Tuesday, July 21, 2009

RESTORAN BERAHI SEBENARNYA HANYA REBAN AYAM?

Apa dah jadi dengan Harian Metro? Boleh Reka-Reka Begitu Sahaja?

Kredibiliti akhbar, wartawan dan pengarang akhbar itu semakin dipersoalkan.

Apa jenis wartawan ni? Buat malu wartawan lain - tidak kiralah yang lama atau yang baru.
Inikah cara mendapatkan berita? Sungguh menjijikkan jika benar apa yang dikatakan oleh polis bahawa dua wartwan Harian Metro hanya mereka-reka cerita yang sensasi tetapi hakikatnya tempat itu tidak wujud.

Lebih buruk, gambar yang disiarkan diceduk melalui internet.

Siapa mahu disalahkan? Bagi saya wartawan itu tetap salah dan salahnya ialah di Meja Pengarang Berita. Kenapa tidak diteliti sumber berita?

Apakah Meja Pengarang Berita Harian Metro sekarang begitu lemah? Juga ia menggambarkan kelemahan sidang pengarang akhbar tabloid itu sendiri?
Saya berdoa walaupun akhbar ini sudah membuat kesalahan besar, berita-beritanya yang lain masih mempunyai kredibiliti. Jika tidak ini adalah isyarat kepada ‘kejatuhannya’.

Di mana sidang pengarang, wartawan dan kakitangannya mahu meletakkan muka?

Sudah jelas, polis yang menyiasat lokasi "Restoran Berahi" seperti yang dilaporkan dua wartawan akhbar Harian Metro hanya menemui sebuah tangki air dan reban ayam di atas bumbung restoran yang dimaksudkan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata restoran berahi yang didakwa dua wartawan itu sebenarnya tidak wujud.

“Hanya tangki air dan reban ayam saja," kata Ku.

Ku membuat pendedahan itu selepas menyiasat lokasi Restoran Berahi yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian tabloid itu.

Beliau berkata, restoran yang didakwa menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggan semasa menjamu selera sebenarnya tidak wujud.

Kes itu kata Ku, disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan berita tidak benar dan berniat jahat.

Katanya polis sudah mengambil keterangan daripada dua wartawan itu dan mereka memberitahu tidak memasuki restoran terbabit sebaliknya hanya mereka-reka cerita.

"Dalam keterangan, mereka (dua wartawan) mendakwa kegiatan itu berlaku di atas bumbung restoran terbabit tetapi mereka tidak naik ke atas bumbung berkenaan dan hanya melawat sehingga tangga restoran.

"Jadi kita percaya mereka hanya mereka-reka cerita yang sensasi tetapi hakikatnya tempat itu tidak wujud dan mendapatkan gambar melalui internet," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Beliau berkata satu laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat oleh Ketua Balai Polis Brickfields pada hari yang sama laporan berita itu disiarkan.

Kedua-dua wartawan itu yang sering memaparkan isu-isu sensasi menulis artikel mengenai sebuah restoran yang kononnya menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggan semasa menjamu selera, yang disiarkan di muka hadapan akhbar tersebut Sabtu lepas.

Wartawan itu juga mendakwa perkhidmatan oleh wanita seksi hanya disediakan untuk pelanggan terpilih restoran itu pada hujung minggu tertentu sahaja.

Menurut laporan itu kedua-dua wartawan tersebut berjaya menyelinap masuk antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 11 malam.

No comments:

Post a Comment