Tuesday, January 31, 2012

HADI TERSISIH, TIDAK RELEVAN LAGI DENGAN PAS proANWAR

Hakiktnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah tidak relevan kepada PAS Baru yang dikuasai kumpulan proErdogan atau sekarang boleh kita tukar jadi proAnwar.

Kenapa saya katakan demikian?

Pertama Hadi ialah seorang yang berperwatakan keras dalam ceramah dan pendirian tetapi lembut pada hatinya.

Tidak hairan kalau Hadi boleh duduk BERBINCANG dengan pemimpin UMNO, termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang dianggap dua tokoh politik yang ‘keras’ di Terengganu. Ketika UMNO menjadi pembangkang, Ahmad Said menyerang Hadi dan kepimpinan PAS tanpa ‘belas kasihan’.

Namun mereka boleh duduk membincangkan perkara ‘kepentingan rakyat’ jika perlu apabila Ahmad Said pula menjadi Menteri Besar.

Keduanya, Hadi sebelum ini pernah ‘berlembut’ dengan UMNO dalam usaha merapatkan perbezaan politik dan Islam tetapi akhirnya terpaksa tunduk kepada tekanan pemimpin PAS yang lebih keras pendirian mereka, termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melihat ‘kuasa politik’ mengatasi kepentingan perpaduan Islam.

Hadi sebagai pemimpin yang berasal dari Terengganu yang PAS lebih ‘lembut’ berbanding PAS Kelantan sudah pasti tidak mahu melihat orang Melayu dan Islam yang tinggal tidak sekerat mana terus berpecah dan bertelagah sesama sendiri.

Hadi mungkin insaf – bukan seperti Nik Aziz – bahawa perpecahan berlanjutan umat Islam akan sedikit sebanyak sebenarnya diakibatkan olehnya akibat Fatwa Hadi yang menyebabkan wujudnya sembahyang dua imam, tidak boleh makan daging disembelih oleh orang Islam selain PAS dan keruntuhan keharmonian rumah tangga jika ahli keluarga berbeza parti.

Tidak sedemikian dengan Nik Aziz yang bongkak dan merasakan dirinya mengatasi segala-gala hasil dendam kesumatnya terhadap UMNO yang menyebabkan PAS ditendang keluar oleh Barisan Nasional kerana angkara pemimpin mereka sendiri.

Nik Aziz melihat parti bukan individu dalam UMNO dan dengan meletakkan bekerjasama dengan bukan Islam yang terang terangan antiIslam ‘dihalalkan’ sebaliknya dengan UMNo haram dan tidak akan berlaku sampai bila-bila.

Nik Aziz tidak takut dosa kerana menganggap menjauhi UMNO sebagai sesuatu yang wajib dilakukan sedangkan Hadi di Terengganu tidak merasakan sedemikian kerana Hadi berjinak-jinak dengan PAS hanya awal 1980an, iaitu selepas PAS ditendang keluar dari BN.

Ketiga, memang Hadi pun rapat dengan Anwar tetapi tidak ‘serapat’ Nik Aziz. Hadi dilihat rapat kerana sebagai pemimpin komponen pakatan pembangkang, Hadi perlu dilihat seiringan dalam perjuangan.

Namun, apakah Buku Jingga itu sesuatu yang perlu Hadi utamakan berbanding al-Quran.
Apakah al-Quran mengajak kita bermusuhan sesama Islam dan menghukum orang Islam biasa sebagai kafir hanya kerana mereka ahli UMNO?

UMNO yang mempunyai kira-kira 3 juta ahli hanya mempunyai pemimpin sekitar 200 orang dan diantara mereka hanya kira-kira 30 sahaja yang berpengaruh dan di kalangan 30 itu hanya 5 sahaja yang boleh dianggap sebagai ‘musuh’ Hadi iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Penerangan dan Setiausaha.

Yang ke 5 itu hanya kadangkala sahaja sama ada Menteri, Ketua Bahagian atau Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri. Yang lain ialah pemimpin dan ahli UMNO biasa yang bukan saingan Hadi.

Dalam konteks dengan Anwar, jelas banyak perbezaan antara mereka iaitu Hadi tidak terpalit dengan isu moral dan kehidupan yang ‘lavish’ berbanding Anwar yang sentiasa ke luar negara, bertemu pelbagai manusia, termaSuk Yahudi.

Sedangkan Hadi bukan sahaja keras dalam pendirian Islamnya tetapi tidak mungkin Hadi boleh tunduk kepada kemahuan Yahudi berbanding Anwar.

Berdasarkan kedudukan Hadi yang lebih ‘berlembut’ dengan UMNO berbanding Anwar, timbalannya Mohamad Sabu, Nik Aziz, apa lagi Lim Kit Siang serta pemimpin utama PKR seperti Azmin Ali, Hadi sebenarnya tidak boleh duduk bersama lagi dengan mereka.

Hadi sangat terasa beliau kini ‘out of place’ dalam konteks kepimpinan politik pembangkang ketika ini.

Apakah pendirian Hadi mengenai pandangan untuk meniktiraf Israel?

Hadi juga tidak dilihat akan menjadi Perdana Menteri kerana bukan sahaja kegagalannya ketika menjadi Menteri Besar Terengganu antara 1999 - 2004 tetapi apabila Anwar dikatakan akan dipenjarakan, pemimpin pakatan pembangkang tidak sebulat suara menyebut Hadi bakal Perdana Menteri.

Yang ditonjol ialah keluarga dan yang rapat dengan Anwar seperti anak perempuan Anwar, Nurul Izsah dan Azmin Ali.

Jadi apabila Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menyifatkan tindakan Presidennya untuk berundur dan bersedia tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar, ia kenyataan diplomasi dan mahu tutup pertelingkahan ideologi dalam PAS sahaja.

Katalah apa pun, sama ada Hadi sanggup berundur ketika berada di puncak dalam karier politiknya ataupun Hadi tetap diperlukan berada dalam parti, ia bukan lagi relevan ketika ini.

Yang pasti, Hadi mungkin sudah muak dengan gelagat sesetengah pemimpinm yang begitu proAnwar dan sedikit sebanyak Hadi mulai ‘mengenali Anwar secara lebih dekat’.

Kita lihatlah akan ada kenyataan ‘sedih’ apabila PAS membincangkan hasrat pengunduran Abdul Hadi pada mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja parti itu 12 Februari depan.

Sudah semestinya PAS mahu ‘cover’ perpecahannya dalamannya itu dengan mengatakan Hadi mahu beri peluang kepada muka baru dan mahu berundur itu sebagai sikap pemimpin Pas yang amanah.



Hakikatnya Hadi yang kini semakin tertekan dengan sikap pemimpin proAnwar yang apa pun boleh – depan atau belakang – mula melihat bahawa perkara seperti pemecatan Dr Hasan Ali bukan sahaja merugikan parti tetapi semakin ramai yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan PAS.

Golongan muda dalam PAS bukan kalangan yang boleh dicucuk hidung oleh pemimpin PAS yang proAnwar.

Mereka adalah golongan yang mahukan PAS yang bersih dan melandaskan perjuangan kepada Islam, bukan sanggup mengorbankan Islam hanya kerana kuasa dan menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ringkasnya, hasrat dan usaha PAS untuk ke Putrajaya sedikit sebanyak semakin tergencat selepas Dr Hassan dipecat dan Hadi pula mengumumkan akan menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya nanti.

Hadi tahu di Terengganu pun dia bukan calon untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar kalaupun PAS menang. Tokoh lebih muda dikatakan lebih mampu seperti Wahid Endut atau Syed Azman Syed Nawawi yang kini dilihat lebih popular daripadanya.

Atau mungkin Hadi semakin sedar PAS semakin sukar di Terengganu kerana rakyat sedar bahawa negara kebajikan yang ditaja oleh PAS slogan semata-mata.

Sedangkan kerajaan negeri pimpinan Ahmad Said semakin gah dan menarik sokongan rakyat hasil dasar 1Malaysia yang mendahulkan rakyat selain kepimpinan negeri sendiri turut mengamalkan sikap cakna rakyat melalui Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Monday, January 30, 2012

ANWAR UTAMAKAN KESELAMATAN YAHUDI MENGATASI PALESTIN

Beginilah jadinya apabila kuasa menjadi penentu segala-galanya.

Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO begitu tegas dan keras 'menyalak' menentang Zionis kini tidak lagi. Anwar sudah 'bermuka dua'.

Segala perjuangan dan pendiriannya ketika dalam UMNO sudah tidak ada lagi dan kerana menjaga hati rakan Yahudinya beliau terpaksa membuat kenyataan mendahului Yahudi, berbanding dengan Palestin.

Kenyataannya,“I support all efforts to protect the security of the state of Israel,” said Mr. Anwar, although he stopped short of saying he would open diplomatic ties with the Jewish state, a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.

Kerana itu Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abughoush menyifatkan sebagai "pelik dan ganjil" kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temubual dengan Wall Street Journal bahawa beliau menyokong penuh usaha melindungi keselamatan Israel.

"Kami terkejut dan terperanjat dengan kenyataan pelik itu bahawa beliau menyokong keselamatan Israel," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Abughoush berkata oleh kerana Palestin menjadi isu utama bagi semua umat Islam, dan Malaysia pula menjadi pendokong utama sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, maka adalah pelik dan ganjil apabila seorang pemimpin beragama Islam dari negara ini membuat kenyataan demikian.

"Kami tak tahu siapa sebenarnya yang memerlukan perlindungan keselamatan kerana hakikatnya Israel memiliki lebih 200 jenis senjata nuklear serta angkatan tentera yang dilengkapi senjata canggih.

"Kami tidak pasti adakah jaminan keselamatan perlu diberi kepada penakluk atau rakyat Palestin yang ditakluki, yang ditindas saban hari serta berdepan dengan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.

"Perbuatan tidak berperikemanusiaan oleh kumpulan penakluk, yang mencabuli undang-undang kemanusiaan dan antarabangsa serta tidak menghiraukan usaha masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah," katanya.

Abughoush mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman kerana menyatakan pendirian kerajaan Malaysia tentang perkara itu.

"Kami yakin kerajaan dan rakyat Malaysia yang berbudi tinggi akan terus memberi sokongan padu kepada rakyat Palestin serta perjuangan suci mereka," katanya.

Dalam kenyataannya pada Ahad, Anifah berkata "...tindakan yang disifatkan oleh Israel sebagai langkah yang perlu diambilnya untuk memelihara keselamatan negara itu termasuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap Gaza; menangkap dan menahan rakyat Palestin tanpa bicara; membunuh rakyat Palestin termasuk pemimpin mereka melalui serangan misil dan bom; dan melaksanakan dasar bersifat menindas dan menekan rakyat Palestin seperti merampas rumah mereka dan membenarkan rakyat Israel membina penempatan haram di tanah milik penduduk Palestin."

Beliau berkata kerajaan Malaysia bukan saja tidak pernah menyokong sebarang tindakan-tindakan itu, malah berganding bahu dengan masyarakat antarabangsa untuk mengkritik dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa.

Jelas Anwar kini dijauhi oleh negara Islam kerana sikapnya yang menyokong Yahudi secara keterlaluan itu walaupun turut bersimpati dengan nasib rakyat Palestin.

Semakin jelas warna sebenar perjuangan Islam Anwar semakin terserlah dan kita berdoa agar Allah menunjukkan sebenar-benar wajah pemimpin seperti ini agar umat Islam tidak terpengaruh dan menyokong perjuangannya yang ternyata jauh melencong ketika berada dalam UMNO!

Friday, January 27, 2012

WARTAWAN PROPEMBANGKANG SEMUANYA MASUK SYURGA?

Saya sedih membaca ulasan dan komen di portal berita Malaysiakini mengenai perginya salah seorang sahabat media, Sukardi Abdul Ghany iaitu Pengarang Berita TV3 yang juga bekas penolong editor perkhidmatan berita ekonomi menghadap Ilahi pukul 3.30 pagi kelmarin di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang bukan kerana sumpahan atau kerana doa penyokong pembangkang.

Namun apa yang dapat dibaca di Malaysiakini, hampir 100 peratus ulasan di Malaysakini itu tidak menggambarkan ciri dan peribadi orang Melayu dan Islam di negara ini apabila ulasan-ulasan dibuat mengenai pulangnya Sukardi.

Saya perturunkan satu ulasan oleh Wan Adib Wan Roslan: “Mmg x berbaloi cari rezeki dari sumber yg HARAM! Hadis nabi saw, 'tiap darah daging yg mendapat rezeki dari sumber yg haram, maka api neraka adalah lebih layak baginya'. Kematian arwah adalah satu pengajaran pd warga berita tv3. Adakah anda mau anda dpt rezeki & glamor didunia ini, sedangkan azab kubur & azab diakhirat menanti anda?? Warga berita tv termasuk pembaca berita, pengarang berita, editor berita & siapa2 sj yg ada kaitan dgn berita ini. Jika berita yg disampaikan adalah fitnah/x betul, maka anda semua berkongsi DOSA yg sama!! Dosa itu membesar dgn sebesar2nya dgn 'target' berita itu adalah rakyat malaysia yg berjumlah 27 juta org. Dan sudah tentu DOSA ini akan berlipatkali ganda lagi bagi pihak penaja berita tersebut!!!"

Seterusnya beliau mengulas: “Nasihat saya pd anda semua, sila tinggalkan jabatan berita tv3 dgn SEGERA sekiranya anda masih mau kje dgn tv3. Kje dgn jabatan lain. Klau tak dpt nak elak, sila tinggalkan tv3 terus, carilah kje lain dilain tempat. Sumber rezeki dimana2 & rezeki adalah kurniaan Allah. Adalah wajib utk mendapatkan rezeki dari sumber yg halal. Dan adalah HARAM utk dptkan rezeki dari sumber yg haram (hasil dari berita2 fitnah). Bukan setakat itu, bahkan tambahan darinya dpt laknat dari rakyat Malaysia pencinta kebenaran (hasil dari pemberitaan fitnah)!! Anda boleh kembali kje dijabatan berita tv sekiranya setelah PRU13 kerajaan bertukar tgn pd Pakatan. Krn masa itu, x ada lagi campur tgn eksekutif dlm pemberitaan tv, insyaallah..."

Banyak lagi ulasan lain tetapi mempunyai ciri dan mirip seperti ini.

Persoalannya, apakah ini yang diajar oleh pemimpin PAS dan pembangkang dalam mengulas kematian seseorang tidak kiralah dia Islam atau agama lain.

Kedua, apakah yang bekerja dengan media kerajaan atau yang prokerajaan itu akan dilaknat dan akan masuk neraka dan yang bekerja dengan media propembangkang, waima yang kafir harbi akan masuk syurga?

Ada sebahagian rakyat Malaysia kini sudah jauh sesat dan perlu diperbetulkan oleh imam-imam dan tok guru-tok guru PAS. Kalau tidak tanggunglah dosa pengikut mereka yang mencerca, menghukum dan menganggap syurga itu hanya untuk pengikut PAS dan pembangkang sahaja.

Jiwa dan pemikiran orang muda kini banyak yang rosak dan menganggap bekerja dengan media prokerajaan itu sebagai mendapat duit haram dan pengampu semata-mata.

Yang bekerja dengan Harakahdaily, Malaysiakini atau media propembangkang lain termasuk Siasah itu apakah akan terus masuk syurga dan bukan pengampu?

Cuba sesekali menulis menentang pemimpin tertentu mereka dan lihat apa jadinya.

Perkara yang berlaku terhadap Datuk Dr Hasan Ali dengan Harakahdaily membuktikan ramai juga mereka dalam organisasi itu pengampu, khususnya kepada Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Mustapa Ali. Apakah mereka ini pengampu yang jalannya terus menuju ke syurga dan tidak akan mati?

Kita sebagai orang Melayu yang beradab dan bersopan dan sebagai orang Islam yang mempercayai Qada dan Qadar serta mati, janganlah gairah menghukum orang Islam lain sedemikian rupa.

Kalaupun wujud perbezaan pendapat dan ideologi, tidak sewajarnya mendoakan sesuatu terhadap orang yang mati seperti Sukardi sedemikian rupa.

