Showing posts with label Tengku Adnan. Show all posts
Showing posts with label Tengku Adnan. Show all posts

Saturday, October 23, 2010

APA NI UMNO ONLINE - BUAT TUDUHAN PALSU?

http://kijang-jantan.blogspot.com/
Dengan bangganya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini menasihatkan ahli UMNO jangan baca blog lain – termasuk blog proUMNO – tetapi hanya umno online untuk mendapatkan berita yang tepat mengenai UMNO.

Jadi ahli UMNO yang ‘patuh’ kepada arahan mungkin dapatkan berita hanya melalui umno online, termasuk mengenai Galas.

Namun, apa yang mengejutkan, semalam umno online dikatakan membuat fitnah terhadap calon PAS Dr Zulkefli Mohamad yang beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Ini bermakna bahawa calon PAS ini menjadi sasaran umno-online tidak sampai 24 jam selepas diumumkan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992 dan mengendalikan klinik sendiri di Chiku 3, Gua Musang, menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

Malaysiakini yang memetik kenyataan Dr Zulkifli menyebut, media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan 'isterinya' sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

"Fitnah semata-mata, - boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia," katanya dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Selain mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap berkhalwat, umno online juga cuba memperlekehkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini mengenakan syarat untuk menjadi calon adalah bukan perokok dengan memberikan gambaran seolah-olah beliau adalah perokok.


"Saya tidak merokok. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang membuat fitnah," kata Dr Zulkefli.

Dr Zulkefli diumumkan sebagai calon PAS oleh Nik Aziz di Gua Musang malam semalam.

Beliau adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008 tetapi tewas.

Berusia 44 tahun, Dr Zulkefli merupakan anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

Persoalannya kenapakah umno online berharapkan blog lain yang bukan menjadi pilihan Tengku Adnan untuk dijadikan sumber berita?

Saya tabik kepada blog parpukari dan the unspinners dalam kerja mereka untuk Galas tetapi kedua-duanya kalau menurut analogi Tengku Adnan tidak layak untuk dijadikan rujukan kerana tidak ‘setanding’ umnoonline.

Lebih malang, apa yang dipetik oleh umno online itu disifatkan ‘berunsur fitnah’ dan boleh memalukan UMNO (ikut standard Tengku Adnan).

Dengan kedudukan ini, tidakkah perbuatan umno online ini dengan sendirinya memalukan Tengku Adnan yang mengharapkan portal berita umno itu sebagai sumber rujukan utama dan boleh dipercayai?

Bergantung kepada Tengku Adnanlah untuk memperbetulkan keadaan ini kerana beliau juga yang meletakkan umno-online kononnya satu-satunya online yang perlu dirujuk mengenai apa sahaja berkenaan UMNO.

Cuma sedikit memalukan ialah portal yang sepatutnya menjadi rujukan menjadi sebaliknya dan kini didakwa membawa ‘fitnah’ kepada calon PAS Galas.

Jangan perkecilkan perkara ini kerana ia akan menjadi bahan kempen untuk menempelak UMNO!

Saturday, August 14, 2010

UMNO LAYAK DILETAKKAN DI BAWAH KAKI?

Saya bukan sahabat Facebook UMNO kerana itu tidak tersenarai untuk dipanggil bagi mempromosi UMNO.

Apapun, tahniahlah kepada penganjur majlis ini kerana berjaya menghimpunkan ahli Sahabat Facebook UMNO semalam.

Hingga kini dilaporkan ahli Sahabat Facebook UMNO adalah seramai 4,513 dan sejumlah 3,088 orang menjadi pengikut kepada sahabat berkenaan.

Apa yang menarik pada majlis itu ialah Umno meminta bantuan sahabat maya untuk menaikkan semula imej serta nama parti itu yang sering menerima pelbagai tohmahan oleh pihak tertentu, terutama parti pembangkang.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengki Mansor berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini, pelbagai tuduhan telah dilemparkan kepada UMNO sehingga parti itu dilihat seperti pertubuhan siasah yang tidak bermoral.

"UMNO digambarkan seperti parti yang tidak berakhlak, yang seolah-olah hanya layak diletakkan di bawah kaki...saya sedih dengan keadaan ini.

"Kita tidak minta banyak...kita cuma minta diiktiraf apa yang telah dilakukan parti selama ini, apa yang telah dilaksanakan untuk kebaikan semua," katanya sempena majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan Facebook (FB) Media-Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Kira-kira 500 sahabat FB Media-UMNO dirai pada majlis itu yang turut dihadiri Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abd Rauf Yusof.

Tengku Adnan berkata sejak ditubuhkan 64 tahun lepas, Umno banyak menabur jasa dan melaksanakan pelbagai usaha membangunkan negara.

"Kalau Umno tak ditubuhkan pada 1946 itu, kita tidak tahu di pinggir mana kedudukan orang Melayu sekarang," katanya.

Beliau turut meminta rakan UMNO yang sering berkomunikasi di ruang maya supaya memperkenalkan UMNO, khususnya kepada generasi muda yang belum mengenali Umno, selain menarik lebih ramai golongan itu mendekatkan diri dengan parti berkenaan.

Ruang FB Media-UMNO yang wujud sejak 8 Januari lepas, kini mempunyai seramai 4,513 sahabat dan 3,836 peminat.

Tengku Adnan berkata semua sahabat UMNO dialu-alukan untuk mengemukakan sebarang cadangan atau pandangan untuk kebaikan parti.

"Walaupun Umno telah lama ditubuhkan, tetapi kita bukanlah sempurna. Kalau ada cadangan, pandangan boleh dikemukakan supaya perjalanan UMNO ini lebih baik," katanya.

UMNO sentiasa bersikap terbuka dalam menerima teguran mahupun kritikan daripada pelbagai pihak bagi memperkukuhkan parti itu.

"Kalau ada teguran, pandangan untuk kebaikan UMNO... gunalah facebookini untuk nyatakannya, tegurlah kami supaya dapat perbaiki keadaan," katanya.

Persoalannya, apakah UMNO memang terbuka seperti yang disebutkan oleh Tengku Adnan itu?