Showing posts with label kemelut. Show all posts
Showing posts with label kemelut. Show all posts

Thursday, June 8, 2017

FGV KEBANGGAAN NAJIB KINI DILANDA KEMELUT, TETAPI...


Memalu dan memilukan apabila syarikat konglomerat negara,  Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dilanda kemelut akibat pertelingkahan antara Pengerusi dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya.

Apa pun kita bersyukur kerana kemelut ini mungkin akan mendedahkan banyak lagi isu lain yang menyebabkan FGV sudah menjadi begitu ‘kecil’ berbanding ketika dilancarkan sebelum ini.

FGV mulanya dilihat gah. Namun kini kedudukannya begitu kerdil apabila nilai pasaran sahamnya menjunam berbanding ketika dibuka bernilai RM4.55 seunit yang kononnya akan berlaku menjadi 'durian runtuh' buat warga FELDA.

'Durian’ itu kini benar-benar runtuh dan merudum hingga ke paras RM1.40-RM1.90 seunit.

Ini belum lagi dilihat kepada kerugian yang dialaminya kepada hampir RM100 juta tetapi anehnya Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tetap kekal dikerusinya.

Mengapa demikian? Apakah ada ‘pelindung besar’ buat Mohd Isa? Atau memang beliau tidak boleh disentuh dan tidak akan ada sesiapa pun boleh menjatuhnya?

Kebal, iaitulah perkataan sesuai untuk Mohd Isa di kerusi Pengerusi FGV.


Dalam kedudukan kemelut sebegini, adilkah menggantung tugas satu pihak sementara satu pihak lagi dikekalkan pada ketika siasatan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) akan dijalankan?

Betul juga apabila Presiden dan Ketua Pengarah Urusan FGV,  Datuk Zakaria Arshad mempersoalkan kenapa beliau digantung tugas atau diminta lepaskan jawatan.

Apakah beliau bersalah? Ketegasnya untuk tidak melepaskan jawatannya selagi tidak didapati bersalah adalah tindakan wajar.

Asalnya dikatakan hanya ribut kecil,namun kini sudah menjadi taufan dan sudah pasti kes ini bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara tetapi juga di luar negara.

Pertelingkahan yang menyebabkan penggantungan dibuat terhadap Zakaria dibuat selepas beliau menolak permintaan Mohd Isa untuk meletakkan jawatan.

Ia  berhubung dakwaan salah laku yang berkaitan dengan pembayaran kepada sebuah syarikat Afghan.

Lembaga Pengarah FGV turut mengarahkan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Ahmad Tifli Mohd Talha, bercuti susulan siasatan yang telah dilakukan oleh syarikat audit, PricewaterhouseCoopers yang tidak boleh dinyatakan kepada umum.

Tidak diketahui sejauh mana benar dakwaan  bahawa kemelut menjadi serius gara-gara  Isa gagal memperkudakan Zakaria dalam beberapa keinginan beliau untuk dijayakan.

Kelmarin Mohd Isa menolak dakwaan blogger Raja Petra Kamaruddin bahawa  beliau cuba menyingkirkan Zakaria pada mesyuarat Lembaga Pengarah Jumaat lalu.

Mohd Isa bagaimanapun menafikan mesyuarat tersebut hanya membincangkan mengenai penyingkiran Zakaria, sebaliknya banyak perkara lain dibincangkan.

Zakaria, dalam surat kepada  Mohd Isa, menafikan beliau telah melanggar kod tadbir urus korporat dan berkata pembayaran itu telah diluluskan oleh pendahulunya.

Namun puncanya apa  sehingga timbul kemelut kepimpinan dan apa pula kesan dan penyudahnya?

Kemelut dikatakan mempunyai kaitan dengan tunggakan bayaran kepada anak syarikatnya FGV Delima Oil Products Sdn Bhd dengan sebuah syarikat pembeli minyak sawit luar negara.


Menariknya tidak sampai sebulan, iaitu pada 24 Mei 2016 lalu Zakaria begitu bangga mengatakan FGV ialah  salah sebuah konglomerat minyak sawit utama di Malaysia memainkan peranan penting dalam program pembangunan tanah dan penempatan pertama di negara ini, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Namun sejak kelmarin, nampaknya FGV berada dalam kedudukan yang mencemaskan pelabur dan mungkin agensi kerajaan itu sendiri.

