Showing posts with label Khutbah. Show all posts
Showing posts with label Khutbah. Show all posts

Saturday, February 8, 2014

TOLERANSI BERAGAMA BUKAN BERERTI MEMBENARKAN ISLAM, KALIMAH ALLAH DIPERSENDA...

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.”


Amat jelas Firman Allah SWT di dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4 seperti di atas menuntut umat Islam mewujudkan keharmonian antara penganut agama sebagai jalan penyelesaian terhadap konflik yang berlaku antara penganut agama di seluruh dunia.

Islam menyeru kepada seluruh umat Islam sekalian agar mengeratkan silaturrahim sesama kita.Perjuangan bagi mempertahankan dan menegakkan agama Allah serta hak-hak eksklusif umat Islam merupakan perjuangan yang suci yang dijamin mendapat pertolongan serta bantuan daripada Allah SWT.

Oleh itu, sebagai umat Islam kita wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT.

Berikutan itu, sangatlah tidak wajar pemimpin bukan Islam di negara ini memetik ayat-ayat al-Quran tertentu termasuk Khutbah Jumaat, yang kemudian dimanipulasi kononnya orang Islam menggalakkan permusuhan.

Mereka seharusnya mendengar keseluruhan kandungan khutbah Jumaat dan mengelak daripada menuduh Islam menggalakkan permusuhan dengan penganut agama lain.

Bagi Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin, sudah tiba masanya kerajaan menggubal undang-undang pencegahan ekstrem agama bagi membendung amalan beragama tidak sihat termasuk mencampuri agama lain.

Pada ketika pemimpin politik BUKAN ISLAM semakin bertindak berani mempertikaikan amalan agama termasuk teks khutbah Jumaat dan penggunaan kalimah Allah yang ternyata hanya untuk umat Islam, perbuatan seumpama itu tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan.

Zamihan bimbang banyak lagi perkara yang kemungkinan dibangkitkan pihak terbabit demi kepentingan politik mereka. Persoalannya bagaimana dengan mereka (bukan Islam) yang terang-terangan mempersenda dan memperlekehkan agama Islam

Bukan sekadar diperlekehkan oleh bukan Islam tetapi memburukkan keadaan, ada pula pemimpin Islam sendiri yang turut mempersendakan Islam umpamanya dalam isu Kalimah Allah.

Menyedari dan bimbang Islam semakin dipermainkan, Mimbar Jumaat Masjid Wilayah Persekutuan semalam bertajuk KEHARMONIAN ANTARA AGAMA (baca juga teks Khutbah Jumaat minggu lalu bertajuk MANHAJ ISLAMI DALAM PERPADUAN UMMAH) menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam agar sama-sama kita menjaga kesucian dan identiti agama dengan tidak bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang melibatkan dasar akidah dan tauhid disalahgunakan oleh agama lain.


Perbuatan itu amat merbahaya kerana matlamat utama mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan kemudiannya mendakwa bahawa semua agama adalah sama.

Mimbar berkenaan berpesan: “Ingatlah bahawa semua gejala kerapuhan akidah ini sebenarnya akan menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.”

Berkaitan perkara lain mengenai usaha mempersenda dan memperlekehkan Islam, Khutbah Jumaat yang dibacakan di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini menyebut:  "...terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja kelihatan mahu menggugat keharmonian serta toleransi antara agama. Umat Islam hari ini diserang dan diancam dengan pelbagai isu akidah seperti ada yang mendakwa dirinya diangkat menjadi rasul, memiliki kerajaan yang memerintah dari langit, mendakwa dirinya sebagai Tuhan, solat sempurna boleh dengan niat sahaja, solat wajib untuk tiga (3) waktu sahaja.


Selain itu kita juga diancam dengan isu kalimah Allah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Dengan itu, mimbar yang mulia ini sekali lagi ingin menegaskan bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 telah membahaskan Isu Tuntutan Penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam.

Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

Oleh itu menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan dipelihara kesuciannya kerana ianya berkait rapat dengan akidah.

Sebagai umat Islam yang beriman kita perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

Oleh itu, mimbar menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang melibatkan dasar akidah dan tauhid disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan kemudiannya mendakwa bahawa semua agama adalah sama.

Ingatlah bahawa semua gejala kerapuhan akidah ini sebenarnya akan menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72:


Maksudnya:  “Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”

Kelmarin, sebuah laman portal berita melaporkan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Darell Leiking mempersoalkan khutbah Jumaat yang disediakan JAKIM yang didakwanya boleh mencetuskan perbalahan antara agama di negara ini.


Nada sama disuarakan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang kesal khutbah Jumaat dilihatnya sebagai sengaja meniup sentimen persengketaan agama.

Semalam, khutbah yang dibaca di Masjid Wilayah, Jalan Duta dengan jelas antaranya menyebut:

1. Berdasarkan kepada Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan atau dimaksudkan juga sebagai Agama Negara. Bagaimanapun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Oleh itu, mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa agama Islam juga telah mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak-hak kemanusiaan merentasi bangsa, warna kulit dan agama. Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mana-mana pihak hanya disebabkan perbezaan agama dan budaya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 13:


Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

2. Dalam Piagam Madinah telah termaktub bahawa sesiapa yang hidup dan tinggal di Wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, khianat dan huru hara, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya: “Sesiapa yang menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka dia telah menyakiti aku, dan sesiapa yang menyakiti aku, maka dia telah menyakiti Tuhan”.(Riwayat Abu Daud). Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah RA katanya: “Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah SAW berdiri. Lalu kami pun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulallah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah SAW “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah”.(Riwayat al-Bukhari) Hadith ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum, kerana Islam ini, menuntut kita supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih sopan santun serta berjiwa kemanusiaan sesama manusia yang lain. Menurut Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya fatawa Ibn Taimiyah bahawa: “Kesejahteraan umat manusia tidak dapat diwujudkan di dunia maupun di akhirat, kecuali mereka bergabung menjadi sebuah masyarakat, bekerjasama dan saling tolong menolong untuk menciptakan kesejahteraan dan mencegah kesengsaraan.”

Khutbah Jumaat semalam, selanjutnya menyebut: Sebagai umat Islam kita dituntut bertoleransi di bawah norma dan etika hidup beragama. Namun perlu diingat, toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan akidah, agama Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kekufuran atau kesyirikan. Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah kita tidak melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Sikap melampaui batas sebenarnya akan menjadi pemangkin kepada kecelaruan minda dan perpecahan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara. 

Berikutan itu, mimbar berkenaan berpesan kepada umat Islam supaya sentiasa bersikap terbuka dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Mimbar ingin juga menyeru kepada semua pihak agar usahlah mempertikaikan perkara yang telah termaktub di dalam perlembagaan dan dipersetujui bersama serta mempertikai hak-hak eksklusif orang Islam.

Mimbar juga menggesa pihak yang berkuasa agar menangani isu ini dengan penuh berhikmah agar mereka yang cuba memporak-perandakan pegangan dan akidah umat Islam akan menyedari dan insaf bahawa usaha-usaha mereka itu sebenarnya tidak akan membawa kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam sebuah negara yang berdaulat.

Kita bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian dan sebab itulah kita perlu mencegah lebih awal anasir-anasir yang boleh menggugat keamanan serta menolak sebarang unsur yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum dan agama.

Ingatlah bahawa agama Islam sentiasa unggul dan ianya akan terus unggul. Al-islamu ya’lu wala yu’la ‘alaih. Marilah sama-sama kita meletakkan perhambaan kita kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan dengan mengabdikan diri kita dengan sebenar-benarnya kepada Allah SWT dan menjaga akidah kita daripada terpesong jauh dari landasan yang digariskan oleh Allah SWT.

Sehubungan dengan ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 41:


Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan i’tiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam Al-Qur’an ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar.”


Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, kelmarin memberi amaran, apa yang berlaku sekarang pihak tertentu cuba menilai kandungan khutbah dari sudut bertentangan dengan mesej yang cuba disampaikan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Nilai keseluruhan kandungan khutbah, bukan mengambil satu topik yang kemudian dimanipulasi untuk kepentingan politik.

Tindakan itu menggugat ketenteraman awam dalam negara majmuk seperti Malaysia,” katanya. Mohamad Shukri berkata, tindakan pihak yang tidak menghormati amalan beragama itu seharusnya dihentikan segera kerana dibimbangi menggugat keharmonian kaum yang wujud sejak sekian lama.

Kandungan teks khutbah Jumaat tidak terkeluar daripada topik peringatan kepada umat Islam termasuk mengamalkan ajaran agama serta menjauhi larangannya dan tiada ayat yang menggalakkan persengketaan dengan penganut agama lain.

“Jelas sekali khutbah menyampaikan mesej yang baik bukan saja kepada umat Islam, malah penganut agama lain… malangnya ada pihak tertentu yang melihat dari sudut pandangan negatif iaitu lain yang kita tegakkan, lain pula yang mereka nampak,” katanya.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, menjelaskan,  asas paling penting untuk disampaikan dalam teks khutbah adalah umat Islam perlu bersatu padu dan hidup dalam keadaan harmoni.

Khutbah disediakan sebagai peringatan dan didikan khusus untuk umat Islam.

Dalam menyediakannya JAKIM merujuk nas al-Quran sebagai sumber, pegangan dan sandaran khutbah.

Amat jelas ia bukan mengajak ke arah permusuhan tetapi menuntut persefahaman dan saling mnghormati antara satu sama lain.

Saturday, January 7, 2012

SIKAP 'KLU-KLEK' MENGECEWAKAN... KHUTBAH TIDAK PENTING LAGI!

Kesian sungguh kepada mereka yang menentang diadakan perhimpunan ‘Bebaskan Anwar 901’.

Penat-penat berhimpun buat laporan polis sementara Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Nordin dicerca sebagai ‘katak’ dan begitu juga Datuk Dr Hasan Ali yang menyeru orang ramai jangan menyertai perhimpunan itu kini berdepan masalah dengan parti.

Petang tadi Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendesak Pas mengambil tindakan sewajarnya terhadap Exco Selangoritu ekoran kenyataanya meminta orang ramai tidak hadir menyertai perhimpunan 901.

Azmin berkata, kenyataan Hasan telah melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat (PR) dan beliau tidak sewajarnya berkata demikian.

"Sebagai Exco kerajaan negeri, beliau tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan seperti itu. Itu kenyataan tidak bertanggungjawab. Ketika beliau menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) sedang meraikan Anwar. Kalau Nik Aziz pun beri sokongan dan akan hadir (Himpunan 901), maka siapa Datuk Hasan? Jangan terlalu celupar," katanya pada sidang media di Petaling Jaya.

Dr Hasan semalam mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak perlu disertai dan tidak wajar diadakan kerana tujuannya hanya membabitkan isu peribadi seorang pemimpin, bukannya soal masyarakat.

Selain itu, banyak kenyataan yang dibuat pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, termasuk Menteri-Menteri Besar, kini layak untuk dibuang ke longkang najis.

Sangkaan semua pihak, polis tidak akan berlembut walaupun sedia berunding.
Namun jelas memanglah bukan PAS sahaja yang ‘klu-klek’ tetapi pemerintah negara kita pun sukar dibaca sikap mereka, bukan seperti ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekadar boleh berkata keputusan polis membenarkan penyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan Isnin ini adalah berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.

Beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menguruskan dan memastikan perhimpunan berkenaan berjalan dengan aman. Penganjur perhimpunan itu juga bertanggungjawab untuk menjamin bahawa perhimpunan itu dan tidak akan menimbulkan kacau-bilau atau huru-hara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata tindakan Polis Kuala Lumpur membenarkan penyokong Ketua Pembangkang berhimpun di tempat letak kereta di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta Isnin ini adalah keputusan yang rasional.

