Showing posts with label Menang. Show all posts
Showing posts with label Menang. Show all posts

Monday, March 7, 2011

KEMENANGAN HATRIK BN – TSUNAMI POLITIK SEMAKIN PULIH?

Kemenangan ini pastinya signifikan kerana apa yang diperjuangkan PAS ditolak rakyat. Ini termasuk perkara-perkara membabitkan perjuangan rakyat, konsep negara Islam dan tohmahan yang dilemparkan. Lebih nyata, majoriti orang Melayu tidak melihat PAS memperjuangkan nasib mereka tetapi lebih kepada perjuangan BN.



Selepas menang di Galas, Barisan Nasional (BN) mencatatkan hatrik dengan kemenangan berganda di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau semalam.

BN mengekalkan kedua-dua dengan majoriti lebih besar berbanding prestasi di pilihan raya umum tiga tahun lalu, iaitu bertambah 1,489 di Merlimau dan 1,109 di Kerdau. Keputusan berkenaan diumumkan serentak kira-kira jam 8.15 malam semalam.

Dengan kemenangan ini, BN telah memenangi lapan daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan selepas PAS pilihan raya umum pada 2008. Tiga lagi kemenangannya ialah di Bagan Pinang, Batang Ai dan Hulu Selangor.

Trend kemenangan itu membuktikan BN semakin mendapat sokongan rakyat selepas tsunami politik pada 2008 yang mengakibatkan BN kehilangan empat negeri dan majoriti dua pertiga di Parlimen.

BN memperoleh majoriti 2,724 undi manakala Kerdau merekod¬kan kelebihan 3,643 undi. Calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad memperoleh 5,060 undi manakala calon PAS, Hassanuddin Salim mendapat 2,336 undi.

Pada pilihan raya kecil Ahad, DUN Kerdau turut merekodkan 83 peratus daripada 8,999 pemilih berdaftar yang keluar mengundi, mengatasi jumlah peratusan pada pilihan raya umum pada 2008 (80.3 peratus) dan pada 2004 (79.7 peratus).

Di Merlimau, calon BN, Roslan Ahmad, 44, bersaing dengan PAS, Yuhaizat Abdullah, 38, mendapat 5,962 undi berbanding 2,319.


Jumlah yang keluar mengundi di Merlimau ialah 78.76 peratus daripada 10,679 pemilih berdaftar, yang mencatatkan peningkatan berbanding 76.18 peratus pada pilihan raya umum 2008.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan juga daripada BN pada 20 Januari lalu. Pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim daripada BN pada 12 Februari lalu.

Kemenangan di Merlimau dan Kerdau ini menyaksikan BN mengekalkan kemenangan tanpa kalah susulan kejayaan merampas balik kerusi DUN Galas, Kelantan dan mempertahankan DUN Tenang, Johor Januari lalu.


Kemenangan ini pastinya menuntut tanggungjawab besar kepada BN yang perlu melaksanakan amanah rakyat di sebalik ia amat signifikan kerana jelas apa yang diperjuangkan PAS ditolak rakyat.

Ini termasuk perkara-perkara membabitkan perjuangan rakyat, konsep negara Islam dan tohmahan yang dilemparkan. Lebih nyata, majoriti orang Melayu tidak melihat PAS memperjuangkan nasib mereka tetapi lebih kepada perjuangan parti.

Kemenangan BN 2-0 dengan majoriti lebih besar pastinya meneruskan trend kemenangan BN yang menerajui Putrajaya dan kerajaan negeri – kecuali Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah - dalam lima pilihan raya kecil setakat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menganggap kemenangan BN ini amat signifikan.

Apa signifikannya?

