Wednesday, November 19, 2008

TAPAK WARISAN DUNIA DIISYTIHAR

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berada di Tashkent, Uzbekistan semalam berkata, Malaysia boleh belajar daripada Uzbekistan dalam cara memulihara bangunan dan warisan kraftangannya.

Katanya, negara itu mampu memulihara bangunan lamanya yang separuh rosak menggunakan kaedah tradisional walaupun bahan untuk kaedah seumpama itu tidak lagi wujud pada masa ini.

Mereka dapat memulihara bangunan berusia beratus-ratus tahun apabila Tashkent wujud sejak 2,000 tahun lalu sementara Samarkand 2,750 tahun dengan bangunan-bangunan lamanya masih berdiri kukuh.

Senibina Uzbekistan bukan sesuatu yang asing bagi Malaysia memandangkan Masjid Putrajaya, Galeri Perdana di Langkawi dan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang sedang dibina menerapkan elemen senibina seumpama itu.

Beliau adalah anggota delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk lawatan rasmi ke negara ini selama empat hari berakhir hari ini.

Soal memulihara bangunan dan warisan kraftangan ini penting kerana Malaysia terbabit secara langsung apabila Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memberikan pengiktirafan terhadap Melaka dan Georgetown sebagai tapak warisan dunia sejak 7 Julai lalu.

Dan majlis penting penyerahan watikah pengisytiharan Melaka dan Georgetown sebagai tapak warisan dunia akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur Ahad ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berkenan menyempurnakan majlis tersebut yang akan bermula pada pukul 7.45 malam.

Pengiktirafan UNESCO itu adalah pertama kali ke atas tapak warisan di bawah kategori kebudayaan,

Upacara penerimaan plak dan watikah pengiktirafan daripada pihak UNESCO kepada kerajaan Malaysia akan diadakan dengan penuh adat istiadat kerajaan Melayu lama termasuk perarakan bergajah dan berkuda.

Laporan Bernama menyebut, turut diadakan perarakan dan persembahan kebudayaan dengan penyertaan masyarakat berbilang-bilang kaum dan budaya seperti perarakan Baba Nyonya, Chetti, Portugis, Chingay dan lain-lain.

Ia bagi menonjolkan nilai warisan yang terdapat di kedua-dua negeri terbabit terutama di kawasan yang diiktiraf sebagi warisan dunia oleh UNESCO.

Ketua Menteri Melaka , Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata pada 5 November lalu, kerajaan negeri akan meningkatkan promosi Melaka sebagai Bandar Raya Warisan Dunia di luar negara sebagai usaha meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Katanya, berdasarkan maklum balas yang diterima pada pertemuan beliau dengan 12 duta dan pesuruhjaya tinggi asing semalam, mereka begitu berminat untuk mengetahui tentang kelebihan Melaka sebagai bandar raya warisan dunia.

Beliau berkata, untuk permulaan satu promosi mengenainya dan produk baru pelancongan negeri akan diadakan di Singapura sebagai usaha menarik pelancong dari negara jiran itu datang ke Melaka.

''Pesuruhjaya Tinggi Singapura sendiri ada mencadangkan agar Melaka mengadakan promosi di negaranya memandangkan keadaan ekonomi dunia sekarang, kebanyakan warga mereka mengambil sikap berjimat cermat.'Mereka tidak perlu lagi melancong ke negara-negara lain sebaliknya boleh datang ke Melaka," katanya baru-baru ini.

Mohd Ali sudah berunding dengan 12 duta dan pesuruhjaya tinggi asing - Argentina, Kenya, Peru, Maghribi, Singapura, Thailand, Bangladesh, Korea Selatan, Jepun, Sepanyol, Jerman dan Kanada – dan mereka tertarik dengan produk-produk pelancongan baru yang ada di negeri Melaka yang sedang dan akan dimajukan di samping keistimewaan Melaka sehingga dipilih sebagai bandar raya warisan dunia.

Sewajarnya Melaka membuat promosi lebih kerap di negara berkenaan bagi menggalakkan rakyat di negara masing-masing berkunjung ke Melaka.

Melaka mensasarkan untuk mencapai 7.4 juta pelancong datang ke Melaka tahun depan.

1 comment: