Thursday, December 31, 2009

AKAN MUFLISKAH KERAJAAN KELANTAN?


Banyak tu....RM800 juta!

Semakin peninglah Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Merayulah kalau boleh merayu, jika tidak mana Kelantan mahu cari duit sebanyak itu.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam memerintahkan Kerajaan negeri Kelantan membayar ganti rugi RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan kerana melanggar beberapa perjanjian di antara kedua belah pihak sejak 45 tahun lalu.

Jumlah pampasan itu merangkumi lima jenis ganti rugi, termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat itu dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar, ganti rugi khas (RM13.6 juta), bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 (RM240 juta) dan kos berjumlah RM200,000.

Perintah itu bukan angkara UMNO atau bekas Kerajaan Barisan Nasional. Semuanya kerana angkara kerajaan PAS Kelantan.

Menurut sumber, pada prosiding tersebut, Timbermine Sdn. Bhd. diwakili oleh Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan kerajaan negeri diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Khairul Anuar Wahab.

Difahamkan Hakim Datuk Azman Husin membuat keputusan tersebut dalam prosiding yang berlangsung pagi semalam membabitkan Timbermine Sdn. Bhd. dan kerajaan negeri.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu itu dikatakan mencatatkan sejarah tersendiri kerana jumlah ganti rugi merupakan antara yang terbesar dalam kes sivil di negara ini.

Persoalannya, apakah kerajaan Kelantan ada duit untuk membayar itu semua?

Saya pernah memperkatakan melalui satu entri pada blog ini bahawa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebut anggaran hasil bagi tahun hadapan sebanyak RM339.98 juta, manakala perbelanjaan mengurus sebanyak RM360.62 juta.

Dalam usaha mempertahankan ‘kejayaan pentadbiran kerajaannya;, Nik Aziz berkata defisit bagi tahun 2009 akan berkurangan menjadi RM20.28 juta berbanding defisit tahun 2008 sebanyak RM23.73 juta.

Faktanya, hasil tanah menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak RM116.97 juta atau 34.4 peratus, hasil perhutanan (RM94.97 juta atau 27.93 peratus.

Bagaimana pula dengan hutang kerajaan negeri? Pada akhir tahun 2007 baki hutang Kerajaan Kelantan adalah hampir RM1 bilion, Jumlah sebenarnya ialah RM958.67 juta berbanding RM940.06juta pada tahun 2006 iaitu meningkat sejumlah RM18.61 juta.

Peningkatan hutang ini adalah disebabkan Kerajaan Pusat menerima sejumlah RM23.35 juta pinjaman baru daripada Kerajaan Persekutuan iaitu sejumlah RM9 juta Projek Bekalan Air yang baru dan RM14.35 juta bagi menggenapkan baki pinjaman tiga Projek Bekalan Air yang telah diluluskan sebelumnya.

Sehingga akhir tahun 2007, Kerajaan Negeri perlu menjelaskan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM35.85 juta iaitu RM23.71 juta bayaran anuiti tahun semasa dan RM12.14 juta tunggakan tahun sebelumnya.

Dua agensi kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu yang bergelar ‘Bandaraya Islam itu’ gagal menjelaskan anuiti tahunannya melalui sumber Persekutuan.


Hutang PKINK berjumlah RM9.36 juta menyebabkan tunggakan bayaran balik terkumpul mencecah RM40.88 juta. Manakala MPKB gagal menjelaskan anuiti tahunannya berjumlah RM0.96 juta melalui pinjaman sumber Negeri dan sejumlah RM1.06 juta melalui sumber Persekutuan menyebabkan tunggakan bayaran balik pinjaman menjadi RM9.48 juta.

Bajet Kelantan itu tidak akan mampu menjana peningkatan hasil kerajaan negeri yang terus menyaksikan jumlah hutang Kelantan terus tinggi.

“Hutang awam Kelantan kini sudah melebihi aset iaitu sebanyak RM326 juta tahun lalu akan terus meningkat pada masa depan dan jika tidak ada usaha untuk berbuat sesuatu keadaan hutang Kelantan semakin membimbangkan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dalam laporan Audit Negeri Kelantan 2007 berkata kedudukan kewangan Kerajaan Negeri berdasarkan Lembaran Imbangan tidak kukuh kerana aset tidak dapat menampung tanggungan semasa dan keseluruhan tanggungan.

Selain kedudukan kewangan tidak kukuh, bebanan hasil keputusan mahkamah tinggi ini akan menimbulkan pelbagai pertanyaan. Antaranya, mana nak belanja untuk pembangunan dan mana pula nak bayar elaun wakil rakyat yang dinaikkan?

Antara perkara yang diluluskan DUN Kelantan 27 Oktober lalu melalui Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan bagi membolehkan elaun wakil rakyat, termasuk Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), dinaikkan selepas kali terakhir ia dinaikkan pada 2004.

Dengan kelulusan enakmen itu, elaun bulanan Menteri Besar dinaikkan daripada RM10,200 kepada RM12,800, Timbalan Menteri Besar (RM6,600 kepada M8,800), Speaker (RM5,400 kepada RM5,600) dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) (RM3,600 kepada RM4,600).

Rang Undang-undang itu meminda Enakmen Saraan anggota pentadbiran kerajaan negeri dan anggota Dewan Undangan Negeri 1980, dicadangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Anuar Tan Abdullah.

Pening, pening...

Hakikatnya, pembentangan belanjawan oleh kerajaan negeri menjangkakan peningkatan defisit kepada RM29.5 juta apabila perbelanjaan mengurusnya dijangka mencapai RM416.88 juta berbanding hasil yang diperoleh sebanyak RM387.38 juta.

Pada 2 November lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin mengingatkan kerajaan Kelantan bahawa pengurusan ekonomi negeri tidak dilakukan secara bijaksana.

Dengan defisit berterusan kepada RM29.5 juta pada tahun depan berbanding RM20.2 juta tahun ini memang sudah dijangkakan yang mungkin turut disebabkan kegagalan mengurus sumber hasil yang sedia ada.

Timbermine Sdn Bhd, dikatakan menyaman kerajaan Kelantan pada 2004 kerana menghalangnya daripada menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan yang diluluskan.

Menurut fakta kes, syarikat itu menerima konsesi pembalakan membabitkan kawasan seluas 204,000 hektar daripada Kerajaan PAS Kelantan pada 1964 sebelum keluasan itu dikurangkan kepada 112,000 hektar.

Syarikat itu mendakwa tidak dapat menjalankan aktiviti pembalakan kerana kerajaan negeri ketika itu enggan mengeluarkan permit keselamatan yang diperlukan, sedangkan konsesi itu terletak dalam kawasan keselamatan di Hulu Kelantan.

Dua pihak terbabit kemudian bersetuju menandatangani satu perjanjian usaha sama membabitkan kawasan 112,000 hektar itu dengan kerajaan negeri menguasai 70 peratus, manakala Timbermine 30 peratus.

Namun, kerajaan negeri didakwa melanggar perjanjian itu apabila tidak membenarkan Timbermine menjalankan pembalakan di kawasan yang dimilikinya menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian besar.

Ekoran daripada itu syarikat yang dikatakan milik bumiputera terbabit terpaksa menanggung kerugian besar selepas pelaburan bernilai jutaan ringgit termasuk pembinaan beberapa buah kilang kayu tidak dapat beroperasi.

Syarikat terbabit sudah membuat pelaburan awal dengan membina beberapa kilang memproses kayu balak dan mengimport mesin yang akhirnya tidak dapat beroperasi, selain ada yang terkandas di pelabuhan. Pekerja yang diambil juga terpaksa diberhentikan selepas menunggu hampir enam tahun.

Ketika keputusan pampasan itu diumumkan, tiga wakil syarikat terbabit berada di galeri awam mahkamah berkenaan, selain dua peguam yang mewakili Timbermine dan timbalan pendakwa raya yang mewakili kerajaan negeri.

TOKOH PEMBANGKANG MANA TAJA RAJA PETRA?

Siapa sebenarnya penaja pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin?
Superman atau Santa Claus? Datuk Seri Hadi Awang? Lim Kit Siang? Datuk Husam Musa atau Datuk Seri Anwar Ibrahim? Lim Guan Eng? Atau Datuk Nik Aziz Nik Mat?



Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim berkata orangnya seorang tokoh pemimpin pembangkang.

Malah, menurut Zamil, beliau amat mengenali 'mangsa-mangsa' tokoh berkenaan yang telah diperalat sewaktu dia 'tersepit' sahaja.

"Saya rasa macam kenal tokoh pembangkang yang taja Raja Petra dan saya memang kenal sangat orang yang dijadikan macam 'habis madu sepah dibuang' oleh tokoh tersebut.

"Yang jadi mangsa itu bukan calang-calang orang, kebanyakannya mempunyai kedudukan yang tinggi dalam parti," katanya kepada Utusan Malaysia semalam,

Katanya, semua 'mangsa' berkenaan mempunyai kepakaran tersendiri seperti Raja Petra yang berani dan cekap menulis propaganda.

Beliau mengulas kenyataan bekas Setiausaha Sulit, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari yang mendakwa kehidupan Raja Petra di London mungkin ditaja oleh salah seorang tokoh pemimpin pembangkang.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dia dituduh menerbitkan artikel bertajuk Let's Send the Altantuya Murderers to Hell dalam blog www.malaysia-today.net, bertarikh 25 April 2008.

Selain itu, dia dituduh memfitnah Rosmah serta dua yang lain dalam satu akuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 18 Jun tahun lalu.

Mahkamah Sesyen pada 11 dan 13 November lalu bagaimanapun membebaskan tanpa melepaskan Raja Petra kerana pihak pendakwaan gagal mengesannya.

Menurut Anuar, pembiayaan itu dibuat melalui kroni pemimpin tersebut yang telah menjual aset berupa sebuah rumah di London dan ladang di Afrika Selatan, baru-baru ini.

Kelmarin, sumber polis tidak menolak kemungkinan kehidupan Raja Petra di di Gloucester Terrace, Bayswater yang merupakan kawasan elit dibiayai pihak tertentu yang mempunyai konspirasi untuk merosakkan nama baik kerajaan Malaysia.


Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassa turut mengesahkan Raja Petra kini berada di London.
Beliau berkata, perkara itu disahkan hasil risikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis antarabangsa (Interpol). Musa bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada pengendali blog berusia 59 tahun itu tinggal di pangsapuri mewah Gloucester Terrace, Bayswater, London atau sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau berkata, jika benar Raja Petra merasakan dirinya tidak bersalah, dia perlu kembali ke Malaysia untuk membersihkan namanya.

"Jika benar (Raja Petra di London), baliklah ke Malaysia dan bersihkan nama. Bukannya sembunyikan diri di negara asing," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Musa berkata, Raja Petra kini membawa status sebagai pelarian memandangkan dia ke negara tersebut tanpa dokumen yang sah.

"Kita sudah rampas semua dokumen dia termasuk pasport selepas dia disahkan muflis," jelasnya.
Walaupun berada di London, nasib Raja Petra diramal akan menjadi seperti 'habis madu sepah dibuang' jika kehidupannya di London terus ditaja oleh tokoh berkenaan.’

Dalam perkembangan berkaitan, Zamil yang mendakwa kenal rapat dengan Raja Petra melahirkan rasa simpati kepada keluarganya yang kini berada dalam keadaan terumbang ambing.

"Orang yang melindungi dia pada masa ini hanyalah untuk kepentingan politik tapi sampai bila dia perlu bergantung kepada mereka.

"Padahal masa depan keluarga dan anak-anaknya yang pada masa ini terumbang ambing tidak bergantung kepada kepentingan politik mana-mana pihak," tegas Zamil.

Jika benar tokoh pembangkang menaja Raja Petra, dedahkanlah segera supaya kita kenal pasti orang berkenaan.

Ini kerana orang ini sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengira kepentingan negara apabila ‘menaja’Raja Petra dan isterinya di luar negara sambil bersekongkol untuk ingkar perbicaraan mahkamah.

Wednesday, December 30, 2009

NIK AZIZ – CELAKA BLOG ITU...


Blog manakah yang celaka itu? Blog sokong UMNO atau blog yang bersimpati dengan PAS?
Celaka, memang celaka mereka yang kata Husam Musa mahu meletakkan jawatan.


“Celaka blog itu. Tak ada kerja lain... tau nak laga-lagakan orang. Suka buat dosa. Berdosa menulis perkara bukan-bukan tanpa bukti dan fakta jelas,” kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hmmm...kini perkataan celaka pun sudah keluar daripada mulut Musyridul Am PAS terhadap penulis blog.
Apa lagi agaknya selepas ini disebut oleh Nik Aziz kerana politik Kelantan akan terus berkocak.

Semalam Nik Aziz menolak spekulasi kononnya Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa akan meletakkan jawatannya ekoran rombakan dalam pentadbiran pejabat menteri besar.

Sebaliknya Nik Aziz memberitahu, Husam yang merupakan bekas setiausaha politiknya sebenarnya pemimpin

kesayangan beliau.

Nik Aziz mengulangi lagi bahawa Husam adalah orang yang beliau sayangi dan tidk mungkin disisihkan.

“Mana boleh dia (Husam) letak jawatan...Datuk Husam ini antara yang saya sayang, dia punya kebijaksanaan,” kata beliau selepas mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan di Kota Bharu, petang semalam.

Desas-desus bahawa Husam akan meninggalkan Kabinet kerajaan negeri dan kerusi Dewan Undangan Negeri ditimbulkan oleh beberapa blog dan Nik Aziz melenting kerananya apabila berkata, “siapa kata dia (Husam) nak letak jawatan? Karut semua itu.”

Pesuruhjaya PAS Kelantan menegaskan Husam yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan mengetuai jawatankuasa berkaitan isu pertikaian royalti minyak untuk negeri itu.

Perkara itu dibangkatkan Nik Aziz ketika menolak dakwaan dua pegawainya dipecat di samping menafikan exconya, Datuk Husam Musa meletakkan jawatan.

Menteri Besar itu berkata niat setiausaha politiknya, Anual Bakhri Haroun untuk meletakkan jawatan sudah lama dinyatakan. Ia dibuat atas sebab Anual mahu menumpukan kepada bidang penulisan dan syarikat beliau dan juga atas masalah kesihatan anak bongsunya yang harus deberi penumpuan.

Manakala setiausaha akhbarnya pula, Mohd Saiba Yaakob akan habis kontrak hujung bulan ini. Apa yang berlaku katanya bukan rombakan tetapi prosedur biasa lantikan politik apabila seseorang itu tamat kontrak.

Anual Bakhri mula memegang jawatan berkenaan pada tahun 1999 selepas Datuk Husam Musa mengosongkan jawatan berkenaan untuk bertanding dalam pilihanraya umum tahun berkenaan bagi mewakili Parlimen Kubang Kerian. Manakala Mohd Saiba pula mula memegang jawatan berkenaan pada tahun 2003.

Menarik juga apabila pada ketika Nik Aziz memuji dan mempertahankannya, Husam sendiri melalui blognya secara tidak langsung ‘membidas’ Nik Aziz.

Melalui blognya Husam menggesa pemimpin sesebuah kerajaan, termasuk PAS, memisahkan daripada kepentingan kekeluargaan.

Husam menyeru agar wujud pemisahan jelas pengaruh keluarga daripada pentadbiran negeri dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi,

Katanya: "Politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar (BN) tahun 2004 tidak berulang. Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihan raya 2008," coret Husam di blognya Cetusan Hati semalam.

Exco itu juga mengingatkan betapa pada penghujung era kepemimpinan Datuk Asri Muda di Kelantan, menjelang kejatuhan negeri itu ke tangan BN, PAS mendapat jolokan negatif "parti Asri sekeluarga."

Pandangan Husam ini dilihat sangat berkait dengan kontroversi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Isu ini berkait dengan pengaruh keluarga menteri besar Kelantan itu apa lagi konflik jelas dilihat antara Husam dan beberapa ahli keluarga Nik Aziz.

Anak-anak Nik Aziz khususnya Nik Amalina begitu lantang membela suaminya Abdul Ariffahmi yang didesak meninggalkan PMBK, sambil menghala peluru kritikannya terhadap kepimpinan PAS Kelantan, khususnya Husam dan sekutunya.

APA MAINAN MOKHTAR NONG?

Benarkah Setiausaha KerajaanNegeri tidak mengetahui kereta kerajaan negeri yang hilang ?

Amat parah lagi beliau gagal memberi fakta perjawatan sebenar mengenai pertukaran dan penempatan

pegawai TCS yang beliau sendiri menandatangani arahan pertukaran berkenaan.

Apakah ini berlaku kerana beliau tidak memberi tumpuan dalam mengetuai pentadbiran negeri di bawah Datuk Ahmad Said? Amat mengejutkan lagi apabila Datuk Haji Mokhtar Nong hadir untuk bersama-sama kumpulan yang ‘tidak sukakan’ Ahmad Said di Motel Desa, Bukit Pak Apil dipertengahan tahun ini.

Sepatutnya sebagai ketua pentadbir, beliau berkecuali daripada pertembungan politik di negeri Terengganu.

Dalam sidang DUN Terengganu yang lalu Adun Alor Limbat, Alias Abdullah telah bangkitkan isu pegawai 48 di bayar JUSA dan pegawai 54 diletakkan pada 'sarang' 48 secara sensasi dengan menggunakan kekebalan DUN.

Setelah dicabar oleh Ahmad Said supaya bercakap di luar dewan bagi memberi keadilan kepada pegawai yang dituduh, rakan seperjuangan yang merupakan saki baki budak hitam, Datuk Rosol Wahid telah menyambut cabaran Ahmad Said dengan membuat pendedahan dalam laman blognya mengenai maklumat yang telah disensasikan dalam sidang DUN itu bagi mengambarkan pentadbiran Ahmad Said berada dalam caca merba.

Selaku orang yang sebelum ini bersama sama di Bukit Pak Apil, mereka patut berbincang dengan Setiausa Kerajaan terlebih dahulu sama ada betul atau tidak dari segi peraturan atas apa yang Pentadbiran Negeri lakukan.

Setiausaha Kerajaan juga perlu merujuk kepada Pengurusan Sumber Manusia sama ada perkara yang sama beliau sendiri lakukan secara peribadi atau bersama seseorang lain yang mempunyai kuasa.

Terjadi di sebuah Yayasan, pengarahnya dinasihat untuk bersara awal ketika pentadbiran Menteri Besar lalu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Seorang Pegawai TCS Gred 48 telah dilantik mengganti Pengarah Yayasan berkenaan. Setiausaha Kerajaan Sendiri melalui jawatankuasa Perjawatan Yayasan itu telah memberi kelulusan kepada Pengarah gred 48 itu dibayar JUSA.

Dikatakan keputusan ini tidak pernah disahkan oleh Lembaga Pemegang Amanah Yayasan berkenaan serta tidak diangkat kepada Pentadbiran Negeri bagi persetujuan Pihakberkuasa Kewangan Negeri.

Pembayaran JUSA kepada pegawai TCS juga dilakukan di peringkat Persekutuan. Seorang TCS Gred 48 telah dipinjamkan ke peringkat persekutuan menjadi ketua jabatan (Pengelola) dan di bayar gaji JUSA. Perkara ini tidak pernah disensasikan kerana diperingkat Persekutuan, Ketua Pentadbirnya ada masa untuk semak perintah am dan peraturan yang berkaitan, malah tidak pernah menyebelahi kumpulan penentang bosnya.

MB merupakan Pihak berkuasa Kewangan Negeri yang diberi kuasa perundangan oleh Akta Acara Kewangan dan Arahan Perbendaharaan meminda perjawatan, bukan “sarang”.

Idris ketika meneraju negeri telah memberi taraf JUSA kepada YDP MPKT, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar dan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri.

Selepas menganti DSIJ, Ahmad Said mengekalkan semua anugerah DSIJ kepada pegawai TCS . Oleh itu tiada isu bagi SUSK dibayar JUSA kerana mengikuti kelulusan sebelumnya.

Perkiraan perbezaan puluhan ribu ringgit satu angka yang sengaja disensasi daripada insan yang tiada pengalaman mentadbir . Oleh itu isu yang dibangkitkan oleh Alias dan Rosol sama ada dibuat tanpa ilmu mentadbir atau penerusan fitnah dan konspirasi!