Pelik apabila Raja Petra mendakwa Mohd Isa cuba menyingkirkan presiden Zakaria bagi menutup dakwaan salah laku rasuah.

Apakah memang berlaku rasuah dalam FGV?

Isa berang dengan tuduhan itu, malah apabila seorang wartawan akhbar arus perdana mengemukankan soalan apakah benar truduhan Raja Petra itu mengugut mahu menyaman wartawan itu.

“Kamu buat kenyataan ini, saya saman awak,” katanya ketika menjawab soalan itu dalam sidang media di Menara Felda, Kuala Lumpur kelmarin.

Zakaria pula setakat ini mempertahankan diri dan enggan berundur serta berhujah proses pembayaran dan syarat kredit yang digunapakai Delima Oil itu sudah dilaksanakan sebelum beliau menjadi CEO lagi.

Bagaimanapun, selepas Zakaria dicutikan, Mohd Isa  mengumumkan siasatan audit dalaman akan dibuat ke atas Zakaria serta mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zakaria pula sudah ke SPRM dan mahu SPRM menyiasat keseluruhan operasi FGV bagi menilai sekiranya berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.

SPRM pula menyatakan kesediaanya untuk membuat siasatan walaupun Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengatakan  SPRM terlebih dahulu perlu meneliti laporan yang dibuat jika ada berlaku salah guna kuasa atau rasuah.

SPRM telah menerima beberapa maklumat sebelum ini berhubung isu yang sama, walau bagaimanapun siasatan hanya akan tertumpu kepada isu salah guna kuasa serta rasuah dan bukannya isu peribadi pemberi maklumat.

Malah Zakaria menegaskan berusaha menghalang pelaburan ratusan juta yang dibuat oleh lembaga pengarah syarikat tersebut yang disifatkannya sebagai "tidak masuk akal".

Antara pelaburan itu, katanya, adalah rancangan bernilai 100 juta pound sterling (kira-kira RM551 juta) untuk pengembangan Felda Cambridge Nanosystems Ltd , sebuah syarikat nano karbon, yang kerugian RM117 juta dalam tempoh tiga hingga empat tahun lepas.

"Sekarang mereka (lembaga FGV) mahu mengembangkannya, mereka memerlukan 100 juta pound lagi. Bagi saya ini adalah tidak masuk akal, kami sebuah syarikat perladangan," beliau dipetik sebagai berkata oleh The Star.

Pelaburan lain, adalah rancangan untuk menghabiskan RM300 juta bagi membeli 30 peratus pegangan dalam sebuah kilang krimer, yang dimiliki oleh sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan bukan teras.

Zakaria juga melahirkan rasa tidak puas hati mengenai amalan rundingan terus. "Terdapat contoh-contoh lain, rundingan langsung, kontrak langsung ... Saya telah diberi kepercayaan untuk menguruskan syarikat tetapi apabila saya mahu menguatkuasakan dengan tegas, maka ini apa yang berlaku," katanya.

Turut masuk campur dalam kemelur ini ialah Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang menyifatkan arahan  Zakaria bercuti sebagai mangsa terbaru Mohd Isa.

Presidennya, Mazlan Aliman mendakwa Mohd Isa ketika menjadi Pengerusi FELDA bertindak “menyejuk bekukan” pengarah besar ketika itu – Datuk Zulkifli Abdul Wahab yang tidak disenanginya.

Ia  disusuli dengan pengganti Zulkifli, Datuk Faizoull Ahmad yang turut “disejuk bekukan” sehingga beliau didakwa di Mahkamah Sesyen baru-baru ini.

Dengan kata lain, Mazlan mendakwa daripada awal, Mohd Isa memang tidak menyenangi Zakaria.

Aktivis Felda PAS Naraza Muda pula melihat alasan berhubung tunggakan bayaran sebuah syarikat asing kepada anak syarikat FGV Delima hanya “isu teknikal” untuk mengketepikan Zakaria.

Naraza mengingatkan bahawa presiden FGV sebelum ini juga pernah mengalami nasib hampir sama apabila kontrak tidak disambung.

Naraza juga membuat spekulasi perkembangan dalaman Felda itu sebenarnya mempunyai kaitan dengan urus niaga dengan syarikat China.

