Showing posts with label Akta 355. Show all posts
Showing posts with label Akta 355. Show all posts

Monday, December 19, 2016

PINDAAN AKTA 355 – APA YANG TERSURAT DAN TERSIRAT MENURUT UMNO

 

"Kononnya akan ‘bersatulah penyokong UMNO dan PAS’ gara-gara persetujuan melalui Akta 355 ini...jika benar mahukan perpaduan sepatutnya tersangat penting ialah antara Islam dan bukan-Islam demi survival Malaysia."

Baca tiga petikan ini untuk faham kenapa usaha meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai Akta 355 dilepaskan oleh UMNO kepada Presiden PAS untuk mengusulkannya di Dewan Rakyat.

Selepas membaca nilai sendiri kesannya.

1.      Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan: "Ia (RUU) adalah satu pengikat antara perpaduan kita dengan PAS dan ia adalah satu perkara yang bila diangkat di Padang Masyar nanti kita tidak mahu ditanyakan apakah yang kita buat tentang perkembangan Islam di Malaysia, kita tak boleh nak jawab kalau kita tak sokong akta 355.”

2.      Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom: “Kenapa undang-undang persendirian? Kenapa kerajaan tak bawa terus? Kita ada kekangan-kekangan kita, kita ada SOP kita. Kalau kerajaan bawa kita kena konsenses 14 buah negeri dibawa kepada kabinet kemudian ke Majlis Kebangsaan (Hal ehwal) Islam seterusnya Majlis Raja-raja.”

3.      Ahmad Maslan: “...rang undang-undang itu selepas ini akan dibentangkan sendiri oleh kerajaan selaku pemerintah negara.”

Dan melalui tiga perkara yang tersurat ini Ahmad Maslan berhujah komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan tidak lagi boleh berkata tidak kepada rang undang-undang persendirian yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta 355.

Amat jelas jika dilihat kepada hujah Ahmad Maslan RUU adalah satu pengikat perpaduan UMNO-PAS apabila beliau menyebut, “satu pengikat antara perpaduan kita (UMNO) dengan PAS”.

Walaupun tiada kerjasama politik tetapi UMNO membuktikan betapa pentingnya ikatan perpaduan antara parti itu dengan PAS.

Kerana inilah  mungkin parti komponen dalam BN tidak diberikan penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai tujuan pindaan dan kenapa diberikan hak kepada PAS untuk membawa usul berkenaan.


Jika benar ia amat penting untuk Melayu dan Islam, UMNO sebagai parti memperjuangkan dua perkara itu mesti ambil tanggungjawab untuk membawa usul.

Namun demi perpaduan UMNO-PAS, UMNO sanggup berdepan kritikan rakan komponennya, selain rakyat bukan Islam.

UMNO bimbang menerangkan kepada rakan komponen bahawa ia mempunyai biat untuk berbaik dengan PAS kerana akan dilihat mementingkan kesepakatan Melayu dan Islam.

Salahkah? Memang UMNO memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan memartabatkan Islam.

Dengan berselindung sebegini, lebih menimbulkan syak wasangka dan kini sudah didedah dan diakui mengenai wujudnya usaha perpaduan itu.

Yang juga menjadi pertanyaan ialah kenapa dalam banyak-banyak pemimpin UMNO atau Ahli Parlimen UMNO yang pastinya Islam, Hadi yang menjadi pilihan?

Bukankah ini antara perkara yang dibangkitkan oleh parti komponen?

Juga kenapa ahli UMNO membisu apabila pemimpin mereka yang tidak kurang Islam berbanding Hadi diketepikan begitu sahaja sebaliknya pucuk pimpinan memilih Hadi untuk membentangkan usul berkenaan?

Tidak beranikah pemimpin UMNO dan rata-rata ahli UMNO untuk memperkatakan hal ini dan mempersoalkan ‘kenapa pilih Hadi’ kepada pucuk pimpinan?

