Tuesday, July 21, 2009

APABILA PEGAWAI KERJAAN MENJATUHKAN MARUAH NEGARA

Jika ada negara Barat menuduh kita dalam sesuatu perkara, pemimpin kita khususnya Menteri cuba menidakkannya.

Tujuannya tidak lebih daripada menjamin maruah negara tidak tercemar.

Contohnya, Jun lalu, Amerika Syarikat (AS) memasukkan semula Malaysia dalam senarai hitam negara yang menyeludup manusia, selain Afrika iaitu Chad, Eritrea, Niger, Mauritania, Swaziland dan Zimbabwe.

Menurut laporan itu, Malaysia didapati tidak mematuhi sepenuhnya standard minimum untuk menghapuskan penyeludupan manusia bersungguh-sungguh.

Tiba-tiba sahaja ada berita semalam mengatakan sembilan kakitangan Jabatan Imigresen Johor termasuk lima pegawai kanan ditahan setelah didapati terlibat dalam sindiket antarabangsa penyeludupan manusia di negara ini.
Mereka bukan sahaja mengambil bahagian dalam penyeludupan tetapi juga peras ugut pelarian Myanmar.

Kesemua mereka yang berusia antara 25 dan 40 tahun itu bersekongkol dengan sindiket terbabit dengan menggunakan laluan tikus di sempadan utara negara.

Kakitangan kerajaan sepatutnya menjaga maruah dan menaikkan nama kerajaan dan negara.
Tetapi mereka ternyata menyulitkan negara bukan sekadar diri dan keluarganya semata-mata.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di Johor Bahru, Jumaat lalu.

Memalukan dan di mana mahu diletakkan muka Menteri berkenaan dan maruh kerjaan seluruhnya?

Yang pasti siasatan mendapati, lima pegawai kanan itu menjadi orang tengah untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dari utara tanah air.

Menjadi orang tengah – apa tujuan? Mendapat habuan?

Kata Mohd Bakri: ''Mereka akan membawa masuk PATI ini yang kebanyakannya adalah warga Myanmar dengan menggunakan laluan tikus.

''Setiap mereka (PATI) akan dikenakan bayaran antara RM300 dengan RM600 seorang,". Duit atas angin melalui ‘darah manusia’.

Yang empat lagi rakan mereka pula bertindak menjadi barua dan kuli penghantar warga asing terbabit ke lokasi ditetapkan.

''Sebaik tiba, warga asing itu akan diserahkan kepada sindiket yang sedia menerima mereka. Setiap warga asing perlu membayar RM2,000 seorang kepada sindiket terbabit," katanya.

Mohd. Bakri menambah, sekiranya warga asing terbabit tidak membayar wang itu, mereka akan dijual kepada pengusaha ikan di negara jiran sebagai buruh paksa sehingga hutang selesai.

Ini menggambarkan betapa kejamnya mereka ini turut terlibat dalam perdagangan dan perhambaan manusia.

''Segala kerja-kerja pengurusan membabitkan ahli-ahli sindiket itu dilakukan melalui perhubungan telefon bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu polis.

''Malah urusan pembayaran wang juga dilakukan melalui bank," ujar beliau.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat jumlah mereka yang pernah menjadi mangsa oleh sindiket tersebut.

Katanya, pihaknya turut menyiasat sama ada pegawai kanan itu turut terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen.

''Berdasarkan siasatan awal, kita dapati sindiket itu aktif sejak setahun lalu. Dengan penahanan sembilan suspek ini, kita percaya memecahkan rangkaian mereka," ujarnya.

Jelasnya, kesemua mereka kini ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

''Kita akan memantau dan terus mengesan saki-baki kumpulan berkenaan yang dipercayai masih bebas," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment