Showing posts with label NGO. Show all posts
Showing posts with label NGO. Show all posts

Thursday, September 24, 2015

JAMAL JANGAN AGRESIF MELULU DAN MEMALUKAN MELAYU!


Jangan berlebih-lebih Jamal! Jangan sampai Kerajaan pun mahu diugut.
Kuat sangatkah Baju Merah dan kuat sangatkah beliau?
Apakah UMNO atau pemimpinnya seperti Perdana Menteri akan menyokong dan melindungi Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos kerana ancaman dan kemungkinan tindakannya itu?
Pada perayaan Aidiladha ini, Jamal dan pengikutnya bermuhasabah dan fikirkan jalan yang diredhai Islam untuk melakukan sesuatu tindakan, bukan kerana amarah dan prejudis.
Semalam Jamal memberi amaran kemungkinan bakal berlaku "kekecohan lain" di Petaling Street jika tuntutan penunjuk perasaan 'baju merah' tidak dipenuhi hingga Jumaat ini.

"Jika pihak berkuasa tidak ambil tindakan, saya 99 peratus yakin bahawa satu lagi perhimpunan akan diadakan malah rusuhan juga akan berlaku di sana," katanya.
Lebih memalukan beliau membuat kenyataan itu kepada pemberita di Balai Polis Ampang Jaya semalam.
Dengan memberi kata dua kepada kerajaan (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menunjukkan beliau sudah tidak dapat mengawal emosi.
Lagipun, dengan membuat amaran untuk mengadakan himpunan baju merah ke kawasan perniagaan Jalan Petaling di ibu kota yang didominasi peniaga Cina, ia akan menyemarkkan lagi ‘ketegangan kaum’ yang sudah wujud diakibatkan perhimpunan Baju Kuning dan Baju Merah.
Dengan ikrarnya  akan turun ke Petaling Street  sekiranya Putrajaya tidak bertindak terhadap perniagaan di situ yang didakwa menjual barangan tiruan ada sesuatu yang boleh menimbulkan kebencian orang Cina terhadap orang Melayu.
"Kalau mereka tidak ambil tindakan sehingga Jumaat ini, kalau berlaku apa-apa kekecohan di sana, saya tidak akan bertanggungjawab. Mereka yang datang hari itu kata (akan ada) dalam 5,000 orang.
"Saya harap persatuan peniaga dan peniaga-peniaga Petaling Street beri kerjasama sepenuhnya. Kita tidak mahu, insiden 916 (himpunan baju merah 16 September) lepas berulang sekali lagi," katanya tengahari semalam.

Jamal jangan bermain api.
Walaupun sudah bertemu ketua pengarah penguatkuasaan Kementerian berkenaan perkara itu dan memberi tempoh sehingga Jumaat ini bagi turun padang dan bertindak, Jamal boleh dituduh cuba mengganggu-gugat tugas pegawai awam.
Memang wajarlah jika Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Roslan Mahayuddin melahirkan rasa terkejutnya dengan kata dua Jamal kepada pihaknya.
"Apa ini, dia hendak mengugut kerajaan pula? Mana boleh begitu. Bukan begitu cara kami bekerja," kata Roslan mengakui ada bertemu Jamal namun enggan mengulas butiran perbincangan mereka.
"Kami turun atau tidak turun itu keputusan kami. Tidak semestinya kami ikut rentak dia. Kita ada strategi kami sendiri malahan Petaling Street dan beberapa tempat lain juga kami turun," katanya.
Roslan berkata, pada tahun 2015 KPDNKK sudah melakukan 18 kali serbuan dan pemeriksaan ke kawasan Jalan Petaling  sementara tahun 2014 sebanyak 24 kali.
Sampai masanya, UMNO memutuskan hubungan dengan NGO seperti ini kerana sebagai parti yang menjaga kepentingan Melayu dan Islam, UMNO tidak sewajarnya bertindak di luar batasan.

Cukup-cukuplah menunjukkan kekuatan seperti tunjuk perasaan dan berhimpun di jalan-jalan raya.
UMNO kukuh kerana perjuangannya yang sederhana dan tidak mengikut rentak radikal.

UMNO berjaya kerana memperjuangkan sesuatu dengan memujuk dan perundingan, bukan menunjuk-nunjuk kekuatan tenaga dan ancaman perkauman yang kelak akan menyebabkan sokongan bukan Melayu akan semakin merosot.

Beringatlah, bukan semua bukan Melayu menentang Melayu dan bukan semua orang Melayu anti bukan Melayu!

