Showing posts with label Wartawan. Show all posts
Showing posts with label Wartawan. Show all posts

Friday, January 27, 2012

WARTAWAN PROPEMBANGKANG SEMUANYA MASUK SYURGA?

Saya sedih membaca ulasan dan komen di portal berita Malaysiakini mengenai perginya salah seorang sahabat media, Sukardi Abdul Ghany iaitu Pengarang Berita TV3 yang juga bekas penolong editor perkhidmatan berita ekonomi menghadap Ilahi pukul 3.30 pagi kelmarin di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang bukan kerana sumpahan atau kerana doa penyokong pembangkang.

Namun apa yang dapat dibaca di Malaysiakini, hampir 100 peratus ulasan di Malaysakini itu tidak menggambarkan ciri dan peribadi orang Melayu dan Islam di negara ini apabila ulasan-ulasan dibuat mengenai pulangnya Sukardi.

Saya perturunkan satu ulasan oleh Wan Adib Wan Roslan: “Mmg x berbaloi cari rezeki dari sumber yg HARAM! Hadis nabi saw, 'tiap darah daging yg mendapat rezeki dari sumber yg haram, maka api neraka adalah lebih layak baginya'. Kematian arwah adalah satu pengajaran pd warga berita tv3. Adakah anda mau anda dpt rezeki & glamor didunia ini, sedangkan azab kubur & azab diakhirat menanti anda?? Warga berita tv termasuk pembaca berita, pengarang berita, editor berita & siapa2 sj yg ada kaitan dgn berita ini. Jika berita yg disampaikan adalah fitnah/x betul, maka anda semua berkongsi DOSA yg sama!! Dosa itu membesar dgn sebesar2nya dgn 'target' berita itu adalah rakyat malaysia yg berjumlah 27 juta org. Dan sudah tentu DOSA ini akan berlipatkali ganda lagi bagi pihak penaja berita tersebut!!!"

Seterusnya beliau mengulas: “Nasihat saya pd anda semua, sila tinggalkan jabatan berita tv3 dgn SEGERA sekiranya anda masih mau kje dgn tv3. Kje dgn jabatan lain. Klau tak dpt nak elak, sila tinggalkan tv3 terus, carilah kje lain dilain tempat. Sumber rezeki dimana2 & rezeki adalah kurniaan Allah. Adalah wajib utk mendapatkan rezeki dari sumber yg halal. Dan adalah HARAM utk dptkan rezeki dari sumber yg haram (hasil dari berita2 fitnah). Bukan setakat itu, bahkan tambahan darinya dpt laknat dari rakyat Malaysia pencinta kebenaran (hasil dari pemberitaan fitnah)!! Anda boleh kembali kje dijabatan berita tv sekiranya setelah PRU13 kerajaan bertukar tgn pd Pakatan. Krn masa itu, x ada lagi campur tgn eksekutif dlm pemberitaan tv, insyaallah..."

Banyak lagi ulasan lain tetapi mempunyai ciri dan mirip seperti ini.

Persoalannya, apakah ini yang diajar oleh pemimpin PAS dan pembangkang dalam mengulas kematian seseorang tidak kiralah dia Islam atau agama lain.

Kedua, apakah yang bekerja dengan media kerajaan atau yang prokerajaan itu akan dilaknat dan akan masuk neraka dan yang bekerja dengan media propembangkang, waima yang kafir harbi akan masuk syurga?

Ada sebahagian rakyat Malaysia kini sudah jauh sesat dan perlu diperbetulkan oleh imam-imam dan tok guru-tok guru PAS. Kalau tidak tanggunglah dosa pengikut mereka yang mencerca, menghukum dan menganggap syurga itu hanya untuk pengikut PAS dan pembangkang sahaja.

Jiwa dan pemikiran orang muda kini banyak yang rosak dan menganggap bekerja dengan media prokerajaan itu sebagai mendapat duit haram dan pengampu semata-mata.

Yang bekerja dengan Harakahdaily, Malaysiakini atau media propembangkang lain termasuk Siasah itu apakah akan terus masuk syurga dan bukan pengampu?

Cuba sesekali menulis menentang pemimpin tertentu mereka dan lihat apa jadinya.

Perkara yang berlaku terhadap Datuk Dr Hasan Ali dengan Harakahdaily membuktikan ramai juga mereka dalam organisasi itu pengampu, khususnya kepada Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Mustapa Ali. Apakah mereka ini pengampu yang jalannya terus menuju ke syurga dan tidak akan mati?

Kita sebagai orang Melayu yang beradab dan bersopan dan sebagai orang Islam yang mempercayai Qada dan Qadar serta mati, janganlah gairah menghukum orang Islam lain sedemikian rupa.

Kalaupun wujud perbezaan pendapat dan ideologi, tidak sewajarnya mendoakan sesuatu terhadap orang yang mati seperti Sukardi sedemikian rupa.