“Ramai bekas kakitangan Felda menggagap Mohd Isa gagal memperkudakan Datuk Zakaria dalam beberapa keinginan beliau (Mohd Isa) dijayakan,” dakwanya.

Malah Naraza berpendapat, apa yang berlaku kepada Felda sejak Mohd Isa dilantik menjadi pengerusi Felda pada tahun 2011 sehingga di pecat awal tahun ini, peneroka Felda perlu menyokong dan berdiri teguh di belakang Zakaria.

Ini  kerana Zakaria cuba memacu dan membawa FGV ke landasan betul dengan apa yang dialami FGV sejak disenaraikan di BSKL.

Belum dapat dipastikan sama ada tindakan terhadap  Zakaria itu sebagai suatu kesilapan pada ketika beliau dikatakan sedang melaksanakan misinya untuk memperbetulkan kepincangan dalam syarikat itu.


Sewajarnya beliau diberikan ruang dan siasatan oleh SPRM perlu dilakukan dengan adil dan pendapat yang mengatakan penstrukturan FELDA yang dilakukan Tan Sri Shahrir Samad tidak akan mendatangkan kesan, selagi Isa menjadi pengerusi FGV juga belum dapat disahkan.

Yang sahnya kemelut ini akan mendedahkan banyak perkara dalam FGV yang  sering dibangga-banggakan oleh Perdana Menteri.

Mohd Isa yang dilantik oleh Datuk Seri Najib Razak ternyata walaupun mempunyai sokongan padu yang kuat tetapi rekod membuktikan bahawa era Mohd Isa sebagai Pengerusi FGV, telah berlaku penyelewengan di Felda Iffco Gida Sanayi, sebuah anak syarikat yang dimiliki 50 peratus saham oleh FGV di Turki, dengan kerugian saham luar biasa sebanyak RM57 juta.

Penyelewengan tersebut telah menyebabkan kerugian suku ketiga FGV yang berakhir 30 September 2016 melebar daripada RM33.9 juta tahun yang lalu ke RM94.86 juta.

Apakah Mohd Isa akan terus berada di kerusinya selepas ini?

Jika terus dikekalkan, dia dikekalkan untuk kepentingan siapa?

Sunday, March 4, 2012

KEMELUT PAS KEDAH BELUM SELESAI WALAUPUN DENGAN KEHADIRAN ABDUL HADI?


(TERBARU) Presiden PAS Abdul Hadi sudah pulang dari luar negara dan turut menghadiri perbincangan bagi menyelesaikan isu kemelut di Kedah.

Persoalannya, apakah benar-benar sudah selesai atau masih ada perkara yang belum beres? Jelas PAS Pusat tidak dapat membuat keputusan muktamad bagi menyelesaikan krisis dalaman parti itu di Kedah selepas mesyuarat mulai pukul 9 malam semalam ditangguh kira-kira pukul 12 tengah malam.

Sinar Harian Online menyebut memetik Salahuddin, krisis sudah selesai dan Utusan Malaysia Online pula  menyebut, "PAS Pusat masih belum dapat membuat keputusan muktamad bagi menyelesaikan krisis dalaman parti itu di negeri ini selepas mesyuarat mulai pukul 9 malam semalam ditangguh kira-kira pukul 12 tengah malam."

Soalnya, kenapa mahu tungguh sehingga pagi atau tengah hari ini mahu dimaklumkan? Selalunya kalau menangguh pengumuman itu pasti ada masalah. Kalau selesai kenapa tidak boleh mengumumkannya?

PAS sudah tentu tidak mahu ada spekulasi berbagai dan jika benar kemelut selesai kenapa mahu ambil masa sampai setengah hari mahu umumkannya? Perlukan proses tolak ansur lagi?

Apakah PAS Pusat mematuhi Dewan Ulama PAS Pusat dan Dewan Ulama PAS Kedah yang mahu mana-mana pemimpin yang seleweng perlu diganti?

Pendirian itu dikeluarkan menjelang pertemuan antara ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Kedah di Alor Setar malam semalam.

Dalam kenyataan bersama, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib dan Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Syeikh Mohamad Abdullah menegaskan, pihaknya sama sekali tidak akan menyokong sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kedah.

“Dewan Ulama PAS Kedah sentiasa istiqamah untuk mempertahankan kerajaan PAS negeri Kedah bersama-sama dengan ahli dan kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia,” kata kenyataan itu.

Persoalannya siapa menyeleweng?

Rasanya untuk menutup keaiban dan menyatakan kemelut ini selesai, PAS Pusat akan mengatakan isu menyeleweng tidak timbul.

Naib Presiden PAS, Salehuddin Ayub berkata, pihak yang bertelagah iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi  (gambar kanan) telah mengemukakan pandangan dan hujah masing masing berhubung isu yang timbul.

Akhirnya, SIAPA YANG MENANG?

Phahrolrazi  yang  tiba pada pukul 8.50 malam dan ketika disapa media dan ditanya harapannya, beliau berkata: ''Saya yakin boleh menang.''

Azizan pula  tiba 30 minit kemudian dan Abdul Hadi terakhir memasuki Seri Mentaloon kira kira pukul 9.50 malam sebelum pintu pagar ditutup petugas keselamatan.

Boleh menang apa? Pecat Azizan?

Jika pertemuan semalam juga tiada kata putus alamatnya adalah yang akan terkorban atau dikorbankan.

Pastinya PAS mahu melakukannya bagai ‘menarik rambut dalam tepung…” tetapi songkok atau kopiah siapa akan terbang.

Sebelum ini pada mesyuarat di Ibu pejabat Parti malam kelmarin, ketiadaan Abdul Hadi mendapat reaksi dan pertanyaan serius daripada blogger Anuarisme, Mohd Sayuti Omar melalui blognya:

Saya tidak faham sepenting mana forum itu perlu dihadiri Abdul Hadi (Presiden PAS) berbanding pulang untuk melihat kemelut PAS Kedah yang agak mencemaskan.

Apakah beliau mempunyai ilmu makrifah yang bleh memantau perkembangan parti dari luar negara? Menyelesaikan masalah parti secara spritual, misalnya berdoa di kejauhan? 

Sayuti atau MSO yang dikenali rapat dengan Anwar dan Musyridul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempersoalkan ketiadaan Abdul Hadi dalam negera ketika Jawatakuasa Kerja PAS Pusat membincangkankemelut politik di Kedah.

Khabarnya Hadi berada di Vienna Australia kerana menghadiri forum dunia. Timbalan Presiden Mohd Sabu mempengerusikan mesyuarat itu dan gagal menyelesaikan kemelut hinggalah dibawa ke mesyuarat malam kelmarin.

Semalam, Jawatankuasa PAS Pusat yang turut disertai Abdul hadi meneruskan perbincangan bagi mendapatkan jalan penyelesaian muktamad dalam tempoh terdekat.

Namun jelas kemelut itu masih samar penyelesaiannya walaupun dengan kehadiran Abdul Hadi.

Keputusannya dikatakan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pagi atau tengah hari ini.

“Pengumuman mengenainya sama ada akan di buat di sini (Alor Setar) atau di Kuala Lumpur," kata Salehuddin kepada pemberita selePAS mesyuarat dihentikan seketika di Kediaman Rasmi Menteri Besar Seri Mentaloon di Alor Setar tengah malam semalam.

Banyak persoalan sebenarnya apabila pertemuan tertutup yang turut dihadiri Presiden PAS itu dan beberapa ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang merupakan kali kedua bagi membincangkan isu tersebut selepas mesyuarat khas PAS di Kuala Lumpur kelmarin nampak gayanya sukar mencari jalan penyelesaian.


Pertemuan itu dikawal ketat apabila beberapa petugas keselamatan menyaring kemasukan semua individu di pintu pagar Seri Mentaloon Alor Setar itu.

Thursday, April 8, 2010

DIN ADAM UGUT SAYA....


Buku karangan Zainal Yusof

Hari ini saya dikejutkan oleh pertemuan sulung dengan bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Din Adam yang bukan menyambut pertemuan dengan salam tetapi dengan ugutan.

“You Hambali? Jaga-jaga sikit.....” tegur beliau.

“Kenapa?” Tanya saya kepada Ahli Dewan Undangan Barisan Nasional (BN) Bukit Besi.
“Buku Kemelut Politik Terengganu..Jaga-jaga sikit,” balas Din.

“Bukan saya tulis buku itu. Saya pun tak kenal penulisnya. Saya hanya tahu nama penulis Zainal Yusuf, “ balas saya.

