Monday, September 28, 2009

NIK AZIZ, IBRAHIM ALI SAMA-SAMA ‘HARAM’

Seronok juga melihat dan membaca pertikaman lidah antara Nik Aziz dan Ibrahim Ali. Hmm
…perbalahan antara ulama dengan ‘orang jahil’.

Kini sudah mula keluar perkataan-perkataan yang mampu mengaibkan antara satu sama lain.

Namun hukum atau fatwa yang disebutkan oleh kedua-dua mereka langsung tidak boleh dipakai – sama sahaja. Antara fatwa orang jahil dengan ulama tidak apa bezanya. Sama-sama mendesak masing-masing meletakkan jawatan.

Pada ketika PAS mahu menjamin kemenangannya di Pasir Mas untuk tiga DUN, Ibrahim ditatang bagai minyak yang penuh.

PAS mahu menjamin Tendong, Pengkalan Pasir dan Chetok jadi miliknya. Bagi PAS kerusi Parlimen Pasir Mas tidak penting.

PAS tidak mahu ganggu Ibrahim dan PAS juga tidak mahu Ibrahim ganggu PAS. Akhirnya Barisan Nasional (UMNO) lingkup di Parlimen dan DUN (Pada 2004, UMNO menang dua DUN iaitu Pengkalan Pasir (melalui pilihan raya kecil) dan Tendong). Parlimen Pasir Mas memang dikuasai oleh PAS.

Bagi Ibrahim, beliau mahu membuat ‘comeback’ dan membuktikan kepada UMNO Kelantan yang dia memang berpengaruh.

Ibrahim menggunakan peluang ‘rakyat marahkan Pak Lah’ dan kerana Tun Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan beliau terpelanting dari UMNO, peluang Ibrahim ‘palu UMNO’ pada kempen pilihan raya umum 2008 begitu meyakinkan pengundi.

Ada tuduhan mengatakan Ibrahim menyerahkan sebahagian wang kepada pemimpin PAS untuk ‘membeli’ kerusi Parlimen berkenaan. Ibrahim manafikannya banyak kali.

Hari ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi gesaan agar Ahli Parlimen Pasir Ma situ melepaskan jawatan ekoran tindak-tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu.

Nik Abdul Aziz berkata, langkah itu perlu jika mahu amal solehnya diterima Tuhan kerana rezeki yang diperoleh melalui hasil jawatan tersebut adalah ‘tidak betul.’

Berat sungguh apa yang dikatakan oleh Nik Aziz terhadap Ibrahim. Ia bermakna rezeki yang Ibrahim dapat adalah haram sementara amal soleh Ibrahim belum tentu diterima Allah kerana hasil daripada jawatan yang disandangnya ‘salah’.

Lebih memburukkan keadaan, kata Nik Aziz, rakyat Pasir Mas tidak lagi merestui Ibrahim sebagai wakil rakyat mereka yang diberi kemenangan selepas bertanding sebagai calon bebas atas tiket PAS dalam pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu katanya, langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh Ibrahim adalah dengan melepaskan jawatan itu dan memberi laluan pilihan raya kecil di kawasan itu.

“Kalau orang Pasir Mas kata dia kena berundur, berundurlah. Duit yang dia makan tu tak betul, dia sembahyang Tuhan tak terima, dia buat apa pun Tuhan tidak terima.

Kalau ikut Nik Aziz, Ibrahim kini makan duit haram, sembahyang tidak sah dan apa sahaja yang Ibrahim buat tidak akan terima. Maknanya, sebagai orang Islam, Ibrahim bukan lagi seorang yang amal ibadahnya diterima Allah.

Berat ni….Ibrahim perlu insaf dan kerana itu Nik Aziz nasihatkan beliau agar “letak jawatan lagi senang. Perut kenyang pun tapi kalau masyarakat perlekeh buat apa? Dulu orang PAS yang undi dia, orang UMNO ada sedikit sahaja,” kata Nik Aziz di rumahnya semalam.

Kenyataan terbaru Nik Aziz itu adalah susulan desakan pemimpin Pas Kelantan sebelum ini yang mahukan Ibrahim melepaskan jawatan kerana beliau dilihat sudah berpaling tadah.

Jika Nik Aziz pertikaikan Ibrahim, Ahli Parlimen Pasir Mas itu, selain pertikaikan Menteri Besar Kelantan itu mengulangi desakan supaya beliau mengosongkan kerusi Parlimen turut mendesak Nik Abdul Aziz supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka.

Bagi Ibrahim, Nik Aziz gagal melaksanakan tugas walaupun telah diberi mandat oleh rakyat hampir 20 tahun menerajui negeri ini.

Mursyidul Am Pas itu, bagi Ibrahim tidak berhak untuk mendesaknya melepaskan jawatan. Ini kerana kemenangannya pada pilihan raya umum lalu diberikan oleh penduduk Pasir Mas dan parti hanya menjadi landasan untuk berbakti.

Tanya Ibrahim: “Kenapa saya perlu meletak jawatan, dia yang sepatutnya meletakkan jawatan, apa yang dia buat sejak memerintah Kelantan pada 1990? Tidak ada perubahan langsung.

“Nik Abdul Aziz gagal untuk mentadbir dan ia jelas terbukti, jadi dia yang harus meletakkan jawatan kerana sudah lama memerintah tetapi tidak ada apa yang dibuat untuk rakyat di negeri ini.

“Saya tidak makan duit haram, semua elaun saya sebagai Ahli Parlimen saya kembalikan kepada rakyat bagi memastikan mereka tidak hidup dalam keadaan susah kerana kerajaan negeri tidak membantu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Pasir Mas semalam.

Dua perkara di sini disebutkan oleh Ibrahim. Pertama Nik Aziz gagal tadbir Kelantan dengan baik dan keduanya tidak apa yang dibuat oleh Menteri Besar berkenaan.

Berasaskan apa yang disebutkan oleh Ibrahim, betullah slogan Tengku Razaleigh Hamzah sewaktu menghadapi pilihan raya 1999 bahawa PAS ‘makan gaji buto (buta)”.

Kalau demikian jadinya, apakah tidak haram ambil gaji tetapi tidak menyumbangkan kepada rakyat dan negeri?

Keduanya, kalau sudah tahu diri tidak mampu menjadi pentadbir yang baik, kenapa Nik Aziz terus duduk di kerusi Menteri Besar? Tidakkah mengambil gaji dan upah tanpa menyumbang itu namanya ‘haram’?

Jadi apa bezanya Nik Aziz dan Ibrahim? Kedua-duanya sama ‘haram’.

Kalau Nik Aziz suruh Ibrahim letak jawatan, Nik Aziz pun kenalah juga letak jawatan.

Atau bagaimana kalau saya cadangkan kedua-dua letak jawatan dan adakah pilihan raya baru di DUN Cempaka dan Parlimen Pasir Mas?

Bersediakah kedua-duanya melakukannya?

Kenapa Ibrahim tidak nyatakan beliau sedia letak jawatan kalau Nik Aziz sedia letak jawatan di Cempaka?

PAKATAN PEMBANGKANG - SEKARANG RASAKAN

Menjadi pembangkang memang mudah. Boleh bantah, kumpul penduduk caci kerajaan dan sebagainya. Bila jadi pemerintah baru rasa.

Belum bentuk kerajaan boleh janji itu dan kini. Kini janji sedang dituntut. Bagaimana?

Kalau dulu sanggup bertegang leher tetapi kini bagi tikus dalam beras. Bukan sekadar menyorok tetapi lari lintang pukang ‘menyelamatkan diri’.

Itulah kes Taman Saujana Puchong. Menurut laporan Malaysiakini semalam, selama lima tahun, penduduk Taman Saujana Puchong telah berkempen membantah rancangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk menjadi sebahagian daripada hutan simpan Ayer Hitam sebagai kawasan tanah perkuburan.

Ketika itu, penduduk terbabit mendapat sokongan daripada parti pembangkang DAP, PKR dan PAS.

Sekarang bagaimana?

Kini ketiga-tiga parti berkenaan merupakan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri Selangor sejak setahun setengah yang lalu.

Sewaktu sesi dialog dengan pegawai kerajaan negeri pada 22 Jun lalu, penduduk dijanjikan oleh pengerusi jawatankuasa setinggan, pengurusan bangunan dan perumahan, Iskandar Abdul Samad bahawa penyelesaiannya akan dicapai dalam tempoh tiga bulan.

Dan kini, tempoh tiga bulan itu yang berakhir pada 22 September telah berlalu tanpa sebarang maklumat dari pihak berkuasa.
Sehubungan itu, jawatankuasa sementara membantah projek tanah berkuburan itu, menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mendapatkan penjelasan mengenainya.

"Mereka bersama kami sebelum menjadi kerajaan. Kami berharap mereka cepat membuat keputusan mengenai perkara itu. Kami mahu tinggal di sini dalam keadaan aman dan tidak perlu bimbang mengenai tanah perkuburan tersebut," kata jurucakapnya Lau Seng You.

Cadangan untuk membina tanah perkuburan awam seluas 55 hektar di situ, termasuk tempat membakar mayat - yang dianggap terbesar di negara ini - akan membabitkan sebahagian besar kawasan hutan simpan yang kini dimiliki Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan kini digunakan untuk tujuan penyelidikan.

Menurut penduduk, hutan simpan seluas 3,000 hektar itu adalah antara segelintir kawasan hijau yang masih tinggal di negara ini. Ia juga menjadi tempatan tinggal masyarakat Orang Asli.

Kira-kira 1,500 penduduk di situ bimbang mengenai kejatuhan nilai hartanah serta pencemaran alam sekitar ekoran cadangan pembinaan tempat pembakaran di situ.

Wakil jawatankuasa sementara penduduk itu telah memfailkan semakan kehakiman pada 2006 tetapi kes berkenaan telah beberapa kali ditangguhkan.

Hari ini penduduk telah membawa pihak media ke pinggir kawasan hutan simpan tersebut untuk bergambar bersama kain rentang yang dibuat pada 2007, dengan kandungannya disarankan oleh Iskandar, yang juga seorang ahli politik PAS.

Lau berkata, walaupun perkara itu telah dibawa ke mahkamah dan tarikh untuk mendengarnya belum ditetapkan, tetapi pihaknya berharap ianya dapat diselesaikan di luar mahkamah.

Jelas isu ini akan sekali lagi menguji kepimpinan Khalid yang selama ini menganggap membentuk kerajaan dan memerintah sebagai perkara mudah.

Sekarang rasakan sendiri. Janji sudah dibuat sebelum pilihan raya. Selesaikanlah.

Kepada Khalid – sendiri mahu ingatlah!

Sunday, September 27, 2009

ISU SELCAT – PAS DI PERSIMPANGAN?

(Sembang Ahad)

"Kita perlu mengambil pengajaran daripada tindakan Khir Toyo yang membawa penyapu dan menghadiahkan kepada pegawai kanan kerajaan (pada November 2007, lima bulan sebelum pilihan raya umum)... membawa kepada kerajaan negeri dijatuhkan, dibenci kakitangan kerajaan negeri,"

Demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi semalam. Ia sebagai peringatan dan iktibar bagaimana kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim agar jangan mengulangi kesilapan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan dua tahun lalu. Ketika itu Dr. Khir merupakan Menteri Besar Selangor.