Marahlah, bantailah dan katalah apa sahaja tetapi jangan menghina dan menghukum sedemikian rupa kerana kepada pengulas, termasuk Wan Adib Wan Roslan sesungguhnya MAUT juga adalah lebih dekat kepada kamu dan bakal datang kepada kamu bila-bila masa.

Insaflah sblom terlambat!!! dan seperti yang ditulis oleh penjenguk yang menamakan “Anti-PKR Club”: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Tuhan Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berfirman: "Demi kemuliaan dan kebesaranKu! Aku tidak akan mengeluarkan dari dunia (mematikan) seseorang - yang Aku hendak mengampunkan dosanya sehingga Aku sempurnakan balasan tiap-tiap kesalahan yang ditanggungnya, dengan ditimpakan penyakit pada badannya, dan kepicikan pada rezekinya." H.R Anas r.a."

Mudah-mudahan Allah telah Ampunkan dosanya dan ia telah bersih sebagaimana yang telah dijanjikanNya, insyaallah.

Alfatihah Untuk SUKARDI ABDUL GHANY

Tuesday, July 21, 2009

RESTORAN BERAHI SEBENARNYA HANYA REBAN AYAM?

Apa dah jadi dengan Harian Metro? Boleh Reka-Reka Begitu Sahaja?

Kredibiliti akhbar, wartawan dan pengarang akhbar itu semakin dipersoalkan.

Apa jenis wartawan ni? Buat malu wartawan lain - tidak kiralah yang lama atau yang baru.
Inikah cara mendapatkan berita? Sungguh menjijikkan jika benar apa yang dikatakan oleh polis bahawa dua wartwan Harian Metro hanya mereka-reka cerita yang sensasi tetapi hakikatnya tempat itu tidak wujud.

Lebih buruk, gambar yang disiarkan diceduk melalui internet.

Siapa mahu disalahkan? Bagi saya wartawan itu tetap salah dan salahnya ialah di Meja Pengarang Berita. Kenapa tidak diteliti sumber berita?

Apakah Meja Pengarang Berita Harian Metro sekarang begitu lemah? Juga ia menggambarkan kelemahan sidang pengarang akhbar tabloid itu sendiri?
Saya berdoa walaupun akhbar ini sudah membuat kesalahan besar, berita-beritanya yang lain masih mempunyai kredibiliti. Jika tidak ini adalah isyarat kepada ‘kejatuhannya’.

Di mana sidang pengarang, wartawan dan kakitangannya mahu meletakkan muka?

Sudah jelas, polis yang menyiasat lokasi "Restoran Berahi" seperti yang dilaporkan dua wartawan akhbar Harian Metro hanya menemui sebuah tangki air dan reban ayam di atas bumbung restoran yang dimaksudkan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata restoran berahi yang didakwa dua wartawan itu sebenarnya tidak wujud.

“Hanya tangki air dan reban ayam saja," kata Ku.

Ku membuat pendedahan itu selepas menyiasat lokasi Restoran Berahi yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian tabloid itu.

Beliau berkata, restoran yang didakwa menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggan semasa menjamu selera sebenarnya tidak wujud.

Kes itu kata Ku, disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan berita tidak benar dan berniat jahat.

Katanya polis sudah mengambil keterangan daripada dua wartawan itu dan mereka memberitahu tidak memasuki restoran terbabit sebaliknya hanya mereka-reka cerita.

"Dalam keterangan, mereka (dua wartawan) mendakwa kegiatan itu berlaku di atas bumbung restoran terbabit tetapi mereka tidak naik ke atas bumbung berkenaan dan hanya melawat sehingga tangga restoran.

"Jadi kita percaya mereka hanya mereka-reka cerita yang sensasi tetapi hakikatnya tempat itu tidak wujud dan mendapatkan gambar melalui internet," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Beliau berkata satu laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat oleh Ketua Balai Polis Brickfields pada hari yang sama laporan berita itu disiarkan.

Kedua-dua wartawan itu yang sering memaparkan isu-isu sensasi menulis artikel mengenai sebuah restoran yang kononnya menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggan semasa menjamu selera, yang disiarkan di muka hadapan akhbar tersebut Sabtu lepas.

Wartawan itu juga mendakwa perkhidmatan oleh wanita seksi hanya disediakan untuk pelanggan terpilih restoran itu pada hujung minggu tertentu sahaja.

Menurut laporan itu kedua-dua wartawan tersebut berjaya menyelinap masuk antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 11 malam.

Wednesday, January 28, 2009

WARTAWAN KATAK

Seseorang yang menggelarkan dirinya add, semalam memberikan nasihat kepada saya: “… harapan saya agar sdr tabah dalm perjuagan wartawan UMNO untuk selama-lamanya, selagi umno relevan dimata rakyat malaysia, jangan pula ikut rentak Datuk Nasarudin adun Bota, bila kalah KB dan pengerusi felcra tidak disambung kontrak, terus jadi katak... semoga sdr HAL tidak menjadi "wartawan katak".. ingatlah slogan "dulu kini dan selamanya"

Tergelak besar saya.

