Saturday, January 30, 2010

HINA RAJA: ADUKA TARUNA AKAN JADI KES RUJUKAN?

Sebagai rakan blogger, saya bersimpati dengan Aduka Teruna kerana beliau dihadapkan ke mahkamah kerana tulisannya.

Saya bersimpati kepadanya kerana ditimpa kesusahan, namun ini tidak bermakna saya bersetuju dengan tulisannya.

Persoalannya, kenapa beliau menulis seperti itu dan membolehkan beliau dihadapkan ke mahkamah? Apakah entri bersifat sedemikian berbaloi?

Apakah beliau menulis kerana pendirian dirinya atau dipengaruhi oleh pihak-pihak lain? Apakah apabila PAS Johor mahukan beliau dikenakan tindakan bermakna parti politik, kawan-kawan politik serta rakan-rakan politiknya tidak mempengaruhinya.

Komen-komen dalam blog beliau menunjukkan reaksi berbagai dan unsur-unsur kepartian begitu terserlah yang membayangkan kepada kita, Aduka Teruna mungkin dipengaruhi pihak tertentu yang menyebabkan beliau boleh membuat entri berkenaan.

Aduka Teruna yang baru berkahwin sudah pasti menghadapi tekanan dan dengan kes mahkamah seperti ini akan menguji beliau sepenuhnya.

Apakah kes seorang penulis blog ini yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas tuduhan menghina Almarhum Sultan Johor akan menjadi ikutan dan rujukan?

Apakah Aduka Teruna atau Khairul Nizam Abd Ghani, 29 satu-satunya yang wajar dituduh menghina Raja Melayu?

Bagaimana dengan kes blogger lain di Perak, Selangor dan Terengganu yang bukan sahaja menghina malah mempertikaikan setiap keputusan Sultan mereka?

Apakah kes seperti Aduka Teruna ini tidak berlaku?

Sewajarnya rakyat di negeri-negeri yang Sultan mereka menerima malu bertindak bagi membolehkan mereka yang menghina dan mempersoalkan keputusan Sultan atau Raja mereka bertindak bagi membawa mereka yang ‘menghina’ Sultan mereka ke muka pengadilan.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menghina dengan niat untuk menyakiti institusi kesultanan Johor dan rakyat antara jam 7.25 sehingga 9.05 pada 22 Jan.

Khairul Nizam dituduh mengikut Seksyen 233(1)(A)Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini Aduka Teruna diperintahkan direman empat hari oleh magistret Kota Bharu.

Dalam kes di Terengganu umpamanya, ada blogger tertentu yang bukan sekadar mempersoalkan keputusan Tuanku Mizan Zainal Abidin tetapi dalam tulisan sesetengah blogger, ia turut mempunyai unsur menghina?

Tuanku Mizan bukan sekadar Sultan, baginda juga Yang DiPertuan Agong.

Apakah tiada rasa hormat hanya kerana menyokong pihak tertentu dalam kemelut politik Terengganu yang menyebabkan ada tulisan sedemikian?

Lalu teringat saya kepada satu entri Datuk Noh Omar dalam blognya bertajuk “ADAT MELAYU PANTANG DERHAKA KEPADA SULTAN !!!

Apabila beliau mengatakan adat Melayu, orang Melayu di Malaysia sewajarnya faham bahawa adat inilah yang menjadi ‘pengawal’ kepada tindak-tanduk orang Melayu selama ini.

Persoalan lain ialah apakah orang muda Melayu sekarang tidak tertakluk kepada perkara ini?

Dan jika ada Melayu yang tidak ‘beradab’ dan membelakangkan adat Melayu, bukankah mereka ini sedikit sebanyak sudah menderhaka kepada Sultan mereka?

Baca dan fahami apa yang ditulis oeh Noh:

Oleh Dato’ Noh Omar (www.nohomar.com)
7 Mac 2009

Orang Melayu hendaklah berpegang kepada ‘Adat Melayu pantang derhaka kepada Sultan’. Berlaku biadap sehingga boleh membawa kemurkaan kepada Baginda Sultan adalah perbuatan derhaka yang menjadi pantang larang kepada kalangan masyarakat melayu kerana ia merupakan sebesar-besar jenayah dalam Negeri Melayu. Oleh itu kebiadapan dan penderhakaan rakyat terhadap Raja-Raja Melayu perlu dihentikan dan semua rakyat di negara ini harus tunduk dan taat kepada Sultan dan Raja dengan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.

Sebagai rakyat di bawah naungan payung pemerintahan Baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan, saya amat terharu dengan keprihatinan Baginda terhadap perpecahan yang berlaku di kalangan rakyat khususnya kalangan masyarakat Melayu. Kemurkaan Baginda jelas kerana terkilan dengan golongan Melayu yang mengenepikan sejarah perjuangan bangsa dan terhakis nilai dan jati diri sehingga sanggup berada di bawah telunjuk orang lain demi mencapai cita-cita politik mereka.

Perjuangan bangsa Melayu untuk menjadi bangsa yang unggul setaraf dengan bangsa-bangsa lain masih belum kesampaian. Orang Melayu perlu bersatu bagi menjayakan perjuangan ini. Sebarang pertikaian dan masalah yang timbul boleh diselesaikan secara sopan melalui permuafakatan bak kata pepatah “Bulat air kerana pembetong, bulat manusia kerana muafakat". Jangan diulangi sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang hanya mampu bertahan kira-kira 100 tahun. Bangsa Melayu hilang maruah dan terhina lebih 460 tahun lamanya sebelum kita bebas membina semula maruah bangsa dan negara yang merdeka yang pada tahun ini mencecah 52 tahun.

Maka dengan itu, saya ingin menasihatkan orang melayu supaya jangan jadi seperti "Nasib Pak Kaduk...menang sorak, kampung tergadai" dan jangan sekali-kali mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan. Berpeganglah apa yang ada jangan kelak sampai yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran!

No comments:

Post a Comment