Jika  menteri UMNO atau Ahli Parlimen UMNO yang bentangkan usul pindaan ini, rasanya tidak akan timbul masalah besar.

Hadi di mata orang Islam dan bukan Islam tidaklah mempunyai rekod cemerlang. Hadi yang terbukti terpalit dengan AMANAH HADI dan dilihat gagal memperjuangkan Hudud sebenarnya hanya mendatangkan masalah kepada UMNO dan kerajaan apabila dibenarkan membentangkan usul bagi pihak UMNO. Kini sudah jelas menjadi isu gara-gara ‘perpaduan’ seperti yang disebut Ahmad Maslan itu.

Fahamkah pemimpin UMNO dan Ahmad Maslan sendiri bahawa penentangan sejauh ini bukan mengenai tujuan dan kandungan Akta 355 tetapi kenapa Hadi yang mengusulkannya?

Fahamilah ketakutan bukan Islam kepada Hadi dan PAS dan jangan pula UMNO dan pucuk pimpinannya ‘sesat’ hanya kerana kepentingan UMNO untuk ‘bersepadu’ dengan PAS.

Semua pemimpin komponen BN dan pembangkang sejauh ini menghormati kedudukan Islam di Malaysia, Jangan bersyak-wasangka mengenai perkara ini.

Pemimpin komponen BN juga faham mengenai kedudukan Islam. Jangan anggap bantahan mereka terhadap Hadi bermakna mereka mengkhianati perjuangan Barisan Nasional (BN).

Jangan anggap mereka tidak tahu bahawa tokoh undang-undang tersohor almarhum Prof Ahmad Ibrahim (bekas ketua pengajian undang-undang di beberapa universiti dan mantan Peguam Negara Singapura di bawah PAP yang diterajui mendiang Lee Kuan Yew seperti DAP di Malaysia) telah menulis perkara ini dalam tajuk: "Islam Dalam Perlembagaan" dengan menegaskan: Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan.

Mereka juga tahu bahawa Kuan Yew pun tidak menentang akta ini ketika dibentangkan di Dewan Rakyat kerana memang ia bertujuan menjatuhkan hukuman terhadap orang Islam semata-mata.

Tetapi jangan pula jadikan parti komponen sebagai ‘anak sendiri yang terpinggir dan terbuang’ sebaliknya PAS yang sah ‘anak tiri’ tetapi diberikan keistimewaan dan ditatang bagai minyak yang penuh.


Kenapa jadi begini?

Di kalangan parti komponen pun mereka dapat melihat betapa UMNO kini semakin terdesak dan bimbang dengan hakisan sokongan orang Melayu dan Islam. Mereka tahu dan bukan buta serta pekak.

Negara Malaysia adalah negara berbilang kaum dan Islam agama rasmi yang diakui oleh seluruh rakyat dan parti.

Apa yang lebihnya PAS berbanding MCA, MIC atau Gerakan dan parti-parti di Sarawak dan Sabah dari segi sumbangan kerusi Parlimen kepada BN?

Apakah kerana mereka pemimpin ‘kafir’ dan Hadi ‘Islam bergelar Tok Guru’ serta PAS pula ‘Parti Islam’? Rekod kemenangan pilihan raya PAS pun baik sangat.

PAS kini hanya ada 14 kerusi Parlimen berbanding parti-parti komponen Bn yang lain?

MCA mempunyai 7 kerusi, MIC (4), Gerakan (1), Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (14), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (1), Parti Demokratik Progresif Sarawak (4), Parti Rakyat Sarawak (6), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) (3), Parti Bersatu Sabah (4) dan Parti Rakyat Bersatu Sabah (1).

Jumlah kesemua yang membantu UMNO memerintah ialah 45 kerusi. Bukankah jumlahnya lebih tiga kali ganda?

jadi apa sangat istimewanya cuba mendapat sokongan PAS?

Benar ada jurang yang jauh antara presiden MCA, MIC dan Gerakan serta beberapa parti lain berbanding Hadi dari segi amalan (melihat dari sudut Islam).