Zainal banyak juga memetik entri daripada blog saya ini untuk bahan blognya. Itu pilihan dan kebebasannya. Saya turut gembira apabila tulisan saya diiktiraf atau dihormati.

Tanpa mengendahkan jawapan saya, Din sebelum berlalu memasuki Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang bersidang memberi amaran “Jaga-jaga sikit”

Kejadian yang berlalu begitu cepat tidak disaksikan manusia. Allah melihatnya. Waktu itu kira-kira jam 11.52 minit pagi.

Nada Din memang serius. Saya terpinga-pingga. Saya kemudian memasuki persidangan DUN. Ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad, sedang menggulung.

Saya terfikir-fikir, apakah Din merasakan saya penulis buku berkenaan? Atau apakah kerana ada petikan-petikan membabitkan tulisan saya menyebabkan Din marah?

Tajuk-tajuk seperti ‘Din Adam Nak Hishamuddin Gantikan MB Terengganu’, ‘Antara Din dan Rosol – Siapa Ketua Geng 10’, ‘Din Adam...Dapat banyak jawatan sekarang’ memanglah menjadikannya bengang. Tetapi kenapa bengang itu dilepaskan kepada saya.

Apapun, Din silap kerana mengugut saya sedemikian. Mulanya saya mahu membuat laporan polis tetapi fikirkan orang politik dan Din bukan bukan ‘sehebat mana’ - tak apalah.

Cuma Din mungkin merasakan dia besar dan berkuasa untuk mengugut saya sedemikian.
Tapi bagi saya walaupun saya manusia kecil – penulis dan bekas wartawan – Din jangan cuba main kotor.

Saya pantang kalau orang memburukkan empat orang ini – Yang DiPertuan Agong, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datuk Ahmad Said.

Kenapa selepas saya berhenti kerja dengan ntv7 pada 1998, saya bersetuju kerja di belakang tabir di Ibu Pejabat UMNO untuk menahan serangan ‘reformasi’?

Kerana saya sayangkan UMNO dan Dr Mahathir yang saya ‘kenali’ sejak 1983 (ketika mula bekerja dengan Berita Harian). Saya menyanjunginya dan banyak belaajar ketika meliputi sidang antarabangsa di luar negara yang Dr Mahathir hadiri sebagai Perdana Menteri atau juga peserta.

Najib? Saya berhubung dengan beliau sejak 1983 ketika beliau masih lagi Menteri Besar Pahang dan kemudian Menteri Belia dan Sukan. Tidak tahulah sama ada Najib ingat atau tidak tetapi saya turut menyumbangkan tenaga kerdil saya ketika beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Pendidikan.

Dengan kata lain, dalam setiap perkara – termasuk kesediaannya bertanding Presiden UMNO – saya menyokongnya. Walaupun saya bukan perwakilan UMNO tetapi saya tetap ahli UMNO yang tidak pernah belot.

Apabila di Pejabat UMNO, kami agak ‘rapat’ kerana ketika itu beliau sudah menjadi Naib Presiden, malah beliaulah orang pertama membisikkan kepada saya bahawa saya akan dilantik sebagai Pengarang Wawasan Merdeka – akhbar rasmi UMNO antara tahun 2000-2002.


Kalau Din merasakan dengan memberi amaran kepada saya untuk saya tidak mempertahankan Ahmad Said dalam kelemut politik Terengganu, Din silap. Din tersasar!

Apa cara sekali pun selagi Ahmad Said tidak membuat silap, saya akan pertahankannya.

Saya terima jawatan ditawarkan Ahmad Said kerana saya kesian beliau ‘bersaorangan’ selepas menjadi Menteri Besar. Sejarah menunjukkan beliau tersepit antara titah pihak istana dengan UMNO – parti yang dia sertai dan memikul pula tanggungjawab kerana jawatan penting iaitu Ketua Bahagian Kemaman.

Apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri tugasnya semakin mencabar.

Bukan sekadar itu – Din dan rakan-rakannya yang tidak puas hati Ahmad Said dilantik menganggu-gugat pentadbiran Ahmad Said.

Daripada isu sms Ugut Bunuh, hinggalah sindrom bisu di sidang DUN dan ‘serang-menyerang sesama sendiri’ pada sidang DUN akhir 2009.

