuah parti politik dan pemimpin masyarakat, dan beliau tidak kompeten atau layak menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri Malaysia.

"Reputasi plaintif telah tercemar dengan teruk berikutan penerbitan perkataan-perkataan berbaur fitnah dan menyebabkan penghinaan kepada plaintif dalam media sosial dan media massa kerana artikel berbaur fitnah itu telah dikongsi secara meluas oleh media sosial dan pengguna media massa secara keseluruhannya," kata kenyataan tuntutan itu.

Plaintif menekankan bahawa dakwaan dalam perkataan- perkataan berbaur fitnah itu adalah sangat serius dan telah menyebabkan penghinaan terhadapnya dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia dan antarabangsa.

"Perkataan-perkataan berbau fitnah itu merupakan satu serangan kepada moral dan perwatakan plaintif dalam erti kata bahawa beliau sekarang dilabelkan sebagai seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai dan seorang yang tidak bertanggungjawab," kata kenyataan tuntutan.

Najib mendakwa bahawa perkataan-perkataan berbaur fitnah itu adalah tuduhan yang tidak berasas dan tanpa apa-apa asas atau bukti.


Sebelum ini, Najib menghantar surat tuntutan kepada bekas menteri pengangkutan itu kerana menuduh dirinya mengambil wang rakyat.

Beliau memberi Ling tempoh tujuh hari untuk menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf. Ling bagaimanapun berkata beliau bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Najib perlu berundur.

Bekas Presiden MCA itu juga enggan menarik balik kenyataan beliau atau meminta maaf dan memaklumkan beliau bersedia untuk berdepan dengan perdana menteri di mahkamah.
Tempoh tujuh hari untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf yang diberikan luput pada 12 Oktober lalu.

Sebelum ini, peguam Najib, Datuk Hafarizam Harun berkata perdana menteri akan membuat keputusan sama ada untuk mengheret Ling ke mahkamah selepas membentangkan Bajet 2016, yang dilakukan pada Jumaat lalu.

Pada 27 Oktober (Selasa) lalu, Hafarizam memberitahu wartawan bahawa Najib akan membuat keputusan dalam satu atau dua hari lagi.


Melalui tuntutannya semalam, Najib menyatakan bahawa Dr Ling, yang juga bekas menteri pengangkutan, menyedari sepenuhnya dan berhasrat supaya perkataan-perkataan berunsur fitnah itu diterbitkan, dengan mengetahui bahawa ia akan menarik pembaca media maya atau arus perdana di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

"Keseriusan dan kancah sakndal akibat penerbitan perkataan-perkataan berunsur fitnah itu telah menyebabkan kerosakan teruk yang tidak dapat diperbaiki ke atas reputasi plaintif khususnya, tetapi tidak terbatas kepada hubungan plaintif dengan masyarakat di dalam negara dan di peringkat antarabangsa," kata kenyataan tuntutan itu.

Beliau berkata surat tuntutan yang diserahkan kepada Dr Ling pada 5 Oktober lepas menuntut Dr Ling, antara lain, menghentikan dan berhenti daripada terus membuat sebarang kenyataan berunsur fitnah atau sebarang kenyataan serupa yang merujuk kepada Najib dan menyiarkan kenyataan mohon maaf secara bertulis yang lengkap dan menarik balik kenyataan berbaur fitnah.

Bagaimanapun, defendan melalui peguam Tetuan Ranjit Singh Yeoh telah menjawab dalam surat bertarikh 8 Oktober lepas dengan menyatakan beliau tidak memaklumi atau mengaku tentang apa-apa kenyataan yang terkandung dalam surat tuntutan itu dan mempunyai hak untuk mengambil atau menerima tindakan undang-undang susulan.

"Ini jelas menunjukkan bahawa defendan langsung tidak menyesali terhadap penerbitan perkataan-perkataan berbaur fitnah itu, dan ia menunjukkan sikap defendan yang sebenarnya," kata Najib.

Thursday, May 24, 2012

RETI TAKUT JUGA SI AMBIGA NIH...DAH KENA SAMAN KERAJAAN PUN!!!



"Kalau mereka nak minta tuntutan bawalah saya ke mahkamah, jangan mengganggu ketenteraman dan jiran saya," kata Datuk S. Ambiga pada sidang media di hadapan rumahnya pagi semalam.

Malah Ambiga dan ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya meminta POLIS ( saya ulangi POLIS) yang mereka KUTUK dan CACI supaya menyiasat kononnya pihak tertentu membuat kekecohan di hadapan rumah Ambiga.

Ahli-ahli Parlimen berkenaan membuat kenyataan media menyelar tindakan protes yang diadakan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di hadapan rumahnya sejak kebelakangan ini.

Antara hadir ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar.


Semalam, kerajaan telah memfailkan saman terhadap Pengerusi Bersama Bersih, Ambiga dan sembilan yang lain terhadap kerugian RM122,000 yang dikatakan ditanggung semasa Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April.

Saman tersebut mendakwa Penganjur Bersih Bersih 3.0 telah gagal untuk mengawal orang ramai dengan berkesan dan gagal untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan perhimpunan tersebut berjalan secara aman. 

Saman itu ditetapkan untuk sebutan pada 13 Jun sebelum Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Prasad Sandosham Abraham. Saman itu telah difailkan pada 15 Mei tetapi writ saman disampaikan kepada Ambiga, semalam.

Ambiga semalam meluahkan rasa lega kerana ada pihak yang tampil memberi sokongan bagi menghalang perbuatan tidak bermoral segelintir peniaga yang mahu mengadakan protes di pekarangan rumahnya di sini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan perjuangan yang membantu dari segi mental dan fizikal dalam membantah protes yang dijalankan oleh peniaga di hadapan rumah ini.

"Saya rasa pihak berwajib Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan tugas dengan baik.

"Kawalan oleh penguat kuasa DBKL dan tindakan segera yang diambil ke atas jalan yang diconteng adalah satu tugas yang baik," tambah Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam.

Tahu juga dia betapa tidak selesanya jika ada gangguan terhadap urusan peribadi di rumahnya.

Tapi bagaimana jika Ambiga menganjurkan protes Bersih 3.0 yang menyebabkan peniaga hilang mata pencarian? Tidakkah mereka ini lebih resah dan tertekan daripada apa yang dirasai Ambiga?

