Thursday, June 8, 2017

FGV KEBANGGAAN NAJIB KINI DILANDA KEMELUT, TETAPI...


Memalu dan memilukan apabila syarikat konglomerat negara,  Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dilanda kemelut akibat pertelingkahan antara Pengerusi dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya.

Apa pun kita bersyukur kerana kemelut ini mungkin akan mendedahkan banyak lagi isu lain yang menyebabkan FGV sudah menjadi begitu ‘kecil’ berbanding ketika dilancarkan sebelum ini.

FGV mulanya dilihat gah. Namun kini kedudukannya begitu kerdil apabila nilai pasaran sahamnya menjunam berbanding ketika dibuka bernilai RM4.55 seunit yang kononnya akan berlaku menjadi 'durian runtuh' buat warga FELDA.

'Durian’ itu kini benar-benar runtuh dan merudum hingga ke paras RM1.40-RM1.90 seunit.

Ini belum lagi dilihat kepada kerugian yang dialaminya kepada hampir RM100 juta tetapi anehnya Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tetap kekal dikerusinya.

Mengapa demikian? Apakah ada ‘pelindung besar’ buat Mohd Isa? Atau memang beliau tidak boleh disentuh dan tidak akan ada sesiapa pun boleh menjatuhnya?

Kebal, iaitulah perkataan sesuai untuk Mohd Isa di kerusi Pengerusi FGV.


Dalam kedudukan kemelut sebegini, adilkah menggantung tugas satu pihak sementara satu pihak lagi dikekalkan pada ketika siasatan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) akan dijalankan?

Betul juga apabila Presiden dan Ketua Pengarah Urusan FGV,  Datuk Zakaria Arshad mempersoalkan kenapa beliau digantung tugas atau diminta lepaskan jawatan.

Apakah beliau bersalah? Ketegasnya untuk tidak melepaskan jawatannya selagi tidak didapati bersalah adalah tindakan wajar.

Asalnya dikatakan hanya ribut kecil,namun kini sudah menjadi taufan dan sudah pasti kes ini bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara tetapi juga di luar negara.

Pertelingkahan yang menyebabkan penggantungan dibuat terhadap Zakaria dibuat selepas beliau menolak permintaan Mohd Isa untuk meletakkan jawatan.

Ia  berhubung dakwaan salah laku yang berkaitan dengan pembayaran kepada sebuah syarikat Afghan.

Lembaga Pengarah FGV turut mengarahkan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Ahmad Tifli Mohd Talha, bercuti susulan siasatan yang telah dilakukan oleh syarikat audit, PricewaterhouseCoopers yang tidak boleh dinyatakan kepada umum.

Tidak diketahui sejauh mana benar dakwaan  bahawa kemelut menjadi serius gara-gara  Isa gagal memperkudakan Zakaria dalam beberapa keinginan beliau untuk dijayakan.

Kelmarin Mohd Isa menolak dakwaan blogger Raja Petra Kamaruddin bahawa  beliau cuba menyingkirkan Zakaria pada mesyuarat Lembaga Pengarah Jumaat lalu.

Mohd Isa bagaimanapun menafikan mesyuarat tersebut hanya membincangkan mengenai penyingkiran Zakaria, sebaliknya banyak perkara lain dibincangkan.

Zakaria, dalam surat kepada  Mohd Isa, menafikan beliau telah melanggar kod tadbir urus korporat dan berkata pembayaran itu telah diluluskan oleh pendahulunya.

Namun puncanya apa  sehingga timbul kemelut kepimpinan dan apa pula kesan dan penyudahnya?

Kemelut dikatakan mempunyai kaitan dengan tunggakan bayaran kepada anak syarikatnya FGV Delima Oil Products Sdn Bhd dengan sebuah syarikat pembeli minyak sawit luar negara.