Kejadian itu berlaku pada 12 November 2007, pada ketika kerajaan negeri pimpinan Dr. Khir menyampaikan hadiah penyapu kepada Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan ketua jabatan yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang.

Penerima pertama penyapu itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor.

Nasruddin memberikan amaran kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang bahawa kerajaan negeri "boleh tumbang seandainya kakitangan awam terus diaibkan dan mereka mula membenci pemerintah".

Kenyataan itu dirujuk kepada tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat) yang kini menjadi isu membabitkan PAS selepas isu arak yang turut menggoncang kerajaan pakatan berkenaan.

Siasatan Selcat secara terbuka mendapat bantahan banyak pihak yang mencadangkan supaya ia dilakukan secara tertutup demi menjaga imej pegawai kerajaan.

Dan individu utama yang dirujuk dan diperkatakan ialah Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang membuat kritikan terbuka terhadap Selcat.

Cadangan Dr Hasan itu turut disokong Suhakam yang meminta supaya jawatankuasa itu mematuhi prosedur dan bertindak adil serta memahami bahawa peranannya tidak sama seperti mahkamah biasa. Namun cadangan Dr Hasan itu mencetuskan pertelingkahan antaranya dengan pemimpin pakatan pembangkang Selangor yang tidak berpuas hati dengan tindakannya yang dikatakan sering dilihat bertentangan dengan dasar kerajaan negeri.

Selcat dilihat ditubuhkan kerajaan Selangor untuk menutup segala kelemahan dan kepincangan Pakatan Rakyat yang kurang dua tahun memerintah negeri itu tetapi sudah menerima pelbagai aduan termasuk salah guna kuasa.

Dr Hasan yang menegaskan pendapatnya dilihat melahirkan sokongan kepada pihak yang mengkritik Selcat termasuk pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN).
Keadaan ini dilihat sebagai membuka ruang untuk kritikan terhadap kepimpinan kerajaan pakatan pembangkang, khususnya Menteri Besar Selangor.

Berikutan itu pemimpin pakatan pembangkang termasuk pemimpin PAS sendiri merasakan Dr Hasan tidak wajar menyatakan pandangan sedemikian kerana Selcat adalah inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat selepas memenangi pilihan raya umum 2008.

Banyak pihak menggesa agar Pesuruhjaya PAS Selangor itu keluar pakatan pembangkang negeri itu dan dikenakan tindakan disiplin ekoran pendirian beliau mempertikaikan secara terbuka perjalanan Selcat.

Di pihak PAS, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berpendapat, Dr Hasan harus berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan PAS seolah-olah hanya mengambil berat mengenai isu mengharamkan alkohol dan judi.

Mohamad Khir Toyo menyerahkan penyapu kepada wakil Majlis Daerah Hulu Selangor pada majlis anugerah Bulan Kualiti 2007 di Shah Alam.

Malah, PAS Selangor sendiri dikatakan mahu mengenakan tindakan disiplin terhadap Dr Hassan walaupun Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata pertemuan antara Hasan dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini, tidak menyentuh soal tindakan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Apapun, terpulang kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengambil tindakan berikutan kritikan terbuka Dr Hasan itu, termasuk membuat rombakan terhadap Selcat.

Menurut laporan media, Badan Perhubungan PAS Selangor yang disertai 62 anggotanya, akan mengadakan mesyuarat tergemparnya hari ini bagi menentukan hala tuju parti itu di negeri berkenaan. Mesyuarat yang diramal ‘panas’ kerana anggotanya dijangka membidas Pesuruhjaya PAS negeri itu, selain Setiausaha PAS negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Perkembangan itu berlaku ketika PAS, selepas setahun setengah menjadi sebahagian Kerajaan Selangor, kini berada di persimpangan menentukan kedudukan dan peranannya di negeri itu.

Di satu pihak, ada mengutarakan PAS negeri itu melaksanakan pendirian Islam yang tidak bertolak ansur manakala di pihak lain memilih pendekatan sederhana dalam kerjasama dengan rakan dalam pakatan pembangkang.

Banyak pihak dalam PAS beranggapan, walaupun Datuk Hasan memberikan pandangan yang berbeza, beliau jangan sampai dipancung atau ditendang dari PAS.

Mereka berpendapat perbezaan pandangan seperti itu akan mewujudkan satu kaedah pemantauan pengurusan dan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri. Seharusnya “kita dengar dulu penjelasan daripada Datuk Hasan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman," kata Roslan.

"Apa yang ditegur oleh Datuk Hasan ada kewajarannya," kata beliau.

Amat jelas bahawa pakatan pembangkang kini berada di persimpangan dengan adanya pandangan berbeza daripada PAS.

Dalam konteks Selcat ini, Umno Selangor menyokong cadangan Pesuruhjaya Pas negeri itu, yang mahu supaya proses pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor, dilakukan secara tertutup demi menjaga imej dan maruah pegawai kerajaan.

Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar, tindakan Selcat yang membuat pendengaran awam secara terbuka dianggap amat tidak adil kerana peranannya tidak sama seperti mahkamah yang mempunyai pendakwa dan hakim yang boleh menjatuhkan hukuman kepada tertuduh jika didapati bersalah. Beliau turut mempertikaikan tugas Selcat yang didakwanya cuba untuk mengambil alih peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) demi kepentingan politik kerajaan pakatan pembangkang.

“Selcat bukannya mahkamah yang mempunyai cukup kuasa...penyiasatan yang dibuka kepada awam hanya akan memalukan pegawai sedangkan mereka belum terbukti bersalah. Tidak adil Selcat panggil pegawai kerajaan atau pihak yang berkenaan kemudian SPRM nak siasat lagi...macam kerja dua kali, seolah Selcat nak ambil tugas SPRM yang sepatutnya buat penjelasan kalau ada penyelewengan kuasa dan juga rasuah. Jika mahu buat penyiasatan biarlah secara senyap dan mungkin bila sudah cukup bukti baru dibuat secara terbuka,” katanya semalam.

Persoalan ialah kenapakah dengan kedudukan berapa keputusan kepimpinan pakatan pembangkang yang terang-terangan bertentangan dengan prinsip PAS, pemimpin PAS tetap bertahan kerajaan Selangor?

Sanggupkah PAS terus-terusan dilihat hanya penumpang yang kedudukannya seperti melukut di tepi gantang?

Apakah PAS tidak bimbang ia akan kehilangan sokongan selepas kerajaan Selangor kini lebih dilihat mementingkan perkara-perkara yang bertentangan dengan prinsip perjuangan PAS?

Friday, September 25, 2009

PENDET - KRITIK BIAR BERLAPIT, KREATIF BIAR BERTEMPAT…

Apa nak dihairankan dengan sesetengah media Indonesia?

Itu satu. Keduanya, siapa dan pihak mana yang sedang mengapi-apikan supaya kedua-dua negara bermusuh?

Siapa tangan ghaib itu?

Nampaknya sesetengah media Indonesia mahu terus menghangatkan isu ini. Jelas mereka bukan mahu cari penyelesaian. Mereka terus ingin ‘bermusuhan’ dan enggan terima apa juga penjelasan Malaysia mengenai isu tarian Pendet.

Hubungan Malaysia-Indonesia renggang berikutan tuduhan Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali dilemparkan media massa Indonesia terhadap Malaysia.


Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, berkata semalam beliau pelik dengan sikap media Indonesia kerana tetap enggan terima penjelasan mengenai isu tarian Pendet berkenaan.

Ada dua perkara mengenai isu ini. Pertamanya ialah kerajaan Indonesia sudah menerima baik penjelasan diberikan Malaysia.

Menurut Anifah, selepas perbincangan hati ke hati dengan Presiden Indonesia, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan rakan sejawatnya, Hassan Wirajuda di Jakarta, baru-baru ini, isu berkenaan sudah dapat diselesaikan.

Tetapi lain pula sikap sesetengah media Indonesia yang terus mempersoalkan isu berkenaan, khususnya di akhbar-akhbar.

Isu ini nampaknya berlanjutan walaupun penjelasan sudah dibuat oleh Discovery Channel mengenai kontroversi tarian Pendet ini kepada Kerajaan Indonesia.

Kerajaan Indonesia juga turut menerima penjelasan bahawa kesilapan berpunca daripada pihak Discovery Channel.

Apapun, seperti dilaporkan oleh Berita Harian baru-baru ini, isu tarian Pendet yang mencetuskan kontroversi terbaru antara Malaysia dan Indonesia tidak mungkin berlaku jika pihak bertanggungjawab yang menyiarkan iklan selama 30 saat itu menjelaskan keadaan sebenar dan menuntut maaf serta-merta.

Sebenarnya kerana kegagalan membuat penjelasan segera menyebabkan kemarahan rakyat Indonesia dan digembar-gemburkan oleh pihak media di sini.

Menurut laporan Berita Harian berkenaan:“Discovery Networks Asia-Pasifik yang bertanggungjawab mengendalikan saluran televisyen Discovery Channel sudah memohon ‘maaf sebesar-besarnya’ bagi pihak syarikatnya kepada Menteri Kebudayaan dan Pariwisata, Jero Wacik atas apa yang disifatkannya sebagai ‘kekeliruan kreatif’.

Dalam suratnya kepada Jero Wacik bertarikh 28 Ogos lalu, Naib Presiden Kanan dan Pengurus Besar (Asia Tenggara) syarikat itu, Kevin Dickie, menjelaskan mengenai penggunaan unsur budaya Indonesia dalam klip promosi Enigmatic Malaysia.

Antara petikan isi kandungan surat itu: “Dengan ini kami sampaikan bahawa Discovery Network Asia-Pacific mengetahui wujudnya penggunaan gambar penari Bali dalam klip promosi selama 30 saat untuk program Enigmatic Malaysia. Klip promosi itu menampilkan grafik yang mewakili pelbagai episod dalam siri berkenaan.

“Namun, gambar penari Bali yang dimaksudkan berasal dari pihak ketiga. Untuk pengetahuan, promosi itu bukanlah sebahagian daripada kandungan yang dimaksudkan.

“Kami memohon maaf apabila klip promosi itu menyinggung pemerintah dan rakyat Indonesia, serta penonton (televisyen) kami. Dengan ini, kami ingin menyatakan bahawa klip itu sudah kami hentikan penayangannya di semua rangkaian kami.

“Izinkan kami untuk menjelaskan bahawa kesalahan ini cuma kekeliruan kreatif, sementara semua fakta dan maklumat yang terkandung dalam program berkaitan adalah benar semata-mata.”

Ada pihak yang mula memperkatakan seperti ada usaha pihak tertentu yang sengaja memprovokasi kemarahan rakyat Indonesia.

Jika tidak kerana ada pihak tertentu yang merancang dan merencanakan provokasi sedemikian, tidak akan ada gerakan kumpulan ‘buluh runcing’ atau ‘sapu Malaysia’..

Bagi saya Anifah boleh menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana sudah ke Jakarta membincangkan perkara ini. Namun beliau tidak perlu merasa pelik dengan sikap media Indonesia kerana enggan terima penjelasan dan terus mengulangi isu berkenaan di surat khabar kerana selagi ada tangan ghaib, selagi itulah, media Indonesia sukar untuk diperbetulkan.