Kelmarin, Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur menyediakan 60 tapak pasar malam dengan menggunakan cat kuning di sepanjang lorong menghala ke rumah Ambiga - sebahagian daripada tindakan mengadakan 'Bersih 4.0' - membantah perhimpunan Bersih 3.0.

Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur bertegas mahu mengadakan pasar malam di hadapan rumah Ambiga hari ini dan esok dengan disertai 60 peniaga yang mendakwa menanggung kerugian ekoran Bersih 3.0.

Sebelum ini, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) turut menuntut kerugian Bersih 2.0 kepada Ambiga dengan mendirikan gerai burger di hadapan rumahnya.

Bekas angkatan tentera Malaysia juga telah membuat tunjuk perasaan dengan membuat senaman gelek punggung.

Malah, laporan Sinar Harian menyebut, sekumpulan ahli Parlimen Pakatan Rakyat dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meminta polis menyiasat dakwaan usaha pihak tertentu yang cuba mencetuskan kekecohan di rumah Ambiga.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa pihaknya mendapat maklumat ada pihak yang cuba mencetuskan kekecohan di rumah Ambiga hari ini.

"Kita minta polis siasat perkara itu. Pada maklumat kita, selain daripada peniaga-peniaga yang akan membuka pasar malam di sini, ada pihak lain yang akan turut serta untuk membuat kacau,” katanya kepada pemberita selepas hadir untuk menyatakan sokongan moral kepada Ambiga di rumahnya di Bukit Damansara pagi semalam.

Ketika ditanya daripada mana maklumat itu diperolehi dan siapakah pihak yang akan terlibat, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR memberitahu sumber itu daripada penduduk setempat yang bimbang akan keselamatan mereka.

 "Kita minta pihak polis siasat perkara ini dan berharap polis hadir dan mengawal keadaan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Aiii? Kutuk Polis berkilo-kilometer...tetapi akhirnya POLIS JUGAK!!!!!

Thursday, May 3, 2012

AZMIN MAHU SAMAN UTUSAN RM100j, BAGAIMANA KENYATAAN UMMI HAFIDA?


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali patut ambil tindakan undang-undang dengan menyaman pihak yang memalukannya.

Ia berhubung penyebaran gambar yang mengaitkan beliau dengan aksi panas bersama seorang wanita, baru-baru ini.

Tindakan saman oleh Azmin adalah langkah sewajarnya diambil untuk membersihkan namanya setelah dipalit kontroversi berkenaan. Azmin semalam mengaitkan Umno dalam penyebaran fitnah berkenaan untuk mengaibkan beliau dan keluarga.

Beliau dilaporkan berkata fitnah jelik ini disebarkan oleh media yang dikuasai Umno yang memetik sumber blog pro Umno,fitnah itu memaparkan seorang lelaki yang mereka tohmah sebagai beliau bersama seorang wanita dalam tandas.

Bercakap kepada media di Kuala Terengganu, selepas program Bicara Negarawan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tajuk 'Cabaran Umat Islam Masa Kini : Persepsi dan Realiti' anjuran kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Institut Pengajian Strategik dan Integriti Terengganu hari ini, Dr Mahathir berkata: "Dia boleh nafi itu bukan dia. Saya harap dia bawa orang itu ke mahkamahlah. Kena saman malu, RM100 juta ke... RM500 juta ke...buat macam tu (penyebaran gambar) nak bagi malu Azmin saja, jadi dia patut bawa ke mahkamah." .

Menyahut cabaran, Azmin Ali  akan menyaman Utusan Malaysia RM100 juta kerana menyiarkan laporan klip video seks yang menggambarkan kononnya si lelaki adalah beliau. Kelmarin, Azmin menafikan beliau lelaki yang dirujuk dalam laporan dan gambar-gambar yang mengiringnya.

Kenapa Utusan Malaysia sahaja, akhbar lain? Bagaimana dengan adiknya Ummi Hafilda semalam yang mengatakan beliau yakin sehingga tahap 99.9 peratus bahawa gambar lelaki terbabit dalam skandal seks yang tersiar dalam akhbar dan laman blog adalah imej abang kandungnya itu. 

Malah Ummi Hafilda  mencabar Azmin membuat laporan polis untuk menafikan gambar yang tersiar di akhbar dan beberapa laman blog tempatan adalah bukan dirinya.

Ummi Hafilda juga mendesak Azmin mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar dan blog terbabit bagi membersihkan nama baik keluarga mereka dalam tempoh tujuh hari.

Azmin diberikan amaran, jika tidak berusaha untuk membersihkan namanya, beliau sendiri akan membuat laporan polis bagi mengetahui perkara sebenarnya dan jika

Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata, dakwaan dan gambar-gambar yang digunakan adalah rekaan semata-mata, bermotifkan politik dan tahap kewartawanan yang sangat menjijikkan.

 "Hari ini, Azmin menerusi peguamnya Edwin Lim Suren & Soh mengeluarkan tuntutan kepada Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang memiliki Utusan Malaysia dan editor agar menarik balik dakwaan-dakwaan itu dan membuat permohonan maaf di muka depan Utusan Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Melihat kepada keseriusan dakwaan dan edaran akhbar di peringkat nasional, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menuntut ganti rugi RM100 juta.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican juga mahu Azmin membuktikan bahawa gambar lelaki dalam aksi panas dengan seorang wanita yang tersiar dalam akhbar dan beberapa laman blog bukan dirinya.

Reezal berkata Anggota Parlimen Gombak itu perlu tampil membuktikan bahawa gambar itu bukan beliau dan bukan hanya menafikannya sahaja.

 "Bukan penafian yang orang mahu tahu sebaliknya beliau (Azmin) perlu tampil buktikan bahawa gambar lelaki itu bukan dia dan jangan hanya mahu tuduh kita (Umno) yang sebarkan gambar berkenaan.

Ini bukan agenda kita (penyebaran gambar Azmin) kerana Pemuda Umno lebih fokus untuk mendekati golongan muda dan membantu rakyat, kita tidak ada masa untuk sebar gambar beliau," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pemimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kawasan Parlimen Kepala Batas.

Reezal yang juga Ketua Pemuda Umno Kepala Batas berkata beliau tidak menolak kemungkinan penyebaran gambar berkenaan itu dibuat oleh 'orang rapat Azmin' yang tidak suka dengannya.

