Saturday, January 3, 2009

HARGA MINYAK BERPOTENSI MELONJAK PADA JULAI

Sumber: Agensi

Harga minyak yang diniagakan pada hari pertama dagangan 2009 semalam sekitar AS$40 setong, berpotensi melonjak kepada AS$70 setong menjelang suku keempat tahun ini.

Apakah kita di Malaysia akan turut merasai kenaikannya semula Jun atau Julai depan selepas agak selesa ketika ini dengan keputusan kerajaan kerajaan menurunkan harga bahan api itu baru-baru ini?

Penganalisis menjangkakan harga bahan api berkenaan mampu meningkat ke paras itu apabila permintaannya kembali pulih dan langkah Opec mengurangkan pengeluaran seperti yang diumumkan bulan lalu mula dilaksanakan.

Selain itu, jangkaan pemulihan semula ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada separuh pertama 2009 akan mengembalikan permintaan bahan api itu.

“Faktor utama yang akan menentukan harga minyak tahun ini adalah berapa teruk dan selama mana berlakunya kemelesetan ekonomi,” kata Guy Caruso, bekas pentadbir di Jabatan Pengurusan Maklumat Tenaga AS yang kini adalah penasihat kanan tenaga dan keselamatan di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington.

Pengarah Urusan Energy Security Analysis Inc di Wakefield, Massachusetts, AS, Sarah Emerson, pula berkata apabila ekonomi global berjaya melepasi krisis kemelesetan ekonomi, harga minyak akan berada pada paras sokongan yang lebih tinggi daripada AS$40 setong.

“Harga minyak seharusnya akan pulih semula menjelang musim panas ini (Jun atau Julai),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Editorial Platts, penyedia maklumat sektor tenaga, Dave Ernsberger, berkata harga minyak mentah dijangka berada pada paras stabil melebihi AS$40 (RM138.40) dan akan kekal di paras tersebut sehingga Presiden Amerika Syarikat (AS) baru, Barack Obama memulakan tugas pada 20 Januari ini.

Ini berikutan, harga pasaran akan menunggu polisi beliau terhadap ekonomi AS, pengeluar minyak utama Iran dan konflik yang berlaku antara Israel-Hamas di Timur Tengah yang kaya dengan minyak bagi menentukan harga semasa minyak mentah dunia.
Harga pasaran minyak mentah hari didagangkan rendah pada hari pertama 2009, walaupun harga meningkat sehari sebelum cuti tahun baru.

Kontrak utama New York, minyak berkualiti tinggi Light sweet untuk penghantaran Februari jatuh AS$2.03 (RM7.02) kepada AS$42.57 (RM147.29) setong pada dagangan tengah hari selepas meningkat AS$5.57 (RM19.27) kepada AS$44.60 (RM154.31) di New York Mercantile Exchange, Rabu lalu.

Sementara itu, minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Februari jatuh AS$1.91 (RM6.60) kepada AS$43.68 (RM151.13) setong selepas melonjak AS$5.55 (RM19.20) kepada AS$45.59 (RM157.74) di London, Rabu lalu.

''Harga pasaran mengalami kejatuhan disebabkan pelabur Asia berpendapat trend menaik yang berlaku adalah melampau pada Rabu lalu,'' kata Dave Ernsberger, Pengarah Editorial Kanan Platts Asia, penyedia maklumat tenaga global.

Dengan permintaan dikawal oleh kemelesetan ekonomi di negara-negara besar ekonomi dunia, harga minyak berisiko untuk terus jatuh pada tahun ini, menurut penganalisis.

''Berita ekonomi yang berterusan suram akan menyebabkan harga pasaran minyak berada dalam keadaan defensif pada 2009 sehingga pakej rangsangan AS dapat dinilai keberkesanannya,'' kata Mike Fitzpatrick di MF Global.

Sementara itu, Obama bercadang membelanjakan sehingga AS$775 bilion (RM2.68 trilion) bagi pakej rangsangan ekonomi, seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Terdahulu, harga minyak mentah melonjak sehingga mencapai paras tertinggi melebihi AS$147 (RM508) setong dari Julai lalu, sebelum krisis ekonomi global mengurangkan permintaan dunia untuk tenaga dan menjadikan harga jatuh secara drastik.

Rabu lalu, harga pasaran meningkat selepas laporan mingguan Jabatan Tenaga AS menunjukkan peningkatan dalam simpanan minyak mentah negara itu.

''Kemungkinan (pelabur) menjangkakan sesuatu yang lebih daripada itu,'' kata Andy Lipow dari Lipow Oil Associates.

No comments:

Post a Comment