Namun jika benar mahukan perpaduan di negara Malaysia dan antara masyarakat, sepatutnya bukan antara Islam dengan  Islam semata-mata tetapi pupuklah persefahaman dan tolerasi yang tinggi antara Islam dan bukan-Islam. Ia tersangat penting demi survival bangsa dan Malaysia yang sebahagian besarnya orang Islam.

Setakat untuk bawa usul ke Dewan Rakyat yang kemudian diambil alih oleh parti kerajaan (UMNO atau BN) seperti yang Hadi lakukan sebanyak dua kali sebelum ini bukan ada apa-apa pun.

Mungkin jika diadakan perundingan daripada kalangan UMNO dan komponen, hasilnya lebih baik dan disokong oleh bukan Islam, seperti mana Kuan Yew menyokongnya pada 1964 dan 1965.

Bukan mahu merendahkan martabat Hadi tetapi kalau setakat “Bangun, Baca dan Tngguh, kemudian Duduk” seperti pada 26 Mei  dan 24 November lalu, ahli parlimen biasa boleh buat. Malah tidak keterlaluan, kalau budak pejabat atau mat dispatch yang boleh membaca dan dilatih tata cara mengemukakan usul di Dewan Rakyat, jika diminta, mampu melakukan kerja seperti itu.


Cumanya ada sedikit tambahan pada bacaan pada 24 November itu iaitu menambah had hukuman penjara daripada 3 tahun kepada 30 tahun maksimun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan kepada maksimum 100 sebatan Syarie.

Apapun, masih banyak perkara yang dipersoalkan mengenai perkara yang diusulkan oleh Hadi itu dan dijangkakan akan ada perbahasan panjang apabila ia menjadi rang undang-undang nanti.

Lurutan daripada usul Hadi itu, Speaker Dewan Rakyat akan membuat huraian pada sesi (mesyuarat dewan) akan datang selaras dengan Peraturan Mesyuarat 15(5).

Dalam konteks proses rang undang-undang persendirian itu, beberapa peraturan mesyuarat perlu diteliti dan menjelaskan mengenai prosedur biasa pembentangan sesuatu usul sebelum ia diangkat menjadi rang undang-undang.

Apabila sudah buat keputusan yang mana sekiranya majlis (anggota dewan) mengizinkan rang undang-undang itu, barulah ia dicap, bermakna apabila dicap barulah sudah sah ia dibaca kali pertama.

Namun, ia belum lagi berakhir di situ kerana rang undang-undang yang telah dicap itu diagih pula dalam dewan dan akan diangkat kepada menteri yang bertanggungjawab untuk menteri berkenaan membuat satu penyata.

Apabila menteri membuat penyata dan diangkat di dalam dewan baru ada perbahasan lagi, selepas itu baru nanti diangkat ke bacaan kedua. Ini bermakna panjang lagi prosesnya.

Ahmad Maslan sendiri menjawab persoalan ini apabila mengatakan selepas ini rang undang-undang itu akan dibentangkan sendiri oleh kerajaan selaku pemerintah negara.

Bermakna selepas ini fungsi Hadi sudah habis, jadi apa perlunya sampai mengeruhkan suasana untuk diserahkan usul untuk Hadi bentangkan?

Awal Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut memaklumkan kerajaan persekutuan akan "mengambil alih"  RUU yang dibawa Hadi bagi meminda Akta 355.

Bagaimanapun ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO, Presiden UMNO itu tidak menjelaskan bagaimana RUU itu bakal "diambil alih" oleh kerajaan.

Menghairankan apabila perkara penting sebegini,  seperti juga isu 1Malaysia Development Berhad langsung tidak disentuh.

Mungkin tidak penting untuk pemimpin dan UMNO mengetahui banyak mengenainya, atau ia memang rahsia antara pemimpin tertinggi UMNO dan PAS. Dengan kata lain, tidak baik untuk dibincang atau dipanjangkan.

Namun, apa yang berlaku di Muktamar PAS berbanding PAU 2016 dalam konteks RUU 355 ini?