Lupakah Din, adalah antara orang pertama yang ditawarkan semula sebagai Exco dalam kerajaan pimpinan Ahmad Said? Bukan Ahmad Said tidak tawarkan tapi dia tolak sebab setia dengan Datuk Seri Idris Jusoh.

Kebetulan Yang DiPertuan Agong sebagai ‘pelindung rakyat dan agama Islam’ adalah orang yang bertanggungjawab memilih Ahmad Said, saya tidak rela rakyat Terengganu sendiri mencerca Rajanya.

Saya yang dianggap sebagai ‘bukan rakyat Terengganu’ oleh budak-budak suruhan Din Adam – Abdul Mubin Ismail (jarang anak Melayu) merasakan adalah tidak adil apabila Raja disamakan dengan ‘natang’.

Saya akui saya budak tingkat 16 Darul Iman walaupun pejabat saya bukan di tingkat 16. Namun untuk memburuk-burukkan kepimpinan ‘government of the day’, itu jauh sekali.

Ahmad Said perlu dibantu kerana dia adalah pemimpin dipilih oleh istana untuk rakyat. Selepas itu Majlis Tertinggi UMNO turut mengesahkan beliau sebagai Menteri Besar Terengganu yang sah. Apa masalah dengan you, Din?

Walaupun Ahmad Said bukan jenis pemimpin yang berbangga dengan sifat global atau bertaraf dunia, Menteri Besar Terengganu ‘anak tok penyadat’ ini meletakkan semua perkara pentingkan rakyat.

Memanglah tidak semua perkara perfect. Dr Mahathir yang dipuja dan dipuji itu ada kelemahan dan Nabi Muhammad s.a.w. pun tidak perfect terus. Kerana wahyu dan pertolongan Allah, Baginda mampu menjadi pemimpin umat Islam.

Ahmad Said sebagai manusia lagilah banyak kelemahan. Namun, apakah dengan wujudnya kelemahan itu selepas dilantik Menteri Besar, kita patut minta beliau diturunkan?

Apakah salah beliau? Rasuah, penyelewengan, pilih kasih? Tiada bukti. Yang banyak bukti di Terengganu ialah runtuh dan roboh. Ahmad Saidkah yang bertanggungjawab meluluskannya?

Tiada pembangunan – pembangunan apa? Apakah Terengganu mendapat sokongan dan bantuan sewajarnya? Hutang oleh Kerajaan Pusat pun tidak dibayar kepada Terengganu. Adilkah menuduh Ahmad Said lemah?

Mungkin Din melihat saya sebagai orang Ahmad Said dan berani pula dia memberi amaran kerana merasakan dia kini orang kuat Naib Presiden UMNO, Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.

Kalau demikian, saya cabar Din supaya minta Hishamuddin mengarahkan Ahmad Said memecat saya jika tulisan saya ‘merosakkan UMNO Terengganu’.

Ayob Mamat, Presiden Kawat yang boleh bertukar jenaka dengan Hishamuddin di atas pentas ketika satu majlis penganugerahan di Hotel Primula tidak lama dahulu, pernah melabelkan saya sebagai tidak cerdik dan BODOHFUL.

Malah Ayob turut mengatakan komen saya mengenai UMNO Terengganu banyak ‘membinasakan’ daripada kebaikan.

Tidak mengapa, biarlah Ayob dengan kecerdikannya kerana dia sekolah tinggi!

Oleh kerana Din memang bersekongkol dengan Abdul Mubin dan Ayob bolehlah mencadangkan kepada Hishamuddin supaya mengambil tindakan terhadap saya kerana buku Kemelut Politik Terengganu itu.

Din boleh minta bosnya, Hishamuddin atau Najib sendiri untuk mengenakan tindakan terhadap saya.

Oleh kerana Din kini orang penting Hishamuddin, Din boleh arahkan sesiapa sahaja untuk siasat saya!

Perlu diingat – saya bukan jenis boleh digertak. Saya turun tangga Ibu Pejabat UMNO bukan kerana saya dipecat tetapi saya ‘benci’ dengan riaknya pemimpinan UMNO ketika itu selepas memang pilihan raya 1999.

Pada ketika UMNO - orang malu untuk menyebutnya pada 1999 - saya antara mereka yang bekerja keras dengan Dr Mahathir, Tun Abdullah Badawi, Najib, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Mohd Yusof Nor, Tengku Adnan Tengku Mansor, Rosnah Majid dan beberapa yang lain memulihkan imej UMNO.