Malam semalam, isu tuduhan kononnya Malaysia mengambil tarian Pendet dan Pulau Jemur Indonesia untuk tujuan promosi pelancongan, yang terbukti tidak berasas dan sama sekali tidak tepat itu sudah dianggap selesai dengan penjelasan bukan saja oleh kerajaan Malaysia tetapi juga oleh pemerintah Indonesia sendiri.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Indonesia Raja Reza Raja Zaib Shah berkata dengan itu, hampir 6,000 pelajar Malaysia di 13 kampus terakreditasi di seluruh negara 17,000 buah pulau ini tidak lagi perlu khuatir atau terbawa-bawa dengan sentimen antiMalaysia sekalipun terus dipancing oleh media massa Indonesia.

"Bagi kita dan untuk semua pelajar di sini, kedua-dua isu ini sudah kita tutup buku sepenuhnya dan tidak perlu dilayani lagi.

"Ini kerana tuduhan-tuduhan itu tidak benar lantaran Malaysia tidak pernah mendakwa tarian Pendet yang berasal dari Bali milik kita," katanya pada sambutan Aidilfitri dengan lebih 200 pelajar perubatan Universiti Padjajaran di Bandung malam tadi.

Yang pasti pemerintah Indonesia sudah memahami kita, cuma media Indonesia yang buat-buat tidak faham.

Kita sudah berusaha sedaya upaya tetapi kalau media Indonesia merasakan ia tidak mencukupi, kita tidak boleh buerbuat apa-apa.

Seperti kata Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar bahawa pelajar Malaysia setakat ini telah menunjukkan tahap kematangan yang tinggi apabila mereka tidak memberi reaksi keras terhadap laporan negatif media massa Indonesia, sebaliknya menerimanya dengan tenang sambil memberi penjelasan kepada rakanrakan sekuliah.

"Majoriti rakyat Indonesia yang rasional memandang tinggi ketenangan rakyat Malaysia dalam menghadapi tuduhan-tuduhan itu yang akhirnya ternyata tidak benar. Namun, seperti yang dijelaskan oleh Anifah, semua pihak pun hairan apa tujuan media massa tempatan tidak mahu menerima penjelasan dan fakta yang tepat," katanya.

Yang penting kita dan Indonesia sudah memahami bahawa soal tarian Pendet sengaja diperbesar-besarkan dan biarlah Jakarta mengawal media negara itu yang nampaknya enggan menerima penjelasan kita.

Tuesday, September 22, 2009

MAKLUMAT PALSU PKFZ - NAJIB PERLU BERTINDAK TEGAS

Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mulanya membabitkan individu tertentu dalam MCA dan pengurusan syarikat yang menguruskannya.

Namun kini, skandal PKFZ menjadi senjata untuk menyerang kerajaan dan Kabinet Barisan Nasional (BN).

Membaca entri oleh sebuah blog yang banyak mengasaskan penulisannya kepada Malaysia Today akan mencemarkan nama baik Perdana Menteri dan beberapa menteri Kabinet yang dikaitkan dengan skandal itu.

Kenyataan bahawa : “Sekarang rakyat sudah tahu rupa-rupanya Najib, Perdana Menteri dan semua menteri dalam kabinetnya kini adalah bertanggung jawab keatas kelulusan retrospektif kepada peningkatan kos projek PKFZ dari RM1.088 bilion kepada RM4,632,732,000.00”, adalah tuduhan serius.

Apakah Perdana Menteri akan berdiam diri? Apakah kerajaan BN akan membiarkan dirinya dihentam dan dituduh dengan pelbagai tohmahan yang akan memberi kesan pada pilihan raya umum akan datang?

Saya yakin isu ini akan dimainkan pada pilihan raya kecil akan datang sebagai ‘pemanas’ kepada permainan sebenar pada pilihan raya umum nanti.

Apabila ada blog memintra seluruh Kabinet berundur kerana skandal PKFZ ini, kerajaan bukan sahaja perlu ‘menyatakan perkara sebenar’ tetapi yang patut dibuang atau dipancung, pancunglah.

Jika tidak dipancung ia akan menjadi barah buruk yang tidak boleh diubati lagi.

Baca petikan berikut daripada sebuah blog bertajuk “Skandal PKFZ, Seluruh Kabinet Wajar Berundur”

Patutlah mereka yang terlibat dengan skendal PKFZ tidak berasa takut. Malah mereka berasa tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana segala apa yang mereka lakukan selama ini telah diketahui oleh Kabinet dengan mendapat izin dan restu.

Perkara ini didedahkan oleh Malaysia Today (MT) kelmarin dalam artikelnya yang bertajuk "What the Cabinet hid from the Malaysian public"

Sekarang rakyat sudah tahu rupa-rupanya Najib, Perdana Menteri dan semua menteri dalam kabinetnya kini adalah bertanggung jawab keatas kelulusan retrospektif kepada peningkatan kos projek PKFZ dari RM1.088 bilion kepada RM4,632,732,000.00.

Patutlah Najib dan kabinetnya secara tiba-tiba menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyediakan laporan berkaitan isu PKFZ. Rupa-rupanya “penubuhan pasukan itu sebenarnya bermotif politik iaitu untuk melindungi pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional dari disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam skandal PKFZ," kata Mahfudz Ahli Parlimen Pokok Sena.

Patutlah Najib dan kerajaan Umno/BN gentar untuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat PKFZ kerana lebih banyak lagi dokumen dan hakikat yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat akan terdedah dan membuktikan lagi jenayah peringkat tertinggi dalam skandal PKFZ itu,"

Mahfudz mendesak supaya diadakan satu sidang khas parlimen bagi membentangkan kertas putih menjelaskan keenganan kerajaan menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ.”

Datuk Seri Mohd Najib patut mencincang mulut-mulut celupar yang menggunakan sumber Malaysia Today untuk menghentam kerajaan.

Kalau benar, kenapa Perdana Menteri dan Kabinetnya takut dengan ‘cercaan tersebut”?
Gerudi Mahfuz dan dapatkan individu di belakang beliau yang membuat pelbagai ‘tohmahan’ itu.

Sementara itu, pihak yang bersalah, kenakan tindakan dan hukuman seberat-beratnya.
Tolonglah, jangan lagi ada favour atau perlindungan tertentu kepada pihak ini.

Kesianlah rakyat dan pekerja parti yang tidak tahu apa-apa dan tidak mendapat apa-apa yang berusaha mempertahankan BN.

Selain itu, jika tukang siar dokumen membabitkan PKFZ cuba dikenakan tindakan kerana ia dokumen rahsia kerajaan, amat wajar juka siasatan dilakukan untuk mengetahui sumber atau puncanya.

Tindakan perundangan juga patut dikenakan terhadap mereka yang terbabit.

Benar juga kata satu blog bahawa: “Kalau yang tukang siar rahsia rasmi kerajaan akan dikenakan tindakan, sudah semestinya si tukang bocor rahsia patut dikena tindakan lebih tegas. Kerajaan jangan lepas tangan hanya tangkap tukang siar, sedangkan si pembocor rahsia masih ada kesempatan menghilangkan diri, atau setidaknya mencari helah menafikan perbuatannya.”

Perdana Menteri wajar sekali bertegas terhadap pembocor rahsia kerajaan dan diikuti tukang siar.
Kerajaan tidak wajar menunjukkan ‘kemarahan’ kepada blog yang menyiarkan dokumen sahaja kerana penyangak sebenar ialah yang menyebabkan skandal berlaku dan yang membocorkan segala dokumen berkenaan.

Kenyataan Najib bahawa polis akan menyiasat sebuah laman web yang menyiarkan dokumen didakwa Kertas Kabinet 18 muka yang didakwa sebagai memorandum daripada Menteri Kewangan bertarikh 22 Jun 2007 mengenai isu PKFZ, diharap sampai ke akar umbi.

Sebagai pengajaran dan menggambarkan kerajaan serius, ambil tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kepada yang bersalah, untuk mengajar dan memberikan peringatan kepada pegawai atau sesiapa sahaja dalam kerajaan yang melakukannya.

MCA – APABILA ALAT KELAMIN SUDAH DIPERTONTONKAN

Apa mainan politik MCA?

Menggugat atau mengukuhkan Barisan Nasional (BN) dengan tindakan memecat dan kemudian membatalkan pemecatan timbalan presiden, Datuk Dr Chua Soi Lek?

Daripada pemecatan kemudian digantung keahlian empat tahun.

Pemerhati politik menyifatkan keputusan jawatankuasa pusat membatalkan keputusan majlis presiden itu sebagai satu usaha untuk meredakan krisis yang melanda parti komponen kedua terbesar dalam BN itu.

Bagi saya tidak. Ia akan menyulit dan semakin menguji BN selepas ‘semua kain sudah dilondehkan di khalayak ramai dan alat kelamin sudah ditunjukkan tanpa segan silu’, kini kain cuba dipakai semula.

Pertanyaan ialah: “Tidakkah orang yang melondehkan kain itu sama ada gila atau tidak waras?”.
Bolehkah kita berurusan dengan orang tidak waras?

Biarpun Jawatankuasa Pusat MCA (CC) semalam mengubah keputusan Majlis Presiden pada 26 Ogos lepas untuk memecat Dr Chua dari parti itu, kekecohan dan ‘kemusnahan MCA’ akan sukar diperbaiki.

Penggantungan keahlian Dr Chua selama empat tahun berkuatkuasa serta merta juga tidak akan menyumbang apa-apa.

Sebelum ini, Majlis Presiden MCA mengesahkan syor jawatankuasa disiplin parti itu supaya Chua dipecat ekoran skandal video seks didakwa telah mencemarkan imej parti itu.

Keputusan itu telah mendorong penyokong Chua untuk melancarkan kempen mengutip tandatangan perwakilan parti itu, mendesak supaya diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membatalkan pemecatan Chua dan mendesak supaya Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat meletak jawatan.

Mereka berjaya mendapat tandatangan satu pertiga atau lebih 800 perwakilan seperti yang diperlukan untuk mengadakan EGM tersebut.

Kejayaan mereka itu dilihat sebagai satu isyarat bahawa ramai perwakilan dan ahli akar umbi MCA yang tidak menyokong pemecatan timbalan presiden MCA itu.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri telah menasihatkan pucuk pimpinan MCA supaya segera menyelesaikan krisis dalaman parti itu kerana ia turut menjejaskan BN.

Najib kini sedang berusaha untuk memulihkan sokongan kepada BN yang kalah teruk dalam pilihanraya umum tahun lalu di mana ia terlepas lima negeri kepada pembangkang serta hilang penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Persoalan di sini bukan soal kepentingan Dr Chua atau sesiapa sahaja dalam MCA. Yang penting krisis yang melanda MCA sudah ‘memporak-perandakan BN’ dan hakikat sebenar MCA tidak akan pulih walaupun pembatalan dilakukan terhadap pemecatan.

Penggantungan empat tahun itu akan menimbulkan perbahasan baru.

Ke mana dan bila kemelut MCA akan selesai?