1. Ia sebagai pengesahan kepada dasar-dasar kerajaan, ekonomi dan sosial di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak;

2. Rakyat atau pengundi menolak perjuangan PAS menerusi dasar buku jingga dan negara Islam;

3. Beberapa isu yang diketengahkan dapat dijelaskan kepada pengundi antaranya isu ekonomi, kenaikan harga barang dan juga soal pendidikan diterima baik oleh rakyat;

4. Faktor calon yang dimahukan pengundi - berwibawa, bersih dan boleh menang – serta calon muda juga merupakan satu faktor;

5. Sokongan kaum Cina yang menunjukkan peningkatan walaupun tidak sebaik undi yang diperoleh masyarakat Melayu dan India;

6. Parti komponen MIC, PPP (Parti Progresif Penduduk) dan Makkal Sakthi memberikan sokongan penuh; dan

7. Kempen yang berdisiplin dilakukan sayap UMNO seperti Wanita BN melalui jentera Jalinan Rakyat BN mampu berkempen dengan penuh disiplin, berhemah dan berkomitmen tinggi.


Walaupun kemenangan PRK ini satu keputusan cemerlang tetapi yang ia tidak menggambarkan senario nasional secara keseluruhan. Kerana itu , tidak semestinya pilihan raya ke 13 akan diadakan segera.

Lagipun undi kaum Cina masih belum pasti ketika ini dan MCA dan Gerakan perlu bekerja lebih keras untuk memastikan dasar-dasar kerajaan dan BN difahami sepenuhnya.

Namun, di sebalik itu kemenangan berganda ini memberikan isyarat kepada PAS bahawa perjuangan mereka tidak diterima oleh masyarakat Melayu, Ia bukan sekali tetapi beberapa kali mereka ditewaskan di Galas, Batu Sapi, Tenang dan semalam di Merlimau dan Kerdau.

Sunday, January 30, 2011

CIK GU MALA TEWAS KEPADA MOHD AZHAR DENGAN MAJORITI 3,706 UNDI


Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azhar Ibrahim berjanji akan menumpukan kepada masalah banjir yang melanda penduduk di sekitar pekan Labis dan Tenang.

"Selepas ini saya berjanji akan menumpukan kepada masalah banjir di Labis dan DUN Tenang. Saya juga akan menumpukan perhatian kepada masalah penduduk dan isu tempatan," katanya pada sidang media selepas pengumuman calon yang memenangi DUN Tenang di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Majlis Daerah Labis malam ini.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis jam 10 malam ini.

Barisan Nasional (BN)menerusi Mohd Azhar mencapai kemenangan besar mempertahankan kerusi N.05 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan majoriti 3,706 undi dengan menewaskan pencabarnya Normala Sudirman (gambar kiri) dari Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Mohd Azhar yang juga bekas Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah Daerah Kecil Rengit meraih 6,699 undi berbanding Normala yang hanya mendapat 2,992 undi.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh semua sayap Umno dan Barisan Nasional. Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada sayap Puteri, Pemuda dan Wanita yang telah banyak membantu saya berkempen di sini.

"Pada masa yang sama, saya ingin melahirkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan parti komponen dan sahabat-sahabat BN," katanya.

Beliau melahirkan rasa kesyukuran atas kemenangannya sebagai wakil rakyat yang baru kawasan tersebut.

Pada pilihan raya semalam, proses pengundian tetap dijalankan dalam suasana banjir teruk melanda Labis hingga menyebabkan jalan-jalan utama dari kampung terputus hubungan.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandanganya, Datuk Sulaiman Taha 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada 17 Disember tahun lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran.

Majoriti yang diperoleh Mohd Azhar adalah 3,707 undi, berbanding 2,492 yang diperoleh Sulaiman pada pilihan raya umum 2008.

Hujan lebat yang turun sejak awal pagi ini sehingga mengakibatkan banjir menyebabkan para pengundi terpaksa dibawa ke tempat-tempat mengundi dengan menaiki trak tentera dan bot.

Keadaan cuaca buruk bagaimanapun tidak menghalang lebih kurang 72 peratus pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil kali ini.
BN memperolehi majoriti di tiga daripada empat pusat mengundi kawasan Cina iaitu di Bandar Labis Timur, Labis dan Tenang malah pengaruh PAS di kubu kuatnya di Bandar Labis Tengah turut terhakis.

Keseluruhannya BN berjaya meraih 40 peratus undi Cina.