Monday, March 26, 2012

NALLA AKAN DEDAHKAN SEMUA SKANDAL SEKS ANWAR DI MAHKAMAH!

Datuk S.Nallakaruppun mungkin orang paling gembira hari ini.

Beliau pastinya tidak sabar-sabar untuk ke mahkamah dan bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Untuk dedahkan semua skandal seks Anwar yang beliau ketahui!


Maka sekali lagilah Datuk Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya akan pening kepala. Tidak akan ada penadol terbaik untuk menghilangkan ‘fening’ ini.

Bagi Nalla yang mahukan berdepan dengan Ketua Pembangkang itu‘satu lawan satu’ dan secara bertentang mata akan dapat melakukannyan di mahkamah nanti.

Bagi Nalla yang juga Ahli Dewan Negara beliau konsisten mendakwa ketua pembangkang tersebut adalah biseksual.

Malah beliau mendapat sokongan moral daripada bekas 'rakan' Anwar dan bekas orang kepercayaan Anwar seperti Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor; bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari serta bekas saksi kes liwat membabitkan Anwar pada 1998, Ummi Hafilda Ali.

Mingguan Malaysia semalam menyiarkan Nalla secara terbuka mencabar Anwar supaya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya seawal minggu ini bagi membolehkan segala bukti yang menyokong dakwaan biseksual itu dapat didedahkan di mahkamah.

Bagi Nalla, beliau sangat gembira jika Anwar berani menyahut cabarannya itu “Saya mendapat notis daripada N. Surendran (peguam Anwar) mengarah berhenti bercakap mengenainya dan memohon maaf dalam masa 48 jam tetapi saya tidak akan endah notis ini. Saya akan terus bercakap mengenai Anwar sehingga beliau membawa saya ke mahkamah. Saya gembira jika Anwar boleh membawa saya ke mahkamah minggu depan, saya mahu jumpa dengannya di mahkamah dan saya akan dedah segala bukti yang menyokong dakwaan bahawa beliau seorang biseksual,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.



Mohamad Ezam, Anuar dan Ummi Hafilda sepakat mencabar Anwar menyaman mereka sebagaimana tindakan yang mahu diambil ke atas Nallakaruppan kerana mereka juga yakin dan percaya, ketua pembangkang seorang biseksual.

Malah bagi Nalla, dengan bertemu Anwar di mahkamah, beliau akan dapat menceritakan segala-galanya.

Soal jumlah saman tidak penting tetapi ‘pertemuan Anwar dan Nalla di mahkamah’ yang penting. Setidak-tidaknya beberapa isu yang disebut Nalla mungkin akan ‘menceriakan’ perbicaraan sama itu nanti.

Ini termasuklah apa yang dikatakan Nalla: Anwar pengamal biseksual dan dengan siapa bekas Timbalan Presiden UMNO itu melakukannya?

1. Dengan siapa Anwar melakukan ‘liwat’?
2. Dengan siapa Anwar melakukan seks dengan wanita?
3. Dengan siapa Anwar melakukan seks dengan isteri orang?

Selainn itu, banyak pesoalan lain akan turut terburai apabila kes ini mula disebut di mahkamah. Nalla pastinya akan mempertahankan diri sambil mendedahkan ‘keburukan’ Anwar itu.

Anwar hari ini memfailkan saman fitnah RM100 juta, terhadap Nalla dan Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) atas dakwaan mengaitkan beliau dengan aktiviti biseksual. Anwar memfailkan saman itu melalui firma guaman Tetuan Daim & Gamany di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini. Anwar selaku plaintif, menamakan Nallakaruppan, UMMB dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak masing-masing selaku defendan pertama hingga ketiga.

Saman itu berhubung artikel yang disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertajuk: “Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang - Nalla” bertarikh 20 Mac lalu.

Bagi Nalla, antara bukti yang mahu didedahkan di mahkamah adalah buku log yang tercatat aktiviti songsang Anwar.

Wednesday, January 11, 2012

PERSAINGAN KEWARTAWANAN KERANA KEPENTINGAN DIRI?

Pandai-pandailah kau menyelamatkan diri Rocky Bru (Datuk Ahirudin Attan).

Hmm...masa 1980an dan awal 1990an mereka adalah kawan dan rakan wartawan yang agak rapat.

Namun apabila msasing-masing sudah bersikap ‘mementingkan tuan’ yang melantik mereka, antara mereka menjadi musuh musuh.

Sedangkan tuan mereka adalah kepimpinan tinggi negara, umpamanya ketika Rocky ‘berpengaruh’ di Kumpulan The New Straits Times pada era Datuk Kadir Jasin dan Datuk Ahmad Talib ialah waktu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dan kumpulan Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan serta rakan-rakannya seperti Datuk Hishamuddin Aun berpengaruh pula ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Apakah pertelingkahan di kalangan 'orang besar kewartawanan' di negara ini diakibatkan profesion, persaingan jurnalisme atau kepentingan diri?

Sepatutnya dunia kewartawanan yang diceburi mereka yang menggelarkan diri sebagai profesional tidak ada kes ‘saman menyaman’ seperti ini.

Kini blogger Rocky Bru yang juga bekas penasihat editorial The Malay Mail, diberi tempoh dua minggu untuk melantik peguam mewakilinya dalam kes saman oleh empat bekas pengurusan tinggi New Straits Times Press (Malaysia) Bhd ke atasnya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Asmabi Mohamad telah menetapkan 25 Januari ini untuk mendengar pengurusan kes ini.

Peguam Rishwant Singh bertindak bagi pihak plaintif manakala Ahirudin hadir mewakili dirinya sendiri.

Rishwant menjelaskan bahawa NSTP kini tidak lagi menjadi sebahagian daripada pihak plaintif dalam kes ini.

“NSTP telah menarik diri daripada menjadi sebahagian daripada plaintif sebaliknya hanya empat individu sahaja yang masih kekal sebagai plantif dalam saman mereka ke atas defendan," kata Rishwant.

Dalam saman yang difailkan pada 2007, Timbalan Pengerusi NSTP ketika itu, Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan, Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Syed Faisal Syed Albar dan Pengarang Kumpulan the New Straits Times, Brenden John Pereira (kesemuanya kini bekas) bertindak sebagai plaintif.