Menariknya tidak sampai sebulan, iaitu pada 24 Mei 2016 lalu Zakaria begitu bangga mengatakan FGV ialah  salah sebuah konglomerat minyak sawit utama di Malaysia memainkan peranan penting dalam program pembangunan tanah dan penempatan pertama di negara ini, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Namun sejak kelmarin, nampaknya FGV berada dalam kedudukan yang mencemaskan pelabur dan mungkin agensi kerajaan itu sendiri.

Pelik apabila Raja Petra mendakwa Mohd Isa cuba menyingkirkan presiden Zakaria bagi menutup dakwaan salah laku rasuah.

Apakah memang berlaku rasuah dalam FGV?

Isa berang dengan tuduhan itu, malah apabila seorang wartawan akhbar arus perdana mengemukankan soalan apakah benar truduhan Raja Petra itu mengugut mahu menyaman wartawan itu.

“Kamu buat kenyataan ini, saya saman awak,” katanya ketika menjawab soalan itu dalam sidang media di Menara Felda, Kuala Lumpur kelmarin.

Zakaria pula setakat ini mempertahankan diri dan enggan berundur serta berhujah proses pembayaran dan syarat kredit yang digunapakai Delima Oil itu sudah dilaksanakan sebelum beliau menjadi CEO lagi.

Bagaimanapun, selepas Zakaria dicutikan, Mohd Isa  mengumumkan siasatan audit dalaman akan dibuat ke atas Zakaria serta mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zakaria pula sudah ke SPRM dan mahu SPRM menyiasat keseluruhan operasi FGV bagi menilai sekiranya berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.

SPRM pula menyatakan kesediaanya untuk membuat siasatan walaupun Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengatakan  SPRM terlebih dahulu perlu meneliti laporan yang dibuat jika ada berlaku salah guna kuasa atau rasuah.

SPRM telah menerima beberapa maklumat sebelum ini berhubung isu yang sama, walau bagaimanapun siasatan hanya akan tertumpu kepada isu salah guna kuasa serta rasuah dan bukannya isu peribadi pemberi maklumat.

Malah Zakaria menegaskan berusaha menghalang pelaburan ratusan juta yang dibuat oleh lembaga pengarah syarikat tersebut yang disifatkannya sebagai "tidak masuk akal".

Antara pelaburan itu, katanya, adalah rancangan bernilai 100 juta pound sterling (kira-kira RM551 juta) untuk pengembangan Felda Cambridge Nanosystems Ltd , sebuah syarikat nano karbon, yang kerugian RM117 juta dalam tempoh tiga hingga empat tahun lepas.

"Sekarang mereka (lembaga FGV) mahu mengembangkannya, mereka memerlukan 100 juta pound lagi. Bagi saya ini adalah tidak masuk akal, kami sebuah syarikat perladangan," beliau dipetik sebagai berkata oleh The Star.

Pelaburan lain, adalah rancangan untuk menghabiskan RM300 juta bagi membeli 30 peratus pegangan dalam sebuah kilang krimer, yang dimiliki oleh sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan bukan teras.

Zakaria juga melahirkan rasa tidak puas hati mengenai amalan rundingan terus. "Terdapat contoh-contoh lain, rundingan langsung, kontrak langsung ... Saya telah diberi kepercayaan untuk menguruskan syarikat tetapi apabila saya mahu menguatkuasakan dengan tegas, maka ini apa yang berlaku," katanya.

Turut masuk campur dalam kemelur ini ialah Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang menyifatkan arahan  Zakaria bercuti sebagai mangsa terbaru Mohd Isa.

Presidennya, Mazlan Aliman mendakwa Mohd Isa ketika menjadi Pengerusi FELDA bertindak “menyejuk bekukan” pengarah besar ketika itu – Datuk Zulkifli Abdul Wahab yang tidak disenanginya.

Ia  disusuli dengan pengganti Zulkifli, Datuk Faizoull Ahmad yang turut “disejuk bekukan” sehingga beliau didakwa di Mahkamah Sesyen baru-baru ini.