Bagaimanapun pihak berkenaan perlu menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Pada ketika ada laporan mengatakan polis tidak benarkan ucapan, kain rentang dan pembesar suara. Azmin menegaskan pada sidang medianya, tiada syarat dikenakan kepada mereka dalam mesyuarat bersama pihak polis pagi tadi.

Malah, mereka juga dibenar membawa pembesar suara dan kain rentang.

Jadi kalau berlaku apa-apa dan keadaan tidak boleh kawal bagaimana?

Hakikatnya hari ini yang disangka akan menjadi putih tiba-tiba bertukar menjadi kelabu. Malah, khutbah Jumaat di masjid sekitar Wilayah Persekutuan pun sudah menjadi ‘tawar’ dengan kebenaran polis itu.

Menteri Dalam Negeri pula membisu seribu bahasa dan bagai 'tikus dalam beras' membiarkan polis melaksanakan kerja ‘menguruskan perhimpunan 901’ ini.

Ingat-ingat sekali malas sudah nak mengulas, memberi pendapat dan bekerjasama dengan rakan-rakan proKerajaan dalam isu seperti ini kerana dalam menentukan sikap atau pendirian, banyak kali yang proKerajaan ‘kena main’ dan yang menentang akhirnya bertepuk tangan dan ketawa besar.

Segala pendapat yang dikemukakan oleh pemimpin NGO dan individu yang menyokong kerajaan kini ‘tawar hebe’ (tidak ada rasa sedikit pun sama ada manis, pahit atau masam) kerana dengan kebenaran polis kepada Pakatan Pembangkang berhimpun di tempat letak kereta Mahkamah Tinggi Isnin ini, menceritakan segala-gala.

Lebih menyedihkan khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang berpesan bahawa mereka yang bersekongkol dengan penganjur demonstrasi jalanan melakukan kesalahan besar dan menzalimi umat Islam, bagaikan sesuatu yang tidak langsung berguna.

Hari ini, umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan hari ini diberi amaran supaya tidak melakukan "kesilapan besar" dengan menghadiri demonstrasi jalanan.

Pesanan berbunyi: “…Kita sedar hari ini sekali lagi pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan perpaduan umat Islam dan keamanan negara di antaranya melalui pembohongan fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun perpaduan samada melalui media massa dan alam siber, melanggari undang-undang negara. Mereka juga cuba meruntuhkan keamanan yang dikecapi selama ini dengan mengadakan pelbagai helah dan cara termasuklah mencetuskan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan.

Menurut khutbah itu lagi, "mereka menghasut rakyat dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah dengan melaungkan slogan tertentu yang digambarkan sebagai gelombang rakyat yang membantah.”

Khutbah itu melihat penganjur perhimpunan itu yang bertopengkan atas dasar menuntut keadilan dan ketulusan sebenarnya mahu mengheret rakyat ke jalanan supaya dapat dijadikan sebagai perisai.

Jadi di mana letaknya kemuliaan khutbah Jumaat jika kerajaan sendiri tidak menghormatinya?

Apakah kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO mahu dilihat sebagai ‘membelakangkan Islam’?

Apakah sikap kerajaan dalam isu ini mengesahkan pendapat PAS dan pembangkang bahawa kerajaan Persekutuan yang ada sekarang memang tidak mementingkan Islam?

Tepuk dada tanya selera atau kalau tidak mahu, tepuk sahaja air biar terpercik ke muka sendiri!

Saturday, August 21, 2010

KHUTBAH DOAKAN GUAN ENG - ANWAR TUDUH UMNO BOHONG, EXCO NAFI...

Pada 13 Ogos 2010, dalam doa khutbah solat Jumaat di Masjid Jamek Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, nama Yang di-Pertuan Agong telah digantikan dengan nama Lim Guan Eng.

Tak apalah kalau tidak percaya. Tiada siapa boleh paksa untuk ketika ini.

Lebih baik siasat daripada terus membuat kenyataan bagaikan mahu 'menegakkan benang basah’.

Kenapa mengatakan khatib yang membaca khutbah sebagai ‘tidak waras’ dan 'tidak mungkin ada berlaku’.

Pastinya untuk ketika ini tiada siapa yang akan mengaku.

Sebaliknya ada penduduk tempatan yang mengesahkan kejadian itu. Malah tv3 dalam beritanya malam kelmarin dan tengah hari semalam turut menyiarkan kenyataan jemaah yang menunaikan solat jumaat di masjid berkenaan.

tv3 menyiarkan kenyataan oleh dua orang penduduk.

Shuib Saad menegaskan: “Selepas khutbah kedua... tiba-tiba khatib ni dia tiba-tiba doakan kesejahteraan Lim Guan Eng dan rakan-rakannya supaya memimpin negeri ini dengan baik...jadi yang anehnya Pak Cik pun terkejut kenapa tak mention Yang di-Pertuan Agong, kenapa tak sebut TYT, Gabenor....”

Rakannya pula, Razali Ismail berkata: “Nama Agong tak sebut, nama Yang di-Petuan Negeri tak sebut..yang tu saya rasa sangat-sangat kecewa sebagai orang tua..sembahyang Jumaat kalau khutbah dia mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang..."

Dan laporan Utusan Malaysia hari ini mendedahkan dua ahli kariah dari dua buah masjid berbeza di Pulau Pinang mengesahkan berlaku penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat seperti yang didedahkan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri semalam.

Mereka ialah Pengerusi Kariah Masjid Jamek Padang Menora di sini, Hamir Mahmud dan ahli kariah Masjid Jamek Jelutong, Abu Kassin Ismail.

Hamir mengakui nama Guan Eng ada disebut oleh seorang khatib jemputan, Zakaria Ahmad ketika membacakan doa kedua khutbah solat Jumaat pada 25 Jun lalu. Beliau turut mengesahkan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak disebut dalam doa khutbah pada hari tersebut walaupun lazimnya ia merupakan doa yang diberikan kepada Seri Paduka selaku ketua agama Islam di Pulau Pinang.

Sementara itu, Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelutong memberitahu, perkara sama turut berlaku di masjid di kawasannya kira-kira dua hingga tiga bulan lalu.

Menurutnya, khatib ketika itu hanya menyebut nama Guan Eng dalam doanya dan bukan Tuanku Mizan atau Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas.

Mahu mencari dosakah mereka pada bulan Ramadan ini kerana berbohong?

Yang pasti, mereka ini tidak akan berani atau sewenang-wenangnya menuduh khutbah menggugurkan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang pada doa khutbah kedua yang dibacakan di masjid di mana mereka mendirikan solat Jumaat.

Pertamanya, ia tuduhan berat kepada pembaca khutbah dan keduanya tidak munasabah mereka mahu mempersendakan nama Yang di-Pertuan Agong begitu sahaja.

Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sudah meminta polis dan Majlis Agama Islam Negeri menyiasat dakwaan bahawa nama Yang di-Pertuan Agong digantikan kepada nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata siasatan wajar dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan fakta sebenar kerana perkara itu mempunyai implikasi besar.

"Saya mahukan perkara itu dikaji, diteliti dan jika benar kejadian itu berlaku, maka tindakan tertentu oleh pihak tertentu mesti diambil," katanya \selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di Putrajaya semalam.

Di sebalik itu, tiba-tiba sahaja Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melenting dan menyifatkan isu khutbah Jumaat itu dalam konteks politik, bukan agama. Kenapa?

Mahu mempertahankan kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang ?

Anwar mengatakan pendedahan Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (yang pernah menjadi Setiausaha Politiknya sekitar 1990-an) sebagai fitnah terbaru yang dimainkan oleh Umno untuk menyemarakkan api kebencian di negara ini.

Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang semalam membantah penggunaan nama Lim dalam bacaan doa khutbah Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di beberapa buah masjid di negeri itu baru-baru ini.

Pengerusi badan itu Ahmad Zahid berkata penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Kata Anwar: "Tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bahawa nama Yang di-Pertuan Agong telah digantikan dengan nama ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah terbukti merupakan satu pembohongan semata," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau yang juga ketua umum PKR berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut.

Bagi Anwar ia tidak lebih daripada satu fitnah demi laba politik pemerintah yang kian hari kian terdesak," katanya sambil menambah pimpinan Umno berterusan menggunakan aksi politik perkauman sempit yang usang.

Katanya, ia juga menunjukkan kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memahami nurani rakyat Malaysia keseluruhannya yang mahukan sebuah negara yang kekal aman dan sejahtera.

Sementara Exco Hal-Ehwal Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim (gambar kiri) berkata siasatan awal mendapati ianya tidak berlaku kerana teks khutbah Jumaat, yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam negeri, tidak menggunakan nama Lim.

Berikutan itu, Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya bahawa nama Ketua Menteri Lim Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat yang dibaca di beberapa masjid di negeri itu.

Katanya, hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat.

Abdul Malik berkata, beliau telah membuat siasatan awal dan mendapati kejadian itu tidak berlaku seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri.

Abdul Malik menjelaskan"Dan kalau mereka tidak baca teks sekalipun, saya percaya hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan ganti nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah," katanya lagi.

Tambahnya, dakwaan itu juga tidak menyebut dengan jelas masjid yang terbabit, sebaliknya hanya menamakan kawasan Permatang Pauh, Jelutong dan Tasek Gelugor.

Abdul Malik juga berkata, sekiranya Ahmad Zahid mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut, beliau hendaklah membuat laporan supaya dakwaan tersebut dapat disiasat.

"Kalau dia ada maklumat, sepatutnya dia buat laporan kepada kerajaan negeri, atau kepada polis atau kepada pejabat mufti, bukannya pergi beri kenyataan kepada media," katanya lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa sesetengah jawatankuasa masjid menggunakan isu tersebut untuk mensabotaj kerajaan negeri.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berpendapat, perbuatan menggunakan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong hendaklah dihentikan segera kerana ia bercanggah dengan hukum Islam dan undang-undang negara.

Katanya, sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku, ia amat memalukan kerana jelas menjatuhkan maruah Islam yang mempunyai hukum dan peraturan tersendiri.

Katanya, khutbah Jumaat adalah satu ibadat yang diwajibkan kepada setiap umat Islam dan ia tidak boleh disamakan dengan sesuatu majlis yang dimana aturcaranya boleh diubahsuai sesuka hati dan tidak berlandaskan hukum.

"Justeru, tidak wajarlah di dalam doa khutbah kedua solat Jumaat dimasukkan doa untuk mereka yang bukan Islam kerana ia tidak pernah dilakukan walaupun di zaman Nabi," katanya semalam.

Pergerakan Pemuda UMNO pula mendesak agar satu siasatan segera dibuat mengenai amalan penggantian nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya perkara tersebut benar-benar terjadi, maka amalan itu bukan sahaja menghina institusi raja selaku ketua agama bahkan kesucian masjid dengan penggunaan mimbar bagi mengagungkan Lim selaku Ketua Menteri.

"Kejadian-kejadian pelik lagi dangkal kerana pembacaan doa khutbah solat Jumaat sememangnya dikhususkan kepada Ketua Agama Islam Persekutuan atau Ketua Agama Islam Negeri, yakni Yang Dipertuan Agong dan Sultan dan bukannya untuk kuasa eksekutif pentadbiran negeri iaitu Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak kira sama ada beliau itu muslim atau tidak," katanya dalam satu kenyataan semalam.