Mereka mendakwa, antara 8 Jun 2006 hingga 2 Disember 2006, Ahirudin telah memuatnaikkan pelbagai tampalan yang mencemar nama baik mereka di dalam blog yang bernama Rocky’s Bru.

Mereka menyenaraikan 38 tampalan yang bersifat memfitnah oleh Ahirudin terhadap Kalimullah, 21 tampalan berbaur fitnah ke atas Hishamuddin, sembilan tambalan yang sama mengenai Syed Faisal dan 30 tampalan berbaur fitnah ke atas Pereira.

Keempat-empat plantif itu berkata, kesemua tampalan yang dibuat oleh Ahirudin di dalam laman blognya itu secara jelas dan berpaten mengandungi unsur-unsur yang konsisten dan berterusan untuk memfitnah dan menjejaskan reputasi dan nama baik mereka.

Mereka mempertahankan bahawa kesemua artikel yang ditampal oleh Ahirudin di dalam laman blognya itu adalah tidak benar belaka malah berniat jahat sekaligus mengundang kunjungan ramai pembaca ke laman blog berkenaan.

Saturday, December 10, 2011

MSO KENA SAMAN LAGI...KALI INI DARIPADA ZAID IBRAHIM

Belum habis dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, kini penulis Mohd Sayuti Omar (MSO), berdepan pula dengan saman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid memfailkan saman fitnah berjumlah RM30 juta terhadap MSO, pengarang dan penerbit akhbar Buletin Rakyat berhubung penerbitan satu artikel.

Zaid, yang kini Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), memfailkan saman itu menerusi Tetuan Bashir & Co pada 21 Nov lalu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Beliau menamakan penulis artikel, Mohd Sayuti Omar, pengarang akhbar, Norzah Kepol dan penerbit yang juga pemilik akhbar itu, Kantung Network Sdn Bhd, sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutannya, Zaid mendakwa penerbitan artikel bertajuk "Zaid Terus Hanyut Dalam Keegoannya" memfitnah dan membawa maksud bahawa beliau memiliki moral politik yang rendah, seorang yang ego, bersikap autokratik, menggunakan kekayaan untuk memaksa orang tunduk kepadanya dan tidak memiliki ketinggian budi pekerti.

Zaid menuntut satu perintah menghalang kesemua defendan daripada menerbitkan kata-kata fitnah berkenaan di dalam akhbar dan internet, satu perintah supaya defendan mengambil langkah menarik balik atau memadamkan kata-kata fitnah itu dan defendan perlu menerbitkan atau menyiarkan permohonan maaf di akhbar itu secara berterusan selama dua bulan atau tempoh yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Beliau turut menuntut ganti rugi am RM10 juta daripada setiap defendan, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Selain itu, pada tarikh sama Zaid turut memfailkan satu injunksi untuk menghalang ketiga-tiga defendan daripada menerbitkan kata-kata fitnah tersebut dan memohon perintah interim supaya defendan mengambil langkah menarik balik atau memadam kata-kata berkenaan yang terdapat di akhbar dan internet dengan serta-merta.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd Yusof, semalam yang mendengar kes itu di dalam kamar menetapkan 14 Disember untuk pengurusan kes.mendengar kes itu di dalam kamar menetapkan 14 Disember untuk pengurusan kes.

Wednesday, October 12, 2011

SI JELITA, CIK GU MALA SUDAH TIDAK BOLEH TAHAN...


Ini cerita gempar hari ini.

Cik gu Mala (Normala Sudirman), Muslimat PAS dari Segamat yang jelita itu sudah tak tahan...

Dengan siapa?

Dengan KFC? Bukan-bukan, itu biasa dah dan selalu menjilat jari.

Cik gu Mala geram dengan yang lain. Memang mereka berdua ini lain daripada yang lain.

Ini berita gempar kerana menurut blogger Badut Rakyat, Cik gu Mala, bekas calon PAS Tenang (N 05) itu tidak tahan dengan Papa Gomo dan GAP.

Bersiap-siap kau Papa Gomo dan GAP. Hmmmmm....

Apa halnya sampai kepingin sekali Cik gu Mala yang jelita terhadap mereka berdua ini.

Baca seterusnya di sini kenapa Cik gu Mala geram dan tidak boleh tahan!

Wednesday, September 21, 2011

KICKDEFELLA MENENTANG HUSAM YANG HIPOKRIT & PENIPU?

"Hipokrasi Husam juga amat ketara dan sepanjang tempoh perkhidmatan apabila berapa kali diajak oleh beliau ke premis-premis yang tidak sesuai untuk beliau kunjungi sebagai pimpinan sebuah parti Islam. Malah lebih daripada itu terpaksa menyaksikan gelagat-gelagat beliau di tempat awam yang tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin tinggi sebuah parti Islam..." - Syed Azidi Syed Abdul Aziz

Sebelum ini Mohd Sayuti Omar (MSO) yang begitu rapat dengan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ‘melarikan diri’ daripada beliau.

Antara pendedahan yang menarik dibuat MSO mengenai Husam ialah projek Jamnapari yang lingkup serta Husam membiayai dengan mewah isteri keduanya berbangsa Cina di Kuala Lumpur.

Kini giliran Syed Azidi Bin Syed Abdul Aziz atau Kickdefella pula ‘melarikan diri’ dari Husam.

Beza antara kedua-dua mereka – MSM dan Kickdefella – tidak banyak. Sama-sama pernah 'berkhidmat' dengan Husam, memuji Husam pada mulanya akhirnya terpaksa berpisah.

MSO lebih hebat. Husam bagai kawan dan rakan!

Namun saya tidak tahu sama ada Husam dan MSO sudah ‘bercium molot’ atau sebaliknya.
Kickdefella berkata beliau berkhidmat hampir tiga tahun dibawah Husam dan menulis lebih 100 artikel berhubung beliau.

Berbanding dengan MSO yang menerbitkan pelbagai artikel mengenai ‘kelemahan’ dan ‘keburukan’ Husam, Kickdefella menerima saman tetapi MSO sehingga kini tidak kena apa-apa tindakan Husam.

Husam Musa memfailkan saman fitnah RM5 juta terhadap blogger Kickdefella berhubung penyiaran tiga artikel didakwa memfitnah Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu. Writ saman terhadap Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz, 41, itu difailkan peguam Hisham Fauzi dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi, di Kota Bharu pada jam 2.30 petang, kelmarin.