Selagi ia tidak selesai, akan menyulitkan BN dan banyak kemungkinan akan berlaku dalam tempoh empat tahun itu kerana pilihan raya umum akan datang dijangka lebih cepat daripada tempoh penggantungan Dr Chua.

Jadi, apa untungnya MCA dengan keputusan itu dan apa pula kebaikan kepada BN hasil tindakan CC berkenaan?

Saturday, September 19, 2009





BUKAN TIDAK SAYANG ISA SAMAD…

Tidak payah ketengahkan calon ‘tercemar’.

Biarpun pernah berjasa dan menjadi pemimpin parti, jika memilih pemimpin seperti ini, ia akan ‘mecemarkan ‘ pula UMNO.

Jika ‘kesalahannya’ kecil sekali pun reputasinya tetap mencemarkan UMNO, apalagi jika ‘bangkai gajah sukar untuk ditutup’.

UMNO bukan ketandusan pemimpin. Yang perlu dilakukan ialah semua jentera bergerak dan menyokong calon baru yang bersih, amanah dan bersedia bekerja keras sebagai wakil rakyat.

Pokok pangkal yang menentuikan kemenangan dalam pilihan raya kecil ialah diri calon. Kalau calon itu bersih dan diterima umum, Barisan Nasional (BN) akan menang.

Kalau calon itu awal-awal lagi bermasalah dan ‘tercemar’, baik tidak usah bertanding. Orang yang buat kerja pun jadi bengang dan tidak tentu hala.

Kerja yang dibuat pun was-was dan bahananya ialah kalah pilihan raya. Daripada menghabiskan masa dan wang ringgit, tidak bertanding pilihan raya lagi baik.

Kita kesian dekat pekerja parti yang bersungguh-sungguh berkempen untuk BN tetapi calon yang diketengahkan tiba-tiba diketahui ‘tercemar’.

Oleh kerana sayangkan parti, pekerja terus bekerja tetapi akhirnya sedar ‘tiada maknanya’.

Saya menyokong pandangan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengingatkan kepimpinan UMNO supaya mengambil iktibar isyarat daripada pengundi beberapa pilihan raya kecil lalu sejak 8 Mac 2009 agar berhati-hati dalam memilih calon bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Ini kerana jika UMNO terus memilih calon-calon yang tercemar rekodnya, maka rakyat mungkin akan membuat kesimpulan bahawa lebih baik bagi negara, jika UMNO kalah.

Jelas sekali, bukan pengundi biasa sahaja yang akan tolak calon yang ‘tercemar’ tetapi orang UMNO sendiri yang terbabit dengan pengundian akan turut menolaknya.

Jadi dalam isu Tan Sri Isa Samad yang dicadangkan untuk dicalonkan untuk pilihan raya kecil di Negeri Sembilan, pelbagai pendapat dikemukakan – yang positif dan negatif – segala-gala yang diperkatakan itu untuk kebaikan UMNO dan BN.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad member amaran, jangan letak Isa Samad sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Bekas perdana menteri itu berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini. Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno," katanya dalam temuramah dengan Bernama baru-baru ini.

Persoalannya apakah Dr Mahathir benci kepada Isa kerana menolaknya?
Bukan, bagi Dr Mahathir yang penting ialah persepsi orang ramai terhadap Isa dan UMNO.

Isa memang sudah menjalani hukuman tetapi UMNO belum bersih sepenuhnya daripada tuduhan kononnya ia parti rasuah.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

UMNO Bahagian Teluk Kemang memang merasakan bahawa Isa adalah ‘the calon’ tetapi perlu dingat bahawa pilihan raya kecil itu bukan melibatkan wakil dari UMNO Bahagian itu sahaja.

Dengan kata lain bukan UMNO bahagian itu sahaja yang bertanding kerana rakyat akan membuat penilaian bahawa ia pendirian UMNO nasional.

Pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan pada 11 Oktober dan penamaan calon pada 3 Oktober. Ia diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September akibat jangkitan dalam darah.

Memanglah UMNO Bahagian Teluk Kemang mahukan ketuanya, dipilih sebagai bagi pilihan raya kecil tersebut tetapi apakah keputusan itu akan menjamin menang pilihan raya.

Bak kata Dr Mahathir, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Pilihan untuk UMNO ialah mahu menang pilihan raya dengan meletakan calon bersih dan diterima rakyat atau calon yang berjasa tetapi sudah terpalit dengan rasuah politik.

Kita sayangkan Isa Samad tetapi kita lebih sayangkan UMNO kerana ia parti untuk membela semua – bukan individu, bahagian atau kumpulan

Thursday, September 17, 2009

USAHA ANWAR LEMAHKAN PROSIDING JENAYAH GAGAL


Cukuplah. Diharapkan tarikh perbicaraan kes liwat itu akan dapat disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Jenayah), Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 3 November depan.

Kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan dalam kes liwat terhadapnya diharap akan mempercepatkan proses pendakwaan terhadapnya.

Malah kegagalan Anwar untuk turut sama membabitkan Pendakwa Raya dan kerajaan Malaysia sebagai responden kelapan dan kesembilan diharapkan Penasihat Parti Keadilan itu dibicarakan pada tarikh ditetapkan.

Sudah pasti peguam Anwar akan melakukan sesuatu, sama ada merayu atau melalui cara lain untuk terus menangguhkan perbicaraan terhadapnya.

Anwar sebenarnya cuba menangguh-nangguhkan kesnya dan mahkamah mendapati beliau telah menyalahgunakan proses Mahkamah Tinggi bertujuan melemahkan prosiding jenayah yang dihadapinya.

Hakikatnya, jika benar Anwar mempunyai sebab yang munasabah untuk menggugurkan pasukan pendawaan itu, kenapa permohonan Anwar tidak menyatakan secara khusus sebarang tindakan tertentu yang salah di sisi undang-undang dilakukan oleh tujuh pendakwa raya tersebut sehingga memerlukan mahkamah menggunakan kuasa melucutkan kelayakan mereka?

Apa yang berlaku dalam kes ini ialah, rakyat semakin jemu dengan kes ini dan kesian dengan bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, yang mengharapkan perbicaraan dijalankan bagi menegakkan keadilan selepas setahun kes ini tertangguh.

Kegagalan Anwar bermakna Peguam Cara Negara I, Datuk Idrus Harun; Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden; dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman serta Noorin Badaruddin, boleh meneruskan tugas mereka tanpa gangguan lagi.

Mereka ini adalah responden pertama hingga ketujuh dalam usaha Anwar melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan berkenaan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengemukakan permohonan dengan alasan wujudnya berat sebelah atau wujud bahaya sebenar bagi berat sebelah, konflik kepentingan dan salah laku pendakwaan oleh responden pertama hingga ketujuh.

Anwar mendakwa pasukan pendakwaan itu mendapat arahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pertuduhan dibuat dengan niat jahat (mala fide) serta ia adalah kesinambungan daripada kes yang dihadapinya pada 1998.

Dakwanya lagi, Abdul Gani bertindak secara berat sebelah dan prejudis dalam pendakwaan kes itu apatah lagi terdapat laporan polis terhadap Peguam Negara itu berhubung konspirasi politik dalam kes tahun 1998 dan insiden ‘mata lebam’.

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin semalam mendapati Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu antara lain telah menyalahgunakan proses mahkamah bertujuan melemahkan prosiding jenayah yang dihadapinya.

Justeru beliau memutuskan untuk menolak permohonan Anwar mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi melucutkan kelayakan seluruh pasukan pendakwaan dalam kes liwat itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Alizatul menyatakan permohonan Anwar itu tidak menyatakan secara khusus sebarang tindakan tertentu yang salah di sisi undang-undang dilakukan oleh tujuh pendakwa raya tersebut sehingga memerlukan mahkamah menggunakan kuasa melucutkan kelayakan mereka.

Walhal, katanya, mengikut Perintah 53 Perintah-Perintah Mahkamah Tinggi 1980, seseorang pemohon dibenarkan mengemukakan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar sesuatu keputusan atau tindakan oleh pihak berkuasa yang dikatakan salah di sisi undang-undang atau berlakunya penyalahgunaan kuasa.

‘‘Dalam kes ini, pemohon tidak mencabar secara spesifik sebarang tindakan salah oleh pendakwa raya yang membolehkan mahkamah ini menggunakan kuasa penyeliaannya,’’ katanya.

Justeru pada hemat Hakim Alizatul, permohonan tersebut sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Tinggi Jenayah dan bukannya di mahkamah beliau.

Beliau turut menegaskan, melalui permohonan itu, Anwar bukan sahaja cuba berusaha melucutkan kelayakan tujuh pendakwa raya terbabit tetapi juga kesemua pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara dan Peguam Cara Negara daripada mengendalikan pendakwaan kes liwatnya.

‘‘Ia adalah sama seperti untuk melemah dan menghentikan prosiding (jenayah) walaupun Sivarasa (peguam Anwar, R. Sivarasa) menyatakan pemohon tidak bermaksud untuk menghentikan keseluruhan pasukan pendakwaan,’’ tegas beliau.

Dalam permohonan yang difailkan pada 11 Ogos lalu, Anwar memohon kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah perisytiharan agar keseluruhan pasukan pendakwa raya dilucutkan kelayakan mereka daripada mengendalikan pendakwaan atau rayuan kes liwat tersebut.

Anwar diwakili barisan tujuh peguam diketuai oleh Sivarasa manakala responden diwakili tiga Peguam Kanan Persekutuan diketuai oleh See Mee Chun.

Sivakumar ketika ditemui pemberita memberitahu pihaknya akan menasihatkan Anwar berhubung tindakan selanjutnya yang perlu diambil sama ada memfailkan permohonan baru di Mahkamah Tinggi Jenayah atau mengemukakan rayuan terhadap keputusan semalam.

MUDAH MEMAAF SUKAR MELUPAKAN

Ini sikap Tun Dr Mahathir Mohamad sejak dulu.

Pemaaf dan tidak berdendam.

Setakat mahu mengalungkan selipar ke gambarnya bukanlah besar berbanding kritikan dan cercaan mereka yang menentangnya sama ada dalam UMNO atau pembangkang.

Sepuluh tahun lalu, Dr Mahathir pernah digelar MAHAZALIM, MAHAFIRAUN dan sebagainya, namun Dr Mahathir sudah lali dengan itu semua.

Dan sepanjang empat tahun selepas melepaskan jawatan beliau dikecam daripada pelbagai sudut hanya kerana mengkritik dasar yang dianggap merugikan rakyat.

Beberapa menteri yang beliau lantik dan pernah berkhidmat dengannya turut mengencam beliau, sama kerana dasar kerajaan atau UMNO.

Dr Mahathir pernah keluar UMNO tetapi kembali sejak Datuk Seri Mohd Najib menjadi Presiden UMNO.

Betul juga kalau Dr Mahathir sedih apabila beliau dikecam oleh ahli UMNO sendiri.

Hari ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak sedih atau marah dengan cadangan seorang anggota MIC agar gambar beliau dikalung selipar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau tidak merasakan apa-apa dengan kecaman tersebut kerana "bukan saya jadi apa-apa".

Ini kerana kecaman itu datang daripada anggota parti lain dan ianya tidak merugikannya.
Menurut Bernama, Dr Mahathir berkata, beliau amat sedih dan marah sekiranya kecaman datang daripada anggota Umno sendiri seperti yang pernah berlaku.

