Showing posts with label Jamil Khir. Show all posts
Showing posts with label Jamil Khir. Show all posts

Friday, November 13, 2015

JAMIL KHIR PUN MAIN GOLF DI AMERIKA SYARIKAT? LANTAKLAH LABU..


Marah berapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Akmal Nasir, Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) dan The Malaysian Insider diminta menarik balik segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam. 

Jika tidak,  beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Segala-galanya berhubung dakwaan yang mengatakan menteri itu menyalahgunakan duit untuk anak yatim dan miskin bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah.

Menurut NOW: “Lawatan seorang menteri Umno ke Amerika Syarikat dengan perbelanjaan RM410,978 didakwa dibayar oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim). Ia didakwa dibayar melalui dana sebuah anak syarikat yang sepatutnya digunakan untuk anak yatim dan kanak-kanak miskin.”

Memetik invois yang dibilkan kepada Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN) yang diperolehnya, Akmal mendakwa lawatan ke Washington DC, Iowa dan Minnesota daripada 21 hingga 29 Mei 2014 itu membabitkan aktiviti golf dan kunjungan ke pusat membeli-belah.

Akmal mendakwa isteri menteri itu juga merupakan sebahagian daripada rombongan tersebut.


Invois yang diperolehnya menunjukkan bahawa RM274,493 dibelanjakan untuk tiket penerbangan pergi balik untuk menteri itu dan isterinya.

Perbelanjaan lain yang dibelanjakan untuk menteri itu termasuk RM1,658.96 untuk golf, RM1,565.98 untuk majlis makan malam dan RM3,200.72 untuk cenderahati.

Penginapan untuk menteri itu dan isterinya selama tiga malam berjumlah RM2,675.43.

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri itu berkata dakwaan itu adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang daripada fakta sebenar.

"Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya," kata Jamil Khir.

Berikut adalah kenyataan penuh Jamil Khir:

"Merujuk kepada kenyataan media Akmal Nasir (Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) merangkap Ketua Cabang Keadilan Johor Bharu) pada 13 November 2015.

Sesungguhnya dakwaan yang mengatakan saya menyalahgunakan duit anak yatim dan miskin yang diperoleh daripada hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang (misleading) daripada fakta sebenar.

Kunjungan saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 – 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah seliaan saya terutamanya YaPEIM dengan kerjasama Kedutan Malaysia di Amerika Syarikat dan Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 orang pelajar daripada Amerika Syarikat dan Kanada.

Melalui strategi penganjuran bersama secara "Strategi Lautan Biru" khususnya yang melibatkan peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) tajaan YaPEIM dan beberapa kumpulan sasaran lain yang berada di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada, beberapa program besar telah diatur dan dilaksanakan.

Program-program tersebut melibatkan kursus kepada pelajar yang memfokuskan aspek motivasi Kenegaraan dan Keusahawanan; Simposium Perdana Perkahwinan Kekeluargaan, Pengurusan dan Isu-isu Semasa Negara; Kursus Pra Perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI; Kelas Pengajian untuk isteri-isteri dan Kakitangan Wanita Kedutaan; menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan dan pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia. Program dan pertemuan ini melibatkan pelbagai kumpulan sasaran yang diadakan di Indianapolis dan Washington DC, Amerika Syarikat.

Bersempena dengan perasmian Mid West Game di Amerika Syarikat itu juga, beberapa acara sukan telah dianjurkan oleh Education Malaysia (EM) di Indianapolis termasuklah acara golf yang dikelolakan secara bersama dengan pihak Kedutaan Malaysia AS di Washington yang saya turut terlibat bersama TYT Duta dan kakitangan kedutaan.

Justeru dakwaan kononnya program saya di AS lebih bersifat bersuka-ria menggunakan dana anak yatim adalah satu fitnah yang besar dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah saya selaku Menteri di Jabaran Perdana Menteri.

Adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang mengelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan saya.

Adalah menjadi sebahagian tugas dan tanggungjawab saya selaku Menteri di JPM bagi memenuhi jemputan rasmi kedutaan apatah lagi program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawab saya.

Segala perjalanan dan kegiatan rasmi saya ditanggung oleh agensi berkenaan mengikut polisi dan tatacara kewangan agensi berkaitan. Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana segalanya mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan.