Di dalam writ saman itu, Husam selaku plaintif menuntut Syed Azizi selaku defendan membayar ganti rugi RM5 juta bagi perbuatan fitnah yang disiarkan di blognya. Defendan juga dituntut memohon maaf secara bertulis kepada plaintif yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan itu tanpa syarat dan diiklankan di akhbar.

Menghairankan Husam hanya menyaman Kickdefella terhadap 3 artikel daripada 100 artikel dan pertanyaan Kickdefella ialah pakah ini bermakna pemimpin penting Kelantan itu bersetuju bahawa lebihan artikel yang ditulis oleh beliau tentang Husam adalah betul.

Apakah ini bermakna Husam bersetuju bahawa pengakuan Kickdefella menerima wang pampasan bernilai RM350,000 dan wang berjumlah lebih RM4 juta untuk pilihanraya umum 2008 adalah betul?

Kerana itu bagi Kickdefella, Husam adalah seorang yang hipokrit dan penipu berlandaskan pengalaman saya dan fakta-fakta serta bukti yang terkumpul sepanjang perkhidmatan dengannya.

Apa yang Husam suruh Kickdefella selama bertugas dengan beliau?

1. Menulis dan menggunakan kreativiti untuk memburuk-burukan musuh politik beliau termasuklah yang berada di dalam parti politik yang sama dengan beliau;

2. Menyakinkan Kickdefalla tanpa mengemukakan bukti bahawa terdapat korupsi di kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kelantan dan pimpinan tertinggi partinya ketika itu;

3. Menegur terhadap tulisan yang mempunyai kepentingan awam tetapi mengkritik rakan politik beliau seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


Kata Kickdefella, hipokrasi Husam juga amat ketara dan sepanjang tempoh perkhidmatan apabila berapa kali diajak oleh beliau ke premis-premis yang tidak sesuai untuk beliau kunjungi sebagai pimpinan sebuah parti Islam. Malah lebih daripada itu Kickdefella terpaksa menyaksikan gelagat-gelagat beliau di tempat awam yang tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin tinggi sebuah parti Islam.

Kickdefella percaya kes ini turut akan membawa banyak faedah kepada orang awam dan rakyat Negeri Kelantan khasnya dan kerana itu mengalu-alukan bantuan guaman daripada pengamal-pengamal perundangan bagi membantu beliau mempertahankan hak dan kepentingan awam ini.

Malah beliau merayu kepada rakyat Negeri Kelantan yang rindukan perubahan untuk bersama-sama dengan beliau di dalam kes saman ini bukan untuk kemenangan dirinya tetapi untuk perubahan kepada Negeri Kelantan yang tercinta.

Menarik sekali apa yang diperkatakan Kickdefella dan sama-samalah kita menyokong demi perubahan untuk kebaikan di Kelantan!

Saya juga akan mengulas mengenai Husam selepas ini.

Apapun, baca dulu kenyataan rasmi Kickdefalla berhubung dakwaan saman oleh Husam untuk mengetahui kenapa blogger ini sanggup berdepan dengan bekas bosnya.

Friday, August 19, 2011

ANGKUHNYA KETUA MENTERI CINA INI…

“Sebagai parti politik yang mewakili orang Melayu dan Islam, kita mahu Lim (Guan Eng) memberi bukti dakwaannya itu atau jika tidak mempunyai bukti, beliau harus menarik balik kenyataannya atau kita akan ambil tindakan undang-undang kerana cuba menghasut dan mencetus isu perkauman.” - Datuk Zainal Abidin Osman

Mungkin Ramadan ini bulan UMNO dicabar dan pemimpinnya diminta beristifar untuk menilai di mana kedudukan dan hala tuju perjuangannya.

Beberapa hari ini, UMNO Selangor mahu saman PAS, UMNO Pulau Pinang mahu saman pemimpin DAP.

Jika di Selangor, UMNO berang dengan isu mengkristiankan orang Islam yang dikaitkan dengan 'tangan ghaib UMNO', di Pulau Pinang, Ketua Menteri Pulau Pinang menaikkan kemarahan pemimpin Melayu dan Islam Pulau Mutiara itu yang dikatakan cuba mengaitkan isu perkauman ekoran insiden simbahan cat di ibu pejabat DAP, Ahad lalu.

Pada ketika Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ‘buat tidak layan’ amaran UMNO Selangor, Lim Guan Eng dengan angkuh mencabar Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman agar tidak perlu menunggu sehingga tujuh hari untuk menyaman beliau.

Malah beliau mencabar Zainal boleh berbuat demikian sekarang jika mahu. Zainal Abidin berkata semalam, kenyataan Guan Eng memberi gambaran seolah-olah perbuatan simbah cat itu dilakukan oleh orang Islam.

“Sebagai Ketua Menteri, beliau tidak sepatutnya bercakap sembarangan tanpa bukti, apatah lagi cuba mengaitkan sesuatu kejadian jenayah dengan isu sensitif agama,” katanya.

Guan Eng sebelum ini dipetik berkata, simbahan cat di ibu pejabat DAP mungkin berkaitan dengan tindakan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang yang membuat larangan terhadap masjid atau surau di negeri ini menggunakan pembesar suara untuk bacaan al-Quran sebelum subuh.

Pemimpin DAP itu jelas sengaja bermain api. Dengan mengaitkan isu simbah cat dengan larangan pembesar suara untuk azan pada waktu subuh adalah prejudis amat besar terhadap umat Islam, khususnya di negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan Zainal Abidin dilaporkan berbalas mesej menerusi Twitter petang ini mengenai tindakan saman berhubung kenyataan Lim.

Dengan angkuh Guang Eng berkata: “Tak payah tunggu tujuh hari. Saman sekarang. Kamu belit. Buktikan apa saya cakap,” dalam mesej diposkan sekitar 7 petang tadi.

Kira-kira dua jam sebelum itu, Zainal Abidin dalam mesej kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata: “Saya beri notis tujuh hari kepada Lim Guan Eng, beri bukti, sebelum saya bawa ke mahkamah.”

Khairy berkata beliau berharap Umno Pulau Pinang akan menyaman Lim kerana menuduh membakar ibu pejabat DAP di George Town.

