Krisis demi krisis di kalangan pemimpin pembangkang. Selepas PAS kini dalam DAP di Pulau Pinang pula.
Krisis politik pembangkang khususnya di Pulau Pinang ialah penolakan yang jelas terhadap kepimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pertelagahan di kalangan pemimpin pembangkang itu bukan sekadar berselisih pendapat tetapi merupakan satu tanda hilang keyakinan sama sekali terhadap dasar dan apa yang dilakukan oleh pimpinan sedia ada.
"Kedudukan pemimpin pembangkang telah sampai ke tahap begitu serius dan perbalahannya merupakan satu tanda hilang keyakinan sama sekali terhadap apa yang dilakukan di peringkat khususnya di Pulau pinang.
"Ini sesuatu yang menggambarkan bahawa penerimaan terhadap dasar-dasar dan pentadbirannya telah menyebabkan sekumpulan pemimpin utama PKR (Parti Keadilan Rakyat) telah mengeluarkan kenyataan yang saya anggap sebagai penolakan yang amat jelas terhadap apa yang dilakukan oleh pimpinan sedia ada," katanya di Pekan semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas krisis pakatan pembangkang di Pulau Pinang yang dilihat semakin serius apabila anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim secara keras menyerang Ketua Menterinya.
Menurut laporan akhbar hari ini, Zahrain yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang menggambarkan Lim sebagai "diktator", cauvinis dan berfikiran komunis, malah beliau (Zahrain) juga berkata pakatan pembangkang perlu menghentikan sebarang tolak ansur dengan pemimpin itu setelah beliau (Lim) gagal menunaikan janji-janji pada pilihan raya umum lepas.
Perdana Menteri berkata krisis yang berlaku melibatkan kepimpinan parti pembangkang itu bukanlah disebabkan oleh Umno atau Barisan Nasional.
"Ini (krisis), nampaknya (merupakan satu) perpecahan yang begitu serius dan terbuka sekali di kalangan parti pembangkang," katanya.
Najib berkata pemerintahan parti pembangkang di negeri-negeri lain juga dilihat mula berlaku keretakan apabila wakil rakyat dan anggota Parlimen mereka juga mula berselisih pendapat dalam pelbagai isu.
"Mungkin (krisis merebak ke negeri-negeri lain), tak dapat kita nafikan kesan dan tempiasnya menular ke tempat lain.
"Seperti kita tahu Setiausaha Agung PKR (Datuk Salehudin Hashim) dah letak jawatan, nampaknya di kalangan wakil Parlimen mereka pun dah bercanggah secara terbuka, ini bukan perselisihan perdapat tapi perbalahan yang amat serius yang bergolak dalam parti pembangkang," kata Najib.
Sementara itu satu analisis oleh Bernama menyebut, tindakan pemimpin dan wakil rakyat Pakatan Rakyat yang bertelagah sesama sendiri sebenarnya adalah bukti mereka dalam kecelaruan dan telah hilang arah tuju untuk memimpin rakyat dan negara, demikian menurut seorang penganalisis politik.
Menurut Pensyarah dari Universiti Sains Malasyia, P Sivamurugan, disebabkan kecelaruan yang dialami, mereka sering menggunakan dasar peribadi dalam memberi pendapat malah menyerang rakan sendiri jika tidak berpuas hati dengan sesuatu isu.
Sebagai contoh, katanya wakil rakyat DAP Kedah Lee Guan Aik pernah mengisytiharkan tidak menyokong kepimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak ekoran tidak berpuas hati dengan dasar-dasar baru kerajaan negeri itu.
Begitu juga apabila anggota Parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Noordin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerang anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari PAS, Anggota Exco Selangor Datuk Dr Hassan Ali dari PAS pernah bertelingkah dengan Menteri Besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR dan terkini ialah anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim pula menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP.
"Ini jelas pemimpin dalam pakatan pembangkang mengalami kecelaruan kerana mereka tidak mempunyai satu dasar yang stabil untuk dijadikan panduan dan disebabkan itu hubungan sesama mereka adalah begitu rapuh," kata beliau.
Sivamurugan berkata, bagaimanapun, terdapat kemungkinan juga isu dan pertelingkahan ini direka untuk mengalih pandangan rakyat terhadap isu besar yang membabitkan pemimpin utama mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, setiap kali menjelangnya perbicaraan kes liwat Anwar di mahkamah, pelbagai isu lain akan dibangkitkan oleh pemimpin pakatan pembangkang dan kemudiannya Anwar akan muncul sebagai "wira" untuk meredakan isu yang timbul.
Dua hari lalu, Zahrain yang juga bekas pengerusi PKR Pulau Pinang dipetik sebagai berkata Lim adalah seorang 'diktator, cauvinis dan berfikiran komunis'.
Beliau juga menggesa agar pakatan pembangkang menghentikan sebarang tolak ansur dengan pemimpin itu setelah dia gagal menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.
Lim tidak mahu mengulas mengenai kritikan serius terhadap dirinya itu dan mahukan pemimpin PKR sendiri yang membuat kenyataan balas menerusi timbalannya Mansor Osman yang kesal dengan kenyataan Zahrain.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mujahid Yusof Rawa pula ketika dihubungi tidak menafikan sememangnya berlaku perselisihan dan perbezaan pendapat dalam pakatan pembangkang.
"Adalah satu pembohongan jika saya mengatakan tidak ada masalah dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi kita mesti menyelesaikannya semasa mesyuarat Majlis Pakatan dan bukannya menerusi media," kata beliau.
Katanya, adalah satu perkara biasa jika mereka mempunyai perbezaan pendapat tetapi tidak bersetuju dengan tindakan Zahrain yang membuat pendedahan terbuka menerusi media.
Bagaimanapun, tindakan berani Zahrain disokong oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan yang menurutnya sudah tentu Zahrain membuat pertimbangan yang wajar sebelum mendedahkan sikap sebenar Lim yang didakwanya menguasai kepimpinan kerajaan negeri dan mencampuri urusan semua agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan syarikat bekalan air PBA Sdn Bhd.
Katanya, Zahrain lebih mengetahui kepimpinan Lim dan membuat pendedahan demi kepentingan penduduk Pulau Pinang.
Mungkin telah tiba masanya bagi rakyat Pulau Pinang menilai apakah kesilapan yang telah mereka lakukan apabila memberi mandat kepada pakatan pembangkang untuk memerintah.
No comments:
Post a Comment