Sokongan kepada BN di kawasan-kawasan Felda dan kampung-kampung Melayu turut meningkat. Tiga kawasan Felda, iaitu Felda Tenang, Felda Chemplak Barat dan Felda Chemplak menunjukkan majoriti meningkat BN daripada 1,966 undi pada 2008 kepada 2,241.

Difahamkan, undi kaum India turut beralih kepada BN di mana majoriti undi di dua kawasan penduduk India meningkat daripada 260 pada 2008 kepada 365.

Monday, December 27, 2010

TEWASKAN INDONESIA 3 - 0 – 1 MALAYSIA, PM BANGGA

Tahniah dan sewajarnya rakyat satu Malaysia (seluruh negara), termasuk peminat nombor 1 – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak – bangga dengan kejayaan skuad bola sepak menumpaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap mutu permainan skuad bola sepak negara semakin meningkat, dan kejayaan itu amat membanggakan negara.

Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan pasukan negara supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan malam ini kerana mereka masih mempunyai satu lagi tugas penting di perlawanan timbal balik akhir di Jakarta Rabu ini.

Sokongan Najib bukan pada perlawanan ini sahaja kerana minat Perdana Menteri kepada bola sepak negara dalam saingan Piala AFF-Suzuki sudah terbukti apabila beliau sanggup duduk bersama penonton di atas jalanraya di kawasan Bukit Bintang, untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Vietnam, melalui skrin besar di kawasan itu pada 19 Disember lepas.

Malaysia menewaskan Vietnam 2-0 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mengikat lawan tanpa sebarang jaringan pada perlawanan di Stadium My Dinh di Hanoi untuk melangkah ke perlawanan akhir.

"Saya amat gembira dengan kemenangan itu (tundukkan Indonesia). Pasukan negara menunjukkan persembahan baik malam ini, dan seluruh negara amat berbangga dengan pasukan kita," katanya dalam satu kenyataan semalam sambil menambah: "Mereka perlu menampilkan satu lagi persembahan mantap di Indonesia."

Di pihak penonton, seramai 85,000 membanjiri Stadium Nasional di Bukit Jalil dan bukti jelas penyokong tempatan sebenarnya bersedia berdiri di belakang pasukan dan memberikan sokongan padu asalkan skuad kebangsaan bangkit.

Gol-gol Malaysia yang dijaringkan oleh Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-59 serta 71, dan Mohamad Ashari Samsudin pada minit ke-67, membolehkan Malaysia membawa bekalan selesa untuk bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta pada perlawanan akhir kedua Rabu ini.

Friday, November 5, 2010

TAHNIAH KEPADA PERANCANG STRATEGI DI GALAS

Banyak pihak terkejut Barisan Nasional (BN) menang begitu besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Pada pilihan raya kecil DUN Galas semalam , calon BN Abdul Aziz Yusof mendapat 5,324 undi manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamad memperolehi 4,134 undi. BN menang dengan majoriti 1,190 undi. Berbanding dengan pilihan raya 2008, calon PAS, Che Hashim Che Sulaima memperolehi 4,399 undi untuk menang dengan majoriti 646 undi.

Kemenangan ini walaupun ada kaitan dengan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Pusat, namun isu-isu yang ditimbulkan di Galas dan perancangan kempen menjadi faktor utama kepada kemenangan BN dengan majoriti sedemikian.

Banyak pihak memang merasakan undi Orang Asli dan orang Cina di Galas menjadi penentu biarpun pengundi Melayu-Islam tetap menjadi asas kemenangan atau kekalahan.

Kerana itu menarik untuk menghayati apa yang dikatakan oleh Pengarah Pilihanraya DAP, Thomas Su mengenai pengundi Cina seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini. Menurut analisisnya, terdapat dua faktor yang menjadi punca Pakatan hilang undi pengundi Cina, iaitu kempen 1Malaysia dan peratus pengundian yang tinggi.

Katanya, BN tidak pernah menggunakan parti politik Cina untuk berkempen, tetapi sebaliknya ia dilakukan menerusi apa yang dikenali sebagai "NGO 1Malaysia" untuk menarik pengundi Cina.

Kempen ini benar-benar berbeza berbanding dalam pilihan raya kecil yang lalu. BN tidak menggunakan parti politik (Cina) untuk kempen, semuanya datang dari kumpulan 1Malaysia, yang disokong oleh pemimpin MCA. "Setiap kali kita mengadakan ceramah besar, kumpulan itu akan mengadakan makan malam besar, ini tidak seperti trend kempen biasa pilihan raya BN."

Oleh itu, kata Thomas, peratusan pengundian yang tinggi memberi lebih banyak undi pengundi Cina kepada BN. Dengan mengambil contoh di Pulai, beliau berkata, walaupun Pakatan berjaya menambah sembilan undi, tetapi BN menambah lebih banyak undi daripada Pakatan dan menang di kawasan majoriti Cina.

Pakatan kalah 25 undi di Pulau dalam pemilihan umum.

Ini bermakna dasar 1Malaysia diperhalusi untuk dijadikan strategi oleh pihak tertentu dalam BN untuk membantu BN merampas DUN Galas yang menyaksikan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada pakatan pembangkang.

DAP mengendalikan tiga kawasan dalam kempen di Galas, iaitu Pulai, Kampung Baru dan Bandar Lama. Hanya dua kawasan yang bermajoriti pengundi Cina - Pulai (83.86%) dan Kampung Baru (52.6%). Manakala Bandar Lama merupakan kawasan campuran Melayu-Cina (30.54%).

Pakatan memperolehi 1,784 undi di tiga kawasan tersebut pada 2008, tetapi merosot 206 undi atau 4.92 peratus secara keseluruhannya dalam pilihan raya kecil semalam. “Dari angka-angka ini, kami menganggarkan undi pengundi Cina merosot 2 hingga 3.5 peratus tetapi ia tidak serius, drastik atau membimbangkan," kata Thomas.

Mengenai Orang Asli pula, cara kempen untuk membantu mereka dalam konteks jaminan masa depan memberikan kelebihan kepada BN.

Pada ketika PAS hanya melihat keperluan semasa – kerana itu menabur wang sebelum dan ketika kempen pilihan raya – BN memainkan isu pemilikan tanah, rampasan tanah untuk dijadikan Ladang Rakyat serta isu hakisan, pencemaran, air bersih dan sebagainya berjaya memikat hati orang Asli.

Dalam isu peningkatan ketara pengundi Orang Asal kepada BN dikatakan oleh PAS sebagai penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan mereka.

Penglibatan secara langsung agensi kerajaan terbabit yang dikatakan dengan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asal menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.

Itu kata mereka. Namun hakikat yang perlu diterima ialah selain Orang Asli lama terabai, tanah mereka dirampas dan ketidakpastian masa depan mereka tidak dilihat oleh PAS.

Juga jangan perkecilkan bagaimana Tengku Razaleigh meredah hutan belantara untuk ke perkampungan Orang Asli yang turut menjadi punca sokongan kepada BN.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun (gambar kiri) berkata, PAS tidak menjangkakan menerima kekalahan dengan majoriti besar pada pilihan raya kecil Dewan itu tetapi terpaksa menerima hakikat gagal mempertahankan kerusi DUN Galas yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum 2008.

"Kekalahan ini sesuatu di luar jangkaan... tapi kami terpaksa menerima hakikat dengan keputusan ini. Saya terkejut kerana ia di luar dugaan kita, mungkin ada kelemahan yang berlaku," katanya malam semalam.

Jika PAS akan melakukan post-mortem untuk kenal pasti punca kekalahan, BN juga perlu kenal pasti punca kemenangan dan di atas dasar apa sebilangan pengundi terus menyokong PAS walaupun terang-terangan PAS terjerat dengan masaalah yang mereka sendiri ciptakan, khususnya dalam isu merasuah pengundi dan janji yang tidak dilaksanakan di Galas.

Dengan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan, BN akan bertambah yakin menghadapi pilihan raya umum akan datang dan dengan kedudukan semangat dan keyakinan yang semakin tingg, sewajarnya BN bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13 pada bila-bila masa.