Disamping mengekalkan apa anugerah yang telah Idris beri kepada pegawai TCS, Ahmad Said menambah lagi kemudahan kepada pegawai TCS selepas Dungun dinaik taraf kepada Perbandaran, Yang Dipertua Dungun dan DO Dungun telah diberi kemudahan JUSA bersama dengan DO Kemaman.

Oleh itu sekiranya SetiausaHa Kerajaan memberi penerangan yang betul dalam pre concil, tidaklah Alias membazirkan masa dalam DUN mensensasikan perkara tidak benar dan Rosol pula membazir masa dalam blognya.

Banyak masa yang diperlukan mereka untuk menganti masa terbuang sebelum ini dalam usaha menjatuhkan Ahmad Said untuk tugasan hakiki mereka kepada kawasan DUN yang mereka diamanahkan oleh pengundi.
Dalam blognya Dato' Rosol nyatakan isu Pegawai N 54 diletakan pada 'sarang' N 48, adalah untuk disensasikan. Perkara ini tak sepatutnya disensasikan kerana dilakukan oleh oleh Pentadbiran bagi membangun kawasan Rosol sendiri.

Seorang pegawai kanan 54 yang berpengalaman dari segi pentadbiran, perancangan dan pembangunan telah diletakan mengetuai sebuah Jabatan penting disitu.

Ini selaras dengan hasrat Ahmad Said untuk majukan Tasik Kenyir menjadikan kawasan pelancongan. Tasik yang indah ini telah 30 tahun ketinggalan pembangunannya . Sekiranya Kenyir berjaya dibangunkan sebagai kawasan pelancongan, pengundi Rosol pasti mendapat limpahannya. Tidak ketinggalan juga hasrat Ahmad Said untuk menyediakan sebuah bandar baru Ajil yang Rosol jadi Tok Wakilnya. Semua ini dibuat berdasarkan kepada keperluan. Pegawai berkenaan tidak kerugian dari segi pendapatan malah untung kerana mendapat elaun pegawai pinjaman, elaun mesyuarat penuh dan jawatankuasa.

Tapi apa yang berlaku zaman sebelum ini semasa Rosol menjadi Exco, Mokhtar Nong juga sebagai Setiausaha Kerajaan yang mana mereka menggunakan kuasa secara luar biasa .

Bayangkanlah seorang TCS 54 telahpun dianugerah Datuk yang pernah menjadi Timbalan SUK dan Pesuruhjaya Agama ditempat pada tempat yang tiada "sarang", beliau ambil keputusan bersara awal dan sekarang dalam tindakan mohon gantirugi daripada kerajaan di mahkamah, Begitu juga dengan pegawai TCS 54 bekas DO dijerok tanpa 'sarang'hingga ‘sekarang’.

Tiga Pengarah dari Bandaraya diletakan di Jabatan tanpa "sarang" dan ada yang hingga sekarang. Bekas DO yang pernah dibayar JUSA juga ditempatkan kejawatan yang tiada "sarang".

Seorang lagi pegawai TCS N 54 diletakan menjaga Air di "sarang" lebih sempit . Pegawai paling kanan dari SEDC bersara kerana tidak hendak masuk "sarang" takut diperam.

Lebih menakutkan lagi pegawai-pegawai kanan, Skim VSS telah diperkenalkan yang sama sekali bertentangan dengan perundangan yang terpakai kepada pegawai awam.

Beberapa pegawai TCS yang kanan telah hampir menjadi mangsa dan sudah pun tidak lena tidur malam. Lebih mendukacita lagi ramai anak muda calon TCS yang telah berjaya dalam ujian bertulis dan temuduga serta menerima surat tawaran "sarang" (jawatan), malah telah ada yang lapor diri, telah ditarik balik dan dibatalkan surat tawaran "sarang" (jawatan) kepada mereka.

Kegagalan Setiausaha Kerajaan memberi penjelasan kepada ADUN ini menyebabkan mereka bercakap secara tiada ilmu di sidang DUN bagi tujuan mensensaisikan perkara ini dengan mengutuk pegawai yang tidak mempunyai kapasiti untuk memberi jawapan kepada sidang dewan.

Mereka telah menyalahgunakan kekebalan mereka dalam DUN yang mulia, khusus bagi menunjukan kepada tuan mereka bahawa pentadbiran Ahmad Said yang sebenarnya amat popular dan di amat senangi oleh rakyat bawahan ini digambarkan sebaliknya.

Harap Setiausaha Kerajaan Negeri akan berubah dan memberi sokongan padu kepada Menteri Besar selaku bosnya sebagaimana kesetiaan kepada MB terdahulu bagi memastikan Terengganu terus maju dengan Bajet yang telah diluluskan.

Yang lebih penting lagi saki baki Budak Hitam ini patut terimalah hakikat. Ikutilah jejak majoriti Budak Hitam yang balik ke pangkal jalan sekiranya ikhlas ingin melihat parti yang mereka dokongi itu bertapak lagi di negeri Darul Iman. Jangan lagi mengikuti jejak penjual ubat kurap.

Apakah mereka ini berfikir jika UMNO jatuh dari negeri ini, mereka akan menjadi pemimpin yang akan dilantik menjadi pengawal kepada berbilion Wang Ehsan sebagaimana di zaman PAS memerintah dulu ?

Sumber: teganukini (Tajuk asal: Setiausaha Kerajaan Negeri Gagal Beri Fakta Yang Betul Kepada Rosol dan Alias)

DR ROSLI MENCEMARKAN ISLAM, PAS?

Malang sungguh nasib Dr Rosli Allani Abdul Kadir. Mentuanya mahu cari hingga ke lubang cacing.
Rasanya kalaupun beliau bukan orang penting dalam PAS, berita mengenai bapa mentua mencari anak

perempuannya yang ‘dilarikan’tetap sensasi.

Apalagi jika orang politik. Akan semakin menariklah lagi sensasinya.

Dr Rosli sudah dapat mengagak apa akan berlaku terhadapnya dan kerana itu beliau cepat-cepatkan lepas jawatan.

Saya kira beliau seorang yang bertanggungjawab kepada parti bukan seperti beberapa rakannya dalam PAS yang terus memenang jawatan walaupun tahu ‘bala’ yang akan melanda partinya kerana kes peribadinya.

Semalam, bapa mertua Dr. Rosli, Mohd. Noor Che Ma, 58 menganggap bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan itu telah melarikan anaknya dan beliau akan berusaha mencari mereka.

"Saya akan terus mencari mereka hingga ke lubang cacing bagi mengembalikan hak saya sebagai seorang bapa dan ketua keluarga,” kata Mohd Noor.

Semalam, Mohd. Noor dan beberapa rakannya mengepung rumah didiami Rosli, 35, dan anaknya, Nor Ilyani Mohd Noor 30, yang dikatakan mengingkari arahan Mahkamah Syariah supaya tinggal berasingan sementara (mufarakah) selepas kesahihan perkahwinan mereka diragui.

Perkahwinan mereka disyaki dijalankan oleh satu sindiket di Selangor.

Inilah satu-satunya persoalan yang mahu diperkatakan. Apakah orang yang secerdik dan ahli kepada sebuah parti politik seperti PAS boleh mengengkari perintah mahkamah – mahkamah Syariah pulak tu!

Apakah sikap Dr Rosli ini menggambarkan sikap pemimpin PAS lain?

Selain itu, menurut mahkamah berkenaan, sepatutnya pasangan terbabit sedar bahawa perbuatan tinggal bersama selepas perintah dikeluarkan oleh mahkamah adalah salah daripada segi agama?

Jika ýa’, apakah Dr Rosli sebagai bekas pemimpin PAS sanggup melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama?

Apakah pendirian PAS megenai ahlinya yang bersikap begini? Tidakkah ia mencemarkan PAS?

Dalam kes seperti ini sudah tentu soal bertindak terhadap mereka yang mengingkari sesuatu perintah mahkamah, sepatutnya tidak berbangkit jika umat Islam mematuhi hukum agama.

Tindakan Dr Rosli yang masih tinggal bersama itu apakah salah dari segi agama seperti yang diputusakan mahkamah?

Tiada jawapan khusus diberikan tetapi jika diteliti daripada kata-kata hakim yang membicarakan kes ini, ada mengatakan jika terus ‘tinggal bersama’adalah salah di sisi agama.

Juga Nampak seakan Dr Rosli ‘mencabar keputusan’mahkamah apabila beliau engkar mematuhi arahan Mahkamah Syariah berkenaan.

Pada 21 Disember lepas, Mahkamah Syariah Kota Bharu mengarahkan mereka tinggal berasingan sementara (mufarakah) kerana meragui perkahwinan mereka yang dikatakan dilakukan oleh satu sindiket di sebuah masjid di Selangor.

Rosli dan pasangannya Noor Illani dikatakan masih tinggal bersama di sebuah rumah di Jalan Long Yunos di Kota Bharu walaupun mendapat perintah mahkamah supaya bermufarakah.

Bagaimanapun, pada 9 pagi semalam, Rosli dan Nor Ilyani berjaya melarikan diri dengan sebuah kereta yang sedia menunggu di pintu masuk rumah sewanya di Lorong Masjid Mustaqim, Telipot, dekat sini, walaupun ketika mereka masih dikepung oleh keluarga Mohd. Noor.

Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kuty, sudah mengigatkan pasangan umat Islam yang mengingkari perintah Mahkamah Syariah supaya bermufarakah (tinggal berasingan) susulan kesahihan perkahwinan mereka diragui boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Beliau mengulas mengenai insiden malam tadi apabila rumah bekas ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli, "dikepung" oleh keluarga isteri keduanya yang mengesyaki pasangan tersebut masih tinggal bersama walaupun diperintah Mahkamah Syariah supaya tinggal berasingan kerana kesahihan perkahwinan mereka diragui.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan tidak dapat ditahan oleh pihak penguatkuasa penyelia agama Islam kerana gagal mendapat waran tangkap atau geledah daripada pihak berwajib.

Abu Bakar berkata soal untuk mendapatkan waran tangkap atau geledah rumah yang didiami pasangan terbabit adalah perkara kedua kerana pihak berkenaan boleh mendapatkannya daripada mana-mana pihak berwajib, seperti Hakim Mahkamah Syariah.