Ahad lepas, pejabat DAP di Jalan Talipon di George Town dan pusat perkhidmatan Setiausaha Politik Lim, Ng Wei Aik, di Lorong Seratus Tahun disimbah dengan cat.

Awal pagi semalam pula sebuah papan tanda dan pintu utama pejabat DAP Pulau Pinang itu mengalami kerosakan teruk akibat satu kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaacob hari ini sudah memberi jaminan polis akan menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat insiden cubaan membakar ibu pejabat DAP Pulau Pinang itu.

Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang semalam menggesa Lim menarik balik kenyataannya yang didakwa cuba mengaitkan isu perkauman dengan insiden simbahan cat di ibu pejabat DAP.

Kerana itu Zainal Abidin dengan tegas menyebut: “Sebagai parti politik yang mewakili orang Melayu dan Islam, kita mahu Lim memberi bukti dakwaannya itu atau jika tidak mempunyai bukti, beliau harus menarik balik kenyataannya atau kita akan ambil tindakan undang-undang kerana cuba menghasut dan mencetus isu perkauman.

Tiba masanya UMNO jangan hanya memberi amaran atau 'membuat ugutan' tetapi menyaman mereka yang sengaja memburuk-burukkan UMNO untuk meyakinkan rakyat bahawa ia parti bermaruah dan memang berjuang menegakkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Monday, August 16, 2010

FELDA SAMAN WAN AZIZAH & 5 YANG LAIN RM200j

Datuk Mohd Hafarizam Harun memfailkan saman malu RM200 juta Felda dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, petang tadi (16 Ogos 2010).

Boleh tidak boleh Felda dan anak syarikatnya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd petang tadi memfailkan saman RM200 juta terhadap enam pihak termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah dalam akhbar parti itu, Suara Keadilan, pada Jun lalu.

Peguam yang dilantik oleh akhbar berkenaan, N Surendran sebelum ini berkata Felda tidak boleh menyaman fitnah ke atas akhbar Suara Keadilan kerana agensi itu ditubuhkan dengan menggunakan dana rakyat.

"Soal yang timbul di sini adakah secara undang-undang, moral dan etika, Felda tidak boleh membawa apa-apa tindakan undang-undang kepada rakyat yang mengeluarkan kritikan ke atas Felda. Felda adalah badan berkanun yang ditubuhkan dengan menggunakan wang rakyat. Felda ditubuhkan untuk memberi bantuan dan faedah kepada rakyat. Undang-undang adalah jelas, Felda tidak boleh saman fitnah (kepada Suara Keadilan).

"Prinsip undang-undang adalah jelas, apa-apa badan yang yang ditubuhkan dengan wang rakyat dan untuk kebaikan rakyat, tidak boleh mengeluarkan saman fitnah setiap kali dikritik oleh rakyat," katanya Sabtu lalu (14 Ogos 2010)

Namun hari ini Felda dan anak syarikatnya itu mengemukakan saman dan dalam penyataan tuntutannya, Felda selaku plaintif, yang diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, mendakwa akhbar itu telah menerbitkan dua artikel itu bertarikh 22 Jun 2010 dan 29 Jun 2010 terhadap Felda.

Selain Wan Azizah, mereka yang dinamakan sebagai defendan ialah Naib Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin Ali, Pelita Koridor Sdn Bhd., Percetakan NPK Sdn Bhd., editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib dan penulis artikel itu Rusnizam Mahat.

Sabtu lalu, Surendren menasihatkan Felda agar mencari penasihat undang-undang yang bijak, membuat kajian serta tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak mempunyai asas undang-undang.

Turut hadir pada sidang media itu adalah naib presiden PKR Sivarasa Rasiah, pengerusi biro Felda PKR Suhaimi Said dan bekas timbalan menteri tanah dan koperasi Datuk Tan Kee Kwong di ibu pejabat parti itu petang ini.

Menurutnya, berdasarkan undang-undang lazim atau 'commom law' itu, yang diamalkan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, kerajaan tempatan atau badan berkanun tidak boleh membuat saman fitnah ke atas rakyat.

Mengulas lanjut, Surendren mendakwa selain badan berkanun, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri juga tidak dibenarkan menyaman rakyat.

"Jika perkara itu dibenarkan, maka hak rakyat untuk mengeluarkan kritikan terhadap kerajaan, institusi kerajaan dan badan berkanun, akan tergugat," katanya.

Mengulas dari sudut moral, Surendren berkata Felda ditubuhkan dengan menawarkan skim-skim tertentu bagi membantu peneroka, bukannnya "dipergunakan oleh segelintir orang untuk menghentam parti politik pembangkang".

"Itu bukan tujuan (penubuhan) Felda. Tujuan Felda adalah untuk membantu orang (peneroka) di luar bandar dengan skim-skim perladangan.

"Bagaimana sebuah badan berkanun, yang ditubuhkan untuk tujuan itu, menggunakan wang dan sebagainya untuk menyerang individu tertentu dan parti-parti politik. Langsung tidak masuk akal," katanya

Dalam sidang media yang sama, Suhaimi mendakwa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan pemberian duit raya sebanyak RM350 dan RM150 masing-masing kepada peneroka bersama dan tidak bersama agensi itu adalah "satu perkara lama yang telah diamalkan oleh BN".

Beliau mendakwa duit yang diberikan itu adalah asalnya duit yang dikumpulkan oleh peneroka dan ia dikembalikan kepada mereka semula.

"Seolah-olah peneroka tidak tahu, bahawa duit itu adalah duit mereka sendiri," katanya.

Sivarasa turut melontar persoalan kepada pengerusi Felda Tan Sri Yusof Nor sama ada benar atau tidak jumlah gaji dan elaun yang diterimanya adalah sebanyak hampir RM2 juta setahun.

Adakah benar atau tidak bahawa jumlah gaji, elaun, dan apa-apa bayaran yang Tan Sri Yusof dapat daripada Felda dan daripada anak-anak syarikat Felda, jumlah ini adalah hampir RM2 juta setahun. Sila beritahulah (kepada rakyat), betul atau tidak," katanya.

Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang berkata rakyat dan peneroka Felda menunggu jawapan yang akan diberikan Yusof susulan soalan yang dilontarkannya.

