Friday, January 6, 2012

DR HASAN SULITKAN HUBUNGAN PAS DALAM PAKATAN PEMBANGKANG

Nampak gayanya bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali ‘nak kena’ lagi.

Bukan itu sahaja, kali ini rasanya Pas Pusat tidak akan 'melepaskan' beliau berkaitan isu perhimpunan untuk sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan Dr Hasan, “Jangan sertai kempen Bebas Anwar 901” pasti mengundang kemarahan pemimpin utama pakatan pembangkang – Lim Kit Siang dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kenyataan dan pandangan beliau mengundang padah kerana ia menyulitkan 'hubungan suci' PAS dengan pakatan pembangkang, khususnya DAP.

Dr Hasan dilihat akan dikenakan 'hukuman berat' kali ini kerana PAS Selangor dan Pas Pusat memang sukar kawal beliau akhir-akhir ini.

Pakatan Rakyat dilapor bercadang membawa sekitar 100,000 orang menyertai kempen itu Isnin ini dan yang akan turut hadir termasuklah Presiden Pas itu dan Lim sebagai Penasihat DAP.

Mana tidaknya sudah diwar-warkan bahawa semua pemimpin besar pakatan pembangkang akan turun padang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin 9 Januari ini.

Dr Hasan tiba-tiba menyebut perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak perlu disertai dan tidak wajar diadakan kerana tujuannya hanya membabitkan isu peribadi seorang pemimpin, bukannya soal masyarakat.

“Saya menasihatkan kepada masyarakat terutamanya orang muda janganlah hadir pada perhimpunan tersebut, saya tidak reda melihat anak-anak bangsa melibatkan diri dengan perkara peribadi orang lain.

“Saya bimbang jika kita teruskan sikap demonstrasi ini, negara kita akan terdorong ke arah araki seperti negara tidak berundang,” kata beliau merujuk kepada perhimpunan yang dirancang pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mengumumkan keputusannya berkenaan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Reaksi kepada kenyataan Dr Hasan, Pas Selangor tetap dengan pendirian akan menyertai perhimpunan Bebaskan Anwar 901 Isnin ini.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman, menyifatkan kenyataan Dr Hasan semalam sebagai "pandangan peribadi" beliau semata-mata.

Beliau ( Dr Ab Rani) menolak dakwaan Hasan bahawa beliau hanya mengeluarkan pandangan peribadi, bukannya pendirian parti Islam itu apabila menggatakan akan menggerakkan ahli dan pengikutnya menyertai perhimpunan minggu depan.

Abd Rani, yang menggantikan Hasan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor Jun lalu menambah, pemimpin-pemimpin tertinggi parti termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar sendiri sudah mengatakan bakal menyertai perhimpunan yang akan diadakan pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mengumumkan keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini bukan pandangan peribadi saya. Ketua Penerangan Pas Selangor pun sudah mengatakan akan menghantar SMS meminta ahli-ahli Pas sertai perhimpunan 901, malah Presiden Pas dan Datuk Mahfuz juga sudah mengatakan akan sertai. Jadi apa isunya? Ini bukan pandangan peribadi saya, tetapi saya lihat apa yang dikatakan oleh Datuk Hasan semalam adalah pandangan peribadi beliau semata-mata," katanya kepada Sinar Harian Online pagi ini.

Abd Rani berkata kenyataan beliau tempoh hari ini sebenarnya telah diputuskan oleh pemimpin-pemimpin parti dalam mesyuarat-mesyuarat yang telah diadakan sebelum ini, yang mana Hasan sendiri tidak hadir.

"Sudah tiga kali kami menjemput Datuk Hasan agar hadir mesyuarat (Pas Selangor). Beliau sendiri tidak datang. Jadi, jangan kata ini pendirian peribadi saya, apa yang dikatakan oleh Datuk Hasan tidak betul," katanya lagi.

Pas Selangor dikatakan tidak mahu "melayan sangat" isu membabitkan Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia.

"Cakap terus-terang, saya tidak memberi perhatian sangat isu Datuk Hasan ini. Kita ada banyak lagi isu besar untuk diuruskan, mengadakan kempen Gelombang Hijau misalnya, bagi menghadapi pilihan raya umum. Kita serahkan kepada Pas pusat untuk mengendalikan isu-isu membabitkan Datuk Hasan," katanya lagi.

Natijahnya, Dr Hasan tungggulah bagaimana Pas Pusat akan menggendalikan tindak tanduknya dan yang pasti PAS akan ‘berasap lagi’ selepas ini.

No comments:

Post a Comment