Marahlah, bantailah dan katalah apa sahaja tetapi jangan menghina dan menghukum sedemikian rupa kerana kepada pengulas, termasuk Wan Adib Wan Roslan sesungguhnya MAUT juga adalah lebih dekat kepada kamu dan bakal datang kepada kamu bila-bila masa.

Insaflah sblom terlambat!!! dan seperti yang ditulis oleh penjenguk yang menamakan “Anti-PKR Club”: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Tuhan Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berfirman: "Demi kemuliaan dan kebesaranKu! Aku tidak akan mengeluarkan dari dunia (mematikan) seseorang - yang Aku hendak mengampunkan dosanya sehingga Aku sempurnakan balasan tiap-tiap kesalahan yang ditanggungnya, dengan ditimpakan penyakit pada badannya, dan kepicikan pada rezekinya." H.R Anas r.a."

Mudah-mudahan Allah telah Ampunkan dosanya dan ia telah bersih sebagaimana yang telah dijanjikanNya, insyaallah.

Alfatihah Untuk SUKARDI ABDUL GHANY

SIAPA AZIZ BARI TUNTUT AZIZAN DIKENAKAN TINDAKAN?

Sikap angkuh dan sombong bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Abdul Aziz Bari yang digembargemburkan akan bertanding atas tiket PAS di Selangor semakin terserlah.

Siapakah beliau dalam pakatan atau sengaja mahu tunjuk belang untuk menarik perhatian pemimpin pakatan agar meletakkan beliau di suatu kedudukan yang istimewa dalam pergerakan itu?

Inilah jenis manusia yang dikatakanb oleh pepatah Melayu sebagai 'lebih sudu daripada kuah'.

Belum pun menjadi ahli pakatan dan kemungkinan menyertai PAS, dia sudah berani mengkritik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan mengatakan Azizan sepatutnya menyertai Barisan Nasional (BN).

Ia gara-gara Menteri Besar Kedah itu menyokong Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan jika Azizan terus menyokong AUKU, maka Menteri Besar Kedah itu patut menyertai BN, kerana BN pro-AUKU.

“Pakar perlembagaan” PAS dan pembangkang itu menegaskan demikian dalam satu akhbar di Shah Alam semalam sebagai mengulas pendirian Menteri Besar Kedah itu yang menyokong tindakan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) milik kerajaan negeri itu, menggantung pengajian lima pelajarnya mengikut AUKU kerana dituduh menyertai demonstrasi haram.

Pelik sungguh dengan perangai dan tindakan Aziz Bari ini kerana pada pada pemimpin PAS lain, termasuk kepimpinan PAS Pusat ‘berdiam diri’ atau mungkin mencari jalan penyelesaian, beliau lebih kerak daripada nasi.

Atau apakah Aziz Bari ini disuruh oleh tangan ghaib untuk mendesak Azizan dan ada pihak lain yang bercita-cita menjadi Menteri Besar baru di Kedah?

Malah, dengan bongkaknya Aziz Baru menggesa Pakatan untuk mengambil tindakan tegas terhadap Azizan kerana pendirian Menteri Besar Kedah yang jelas bertentang dengan pendirian parti.

"... mereka mesti mengambil tindakan tegas terhadapnya, kerana ia (memansuhkan AUKU) disebut dalam Buku Jingga mereka," kata bekas profesor undang-undang UIA itu.

Tidak tahulah sama ada pemimpin PAS melihat atau memerhatikan tingkah laku Aziz Bari ini dan tetap membuka pintu seluas-luasnya kepada orang seperti ini.

Kemungkinan tetap ada bahawa Aziz Bari bukan sahaja akan ‘menyergah dan menuntut pelbagai perkara’ kepada pemimpin PAS lain di masa hadapan kerana belumpun menyertai PAS, dia sudah berani meminta seorang Menteri Besar dikenakan tindakan.

Kita mahu melihat apa kata pemimpin PAS lain terhadap Azizan.

Apakah episod pemecatan PAS terhadap pemimpin mereka akan berterusan selepas ini seperti yang berlaku terhadap Datuk Dr Hasan Ali?

Thursday, January 26, 2012

BERTINDAKLAH TERHADAP YANG MENCEMARKAN NAMA ROSMAH

Hairan juga Malaysiakini menyiarkan penafian berita dari Australia mengenai perbelanjaan sakan Datin Sri Rosmah Mansor dengan mempertahankan bahawa "Rosmah ada Membeli".

Apa agenda Malaysiakini terhadap Rosmah dan kenapa akhbar elektronik ini terlalu 'bencikan' Rosmah? Salahkah membeli dan Rosmah membeli secara berkumpulan yang besar, bukan persaorangan!

Malah, Malaysiakini menyiarkan perdebatan mengenai kolumnis, Andrew Hornery yang dianggap oleh blogger proUMNO sebagai gay yang dikatakan lebih beretika.

Baca apa yang disiarkan di Malaysiakini: "One thing is certain - the worst journalist in Australia has more journalism ethics and standards than the best journalist in the Malaysian mainstream media."

Wah teruknya wartawan Malaysia, termasuk wartawan terkemuka di negara ini.

Menurut blog pisau.net, kolumnis berkenaan, Hornery merupakan penulis kolum gosip dan bukannya wartawan berita.

Menurut blog berkenaan lagi, Hornery disenaraikan di dalam satu laman web yang mengumpulkan "wartawan paling teruk" Australia – www.australiasworstjournalist.com.au. pisau.net antara lainnya mendakwa Hornery tidak menulis semula fakta dengan tepat dalam tulisannya.

Apapun, semalam pereka Australia menafikan beliau mendedahkan perbelanjaan Rosmah.

Pereka berkenaan Carl Kapp semalam (25 Januari 2012) membuat penjelasan mengenai dakwaan bahawa Rosmah membelanjakan A$100,000 (kira-kira RM325, 000) di Sydney semasa lawatannya ke sana baru-baru ini dengan 'kumpulan yang agak besar'.

Kapp menerusi kenyataannya menjelaskan, pembelian yang dibuat oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak itu dibuat bersama kumpulannya termasuk mereka yang terlibat dengan Festival Fesyen Islamik di mana beliau menjadi penaungnya.

"Saya ingin menjelaskan mengenai kenyataan saya berhubung kunjungan klien saya ini, saya tidak pernah nyatakan jumlah sebenar yang dibelanjakan di kedai saya. Pihak Datin Seri Rosmah datang ke kedai kami dalam kumpulan yang besar dan semasa kunjungannya, pihak beliau termasuk kenalannyan, pengerusi dan penganjur Festival Fesyen Islamik telah membuat pembelian berasingan dan pelbagai. Saya percaya Datin Seri Rosmah adalah penaung kepada festival fesyen itu," katanya menerusi kenyataan kepada Malaysiakini.

Penjelasan ini bagaimanapun tidak disiarkan secara penuh dalam edisi Bahasa Inggeris Malaysiakini dan tiada dalam edisi Bahasa Melayu akhbar elektronik itu!

Rosmah sebelum ini telah menafikan dakwaan bahawa beliau seorang yang boros malah menyifatkan menjadi mangsa kepada kepada tuduhan liar pihak-pihak tertentu.

Dalam pada itu Kapp turut menafikan dakwaan bahawa beliau telah diterbangkan ke Malaysia semata-mata untuk kepentingan Rosmah.

"Perkara ini juga tidak tepat. Lawatan ke beberapa bahagian di Asia termasuk Malaysia dibuat bagi tujuan pemasaran serta untuk mencari material bagi produk terbaru kami. Ia termasuk dalam jadual kerja saya dan ia adalah urusan perniagaan yang biasa.

"Pada pandangan kami adalah tidak adil sebuah artikel memberi gambaran bahawa Carl Kapp sebagai sebuah syarikat yang tidak berhemah malah sedia mendedahkan maklumat peribadi mengenai klien kami," katanya.

Yang cuba ditegakkan 'benang basah' oleh Malaysiakini ialah Rosmah membeli. Malah ada satu banner di Malaysiakini yang bersifat 'merendahkan imej Rosmah' dengan tajuknya 'Rosmah shopping spree hits Aussie Paper.

Apa tujuan Malaysiakini melakukan ini semua?