“Saya cuma nak tahu ya atau tidak, itu sahaja. Jadi saya menantikan jawapan daripada beliau. Ini kerana sebagai Pengerusi Felda yang mengawal anak-anak syarikat sudah tentu pendapatannya tinggi. Itu yang saya mahu tahu apakah ganjaran sebenarnya yang diperoleh beliau setiap tahun. Adakah ia ada mencecah RM2 juta,” kata Sivarasa.

Dalam samannya semalam, Felda mendakwa artikel pertama bertajuk "Felda Bangkrap" dan artikel kedua berserta gambar bertajuk "Kontroversi" dan "Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu" berunsur fitnah yang boleh menyebabkan reputasi plantif terjejas.

Felda turut mendakwa pihak defendan dengan sengaja menerbitkan artikel berunsur fitnah itu dengan tujuan untuk memusnahkan kepercayaan dan keyakinan peneroka Felda sekaligus menyebabkan kerugian yang besar kepada lembaga itu.

Selain menuntut ganti rugi RM200 juta, termasuk ganti rugi keterlaluan dan teladan, plaintif juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula perkataan fitnah secara lisan di media cetakan atau internet.

Felda juga menuntut pihak defendan memohon maaf secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar dan majalah, kos dan relif lain yang difikirkan adil dan wajar oleh mahkamah.

Selain itu, Felda juga menuntut faedah lapan peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi dari tarikh saman itu difailkan sehingga tarikh kes selesai sepenuhnya.

Saman yang difailkan melalui Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpour pada pukul 3 petang tadi itu ‘mengotakan kata-kata’ bahawa Felda tetap menolak fitnah berkenaan.

Saturday, July 3, 2010

PKR ‘BOLAYAN’ TUNTUTAN FELDA, SANGGUP KE MAHKAMAH

Apa yang Felda boleh buat jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) enggan layan tuntutan saman mereka?

Jelas sekali, PKR ‘bolayan’ dengan tuntutan berkenaan dan sanggup berdepan dengan Felda di mahkamah.

Malah, PKR gembira sekiranya isu ini dibawa ke mahkamah dengan harapan akan mendedahkan lebih banyak perkara. Itu pendapat mereka.


Naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah berkata parti itu tidak akan melayan tuntutan saman Felda sebanyak RM200 juta selain tidak akan memohon maaf kepada Felda.

Menurut Sivarasa, pihaknya bersedia ke mahkamah bagi mengemukakan segala bukti terhadap pendedahan yang dilakukan itu."Pendirian kita jelas, memang kita tidak akan layan dan kita akan jawab di mahkamah," katanya yang juga ahli parlimen Subang, di lobi Parlimen semalam. Katanya: "Kalau mereka ingin membawa kes itu ke mahkamah kita alu-alukan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan ganti rugi Felda terhadap PKR dan Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit serta Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd.

"Berhubung perkataan 'bankrap', maksud kita jelas bahawa penyelewengan berlaku sehingga menjejaskan kewangan Felda," katanya.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali pula berkata PKR bersedia ke mahkamah untuk menghadapi saman daripada Felda berhubung laporan akhbar rasmi parti itu 'Suara Keadilan' yang menyiarkan artikel bertajuk 'Felda Bankrap' yang disiarkan pada 22 hingga 29 Jun lepas.

Beliau berkata PKR bersedia berhadapan dengan tindakan mahkamah dan mendakwa akan membongkar lebih banyak maklumat mengenai keadaan sebenar Felda yang dicuba disembunyikan oleh pihak tertentu.

"Kita bersedia untuk menggunakan pentas ini (mahkamah) dan membongkar lebih banyak fakta supaya rakyat tidak ditipu.

"Saya tidak nampak logiknya peneroka Felda yang sudah bertahun ditekan tampil untuk berdemonstrasi seperti baru-baru ini melainkan mereka ditaja untuk menutup kelemahan tertentu," katanya pada sidang media Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Pakatan Rakyat di Shah Alam semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan semalam berkata jumlah gantirugi yang dituntut kerana menyebar fitnah kononnya Felda bangkrap ialah sebanyak RM200 juta.

Felda juga menuntut PKR sebagai pemilik, Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit dan Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai pencetak, membuat permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari.

Surat tuntutan berkenaan dihantar sudah dihantar hari ini.Suara Keadilan menyiarkan artikel yang menjejaskan reputasi Felda dalam terbitannya 22-29 Jun baru ini.

Ahmad Maslan memberitahu demikian dalam sidang akhbar di lobi parlimen petang kelmarin.

Katanya notis tuntutan gantirugi atas kerosakan reputasi Felda sebanyak RM200 juta bukan nilai sebenar 'harga diri' Felda yang difitnah kerana ianya sebuah organisasi tuanpunya ladang yang terbesar dan berjaya di dunia.

Ianya juga merupakan satu pengajaran dan tindakan terhadap mereka yang menggunakan kebebasan media untuk menyebar fitnah yang teruk sehingga dianggap bangkrap.

Menurut Ahmad, dua bahagian Felda iaitu bahagian melibatkan perniagaan yang mempunyai pelanggan serata dunia dan bahagian peneroka pula mempunyai jutaan orang dari pelbagai generasi.

"Kedua-dua bahagian Felda itu berpendapat jumlah itu bukan nilai sebenar kerana ianya tidak ternilai berbanding reputasi Felda yang difitnah", katanya.

Felda mempunyai kepentingan mempunyai pelaburan di luar negara seperti Indonesia, Afrika Selatan, China, Turki, Amerika Syarikat, Kanada, Pakistan, Australia, Thailand, Perancis, India dan Arab Saudi.

Manakala jumlah peneroka pula seramai 225,270 di 317 buah tanah rancangan dengan kira-kira 1.6 juta generasi baru disamping kumpulan Felda mempunyai 23,000 orang pekerja di syarikat-syarikat berkaitan dan seramai 40,000 orang pekerja kontrak ladang.

Sumber: Agendadaily & Malaysiakini

Wednesday, May 27, 2009

NILAI ‘TUDUHAN’ ANIFAH RM100 JUTA

Anwar saman Anifah RM100 juta. Banyak tu!
Ada duit ke Anifah nak bayar kalau kalah di mahkamah.

Kalaupun keluarga Anifah dan Anifah sendiri mungkin kaya, apakah tuntutan itu berbaloi?
Persoalannya tidak betul ke apa yang didakwa oleh Menteri Luar Datuk Anifah Aman terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari?