Pada muktamar PAS 2016 ia dibahas dan diperkatakan hinggakan ada amaran agar parti lain jangan gagalkan pindaan Akjta 355 ini.

Malah bukan Islam ‘dipertikaikan pendirian mereka’ dalam isu ini, sedangkan PAU2016 tidak pun menganggap ia sesuatu yang penting, walaupun isu ‘berbaik dengan PAS’ ada di sebut pada perhimpunan itu.

Paling aneh, pada  Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara kali ke 15 di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur semalam,  Ahmad Maslan masih  menyelar komponen BN kerana mempertikaikan kenapa usul itu diberikan kepada Hadi untuk dibentangkan.

"Sebelum ini kita dengar MCA tak suka dengan RUU 355, MIC menentang RUU355, Gerakan juga menentang RUU 355. Apabila kita tanya kenapa mereka menentang? Mereka jawab macam mana kami tak tentang, sebab Hadi Awang yang bawa.


"Jadi selepas ini Datuk Seri Jamil Khir yang bawa dan kita akan sokong beliau. MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain tidak boleh kata tidak bila kerajaan bawa RUU 355," katanya.

Beginikah cara UMNO berurusan dengan parti komponen BN?

Juga beginikah cara UMNO menjalinkan perpaduan dengan PAS dengan tidak mengambil pandangan parti  komponen terlebih dahulu sebaliknya umum dahulu dan kemudian paksa komponen BN untuk menerima apa yang UMNO mahu lakukan  dengan PAS?

Ahmad Maslan juga mengingatkan:“...ia adalah satu perkara yang bila diangkat di Padang Masyar nanti kita tidak mahu ditanyakan apakah yang kita buat tentang perkembangan Islam di Malaysia, kita tak boleh nak jawab kalau kita tak sokong akta 355".

Terima kasih kerana ingatan itu namun cara Ahmad Maslah menyebut apa yang akan berlaku di Padang Masyar terhadap yang tidak menyokong Akta 355  nampaknya  mirip kepada cara PAS mempengaruhi orang Islam menyokong mereka.

Apapun, peringatan itu juga perlu diberitahu kepada pemimpin UMNO dan kerajaan bahawa selain Akta 355, tanggungjawab untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat, kemiskinan rakyat, penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa yang kini rakyat sendiri mulai faham dan sedar mengenainya juga perlu ditangani.

Persoalannya, begitu terdesak sekalikah meminta sokongan orang Melayu dan Islam sehingga menyatakan soal Padang Masyar  sebegini?

Atau apakah ini sengaja dituju kepada orang Islam yang menentang pindaan Akta 355 yang dibawa oleh Hadi atau bertujuan mempersoalkan niat dan keyakinan orang Islam lain?

Atau apakah Ahmad Maslah cuba membidas pemimpin AMANAH serta pemimpin Islam dalam parti lain seperti PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia kerana menentang cara Akta 355 ini diusulkan?

Ahmad Maslan boleh menegaskan beliau selaku anggota parlimen Pontian, apalagi anggota kepimpinan lantikan Najib menyokong akta itu seratus peratus, namun memaksa orang lain untuk ‘bersetuju dengannya’ walaupun Padang Masyar disebut, sedikit sukar untuk mengubah pendirian mereka.

Mungkin begitu jugalah dengan pemimpin bukan Islam membabitkan komponen BN. Cara Ahmad Maslan memberikan rasional menggunakan Padang Masyar supaya menyokong usul Hadi ini ternyata lemah.

Sama seperti kenyataan Jamil Khir yang berhujah bahawa  kerajaan tidak membawa RUU itu sejak awal kerana terikat dengan pelbagai kekangan dan prosedur,  juga menggambarkan kelemahan UMNO dan kerajaan.

Mungkin hadirin yang hadir pada majlis mesyuarat agung di PWTC semalam hanya jenis akur dan tidak mahu berdebat panjang dalam isu mengapa kerajaan sejak dulu lagi tidak bertindak membawa RUU tersebut.

