Saturday, March 28, 2009
APA MAKNA PEMILIHAN MT?
(Isu Sabtu)
Bertanding jawatan tinggi sama ada sebagai Naib Presiden atau Ahli Majlis Tertinggi – demi memperkuatkan parti atau mendapatkan jawatan dalam kerajaan?
Apakah dengan menduduki kerusi itu kedudukan seseorang dalam kerajaan akan terjamin?
Lebih jauh apakah juga bermakna dengan mendapat jawatan parti, seseorang akan melonjak naik dalam kerajaan?
Soal pokok kepada pertandingan MT bertujuan memperkukuhkan parti.
Kini suara-suara supaya mereka yang menduduki jawatan parti perlu mengutamakan parti terlebih dahulu semakin ketara.
Persoalan ialah apakah pemilihan untuk MT kali ini mencerminkan kehendak ahli untuk meletakkan pemimpin yang mampu menggembalikan maruah parti?
Apakah 25 ahli MT ini mempunyai kelebihan sendiri untuk berjuang demi parti?
Dengan kata lain ahli UMNO akan mempersoalkan mereka yang dipilih, apakah mereka menyumbang untuk UMNO atau untuk kedudukan mereka dalam Kabinet?
Persoalannya, apakah mereka yang kalah tidak lagi perlu menyumbangkan tenaga untuk parti?
Apakah wajar menyerahkan tugas memulihkan parti bergantung bulat-bulat kepada Presiden, timbalan, naib-naib, ahli majlis tertinggi serta barisan pemimpin wanita, pemuda dan puteri?
Bila melihat kepada kekalahan beberapa Pengerusi Perhubungan UMNO pada pemilihan kali ini, banyak persoalan yang timbul di kepala kini.
Apa maknanya kepada kejutan kekalahan semua empat Menteri Besar dan dua Menteri Kabinet yang bertanding Ahli Majlis Tertinggi?
Keempat-empat Menteri Besar yang tewas ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Dua menteri Kabinet yang tewas ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.
Turut gagal pada pemilihan MT yang keputusannya diumumkan malam ini ialah bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad. Dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom dan Datuk Hassan Malek turut tewas.
Apakah mereka dilihat tidak mampu menyumbang kepada parti atau negeri-negeri berkenaan memerlukan pemimpin lebih kuat dan mampu membawa arus perubahan?
Atau apakah mereka ini sudah terlalu lama dalam politik dan tidak lagi menggambarkan ‘kepentingan golongan kepimpinan baru’?
Bagaimana yang baru kali pertama mencuba? Juga mungkin ada persepsi bahawa kalaupun kalah, mereka tetap akan dilantik semula dan dengan melantik ‘orang luar’, akan lebih ramai bekerja untuk UMNO.
Tetapi apa pula maknanya kemenangan kepada mereka yang tidak mempunyai jawatan kerajaan, sebaliknya hanya memegang kerusi pengerusi agensi kerajaan?
Kemenangan besar kepada mereka yang yang tidak berada pada jawatan penting dalam kerajaan melebihi 40 peratus.
Apakah mereka menang kerana dilihat mampu memberikan sumbangan kepada parti?
Ramai juga yang menimbulkan pertanyaan, bagaimana mereka ini boleh menang. Apakah kerana mereka berkedudukan sebagai Pengerusi kepada agensi kerajaan yang penting dan boleh menawarkan ‘ganjaran untuk ahli UMNO’ dan bagaimana pula yang tidak berjawatan?
Bagaimana mereka yang tidak berjawatan ini mampu berkempen dan menawan hati ahli UMNO untuk memilih mereka?
Mereka adalah (mengikut nombor kemenangan dan jumlah undi) : (4) Senator Datuk Azian Osman (2,060), (5) Datuk Zainal Abidin Osman (2,054) (10) Dr Mohd Puad Zarkashi (1,700), (11) Datuk Tajuddin Abdul Rahman (1,685), (14) Datuk Seri Dr Jamaluddin Mohd Jarjis (1,622), (16) Senator Datuk Dr Norraesah Mohamad (1,611), (17) Datuk Seri Mahadzir Khalid (1,580), (20) Datuk Bung Moktar Radin (1,517), (21) Datuk Dr Awang Adek Hussin (1,481), (24) Datuk Seri Idris Jusoh (1,275) dan (25) Datuk Azeez Abdul Rahim (1,265).
Mengambil beberapa contoh – Azian ialah Pengerusi Syarikat Perumahan Negara, Tajuddin (Felcra), Dr Awang (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) dan Idris (Pengerusi Mara) sementara Zainal adalah Penasihat Kementerian Luar Bandar.
Berbalik kepada soal berbakti kepada parti, adalah menjadi cabaran kepada mereka ini supaya membalas kepercayaan ahli UMNO.
Ujian paling awal adalah tiga pilihan raya kecil. Apakah mereka ini mampu memberikan sumbangan besar menjamin kemenangan Barisan Nasional?
Kita tunggu bagaimana cara mereka bekerja dan bertindak.
Bola sudah berada di kaki mereka!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Tuan...
ReplyDeleteKalau kita lihat senario di Kuala Terengganu,
kebanyakkan mereka yang berjawatan besar hanya duduk di bilik hotel dan berkempen untuk PAU UMNO...natijahnya UMNO kalah di KT.Jika itu yang terjadi di 2 bukit 1 batang, keputusan yang sama kita akan perolehi.Tapi musim pemilihan dah berakhir, diharap pemimpin hebat ini mungkin akan turun padang untuk bersama memenangkan PRK kali ini.
Pemilihan MKT nampak ada 'balancing'. Cuma alignment ada yang lari sikit.Namum perwakilan telah menterjemahkan pemilihan mereka sebagaimana kehendak sistem yang ada.