Yang pasti, Anwar marah dengan kenyataan Anifah pada 16 Mei lepas di Jabatan Negara di Washington semasa sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton bahawa - Anwar ada menawarkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri kepadanya sekiranya pembangkang menubuhkan kerajaan pada 16 September tahun lepas.
Anwar menganggap Anifah ‘berjaya’ mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu.Dalam isu seperti ‘mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu’, apakah Anwar tidak pernah buat kepada orang lain?

Tidakkah Anwar pernah melakukan perkara yang sama kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Najib Razak?

Hairannya mereka ini tidakpun membuat tindakan yang sama.
Persoalannya sekarang, siapa lagi yang tahu mengenai tuduhan Anifah itu?

Mungkin kalau ada yang tahu pun cuba menyembunyikannya. Yang pasti antara kedua-duanya sahajalah yang tahu kes ini.

Jadi, Anifah kenalah jawab di mahkamah dan Anwar pula kena buktikannya.
Kalau tidak ada bukti, susah juga Anwar mahu menafikan beliau tidak melakukan perkara itu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu dilaporkan hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Anifah bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung kenyataan menteri itu pada satu sidang akhbar di Washington baru-baru ini.

Writ saman itu difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 2.10 petang oleh firma guaman Messrs S.N.Nair & Partners.

Saman itu menamakan Anifah berdasarkan kedudukannya sebagai seorang individu dan Anggota Parlimen Kimanis sebagai defendan pertama,Menteri Luar sebagai defendan kedua, dan kerajaan Malaysia dinamakan defendan ketiga.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang menuntut ganti rugi pampasan RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan injunksi untuk menahan Anifah melafaz, bercakap atau menulis atau menerbitkan perkataan fitnah itu.

Anwar juga berkata Anifah memfitnahnya dengan menyatakan beliau sedang membuat cubaan untuk membeli Anggota Parlimen dan Anwar memburukkan imej negara.

Anwar juga mendakwa Anifah telah mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu.

Thursday, February 19, 2009

TAK ACI MACAM NI...HAKIM NI TAK BOLEH

Saya turut terima sms yang mesejnya memerlukan tindakan segera SEMUA BLOGGER yang prihatin terhadap proses keadilan dan keutuhan Institusi Raja-Raja Melayu.

Ia ada kaitan seperti berita menarik daripada http://www.mykmu.net/ ini.

Menurut SMS tersebut, kes petisyen saman bekas MB Perak, Dato Seri Ir. Muhammad Nizar terhadap kerajaan baru Perak akan didengari oleh Hakim Yang Arif Tuan Mohamad Ariff bin Mohd Yusoff.

Secara tidak langsung, petisyen saman ini mempunyai implikasi terhadap keutuhan Institusi Raja dengan mempersoalkan kebijaksanaan keputusan DYMM Sultan Perak.

Hakim Tuan Arif ini dikatakan oleh SMS sebagai pernah menjadi Penasihat Undang-Undang PAS dan merupakan leading council dalam kes petition pilihanraya di Kangar, Perlis di satu masa.

Menurut satu lagi sumber maklumat, Hakim tersebut pernah bertanding di bawah kerusi PAS di Selangor lima tahun lepas. [Terkini 11:00 AM 18/2/09] Maklumat Utusan Malaysia bertarikh Mac 12hb, 2004 menunjukkan beliau bertanding di kerusi DUN Kota Damansara. Beliau (4,827 undi) kalah kepada Dato Mohd Mokhtar Dahlan (12,926 undi).

Barisan peguam PAS yang terlibat dalam petisyen Pilihan Raya N.06 Kubu Gajah dan P.67 Kuala Kangsar pada Jun 2008. Hakim Tuan Arif adalah yang ketiga dari kanan di barisan hadapan.

Ihsan dari blog Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Kelantan
Ini mengkhuatirkan jika benar kerana keadilan boleh dikompromi. Semua blogger dipohon membantu memainkan peranan untuk menyiasat dan mendedahkan sebarang maklumat supaya memastikan proses keadilan dan keutuhan Perlembagaan tidak dicemari.

Sebagaimana yang diketahui semua, Ir. Mohd Nizar telah memfailkan petition saman di Pendaftar, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lepas, Februari 13hb, 2009. Dari laporan berita, saman petition ini telah meletakkan Dato Dr Zambry Kadir sebagai defenden utama.

Penamaan Dr Zambry dilihat oleh penganalisa undang-undang sebagai anih kerana dia tidak terlibat dengan keputusan mengubahkan kerajaan negeri.
Ir. Mohd Nizar telah dihentikan atas kuasa dan keputusan DYMM Sultan Perak dan tentu sekali defenden yang sepatutnya adalah Tuanku Sultan Perak.

Berdasarkan rencana yang telah disiarkan dalam blog ini sini, perkara ini perlu dipandang dengan berat kerana mereka tidak mempunyai asas untuk mempersoalkan keputusan Tuanku Sultan.

Petisyen saman sepatutnya dibuang kerana ia mempertikaikan kuasa prerogatif Raja dalam membuat keputusan dan jika dilayani, boleh membawa impak terhadap integriti Institusi Raja-Raja Melayu.

Tindakan Ir. Mohd Nizar ini hanya merupakan wayang politik Anwar yang mungkin merancang untuk menimbulkan keraguan rakyat terhadap sistem kehakiman dan ini adalah satu kesalahan menghina mahkamah.

Sekiranya bekas Penasihat Undang-Undang PAS telah dijadualkan untuk mendengar petition ini, ia menimbulkan kemungkinan proses keadilan akan dicemari dan keputusan berat sebelah mungkin berlaku. Jika benar Hakim Tuan Ariff mempunyai hubungan dengan PAS, ia sepatutnya mengundurkan diri dari kes ini.

Keadaannya kini seolah-olah apa sekali keputusan mahkamah, Pakatan Rakyat akan mencemarkan proses keadilan dan mahu mempolitikkan keadaan untuk membina saham politik. Perkara ini perlu dilihat dengan serius sekali.

Para blogger boleh membantu untuk mewar-warkan perkara ini dengan membincang dan mendedahkan maklumat-maklumat untuk menghalang sebarang usaha untuk menghalang proses keadilan dijalankan dengan lancar. - http://anotherbrickinwall.blogspot.com