Showing posts with label Ku Li. Show all posts
Showing posts with label Ku Li. Show all posts

Wednesday, May 18, 2016

BAGAIMANA KU LI BOLEH MENGATAKAN DR M DIPANDANG TINGGI OLEH AKAR UMBI?


Apabila seluruh jentera Barisan Nasional (BN)  – pemimpin, media arus perdana, media sosial pro-Najib – menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad, membuktikan bahawa ‘tentera bersaorangan’ ini sebenarnya masih kuat.

Hakikatnya ramai rakyat biasa tahu siapa Dr Mahathir,  apa yang dia lakukan untuk Malaysia sewaktu memerintah dan segala-galanya.

Kemudahan awam – pendidikan, lebih raya, jambatan, peluang pekerjaan, pertanian, industry, perniagaan, dasar Islam dan sebagainya – terlalu banyak untuk disebut dapat dirasai oleh seluruh rakyat, bukan yang kaya atau kelas menengah semata-mata.

Jika ada kelemahan, namun banyak lagi kebaikan.

Malaysia daripada sebuah negara membangun menjadi sebuah negara maju – setidak-tidaknya antara negara Islam yang paling maju di dunia.

Barat dan seluruh dunia mengenali Malaysia kerana kepimpinan Dr Mahathir melalui dasar luar yang progresif dan memperjuangkan kesamarataan manusia dan negara.

Malaysia pencetus kebebasan dan kemerdekaan banyak negara sama ada di Afrika, Asia, Asia Barat serta di Eropah.

Tidak boleh sesiapa pun menafikan perkara itu.


Kebimbangan Barisan Nasional (BN) terhadap Dr Mahathir begitu menyerlah terhadap sumbangannya sehinggakan pemimpin parti pembangkang ketika ini – Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Lim Kit Siang – sudah tidak ada apa-apa berbanding Dr Mahathir.

Malah, Deklarasi Rakyat (DR) – menggabungkan tenaga pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) – dilihat semakin menjadi ancaman kepada kepimpinan PerdanaMenteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Walaupun pelbagai cara cuba dilakukan untuk memperkecilkan keupayaan DR dengan meletakkan imej hodoh dan menonjolkan kononnya tiada sokongan tetapi ternyata semakin hari DR semakin mendapat sambutan.

Malah, pada kempen di dua pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar nanti, isu DR dan faktor ‘tentera bersaorangan’ akan menjadi tumpuan utama.

Semalam pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui akar umbi UMNO masih memandang sumbangan-sumbangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun memerintah negara.

Apakah pendapat Ku Li tidak  benar? Ku Li sebagai ‘musuh, pesaing dan rakan politik’ Dr Mahathir tidak melontarkan pandangannya untuk mengkritik sesiapa.

Beliau menyatakan pendapatnya dan tahu kedudukan sebenar keadaan di akar umbi.

Dengan kata lain, Ku Li berkata keadaan sebenar di bawah, bukan untuk kalangan pemimpin atasan.

Rakyat tidak boleh menafikan perkara itu, walaupun Dr Mahathir kini dilihat sering mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak selain bertindak keluar dari UMNO, demikian pendapat Ku Li.

“Sudah tentu kerana beliau telah berada di sana (memerintah) sejak sekian lama dan selain apa yang beliau telah lakukan, kepimpinannya, dia (Dr Mahathir) juga masih mempunyai pengaruh.

Mengulas dua PRK yang bakal diadakan, Ku Li akui sukar menjangkakan sama ada Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi atau sebaliknya.

“Sukar untuk saya ulas, kerana dia (Dr Mahathir) sering mengejutkan. Dengan semua cadangannya, saya tidak boleh nilaikan situasi atau memberikan cadangan, ia sukar,” katanya lagi.

Ku Li juga tidak menafikan Dr Mahathir seorang yang sedar apa yang dilakukan.

“Dia mempunyai objektif. Jadi, sudah tentu dia akan mempromosikan objektifnya agar tercapai. Dia akan buat yang terbaik,” katanya.

Ujar Ku Li lagi, persoalan sama ada Dr Mahathir menjejaskan UMNO tidak seharusnya timbul memandangkan beliau sudah tidak bersama parti Melayu itu lagi.

“Dia bukan lagi ahli UMNO dan dia sudah meluahkan perasaannya bahawa tiada guna bersama parti yang hanya dipimpin oleh seorang individu. Itulah pendirian dia,” ujar beliau lagi.

Dengan kedudukan di mana akar umbi masih memandang tinggi kepada Dr Mahathir, BN dan UMNO perlulah mencari jalan bagaimana untuk melemahkan kekuatan ‘tentera bersaorangan’ ini sekiranya mahu mempertahankan Njib atau menjamin BN menang pilihan raya.