"Waran itu boleh didapati daripada pihak berkenaan bila-bila masa walaupun di luar waktu pejabat," katanya.

Saturday, December 26, 2009

JUARA RAKYAT – GAGAL BOLEH HANCURKAN UMNO

Transformasi besar buat UMNO.


Mendengar slogannya sahaja sudah cukup gah. Kalau sebelum ini UMNO sering dikaitkan sebagai ‘pembela rakyat’ kini ia menjadi ‘Juara Rakyat’.

Secara rasminya UMNO Pembela Rakyat akan bermula 9 Januari ini apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor akan melancar slogan bersama dengan programnya pada 9 Januari depan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak orang Melayu selain membuka ruang peluang kepada bukan Melayu, UMNO tidak perlu mempunyai slogan sedemikian, jika rakyat memahaminya.

Namun sebagai langkah besar dan transformasi besar untuk UMNO melangkah terus pada dekad ke 21, UMNO yang ditubuhkan pada dekad 40an, perlu menyatakan kepada rakyat – khususnya generasi muda – bahawa ia tetap berjuang dulu, kini dan selamanya.

Tradisi parti untuk benar-benar menjuarai kehidupan rakyat bukan slogan main-main kerana ia memerlukan dokongan kedua-dua pihak, lebih-lebih lagi di pihak rakyat.

Dengan program yang tersusun, bersepadu dan mantap UMNO boleh menterjemahkan hasrat menjadikan parti itu sebagai juara bukan sahaja untuk seluruh sayap dan parti UMNO tetapi juga sebagai ‘penghulu’ komponen Barisan Nasional (BN).

Slogan atau tema ini mungkin sengaja dipilih bagi menjamin UMNO terus menjuarai kehidupan rakyat. UMNO perlu meneruskan tradisinya membela rakyat, membangunkan negara dan menjadikan rakyat sebagai keutamaan melalui tradisi membela rakyat.

Biarlah pakatan pembangkang datang sebagai satu jenama untuk pembangkang tetapi yang penting UMNO perlu tetap dan terus menjuarai rakyat bukan setakat pakat-pakat dan tiba mendabik dada sebagai juara di hati dan minda rakyat.

Dalam menjamin rakyat tidak ‘tawar hati’ dengan UMNO, slogan ini perlu dijayakan dan jangan ia menjadi slogan pilihan raya dan ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Pemimpin UMNO perlu sedar bahawa UMNO kini diperlekeh dan ‘dihina’ begitu teruk sekali. Menyakinkan orang muda satu hal dan mengekalkan sokongan orang dewasa dan tua juga satu hal.

UMNO berdepan dengan tekanan dan cabaran sokongan kerana ‘perbuatan beberapa pemimpinnya’ yang masih sehingga kini masih ada dalam UMNO, selain terus memegang jawatan.

Cabaran baru kepada pemimpin yang baru dipilih pada perhimpunan agung lalu ialah menjamin diri mereka benar-benar menjadi ‘Juara Rakyat’ selain membantu pemimpin yang sudah ‘dibenci’ rakyat untuk diterima kembali.

Dengan kata lain, UMNO perlu menjamin bekerja dua kali ganda, menghapuskan imej lamanya dan menonjolkan dirinya sebagai ‘Juara Rakyat’ yang sebenar-benarnya.

Jika ia gagal melakukannya, imej UMNO akan menjadi lebih buruk dan selepas ini kalaupun ada usaha untuk bangkit, ia akan tetap menerima padahnya.

Yang diharapkan, dengan pelancaran program tersebut yang amat penting kepada bukan sahaja UMNO tetapi BN, UMNO mampu untuk mengukuhkan sokongan rakyat kepada parti.

Sudah pastinya agenda utama di bawah program yang akan digerakkan ke seluruh negara adalah untuk menunjuk dan mengingatkan bahawa UMNO dan BN adalah parti yang selama ini menjuarai hasrat rakyat.
Kita tidak mahu mendengar pemimpin UMNO sukar didampingi, program UMNO untuk diri bukan untuk parti dan bermacam perasaan tidak puas hati lagi.

Selepas ini bukan slogan sahaja yang perlu menyerap di hati dan sanubari rakyat tetapi program dan ‘kelakuan sebenar UMNO’ berjiwakan ‘Juara Rakyat’.

Tuesday, December 22, 2009

AHMAD SAID CUBA DIMALUKAN PADA SIDANG DUN...





KETERANGAN GAMBAR - Dulu bersama kini tidak lagi...tinggal empat sahaja...ada yang meminta maaf secara terbuka dan ada yang sudah boleh duduk semeja dengan Mat Said. Pada barisan depan yang masih belum bersama Mat Said, dua di tengah dan dua di belakang (sebelah kiri).

Daripada sepuluh, hanya ada empat – seorang melepaskan ‘bom’semalam dan tiga lagi membisu.

Itulah kedudukan terkini ‘10 Budak Hitam VS Mat Said’ kerana enam pemain 10 Budak Hitam sudah

bertukar gelanggang bermain dengan berkaptenkan Mat Said.

Malang sedikit ada seorang pemain yang sepatutnya bermain untuk memenangkan pasukan pimpinan Mat Said -- semalam kerana sebab-sebabnya sendiri - sumbat gol sendiri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Memburukkan keadaan pemain berkenaan adalah kesayangan pengurus pasukan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Malah, gajinya dibayar oleh Hishamuddin.

Apakah pemain ini (Datuk Din Adam) diarah atau dibayar oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu bagi ‘menyumbat gol sendiri?”. Inilah yang menjadi pertanyaan.

Apakah pengurus pasukan UMNO Terengganu itu sengaja kacau kapten Atau memang pemain ini tidak mampu dikawal oleh Hishamuddin sebagai pengurus pasukan?

Berikutan itu, Ahmad Said Said pada sidang DUN ketika soal jawab mengingatkan pemain-main UMNO (Barisan Nasional) supaya “Jangan jadikan dewan (Sidang Dun) ini untuk membuat sesuatu tuduhan yang tidak menentu hanya hendak melepaskan perasaan setelah menyembunyikan diri sekian lama.

“Muncul dengan ledakan-ledakan ‘bom’ yang tidak sepatutnya digugurkan di tempat yang berlainan yang sepatut digugurkan. Ini yang saya katakan. Siapa dendam siapa?,” ujarnya di Wisma Darul Iman, 21 Disember 2009, semalam

Beliau turut menyelar sikap Adun-adun BN yang pentingkan diri agar mengambil sikap muhasabah diri dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Malah, Ahmad turut menyifatkan Adun BN Bukit Besi” itu yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri sebagai ‘tidak cerdik’ ketika meminta penjelasannya.

“Saya rasa Adun Bukit Besi ini dia (Din) pun jadi Exco juga dahulu. Jadi janganlah tunjuk ketidak-cerdikan (bodoh) kita (Adun) pada dewan (Sidang Dun) ini,” jelasnya.

Laporan-laporan oleh laman web dan blog semalam menyebut Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi pembentangan bajet 2010 yang bermula semalam, menunjukkan ‘belang’ sebenar  Ahli-ahli DUN ’10 Budak Hitam’ yang kononnya telah berdamai dengan Menteri Besar.

Umpama ‘terkejut dari tidur’ mereka telah menamatkan kempen ‘protes senyap’ dan kembali bersuara dengan mengambil bahagian dalam sidang DUN kali ini.
Hampir keseluruhan mereka menyertai perbahasan serta mengemukakan soalan lisan di dewan yang mulia itu.

Namun ia agak mengejutkan dan kontra dengan pengakuan Hishamudin yang mengatakan perpaduan dalam Umno Terengganu telah mula terjalin.

Kumpulan Adun ‘10 budak hitam’ menggunakan peluang bersuara  ‘menyerang’ Ahmad Said

Adun Alor Limbat, Alias Abdullah membidas kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang lebih mengutamakan kepentingan Zoo Bikit Takal, di Kemaman dari penyediaan Infrastruktur kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, masalah rakyat yang memerlukan Projek Monsoon Drain daripada Baruh Muring Tasek ke Padang Leban dan Sungai Bukit Payong masih belum dilaksanakan.

“Masalah infrastruktur yang tidak sempurna dan ditambah pula dengan banjir yang berlaku setiap tahun. Saya selalu bangkitkan dalam dewan (Dun) ini supaya kerajaan mempercepatkan pengambilan-balik tanah.

“Apakah tidak ada langsung keutamaan kerajaan dalam pembangunan untuk melaksanakan projek ini. Yang mana lebih penting Zoo Bukit Takal di Kemaman atau Infrastruktur kepada rakyat,” soalnya ketika mengambil bahagian dalam soalan lisan di dewan tersebut.

Bahkan, beliau turut menyifatkan Ahmad Said cuba mengelirukan dewan (Sidang DUN) kononnya projek (Monsoon Drain) tersebut telah diluluskan sebelum ini.

“Semasa saya menjadi Timbalan (Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan neger) beliau (Ahmad) memberitahu satu kelulusan telah diberikan untuk melaksanakan projek tersebut.

“Jadi apa yang hendak saya maklumkan kepada dewan (Sidang Dun) supaya dewan ini tidak diberi ‘salah arah’ (maklumat).

“Ianya (Projek Monsun Drain) tidak berlaku sama sekali dan tidak ada sebarang kelulusan sebelum ini untuk melaksanakan projek itu,” jelasnya ketika membidas jawapan dari MB tersebut.

Soalan asalnya, Alias bertanyakan bila Projek Monsoon Drain daripada Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong akan dilaksanakan?

Ahmad Said ketika menjawab soalan tersebut menjelaskan pada dewan (Sidang Dun) bahawa satu kelulusan projek telah dibuat dan kerajaan prihatin tentang masalah tersebut.

“Sebab itu, saya sebut sejarahnya (Alias) tadi. Saya telah bina dan itu menggambarkan kerajaan prihatin tentang masalah ini.”tegs Ahmad Said.

Dalam pada itu, Din Adam meimbulkan isu beliau tidak tahu bahawa akan ada perlombangan semula di Bukit Besi.

Monday, December 21, 2009

PENGERUSI BN PULAU PINANG - ALASAN UMNO KUKUH...