Mungkin Rosmah atau sesiapa yang terlibat dalam isu ini, jika berada di pihak yang benar, ambillah tindakan sewajarnya untuk membersihkan nama baik mereka.

Wednesday, January 25, 2012

SAKIT KENA CERCA AKIBAT 'TUDUHAN' KEPADA ORANG YANG KITA SAYANGI...


Apakah caranya untuk kita memerangi ‘fitnah’ dan tuduhan liar terhadap isteri Perdana Menteri yang dikatakan berbelanja sakan di Australia, baru-baru ini?

Atau apakah kita perlu berdiam diri dan dengan cara itu ‘orang ramai’ atau rakyat akan melupakannya. MELUPAKANNYA?

Atau apakah kita perlu menjawab tetapi hanya dengan 'tembak-tembak' berbekalkan peluru kosong?

Yang ada peluru mungkin mereka yang di keliling Perdana Menteri dan isterinya atau yang dibekalkan peluru. Dan yang tiada peluru wajar berdiam diri melihat isteri Perdana Menteri diserang?

Dan tiga hari Rosmah dituduh sedemikian, namun tiada pun reaksi daripada Pejabat Perdana Menteri atau orang di sekelilinnya?

Apakah berita itu BENAR BELAKA dan TIADA YANG TIDAK BENAR?

Menurut Malaysiakini , kolumnis Sydney Morning Herald Andrew Hornery mempertahankan dakwaannya bahawa isteri perdana menteri Rosmah Mansor membelanjakan lebih RM300,000 semasa lawatannya ke Australia.

"FLOM (wanita pertama Malaysia) dakwa saya membesar-besarkan secara liar lawatan sambil membeli-belahnya di Sydney? Saya tetap pertahankan setiap kata-kata saya. Sumber saya amat kukuh," kata Hornery dalam Twitternya kira-kira sejam lalu. Isteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyangkal dakwaan Hornery yang dibuat dalam seksyen 'Private Sydney' harian itu dengan menyifatkannya sebagai "karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar", kata Hornery.

Selain perbelanjaan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik, Hornery juga mendakwa Rosmah dan suami menginap di emper (penthouse) bernilai A$20,000 (RM65,100) semalam, meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan pereka fesyen ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya.

Tolonglah katakan atau bertindak sesuatu agar rakyat yang sayangkan Perdana Menteri, UMNO dan Barisan Nasional tidak tertekan dan ada peluru untuk menembak balik.


Sakit apabila kita turut dicerca akibat 'tuduhan' kepada orang yang ada mengena dengan kita tetapi dibiarkan tidak berjawab atau sengaja tidak mahu menjawab!

Monday, January 23, 2012

'FIRST LADY OF SHOPPING' ADALAH LIABILITI KEPADA PM, UMNO & BN?

Cara media propembangkang memainkan isu isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor adalah untuk menggambarkan Rosmah sebagai liabliti kepada Perdana Menteri, UMNO dam Barisan Nasional (BN).

Dengan menggambarkan sedemikian, semua pihak, sama ada Datuk Sri Mohd Najib Razak, seluruh kepimpinan dan anggota UMNO serta BN akan merasai tempiasnya.

Bagi pembangkang, isu Rosmah ini adalah isu besar yang boleh menguntungkan mereka.

Ia lebih besar daripada isu NFC, kapal selam atau isu-isu lain yang yang membabitkan dana kerajaan. Rosmah digambarkan betapa keluarga Perdana Menteri adalah keluarga yang suka berbelanja besar dan membazir.

Jika Rosmah dianggap sebagai maha pembazir dan isteri kepada Perdana Menteri, mudah untuk mereka samakan Najib dan Rosmah dengan bekas Presiden Filipina yang digulingkan - Marcos dan Imelda Marcos.

Dengan kata lain, hukuman kepada maha pembazir ialah digulingkan. Di Malaysia, ia dilakukan melalui kuasa rakyat - pilihan raya.

Kelmarin, akhbar Australia melapor Rosmah 'berbelanja besar' lagi. Menurut laporan yang dipetik Malaysiakini, tabiat berbelanja besar seorang lagi anggota keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menarik perhatian media Australia hari ini - kali ini di Sydney.

Dalam seksyen 'Private Sydney' akhbar Australia Sydney Morning Herald, kolumnis Andrew Hornery memanggil Rosmah sebagai "first lady of shopping" kerana dikatakan telah membelanjakan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney.

Memetik pereka fesyen Sydney Carl Kapp, kolumnis itu melaporkan bahawa "pelanggan terbesar" Kapp telah membelanjakan jumlah yang mengejutkan sewaktu "percutian peribadi" di sana "sekitar dua minggu lalu".

Menurut kolum tersebut, Rosmah dan Najib, semasa cuti tersebut, menginap di penthouse A$20,000 (RM65,100) satu malam di Hotel Darling.

Dengan tajuk 'Super Kerr Now a Model Citizen', kolum itu turut melaporkan bahawa Rosmah telah meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan Kapp ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya.

Oktober lalu, anak perempuan Najib, yang tidak dinamakan, telah dilaporkan oleh akhbar Western Australian telah berbelanja mewah di David Jones di Perth semasa Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM).

Akhbar itu kemudiannya membuat pembetulan kepada laporan tersebut, dengan memetik sumber tanpa nama, selepas Najib berkata anak perempuannya tidak berada di Perth pada masa itu.

Di sebalik tuduhan itu, Rosmah hari ini menyangkal dakwaan bahawa beliau berbelanja mewah dalam percutiannya di Sydney, Australia sebelum ini.

"Semua itu karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar, Saya selalu menjadi mangsa," kata Rormah dipetik Malaysiakini. Menurut kolum tersebut, Rosmah dan Najib, semasa cuti tersebut,

Menghairankan ialah akhbar-akhbar di Australia bagaikan tidak serik dan bimbang dengan tuntutan minta maaf dan disaman.

Yang penting bagi mereka ialah 'memusnahkan' imej Rosmah terlebih dahulu dan soal lain, 'kaotim' kemudian.

Nampak gayanya Pejabat Perdana Menteri atau Rormah kenalah menafikannya kerana rakyat jangan sampai percaya bahawa Rosmah ialah "first lady of shopping' dan bermewah-mewah dengan harta rakyat.

Dan kalau berbelanja dengan duit sendiri, akan ditanya pula dari mana datangnya wang itu.

Juga pihak yang bertanggungjawab untuk 'membersihkan imej Rosmah' perlu membuat kerja lebih kuat bagi menghapuskan tanggapan bahawa Rosmah kini liabiliti kepada UMNO dan BN.

Jangan berlengah-lengah, pilihan raya umum sedang menghampiri kita

Saturday, January 21, 2012

RAYUAN SAIFUL - APA PULA HELAH BARU ANWAR?

Apakah akan ada helah baru Datuk Seri Anwar Ibrahim serta rakan-rakan yang menyokongnya selepas Pejabat Peguam Negara semalam memfailkan notis rayuan Mohd. Saiful Bukhari terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau 12 hari lalu?

Sehari selepas keputusan Mahkamah Tinggi membebaskannya, Ketua Pembangkang, itu menyatakan beliau tidak risau sama ada pihak pendakwa membuat rayuan atau tidak berhubung pembebasannya daripada pertuduhan liwat.

Sambil menegaskan bahawa rayuan itu bukan urusannya, Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, beliau tahu bahawa ia diperuntukkan dalam undang-undang dan perlembagaan.

Beliau berharap tidak akan ada campurtangan jika Peguam Negara membuat rayuan. Campur tangan siapa agaknya yang dimaksudkan Anwar.

Apakah isu campurtangan ini akan menjadi senjata Anwar mempertahankan dirinya selepas ini setalah pada perbicaraan sebelum ini beliau meminta tangguh dan melakukan ‘pelbagai alasan’ untuk melengah-lengahkan perbicaraan?

Pada 9 Januari lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati tiada bukti kukuh Saiful bagi menyokong keterangan.

Mohamad Zabidin berpendapat bahawa adalah tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Selepas meneliti bahan bukti, Mohamad Zabidin berpendapat mahkamah tidak boleh seratus peratus pasti bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada saksi pendakwa pertama, Saiful tidak terjejas.