Mengkritik membuta tuli atau cuba memburukkan imej Dr Mahathir melalui kelemahan masa lalunya tetap sukar diterima oleh rakyat biasa atau akar umbi.

Ini kerana Dr Mahathir tidak terpalit dengan isu yang menjadi persoalan umum sampai ke akar umbi seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang riuh satu dunia.

Tidak pernah pemimpin negara Malaysia sebelum ini berdepan dengan kritikan berterusan oleh media utama dunia separti dalam kes 1MDB ini.

Soal benar atau persepsi semata-mata tidak lagi penting tetapi ‘maruah Malaysia, BN dan UMNO’ sudah tercalar dan kritikan dari luar oleh Dr Mahahir mungkin akan menyebabkan keadaan semakin parah jika tidak ada jalan keluar atau penyelesaian terhadapnya dalam tempoh segera.

Jika rasuah diperkatakan membabitkan diri atau kepimpinan Dr Mahathir, keluarga serta kroninya seperti Tun Daim Zainuddin, ia tidak dapat dibuktikan di mahkamah – sama ada dalam negeri atau luar negara – dan tinggal hanya cakap-cakap semata-mata.

Kalaupun tuduhan ada, ia tidaklah merebak sehingga media, institusi serta pemimpin luar negara bercakap mengenainya sebagai suatu suara tetapi lebih kepada mirip ‘isu terpencil’.

Jadi untuk beberapa ketika akan datang, akar umbi tetap percaya dan memandang tinggi Dr Mahathir.

Persoalannya, bagaimana menghapuskan kepercayaan dan keyakinan sedemikian?

Pada ketika yang sama aka nada serangan dari dalam dan luar oleh media dan institusi asing secara berterusan yang akan menjadikan kemelut politik dan ekonomi negara berterusan.

Sampai bila kepimpinan yang menyokong UMNO dan BN boleh bertahan?

Saturday, February 4, 2012

LANGKAH UMNO KELANTAN DEKATI KU LI AMAT BAIK UNTUK MENANG

Elok sangatlah jika UMNO Kelantan mahu meminta pandangan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dalam usaha memastikan Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Bukan apa, UMNO bukan jenis parti yang lupakan jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulunya.

Lagipun Ku Li dah cakap pun peluang Barisan Nasional BN untuk menawan semula negeri Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 nanti, tetap ada jika BN mempunyai persediaan secukupnya.

"Bagi kita sentiasa yakin, tetapi soalnya terletak atas persediaan dan kesungguhan kita," kata Ku Li

Malah ketika menjawab sama ada beliau akan bekerjasama dengan pemimpin parti pembangkang bagi mengukuhkan kedudukannya dalam politik, Tengku Razaleigh sambil berkata: "Saya sudah kahwin kan, lebih baik bergabung dengan isteri saya."

Jelas dan tepat apa yang dikatakan Ku Li itu. Buat apa mahu berpindah parti sedangkan Umno menjadi darah dagingnya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa) hari ini berkata Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam politik negara dan Kelantan dan sebab itu pandangan tokoh Umno itu diperlukan dalam usaha menawan kembali negeri itu daripada PAS.

"Kita akan meminta nasihat Ku Li (Tengku Razaleigh) bagaimana untuk menjalankan gerak kerja Umno dengan lebih mantap dan berkesan dalam usaha merampas Kelantan daripada tangan PAS," katanya kepada pemberita selepas menutup Ekspo Usahawan Mara di Tok Bali dekat Pasir Puteh hari ini.

Memang benar kata-kata Tok Pa tu. UMNO jangan jadi ‘kacang lupakan kulit’.
Malah kalau boleh kumpulkan semua hulubalang UMNO dan minta nasihat serta berpakat untuk tawan Kelantan.

Penat sudah dengan perselisihan dalaman dan cah keting. Tak akan ke mananya UMNO Kelantan kalau terus bersikap sedemikian.

Kehadiran Tengku Razaleigh pada mesyuarat badan perhubungan UMNO Kelantan dua hari lalu sebenarnya memberi impak dan semangat kepada anggota Umno untuk bekerja keras dalam menghadapi pilihan raya umum itu nanti.

Kelmarin, Tengku Razaleigh menafikan beliau memboikot mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan kerana sering tidak menghadiri mesyuarat badan itu sejak beberapa lama.

Tengku Razaleigh, yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang, berkata beliau bukan sengaja tidak mahu menghadiri mesyuarat itu kerana kadang-kadang surat jemputan mesyuarat itu lewat diterimanya.

"Saya tak hadir, bukan tak nak hadir, tapi (surat) jemputan kadang-kadang lewat sehari selepas mesyuarat atau sehari sebelumnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno itu bersama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perhubungan Umno Negeri di Kota Bharu.

