Friday, February 13, 2009

RAJA PETRA TAKUT MAHKAMAH SESYEN?

Kenapa penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin tidak mahu beliau dibicarakan di Mahkamah Sesyen?

Kalau benar Raja Petra mempunyai bukti dan tidak takut kalah dalam kesnya kenapa pula takut dengan hukuman?

Kenapa takut sangat dengan Mahkamah Sesyen?

Apakah peguam penulis blog Malaysia Today ini sudah mengetahui bahawa Raja Petra akan dihukum dan dengan meletakkan kes itu di Mahkamah Majistret, denda menjadi lebih murah dan rayuan lebih mudah?

Raja Petra yang didakwa memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain bagaimanapun gagal dalam usahanya supaya kes itu dikembalikan ke Mahkamah Majistret .

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kes tersebut kekal di Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zainal Azman Ab Aziz memutuskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret membenarkan permohonan pendakwa supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan adalah sah dan teratur.

Beliau berkata keputusan pemindahan kes tersebut yang dibuat Majistret Nazran Mohd Sham, pada 15 Ogos 2008 itu tidak bercanggah dengan Artikel 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Zainal Azman kemudiannya menolak notis usul untuk semakan yang difailkan Raja Petra pada 25 Nov, 2008, atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai merit dan berasas.

Salah seorang daripada peguam Raja Petra, J.Chandra memberitahu media bahawa pihaknya akan menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan hari ini. Mahkamah Rayuan adalah tempat terakhir bagi Raja Petra merayu kerana kes di mahkamah rendah akan berakhir di Mahkamah Rayuan.

Persoalannya kenapa mahu dibicarakan di Mahkamah Majistret?

Pada 20 Januari 2009 lalu, peguam mewakili Raja Petra berhujah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa pengendali laman web Malaysia Today itu terdedah kepada hukuman yang lebih berat apabila kes fitnah yang dihadapinya dibicara di Mahkamah Sesyen.

Manjeet Singh Dhillon berkata, Seksyen 87(1) Akta Mahkamah Rendah 1948 memperuntukkan bahawa majistret hanya boleh mengenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM10,000.

Bagaimanapun, katanya, Seksyen 64 akta yang sama membenarkan Mahkamah Sesyen menjatuhkan apa-apa hukuman selain daripada hukuman mati serta tiada had jumlah denda.

''Saya tidak mempertikaikan kuasa Peguam Negara untuk memilih mana-mana mahkamah untuk menjalankan prosiding terhadap seseorang, tetapi dalam kes ini, perayu (Raja Petra) dituduh di bawah kesalahan yang sepatutnya dibicara di Mahkamah Majistret.

''Jika demikian, Peguam Negara perlu hadir ke mahkamah untuk menjelaskan kesalahan yang dilakukan oleh perayu,'' katanya.

Manjeet juga berhujah bahawa Mahkamah Tinggi boleh merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 84(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 apabila persoalan perlembagaan dibangkitkan.

Katanya, dalam kes ini, implikasi -implikasi daripada perintah di bawah Seksyen 177 Kanun Tatacara Jenayah dan persoalan berkaitan masih belum diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis pula berhujah bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memilih mana-mana mahkamah bagi menjalankan prosiding terhadap seseorang.

Katanya, keputusan majistret membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 177 Kanun Tatacara Jenayah adalah betul dan sah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zainal Azman Ab. Aziz kemudiannya menetapkan 13 Februari (hari ini) untuk memutuskan sama ada permohonan Raja Petra untuk memindahkan semula kesnya ke Mahkamah Majistret akan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.

Raja Petra, 58, didakwa di Mahkamah Majistret pada 17 Julai tahun lalu atas tuduhan memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu akuan bersumpah yang diikrarkannya.

Dia yang menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu turut didakwa memfitnah Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Kolonel Norhayati Hassan berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam akuan yang sama.

Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen selepas mahkamah tersebut membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

1 comment:

  1. Biarlah..!! Hakim akan menentukan dan kita lihat siapa yang akan kena....

    ReplyDelete