Di peringkat pembelaan bagi kesalahan seksual, mahkamah keberatan untuk menyabitkan tertuduh hanya berdasarkan kepada keterangan Mohd. Saiful Bukhari tanpa bukti sokongan lain.

Apa yang dapat dilihat sejauh ini, peguam utama kepada Anwar, Karpal Singh dan Majlis Peguam sudah menggesa Peguam Negara agar tidak memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata sebagai peguambela beliau juga berhak, berdasarkan keterangan, menggesa AG agar tidak membuat rayuan.

Sekalipun rayuan dibuat bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim supaya AG mengemukakan rayuan, Karpal Singh berkata sebagai peguambela beliau juga mempunyai hak menggesa AG supaya tidak berbuat demikian.

"Cukup malang perkara berkenaan telah berlarutan hingga ke peringkat ini buat Saiful, tetapi sebaiknya negara dan semua terlibat menghentikan penghinaan terhadap Anwar dan keluarganya dan terus bergerak menangani isu-isu politik yang lebih penting yang menyentuh setiap orang," katanya.

"Perbicaraan ini dipanggil ibu segala perbicaraan di Malaysia dan saya kira tiga tahun (perbicaraan) adalah cukup lama dan ia perlu dihentikan demi kebaikan semua," katanya di rumahnya semasa pesta Pongal di George Town baru-baru ini.

Ternyata apa yang cuba disekat dan dihalang bagi membolehkan Saiful merayu tidak berjaya dan di sebalik keputusan pembebasan dan pelepasan Ketua Pembangkang, Jabatan Peguam Negara semalam tetap memfailkan notis rayuan Saiful berdasarkan keterangan dan undang-undang, malah tidak mengikut emosi atau pengaruh mana-mana pihak.

"Keputusan memfailkan notis rayuan ini membolehkan jabatan ini memperolehi penghakiman bertulis Yang Arif Hakim dan rekod prosiding perbicaraan daripada Mahkamah Tinggi. Ini seterusnya mengetahui dengan jelas alasan-alasan penuh keputusan yang Arif Hakim," kata jabatan itu.

Saiful sudah pasti menyambut baik tindakan Peguam Negara itu dan berharap laporan pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat mahkamah tertinggi menurut undang-undang akan terlaksana.

"Saya dan keluarga saya juga ingin menyatakan disini bahawa dengan pemfailan Notis Rayuan tersebut, hak untuk aduan saya sebagaimana laporan polis yang saya buat pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat Mahkamah yang tertinggi menurut undang-undang adalah terlaksana," katanya melalui laman blog yang disiarkan pada pukul 5.54 petang semalam.

Kepada Mohd Saiful dan keluarganya, masih ramai rakyat Malaysia yang berharap beliau akan mendapat pembelaan sewajarnya.

Dan proses pembelaan itu sudah bermula mulai semalam, Jumaat 20 Januari 2012.

Kita berdoa Allah akan menunjukkan siapa benar dan siapa berbohong dalam kes liwat Anwar terhadap Saiful ini.

Friday, January 20, 2012

KEPADA SIAPAKAH SAIFUL BOLEH MERAYU…

Jika pengadu dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak terbela atau mendapat hak merayu, ia adalah episod malang dan benar-benar menggambarkan betapa orang biasa tidak akan mendapat keadilan.

Bagi Saiful, rayuan ini penting kerana ia membabitkan maruah dan masa depannya.

“Saya hanya menuntut hak saya sebagai warganegara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan di mana setiap aduan itu berhak didengar dan diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Tertinggi dan saya berdoa agar Peguam Negara (Tan Sri Abdul Ghani Patail) mempertimbangkan permohonan saya ini," katanya.

Bagi Saiful, kalaulah beliau ada hak untuk memfailkan rayuan itu sendiri, beliau akan berbuat demikian tanpa menyusahkan individu lain.

Namun oleh kerana kuasa mutlak untuk memfailkan rayuan hanya terletak di tangan Peguam Negara, maka Peguam Negaralah yang berhak melakukannya.

Tidak seperti orang yang Saiful tuduh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari lepas, melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya, berkata beliau mendapati tidak ada bukti yang menyokong keterangan Mohd Saiful.

Saiful semalam menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara, meminta beliau memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari lepas.

Mohd Saiful Bukhari menerusi blog miliknya mohdsaifulbukhari.blogspot.com menulis bahawa surat itu dihantar melalui peguamnya Tetuan Zamri Idrus & Co.

Beliau terpaksa menghantar surat rasmi memandangkan pihaknya belum mendapat maklum balas daripada Abdul Ghani berkenaan notis rayuan tersebut.

"Sehingga ke hari ini tiada maklum balas terhadap permohonan terbuka saya dan bapa dari Peguam Negara sama ada beliau akan memfailkan rayuan atau tidak. Masa juga semakin suntuk.

Peguam Negara mempunyai masa sehingga petang ini untuk memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.

FITNAH - MOHD SAYUTI OMAR, BULETIN RAKYAT MOHON MAAF KEPADA ZAID

Terbukti Zaid benar dan Mohd Sayuti Omar atau MSO buat fitnah!

Penulis akhbar Buletin Rakyat, Mohd Sayuti Omar dan dua lagi hari ini membuat permohonan maaf kepada Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim kerana menyiarkan artikel fitnah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof yang mendengar kes tersebut membenarkan permohonan maaf tersebut direkodkan sebagai perintah persetujuan.

Peguam yang mewakili Zaid, Nizam Bashir yang ditemui pemberita berkata Mohd Sayuti, pengarang akhbar Norzah Kepol dan penerbit yang juga pemilik akhbar itu, Kantung Network Sdn Bhd juga akan menyerahkan RM1,000 kepada Yayasan Kurang Upaya Kelantan yang dimiliki Zaid, sebagai salah satu persetujuan penyelesaian di luar mahkamah.

Nizam berkata ketiga-tiganya juga bersetuju menarik balik dan akan memastikan kenyataan fitnah itu tidak akan diulang serta menerbitkan permohonan maaf di dalam akhbar Buletin Rakyat selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Pada 9 Disember tahun lepas Zaid memfailkan saman terhadap ketiga defendan berikutan penerbitan artikel bertajuk "Zaid Terus Hanyut Dalam Keegoannya".

Zaid mendakwa artikel tersebut telah memfitnah dan membawa maksud bahawa beliau memiliki moral politik yang rendah, seorang yang ego, bersikap autokratik, menggunakan kekayaan untuk memaksa orang tunduk kepadanya dan tidak memiliki ketinggian budi pekerti.

Beliau menuntut satu perintah menghalang kesemua defendan daripada menerbitkan kata-kata fitnah berkenaan di dalam akhbar dan internet, satu perintah supaya defendan mengambil langkah menarik balik atau memadamkan kata-kata fitnah itu dan defendan perlu menerbitkan atau menyiarkan permohonan maaf di akhbar itu secara berterusan selama dua bulan atau tempoh yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Beliau turut menuntut gantirugi am RM10 juta daripada setiap defendan, ganti rugi khas, gantirugi teruk dan gantirugi teladan.

ANWAR HANYA PANDAI JUAL ‘AIR LIUR’...

Nak percaya atau tidak hendak percaya tidak kisahlah!

Najib lebih berwibawa daripada Anwar dari segi pengurusan ekonomi negara sebaliknya Anwar seorang pemidato yang baik berbanding Najib.

Satu kajiselidik yang dijalankan oleh Universiti Malaya akhir tahun lalu, menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pemimpin pilihan berbanding dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun sebahagian besar daripada 2,559 responden kajiselidik itu yang dijalankan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaysia (Umcedel) di seluruh negara, "tidak pasti", tetapi Najib mendahului dalam beberapa kategori.

Berbanding dengan Anwar, lebih ramai yang berpendapat Najib merupakan seorang pemimpin yang lebih berkemampuan dari segi pengurusan ekonomi negara, dengan sejumlah 40 peratus responden bersetuju bahawa perdana menteri adalah lebih baik.