Tindakan memaksa dan agresif akan hanya memalukan Melayu dan menjauhkan lagi bukan Melayu menyokong UMNO dan Barisan Nasional.


Sunday, November 1, 2009

MOHD ASRI KECEWA TUDUHAN OLEH PGSM, NGO

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip bertelagah.

Gara-gara pertelagahan itu, Mohd Asri tidak berminat dengan tawaran untuknya menjadi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Mohd Asri membuat keputusan besar apabila menolak pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Sebanyak 13 NGO menyokong Presiden PGSM itu yang menghantar satu memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Mereka tidak mahu Mohd Asri dilantik Yang Dipertua YADIM.

Mohd Asri kecewa dengan bantahan dan memorandum yang dianggap ‘fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh PGSM’.

Kenapa jadi begini?

Pada sidang media tergempar di Kuala Lumpur, malam semalam, beliau menjelaskan, tuduhan berunsur fitnah tersebut timbul atas perasaan tidak puas hati pihak-pihak tertentu berikutan penawaran jawatan Yang Dipertua YADIM terhadapnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Sejak jawatan itu ditawarkan maka ada beberapa pihak yang barangkali tidak selesa, tapi itu tidak mengapa untuk mereka berikan pandangan.

"Mereka nak hantar (memorandum) kepada Yang di-Pertuan Agong tak ada masalah, tapi mereka mesti berikan fakta yang benar," katanya.

Jelas beliau antara tuduhan fitnah yang terkandung dalam memorandum bertarikh 12 Oktober lalu yang dimuatkan dalam laman web PGSM ialah mendakwa beliau tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah dan keluar dari Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali serta menolak hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Menurut Mohd Asri lagi tuduhan lain yang dianggap melampau ialah dakwaan yang mengatakan beliau telah mencerca golongan ulama seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali.

Oleh yang demikian beliau menuntut supaya Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip yang menandatangani memorandum berkenaan supaya menyatakan bukti terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan.

"Untuk buat bantahan itu hak mereka, tapi bila beliau keluarkan beberapa tuduhan yang bagi saya membabitkan soal maruah dan keilmuan sehingga boleh menyebabkan perpecahan antara orang Islam... ini tuduhan besar.

"Saya minta beliau buktikan satu sahaja sama ada tulisan atau perkataan saya yang jadi bukti terhadap apa yang beliau sebut... saya beri tempoh selama satu minggu," katanya.
Tambah Mohd Asri, beliau menyedari salinan memorandum berkenaan dimuatkan dalam lawan web PGSM pagi tadi.

Bagaimanapun hasil semakan, salinan memorandum yang diedarkan kepada media dalam sidang media itu telah dipadam daripada lawan web berkenaan.

Antara tuduhan lain yang terdapat dalam memorandum berkenaan ialah Mohd Asri didakwa sering mengambil tindakan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kepentingan umat Islam secara keseluruhannya.

Selain itu dalam memorandum itu juga dinyatakan pendekatan ekstrem Mohd Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umat Islam di seluruh negara khususnya negeri Perlis.

Juga dinyatakan bahawa cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahan dan beberapa kejadian pergaduhan.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap tuduhan berkenaan beliau berkata, "Cukuplah saya beritahu melalui media bahawa perkara ini adalah bohong, saya belum berfikir untuk saman."

Berhubung sama ada beliau berhasrat untuk membuat penjelasan bertulis kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu ini beliau berkata: "Saya harap Yang di-Pertuan Agong juga membaca penjelasan saya, tapi mungkin juga saya boleh fikirkan (untuk menulis penjelasan rasmi) jika ada ruang boleh juga."

Dalam pada itu, ditanya mengenai status tawaran jawatan YDP YADIM terhadapnya yang dibuat oleh Perdana Menteri pada September lalu, Mohd Asri berkata berdasarkan pekembangan terbaru ini, beliau tidak berminat dengan jawatan tersebut.

"Apabila melihat kepada perkembangan ini, saya tidak berminat... itu keputusan saya," katanya.
Selain itu menurutnya, beliau juga mengambil kira pandangan yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu beliau berada di pihak ketiga.

"Sebenarnya apabila jawatan ini timbul, saya bertanya pendapat Tun Dr Mahathir, beliau juga kurang bersetuju saya pergi mana-mana jawatan yang agak nampak di pihak kerajaan.