Saya sentiasa terbuka dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku yang melibatkan diri saya atau agensi di bawah seliaan saya.

Dengan ini, saya menuntut Akmal Nasir, Pengarah NOW dan The Malaysian Insider menarik balik segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya.”

Ini merupakan pendedahan kali keempat dakwaan salahguna wang rakyat timbul yang melibatkan yayasan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, NOW mendedahkan ia terlibat menggunakan dana yayasan itu bagi aktiviti berkaitan pilihan raya kecil (PRK) Rompin tahun ini.

Yapeim ditubuhkan pada Oktober 1976 untuk memfokuskan kepada kerja kebajikan melalui pendekatan membangunkan ekonomi Islam dengan melibatkan diri dalam sektor perniagaan.


Pelik bin Hairan ialah, bagaimana  invois itu boleh terlepas ke tangan Akmal? Juga apakah invois itu salinan asli?

Sunday, April 1, 2012

ISU QAZAF - JAMIL KHIR WAJAR SAMAN SHAMSUL ISKANDAR

"Ia merupakan satu pembohongan yang amat tidak wajar kepada saya dan bukan sekadar itu...difitnah dan juga dimalukan dengan kenyataan yang telah beliau (Shamsul) keluarkan dan bukan hanya soal saya tetapi pembohongan ini dibuat di dalam TV yang disiarkan secara langsung di seluruh Malaysia..." - Jamil Khir Baharom

Jangan bagi muka dan bagi can!!!.

Jangan biarkan orang tertentu mempengaruhi orang muda lain menjadi pemfitnah dan memburuk-burukan pemimpin hanya kerana mahu membantu ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perana Menteri.

Tidak wajar dan tidak adil kalau golongan muda dipengaruhi dan diajar untuk memfitnah pemimpin hanya kerana bertujuan memenuhi kehendak seorang pemimpin untuk menjadi Perdana Menteri.

Lagipun budaya memfitnah dan memburuk-burukkan orang lain tanpa usul periksa dan bukti nyata akan merosakkan minda dan budaya golongan muda. Kita tidak mahu budaya politik kita dicemari dengan perbuatan dan amalan fitnah serta memburuk-burukkan seseorang…

Kerana itu wajar sekali jika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam meminta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan Jamil Khir menahan permohonan qazaf berkaitan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dibawa ke Mahkamah Syariah.

Jamil Khir berkata, sekiranya dalam tempoh 14 hari, beliau tidak menerima sebarang maklum balas daripada Shamsul seperti yang diminta itu, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Katanya, kenyataan oleh Shamsul itu dikeluarkan secara terbuka menerusi program siaran langsung Bicara Rakyat di TV1 semalam dan ia adalah fitnah kepadanya di samping membohongi seluruh rakyat Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ketujuh Pertubuhan Pergendangan Silat Daerah Yan di Gelanggang Silat Gayung Rumah Shaari Man di Simpang 3 Sungai Daun dekat Yan semalam , Jamil Khir berkata: ."Ia merupakan satu pembohongan yang amat tidak wajar kepada saya dan bukan sekadar itu...difitnah dan juga dimalukan dengan kenyataan yang telah beliau (Shamsul) keluarkan dan bukan hanya soal saya tetapi pembohongan ini dibuat di dalam TV yang disiarkan secara langsung di seluruh Malaysia," katanya.

Shamsul Iskandar yang sebelum ini begitu banyak membuat onar terhadap pemimpin UMNO perlu diseret ke muka pengadilan.


Biar dia tahu dan sedar bahawa fitnah itu sesuatu yang berbahaya dan lebih bahaya daripada peluru dan mata pedang.

Thursday, January 5, 2012

JAMIL KHIR, SAMAN SAHAJA MEREKA YANG BUAT FITNAH!

Jabatan Audit Negara semalam menjelaskan tuduhan penggunaan wang zakat sebanyak RM63,650 untuk menjelaskan kos guaman seperti disiarkan akhbar tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.



Tunggu apa lagi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Datuk Jamil Khir.

Saman saja barua-barua SPR dan pihak membuat memfitnah dan cuba memalukan jabatan dan menteri.

Malah, kalau boleh sapu dengan blog-blog yang turut mengutip kenyataan fitnah dan kerja memburuk-burukkan jabatan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Biar 'terkangkang semua' dan sedar bahawa fitnah itu perbuatan dahsyat dan bahayanya lebih daripada membunuh.