"Ini bukan kali pertama saya dikecam. Dulu orang dah lupa macam mana pemimpin Umno kecam saya. Nazri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz) dan Menteri Besar Kedah dahulu nak buang saya daripada Umno.

"Tapi masa itu tak ada siapa bagi reaksi apa pun. Tak ada orang berani cakap apa," katanya.
Cadangan kalungan selipar itu dibuat oleh Timbalan Ketua MIC bahagian Paya Besar, Pahang, M. Sukumaran pada perhimpunan agung MIC Ahad lepas di ibu negara kerana mendakwa Dr Mahathir mencampuri urusan parti itu melalui kenyataan-kenyataan yang dibuatnya.

Ekoran itu, Sukumaran dikecam hebat dan dianggap sebagai biadab. Beliau kemudian memohon maaf dengan memberi alasan beliau telah terlepas cakap.

Malah, anggota MIC itu ingin menemui Dr Mahathir untuk meminta maaf secara peribadi.
Mengulas lanjut isu itu, Dr Mahathir berkata : "Tiba-tiba saya jadi popular. Orang semua pertahankan saya. Seperti yang saya katakan, dulu saya kena kecam, kena kata...suruh buang daripada Umno. Tapi orang tak react (beri reaksi). Pasal apa dulu tak react, kali ini react.

"Dulu bila saya kena kecam, tak ada sesiapa pertahankan saya. Taklah secara terbuka. Orang senyap-senyap beranilah tapi orang kenamaan dan orang terkenal tak beranilah pertahan saya," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau sedih apabila orang partinya sendiri dan orang yang duduk dalam kabinetnya sendiri mengecamnya.

Katanya beliau lebih marah terhadap kecaman yang dilontarkan oleh anggota Umno dan bekas anggota kabinetnya daripada kecaman yang dibuat oleh anggota MIC.

"Saya duduk dalam Umno dari mula parti itu ditubuhkan. Yang tegur saya ini belum beranak pun lagi," katanya.

Mengenai hasrat Sukumaran ingin menemuinya untuk memohon maaf, Dr Mahathir berkata: "Minta maaf tak apa, tak minta maaf pun tak apa. Bagi saya tak ada apa-apa. Saya yang sedih bila orang parti saya sendiri, orang yang duduk dalam kabinet saya sendiri kecam saya," katanya.

Dr Mahathir berkata Sukumaran kini menjadi mangsa percakapannya sendiri.
Selasa lepas, Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu mengumumkan penggantungan serta-merta keanggotaan Sukumaran ekoran kecamannya itu.

Wednesday, September 16, 2009

UMNO TERENGGANU BERTAUT KEMBALI…

Carek-carek bulu ayam…akhirnya Hishamuddin got the last laugh…
Benarlah ramalan saya pada entri kelmarin (Ahad) bahawa kemelut politik Terengganu akan terlerai sebelum Aidilfitri.

Setidak-tidaknya kini enam daripada ‘Geng 10’ sudah kembali semula ke arus perdana politik Terengganu.

Mereka ialah, Datuk Din Adam (Bukit Besi), Muhammad Ramli Noh (Tepoh), Ramlan Ali (Jabi), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Pehemi Yusoff (Kota Putera) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut).

Seorang lagi ADUN yang hadir tetapi bukan daripada kumpulan 10 ialah Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar (ADUN Air Putih).

Soal sokong Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar bukan yang terpenting tetapi soal utama ialah sama-sama mendokong UMNO dan kepimpinan negeri yang berketuakan Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjadi perkara utama.

Saya dan semestinya semua rakyat Terengganu yang mahu melihat kiambang bertaut amat lega kerana tujuh ADUN selain empat yang terus menyepi – Datuk Rosol Wahid (Ajil), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang),Alias Abdullah (Alor Limbat) dan Zakaria Abdullah (Paka) – tengah hari semalam membuat ikrar di hadapan Hisham untuk memperkukuhkan parti.

Ini sangat penting kerana sekiranya kemelut berlarutan, ia akan menjejaskan peluang UMNO untuk menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Berkaitan Datuk Idris Jusoh (Adun Jerteh), beliau sudah menyatakan kepada Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa beliau tidak pernah menentang Ahmad Said.

Tidak apalah, walau apa juga tanggapan orang ramai dan ahli UMNO terhadap Idris, hanya Najib, Hishamuddin dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetahuinya.

Tengah hari semalam tujuh ADUN berkenaan membuat pertemuan dengan Hishamuddin di Putrajaya untuk menyatakan sikap dan pendirian mereka untuk kembali ke arus perdana politik Terengganu.

Dengan kembalinya mereka bermakna, Ahmad Said ‘diterima’ sebagai Menteri Besar dan apabila menerima Ahmad Said bermakna mengakui keputusan istana melantik Ahmad Said.

Selepas ini tiada persoalan lagi mengenai Menteri Besar atau juga isu perlantikannya.

Din Adam yang menjadi jurucakap ‘Kumpulan Tujuh’ itu sudah menyatakan ikrar mereka kepada Pengerusi Perhubungan Negeri yang dipertikaikan perananya dengan begitu teruk oleh Rosol sebelum ini.

Dengan pendirian sedemikian bermakna apa yang dipertikaikan oleh Rosol seperti Hishamuddin gagal menyatukan UMNO Terengganu dan menjadi orang tengah antara Kumpulan 10 dan Ahmad Said ternyata terpalit kepada muka Rosol sendiri.

Sudah pasti berita ini akan melegakan semua pihak di Terengganu, lebih-lebih lagi yang mahu melihat pemimpin muda di negeri ini memberikan sumbangan yang sewajarnya.

Kesemua mereka ini adalah golongan muda yang mampu ‘bermain politik dan menyumbang tenaga’ untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Malah, jika mereka terus berada di persimpangan atau di luar lingkungan, peluang mereka untuk meningkat akan tergencat.

Kini bola sudah di tangan mereka. Merekalah yang wakar menentukan ke mana bola akan ditendang.

Bagi saya, potensi beberapa pemimpin muda ini boleh melangkah jauh, bukan sahaja politik bahagian dan negeri tetapi juga pusat.

Dan kepada ADUN yang masih menyepi dan menjauhkan diri, kembalilah segera menyertai rakan mereka yang sudah ‘kembali ke pangkal jalan’.

Letakkan kepentingan perpaduan UMNO sebagai yang terpenting, bukan kesetiaan kepada rakan yang boleh menjahanamkan karier politik sendiri!

KERAJAAN BEBAS 5 TAHNAN ISA

Shukur ke hadrat Allah kerana kerajaan membuat keputusan tepat apabila membebaskan sebahagian lagi tahanan ISA.

Kelima-limanya dibebaskan selepas kementerian mendapati mereka menunjukkan pemulihan yang positif dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Mereka ialah:


Menurut laporan media, suami aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Norlaila Othman bersama empat lagi tahanan dibebaskan dari kem perlindungan Kamunting, Taiping petang ini.

Pada pengumumannya di Putrajaya hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Mat Sah Mohd Satray bersama empat lagi tahanan Akta Keselematan Dalam Negeri (ISA) itu dituduh terlibat dengan gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Mat Sah (foto), yang pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, ditahan pada April 2002 atas tuduhan terlibat dengan gerakan Islam itu.

Turut dibebaskan, Dr Abdullah Daud, seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang ditahan 3 Jan 2002.

Tiga lagi yang turut dibebaskan: Mohd Nasir Ismail @ Hassan, Ahmad Kamil Md Hanapiah dan Muhammad Amir Md Hanapiah.

Ketiga-tiganya ditahan di kem Kamunting mulai 30 Mei 2007.

Dalam sidang medianya, menurut Bernama, Hishammuddin menafikan pembebasan mengejut ini ada kaitan dengan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada awal bulan depan.

"Pembebasan mereka hari ini untuk memberi mereka peluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

"Ia tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya kecil Bagan Pinang," beliau dipetik berkata.

Tambahnya, dengan pembebasan itu, kini tinggal sembilan lagi tahanan ISA - empat rakyat Malaysia dan masing-masing seorang warga Bangladesh, Pakistan, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April lepas, beliau mengumumkan pembebasan 19 tahanan ISA.

Manakala pada Mei lepas, seramai 13 tahanan termasuk tiga pemimpin pertubuhan haram Hindraf, telah dibebaskan.

Menurut agensi berita itu lagi, terdahulu Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Persatuan Peguam Syarie mengenai pindaan akta itu.

Beliau dipetik berkata perbincangan menyentuh mengenai ketelusan ISA, tempoh tahanan serta layanan terhadap tahanan.

"Tetapi dalam pertimbangan mengenai keselamatan negara, semua bersetuju bahawa ISA masih lagi diperlukan selagi belum ada akta baru diperkenalkan untuk memansuhkan ISA," kata Hishammuddin lagi.

Sementara itu, sebagai reaksi segera, Norlaila yang terkejut dengan pembebasan Mat Sah tetap menyatakan kesyukurannya.

"Syukur kepada Allah dan (saya) nak berkongsi rasa gembira ini dengan semua rakyat Malaysia yang selama ini menyokong perjuangan saya dan GMI," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej SMS.

Beliau yang kini berada di Sabah tidak dimaklumkan lebih awal tentang permbebasan suaminya itu.

Norlaila menambah, beliau berharap akan mengadakan sidang akhbar berhubung perkara tersebut setelah kembali ke Kuala Lumpur malam esok.

Tuesday, September 15, 2009

KALUNG SELIPAR – SAMY & PERWAKILAN SAMA SAJA

Pengajaran untuk semua. Sama ada anggota parti UMNO, MCA atau MIC dan rakan parti komponen Barisan Naisonal yang lain.

Jangan celupar dan tidak beradab.

Semangat menghormati sesama rakyat dan anggota parti perlu terus dipupuk.

Jangan jadi ‘kurang ajar’ kerana ia bukan budaya Malaysia.

Setakat ini hukuman yang dikenakan kepada perwakilan yang mencerca mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan agung parti itu Ahad lepas digantung keanggotaannya.

Belum diketahui sama ada tindakan lanjut atau sebagainya tetapi yang nyata MIC sudah bertindak kepada perwakilan yang mahu menggantung selipar pada gambar Dr Mahathir.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini berkata "Saya telah memutuskan untuk menggunakan kuasa yang ada pada saya sebagai Presiden mengikut perlembagaan MIC untuk menggantung keanggotaan perwakilan itu."

Dalam satu kenyataan. Samy Vellu menjelaskan, perkara itu telah dibincangkan dengan beberapa pemimpin kanan MIC dan mereka bersetuju tindakan itu amat perlu buat masa ini.

Katanya Jawatankuasa Disiplin akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat parti berhubung tindakan yang akan diambil terhadap perwakilan itu.

Samy Vellu tidak mendedahkan identiti perwakilan terbabit.

Tindakan perwakilan yang dianggap ‘kurang ajar’ itu sebenarnya bertentangan dengan semangat BN dan budaya semua kaum di Malaysia.

Apapun, tindakan MIC kepada yang mencadangkan meletakkan "kalungan selipar" pada gambar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka meredakan sedikit kemarahan orang Melayu, khususnya UMNO.