Gerakan pegang jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang selama 35 tahun. Masa yang lama.

Walaupun pernah suatu ketika UMNO menang lebih banyak kerusi daripada Gerakan dan komponen lain, UMNO akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).


Selain tidak ‘merampas’ jawatan Ketua Menteri, UMNO juga akur Gerakan terus menjadi Pengerusi BN.
Semalam Naib Presiden Gerakan, Senator A Kohilan Pillay berhujah, UMNO perlu menghormati keputusan yang dibuat kepemimpinan tertinggi BN yang mengiktiraf Gerakan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang sejak 35 tahun lalu.
Untuk rekod, jawatan pengerusi BN Pulau Pinang tidak pernah dipegang wakil UMNO dan jawatan itu kini dipegang Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Kata Kohilan, pengiktirafan itu tidak perlu dipersoalkan mana-mana komponen parti BN kerana ia sudah

mencapai kata sepakat antara pucuk pemimpin BN sejak parti itu bergabung.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Selangor berkata, walaupun keputusan itu tidak termaktub dalam perlembagaan parti, ia sudah mencapai persefahaman yang jelas dan menjadi panduan kepada pemimpin BN selama ini.

Bagus kalau ingat begitu. Gerakan dan komponen lain tidak menng satu kerusi pun berbanding Umno yang memiliki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri dan dua Parlimen.

Apa maknanya dari segi sokongan orang Cina dan India di Pulau Pinang? Mereka menolak Gerakan tetapi orang Melayu dan sebilangan bukan Melayu masih setia dengn UMNO.

Cadangan menukar Pengerusi BN Pulau Pinang itu diputuskan pada mesyuarat UMNO negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Georgetown, Pulau Pinang Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan pemimpin UMNO negeri dengan alasan jawatan itu telah disandang oleh para pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Malah Kohilan berkata, Gerakan juga mengatakan BN Pusat yang lantik Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang untuk terus mentadbir, bukan Gerakan yang lantik dan pelantikan ini dipersetujui Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Razak.

Bagi Gerakan, semua pihak kena hormati keputusan itu dan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Gerakan untuk terus menerajui Pulau Pinang, tidak kira pada masa parti itu kalah atau menang besar pada pilihan raya.

Di pihak UMNO pula, kenapa ia mahu jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada parti itu?

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, permintaan itu adalah munasabah kerana hanya wakil UMNO telah memenangi semua kerusi yang dikuasai BN di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lepas.

"Parti komponen lain tidak ada satu kerusi pun di Pulau Pinang,” kata Zahid.

Selain itu usaha ini adalah bertujuan mengukuhkan kedudukan perikatan itu di peringkat negeri.Gerakan dikatakan gagal menjalankan program untuk menarik semula sokongan rakyat selepas kalah teruk pada pilihan raya umum lalu.

Soal penting kata Zahid, UMNO Pulau Pinang tidak puas hati dengan Gerakan yang langsung tidak menjalankan program memastikan BN kembali menawan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.
Kata Zahid, tuntutan itu telah lama dibuat tetapi baru diumumkan kelmarin setelah pihaknya mendapati Gerakan masih tidak melakukan apa-apa program sepatutnya dansekiranya Gerakan meneruskan program yang baik untuk BN di Pulau Pinang, beliau berpendapat UMNO sendiri boleh membantu.

“Jadi soal Tsu Koon (Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon) mahu lepas atau kekalkan jawatan, itu soal dia. Kita hanya minta, pelantikan Pengerusi BN negeri kuasa mutlak Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya,

Jelas, permintaan UMNO Pulau Pinang ini benar-benar menguji kewibawaan dan keputusan Najib.
Yang pasti sebarang keputusan yang diambil kelak akan mengambil kira semangat permuafakatan BN dan lebih penting kemenangan BN di Pulau Pinang.

Kenapa kemenangan BN dilihat penting?

Pertama, kemenangan BN akan membolehkan Pulau Pinang dibangunkan seiring dengan kepentingan Pusat.
Kedua, pembangunan Pulau Pinang yang kini dilihat cenderung kepada sesuatu pihak sahaja perlu diperbaiki kerana sebelum ini kerajaan pimpinan Gerakan sudah ditegur.

Apabila pembangkang mengambil alih, pembangunan dilihat menjurus kepada kepentingan kaum tertentu sahaja dan kumpulan miskin terus terhimpit.

Najib perlu melihat semua sudut dan jikapun masih mahu mengekalkan status quo, kepentingan mereka yang diwakili UMNO hendaklah diberikan perhatian penuh.

Jangan biarkan apa yang berlaku kepada rakyat Pulau Pinang seperti ketika kepimpinan Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri.

Sokongan rakyat kepada UMNO menggambarkan kehendak pengundi.

JIKA BENAR BERANI & PUNYA FAKTA...

Untungnya menjadi penggendali blok dan mempunyai wang. Jika ada masalah dengan tulisan sendiri, boleh lari atau menyelinap ke luar negara.

Selain itu, pada ketika mendabik dada fakta yang ditulis memang benar dan tepat – bukan kutip daripada sumber tidak berasas – seseorang yang berduit mampu berselindung di sebalik apa juga ‘kekebalan’.


Itulah mungkin yang dinikmati oleh pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin ketika ini.

Dia mungkin mempunyai wang dan kalaupun tidak cukup, mungkin dibantu oleh ‘orang di belakang’ kerana sejauh ini tulisan-tulisannya selain yang “telus dan bernas’ada juga yang disangsikan punca sumber dan untuk siapa beliau mengemukan pandangannya.

Raja Petra, 59, dibicarakan atas tuduhan menerbitkan satu artikel berunsur hasutan dalam Malaysia Today pada 25 April tahun lalu di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini.

Ada laporan akhbar sebelum ini memetik sumber, polis berjaya mengesan penulis blog itu dan mendapati Raja Petra lari dari Malaysia menuju ke Thailand melalui jalan haram sebelum menaiki penerbangan terus ke Australia.

Isunya bukan ‘melakukan tangkapan dan menyoal’Raja Petra mengenai sumbernya tetapi sejauh mana tulisannya – khususnya dakwaannya terhadap beberapa individu termasuk isteri Perdana Menteri – apakah berasas atau sebaliknya.

Juga dia perlu diheretkan ke mahkamah kerana beberapa kesnya yang tertangguh itu.
Pada 12 November lalu, polis menegaskan akan terus menjejaki Raja Petra yang didakwa menerbitkan artikel berunsur hasutan, walaupun mahkamah melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan itu semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menegaskan, penulis itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja dan usaha menjejaknya kini dipertingkatkan. "Kita tidak akan hentikan usaha mengesan Raja Petra selagi waran penahanannya masih ada.”Saya tegaskan di sini, kita akan bertindak untuk menangkapnya dan membawa ke mahkamah," katanya.

Sehari sebelum itu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Rozina Ayob membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Raja Petra selepas polis masih gagal menjejaki beliau walaupun waran tangkap sudah dikeluarkan.

Kita mengalu-alukan hasrat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memohon perintah ekstradisi terhadap) jika benar dia kini berada di sebuah pangsapuri mewah di London.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya tidak akan lepas pandang mengenai laporan tersebut dan kini sedang menyiasat sama ada benar Raja Petra sedang bersembunyi di negara itu.

Menurut beliau, pihaknya turut meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) dan kerajaan British bagi memastikan dakwaan itu benar.

‘‘Kita sedang siasat laporan Mingguan Malaysia hari ini dan meminta bantuan Interpol serta kerajaan British. Jika benar dia (Raja Petra) berada di sana, kita akan minta bantuan kerajaan British mendapatkan perintah ekstradisi kerana dia perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah,’’ katanya.

Kelmarin Mingguan Malaysia melaporkan pengendali laman web itu dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.

Menurut sumber, Raja Petra dipercayai menyewa salah sebuah unit di pangsapuri mewah enam tingkat itu sejak menjadi buruan polis, kira-kira lapan bulan lalu.

Pangsapuri terbabit dikategorikan sebagai kediaman mewah. Setiap unitnya mempunyai dua bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.

Persoalan paling penting ialah bagaimana Raja Petra menyelinap keluar dari Malaysia dan polis pula gagal mengesannya sejak sekian lama?

Siapa dalang di sebalik pemergiannya ke London dan apakah selama lapan bulan ini kita tidak meminta bantuan Interpol?

Pada 26 November lalu, polis mengatakan ia tidak menerima sebarang laporan yang mengatakan pengendali laman web Malaysia Today itu kini berada di Melbourne, Australia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis tidak tahu di mana dia (Raja Petra) berada kerana semuanya dalam siasatan. “Saya tidak tahu dari mana datangnya laporan itu (Raja Petra bersembunyi di Melbourne),” mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mengatakan penulis laman blog itu dikesan berada di Melbourne selepas lebih tujuh bulan usaha mencari dilakukan.

Apapun, polis perlu terus menyiasat kerana hanya keadilan di mahkamah dapat membuktikan Raja Petra memang menulis dengan ‘tepat dan berwibawa’sementara mereka yang dituduh juga mempunyai hak untuk menafikan ada juga tuduhan oleh Raja Petra.

Saturday, December 19, 2009

ROSMAH LIABILITI KEPADA NAJIB?

Ternyata Datin Seri Rosmah Mansor kini semakin diserang dan dihimpit dengan pelbagai tuduhan.
Sebagai isteri Perdana Menteri, Rosmah akan terus menghadapi pelbagai tohmahan pada ketika tohmahan

sebelum ini pun belum terjawab.

Saya tidak faham apakah tiadanya jawapan untuk itu - apakah pihak yang kena tuduh atau yang turut terbabit seperti Perdana Menteri merasakan ia isu remeh dan tidak penting?

Sekali atau dua kali boleh tepis tetapi kalau sudah bertindan-tindan, ia akan menimpa diri dan sukar untuk membebaskan daripadanya.

Bagi empunya diri boleh mengatakan dia ‘tidak kisah, tidak peduli atau tidak hairan’ namun hakikatnya kelak rakyat yang akan menentukan sokongan dan undi.

Tidakkah isu-isu seperti ini akan digunakan oleh pembangkan menjelang pilihan raya nanti? Betul atau salah tidak penting tetapi persepsi rakyat yang menentukan undi kepada Barisan Nasional (BN).