ReplyDeleteSaya yakin perwakilan telah memberi undi tidak mengikut amanah yang diberikan oleh bahagian masing-masing. Sepatutnya perwakilan dari bahagian masing-masing mempunyai senarai calon-calon yang telah dipersetujui diperingkat Bahagian. Kemudian undi calon berkenaan.Itu amanah ahli . Baru ada calon tidak kena tipu. Pencalonan banyak; undi sedikit.
Contoh terbaik,calon ketua puteri yang dapat 3 undi.What the hell is going on.Pengurusan tipu atau perwakilan menipu.
Satu lagi diantara banyak-banyak lagi ialah dalam pemuda. Pencalonan popular orang lain,pemenang orang lain.
Semoga sitem baru yang bakal diperkenalkan bagi menganti sistem lapok ini akan dapat mencerminkan kesejagatan dalam pemilihan UMNO nanti.
Salam,
ReplyDeleteKomen saya ini ada sedikit kaitan dengan pemilihan dalam PAU 2009. Saya merujuk kepada kes perletakan jawatan Datuk Shahril Samad dalam perebutan jawatan MKT di mana beliau tewas.
Benarkah Kerana Prinsip?
Datuk Shahrir Samad menegaskan beliau akan melepaskan jawatan menteri selepas tewas pemilihan ahli Majis Tertinggi (MT) Umno semalam. Shahrir yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, beliau akan mengemukakan keputusan itu kepada mesyuarat Kabinet Rabu depan.
"Keputusan saya adalah muktamad kerana berpegang kepada prinsip parti sesiapa yang tidak lagi dipilih dalam MT beliau tidak layak memegang jawatan dalam Kabinet," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Shahril memang terkenal dengan perjuangan politik melalui prinsip. Prinsip yang dipegang oleh Shahril jarang-jarang ada di kalangan ahli UMNO. Menteri ini ketika di zaman payahnya pernah membuka kedai dobi untuk meneruskan kelangsungan hidupnya. Shahril yang diketahui umum adalah penyokong kuat Pak Lah. Perlu diingat barisan kabinet diwaktu ini adalah daripada team B yang didominasikan oleh penyokong Kuli dan Musa Hitam. Kemasukan Shahril dalam arus perdana politik negara adalah atas kehendak Pak Lah.
Saya ingin mengaitkan perletakan jawatan Shahril ini dengan kemenangan TS Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO. Hubungan Shahril dengan Muhyiddin tidak lah semesra mana walaupun mereka datang dari negeri dan parti yang sama. UMNO bahagian Johor Bahru sendiri mencalonkan Ali Rustam sebagai calon Timbalan Presiden UMNO dalam mesyuarat bahagiannya. Shahril yang terkenal dengan cara menongkah arus sekali lagi melawan arus kepada Badan Perhubungan Negeri Johor yang menyokong TS Muhyiddin.
Kemenangan Muhyiddin menjanjikan zaman gelap kepada Shahril yang berkemungkinan tidak akan dilantik semula sebagai menteri jika berlaku rombakan kabinet dalam waktu terdekat. Sebelum rombakan kabinet, Shahril sudah mengangak kedudukannya sebagai menteri seperti telur dihujung tanduk.
Sebelum apa-apa berlaku, Shahril mengambil langkah bijak dengan meletakkan jawatan terlebih dahulu. Tindakan Shahril ini boleh dibaca jika melihat kepada sejarah Perhimpunan Melayu Johor (PMJ).PMJ diadakan berikutan wujudnya perpecahan di kalangan orang Melayu terutama di Johor apabila UMNO diharamkan pada 1987. Persaingan sengit merebut jawatan pucuk pimpinan UMNO antara Team A di bawah Dr Mahathir dengan Team B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Musa Hitam (Tun). Kekalahan Team B telah mengheret UMNO ke mahkamah.
Golongan yang kecewa ini cuba menyediakan satu alternatif baru kepada orang Melayu dengan menubuhkan parti Semangat 46 (S46). Sebagai parti serpihan UMNO, parti S46 turut menjadikan konsep dan falsafah perjuangannya sama seperti UMNO. Orang Melayu yang berpecah-belah sama ada bertahan di dalam UMNO, atau menyertai S46. Gelora perpecahan Melayu ini semakin parah apabila diadakan Pilihan Raya Kecil Parlimen Johor Bahru dan Dewan Undangan Negeri Parit Raja.
Di Johor Bahru Datuk Shahrir Abdul Samad (bekas setiausaha politik Tun Musa)mengosongkan kerusi parlimen yang dimenanginya atas tiket Barisan Nasional pada 1986. Shahrir cuba menguji kekuatan UMNO dengan bertanding semula atas tiket bebas yang ditaja oleh kumpulan S46. Pilihan Raya Kecil Parlimen Johor Bahru diadakan pada 25 Ogos 1986, iaitu hampir tujuh bulan selepas UMNO diharamkan.
Ramai penganalisis politik tidak melihat pilihan raya itu sebagai medan menguji kekuatan UMNO. Sebaliknya mereka berkata ini hanyalah satu ujian populariti. Johor Bahru adalah kubu kuat Shahrir. Beliau menang pilihanraya itu bukan kerana parti S46 kuat dan UMNO lemah tetapi populariti Shahrir sendiri mengatasi faktor yang lain. Peristiwa ini berlaku ketika Muhyiddin sebagai Menteri Besar Johor. Pada ketika itu Muhyiddin adalah berpihak kepada Tun Mahathir sedangkan Shahril lebih condong kepada Tun Musa.
Shahril secara sekilas pandang memang tidak serasi dengan Muhyiddin. Jadi saya melihat, benarkah perletakkan jawatan Shahril berasaskan kepada prinsip atau faktor kemenangan TS Muhyiddin?
Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com