Pada 1999 dan 2000, imej UMNO merosot teruk berbanding sekarang. Namun sumbangan di belakang tabir orang tidak nampak.

Najib sendiri pun tidak atau sudah lupa. Apapun saya puas hati walaupun tidak ada terima kasih daripada orang seperti Tun Abdullah hatta Perdana Menteri hari ini – Najib.

Mengenai buku Kemelut Politik Terengganu – saya tegaskan sekali lagi, saya bukan penulisnya. Penulisanya ialah Zainal MYusof. Siapa Zainal ini?

Saya menulis hampir 10 buah buku dan tidak satu pun memakai nama samara, jadi kalau benar buku ini saya penulisnya, saya bangga menggunakan nama saya. Lagipun, nama saya ada sedikit komersilnya kerana pernah menghasilkan buku politik dan akademik.

Menurut biodata di laman web Zainal ini, beliau mengatakan bahawa beliau berpengalaman lebih dari 20 tahun dalam bidang penulisan dan pemberitaan. “Saya terlibat dalam dunia penulisan sukan, politik, rencana umum, buku politik,cerpen dan kisah-kisah misteri.” Berminat untuk berkongsi pengalaman dan pengamatan dalam perkembangan politik semasa dan terkini. “saya mengalu-alukan sumbangan bahan2 politik untuk disiarkan di blog saya.” Katanya dan meminta dihantar bahan berkenaan ke citra_bangsa@yahoo.com.

Lebih menarik, dalam satu blog hari ini, ada entri bertajuk “Buku Kemelut Politik Terengganu : Kenapa tuduh Pok Li?” Ia berkisar sekitar mencari Zainal Yusof sebenarnya?

Zainal Yusof yang menulis buku itu berkata: “SAYA menyiapkan buku Kemelut Politik Terengganu dalam masa enam bulan. Semua tulisan yang dikumpulkan untuk menjadikan ia sebuah buku sudah pernah tersiar dalam blog ini http://citra-bangsa.blogspot.com. Malangnya, apabila buku itu siap dan mula diedarkan, maka ada yang menuduh Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan sebagai penaja yang menyebabkan buku itu berada di pasaran.”

Kata Zainal, “Kenapa buat dosa kering? Kenapa orang kita suka memfitnah? Kenapa bila ada buku yang mempertahankan seorang Menteri Besar dari serangan bertubi-tubi, maka ia dianggap sebagai buku tajaan?”

Saya menyokong Zainal apabila beliau mengatakan: “Yang peliknya, bila ada penulis yang menggunakan blog mereka menyerang Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said secara terus menerus sejak YAB Datuk Ahmad diperkenankan pihak Istana Terengganu menjadi Menteri Besar - penulis, blogger dan blog itu tidak dituduh ada penaja di belakang mereka?”

Kata Zainal lagi, “Seorang kenalan memberitahu, ada usaha mengesan siapakah Zainal Yusof ini? Orang Melaka? Orang Terengganu? Atau orang Johor? Sebenarnya, isu di sini bukan siapa dan dari mana Zainal Yusof datang tetapi lihatlah apa yang terkandung dalam buku bertajuk Kemelut Politik Terengganu itu? Adakah ia salah? Adakah ia fitnah atau hanya cerita rekaan yang mahu merosakkan sesiapa?”

Mungkin Din sedang mengesan siapa penulisnya. Tetapi dengan memberikan amaran dan ugutan sedemikian, Din sudah beranggapan salah kepada saya.

Jika beginilah perangai Pembantu Khas kepada Datuk Hishamuddin, saya malu dan ingin bertanya bagaimana Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu boleh mengambil beliau?
Din juga sepanjang sidang DUN kali ini tidak aktif seperti sidang lepas yang jelas sengaja mahu menguji Ahmad Said dalam isu lombong bijih.

Pada ketika hampir semua bekas 10 Budak Hitam bersuara memberikan pandangan, Din nampaknya mahu meneruskan ‘sindrom bisunya’.

Dan hari ini, pada hari akhir sidang DUN, tiba-tiba Din buat hal dengan mengancam dan mengugut saya.

Apakah Din marah kerana ada bab ‘Din Adam nak Hishamuddin gantikan MB Terengganu?”

Kepada Din, lu pikirlah sendiri!