Sudah sah, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah Presiden UMNO yang baru.
Perisytiharan Najib sebagai Presiden Umno yang baru dibuat pada Perhimpunan Agung Umno 2008 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ia diumumkan oleh Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Onn Ismail.
Najib, 55, menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden akan mengambil alih jawatan nombor satu daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang memegang jawatan itu sejak Oktober 2004.
Abdullah, 69, dalam ucapan dasarnya yang terakhir sebagai Presiden parti, menyeru supaya Najib diberikan sokongan padu untuk membolehkan beliau memimpin Malaysia ke mercu kejayaan yang lebih cemerlang.
Perdana Menteri yang turut berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri baru, berkata beliau percaya untuk menyerahkan tanggungjawab menerajui negara kepada Najib yang merupakan “nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudi bahtera negara.”
Onn turut mengumumkan Datuk Mohamad Aziz yang menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Pengerusi Tetap parti.
Proses pengiraan undi pemilihan bagi memilih barisan pimpinan Majlis Tertinggi (MT) Umno telah bermula pada pukul 4 petang tadi.
Bagaimanapun, keputusan rasmi dijangka akan diumumkan pada pukul 10 malam ini.
Sementara itu, pada sebelah pagi tadi kempen pada saat-saat terakhir sebelum para perwakilan Perhimpunan Agung Umno memilih barisan pimpinan MT terus mewarnai suasana sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Seawal pukul 7 pagi peraih undi dan penyokong calon-calon yang bertanding berkumpul dan berbaris di sepanjang laluan masuk ke PWTC mengedarkan risalah dan kad yang tertera nombor calon-calon.
Mencuri perhatian, penyokong kepada calon Naib Presiden Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar tampil dengan memakai topeng wajah beliau.
Menerusi kaedah kempen sedemikian, Syed Hamid yang memegang nombor pencalonan '05' dilihat seolah-olah berada di mana-mana.
Penyokong bagi calon-calon juga tidak ketinggalan dengan cara kempen masing-masing sama ada dengan menyanyi mahupuan sorakan secara berkumulan.
Sekurang-kurangnya dua perwakilan Muar memboikot pengundian jawatan tertinggi Umno hari ini kerana membantah Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin dibenarkan mengundi.
Datuk Kadar Shah Sulaiman Shah dan adiknya Hassan memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak akan menyertai lebih 2,050 perwakilan memangkah calon pilihan masing-masing.
Tindakan mereka diambil ekoran surat bantahan mereka berhubung perkara itu telah ditolak oleh pengerusi tetap perhimpunan agung Umno, Tan Sri Onn Ismail.
Lembaga Disiplin Umno minggu lalu mendapati naib presiden itu dan Khairy bersalah selepas ejen-ejen mereka terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.
Mohd Ali dilarang bertanding jawatan timbalan presiden, manakala Khairy diberi amaran tetapi dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno yang dimenanginya semalam.
Onn memanggil Kadar naik ke pentas untuk mengambil jawapannya terhadap bantahannya itu.
Bantahannya jelas ditolak apabila Onn memanggil Mohd Ali dan Khairy mengundi calon-calon yang bertanding.
Sebelum pengundian bermula kira-kira 12 tengah hari tadi, suasana kempen saat akhir sampai ke kemuncaknya pagi ini apabila penyokong bersesak-sesak mengedar kad nombor calon-calon masing-masing.
Selepas presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selesai menyampaikan ucapan dasar pada 11.15 pagi, para penyokong menjerit-jeritkan nombor calon pilihan masing-masing tanpa henti.
Ratusan penyokong berkumpul di hadapan pintu keluar Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam pakaian dan tag bercetak nombor pengundian bagi calon pilihan mereka.
Malaysiakini melaporkan, suasana sesak dan terlalu bising itu menyebabkan pergerakan menjadi sukar dan mengganggu hampir seratus petugas media yang menunggu barisan pemimpin tertinggi parti itu keluar dari dewan untuk mendapatkan komen mereka berhubung ucapan Abdullah.
Keadaan gamat dan sesak itu memaksa polis dan anggota RELA beberapa kali membuka laluan untuk pemimpin parti itu keluar dari dewan.
Anggota penguatkuasa juga menutup tempat itu dengan plastik penghadang bagi mengelak kumpulan penyokong mengganggu pergerakan orang ramai di sekitar kawasan tersebut.
Pada pemilihan kali ini tumpuan pastinya diberikan kepada dua jawatan utama yang menyaksikan pertandingan sengit iaitu bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib selepas Lembaga Disiplin Umno membatalkan penyertaan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Mohd Ali didapati bersalah di bawah Artikel 10.1 Tataetika Ahli Umno melibatkan politik wang.
Sementara itu bagi jawatan Naib Presiden, seramai lapan orang yang betanding bagi jawatan berkenaan.
Mereka ialah Datuk Seri Hinshammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Tan Sri Mohd Isa Samad, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Bagi jawatan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menang tanpa bertanding apabila Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatan.
No comments:
Post a Comment