Najib perlu berdepan dan terpaksa menanggung sama jika ada masalah menimpa isteri atau pegawai-pegawainya, termasuk Setiausaha Politiknya.

Jika pasukan yang menjaga kepentingan publisiti dan imej Najib merasakan tuduhan – tuduhan liar atau berasas – merasakan perkara ini tidak penting, mereka adalah silap.

Selepas isu Altantuya, isu Rosmah dengan keluarga angkat, ‘bini puaka’dan banyak lagi, kali ini ahli parlimen PKR Tian Chua pula mendakwa individu yang tidak dikenal pasti telah menghantar RM600,000 melalui pengurup wang kepada Datin Seri Rosmah Mansor ketika isteri perdana menteri berada di Dubai, Ogos tahun lalu.

Tian Chua berkata, beliau mempunyai dokumen yang membuktikan berlakunya transaksi yang melanggar undang-undang tersebut.

Beliau bagaimanapun, tidak tahu tujuan wang itu digunakan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini, Tian juga mendakwa bahawa dua tokoh korporat melakukan kesalahan yang sama.

Beliau mendakwa Datuk Abu Sahid Mohamad telah menghantar RM22.2 juta ke United Kingdom antara Jun dan Ogos 2008, melalui pengurup wang Salamath Ali. Ia didakwa untuk membeli hartanah.

Tian juga mendakwa ahli perniagaan Syed Mohammad Syed Nursin pula menghantar RM1.19 juta ke UK melalui Salamath Ali, juga untuk tujuan membeli hartanah.

Syed Mohammed adalah adik kepada jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Tian berkata, beliau mempunyai salinan surat tunjuk sebab yang dihantar oleh Bank Negara kepada pengurup tersebut, memintanya menjelaskan mengenai pengiriman wang secara haram itu.

Ahli parlimen Batu menggesa Bank Negara supaya menyiasat orang yang menghantar wang tersebut dan bukan hanya memfokuskan siasatan kepada pengurup terbabit sahaja.

Saya berharap Perdana Menteri dan pegawainya jangan mengganggap isu atau tohmahan terhadap Rosmah sebagai kecil dan lekeh kerana mereka yang bertugas di bawah sukar menepis tuduhan ini, khususnya di kalangan rakyat.

Dengan kemudahan internet hingga ke keluar Bandar, media baru yang digunakan pembangkang cepat mengambil peluang di atas perkara seperti ini.

Najib sebagai Perdana Menteri yang menekankan kepada integriti dan kerajaan yang bersih perlu menepis dengan bijak isu yang melanda Wanita Pertama Malaysia.

Cakap-cakap semakin kerap dan suara semakin tinggi bahawa imej Najib bukan dicemarkan oleh dirinya sendiri tetapi oleh mereka di sekelilingnya, khususnya isteri dan pegawai-pegawainya.

Wahai pegawai Najib, tolonglah lekas bertindak.

Ia agar Najib yang berusaha memulihkan imej UMNO dan BN tidak dibebankan oleh masalah di sekelilingnya.

Jangan beliau nanti dipersoalkan.

Hapuskan segera tohmahan bahawa Rosmah menjadi liabiliti kepada Najib dan jika perlu bertindak, bertindaklah segera kepada mereka yang membuat ‘tuduhan liar’itu.

Friday, December 18, 2009

TINDAKAN TERHADAP AHLI PARLIMEN BN PERLU TEGAS

Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir bagi meluluskan Bajet 2010 Isnin lalu patut disokong dan dipuji.

Kenyataan Najib semalam yang berkata kegagalan ramai Ahli Parlimen BN hadir pada sidang Dewan Rakyat

adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku sangat tepat.

Kita menyokong jika Perdana Menteri mengenakan tindakan sewajarnya terhadap mereka.

Lagipun bak kata Perdana Menteri, arahan sudah diberikan supaya semua Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen hadir pada persidangan itu.

"Saya sudah dapat senarai mereka yang tak hadir dan kita akan menyusulinya dengan tindakan sewajarnya. Sekurang-kurangnya kita kena buat satu perjumpaan untuk mengingatkan tanggungjawab mereka untuk hadir pada persidangan Parlimen," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Copenhagen, Denmark malam semalam.

Bukan sahaja kegagalan itu mencerminkan sikap ‘tidak endah dan tidak menunjukkan pentingnya Bajet 2010’ tetapi tindakan Ahli Parlimen BN itu menyebabkan kerajaan hampir menanggung malu besar.

Ini kerana Bajet 2010 diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga undi saja menerusi undi belah bahagian, iaitu 66 menyokong dan 63 menolak.

Malah, Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpaksa bergegas dari majlis di ibu negara untuk memastikan Bajet 2010 diluluskan dalam undian pada 11.15 malam itu.

Seramai 74 Ahli Parlimen BN tidak hadir di Dewan Rakyat ketika bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan.

Kehadiran Ahli Parlimen BN cuma 48 peratus, iaitu 66 daripada 137 anggota berbanding 77 peratus pembangkang, iaitu 63 daripada 82 anggota.

Selain soal ‘ketidak bertanggungjawaban’ Ahli Parlimen BN pada pengundian berkenaan, Bajet 2010 dikatakan kurang dibahaskan oleh Ahli Parlimen BN.

Malah ada pihak mempersoalkan apabila Bajet 2010 yang menelan belanja bilion ringgit diluluskan dengan suara lebih 3 undi sahaja iaitu 66 menyokong dan 63 menentang dalam pengundian lewat malam tadi.

Najib dituduh pembangkang hilang kredibiliti apabila inilah kali pertama berlaku apabila satu bajet diluluskan dengan perbezaan undi yang sangat tipis. Jika ditolak, ia membawa implikasi besar terhadap kerajaan pimpinan Umno itu.

Semasa undian dibuat peringkat Jawatankuasa untuk Kementerian Dalam Negeri, iaitu kementerian yang terakhir yang dibahaskan, ia hanya diluluskan dengan majoriti satu undi sahaja.

Bajet kali ini paling tidak sempurna kerana bajet tersebut gagal menyakinkan ahli Parlimen PR dan juga Ahli Parlimen BN. Perbahasan berlaku dengan penuh kecelaruan dan ketidakyakinan.

Pengundian pula dijalankan ketika jumlah Ahli Parlimen PR dan BN hampir sama ramainya, sekiranya kehadiran ahli Parlimen PR melebihi BN sudah pasti bajet tersebut akan ditolak, di mana maruah Najib yang sememangnya sudah tidak punya maruah lagi sekiraya bajet 2010 ditolak oleh parlimen ?

Beberapa ahli Parlimen PR melihat bajet 2010 banyak kelemahan, antaranya pengurangan RM58 bilion wang Petronas yang sepatutnya diterima dalam suku akhir tahun ini.

Cadangan Usul Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Bajet 2010 dinilai semula pula dianggap sangat bertepatan oleh pembangkang.

Apapun, Najib perlu tegas dalam soal ini kerana sekiranya sikap tidak ambil kisah Ahli Parlimen walaupun di Dewan Rakyat yang menjadi tugas hakiki mereka, apakah ia juga mencerminkan sikap mereka di kawasan masing-masing?

Seperti saya katakan sebelum ini, wajarkah ‘ponteng’dibiarkan berterusan? Kalau kalah kerana peruntukan lemah tidak apa tetapi kalau gara-gara Ahli Parlimen BN ponteng, ia menggambarkan betapa Perdana Menteri tidak boleh mengawal penyokong dan Ahli Parlimen BN sendiri.

Memalu dan mengaibkan kalau malam semalam undi BN kurang daripada pembangkang dan kalah di Parlimen gara-gara kurang penyertaan Ahli Parlimen BN.

Kerana itu bertindaklah sewajarnya agar BN tidak dimalukan oleh sikap Ahli Parlimen yang mewakili BN sudah tidak berminat.
Saya ulangi - Yang tidak berminat itu, tidak payah bertanding lagilah pada pilihan raya akan datang. Menyusahkan parti, rakyat dan Perdana Menteri!

NIK AZIZ JENIS TIDAK RETI MENGAKU BERSALAH!

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata dalam isu perlantikan menantunya menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), beliau tidak boleh dipersalahkan walaupun perkara itu dikatakan" salah”.

Ini kerana menurut Menteri Besar Kelantan itu, tiada orang memaklumkan perkara itu kepadanya bahawa perkara itu salah.

Katanya, Penasihat Undang-Undang Negeri (LA) pun tidak memberitahu kepada beliau bahawa perlantikan itu salah.

Persoalannya, apakah benar Nik Aziz ‘tidak tahu’?

Jawapannya itu juga menggambarkan beliau tidak bersalah. Jadi nak salah “beliau macam mana?

Tambahnya, pelantikan menantunya dilantik dibuat dengan mempertimbangkan kelebihan jurutera muda itu, antaranya yang aktif dan mudah berkomunikasi dengan beliau.

Kadang-kadang nak gelak dengar sebab dan kenapa beliau melantik menantunya.
Oklah, kalau orang PAS semua segan dan takut dengan Nik Aziz untuk menyatakannya.

Tetapi kenapa beliau mempertahankan Mohd Ariffahmi Abdul Rahman ketika Tan Sri Annuar Musa memperkatakan mengenai isu nepotisme ini di DUN Kelantan pada 2007?

Kenapa beliau tidak bertanyakan LA atau sesiapa juga, sebaliknya buat tidak tahu?

Juga, apakah peringatan mesti daripada orang PAS semata-mata kerana mereka sahaja ‘Islam’? Peringatan daripada pemimpin UMNO seperti Annuar tidak bersifat Islam?

Dengan mengatakan beliau tidak tahu-menahu bahawa tindakannya melantik menantu sendiri menerajui PMBK melanggar peruntukan undang-undang adalah kenyataan politik untuk melepaskan diri.

Jelas Nik Aziz sebenarnya banyak ‘tidak tahu’ dan melalui perkataan tidak tahu beliau cuba melindungi dirinya daripadanya rasa bersalah.

Dengan tidak mengakui diri dan menerima melakukan sesuatu yang bersalahan bukan sifat Islamik. Ramai yang akan hilang hormat kepada Nik Aziz jika beliau terus berdalih sebegini.