Sebaliknya, hanya 33 peratus daripada responden kajiselidik itu - yang dijalan dari bulan Oktober hingga Disember 2011 - bersetuju Anwar lebih berkemampuan dalam menguruskan ekonomi negara.

Namun begitu, separuh daripada responden bersetuju bahawa Anwar adalah seorang pemidato dan penyampai yang baik, berbanding 44 peratus untuk Najib.

Yang lain, baca di sini.

Tuesday, January 17, 2012

THE ECONOMIST PUN DAH MEMBONTOT ANWAR…

Bukan sekadar majoriti rakyat di negara ini tidak yakin dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah, media asing yang berintegriti seperti The Economist juga sudah memperlekehkan Anwar.

Biarpun dilihat mempunyai tokoh kepimpinan berkarisma serta seorang pemidato yang dianggap baik, Anwar kini sudah semakin tidak diyakini, luntur dan semakin dihina.

Anwar mungkin masih diterima oleh rangkaian rapatnya tetapi pada usia 64 tahun Anwar dilihat semakin ketinggalan. Dia dilabelkan sebagai seorang tokoh yang semakin tidak dipercayai oleh generasi muda Malaysia.

Anwar sepatutnya menjadikan partinya PKR sebagai sebuah parti politik yang terbuka dengan suntikan pelbagai idea segar.

Namun, sebaliknya yang berlaku apabila menjadikan parti politiknya itu HAK KELUARGANYA dan kroninya, selain penuh dengan perbalahan dalaman.

Untuk lebih jelas, baca The Economist, 14 Jan 2012.

Monday, January 16, 2012

DR HASAN TOLAK ANWAR KERANA HOMOSEKSUAL

"Anwar akan menjadikan perkara itu 'halal'. Tuhan melarang, dan masyarakat akan berada dalam keadaan huru-hara dan kucar-kacir jika itu berlaku. Pandangan-pandangan dalam temubual bersama BBC mencerminkan pandangan peribadinya,” - Dr Hasan Ali

Sebelum ini mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat insan-insan seperti Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Zulkifli Nordin, Datuk Ibrahim Ali atau Saiful Bukhari Azlan sebagai ‘seteru mutlaknya’ tetapi mulai hari ini, ahli PAS yang dipecat, Datuk Dr Hasan Ali tampil memeranginya secara terang dan terbuka.

Hari ini Dr Hassan menganggap Anwar mesti ditolak oleh semua rakyat Malaysia kerana pemimpin PKR itu akan melakukan sesuatu terhadap undang-undang menentang homoseksual jika dipilih mentadbir kerajaan persekutuan.

Bekas ketua PAS Selangor itu berkata, itu merupakan sebab mengapa dia tidak boleh bekerja atau menghadiri perbincangan empat mata dengan pemimpin pembangkang tersebut.

Malah, menurut Dr Hasan, temubual baru-baru ini antara BBC dan Anwar menunjukkan dia mempunyai “pandangan peribadi” berhubung isu tersebut.

“Ini ialah sebab mengapa saya tidak boleh bekerja dengannya. Ini adalah faktor mengapa rakyat Malaysia perlu menolak Anwar. LGBTs (lesbian, homoseksual, dwiseksual dan transeksual) disahkan di Malaysia! Tuhan melarang! Saya boleh melihat keadaan yang sukar jika perkara itu berlaku,” kata Dr Hasan di Kuala Lumpur hari ini.

Bagi Dr Hasan, Anwar akan menjadikan perkara itu 'halal'. “Tuhan melarang, dan masyarakat akan berada dalam keadaan huru-hara dan kucar-kacir jika itu berlaku. Pandangan-pandangan dalam temubual bersama BBC mencerminkan pandangan peribadinya,” tambah anggota Dewan Undangan Negeri Gombak Setia itu.

Selepas dibebaskan meliwat bekas pembantunya, Anwar telah dituduh menjadi penyokong hak-hak homoseksual, dengan Umno mendakwa memiliki bukti-bukti Anwar berkata demikian semasa satu temubual dengan rangkaian televisyen BBC baru-baru ini.

Dr Hasan berpendapat, jawapan Anwar semasa temuduga itu sahaja menunjukkan mengapa tekaannya terhadap pemimpin de facto PKR itu ialah “sah.” “Tujuan saya sangat mulia, saya rasa hanya Allah akan tahu.”

Dr Hasan menyifatkan Anwar sebagai orang yang gila kuasa.

Beliau mendedahkan, PR gagal dalam rampasan kuasa pada 16 September di sebalik mana Anwar tberjanji akan berlaku pembelotan beramai-ramai dari Ahli Parlimen Barisan Nasional, terutama yang dari Sarawak dan Sabah.

“Jadi, saya atau Anwar yang gila kuasa? Saya berada di puncak kuasa sebagai sexco, tetapi saya bersetuju untuk dikorbankan,” kata Hasan.

Mingguan Malaysia semalam memetik pemimpin Pembangkang itu sebagai berkata semasa temubual bersama BBC, undang-undang dan hak-hak homoseksual di Malaysia dianggap “purba” dan “bukan berkaitan.”

Wartawan BBC telah meminta Anwar mengulas sama ada menolak idea anti diskriminasi dan hak-hak homoseksual, di mana dia telah dituduh berkata “kami perlu mengkaji semula beberapa undang-undang purba kami.”

“Kami orang Islam dan bukan Islam di Malaysia pada umumnya percaya dan komited menyokong kesucian perkahwinan antara wanita dan lelaki, tetapi kami tidak sepatutnya dilihat untuk menjadi punitif dan mempertimbangkan undang-undang purba seperti berkaitan,” kata Anwar kepada BBC.

Tetapi petikan tambahan pemimpin de facto PKR tidak dinyatakan Utusan and Berita Harian iaitu Anwar berkata bahawa PKR “…tidak menggalakkan homoseksual, dan kami tidak perlu meminta maaf untuk itu.”

Namun perkataan tidak menggalakkan homoseksual itu membawa seribu makna.

Tidak menggalakkan bermakna buat boleh tetapi tidak akan dihukum, seperti merokok, tidak digalakkan tetapi tidak menmghentikannya terus atau dilarang!

Bukankah kata-kata Anwar itu bemakna bebas melakukan homoseksual tetapi pada bahasa mudah, “pandai-pandalilah….”

Thursday, January 12, 2012

SHAHRIZAT MOHON CUTI REHAT 3 MINGGU MULAI ESOK

Jangan memandai-mandai buat sebarang spekulasi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, memohon cuti rehat daripada menjalankan tugas sebagai menteri selama tiga minggu mulai esok.

Shahrizat berkata, beliau sudah mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan dua perenggan sebentar tadi, Shahrizat juga berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menjalankan siasatan sama ada beliau terbabit atau tidak dalam keputusan kerajaan berhubung National Feedlot Corporation yang diterajui suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Wednesday, January 11, 2012

PERSAINGAN KEWARTAWANAN KERANA KEPENTINGAN DIRI?

Pandai-pandailah kau menyelamatkan diri Rocky Bru (Datuk Ahirudin Attan).

Hmm...masa 1980an dan awal 1990an mereka adalah kawan dan rakan wartawan yang agak rapat.

Namun apabila msasing-masing sudah bersikap ‘mementingkan tuan’ yang melantik mereka, antara mereka menjadi musuh musuh.

Sedangkan tuan mereka adalah kepimpinan tinggi negara, umpamanya ketika Rocky ‘berpengaruh’ di Kumpulan The New Straits Times pada era Datuk Kadir Jasin dan Datuk Ahmad Talib ialah waktu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dan kumpulan Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan serta rakan-rakannya seperti Datuk Hishamuddin Aun berpengaruh pula ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Apakah pertelingkahan di kalangan 'orang besar kewartawanan' di negara ini diakibatkan profesion, persaingan jurnalisme atau kepentingan diri?

Sepatutnya dunia kewartawanan yang diceburi mereka yang menggelarkan diri sebagai profesional tidak ada kes ‘saman menyaman’ seperti ini.

Kini blogger Rocky Bru yang juga bekas penasihat editorial The Malay Mail, diberi tempoh dua minggu untuk melantik peguam mewakilinya dalam kes saman oleh empat bekas pengurusan tinggi New Straits Times Press (Malaysia) Bhd ke atasnya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Asmabi Mohamad telah menetapkan 25 Januari ini untuk mendengar pengurusan kes ini.