"Katanya elok saya jadi pihak ketiga, saya memang sedang menimbangkan nasihat beliau dua, tiga hari lepas... sebelum saya lihat memorandum ini," katanya.

Sementara itu Mohd Asri turut mencadangkan supaya Jabatan Audit Negara melakukan siasatan terhadap YADIM bagi menyemak tentang beberapa perkara.

"Apabila timbul isu YADIM ini, saya ada semak beberapa perkara, mungkin semakan saya ini betul ataupun salah.

"Saya mencadangkan kepada pihak audit negara supaya melakukan audit kepada YADIM sekarang, ini adalah perkara yang patut dibuat dan kita mungkin akan bertemu dengan banyak perkara," katanya tanpa mengulas lanjut.

Apakah dengan cadangan ini Mohd Asri mengetahui ada sesuatu yang tidak kena dengan YADIM atau ‘membalas dendam’ terhadap pengurusan YADIM kerana mengkritiknya?
Apapun, siasatan perlu dilakukan bila ada aduan.

Untuk lebih jelas dalam isu ini, berikut ialah memorandum bantahan berkenaan:

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PELANTIKAN DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN SEBAGAI YDP YADIM

Memorandum Kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj
Bertarikh 12 Oktober 2009.

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Memorandum bagi pihak majoriti umat Islam Malaysia ini dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj supaya menarik balik pelantikan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Asri) sebagai Yang Di Pertua YADIM.

Alasan Memorandum ini ialah antara lainnya :-

1. NGO-NGO Islam arus perdana yang terlibat dengan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) kelolaan YADIM sentiasa bekerjasama di dalam menegakkan dakwah Islamiyah di Malaysia. Hanya beberapa NGO kecil sahaja yang dapat menerima idea bahtera perubahan yang cuba dibawa oleh Dr Asri yang seringkali tidak seiring pandangannya dengan sebahagian besar ulamak dan NGO-NGO Islam arus perdana. Kerajaan sepatutnya menghormati kerjasama MAIM di bawah naungan YADIM yang telah dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Pelantikan Dr. Asri hanya akan memutuskan tali silaturrahim yang terjalin dan MAIM akan pincang sekiranya Dr Asri menerajui YADIM.


2. Dr Asri yang terpengaruh dengan pandangan dan pendekatan ulamak tertentu juga seringkalibertentangan pandangan dengan para ulamak dan Mufti-Mufti negeri lain. Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri telah mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Semasa menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis beliau kerapkali membelakangkan pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat Kebangsaan dan sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media. Keadaan ini akan menyukarkan YADIM dan MAIM untuk bergerak sekiranya tiada hubungan erat dengan Mufti-Mufti.

3. Dr Asri mendakwa dirinya dan pengikut-pengikutnya sebagai ahlu-sunnah tetapi mereka menolak dan tidak mengiktiraf kebanyakan ulamak dan umat Islam lain yang di luar dari lingkungan pengikutnya. Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari.


4. Pendekatan Dr Asri dan para pengikutnya telah mencetuskan berbagai perbalahan di kalangan umat Islam apabila mengkritik berbagai amalan umat Islam di Malaysia kononnya ia tidak mengikut sunnah seperti amalan membaca Yaa Sin pada malam Juma’at, amalan bertalqin, tahlil, doa selamat, seolat hajat, wirid selepas solat. Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka. Bahkan akibat dan malapetaka yang bakal timbul dari pendekatannya ini amatlah besar sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam. Malapetaka ini sewajarnya dibendung dan bukan disemarakkan lagi.


5. Akibat dari pendekatan ekstrem Dr.Asri dan pengikutnya ini kebanyakan Majlis Agama IslamNegeri-negeri telah menyekat kegiatan pengajian yang dijalankan oleh mereka. Malah beberapa guru agama dan penceramah yang sealiran dengan mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah Syariah kerana mengajar tanpa tauliah. Antaranya Dr. Abdullah Yasin yang menghadapi beberapa kes di negeri Selangor.


6. Dr Asri hingga kini mempertikaikan undang-undang jenayah Syariah negara serta mentafsirkannya tidak mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak yang diterima para Ulamak dan masyarakat Islam. Dengan melantik seorang yang berpandangan dan pendekatan seperti ini, ia akan melenyapkan keyakinan dan kepercayaan umat Islam bukan sahaja kepada YADIM malah kepada kerajaan keseluruhannya atas kegagalan memelihara ajaran dan amalan Islam yang dipegang selama ini.