Ikuti kata-kata Nik Aziz bagi menggambarkan beliau sebagai pemimpin Islam sanggup menyalahkan orang lain dan bagaikan tidak peka melakukan kesalahan:

"Waktu saya lantik menantu saya, saya tidak tahu barang tidak boleh. (Saya) lantik dalam mesyuarat penuh. Ada penasihat undang-undang negeri (LA)," kata menteri besar Kelantan...Saya sebut dalam kertas, menantu saya (dilantik). LA senyap. Saya kata, sahlah," kepada Malaysiakini.

Ditemui di pejabatnya oleh wartawan portal berita itu di Kota Bharu, Nik Abdul Aziz diminta mengulas kontroversi panjang yang melanda syarikat berkaitan kerajaan itu susulan tindakannya melantik Abdul Ariffahmi Ab Razak sebagai ketua pengarah eksekutif PMBK.

Pelantikan menantunya itu didakwa amalan nepotisme sehingga pemimpin tertinggi PAS, termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada 23 November lalu meminta Nik Aziz menasihatkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan.

Abdul Ariffahmi, yang juga exco Pemuda PAS Kelantan, akan berundur secara rasmi pada Mac tahun depan apabila merancang menyerahkan notis berbuat demikian pada 24 Disember ini.

Ketika diwawancara Khamis lalu, Nik Abdul Aziz ditanya pendiriannya sama ada pelantikan Abdul Ariffahmi merupakan satu kesalahan.

Nik Abdul Aziz berkata,

Ketika Malaysiakini ingin terus mengajukan soalan-soalan berhubung perkara itu, mursyidul am PAS yang berusia 78 tahun bagaimanapun menghentikan wawancara kira-kira 35 minit itu dengan alasan sudah keletihan.

Berikut petikan wawancara berhubung isu PMBK:

Tentang Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ini, apa yang sudah terjadi?

PMBK ini perbadanan menteri besar. Waktu kami ambil alih, tidak ada fail apa pun dalam PMBK. Menteri besar dulu (BN) buat bagaimana, (kita) tidak tahu. Jadi, waktu ambil alih dulu, kami lantik seorang perempuan berpengalaman dari Kuala Lumpur. Dia buatlah ala kadar, kemudian dia letak jawatan.

Waktu saya lantik menantu saya, saya tidak tahu barang (ini) tidak boleh. (Saya) lantik dalam mesyuarat

penuh, ada penasihat undang-undang negeri (LA). Saya sebut dalam kertas, menantu saya (dilantik). LA senyap. Saya kata, sahlah.

Tahu-tahu bising pula. Tetapi saya rasa kedudukan saya benar. Jadi benar kerana LA tidak bersungut apa (membantah). Maka itulah kedudukannya.

Dan pada saya, bukan sahaja masalah menantu sahaja. Selain (sebagai) menantu, dia ini pula ada ilmu. Dan rumah dia dekat dengan rumah saya. Dia pergi sembahyang di masjid, insya Allah dia naik ke rumah. Makan, bercakap, berunding, pergi sembahyang Subuh.


Sebab mudah hendak jumpa?

Ini dekat rumah. Kalau menantu saya duduk jauh seperti orang lain, saya pun tidak tertarik pada dia (untuk melantiknya). Dan dia ini orang muda.

Dia aktif. Jadi saya sayang pada dia kerana dia ini aktif, orang muda dan rumahnya dekat dengan rumah saya. Dia duduk bersama (saya) bertahun-tahun. Selama tiga atau empat tahun.

Sebenarnya salah atau tidak melantik dia?

Mengikut katanya salahlah. Tetapi saya pun tidak tahu. Orang pun tidak beritahu saya. LA pun tidak sebut apa. Nak salah saya macam mana? Jadi bila timbul macam ini, saya kata letak jawatanlah.


Tok Guru tidak terfikir waktu hendak lantik dulu, akibatnya boleh timbul fitnah?

Fitnah ini, tidak lantik dia pun, orang fitnah juga. Saya ini orang PAS, orang Islam. Orang Melayu sendiri benci pada saya. Cina tidak benci saya. Melayu yang benci pada saya. (Gejala) ini pelik.

Ada kemungkinan LA takut, segan hendak tegur Tok Guru sebab Tok Guru menteri besar?

Itu wallahu 'alam (hanya Allah yang mengetahui). Itu tanya dialah.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU MAAL HIJRAH 1431H



SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU
MAAL HIJRAH 1431H



JANGAN SERTAI DEMONSTRASI HARAM




Hari ini kabarnya AMK selangor akan mengadakan demontrasi di masjid negeri Shah Alam selepas solat Jumaat bagi mendesak agar perbicaraan liwat Anwar Ibrahim diadakan serentak di mahkamah syariah.

Soalnya, apakah Anwar dah mula nak berdalih lagi ?
Polis Selangor semalam sudah memberi amaran bahawa orang ramai jangan menyertai perhimpunan itu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai mana-mana demonstrasi haram yang dijangka diadakan di Petaling Jaya dan Shah Alam hujung minggu ini bagi mengelak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis telah menerima banyak maklumat mengenai terdapatnya pemimpin-pemimpin parti politik dan badan bukan kerajaan (NG0) tertentu yang bercadang mengadakan demonstrasi jalanan dan forum.

"Polis Selangor tidak akan memberikan sebarang permit ke atas penganjuran majlis tersebut. Saya menasihatkan parti-parti politik dan NGO supaya tidak meneruskan niat mereka untuk mengadakan demonstrasi dan forum berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat sama kerana polis sudah bersedia untuk mengambil tindakan tegas terhadap perhimpunan haram seperti itu.

Demonstrasi haram itu sebenarnya melanggar perjalanan kes mahkamah beliau sendiri.

Anwar cuba mereka cipta satu konsep demokrasi baru, mewujudkan satu trial public bagi memberikan damage kepada 'bakal' keputusan yang berlaku Februari 2010 !

Demokrasi rimba seperti ini sengaja dicipta untuk mengheret Polis Selangor khususnya dengan harapan agar polis mengambil tindakan terhadap hadirin yang memprotes.

Dengan ini mudahlah Anwar melabel dan memberikan persepsi kepada penyokongnya, bahawa polis dan mahkamah memang berkonspirasi dalam kes liwat beliau..

TAHNIAH - BOLA SEPAK MENANG EMAS SUKAN SEA 2009



Skuad bola sepak bawah 23 negara mencipta sejarah Sukan SEA apabila menang emas pertama selepas kali terakhir dilakukan 20 tahun lalu.

Jaringan gol sendiri pemain Vietnam selepas tolakan Norshahrul Idlan Talaha memberikan peluang untuk Malaysia memperoleh emas dalam acara akhir bola sepak lelaki Sukan SEA XXV.

Kali terakhir skuad negara menang emas ialah di Temasya Kuala Lumpur 1989.

Thursday, December 17, 2009

MP PONTENG HAMPIR GAGALKAN BAJET 2010?

Bajet 2010 lulus dengan kelebihan 3 undi.

Sekali baca macam bajet itu teruk sangat. Ia seolah-olah Ahli Parlimen BN sendiri turut menolak bajet berkenaan.

Sebenarnya bajet tidak teruk tetapi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang teruk.

BN mempunyai 137 wakil rakyat di Dewan Rakyat manakala pembangkang 82 dan Bebas (tiga).

Lebih memburukkan ada pemimpin BN yang lebih teruk, Tuding jari kepada pembangkang.

Jangan cepat tuding orang, empat jari menunjuk ke muka sendiri.

Jangan melihat dan mengkritik pembangkang kerana cuba menggagalkan Bajet 2010 daripada diluluskan Parlimen malam kelmarin. Itu kerja mereka, mahu memalukan BN.

Kalau tahu lebih awal Barisan Nasional (BN) akan disabotaj, seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, kenapa persediaan tidak dibuat?

Benar Nazri ada memberitahu Ahli Parlimen BN sentiasa berada di Dewan Rakyat ketika persidangan berikutan pembangkang akan menggunakan proses undian belah bahagian untuk menggagalkan Bajet 2010. Soalannya kenapa mereka tidak patuh?

Bacaan kali ketiga Bajet 2010 kelmarin diluluskan dengan majoriti tiga undi iaitu 66 menyokong daripada BN dan 63 menolak daripada pembangkang.

Lebih mengejut dan memalukan ialah pengunian yang dijalankan pada jam 11.15 malam itu memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terpaksa bergegas ke Parlimen selepas menghadiri majlis makan malam sempena ulang tahun ke-90 Sekolah Menengah Chong Hwa.

Nasib baik Perdana Menteri di Kuala Lumpur. Kalau tidak? Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassinjuga hadir di Parlimen dari majlis di ibu kota malam kelmarin.
Sebelum itu, undian belah bahagian diusulkan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) untuk bacaan kali ketiga Bajet 2010 kerana kehadiran kedua-dua pihak tidak ramai.

Sebelum itu, undian belah bahagian turut dilakukan selepas perbahasan peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan BN menang dengan kelebihan satu undi.

Jadi apabila Setiausaha Agung UMNO yang pernah menjadi Menteri - Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor z - marah dan menganggap pembangkang mengamalkan politik samseng menggunakan Bajet 2010 bagi menggulingkan kerajaan, ia adalah kenyataan tidak berdasarkan realiti politik semasa,

Juga nampak sangat Ahli Parlimen BN masih tidak mengendahkan pentingnya undi di Dewan Rakyat, khususnya perkara membabitkan Bajet.

Bukan sekadar longgar tetapi memalukan apabila kita menuding orang tetapi tidak melihat diri sendiri. Cerminlah apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen BN sendiri.

BN sebenarnya sudah menerima malu besar apabila perbahasan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) hampir ditolak.

Selepas diundi peruntukan itu disokong dengan kelebihan satu undi sahaja. Pada undian – sebanyak 63 menyokong dan 62 menolak.’

Bukankah ini menggambarkan betapa ramai Ahli Parlimen tidak peka?

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak wajar mengambil mudah perkara ini.

Ternyata kejadian ini pengajaran berguna untuk BN. Kini Najib semakin kenal siapa Ahli Parlimen yang wajar di berikan peluang semula atau digugurkan.