Pemimpin veteran ini ditanya mengenai kedudukannya yang sudah lama tidak kelihatan menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno itu, sejak selepas pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Bagi Tok Pa, Umno Kelantan akan menjadikan amanat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat Kelantan dua hari lalu sebagai perangsang untuk terus melipatgandakan usaha menawan Kelantan.

"Saya ada berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri tentang beberapa perkara seperti sokongan golongan muda yang perlu diberi perhatian termasuk kawasan-kawasan tertentu," kata Tok Pa.

Umno Kelantan perlu bekerja lebih keras dan tidak akan mudah berpuas hati dengan sokongan yang dikatakan begitu meningkat terhadap Umno ketika ini.

"Saya memang gembira dengan peningkatan sokongan yang begitu meningkat tetapi saranan Timbalan Perdana Menteri untuk terus bekerja kuat akan dijadikan azimat kepada anggota Umno di Kelantan," katanya.

Sunday, October 10, 2010

SYED HUSIN SEBENARNYA YANG ‘GALAS BIAWAK HIDUP...’

Tengku Razaleigh Hamzah ingin berkhidmat untuk partinya. Untuk bangsanya dan agamnya. Kenapa dia dituduh sanggup ‘galas biawak hidup’?

Apakah keputusan dan kesediaan Tengku Razaleigh itu suatu kerja keji dan tidak berguna sehingga kesediaan veteran Umno yang menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya BN di DUN Galas disambut sinis oleh pemimpin pembangkang?

Apakah apabila menyokong dan menggalas kerja pembangkang sahaja menjadi kerja yang mulia dan perlu disanjungi?

Bukankah Tengku Razaleigh itu ahli dan pemimpin UMNO?

Bukankah dia menjadi Ahli Parlimen itu kerana bertanding atas tiket UMNO?

Mengejut dan menghairankan apabila timbalan presiden PKR Syed Husin Ali, menyifatkan tindakan Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu tidak ubah seperti "menggalas biawak hidup".

"Ku Li setuju galas beban sebagai pengarah PRK (pilihan raya kecil) Galas untuk UMNO. Tak ada pilihan lain? Harap dan doa Ku Li selamat dari menggalas biawak hidup," kata Syed Husin dalam laman Twiter.

Semalam, Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang mengesahkan menerima pelantikan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang selepas pulang daripada bercuti di luar.

Tengku Razaleigh sudah menyatakan dengan jelas beliau menerima tanggungjawab itu sebagai anggota Umno dan Ketua Umno bahagian Gua Musang selama hampir 50 tahun, selain anggota parlimen kawasan berkenaan.

Cuma yang belum disahkan ialah keputusan sama ada menerima tawaran sebagai calon BN pada pilihan raya berkenaan kerana hanya akan diputuskan esok apabila mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kenapa Syed Husin bagaikan marah sedemikian rupa?

Apakah kerana gagal menggugat UMNO atau menyekat Tengku Razaleigh daripada bersetuju membantu UMNO?

Syed Husin mungkin tidak sedar dirinya sebenarnya yang mendukung biawak hidup. Hingga ke tahap beliau mengundurkan diri daripada partinya, beliau turut ‘berkudis’ kerana partinya semakin teruk ditimpa masalah.

Kesanggupannya untuk membubarkan Parti Rakyat Malaysia dan menyertai PKR membawa padah kerana parti itu semakin hilang sokongan pada ketika parti asal pimpinanannya lama berkubur!

Malah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipuja-puja oleh Syed Husin pula jelas semakin dihimpit masalah ‘membersihkan dirinya’daripada tuduhan liwat dan intim dengan puak Yahudi di luar negara!

Daripada mengatakan Tengku Razaleigh yang mendukung biawak hidup, elok Syed Husin melihat dirinya yang terpaksa ‘memikul Anwar’ dan partinya yang semakin berkudis dan bernanah dengan pelbagai penyakit.

Kerja menjamin kemenangan UMNO bukan kerja kotor dan jijik bagai mendukung biawak hidup tetapi kerja untuk parti yang mendokong Melayu dan Islam.

Memalu dan tidak wajar jika Syed Husin menuduh Tengku Razaleigh demikian!

Juga tidak wajar untuk Syed Husin bertanyakan sama ada Tengku Razaleigh ada pilihan lain selain UMNO.

Bagi Tengku Razaleigh sudah amat jelas baginya. Tiada yang lain, melainkan UMNO.

Hanya UMNO ada pada dirinya!

Friday, October 8, 2010

SELAMAT PULANG DR M & TENGKU RAZALEIGH

Ada dua peristiwa menarik hari ini dan esok.

Hari ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual tiba ke Kuala Lumpur dengan menaiki sebuah pesawat khas.

Pesawat berkenaan dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Tullamarine di Melbournea berlepas kira-kira 3 petang (1 tengah hari waktu Malaysia).