Jadikan kes Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyaman Malaysiakini yang menyebabkan portal elektronik itu terpaksa memohon maaf secara terbuka dalam mahkamah semalam.

Abdul Taib memfailkan saman pada 2007 menamakan penerbit Malaysiakini, Mkini Dotcom dan ketua editor portal Gan Diong Keng yang juga dikenali sebagai Steven Gan, sebagai defendan selepas portal berita itu memuatkan siri 12 artikel antara 6 April dan 3 Mei, 2007 yang didakwanya mengandungi perkataan fitnah mengenai beliau.

Malaysiakini berdasarkan laporan semata-mata berdasarkan laporan berita beberapa media Jepun yang diterbitkan pada masa itu tanpa mengesahkan kebenaran laporan-laporan berita dengan pihak berkuasa yang lain atau plaintif sendiri.

Peguam Abdul Taib, Robert Lazar semasa membacakan kenyataan itu berkata defendan kini sedar dan mengiktiraf bahawa kenyataan yang dibuat mereka pada keseluruhannya adalah salah dan tanpa asas, yang merupakan satu fitnah yang teruk terhadap reputasi Abdul Taib sebagai seorang individu, ahli politik dan pemimpin kerajaan negeri Sarawak.

Dalam saman itu Abdul Taib menuntut ganti rugi, faedah, kos dan sebarang relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Saman fitnah terhadap Jamil Khir dan dua lagi bukan kerana mahu ganti rugi tetapi untuk memberitahu rakyat bahawa ini antara fitnah besar pembangkang kepada kerajaan.

Buat mereka minta maaf dan nyatakan kepada rakyat bahawa mereka adalah pembawa fitnah maha zalim dan berperangai seperti iblis yang mengajak orang ramai mempercayai hasutan dan kerja jahat mereka.

Jabatan Audit Negara semalam menjelaskan tuduhan penggunaan wang zakat sebanyak RM63,650 untuk menjelaskan kos guaman seperti disiarkan akhbar tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Bahagian Hal Ehwal Korporat jabatan itu dalam kenyataan hari ini memberitahu, sumber kenyataan tersebut bukan daripada jabatan berkenaan.

''Jabatan Audit Negara ingin memaklumkan bahawa kes penggunaan wang zakat untuk khidmat guaman tiada dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010,'' kata kenyataan itu.

Dakwaan penggunaan wang zakat untuk perkhidmatan guaman membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom dan dua yang lain mula ditimbulkan akhbar pembangkang sehingga memaksa membuat penjelasan.

Dalam penjelasannya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr. Muhammad Yamin memberitahu, majlis agama itu tidak menggunakan wang zakat sebaliknya menggunakan peruntukan khas geran kerajaan bagi menjelaskan kos guaman membabitkan ketiga-tiga responden berkenaan

Pada 29 Disember lalu, PKR berharap agar Jamil Khir segera tampil dan tidak menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu penyalahgunaan wang zakat.

Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam, Jamil perlu memberi penjelasan.

Nik Nazmi turut mempersoalkan tentang wujudnya 'dwi-standard' membabitkan kes amil zakat di Johor, Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan wang zakat sebanyak RM19,510 dan memulangkannya kembali. Bagaimanapun, Redzuan dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan.

"Umat Islam yang menyumbang berbilion ringgit wang zakat setiap tahun di seluruh negara tidak mahu timbul sebarang keraguan terhadap pengurusan wang zakat," katanya.

Mengenai isu ini, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali menyifatkan dakwaan penggunaan wang zakat bagi pembayaran kos guaman Menteri itu dan dua yang lain, sebagai berbaur politik.

Che Mat, yang juga setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, kes seperti itu sepatutnya tidak timbul kerana pembayaran tersebut dibuat dengan menggunakan peruntukan geran kerajaan.

"Oleh demikian, ada sesetengah individu yang nak sebut kita menyeleweng duit dan sebagainya, adalah tidak betul sama sekali demi mempertahankan kesucian umat Islam dan kredibiliti MAIWP sebagai satu-satunya badan berkuasa agama di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Saturday, December 31, 2011

PEMBANGKANG PAKSA YANG DI-PERTUAN AGONG PECAT JAMIL KHIR

"Wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman...Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes melibatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit inilah,” - Datuk Seri Jamil Khir

Ini belum jadi pemerintah rasmi!