Ramai melihatnya sebagai perbuatan biadap dan tidak menghormati pemimpin tetapi bagi saya kadangkala kerana disebabkan satu dua pandangan yang pelik atau ‘gila’ dalam parti, ia boleh mengeruhkan hubungan antara komponen BN.

Pada ketika BN sedang diuji dengan pelbagai masalah apabila MCA dilanda krisis dan UMNO berdepan dengan ujian getir pilihan raya kecil, seharusnya parti komponen BN meletakkan kepentingan perpaduan sebagai perkara paling penting.

Namun gelagat dan tindakan ‘gila’ setengah ahli parti komponen seperti MIC ini akan menyebabkan orang Melayu dalam UMNO sendiri geram dengan parti komponen lain.

Orang Melayu mulai rasa bahawa sikap bertolak ansur dan menghormati antara satu sama lain kini semakin terhakis.

Sikap kurang ajar bangsa lain terhadap orang Melayu digambarkan melalui cadangan gila sedemikian.

Ini belum lagi kata-kata nista daripada pemimpin kaum bukan Melayu terhadap institusi raja dan agama Islam.

Apapun, dalam isu MIC ini, jelas bukan sekadar perwakilan sahaja nampak “kurang sopan”.
Presiden MIC sendiri mengatakan orang menolak BN bukan dirinya.

Apa yang dapat dikatakan ialah dalam MIC itu sama sahaja antara Presiden dan perwakilan, sama-sama mengambarkan tidak hormat kepada BN, pakatan yang didokong mereka.

Yang penting kini ialah pucuk kepimpinan MIC perlu menjadikan iktibar daripada kekalahan teruk pada pilihan raya umum lepas dengan membaiki perpecahan dalamannya.

Ia perlu berusaha keras memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadapnya – sekurang-kurangnya menyamai rekod kemenangannya pada pilihan raya umum 2004.

Monday, September 14, 2009

MELAYU YANG SOPAN, SABAR DAN ISLAM…BAGAIMANA BOLEH BERPECAH?

Terkejut juga saya apabila dibisikkan oleh Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu, Wan Ahmad Wan Muda ketika berbuka puasa di Kuala Lumpur kelmarin bahawa ada seseorang dari Arab Saudi mahu berjumpa saya di pejabat Menteri Besar.

Saya tanya beliau siapa, namun Wan Ahmad hanya tersenyum. Katanya, dia ini membaca blog saya dan menetap di Mekah.

Saya membayang-bayangkan rakan lama – wartawan, diplomat atau juga kenalan ‘kebetulan’ seperti dalam kapal terbang, kereta api dan sebagainya.

Bagaimana saya boleh ada kawan di sana? Atau mungkin kenalan ketika menghadiri sidang kemuncak OIC yang beberapa kali pernah saya hadiri. Atau mungkin juga dari Bank Pembangunan Islam (IDB).

Dari Libya dan Lebanon yang sering saya lawati? Tidak mungkin.

Saya tidak menemui jawapannya.

Tengah hari tadi saya ke tingkat 16 Wisma Darul Iman kerana orang Arab ini akan menemui Menteri Besar.

Sementara dia dipanggil masuk, saya sempat menjengahnya. Terkejut besar saya kerana dia memang Arab tetapi keturunan Arab. Sudah tinggal di Arab Saudi sejak hampir 30 tahun lalu. Dia berhijrah ke negara berkenaan pada 1980.

Seorang ahli perniagaan, Sheikh Halim Al-Kahiri berasal dari Terengganu dan kini adalah tuan punya Kumpulan Bin Nagi (Bin Nagi Group).

“Saya gembira jumpa Hambali….saya baca blog saudara di Mekah,” katanya dalam bahasa Melayu dengan sedikit pelat Teranggu.

“Saya berjumpa saudara untuk menyatakan kerisauan saya mengenai perpecahan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Lantas beliau menggembalikan era 80-an apabila ketika itu Malaysia kurang dikenali. Katanya, jika di luar negara apabila ditunjuk passport, selalunya polis atau kakitangan imigresen di negara asing akan bertanya, ada dari Afrika? Atau anda dari Indonesia? Dan yang agak mengetahui sedikit rantau Asia akan tanya “Malaysia dekat Singapore ke?”

Namun menurut Sheikh Halim, segala-galanya berubah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Malaysia bukan sahaja dikenali tetapi rakyat Malaysia mula diiktiraf kepakaran mereka dan tidak pelik kini ada lebih 50 pakar pelbagai bidang Malaysia di Arab Saudi sahaja.

Kata-katanya projek yang dilaksanakan oleh orang Malaysia di Arab Saudi diiktiraf baik dan bermutu.

Malah, menurutnya kerajaan Arab Saudi begitu menghormati tetamu dari Malaysia, termasuklah jemaah haji.

Baginya, kebimbangan mengenai perpecahan ini bukan semata-mata kerana kepentingan politik.
Beliau hairan bagaimana orang Melayu dan Islam di Malaysia yang lemah lembut, penyabar, bersopan dan beradab boleh memaki-hamun, mencerca sehingga turun ke jalan raya menunjuk perasaan.

Menurutnya sikap pemarah, pendendam dan melakukan pelbagai perangai yang memalukan bukan tradisi dan budaya Melayu.

Lantas katanya, mesti ada pihak yang mengajar atau menanamkan perangai buruk sedemikian yang menyebabkan ia menjadi ikutan.

Bagi Shekih Halim, orang Melayu dan Islam sewajarnya bertaut kembali kerana kekuatan Malaysia akan terjejas jika orang Melayu bertelingkah sesame sendiri.

“Saya harap melalui tulisan saudara, mesej boleh disampaikan kepada pemimpin dan orang biasa bahawa perpecahan Melayu akan menyebabkan perpecahan Islam.

“Jika orang Islam berpecah, kita tidak akan lagi dihormati. Belajarlah dari kejadian di Palestin, Somalia dan beberapa negara Islam lain,” tegasnya.

Sunday, September 13, 2009

KEMELUT TERENGGANU – PENYELESAIANNYA SUDAH HAMPIR?

(Sembang Ahad)

Kedatangan Ramadan membuatkan bicara kita berhati-hati.

Ramadan juga mengajar umat Islam supaya berbaik-baik sesama Islam dan bermuhasabah mencari jalan mengatasi apa juga kemelut yang ada.

Saya bersyukur kerana Ramadan tahun ini amat bermakna. Pertama, inilah kali pertama saya berpuasa di Terengganu selepas meninggalkan negeri ini sejak 1972.

Kedua, Ramadan kali ini ada membawa rahmat kerana keikhlasan pemimpin Terengganu yang terbabit dalam kemelut berusaha memperbaiki diri.

Kesilapan, terkasar bahasa atau tingkah laku berlebihan cuba diatasi oleh mereka yang terbabit dalam kemelut dengan berusaha duduk semeja.

Khabarnya malam kelmarin (malam hari Jumaat) ada perkembangan terbaru kemelut Terengganu.

Saya tidak berani meramal atau menyatakan sesuatu di sini takut tidak betul. Apa yang saya boleh katakana ialah sudah ada cahaya di hujung terowong.

Ada yang membisikkan kepada saya: “Penyelesaiannya (kemelut) semakin hampir”.

Alhamdullilah, setiap sakit ada ubatnya. Begitu juga dengan kemelut politik Terengganu. Saya yakin, puak yang menentang kepimpinan Datuk Ahmad Said pun mahukan perdamaian.
Yang penting masing-masing insaf. Namun, perlu ada political will untuk mencari jalan kepada penyelesaian.

Jika mereka tidak boleh duduk semeja, carilah orang tengah. Namun, siapa yang sesuai?
Sejauh ini Naib Presiden, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berusaha keras mengatasi kemelut itu walaupun ada pihak memperlecehkan beliau.

Kemudian minggu lalu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menawarkan diri menjadi ‘orang tengah’.

Ada pihak mempersoalkan bahawa Muhyiddin tidak sewajarnya menawarkan diri sedemikian. Dia sepatutnya perintah supaya mereka yang bertelagah duduk semeja.

Bagi sesetengah orang pula, tawaran Muhyiddin itu dilihat sebagai kegagalan Hishmuddin.
Apapun, jangan perkecilkan Hishamuddin. Dia benar bukan orang Terengganu tetapi dia juga tahu politik Terengganu.

Lagipun Hishamuddin sudah mulai dewasa dalam politik dan pihak yang memperkecilkan beliau jangan cuba persenda – siapa hantar Hishamuddin ke Terengganu?

Siapa Datuk Seri Mohd Najib Razak (Presiden UMNO) dengan Hishamuddin?

Berbalik kepada peranan Muhyiddin – beliau perlu mengambil langkah segera menggunakan pengalaman dan pengaruhnya.

Apa yang pasti, pemimpin tertinggi UMNO tidak duduk diam atau membiarkan sahaja kemelut ini berpanjangan.

Bak kata orang tua-tua, jika ada krisis rumah tangga, ibu bapa mestilah dijadikan rujukan. Jika sukar, pergilah kepada orang yang rapat dengan kedua-duanya – suami dan isteri – untuk mencari penyelesaian.

Saya difahamkan, dalam konteks kemelut Terengganu, kedua-dua pihak tidak menggunakan pemimpin tertinggi UMNO, sebaliknya bekas pemimpin UMNO yang kini berpengaruh di salah sebuah negeri.

Yang penting, kemelut mahu diselesaikan dan siapa juga yang menjadi ‘orang tengah’ tidak penting.

Biar yang kusut terlerai dan yang pahit menjadi manis.

Siapa gerangan ‘orang tengah berkenaan’. Maaf, saya sendiri tidak pasti dan selagi tiada kepastian, saya tidak akan menyebutnya.

Mungkin pengumuman akan dibuat. Atau kalau tidak sabar, tanya sahaja kepada Presiden UMNO atau juga Muhyiddin yang mengatakan kesediaannya menjadi orang tengah.

Apakah usahanya sudah dimulakan dan membuahkan hasil?

Selain ‘ orang tengah’ siapa pula terlibat dalam rundingan mengatasi kemelut ini? Sekali lagi saya menyusun jari sepuluh.

Tanyalah Presiden UMNO atau Tan Sri Muhyiddin. Mereka mungkin ada jawapannya!

PENGUNDI INDIA MENYAMPAH DENGAN SAMMY VELLU

Itu Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu kata, orang tidak menyampah dengannya tapi dengan Barisan Nasional (BN).

Kerana rakyat tolak BN maka MIC hilang banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu.

"Ketika masa saya (menteri dan ahli parlimen), mereka kata rakyat menyampah dengan saya (dan) itulah sebabnya masyarakat India tidak mengundi BN.

"Mereka bukan menyampah dengan saya. Mereka menyampah dengan BN," katanya.

MIC kalah enam daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandinginya serta tewas 12 daripada 19 kerusi DUN.

Dan Samy Vellu sendiri pun turut terbang kerusinya pada kubu kuatnya pada Mac 2008. Parlimen Sungai Siput yang dipegangnya beberapa penggal turut terang.

Persoalan ialah kalau orang tidak menyampah dengannya, tak kanlah rakyat Sungai Siput tolak beliau.

