Tergelak besar saya.
Tidak terperasan oleh saya bukan ahli politik sahaja yang jadi katak. Wartawan pun ada juga ‘katak’. Siapa agaknya ya?
Lantas teringat oleh saya mereka yang pernah menjadi bos dan rakan seperjuangan ketika di 31, Jalan Riong.
Seingatan saya yang paling konsisten ialah A Samad Said dan Allahyarham Tan Sri A Samad
Ismail yang tidak pernah ‘bertukar angin’.Sebaliknya yang lain, entahlah sukar dicakapkan. Datuk Ahmad Sebi menjadi ‘orang besar’ sebuah syarikat, A Kadir Jasin memiliki penerbitan sendiri (khabarnya anugerah selepas meninggalkan Berita Harian dan NST), Datuk A Nazri Abdullah (terpalit dengan pemecatan DS Anwar Ibrahim pada 1998 dan sering berulang-alik London-Kuala Lumpur-Kota Bharu) yang turut mengheret dan ‘jatuhnya’ Yunus Said, Haniff Hadi dan beberapa yang lain.
Mungkin Datuk Rejal Arbee yang pernah dalam satu kapal dengan saya ketika saya di Harian Watan dan beliau di The Sun - ‘tidak memiliki apa-apa’ selepas bersara daripada Berita Harian.
Dan kepada yang masih ada di Berita Harian hari ini, saya tidak fikir mereka akan jadi ‘ketua pengarang katak’ kerana kalaupun Perdana Menteri digantikan oleh Perdana Menteri yang baru, ia hanya peralihan.
Datuk Hishamuddin Aun atau Datuk Manja Ismail tidak akan terkesan apa-apa oleh peralihan itu. Mereka OK, kedua-duanya penyokong dan setia kepada Perdana Menteri!
Di kalangan wartawan yang mengubah angin ialah Haji Shukor Harun dan Roslan Hamid (Lan H) yang kini bersama Harakah sementara ada beberapa yang lain –Meor Kamarul Shahid- dengan sebuah majalah selepas bergelumang dengan umnotv beberapa ketika.
Sementara ada juga yang menjadi penasihat kepada akhbar tertentu walaupun kadangkala ada akhbar yang mereka nasihati itu tergelincir dan bersimpati dengan pembangkang.
Tidak apalah, demi rezeki untuk anak isteri.
Jadi bila disebut wartawan katak, sukar untuk saya menggelarkan bos dan rakan saya sendiri kerana ia rezeki masing-masing.
Untuk hidup seseorang perlu bekerja keras. Ada yang terpaksa pijak belakang orang lain untuk ke atas.
Ada rakan saya yang dulunya memang ‘wartawan UMNO’ kini sudah berpindah angin dan bekerja dengan akhbar Keadilan. Cari makan katakan.
Saya tidak mempersalahkan mereka kalau menjadi ‘katak’ untuk mencari rezeki. UMNO memang jarang mengenang budi orang biasa dan yang tidak berpangkat.
Yang dikenang oleh UMNO hanyalah pemimpin ‘berjasa’ dan yang kecil-kecil semuanya tidak berjasa dan boleh dilupakan begitu sahaja!
Kembali kepada yang suka memijak belakang – oleh kerana saya tidak rela belakang saya terus dipijak, saya cepat-cepat lompat ke Harian Watan dan kemudian bernasib baik seketika di ntv7 sebelum ke Ibu Pejabat UMNO dan kemudian Radio Televisyen Malaysia (rtm) selama lima tahun.
Bercakap mengenai wartawan katak, ada juga kartunis katak sebenarnya.
Ia bukan sesuatu yang sengaja saya ada-adakan. Orang ini pada suatu ketika meminta jasa baik kami di Berita Harian dan Harian Metro untuk ‘hidup’. Dia datang merayu agar kartunnya disiarkan di akhbar kumpulan NST.
Namun apabila namanya sudah terkenal, dia mencakar kertas dengan mengutuk dan mempersenda termasuk pemimpin utama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kartunis katak ini bangga kononnya dialah pengkritik masyarakat dan tidak lagi menyapa kami jika berjumpa.
Kerana duduknya sebaris dengan pemimpin pembangkang dia merasakan dirinya layak untuk digelak sebagai kartunis politik. Namun semua kerjanya mempersendakan orang dan ada yang hingga ke peringkat mencaci.
Tidak apalah, rezeki memang boleh dicari dan digali – walaupun menggunakan cara-cara ‘haram’ apabila mencaci, mengutuk dan mempersendakan seseorang.
Apapun hidup mesti diteruskan.
Terima kasih add kerana peringatan. Saya harap tidak lupa diri dan akan terus cuba memajukan diri!