Sudah pandai mahu paksa Yang di-Pertuan Agong memecat seorang Menteri yang kononnya tidak meminta maaf berhubung dakwaan penyalahgunaan wang zakat.

Menurut laporan semalam, gerakan anti-rasuah Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jingga 13 akan meminta Jamil Khir dipecat daripada pentadbiran negara sekiranya menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam itu tidak melakukan demikian.

Setiausaha Jingga 13, Saifuddin Shafi Muhammad, memberitahu wartawan bahawa selaku ketua agama negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memecat menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang menggunakan RM63,650 untuk membiayai kos guaman.

Namun, wang itu telah dibayar balik selepas agensi itu memperoleh RM70,000 pada Jun tahun lalu.

Pada Rabu, 28 Disember lalu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan pihaknya menggunakan peruntukan khas geran kerajaan bagi menjelaskan kos guaman Menteri berkenaan dan dua yang lain dalam kes membabitkan pertikaian di mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Muhammad Yamin Ismail berkata, pihaknya mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi tujuan pembayaran yuran guaman.

Sejak 1993, peruntukan khas itu telah diwujudkan dan tahun ini peruntukan yang diterima ialah sebanyak RM11 juta termasuk RM700,000 pada tahun sebelumnya.

"Apa yang boleh disimpulkan, keghairahan sesetengah pihak untuk menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam telah mengakibatkan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan kerenah mereka yang tidak berkesudahan," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka. Turut disebut berhubung isu Che Mat yang telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010 iaitu daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Menurut Muhammad Yamin, ketiga-tiga responden berkenaan adalah di bawah seliaan MAIWP sebagai penjawat awam bagi hal ehwal Islam, bukannya atas kapasiti peribadi mereka.

"Adalah menjadi kewajipan kami sebagai pihak berkuasa agama Islam untuk menanggung kos pembelaan bagi sebarang tindakan guaman terhadap mereka bertiga. Tohmahan yang dihadapi oleh ketiga-tiga responden ketika ini telah membawa kepada banyak pertikaian di mahkamah. Oleh demikian, ia mengakibatkan penggunaan wang rakyat yang sepatutnya disalurkan kepada kepentingan umat Islam," jelas beliau.

PKR bagaimanapun terus menerus memberikan tekanan ke atas Jamil Khir, berulang kali meminta perkara itu diperjelaskan.

Semalam, PKR terus menuntut pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib memberikan penjelasan berhubung penyalahgunaan wang zakat didakwa melibatkan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sambil sekali lagi meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak lagi berselindung di sebalik pegawai kerajaan.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata wujud percanggahan dari segi penjelasan dan ada beberapa perkara yang masih menjadi tanda tanya.

Dakwaan penyalahgunaan wang zakat terhadap Jamil Khir Baharom didedahkan bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim awal minggu ini.

Bekas pegawai siasatan jenayah Kuala Lumpur mendakwa Jamil Khir dan dua pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan wang zakat untuk membiayai kos guaman tahun lalu seperti yang disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Jamil Khir, Setiausaha MAIWP Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwa MAIWP Shamsudin Hussain dikatakan menggunakan RM63,650 dari wang zakat untuk membiayai kos guaman dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bayangkan kalau dah jadi pemerintah, Yang di-Petuan Agong, iaitu institusi tertinggi pentadbiran negara akan dibuat atau dipaksa oleh PKR sesuka hati.

“Jika beliau (Jamil Khir) tidak meminta maaf dalam 48 jam, kami akan menghantar memo kepada Agong selaku ketua agama untuk mempertahankan Islam,” katanya sebelum memfailkan satu laporan terhadap Jamil Khir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di Shah Alam.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, itu menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit dalam penyelewengan wang zakat adalah tidak benar.

Beliau berkata, wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes melibatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit inilah,” kata beliau di Sepang.

Apakah penjelasan ini tidak mencukupi? Apakah PKR mahu teruskan niat hantar memo kepada Yang di-Pertuan Agong?

Memandangkan Jamil Khir tidak mintamaaf kerana tidak perlu melakukannya dan isu ini dijadikan modal pembangkang, untuk tujuan politik, Jamil Khir akan menjadi watak yang akan diperkatakan sehingga pilihan raya umum depan.