Ini kerana dalam pilihan raya faktor individu atau badan calon turut memainkan peranan penting, selain parti. Kalau jasanyan banyak dan berjaya mengambil hati pengundi Melayu, beliau tidak akan kalah.

Ironinya pengundi India di Sungai Siput ramai yang tolak beliau. Kenapa?

Apakah beliau jaga kawasannya? Apakah cara beliau menjaga itu diterima oleh pengundi yang orang Melayu menjadi majoritinya?

Tan Sri Rafidah Aziz juga tokoh lama dan semua tahu beliau tidak akan dilantik Menteri kerana pelbagai kontoversi. Tetapi kalahkah beliau?

Apakah rakyat di Kuala Kangsar menolaknya? Beliau tetap menang. Kenapa pula BN menang di Kuala Kangsar apabila calonnya dengan jelas dikatakan penuh kontroversi?

Hakikatnya kalau orang sayang Samy Vellu – tidak menyampah dengannya – dia tidak patut kalah.

Tetapi kenapa Samy Velly turut kalah? Salah BN ke?

Kalau mengikut kata Samy Vellu bahawa masyarakat tidak mengundi BN kerana mereka menyampah dengan gabungan tersebut, dan bukan menyampah dengan beliau – bekas Menteri Kerjaraya itu tidak mungkin boleh kalah.

Ahli politik berusia 73 tahun itu berkata, beliau juga dijadikan kambing hitam ekoran kekalahan teruk MIC dalam pilihanraya umum lalu.

Dia marah dan melenting apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mendakwa bahawa beliau sebagai Presiden parti tidak pernah membuat apa-apa kepada masyarakat minoriti itu di negara ini.

Samy Vellu kecewa kerana selepas keputusan buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu, MIC dipersalahkan apabila didakwa tidak banyak membantu kaum India.

Mana boleh? Dr Mahathir sikap tu, kata Samy Vellu. Beliau berkata kalau dia tidak pernah berbuat apa-apa, tidak akan wujud Kolej Tafe di Seremban dan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, selain pinjaman biasiswa sebanyak RM100 juta kepada pelajar India serta beberapa kemudahan kepada golongan India negara ini.

Dulu dia puji Dr Mahathir dengan tiada tolak bandingnya. Kini dia puji pula Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan menganggap Perdana Menteri ini mampu memperjuangkan nasib orang India.

Mengenai dirinya pula, Samy Vellu berkata beliau tidak boleh undur kerana MIC akan berpecah. Dia tidak boleh undur sebab agenda MIC akan terbantut.

Apakah dengan Samy Vellu terus memimpin MIC, parti tidak berpecah?

Perhatikanlah pemilihan MIC semalam. Ia akan retak besar kerana lebih separuah perwakilan MIC menolak Timbalan Presiden Datuk G Palanivel.

Walaupun tiga calon naib presiden dan jawatankuasa pusat yang disokong oleh Samy Vellu turut terpilih selain Timbalan Presiden berjaya mengekalkan jawatan tersebut dengan menewaskan dua pencabarnya, Datuk S Subramaniam dan Datuk S Sothinathan, kekusutan dalam MIC semakin terserlah.

Palanivel memang 629 undi manakala Datuk S Subramaniam (547 undi) dan Datuk S Sothinathan 280 undi. Palanivel menang dengan majoriti tipis 82 undi.

Selain itu jika dicampur undi yang diperolehi Subramaniam sebanyak 547 undi dan Sothinathan 280 undi – jumlah undi yang menantang Palanivel ialah 827 undi.

Jumlah ini bukan kecil dan Samy Vellu jangan pandai persalahkan BN kerana kekalahan dirinya dan kerusi-kerusi MIC termasuk Parlimen dan negeri bukan kerana onar orang lain.

Jika ia onar pemimpin MIC, Samy Vellu juga perlu memikul tanggung jawab.

Jangan hendak menongkat langit. Presiden UMNO dan MCA sudah berundur diri, Samy Vellu bila lagi?

Jika tidak mampu memimpin dan tidak pula mahu menerima kelemahan diri pada ketika rakyat India hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, baiklah Samy Vellu menilai dirinya.

Jika tidak dapat menerima hakikat, baiklah Samy Vellu kembali ke pangkal jalan, menggerakkan kembali jentera BN di kawasannya agar semua kerusi MIC itu ditawan semula.

POLITIK TERENGGANU – APA KATA PENJENGUK BLOG INI

Sejak saya menulis isu baru di Terengganu bermula dengan entri ‘Politik Ugut Mengugut Pula di Terengganu’ hinggalah ke “Ahmad Said mahu di humban ke Pusat’, banyak komen yang dilontarkan.

Saya petik beberapa komen untuk tatapan dan penilaian pelayar blog ini. Ia langsung tidak disunting.

hasbullahlatiff said...

saya sudah jauh meninggalkan terengganu sejak 35 tahun lalu kerana bertgas di kota kinabalu dan terus menetap disini. setiap masa mengikuti perkembangan negeri cantik molek tu yang kaya dengan minyak dan kerjatangan batiksutera serta songket. ahli politik terenganu berkecamok, satu pro dan satu kontra. mereka orang melayu beagama islam. apa yang mereka mahu. sekarang dalam tangan UMNO. DULU DALAM PAS TAK BANYAK BUNYI GENDANG YANG DIKETUK ORANG UMNO KECUALI NAK RAMPAS TERENGGANU DENGAN GELOMBANG BIRU LA, GELOMBANG ITU DAN INI..

tetapi sekarang masih juga bergelombang, sampai bila? masih ada hangtuah generasi abad 21 ini. atau jebat derhaka kembali mengganas dengan tembelangnya.

hai ahli politik terengganu, apa nak lagi. perkuatkan UMNO, jangan sampai PR13 nanti, PAS rebut takhta balik. sekarang gigi masih boleh digosok, nanti kalah kan gigi tak bergosok, berkulat dan muka pun tak berseri.

AMANKAN TERENGANU DAN SAYANGKAN TEGANU KITA.(September 10, 2009 3:23 PM)

YANG GAMBI said...

Salam, kawan amat bersetuju dengan komen dari sdr hasbullahlatif, semasa Trengganu dikuasai PAS, UMNO Terengganu begitu bersatu untuk mendapatkan semula kuasa, sepatutnya perpaduan ini terus diperkukuhkan. Kenapa kita orang Melayu masih tidak mahu ingat akan sejarah, kerana jawatan dan kuasa, kerana mengejar kebendeaan, kita sanggup menghancurkan segala apa yang telah kita bina bersama.... (September 10, 2009 6:55 PM)
dinturtle said...

Salam Tuan,

2-3 blog telah saya berikan komen,dan disini juga izinkan saya nukilkan pendapat saya sebagai seorang rakyat Tganu berhubung kemelut politik kerajaan Umno ini.

SAYA TIDAK KISAH SIAPAPUN JADI MB TAPI SAYA DAH MELUAT DENGAN PERANGAI BUDAK2 ADUN2 UMNO !

Adun2 dikelilingi penyokong2 mereka dan selalunya mereka ini berkepentingan. Mungkin penasihat2 ini akan memberikan gambaran seolah2 rakyat menyokong tindakan Geng10. Kepada Adun2 ini, peringatan saya -

1- Sudah2lah YB, satu Malaysia (bukan 1Malaysia) mentertawakan perangai YB. Atas alasan apapun tindakan YB,orang melihatkan ia sebagai berkepentingan sendiri, dan tidak wajar dilakukan seorang wakil rakyat

2- Rakyat memberi jawatan wakil rakyat pada YB, melaluinya YB telah mendapat bermacam2 faedah tapi ia bukannya hak peribadi. Tugas wakil rakyat adalah bekerja untuk rakyat, jadi kerjalah untuk rakyat ! Jika YB sekelian tidak dapat berkerjasama dengan MB, macamana nak berkhidmat untuk rakyat ? Jadi kalau tidak dapat menjadi wakil kepada rakyat - letak je jawatan !

3- Bukan Islam dan budaya bangsa Melayu sendiri mahukan kita taat dan hormat pada pemimpin ? Bukankah itu juga yang pemimpin mahukan dari rakyat ? Apakah YB menunjukkan contoh yang baik ? Atau YB ingin rakyat mencontohi perangai YB ? Kalau budaya menghormati pemimpin dan taat pada Sultan dicanangkan segenap pelusuk negeri Perak,kenapa tidak di Terengganu ? Kenapa mahukan rakyat Perak menghormati keputusan Sultannya tapi YB tidak mahu menghormati keputusan Sultan Terengganu ?

4- Sekiranya benar MB ada masalah penyalahgunaan kuasa atau wang, lapurkan saja pada SPRM. Apapun masalah YB dengan MB, rakyat melihatnya sebagai masalah peribadi. IA BUKAN MASALAH RAKYAT !

5- Datuk Idris'saya redho'Jusuh, biarlah betul2 redho. Ke redho tak ikhlas ? Bukan redho namanya tu..

Saya bukanlah orang Umno apalagi orang MatSaid. Bercakap,berjumpa pun tak pernah. Sikitpun takde kepentingan dengan kerajaan Negeri, baik makan gaji maupun berharap kontrek. Bagi saya takde bezanya Idris'saya redho' Jusuh atau Mat'dokrok'Said jadi MB, sama saja pada saya. Tapi saya sedih melihatkan nasib rakyat Terengganu yang ramai masih miskin walaupun negeri kaya.

Dan saya sedih melihatkan rakyat Terengganu diajar menjadi peminta sedekah, merayu wang ihsan tiapkali menyambut Raya dan tika buka sekolah. Sepertinya pemimpin ketandusan idea untuk menaikkan taraf hidup rakyat ataupun sememangnya pemimpin mahu rakyat terus menjadi peminta sedekah dengan menjadikan wang ihsan sebagai pembeli undi ?

Apapun,tindakan YB2 sekelian tidak sedikitpun membantu rakyat apatah lagi negeri Terengganu. Dan sebagai pengundi BN, kalau saya tahu beginilah perangai YB2 sekelian, minta maaf la, baik saya undi Pas !

Demi bangsa Melayu, Agama Islam dan Negeri Terengganu - SUDAH SUDAH LAH ! (September 9, 2009 10:22 AM)


mack said...
BERITA HARIAN MILIK UMNO KALAU SALAH LAPOR ATAU ADA AGENDA MAKA SUDAH TENTU ITU AGENDA UMNO BUKAN AGENDA PR. KALAU DAH KALUT BUBARKAN SAHAJA DUN DAN BUAT PILIHANRAYA APALAH NAK SUSAH2 RAKYAT YANG PENING TENGOK PERANGAI ADUN2 10 KE ATAU LEBIH KE SAMA SAHAJA MEREKA TIDAK MEWAKILI RAKYAT HANYA MEWAKILI KEPENTINGAN PERIBADI SAHAJA. BILA NAK SELESAIKAN MASAALAH RAKYAT DENGAN GULA TAK ADA KAT GANU PENGANGGURAN TINGGI. BILA NAK SELESAI. FIKIRKANLAH WAHAI UMNO BN (September 9, 2009 3:30 PM)

Faizal Zakaria's Blog said...

Maaf saya cakap..