Lagipun mereka semua penyokong UMNO dan mestilah ‘wala’ kepada apa sahaja keputusan atau perkara yang ditetapkan pemimpin tertinggi meraka.


Jawapan Jamil Khir bahawa ada kekangan-kekangan dan ada SOP bahawa jika kerajaan yang membawa usul itu maka perlu ada konsenses 14 buah negeri dibawa kepada Kabinet kemudian ke Majlis Kebangsaan (Hal Ehwal) Islam seterusnya Majlis Raja-raja, yang jelas membuktikan usaha untuk meminda Akta 355 itu dibuat tergesa-gesa.

Untuk apa pindaan yang akan melibatkan lebih 15 juta orang Islam (separuh penduduk Malaysia ) cuba dilakukan melalui cara ‘kelam kabut’  kalau bukan kerana terdesak demi perpaduan dengan PAS?

Apabila Ahmad Maslan mengakui usul Hadi ini demi kepentingan perpaduan dengan PAS, amat nyata apa  yang dijelaskan oleh Jamil Khir sudah terbatal sama sekali.

Jangan berklu-klek (flip flop) lah pemimpin UMNO. Lebih baik berterus terang biar rakyat faham daripada rakyat marah kerana cuba mencari jawapan kepada perkara yang tidak benar.

Alasan "Majlis Raja-raja tak boleh bawa kalau tak ada konsenses 14 buah negeri tapi melalui undang-undang persendirian dimana hanya satu negeri atau satu orang bangun bawa undang-undang persendirian," jelas membuktikan UMNO mahu suatu kemenangan segera dari segi politik.

Sanggup makan mi segera walaupun tahu membahayakan kesihatan, bukannya makan mi yang direbus atau dimasak yang mungkin mengambil masa yang lama sedikit tetapi berkhasiat.

Ini yang tersurat yang tanpa disedari ditonjolkan oleh Jamil Khir.

Namun yang sah dan nyata ialah bukan Raja-Raja Melayu yang mendesak atau terdesak tetapi UMNO yang sebenarnya terdesak dan mendesak parti komponen BN lain menyokong usul Hadi.

Isunya kenapa tergesa-gesa dan kini niat dan perkara baik sudah tersangkut-sangkut dan menimbulkan polimik yang tidak berkesudahan. Memburukkan keadaan penjelasan Ahmad Maslan dan Jamil Khir semalam tidak mencerahkan isu, sebalikya mengesahkan banyak telahan sebelum ini.

Persoalannya, sukarkah mendapat konsensus 14 negeri jika diperjelaskan dari awal kerana ia memang berniat baik? Dengan memulakan niat yang baik akan menyebabkan perjalanan usaha yang baik itu diredhai Allah.

Dan bukankah dengan cara yang baik itu  jika dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja nampak UMNO dan kerajaan ikhlas dan melalui saluran yang betul dan memuaskan semua pihak, termasuk komponen BN?

Jangan sama sekali kaitkan pindaan Akta 355 dengan Majlis Raja-Raja yang kelak akan menggambarkan kononnya tiada kesatuan antara mereka.

Kerana tergesa-gesa dan tidak mengikut saluran sewajarnya, MCA semalam mempersoalkan cara rang undang-undang Syariah kontroversi itu diususlkan yang disifatkan oleh pemimpinnya bukti berlakunya konspirasi politik agar ia diluluskan dengan cepat.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA,  Ti Lian Ker merujuk kepada kenyataan Jamil Khir itu berkata  kenyataan Jamil adalah bukti konspirasi politik untuk memintas hak negeri dan Majlis Raja-Raja.

Ia dianggap  pengkhianatan semangat konsesus BN  dengan tidak menghormati 14 negeri dan Raja-Raja Melayu diabaikan daripada diambil pandangan mereka.

Sangat nyata kini yang tidak bersatu adalah dalam kalangan UMNO dan BN sendiri.