Tidak terperasan oleh saya bukan ahli politik sahaja yang jadi katak. Wartawan pun ada juga ‘katak’. Siapa agaknya ya?

Lantas teringat oleh saya mereka yang pernah menjadi bos dan rakan seperjuangan ketika di 31, Jalan Riong.

Seingatan saya yang paling konsisten ialah A Samad Said dan Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail yang tidak pernah ‘bertukar angin’.

Sebaliknya yang lain, entahlah sukar dicakapkan. Datuk Ahmad Sebi menjadi ‘orang besar’ sebuah syarikat, A Kadir Jasin memiliki penerbitan sendiri (khabarnya anugerah selepas meninggalkan Berita Harian dan NST), Datuk A Nazri Abdullah (terpalit dengan pemecatan DS Anwar Ibrahim pada 1998 dan sering berulang-alik London-Kuala Lumpur-Kota Bharu) yang turut mengheret dan ‘jatuhnya’ Yunus Said, Haniff Hadi dan beberapa yang lain.

Mungkin Datuk Rejal Arbee yang pernah dalam satu kapal dengan saya ketika saya di Harian Watan dan beliau di The Sun - ‘tidak memiliki apa-apa’ selepas bersara daripada Berita Harian.
Dan kepada yang masih ada di Berita Harian hari ini, saya tidak fikir mereka akan jadi ‘ketua pengarang katak’ kerana kalaupun Perdana Menteri digantikan oleh Perdana Menteri yang baru, ia hanya peralihan.

Datuk Hishamuddin Aun atau Datuk Manja Ismail tidak akan terkesan apa-apa oleh peralihan itu. Mereka OK, kedua-duanya penyokong dan setia kepada Perdana Menteri!

Di kalangan wartawan yang mengubah angin ialah Haji Shukor Harun dan Roslan Hamid (Lan H) yang kini bersama Harakah sementara ada beberapa yang lain –Meor Kamarul Shahid- dengan sebuah majalah selepas bergelumang dengan umnotv beberapa ketika.

Sementara ada juga yang menjadi penasihat kepada akhbar tertentu walaupun kadangkala ada akhbar yang mereka nasihati itu tergelincir dan bersimpati dengan pembangkang.

Tidak apalah, demi rezeki untuk anak isteri.

Jadi bila disebut wartawan katak, sukar untuk saya menggelarkan bos dan rakan saya sendiri kerana ia rezeki masing-masing.

Untuk hidup seseorang perlu bekerja keras. Ada yang terpaksa pijak belakang orang lain untuk ke atas.

Ada rakan saya yang dulunya memang ‘wartawan UMNO’ kini sudah berpindah angin dan bekerja dengan akhbar Keadilan. Cari makan katakan.

Saya tidak mempersalahkan mereka kalau menjadi ‘katak’ untuk mencari rezeki. UMNO memang jarang mengenang budi orang biasa dan yang tidak berpangkat.

Yang dikenang oleh UMNO hanyalah pemimpin ‘berjasa’ dan yang kecil-kecil semuanya tidak berjasa dan boleh dilupakan begitu sahaja!

Kembali kepada yang suka memijak belakang – oleh kerana saya tidak rela belakang saya terus dipijak, saya cepat-cepat lompat ke Harian Watan dan kemudian bernasib baik seketika di ntv7 sebelum ke Ibu Pejabat UMNO dan kemudian Radio Televisyen Malaysia (rtm) selama lima tahun.

Bercakap mengenai wartawan katak, ada juga kartunis katak sebenarnya.

Ia bukan sesuatu yang sengaja saya ada-adakan. Orang ini pada suatu ketika meminta jasa baik kami di Berita Harian dan Harian Metro untuk ‘hidup’. Dia datang merayu agar kartunnya disiarkan di akhbar kumpulan NST.

Namun apabila namanya sudah terkenal, dia mencakar kertas dengan mengutuk dan mempersenda termasuk pemimpin utama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kartunis katak ini bangga kononnya dialah pengkritik masyarakat dan tidak lagi menyapa kami jika berjumpa.

Kerana duduknya sebaris dengan pemimpin pembangkang dia merasakan dirinya layak untuk digelak sebagai kartunis politik. Namun semua kerjanya mempersendakan orang dan ada yang hingga ke peringkat mencaci.

Tidak apalah, rezeki memang boleh dicari dan digali – walaupun menggunakan cara-cara ‘haram’ apabila mencaci, mengutuk dan mempersendakan seseorang.

Apapun hidup mesti diteruskan.

Terima kasih add kerana peringatan. Saya harap tidak lupa diri dan akan terus cuba memajukan diri!