Saturday, February 4, 2012

LANGKAH UMNO KELANTAN DEKATI KU LI AMAT BAIK UNTUK MENANG

Elok sangatlah jika UMNO Kelantan mahu meminta pandangan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dalam usaha memastikan Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Bukan apa, UMNO bukan jenis parti yang lupakan jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulunya.

Lagipun Ku Li dah cakap pun peluang Barisan Nasional BN untuk menawan semula negeri Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 nanti, tetap ada jika BN mempunyai persediaan secukupnya.

"Bagi kita sentiasa yakin, tetapi soalnya terletak atas persediaan dan kesungguhan kita," kata Ku Li

Malah ketika menjawab sama ada beliau akan bekerjasama dengan pemimpin parti pembangkang bagi mengukuhkan kedudukannya dalam politik, Tengku Razaleigh sambil berkata: "Saya sudah kahwin kan, lebih baik bergabung dengan isteri saya."

Jelas dan tepat apa yang dikatakan Ku Li itu. Buat apa mahu berpindah parti sedangkan Umno menjadi darah dagingnya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa) hari ini berkata Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam politik negara dan Kelantan dan sebab itu pandangan tokoh Umno itu diperlukan dalam usaha menawan kembali negeri itu daripada PAS.

"Kita akan meminta nasihat Ku Li (Tengku Razaleigh) bagaimana untuk menjalankan gerak kerja Umno dengan lebih mantap dan berkesan dalam usaha merampas Kelantan daripada tangan PAS," katanya kepada pemberita selepas menutup Ekspo Usahawan Mara di Tok Bali dekat Pasir Puteh hari ini.

Memang benar kata-kata Tok Pa tu. UMNO jangan jadi ‘kacang lupakan kulit’.
Malah kalau boleh kumpulkan semua hulubalang UMNO dan minta nasihat serta berpakat untuk tawan Kelantan.

Penat sudah dengan perselisihan dalaman dan cah keting. Tak akan ke mananya UMNO Kelantan kalau terus bersikap sedemikian.

Kehadiran Tengku Razaleigh pada mesyuarat badan perhubungan UMNO Kelantan dua hari lalu sebenarnya memberi impak dan semangat kepada anggota Umno untuk bekerja keras dalam menghadapi pilihan raya umum itu nanti.

Kelmarin, Tengku Razaleigh menafikan beliau memboikot mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan kerana sering tidak menghadiri mesyuarat badan itu sejak beberapa lama.

Tengku Razaleigh, yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang, berkata beliau bukan sengaja tidak mahu menghadiri mesyuarat itu kerana kadang-kadang surat jemputan mesyuarat itu lewat diterimanya.

"Saya tak hadir, bukan tak nak hadir, tapi (surat) jemputan kadang-kadang lewat sehari selepas mesyuarat atau sehari sebelumnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno itu bersama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perhubungan Umno Negeri di Kota Bharu.

Pemimpin veteran ini ditanya mengenai kedudukannya yang sudah lama tidak kelihatan menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno itu, sejak selepas pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Bagi Tok Pa, Umno Kelantan akan menjadikan amanat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat Kelantan dua hari lalu sebagai perangsang untuk terus melipatgandakan usaha menawan Kelantan.

"Saya ada berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri tentang beberapa perkara seperti sokongan golongan muda yang perlu diberi perhatian termasuk kawasan-kawasan tertentu," kata Tok Pa.

Umno Kelantan perlu bekerja lebih keras dan tidak akan mudah berpuas hati dengan sokongan yang dikatakan begitu meningkat terhadap Umno ketika ini.

"Saya memang gembira dengan peningkatan sokongan yang begitu meningkat tetapi saranan Timbalan Perdana Menteri untuk terus bekerja kuat akan dijadikan azimat kepada anggota Umno di Kelantan," katanya.

No comments:

Post a Comment