Dan kerana terdesak untuk dapatkan sokongan orang Melayu dan Islam bagi menghadapi pilihan raya akan datang, UMNO sanggup melakukan apa sahaja, termauk menyerahkan kepada Hadi untuk membentangkan usul pindaan Akta 355.

Kononnya akan ‘bersatulah penyokong UMNO dan PAS’ gara-gara persetujuan melalui Akta 355 ini.

Benarkah demikian? Kenapa pemimpin PAS asyik mengatakan dalam pilihan raya akan datang mereka akan tetap menjatuhkan UMNO dan kerajaan BN?

Benarkah Akta 355 membawa persefahaman baik UMNO dan PAS, khsuusnya di negeri-negeri yang menjadi perebutan antara mereka seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah?

UMNO mendapat malu daripada strategi menggunakan Hadi dan kini terpaksa mencari jalan ‘memperbaiki kerosakan teruk yang sduah dilakukan oleh mereka sendiri’.

PAS pula mendapat untung apabila UMNO terpaksa berdepan dengan masalah dalaman BN sendiri apabila banyak parti yang menentang cara usul itu dikemukakan.

Inilah sebenarnya hasil daripada yang tersirat, selain kenyataan-kenyataan yang mendedahkan sendiri apa niat UMNO dan kerajaan BN yang tersurat dalam perkara berkaitan pindaan Akta 355 ini.

Hadi kini boleh tersenyum lebar dan memanglah ia suatu kepuasan dan sejarah kemenangan untuk dirinya dan PAS.

Thursday, November 24, 2016

GARA-GARA AKTA 355 - MUNGKINKAH BN AKAN BERPECAH?


Yang sudah mengesahkan menolak Akta 355 ialah PPB dan MCA sementara yang lain mungkin akan menyatakan pendirian hari ini...akan  memberikan kesan dan ujian getir buat Barisan Nasional  mungkin sehingga PRU14 nanti.”

Apa akan berlaku kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya parti komponen seperti MCA, Gerakan, MIC, Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PPB) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menentang Rang Undang-Undang Ahli Persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355)?

Apakah ia berdepan dengan penentangan dalaman dan luaran yang sengit terhadap usaha gabungan UMNO dan PAS ini?

Yang sudah mengesahkan menolak Akta 355 sejauh ini ialah PPB dan MCA sementara yang lain mungkin akan menyatakan pendirian hari ini.

Kedudukan ini membimbangkan bukan sahaja dari segi sokongan kepada usaha UMNO dan PAS berkenaan tetapi akan memberikan kesan dan ujian getir buat Barisan Nasional  (BN) kini dan akan datang.

Apakah bantahan terhadap Akta 355 akan memberikan kesan kepada kerjasama parti-parti politik dalam BN menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) nanti?

Jika membawa kesan buruk, maka jelaslah PAS mencipta sejarah untuk dirinya, UMNO dan BN dan begitulah sebaliknya.

Bolehkah UMNO hanya bergantung harap kepada PAS sekiranya parti lain kekal menolak BN gara-gara Akta 355 ini pada PRU14 nanti?

Walaupun semalam dilaporkan ahli Parlimen yang hadir taklimat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan ‘memahami dan menyokong’ Akta 355, namun sokongan sebenar masih samar.

Apakah hari ini, jika usul dibentangkan di Dewan Rakyat ia akan mendapat sokongan majoriti mudah  ahli Parlimen, khususnya yang beragama Islam?

Untuk Akta 355 diluluskan, ia hanya memerlukan majoriti mudah daripada 222 ahli Dewan Rakyat berbanding pindaan Perlembagaan diluluskan pula, 148 ahli Parlimen mesti mengundi menyokongnya.

Ketika ini UMNO mempunyai 86 kerusi selepas Ahli Parlimen Pagoh dan Semporna dipecat daripada UMNO , MCA 7, MIC 4, dan Gerakan (1).

