Friday, October 8, 2010

SELAMAT PULANG DR M & TENGKU RAZALEIGH

Ada dua peristiwa menarik hari ini dan esok.

Hari ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual tiba ke Kuala Lumpur dengan menaiki sebuah pesawat khas.

Pesawat berkenaan dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Tullamarine di Melbournea berlepas kira-kira 3 petang (1 tengah hari waktu Malaysia).

Dr Mahathir pulang selepas keluar hospital Epworth dan berehat di sebuah hotel di Melbourne kerana jangkitan di dada. Beliau dibenarkan keluar dari hospital pada Selasa dan kemudiannya berehat di sebuah hotel hinggalah hari ini.

Bekas Perdana Menteri, yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dijadual berucap kepada pelajar Malaysia dalam sebuah bengkel di Melbourne pada Sabtu namun dibatalkan selepas beliau sakit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menggantikan Dr Mahathir pada seminar itu.

Dan pagi esok, kira-kira pukul 7 pagi di Bilik Ketibaan Orang Kenamaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Tengku Razaleigh Hamzah yang tiba dari penerbangan London dijangka membuat pengumuman penting mengenai kedudukannya di Galas.

Meskipun setakat ini beliau sendiri belum 'buka mulut' mengenai pelantikannya sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan BN bagi pilihan raya kecil itu - cuma dalam Twitter sahaja - namun orang ramai mula bercakap tentang kedudukannya sebagai calon untuk menggalas cabaran BN di kerusi itu.

Dan ketika ini pun, kenyataan terbaru beliau mengenai isu di Gua Musang, khususnya Galas diluahkan menerusi pegawai khasnya, Mohd. Lukhman Ghani.

Menurut tulisan Zulkifli Jalil dalam Utusan Malaysia hari ini, Tengku Razaleigh atau mesra dipanggil Ku Li yang lahir pada 13 April 1937 bukan sekadar orang lama dalam politik tetapi 'masak' dengan sepak terajang arena ini.

Putera Raja dan juga merupakan bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan sebelum ini, Tengku Anis begitu banyak jasanya kepada penduduk Gua Musang.

Dengan keluasan Gua Musang satu perempat Kelantan dan kedudukan rumah-rumah penduduk yang agak jauh antara satu sama lain, jajahan itu bukan asing bagi Ku Li yang menyaksikan jasa dan sumbangannya kepada penduduk yang bukan sedikit.

Pilihan Raya Kecil Galas yang ditetapkan tarikhnya pada 4 November depan sebenarnya membuka peluang kepada BN dan UMNO untuk merampas semula kerusi DUN tersebut.

Galas satu-satunya DUN dalam Parlimen Gua Musang yang dimenangi oleh pakatan pembangkang. Dua lagi DUN iaitu Nenggiri dan Paloh dimenangi oleh BN yang turut menguasai kerusi Parlimen Gua Musang di bawah Ku Li sejak sekian lama.

Sememangnya, bagi Pas, pelantikan Ku Li satu cabaran berat untuk mereka dalam usaha mengekalkan kerusi berkenaan yang sempat diduduki tidak sampai tiga tahun.

Ia diakui sendiri oleh Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron baru-baru ini bahawa Pas berdepan cabaran berat berikutan pelantikan Ku Li. Apatah lagi jika disorot ketokohan dan kemampuan Ku Li yang pernah mencipta rekod dengan menumbangkan kerajaan Pas Kelantan pada 1978.

Pas bimbang sekiranya Galas jatuh, ia mengukuhkan lagi usaha BN untuk menumbangkan kembali kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Sedangkan Pas akan meraikan ulang tahun ke-20 pemerintahannya tidak lama lagi.

Mengulas senario ini, penganalisis politik, Profesor Madya Mohamad Md. Yusof bersetuju sekiranya Ku Li dicalonkan memandangkan beliau seorang wakil rakyat yang mesra rakyat.

"Beliau cocok sekali dan mampu merampas kerusi daripada Pas berdasarkan senario Pas yang semakin gawat akibat kelemahan pentadbiran Kelantan khususnya dalam menangani isu kesultanan," kata beliau yang juga pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) kepada akhbar ini semalam.

Bagi seorang lagi penganalisis dari Universiti Malaya (UM), Noor Sulastri Yurni Ahmad nadanya agak berbeza. Beliau mengakui isu calon akan mewarnai pilihan raya kecil itu kali ini.

"BN patut tonjolkan muka baru. Memang dah elok letakkan Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya BN di Galas tetapi sebagai calon, saya tidak fikir begitu. Sekali pun Ku Li menang, ia tidak menyumbang kepada populariti BN di Kelantan yang saya percaya negeri itu masih akan kekal sebagai hak mutlak Pas pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan bercakap kepada pemberita semalam, berkata: “Saya fikir beliau tidak akan setuju jika dicalonkan tetapi secara peribadi selaku Ketua Penerangan UMNO, saya sambut baik kerana beliau ternyata orang yang banyak pengalaman."

Apa pun kita tunggu jawapan Ku Li esok.

Sementara untuk Dr Mahathir pula kita gembira beliau semakin sihat tetapi tetap mendoakan beliau cepat sembuh dan sihat walafiat selamanya.

No comments:

Post a Comment