Dr Mahathir pulang selepas keluar hospital Epworth dan berehat di sebuah hotel di Melbourne kerana jangkitan di dada. Beliau dibenarkan keluar dari hospital pada Selasa dan kemudiannya berehat di sebuah hotel hinggalah hari ini.

Bekas Perdana Menteri, yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dijadual berucap kepada pelajar Malaysia dalam sebuah bengkel di Melbourne pada Sabtu namun dibatalkan selepas beliau sakit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menggantikan Dr Mahathir pada seminar itu.

Dan pagi esok, kira-kira pukul 7 pagi di Bilik Ketibaan Orang Kenamaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Tengku Razaleigh Hamzah yang tiba dari penerbangan London dijangka membuat pengumuman penting mengenai kedudukannya di Galas.

Meskipun setakat ini beliau sendiri belum 'buka mulut' mengenai pelantikannya sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan BN bagi pilihan raya kecil itu - cuma dalam Twitter sahaja - namun orang ramai mula bercakap tentang kedudukannya sebagai calon untuk menggalas cabaran BN di kerusi itu.

Dan ketika ini pun, kenyataan terbaru beliau mengenai isu di Gua Musang, khususnya Galas diluahkan menerusi pegawai khasnya, Mohd. Lukhman Ghani.

Menurut tulisan Zulkifli Jalil dalam Utusan Malaysia hari ini, Tengku Razaleigh atau mesra dipanggil Ku Li yang lahir pada 13 April 1937 bukan sekadar orang lama dalam politik tetapi 'masak' dengan sepak terajang arena ini.

Putera Raja dan juga merupakan bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan sebelum ini, Tengku Anis begitu banyak jasanya kepada penduduk Gua Musang.

Dengan keluasan Gua Musang satu perempat Kelantan dan kedudukan rumah-rumah penduduk yang agak jauh antara satu sama lain, jajahan itu bukan asing bagi Ku Li yang menyaksikan jasa dan sumbangannya kepada penduduk yang bukan sedikit.

Pilihan Raya Kecil Galas yang ditetapkan tarikhnya pada 4 November depan sebenarnya membuka peluang kepada BN dan UMNO untuk merampas semula kerusi DUN tersebut.

Galas satu-satunya DUN dalam Parlimen Gua Musang yang dimenangi oleh pakatan pembangkang. Dua lagi DUN iaitu Nenggiri dan Paloh dimenangi oleh BN yang turut menguasai kerusi Parlimen Gua Musang di bawah Ku Li sejak sekian lama.

Sememangnya, bagi Pas, pelantikan Ku Li satu cabaran berat untuk mereka dalam usaha mengekalkan kerusi berkenaan yang sempat diduduki tidak sampai tiga tahun.

Ia diakui sendiri oleh Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron baru-baru ini bahawa Pas berdepan cabaran berat berikutan pelantikan Ku Li. Apatah lagi jika disorot ketokohan dan kemampuan Ku Li yang pernah mencipta rekod dengan menumbangkan kerajaan Pas Kelantan pada 1978.

Pas bimbang sekiranya Galas jatuh, ia mengukuhkan lagi usaha BN untuk menumbangkan kembali kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Sedangkan Pas akan meraikan ulang tahun ke-20 pemerintahannya tidak lama lagi.

Mengulas senario ini, penganalisis politik, Profesor Madya Mohamad Md. Yusof bersetuju sekiranya Ku Li dicalonkan memandangkan beliau seorang wakil rakyat yang mesra rakyat.

"Beliau cocok sekali dan mampu merampas kerusi daripada Pas berdasarkan senario Pas yang semakin gawat akibat kelemahan pentadbiran Kelantan khususnya dalam menangani isu kesultanan," kata beliau yang juga pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) kepada akhbar ini semalam.

Bagi seorang lagi penganalisis dari Universiti Malaya (UM), Noor Sulastri Yurni Ahmad nadanya agak berbeza. Beliau mengakui isu calon akan mewarnai pilihan raya kecil itu kali ini.

"BN patut tonjolkan muka baru. Memang dah elok letakkan Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya BN di Galas tetapi sebagai calon, saya tidak fikir begitu. Sekali pun Ku Li menang, ia tidak menyumbang kepada populariti BN di Kelantan yang saya percaya negeri itu masih akan kekal sebagai hak mutlak Pas pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan bercakap kepada pemberita semalam, berkata: “Saya fikir beliau tidak akan setuju jika dicalonkan tetapi secara peribadi selaku Ketua Penerangan UMNO, saya sambut baik kerana beliau ternyata orang yang banyak pengalaman."

Apa pun kita tunggu jawapan Ku Li esok.

Sementara untuk Dr Mahathir pula kita gembira beliau semakin sihat tetapi tetap mendoakan beliau cepat sembuh dan sihat walafiat selamanya.