Pembangkang pula mempunyai jumlah kerusi berikut – PKR 29, AMANAH (7), DAP (38), Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS 1), Parti Sosialis Malaysia (1) Bebas dan lain-lain (1), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM 1) dan PAS 14.

Di Sarawak pula, selain DAP (5) dan PKR, parti lain ialah PPB (14), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP 1), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP 4), dan Parti Rakyat Sarawak (PRS 6).

Di Sabah,  selain UMNO parti lain ialah Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO 6), Parti Bersatu Sabah (PBS 4), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS 1) dan Parti Warisan Sabah ( Warisan (2).

Jika UMNO digabungkan dengan PAS, mereka akan memiliki sebanyak 100 kerusi berbanding Pakatan Harapan yang menggabungkan DAP-PKR-AMANAH dan PPBM dan mungkin Bebas ialah 75.

Malah, jika ahli Parlimen BN Sarawak benar-benar menolak Akta 355 dengan jumlah itu akan bertambah lagi 25 kerusi menjadikan 100 kerusi. Malah, jika benar MCA menolaknya, ia akan menjadikan 107.

Yang tinggal lagi ialah pendirian parti lain sekitar 20 kerusi lebih yang terdiri daripada MIC, Gerakan dan parti lain di Sarawak dan Sabah.


Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dlaporkan sudah mengarahkan semua ahli parlimen BN  negeri itu menentang Akta 355.

Akhbar mStar yang memetik Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian berkata parti komponen BN Sarawak telah diarahkan supaya tidak menyokong rang undang-undang yang akan dibacakan kali kedua di Parlimen hari ini.

Dr Sim dilaporkan bersama-sama dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Tan Sri James Masing, bertemu dengan Adenan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuching, semalam.

Masing adalah juga Presiden PRS manakala Abang Johari dan Uggah adalah masing-masing timbalan presiden dan naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

SUPP sebelum ini turut menyatakan pendiriannya menentang Rang Undang-undang ini kerana ia bukan dalam semangat apa yang asalnya kita tandatangani dalam Perjanjian Malaysia 1963.

"Pendirian ketua menteri bersama-sama dengan BN Sarawak mengenai hudud masih terpakai. SUPP telah mengarahkan semua ahli parlimennya untuk menolak rang undang-undang itu jika ia dibawa kepada pengundian.

"Semua parti komponen BN negeri sepakat dalam perkara ini," kata Dr Sim yang dipetik The Star selepas mesyuarat itu.

Amat nyata jika usul jadi dibentangkan, kita akan  dapat melihat benarkah mereka mementang dan siapa pula yang akan menyokong?

Jika semua pemimpin BN Sarawak menolak usul bermakna akan membabitkan 25 kerusi diwakili BN manakala lima dari DAP dan satu dari PKR.

Sejauh ini DAP dan PKR jelas tidak menyokong usul berkenaan.

Bagaimana dengan Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet dari PPB, khususnya yang beragama Islam, apakah mereka juga akan menentang?

Hadi sudah menjelaskan Akta 355 itu hanya tertakluk kepada penganut Islam yang beriman dan budiman, tanpa mengira fahaman politik dan kedudukan dalam masyarakat dan tugasnya.


Dr Ahmad Zahid pula,  menyifatkan penerangan beliau semalam sebagai hari ini dalam sejarahahli-ahli parlimen beragama Islam daripada pelbagai parti tidak kira kerajaan mahupun pembangkang berkumpul bersama untuk berbicara secara terbuka dan ikhlas mengenai cadangan pindaan Akta 355 Mahkamah Syariah yang menjadi bahan polemik dalam masyarakat kini.

"Yang penting pimpinan parti-parti siasah bersepakat bahawa usaha memartabatkan Islam mesti menjadi agenda bersama. Kita boleh berbeza pandangan tetapi dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan Islam dan ummah, mesti bermuafakat dan bekerjasama, “katanya dalam satu kenyataan.

Apakah ahli Parlimen Sarawak akan mengikut kata Adenan atau Putrajaya dalam isu ini?