Bagaimana kalau peruntukan itu ditolak dan BN kalah pada pengundian gara-gara ketidakhadiran Ahli Parlimen BN?

Wajarkah ‘ponteng’dibiarkan berterusan? Kalau kalah kerana peruntukan lemah tidak apa tetapi kalau gara-gara Ahli Parlimen BN ponteng, ia menggambarkan betapa Perdana Menteri tidak boleh mengawal penyokong dan Ahli Parlimen BN sendiri.

Memalu dan mengaibkan kalau malam semalam undi BN kurang daripada pembangkang dan kalah di Parlimen gara-gara kurang penyertaan Ahli Parlimen BN.

Ke mana mereka pergi? Nazri perlu siasat dan ambil tindakan!

Apakah kejadian itu berlaku kerana BNBBC kini sudah terumbang-ambing dengan ketuanya kini sibuk dengan masalah sendiri?

Jika demikian, bertindaklah segera agar BN tidak dimalukan oleh sikap Ahli Parlimen yang mewakilinya bagaikan sudah tidak berminat.

Yang tidak berminat itu, tidak payah bertanding lagilah pada pilihan raya akan datang. Menyusahkan parti dan Perdana Menteri!

NIK AZIZ HANYA BERKIAS?

Pada ketika Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata barisan Exco Kerajaan Negeri sekarang akan dikekalkan dan tidak akan berlaku sebarang rombakan dalam tempoh terdekat ini, pada satu temubual dengan Malaysiakini, beliau sudah ada pengganti.

Siapa orangnya?

Sebelum ini Datuk Husam Musa mengatakan beliau tidak berminat mahu menjadi Menteri Besar. Soal pokok ialah siapa mahu melantik beliau?

Juga siapa yang mencadangkan namanya?

Kalaupun PAS Kelantan memilih beliau, apakah istana menerima Husam dan akan ditabalkan sebagai Menteri Besar yang baru?

Cara Husa menolak seolah-olah beliau tahu beliau tidak akan terpilih. Sekali lagi - siapa yang mahu melantik beliau sebenarnya?

Atau apakah sikap Husam menunjukkan beliau berada dalam keadaan ‘hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong”. Nak test market?

Tidak payahlah, pemimpin PAS Kelantan sudah tahu siapa dan perangai Husam.
Pada ketika Husam terkapai-kapai, Nik Aziz berkata khabar angin kononnya akan berlaku rombakan adalah tidak benar.

"Saya beri jaminan tidak akan berlaku rombakan exco," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Bharu semalam.

Menurut Malaysiakini pula, berdasarkan hirarki parti dan pentadbiran kerajaan Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dianggap pelapis nombor satu kepemimpinannya, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Ahmad-lah. (Beliau) itu pelapis nombor satu. Orang boleh terima atau tidak (kepemimpinan) dia, wallahu a'lam. Tetapi saya sekarang ini letak dia sebagai timbalan nombor satu," kata menteri besar Kelantan berkenaan.

Lebih jauh, Nik Aziz berkata:"Dan tugas saya sekarang ini, saya serah pada dia. Tugas pentadbiran negeri banyak saya serah padanya."

Nik Abdul Aziz mengulas isu penggantinya setelah muncul pelbagai spekulasi berhubung perkara itu susulan cadangan exco kerajaan negeri Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah supaya “pelan peralihan kuasa” diumumkan.

Selain Ahmad, Nik Mohd Amar sendiri turut disebut-sebut mengisi jawatan itu apabila beliau dibawa bertanding di peringkat DUN dalam pilihan raya umum 2004.

Ketiga-tiga Husam, Nik Mohd Amar dan Ahmad timbalan pesuruhjaya PAS negeri.

Berdasarkan hirarki tersebut, Nik Aziz berkata beliau tidak memerlukan satu pelan peralihan kuasa yang khusus kerana penggantinya akan dipilih secara automatik berdasarkan kekananan jawatan.

Ada pendapat mengatakan Nik Aziz tidak punya banyak pilihan kerana Ahmad diterima oleh istana, sementara Husam seperti Tan Sri Annuar Musa – sedikit renggang.

Malah, Husam juga dikatakan kini sukar mengambil hati istana kerana beberapa masalah yang beliau dan istana sahaja tahu penyebabnya.

Apapun, Cakap Nik Aziz ini cakap politik, bukan cakap agama.

Cakap politik boleh berubah. Nik Aziz memuji Husam melangit tetapi siapa tahu dalam hatinya?
Apakah Nik Aziz sanggup membelakangkan kehendak PAS negeri, selain Husam sudah membuat onar dengan ahli keluarga Menteri Besar itu.

Apapun, Ahmad semalam dengan tegas menyatakan bahawa beliau belum bersedia untuk menggantikan kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah menurutnya, sekiranya benar-benar dipilih menggantikan Nik Abdul Aziz, ia sebagai satu tanggungjawab besar yang sukar digambarkan.

"Bukan soal terima atau tidak, ini adalah soal tanggungjawab yang cukup besar... ia bukan perkara main-main. Saya sendiri rasa begitu kerdil dan tak berkemampuan untuk lakukan seperti yang telah dilakukan oleh Tok Guru (Nik Abdul Aziz) selama ini bagi membangunkan Kelantan," katanya dihubungi mStar Online .

Ahmad sendiri menunjukkan beliau tidak begitu yakin dengan Nik Aziz apabila menyifatkan kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang menamakan dirinya sebagai pengganti kepimpinan di Kelantan hanya sebagai kiasan.

"Benarkah Tok Guru cakap macam tu? Tapi bagi saya itu hanya kiasan Tok Guru sahaja. Tok Guru cakap macam itu berdasarkan kedudukan saya sekarang sebagai orang nombor dua, saya timbalannya sekarang.

"Tak berbangkitlah isu-isu macam ini, kita masih memerlukan Tok Guru menerajui Kelantan," katanya.

Wednesday, December 16, 2009

PELAJARILAH BAHASA MANDARIN DEMI MASA DEPAN...

Alhamdulilah, akhirnya ada Perdana Menteri yang menganggap bahasa Mandarin penting.
Gesaan Najib supaya kaum Melayu perlu mempelajari bahasa Mandarin mungkin kali pertama terkeluar daripadamulut seorang Perdana Menteri, walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini sering menggalakkan rakyat mempelajari pelbagai bahasa.

Saya pernah menyuarakan pentingnya bahasa Mandarin dan sistem pengajaran Matematik dan Sains di sekolah Cina kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi pada satu pertemuan peribadi di Jalan Bellamy, kira-kira lima tahun lalu. Namun, selepas itu saya tidak nampak ada apa-apada dasar yang cuba diketengahkan.

Mungkin Abdullah merasakan ia tidak penting seperti apa yang Najib rasakan sekarang.
Bagi saya pula, apabila China muncul sebagai salah satu kuasa besar dalam ekonomi dunia pada awal kurun ke 21, saya dan isteri turut mengambil langkah persediaan dengan menghantar tiga anak saya ke sekolah rendah kebangsaan Cina.

Sebenarnya kesedaran ini datang lebih daripada isteri saya kerana beliau sanggup berhenti kerja kerana mahu tumpukan perhatian kepada tiga anak yang belajar di sekolah Cina.

Falsafah saya dan isteri saya mudah sahaja. Bapa saya seorang penanam padi dan penoreh getah yang tidak tahu membaca dan menulis menghantar saya memasuki remove class di Sekolah Menengah Tengku Mahmud Besut pada 1967.

Kenapa beliau berbuat demikian walaupun tidak pernah bersekolah? Kerana beliau sedar bahasa Inggeris penting.

Alhamdullilah, berkat usaha dan keinginan diri saya, saya berjaya juga akhirnya, kalaupun tidaklah secemerlang sesetengah kawan saya.

Jadi, apabila anak kami yang pertama memasuki sekolah Cina pada 2001, kami berdua penuh yakin mereka akan berjaya.

Najib berkata, anak bongsunya Norashman Razak yang ketika ini sedang belajar di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat, juga mengambil kursus bahasa Mandarin.

Anaknya itu nanti hanya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dalam masa empat tahun lagi. Namun, di rumah saya pula anak-anak kami kini berkomunikasi antara mereka kebanyakannya dalam bahasa Mandarin.

Bukan itu sahaja, anak-anak saya berkawan dengan rakannya yang kaum India dari sekolah yang sama turut berturut dalam bahasa Mandarin.

Saya bersetuju dengan Najib bahawa bahasa Cina patut dipelajari kerana kini menjadi bahasa yang cukup penting. Saya bersetuju dengan Najib mungkin sudah lewat bagi kita untuk mempelajari bahasa Mandarin, tetapi sangat berharap untuk melihat lebih ramai kaum Melayu mempelajari bahasa ini di masa hadapan. .

Saya mengalu-alukan langkah kerajaan menjamin kedudukan sekolah persendirian Cina di bawah undang-undang negara.

Ini membuktikan kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersifat liberal dan inklusif.

Menurut Perdana Menteri, beliau sendiri ketika menjadi Menteri Pendidikan dahulu telah memasukkan perenggan yang menjamin kewujudan sekolah persendirian Cina sewaktu penggubalan Akta Pendidikan 1996.

Kerana itu, kesemua sekolah menengah persendirian Cina yang berjumlah 60 buah hari ini tidak perlu bimbang atau khuatir kerana kewujudannya terjamin oleh kerajaan melalui Akta Pendidikan 1996.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan UMNO dan BN atau Perikatan dahulu sentiasa bersikap liberal dan inklusif dalam pertimbangan dasar-dasar yang perlu diterapkan," katanya.
Hakikatnyam hasil sikap liberal dan inklusif kerajaan maka Malaysia mengeluarkan paling ramai rakyat berpendidikan Cina selain negara China.

Malah katanya, walaupun terdapat orang Cina di negara lain sama ada minoriti kecil atau besar tetapi tidak bebas mengamalkan cara hidup mereka kerana dasar asimilasi yang diamalkan.

Di Malaysia pula, sejak merdeka, kita mempunyai persefahaman antara pemimpin pelbagai kaum yang berasaskan bukan kepada dasar asimilasi tetapi integrasi, saling hormat antara satu sama lain dan membenarkan rakyat berbilang kaum mengamalkan cara hidup, budaya dan agama masing-masing.