7. Pendekatan ekstrem Dr.Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umatIslam di seluruh Negara khususnya di negeri Perlis. Imam-imam di Perlis yang tidak mendokong aliran Dr Asri telah diketepikan malah baru-baru ini mereka telah ditukarkan atas alasan yang sama (beritaberita sebegini telah tersiar di dalam akhbar-akhbar utama negara). Cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahandan beberapa kejadian pergaduhan.


8. Sebagai seorang yang terlalu muda serta gagal menghayati budaya adab sopan umat Islam dimalaysia, Dr Asri lebih banyak mengundang kontroversi dan merupakan seorang yang keras, elstrem serta tidak dapat menerima teguran, pandangan dan kritikan orang lain. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri lain selain Perlis, Tokoh-tokoh agama arus perdana termasuk semua para Mufti Negerinegeri (kecuali Perlis) serta tokoh-tokoh seperti Prof.Datuk Dr.Ismail Ibrahim, Tan Sri Syeikh Ghazali Abd Rahman bekas Ketua Pengarah JKSM, Dato’ Hashim b.Yahya bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Nooh Gadot dan ramai lagi amat tidak senang dengan pendekatan dan pendirian sebegini.

9. Penolakkan oleh sebahagian besar tokoh agama dan umat Islam terhadap pemikiran danpendekatan beliau dalam amalan agama adalah kelemahan besar Dr.Asri dan amat tidak sesuai untuk menerajui sebuah agensi dakwah yang ditunjangi oleh Kerajaan Malaysia. Peribadi yang lebih berhemah dan memahami manhaj dan metodologi dakwah di Malaysia adalah lebih wajar menerajui YADIM. Terdapat ramai lagi tokoh lain yang tidak kontroversi yang datang dari golongan Muslim arus perdana yang boleh dilantik menerajui YADIM dan diterima oleh masyarakat Islam arus perdana.


10. Dr Asri bukan sahaja ditolak oleh majoriti penyokong UMNO, malah beliau juga tidak disenangi oleh penyokong PAS yang merupakan 2 parti umat Islam terbesar. Hanya segelintir dari masyarakat Islam yang berpendirian ekstrem dalam hal furu’ atau perkara cabang yang gembira dengan pemikiran dan pendekatan beliau. Kami bimbang Kerajaan Persekutuan akan disisihkan oleh umat Islam dalam kegiatan keagamaan dan amalan keagamaan yang seragam dan telah sebati di seluruh Negara tidak lagi menjadi arus perdana di masa akan datang, manakala Pihak Berkuasa Agama Negeri mengambil pendekatan berbeza dari Kerajaan Persekutuan.

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Ditandatangani oleh: Mohamad Isa bin Abd RalipPresiden PGSMBertarikh 12 Oktober, 2009

Badan-Badan Bukan Kerajaan Yang Menyokong Memorandum ini –

1. Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Malaysia


2. Yayasan Sofa Negeri Sembilan


3. Yayasan Jenderami

4. Pertubuhan Muafakat Masyarakat Sejahtera (MUAFAKAT)

5. Persatuan Peguam Syarie Malysia

6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia

7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)


9. Jemaah Islah malaysia (JIM)


10. Persatuan Ulamak Malaysia

11. Yayasan Paksi Kedah

12. Persatuan Ulamak Kedah 13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)


Thursday, August 6, 2009

JEFF OOI ANTI-ISLAM?

So what? Baru tahu? Siapa pilih orang ini menjadi ahli Parlimen Jelutong?

Tentunya di Jelutong ada orang Islam tetapi kenapa undi Jeff Oii? Tidak ada orang lainkah?

Selain itu, berapa lama lagi kerajaan mahu membiarkan sensitiviti agama Islam terus dipermainkan?

Kenapa tidak bertindak keras kepada pihak yang menyentuh sensitiviti Islam yang menyebabkan orang Islam sebaliknya membenci dan memarahi kerajaan?















Kenyataan Jeff Oii, yang juga Ketua Staf di Pejabat Ketua Menteri terhadap seorang ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan anggota Jamaah Islah Malaysia (JIM) kini menjadi kemarahan orang Islam khususnya di Pulau Pinang.

Jeff dilaporkan berkata, MPPP tidak seharusnya membenarkan seorang "ekstremis agama" berada di dalam pentadbirannya dan kerajaan negeri telah mewujudkan teladan yang berbahaya apabila membenarkan seorang ekstremis agama menyusup masuk ke dalam sistem kerajaan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim semalam mendesak anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi supaya menarik balik kenyataannya yang menyinggung perasaan umat Islam.