Peguam Rishwant Singh bertindak bagi pihak plaintif manakala Ahirudin hadir mewakili dirinya sendiri.

Rishwant menjelaskan bahawa NSTP kini tidak lagi menjadi sebahagian daripada pihak plaintif dalam kes ini.

“NSTP telah menarik diri daripada menjadi sebahagian daripada plaintif sebaliknya hanya empat individu sahaja yang masih kekal sebagai plantif dalam saman mereka ke atas defendan," kata Rishwant.

Dalam saman yang difailkan pada 2007, Timbalan Pengerusi NSTP ketika itu, Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan, Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Syed Faisal Syed Albar dan Pengarang Kumpulan the New Straits Times, Brenden John Pereira (kesemuanya kini bekas) bertindak sebagai plaintif.

Mereka mendakwa, antara 8 Jun 2006 hingga 2 Disember 2006, Ahirudin telah memuatnaikkan pelbagai tampalan yang mencemar nama baik mereka di dalam blog yang bernama Rocky’s Bru.

Mereka menyenaraikan 38 tampalan yang bersifat memfitnah oleh Ahirudin terhadap Kalimullah, 21 tampalan berbaur fitnah ke atas Hishamuddin, sembilan tambalan yang sama mengenai Syed Faisal dan 30 tampalan berbaur fitnah ke atas Pereira.

Keempat-empat plantif itu berkata, kesemua tampalan yang dibuat oleh Ahirudin di dalam laman blognya itu secara jelas dan berpaten mengandungi unsur-unsur yang konsisten dan berterusan untuk memfitnah dan menjejaskan reputasi dan nama baik mereka.

Mereka mempertahankan bahawa kesemua artikel yang ditampal oleh Ahirudin di dalam laman blognya itu adalah tidak benar belaka malah berniat jahat sekaligus mengundang kunjungan ramai pembaca ke laman blog berkenaan.

Saturday, January 7, 2012

SIKAP 'KLU-KLEK' MENGECEWAKAN... KHUTBAH TIDAK PENTING LAGI!

Kesian sungguh kepada mereka yang menentang diadakan perhimpunan ‘Bebaskan Anwar 901’.

Penat-penat berhimpun buat laporan polis sementara Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Nordin dicerca sebagai ‘katak’ dan begitu juga Datuk Dr Hasan Ali yang menyeru orang ramai jangan menyertai perhimpunan itu kini berdepan masalah dengan parti.

Petang tadi Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendesak Pas mengambil tindakan sewajarnya terhadap Exco Selangoritu ekoran kenyataanya meminta orang ramai tidak hadir menyertai perhimpunan 901.

Azmin berkata, kenyataan Hasan telah melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat (PR) dan beliau tidak sewajarnya berkata demikian.

"Sebagai Exco kerajaan negeri, beliau tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan seperti itu. Itu kenyataan tidak bertanggungjawab. Ketika beliau menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) sedang meraikan Anwar. Kalau Nik Aziz pun beri sokongan dan akan hadir (Himpunan 901), maka siapa Datuk Hasan? Jangan terlalu celupar," katanya pada sidang media di Petaling Jaya.

Dr Hasan semalam mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak perlu disertai dan tidak wajar diadakan kerana tujuannya hanya membabitkan isu peribadi seorang pemimpin, bukannya soal masyarakat.

Selain itu, banyak kenyataan yang dibuat pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, termasuk Menteri-Menteri Besar, kini layak untuk dibuang ke longkang najis.

Sangkaan semua pihak, polis tidak akan berlembut walaupun sedia berunding.
Namun jelas memanglah bukan PAS sahaja yang ‘klu-klek’ tetapi pemerintah negara kita pun sukar dibaca sikap mereka, bukan seperti ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekadar boleh berkata keputusan polis membenarkan penyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan Isnin ini adalah berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.

Beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menguruskan dan memastikan perhimpunan berkenaan berjalan dengan aman. Penganjur perhimpunan itu juga bertanggungjawab untuk menjamin bahawa perhimpunan itu dan tidak akan menimbulkan kacau-bilau atau huru-hara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata tindakan Polis Kuala Lumpur membenarkan penyokong Ketua Pembangkang berhimpun di tempat letak kereta di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta Isnin ini adalah keputusan yang rasional.

Bagaimanapun pihak berkenaan perlu menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Pada ketika ada laporan mengatakan polis tidak benarkan ucapan, kain rentang dan pembesar suara. Azmin menegaskan pada sidang medianya, tiada syarat dikenakan kepada mereka dalam mesyuarat bersama pihak polis pagi tadi.

Malah, mereka juga dibenar membawa pembesar suara dan kain rentang.

Jadi kalau berlaku apa-apa dan keadaan tidak boleh kawal bagaimana?

Hakikatnya hari ini yang disangka akan menjadi putih tiba-tiba bertukar menjadi kelabu. Malah, khutbah Jumaat di masjid sekitar Wilayah Persekutuan pun sudah menjadi ‘tawar’ dengan kebenaran polis itu.

Menteri Dalam Negeri pula membisu seribu bahasa dan bagai 'tikus dalam beras' membiarkan polis melaksanakan kerja ‘menguruskan perhimpunan 901’ ini.

Ingat-ingat sekali malas sudah nak mengulas, memberi pendapat dan bekerjasama dengan rakan-rakan proKerajaan dalam isu seperti ini kerana dalam menentukan sikap atau pendirian, banyak kali yang proKerajaan ‘kena main’ dan yang menentang akhirnya bertepuk tangan dan ketawa besar.

Segala pendapat yang dikemukakan oleh pemimpin NGO dan individu yang menyokong kerajaan kini ‘tawar hebe’ (tidak ada rasa sedikit pun sama ada manis, pahit atau masam) kerana dengan kebenaran polis kepada Pakatan Pembangkang berhimpun di tempat letak kereta Mahkamah Tinggi Isnin ini, menceritakan segala-gala.

Lebih menyedihkan khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang berpesan bahawa mereka yang bersekongkol dengan penganjur demonstrasi jalanan melakukan kesalahan besar dan menzalimi umat Islam, bagaikan sesuatu yang tidak langsung berguna.

Hari ini, umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan hari ini diberi amaran supaya tidak melakukan "kesilapan besar" dengan menghadiri demonstrasi jalanan.

Pesanan berbunyi: “…Kita sedar hari ini sekali lagi pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan perpaduan umat Islam dan keamanan negara di antaranya melalui pembohongan fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun perpaduan samada melalui media massa dan alam siber, melanggari undang-undang negara. Mereka juga cuba meruntuhkan keamanan yang dikecapi selama ini dengan mengadakan pelbagai helah dan cara termasuklah mencetuskan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan.

Menurut khutbah itu lagi, "mereka menghasut rakyat dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah dengan melaungkan slogan tertentu yang digambarkan sebagai gelombang rakyat yang membantah.”

Khutbah itu melihat penganjur perhimpunan itu yang bertopengkan atas dasar menuntut keadilan dan ketulusan sebenarnya mahu mengheret rakyat ke jalanan supaya dapat dijadikan sebagai perisai.

Jadi di mana letaknya kemuliaan khutbah Jumaat jika kerajaan sendiri tidak menghormatinya?

Apakah kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO mahu dilihat sebagai ‘membelakangkan Islam’?

Apakah sikap kerajaan dalam isu ini mengesahkan pendapat PAS dan pembangkang bahawa kerajaan Persekutuan yang ada sekarang memang tidak mementingkan Islam?

Tepuk dada tanya selera atau kalau tidak mahu, tepuk sahaja air biar terpercik ke muka sendiri!

Friday, January 6, 2012

PERHIMPUNAN 901 - BERANI BERI KEBENARAN, BERANI TANGGUNGLAH…

Polis benarkan perhimpunan ‘Bebaskan Anwar’.

Bermakna dengan kebenaran itu, Pakatan Permbangkang sudah ‘up satu tangga’ untuk menunjukkan solidariti bagi membebaskan Anwar daripada fitnah.