Dengan kata lain, Mazlan mendakwa daripada awal, Mohd Isa memang tidak menyenangi Zakaria.

Aktivis Felda PAS Naraza Muda pula melihat alasan berhubung tunggakan bayaran sebuah syarikat asing kepada anak syarikat FGV Delima hanya “isu teknikal” untuk mengketepikan Zakaria.

Naraza mengingatkan bahawa presiden FGV sebelum ini juga pernah mengalami nasib hampir sama apabila kontrak tidak disambung.

Naraza juga membuat spekulasi perkembangan dalaman Felda itu sebenarnya mempunyai kaitan dengan urus niaga dengan syarikat China.

“Ramai bekas kakitangan Felda menggagap Mohd Isa gagal memperkudakan Datuk Zakaria dalam beberapa keinginan beliau (Mohd Isa) dijayakan,” dakwanya.

Malah Naraza berpendapat, apa yang berlaku kepada Felda sejak Mohd Isa dilantik menjadi pengerusi Felda pada tahun 2011 sehingga di pecat awal tahun ini, peneroka Felda perlu menyokong dan berdiri teguh di belakang Zakaria.

Ini  kerana Zakaria cuba memacu dan membawa FGV ke landasan betul dengan apa yang dialami FGV sejak disenaraikan di BSKL.

Belum dapat dipastikan sama ada tindakan terhadap  Zakaria itu sebagai suatu kesilapan pada ketika beliau dikatakan sedang melaksanakan misinya untuk memperbetulkan kepincangan dalam syarikat itu.


Sewajarnya beliau diberikan ruang dan siasatan oleh SPRM perlu dilakukan dengan adil dan pendapat yang mengatakan penstrukturan FELDA yang dilakukan Tan Sri Shahrir Samad tidak akan mendatangkan kesan, selagi Isa menjadi pengerusi FGV juga belum dapat disahkan.

Yang sahnya kemelut ini akan mendedahkan banyak perkara dalam FGV yang  sering dibangga-banggakan oleh Perdana Menteri.

Mohd Isa yang dilantik oleh Datuk Seri Najib Razak ternyata walaupun mempunyai sokongan padu yang kuat tetapi rekod membuktikan bahawa era Mohd Isa sebagai Pengerusi FGV, telah berlaku penyelewengan di Felda Iffco Gida Sanayi, sebuah anak syarikat yang dimiliki 50 peratus saham oleh FGV di Turki, dengan kerugian saham luar biasa sebanyak RM57 juta.

Penyelewengan tersebut telah menyebabkan kerugian suku ketiga FGV yang berakhir 30 September 2016 melebar daripada RM33.9 juta tahun yang lalu ke RM94.86 juta.

Apakah Mohd Isa akan terus berada di kerusinya selepas ini?

Jika terus dikekalkan, dia dikekalkan untuk kepentingan siapa?

Tuesday, June 6, 2017

TOLAK PEMIMPIN YANG MENGANGGAP PELUANG UNTUK DIRI, KELUARGA DAN KRONI...

 

Siapakah dan dari parti manakah selain PAS yang meminta menjadi pemimpin,  sama ada peringkat cawangan, daerah atau bahagian, negeri dan Perdana Menteri di Malaysia hari ini?

Jika menurut kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang, “adapun ahli dan penyokong PAS yang sangat setia sanggup tidak berpeluh dan berpecah kepala bertanya siapa calon sama ada jawatan penghulu kampung, anggota dewan undangan negeri, parlimen dan jauh sekali siapa calon perdana menteri.”

Menurutnya, selepas mengikuti perbincangan hangat di kalangan semua parti yang berjuang menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan begitu galak menamakan calon perdana menteri, nyata sekali hanya PAS yang tidak mencalonkan sesiapa.

Apakah ini menggambarkan bahawa mereka yang dipilih dalam kepimpinan PAS adalah yang ‘menolak-nolak untuk dilantik’ tetapi tercalon dengan sendiri?