Melihat daripada apa yang berlaku, pihak media dan ahli2 plitik di terengganu hanya 'syok sendiri' dan sengaja sensasikan sesuatu isu di terengganu. ( Tanya generasi muda terengganu - Mereka takkan dedahkan perkara sebenar ).

Jawatan MB bukan isu utama dalam kekalutan di terengganu..

Ya.. Betul seperti yang dikatakan oleh dinturtle.. Kebanyakkan rakyat terutama generasi muda tak kisah pun siapa MB malah ada yang langsung tidak kisah.

Mereka 'gayang' mcm mana sekali pun adalah sukar untuk mereka mengubah persepsi generasi muda di terengganu..

Bak kata mereka..Dengar saja boleh.. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari..

Semalam Adalah Sejarah. Hari Ini Adalah Hadiah.
Esok Adalah Misteri.... Jangan permudahkan >>> Blog 1 Malaysia <<< (September 10, 2009 7:01 AM)

Alizul said...

Semua ini menjurus kepada soal kepimpinan - kebolehan atau ketidakbolehan pemimpin UMNO menyelesaikan masalah ini. Jelas para pemimpin UMNO tidak peka dan tidak pro-aktif terhadapnya. Sepatutnya mereka mengambil tindakan tegas dan pantas pada awal-awal lagi (nip things in the bud) apabila timbul tanda-tanda pertelagahan yang tidak mudah diselesaikan. Sebaliknya, apa yang kita lihat pemimpin UNMO seolah-olah mengambil sikap sambil lewa dan ini telah membenarkan keadaan menjadi parah. Saya setuju dengan andakmaon tentang pilihan-pilihan yang masih ada. Antara tindakan tegas yang boleh diambil oleh pemimpin UMNO adalah:

1. MB sekarang mesti diganti dengan orang yang berkecuali dan boleh diterima oleh semua pihak. Jelas beliau bukanlah penyelesaian tetapi sebahagian dari masalah. Mengekalkan beliau pasti akan memburukkan keadaan.

2. Untuk tujuan (1) di atas, pemimpin UMNO dan pihak-pihak yang berkaitan perlu berjumpa dengan Sultan Terengganu untuk berbincang. Sultan lah yang memperkenan MB, jadi beliau perlu dilibatkan bersama.

3. Tindakan yang lebih baik dan terhormat ialah MB sendiri mengundur diri untuk memberi peluang kepada pemimpin UNMO menyelesaikan masalah ini. MB perlu membuang sikap ego dan mementingkan dirinya demi untuk menyelamatkan parti. Beliau patut sedar beliau menjadi MB atas ehsan parti, oleh itu parti mendahului mana-mana individu.

4. Pemimpin UMNO mestilah berani mengambil tindakan-tindakan atas ADUN-ADUN yang bertanggungjawab ke atas berlarutannya masalah ini. Mereka telah menjadi barah dalam parti UMNO keseluruhanya, bukan setakat UMNO Terengganu saja. Para pemimpin janganlah teragak-agak untuk mengambil tindakan kerana takutkan para ADUN terlibat akan melompat ke PR atau takutkan hilang sokongan. Ini soal kestabilan politik Terangganu dan juga imej dan kredibiliti pemimpin parti. Lagi lama dibiarkan, lagi beranilah para ADUN ini membuat karenah sesuka hati mereka. Sekian untuk renungan.(September 6, 2009 1:45 AM)


Saturday, September 12, 2009

PENDAKWAAN PANTAS UNDANG PADAH

(Isu Sabtu)

Perdana Menteri, menteri dan parti pemerintah kena belajar dan ingat baik-baik.

Kesalahan dilakukan oleh Ketua Polis Negara yang menyebabkan mata Datuk Seri Anwar Ibrahim lebam, tidak menyebabkan individu berkenaan dihukum atau dipenjara.

Yang kena hukum ialah kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 1999. Yang dicaci, dimaki dan digelar Firaun ialah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apakah Dr Mahathir memerintah atau memaksa Ketua Polis Negara menyebabkan mata Anwar lebam? Jawapannya tidak.

Namun, yang pasti - sebarang kesalahan dan salah laku pegawai tinggi kerajaan tidak akan menyebabkan pentadbiran Putrajaya – Ketua Setiausaha Negara atau ketua-ketua jabatan - yang ranap. Yang akan ranap ialah UMNO dan BN.

Pada saat ini, ramai terkejut dengan tindakan pantas Peguam Negara dan polis melakukan pendakwaan kes isu kepala lembu.

Saya turut terkejut, malah rakan-rakan menghantar sms dan e-mail dengan menyatakan pendapat mempersoalkan Kementerian Dalam Negeri yang begitu ‘prihatin’ kepada kes ini.

Antara sms yang saya terima semalam berbunyi: “MIMBAR JUMAAT – Marilah kita ucapkan ‘tahniah & syabas’ kepada …… serta…..yang begitu pantas mengheret pendemonstrasi kuil di Shah Alam ke mahkamah, sememangnya Menteri dari UMNO ini ‘benar2 memperjuangkan nasib Melayu, Islam serta negara”. Kepada Menteri berkenaan, teruskan cara seperti ini agar UMNO ‘lebih kuat’ di masa hedapan. Tahniah.”

Agak pelik sungguh kerana pendakwaan segera yang dibuat oleh Peguam Negara dan polis ke atas pihak yang kononnya telah menghina agama Hindu dengan mengusung kepala lembu ke pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, menuntut kita untuk merenung dan menyelidiki kes-kes sebelum ini yang masih tidak di bawa ke mahkamah..

Juga terkejut ialah isu kepala lembu ini pula telah dibesar-besarkan dan ditayang berulang kali dalam televisyen yang seolah-olah menyalahkan orang Melayu dan Islam, khususnya penduduk Seksyen 23.

Nasib baik tidak ada pilihan raya – kecil atau umum – kalau tidak kena lagilah Barisan Nasional (BN).

Ramai yang mengemukakan pertanyaan kepada Peguam Negara dan pihak polis, kenapa pendakwaan segera diambil hanya kerana isu kepala lembu. Benarkah ia menghina agama tertentu?

Apakah disebut agama tertentu ketika bantahan dibuat?

Bagaimana pula dengan penghinaan demi penghinaan yang telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu terhadap agama Islam?

Malah salah seorang pegawai kerajaan Negeri Selangor pada pertemuan penduduk Seksyen 23 dengan Menteri Besar terang-terangan menghina agama Islam apabila mempersoalkan azan.
Kenapa tidak ada pendakwaan segera?

Dalam isu Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu, ada pihak yang khususnya di kalangan ahli politik membangkitkan isu berkenaan sehingga membangkitkan kemarahan kepada orang Melayu?

Kenapa dalam kes yang menjadi sensitif kepada orang Melayu seperti Raja-Raja Melayu, hak istimewa dan agama Islam, tiada pendakwaan disegerakan hanya kerana orang Melayu boleh dikawal kemarahan mereka?

Apakah Peguam Negara dan polis mengganggap orang Melayu sebagai bangsa yang boleh ‘ditenteramkan dengan mudah”?

Kita masih ingat bagaimana insiden membuang kepala babi dalam masjid di Melaka dan di tepi pantai telah beberapa kali berlaku.

Kita juga tidak lupa penghinaan ketua DAP dan ahli parlimen Rasah yang menggelarkan islam sebagai the fucking religion.

Bagaimana dengan tindakan Jeff Ooi yang menggelarkan Islam itu sebagai pengganas?

Kita juga masih ingat dengan jelas bagaimana puluhan orang tunjuk perasaan dengan menyalakan lilin di hadapan balai polis.

Kita juga masih ingat dengan jelas apa yang berlaku dalam kejadian pencerobohan Parlimen.
Kemudian ada kumpulan yang seperti mencabar Sultan Perak apabila sidang DUN di adakan di bawah pokok dan hotel.

Juga ada pergaduhan dalam DUN negeri Perak gara-gara kumpulan yang menentang kerajaan negeri sekarang yang diperkenankan oleh Sultan Perak.

Ada pula kejadian di mana benteng manusia di Kampung Buah Pala, tidur di atas jalan, serta pimpin Hindraf yang diharamkan masih aktif dan banyak lagi. Banyak lagi…

Mana pendakwaan segera terhadap mereka itu?

Satu lagi kes jelas ialah ada yang membabitkan pemimpin tertinggi PKR dalam isu liwat tetapi Peguam Negara seperti tidak kisah dan membiarkan ia ditangguh dan ditangguh.

Mana kewibawaan Pejabat Peguam Negara?

Jangan hanya kerana ia berkaitan orang Melayu, hak istimewa Melayu, Sultan Melayu dan Islam, tindakan pendakwaan segera boleh tidak dilakukan segera.

Kenapa wujud pendakwaan pada kes-kes yang terpilih sahaja?

Apakah di negara kita sekarang ini - isu pembinaan kuil Hindu di kawasan majoriti Melayu sahaja yang menjadi the mother of segala krisis?

Banyak pihak mencadangkan supaya kerajaan dan pihak berwajib melihat punca bantahan penduduk Seksyen 23 itu dan bukan mencari helah untuk menyelesaikan isu lain atau melupakan punca sebenarnya.

Penduduk Seksyen 23, Shah Alam, Selangor, rasanya sudah cukup bersabar selama ini tanpa diambil peduli oleh kerajaan negeri Selangor.

Bantahan yang dibuat secara berhemah sebelum ini tiada jawapan atau tindakan. Memanglah kalau kita berada di tempat penduduk Seksyen 23, ia sangat mengecewakan.

Rakyat ada Ahli Parlimen dan ADUNnya adalah daripada PAS yang melaungkan kononnya ia parti memperjuangkan Islam. Tetapi ternyata mereka turut ‘bersekongkol’ dengan PKR dan DAP membelakangkan kepentingan penduduk seksyen berkenaan.

Cuba katakan, apakah pilihan yang ada pada penduduk berkenaan?

Lebih memburukkan, wakil Pas yang kononnya memperjuangkan kedaulatan Islam juga membisu.

Bukan isu mengusung kepala lembu yang sepatutnya diperbesarkan tetapi perkara pokok ialah pembinaan kuil di kawasan majoriti Melayu.

Logiknya, kenapa tempat itu dipilih oleh Kerajaan Selangor? Juga kenapa tanpa rundingan dengan penduduk setempat sebelum membuat keputusan itu?

Lebih memburukkan keadaan, kini kerajaan Selangor bertegas untuk tetap menempatkan pembinaan kuil itu di Seksyen 23.

Peguam Negara dan pihak polis tentunya tahu apa yang berlaku dan degilnya kerajaan Selangor tetapi kenapa penduduk Seksyen 23 tetap mahu dijadikan mangsa?

Apakah Peguam Negara dan polis mahu orang Melayu pula tidak yakin kepada mereka pada ketika sebelum ini bukan-Melayu dan sebahagian orang Melayu dalam PAS dan PKR sering mempertikaikan keputusan polis?

Saya ulangi, orang Melayu yang tidak berpuas hati tidak akan menghukum pegawai kerajaan – termasuk Peguam Negara atau polis – tetapi mereka akan menghukum Perdana Menteri dan pasukannya.

Tunggulah apa akan berlaku pada pilihan raya umum ke 13 nanti.