Diulangi, MEMBEBASKAN ANWAR DARIPADA FITNAH.Kepada blogger dan media proPakatan, sila hebohkan untuk turun beramai-ramai. Lebih daripada 100,000 orang lagi baik. Jom turun ke Kuala Lumpur Isnin ini!

Maknanya, kalau keputusan Mahkamah Tinggi Isnin ini tidak menyebelahi Datuk Seri Anwar Ibrahim, perhimpunan itu mengesahkan wujudnya FITNAH KEPADA ANWAR.
Jadi selepas ini tidak payah lagi ada laporan polis, kenyataan membidas atau menganggap perhimpunan itu sebagai akan mendatangkan bahaya kepada ketenteraman awam atau kepentingan peribadi.

Sedikit sebanyak Polis Kuala Lumpur ‘mengesahkan’ perhimpunan itu wajar diadakan walaupun apa pun matlamatnya.

Polis Kuala Lumpur sudah yakin dan berjanji tidak akan ada apa-apa kekecohan. Kalau ada nanti, yang buat hal tanggunglah sendiri.

Malah, jika ada kejadian tidak diingini atau tidak sengaja, Polis Kuala Lumpur akan berdepan dengan masalah itu, bukan lagi Pakatan Rakyat.

Azmin sudah menegaskan bahawa pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjaga keamanan dan mampu mengatasi sebarang provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Siapa yang tidak bertanggungjawab? Penyokong kerajaan kah, Penyokong UMNO dan Barisan Nasional kah? Perkasa dan NGO lain kah?

Selepas bermesyuarat selama sejam dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, timbalan presiden PKR Azmin Ali dapat jaminan bahawa polis telah membenarkan Pakatan Rakyat meneruskan perhimpunan ‘Bebaskan Anwar'.

Ia dihadkan di tempat letak kereta perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Isnin ini.

Azmin, walaupun mengetuai rombongan parti itu, beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga sidang akhbar jam 3 petang ini (sepatutnya sekaranglah).

Yang jadi tukang hebat sebentar tadi ialah Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dalam laman twitternya yang berbunyi:

"Persetujuan dicapai dgn @PDRMsia utk perhimpunan solidariti utk @anwaribrahim 901 di kawasn letak kereta Kompleks Mahkamah KL. Jom turun".

Azmin pada sidang akhbarnya sekadar berkata keputusan perbincangan dengan polis hari ini "positif".

"Keputusannya positif, saya gembira dengan (hasil) perbincangan pagi ini, kerana polis menunjukkan kesediaan untuk berbincang dengan parti-parti politik.

"Mereka mengambil sikap terbuka demi untuk menjamin keamanan rakyat," katanya sambil mengharapkan perhimpunan tersebut berjalan dengan aman dan teratur.

Jadi, untuk Polis Kuala Lumpur, BERANI BENAR, BERANI TANGGUNGLAH…

Kata Azmin: “Saya percaya polis mengambil langkah-langkah sewajarnya... Kita juga berbincang tentang program kita secara teliti dengan polis. Kita amat berpuas hati," katanya.

Datuk Mohmad Salleh yang ditemui wartawan selepas mengadakan pertemuan itu mengesahkan pihak polis Kuala Lumpur membenarkan perhimpunan itu dengan dengan syarat ia berlangsung dalam keadaan aman dan teratur.

"Penganjur mesti memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi kelonggaran kepada penyokong Anwar untuk mengadakan perhimpunan di lokasi lain tetapi bukan di kawasan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta.

PERKASA pula dilapokan dibenarkan polis telah untuk berhimpun di perkarangan masjid Kuala Lumpur pada Isnin depan.

Menurut timbalan presiden PERKASA Datuk Abdul Rahman Bakar yang juga mengadakan pertemuan dengan pihak polis, tidak ada permit yang diperlukan bagi tujuan berkenaan.

DR HASAN SULITKAN HUBUNGAN PAS DALAM PAKATAN PEMBANGKANG

Nampak gayanya bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali ‘nak kena’ lagi.

Bukan itu sahaja, kali ini rasanya Pas Pusat tidak akan 'melepaskan' beliau berkaitan isu perhimpunan untuk sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan Dr Hasan, “Jangan sertai kempen Bebas Anwar 901” pasti mengundang kemarahan pemimpin utama pakatan pembangkang – Lim Kit Siang dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kenyataan dan pandangan beliau mengundang padah kerana ia menyulitkan 'hubungan suci' PAS dengan pakatan pembangkang, khususnya DAP.

Dr Hasan dilihat akan dikenakan 'hukuman berat' kali ini kerana PAS Selangor dan Pas Pusat memang sukar kawal beliau akhir-akhir ini.

Pakatan Rakyat dilapor bercadang membawa sekitar 100,000 orang menyertai kempen itu Isnin ini dan yang akan turut hadir termasuklah Presiden Pas itu dan Lim sebagai Penasihat DAP.

Mana tidaknya sudah diwar-warkan bahawa semua pemimpin besar pakatan pembangkang akan turun padang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin 9 Januari ini.

Dr Hasan tiba-tiba menyebut perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak perlu disertai dan tidak wajar diadakan kerana tujuannya hanya membabitkan isu peribadi seorang pemimpin, bukannya soal masyarakat.

“Saya menasihatkan kepada masyarakat terutamanya orang muda janganlah hadir pada perhimpunan tersebut, saya tidak reda melihat anak-anak bangsa melibatkan diri dengan perkara peribadi orang lain.

“Saya bimbang jika kita teruskan sikap demonstrasi ini, negara kita akan terdorong ke arah araki seperti negara tidak berundang,” kata beliau merujuk kepada perhimpunan yang dirancang pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mengumumkan keputusannya berkenaan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Reaksi kepada kenyataan Dr Hasan, Pas Selangor tetap dengan pendirian akan menyertai perhimpunan Bebaskan Anwar 901 Isnin ini.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman, menyifatkan kenyataan Dr Hasan semalam sebagai "pandangan peribadi" beliau semata-mata.

Beliau ( Dr Ab Rani) menolak dakwaan Hasan bahawa beliau hanya mengeluarkan pandangan peribadi, bukannya pendirian parti Islam itu apabila menggatakan akan menggerakkan ahli dan pengikutnya menyertai perhimpunan minggu depan.

Abd Rani, yang menggantikan Hasan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor Jun lalu menambah, pemimpin-pemimpin tertinggi parti termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar sendiri sudah mengatakan bakal menyertai perhimpunan yang akan diadakan pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mengumumkan keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini bukan pandangan peribadi saya. Ketua Penerangan Pas Selangor pun sudah mengatakan akan menghantar SMS meminta ahli-ahli Pas sertai perhimpunan 901, malah Presiden Pas dan Datuk Mahfuz juga sudah mengatakan akan sertai. Jadi apa isunya? Ini bukan pandangan peribadi saya, tetapi saya lihat apa yang dikatakan oleh Datuk Hasan semalam adalah pandangan peribadi beliau semata-mata," katanya kepada Sinar Harian Online pagi ini.

Abd Rani berkata kenyataan beliau tempoh hari ini sebenarnya telah diputuskan oleh pemimpin-pemimpin parti dalam mesyuarat-mesyuarat yang telah diadakan sebelum ini, yang mana Hasan sendiri tidak hadir.

"Sudah tiga kali kami menjemput Datuk Hasan agar hadir mesyuarat (Pas Selangor). Beliau sendiri tidak datang. Jadi, jangan kata ini pendirian peribadi saya, apa yang dikatakan oleh Datuk Hasan tidak betul," katanya lagi.

Pas Selangor dikatakan tidak mahu "melayan sangat" isu membabitkan Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia.

"Cakap terus-terang, saya tidak memberi perhatian sangat isu Datuk Hasan ini. Kita ada banyak lagi isu besar untuk diuruskan, mengadakan kempen Gelombang Hijau misalnya, bagi menghadapi pilihan raya umum. Kita serahkan kepada Pas pusat untuk mengendalikan isu-isu membabitkan Datuk Hasan," katanya lagi.

Natijahnya, Dr Hasan tungggulah bagaimana Pas Pusat akan menggendalikan tindak tanduknya dan yang pasti PAS akan ‘berasap lagi’ selepas ini.