Saturday, May 1, 2010

POLITIK SUKU, AGAMA SUKU AKAN TERUS BERGEMA

Saya penuh yakin ungkapan Datuk Nik Aziz Nik Mat, “politik suku, agama suku” akan terus bergema di masjid-masjid di seluruh Malaysia, bukan sahaja di Selangor - biarpun Nik Aziz sendiri tidak akan berceramah atau berucap dalam masjid di Selangor.

“Politik suku, agama suku” bermakna ajaran yang menekankan kepada pengaruh sekular bahawa politik dan Islam tidak boleh dicampuradukkan adalah slogan yang dijadikan PAS sebagai antara senjata penting menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Apabila Nik Aziz mengatakan bahawa hakikat Islam itu adalah merangkumi semua aspek hidup manusia, tidak boleh dipisah-pisahkan sebagaimana amal ibadah ditetapkan peraturannya di dalam Islam, begitulah juga Islam mempunyai aturan hidup di dalam ekonomi, kekeluargaan dan juga tidak ketinggalan aturan politik, seolah-olah UMNO atau pemimpin Islam lain tidak menjiwainya.

Kenyataan Nik Aziz bahawa apabila bercakap Islam di dalam masjid atau surau, tidak boleh tidak, kena menyentuh sama soal politik kerana urusan politik dan pemerintahan di sisi Islam adalah urusan agama seperti juga urusan muamalat, munakahat, keadilan, ekonomi dan sosial serta perundangan bagaikan meletakkan UMNO dan ahli UMNO sebagai tidak faham mengenai Islam.

Ungkapan Nik Aziz ini pastinya akan terus disebut secara lembut melalui ceramah-ceramah agama di masjid-masjid biarpun Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah sudah memerintahkan supaya masjid Selangor bebas daripada ceramah politik.

Biarpun ungkapan – politik suku, agama suku - disebut sekali lalu, namun amat jelas pembangkang menggunakan platform masjid untuk menyebarkan pemikiran pemimpin politiknya – Nik Aziz - pada ketika perbuatan itu amat ditegah oleh Sultan Selangor.

Melalui ungkapan sedemikian, PAS cuba memberitahu rakyat Malaysia, termasuk di Selangor bahawa UMNO sebagai parti politik hanya memperjuangkan perkara-perkara berkaitan sekitar politik per se, siasah dan perjuangan dunia semata-mata.

Walaupun UMNO sudah membuktikan ia memperjuang dan meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan pelaksanaan Islam melalui pentadbiran di negara ini, bagi PAS ia hanya ‘hampas’.

Biarpun orang Melayu yang menganggotai UMNO itu adalah Islam dan sebagai peneraju dalam Barisan Nasional (BN) yang dulunya Perikatan, PAS tidak mengiktiraf sedemikian.

Bagi PAS, mereka rela bersekongkol dengan parti yang jelas menentang Islam, termasuk menentang perlaksanaan Hudud dan negara Islam daripada UMNO yang jelas berpaksikan perjuangannya kepada Melayu dan Islam.

Pada ketika ceramah agama di masjid dilarang oleh Sultan Selangor dan bertitah dengan mengingatkan sesiapa yang tidak bersetuju dengan peraturan dan undang-undang di negeri Selangor - termasuk larangan berpolitik di masjid serta surau, hendaklah mengelak daripada datang ke Selangor, “politik suku, agama suku’ semalam (Jumaat, 30 April 2010) disebut oleh seorang ustaz yang berceramah sebelum Khutbah Jumaat di Masjid al-Fridaus Bandar Baru Selayang.

Walaupun ceramahnya memperkatakan mengenai ilmu dan harta, penceramah berkenaan mengatakan mereka yang tiada ilmulah yang mengatakan ‘politik suku, agama suku’.

Selain itu, beliau sempat mengaitkan soal-soal rasuah dan sebagainya kerana ketiadaan ilmu di kalangan umat Islam.

Malah menurutnya, ‘politik suku, agama suku’ diakibatkan oleh kecetekan umat Islam terhadap ilmu. Malah menurutnya, akhir-akhir ini sejak ceramah dan ‘mengajar’ diperbanyakkan di Selangor, masjid al-Firaus Bandar Baru Selayang semakin menyemarak, berbanding sebelum ini.

Sekali mendengar perkataan itu, sudah cukup difahami. Bahawa apa yang mahu diperkatakan oleh ustaz berkenaan ialah, apabila masjid kini di bawah pentadbiran baru (kerajaan pakatan pembangkang), masjid berkenaan diimarahkan.

Walaupun hakikatnya sebelum ini pun banyak aktiviti dijalankan di masjid berkenaan dan sambutan turut menggalakkan, namun bagi penceramah berkenaan, melalui jawatankuasa baru masjid, kegiatan di masjid berkenaan kini ‘rancak’.

Lupakan soal aktiviti di masjid tetapi yang mahu diperkatakan ialah arahan sudah jelas daripada Sultan Selangor bahawa walaupun tiada halangan bagi rakyat dari negeri lain untuk bermastautin atau mencari rezeki di Selangor, mereka hendaklah mematuhi segala peraturan serta undang-undang di Selangor.

Titah Sultan Sharifuddin sudah jelas dan nyata tetapi kenapa penceramah berkenaan terus mahu melanggar titah berkenaan?

Apakah titah Sultan Sharafuddin yang melarang masjid dan surau digunakan sebagai pentas politik semata-mata untuk menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadat itu sebagai tidak wajar?

No comments:

Post a Comment