Jelas, kemarahan kini bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi di seluruh negara.

Apakah kita perlu mengatakan bahawa Jeff perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan dan disaran menggunakan saluran dalaman bagi menyuarakan pandangannya kepada kerajaan negeri?

Apa mahu diharapkan daripada Jeff Oii. Dia tidak akan merasa bersalah apabila menyinggung perasaan umat Islam.

Abdul Malek berkata: "Saya secara tegas menolak kenyataan Jeff yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris 2 Ogos lalu yang saya anggap bersifat peribadi tetapi boleh disalah ertikan pelbagai pihak.

"Saya yakin umat Islam di Pulau Pinang tidak dapat menerima kenyataan sebegini lebih-lebih lagi ia menyentuh sensitiviti agama Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia," kata Abdul Malik.

Jeff juga menempelak portal JIM yang meletakkan sasarannya untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang menggunakan sepenuhnya Undang-undang Syariah menjelang 2020.

Berikutan itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didesak supaya menuntut peletakan ketua kakitangannya, Jeff Ooi yang menuduh Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebuah sebuah kumpulan pelampau.

Desakan tersebut dibuat oleh gabungan yang mewakili 27 pertubuhan Islam. Mereka cuba menyerahkan memorandum tersebut ke pejabat ketua menteri semalam.

Bagaimanapun, Setiausaha Politiknya, Ng Wei Aik meminta mereka menyerahkan memorandum tersebut kepada beliau. Berlaku sedikit ketegangan apabila mereka berkeras untuk menemui Lim, sedangkan Ng mahukan mereka menyerahkan memorandum kepadanya.

Setelah enggan berbuat demikian, Ng memanggil pengawal keselamatan untuk membawa mereka keluar dari pejabat ketua menteri.

Rasakan, bagaimana kerajaan pimpinan DAP melayan NGO Islam. Gara-gara dihalang, mereka kemudiannya menyerahkan memorandum tersebut kepada Timbalan Menteri Ketua Menteri, Mansor Othman.

Manakala di luar kompleks kerajaan negeri itu, kira-kira 300 anggota gabungan berkenaan berhimpun untuk memberi sokongan kepada wakil mereka.

Delegasi tersebut kesal dengan kenyataan Jeff itu, yang dianggap mereka sebagai mendedahkan "kejahilannya mengenai masyarakat Islam".

Presiden JIM, Zaid Kamaruddin menafikan tuduhan Jeff yang menggelarkan JIM sebuah pertubuhan pelampau.

"Jeff Ooi bermaksud demikian ekoran desakannya supaya seorang ahli jawatankuasa Pusat Khidmad Krisis Sehenti (OSCC) di bawah Dewan Bandaraya Pulau Pinang, Mohd Razali Abdullah diberhentikan daripada menganggotai jawatankuasa berkenaan.

"Mohd Razali, menurut Jeff Ooi merupakan 'ekstremis agama' kerana beliau merupakan ahli JIM, dan JIM pula meletakkan visinya untuk membangun sebuah negara yang melaksanakan syariat Islam sepenuhnya menjelang tahun 2020," kata Zaid dalam satu kenyataan semalam.

Hakikatnya, mengamalkan syariat Islam dalam kehidupan merupakan aspirasi setiap umat Islam - bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

"Bahkan beliau percaya rahmat kebaikan Islam di Malaysia nanti akan turut dinikmati oleh seluruh rakyat. JIM yakin pegangan Islam Mohd Razali dan pengalaman profesionalnya akan menjadikan beliau lebih berkemampuan dalam menjalankan tanggungjawabnya," tambahnya.

Zaid turut menyuarakan rasa hairan bagaimana pelantikan seorang Muslim yang baik, boleh mengundang bahaya.

"Agama Islam telah berdiri teguh sejak sekian lama. Jadi, sebarang kekeliruan dan sikap prejudis orang ramai terhadap Islam yang timbul akhir-akhir ini tidak akan mengubah kesucian dan kerelevanan agama ini dalam masyarakat.

"Sebagai sebuah NGO yang bertanggungjawab, JIM berpegang kepada prinsip keamanan, kedaulatan undang-undang dan keadilan untuk semua.

Bagi JIM, ia akan terus berkempen agar hak dan maruah rakyat dipertahankan, kerajaan lebih telus dalam pentadbirannya dan pemerkasaan individu dan komuniti dapat direalisasikan melalui penglibatan rakyat dalam proses demokrasi