Bagaimana jika mereka tetap menentang?

MCA semakin jelas dalam isu ini apabila semalam

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam menegaskan beliau akan meletak jawatan sebagai menteri jika Hadi Akta 355 dan ia diluluskan di Dewan Rakyat.

"Pendirian saya adalah sama, dan yang lebih penting, saya masih menegaskan bahawa RUU itu tidak seharusnya dibentangkan oleh Hadi. RUU Hadi itu tidak seharusnya disokong kerana jika terdapat RUU yang hendak diluluskan di Parlimen, ia perlu dibentangkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.


Beliau menjelaskan bahawa RUU yang akan dibentangkan Hadi diibaratkan sebagai satu jalan untuk Mahkamah Syariah  melaksanakan hukuman hudud di seluruh negara.

Sebelum ini, pada 13 Nov 2016, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata parti itu akan menolak rang undang-undang persendirian dibawa presiden PAS yang mahu meningkatkan tahap hukuman mahkamah syariah.

Ikrar itu dibuat di depan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-63 MCA di Kuala Lumpur.

DAP yang melihat kedudukan BN seakan terumbang-ambing gara-gara isu ini semalam menyarankan MCA, MIC, Gerakan dan SUPP disarankan keluar dari BN.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP menentang undang-undang seperti hudud ini kerana ia bercanggah sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengingatkan MCA, MIC, Gerakan dan SUPP bahawa mereka layak untuk menerima kutukan kerana mengkhianati prinsip dan janji untuk menegakkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, jika bekerjasama dengan  UMNO meluluskan usul berkenaan.

Malah menurutnya, janganb kerana kepentingan politik, mereka terus menipu rakyat dengan menyokong Umno yang sanggup bekerjasama dengan PAS untuk memintas Persekutuan Perlembagaan bagi membolehkan undang-undang ini berkuat kuasa.

"DAP mengingatkan MCA, MIC, Gerakan dan SUPP bahawa untuk AKTA 355 diluluskan, ia hanya memerlukan majoriti mudah dan bukan 112 daripada 222 ahli Parlimen manakala bagi pindaan Perlembagaan diluluskan pula, 148 ahli Parlimen mesti mengundi menyokongnya, “ katanya.

Justeru, keengganan MCA, MIC, Gerakan dan SUPP untuk meninggalkan BN kini dilihat sebagai satu bentuk 'kelulusan tersirat' dalam menyokong tindakan PAS itu untuk menambah hukuman undang-undang syariah agar lebih dekat dengan undang-undang seperti hudud, tambah Lim.

Bagi DAP, walaupun menghormati hak-hak orang Islam untuk menentukan hal-ehwal agama mereka, ia mesti dilakukan dengan betul dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

"Cadangan tambahan hukuman akan semakin mendekatkan Akta 355 dengan undang-undang seperti hudud dan atas sebab inilah, ia perlu dilakukan melalui pindaan Perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga dan bukan menerusi undang-undang biasa," jelasnya dalam kenyataan.

Apa yang mungkin menyelamatkan BN ialah parti komponen hanya menolak untuk mengundi Akta 355 sahaja tetapi terus bekerjasama untuk berdepan pembangkang bagi PRU-14.

Jika ini berlaku, suasana ‘akrab UMNO dan PAS’ akan terus dicabar oleh faktor dalaman di samping PAS sendiri semakin tidak selesa jika parti komponen lain khususnya yang bukan Islam memandang serong kepada mereka.

Kerana itu, Akta 355 adalah ujian kepada BN dan juga ujian kepada kerjasama UMNO-PAS untuk bidang-bidang lain yang kemungkinan akan lahir selepas ini.

Kita hanya mengharapkan sejarah dicipta bagi tujuan kebaikan bukan membawa kemusnahan tetapi jika sebaliknya, UMNO perlu menerima hakikat bahawa 'ia menghulurkan lehernya untuk dijerut'.

Memanglah jika kejadian ini menjadi kenyataan maka 'sejarah sudah dicipta'!