Maka kerana dicalonkan mereka menerima jawatan yang ditawarkan itu?

Juga apakah dengan kenyataan ini bermakna PAS tidak berminat untuk menonjolkan calonnya sebagai Perdana untuk memerintah negara ini jika ditakdirkan berpeluang?

Ini kerana kerana jika menonjolkan tokoh pemimpinnya ia tidak memcerminkan kedudukan sebenar dan tidak selari dengan slogan Muktamar PAS terakhir. Sejahtera Bersama Islam.


Meneliti kenyataan Presiden PAS seperti disiarkan oleh Malaysiakini semalam yang bertajuk, “Polemik calon PM: Tolak tokoh meminta-minta jawatan” membawa kepada suatu keadaan di mana setiap individu perlu merasa takut untuk dinobatkan sebagai pemimpin.

Kata Hadi, “orang yang meminta jawatan dan terlalu inginkannya adalah orang yang meringankan kewajipan menunaikan amanah untuk menegakkan agama Allah dan Allah tidak menolongnya. Tetapi kalau orang itu tidak meminta-minta namun diberi jawatan supaya memegang amanah, nescaya diberi pertolongan Allah.”

Beliau turut menyatakan “semua para Khulafa ar-Rasyidin tidak mencalonkan diri masing-masing menjadi khalifah”.

Malah beliau turut menyebut  Firman Allah SWT (bermaksud): Ikutlah orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (Yasin: 21)

Berdasarkan kepada pandangan Hadi ini, siapakah sebenarnya yang layak untuk memimpin masyarakat Malaysia yang terdiri daripada 52 peratus orang Islam ketika ini?

Membandingkan antara parti yang bertanding dalam pilihan raya akan datang (Pilihan Raya Umum ke-14) nanti – jika berasaskan kepada kenyataan Hadi – apakah UMNO yang menjadi tonggak Barisan Nasional, PKR, AMANAH atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak boleh menonjolkan pemimpin mereka yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri?


Maknanya ketua bagi parti-parti berkenaan seperti Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Mohamad Sabu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau juga Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak sewajarnya menjadi Perdana Menteri.

Malah Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut diperkatakan akan diletakkan sebagai ‘Perdana Menteri sementara’ juga tidak layak, walaupun beliau tidak mencalonkan dirirnya?

Apakah yang diperkatakan Hadi ini sebagai suatu sindiran kepaada ketua-ketua parti politik bagi mengatakan dirinya (Hadi) tidak berebut untuk menjadi Perdana Menteri?
         
Atau bagi Hadi sendiri beliau mungkin mempertimbangkannya hanya jika beliau dalam keadaan seperti Umar Abdul Aziz yang diminta menjadi khalifah, dengan menganggap pelantikan itu sebagai bala bencana buat dirinya, namun tetap menjadi amanah Allah.

Apabila diminta berbuat demikian, Hadi akan terus ke masjid, menaiki mimbar dan menyampaikan ucapan: “Saya telah dicalonkan menjadi pemimpin kamu. Jawatan ini adalah juga hak kamu yang tidak boleh dipermainkan. Adakah kamu semua bersetuju saya yang dipilih?”

Apabila seluruh jemaah bersatu suara dengan kuat mempersetujuinya maka Umar menerima pelantikan itu dan bertugas dengan cemerlang.

Dalam konteks Malaysia hari ini, apakah masjid itu boleh digantikan dengan Dewan Rakyat (Parlimen) untuk mengesahkan perlantikannya.

Ini kerana di situlah boleh didapatkan persetujuan semua parti politik, khususnya yang mempunyai majoritI selepas PRU14.


Namun persoalannya, jika PAS tidak mendapat majoriti atau disokong melalui pakatan dengan parti lain, apakah Hadi berpeluang mendapat peluang untuk melakukan seperti Umar Abdul Aziz?

Lalu peluang itu berpindah kepada orang lain tetapi prosesnya tetap sama di mana walaupun seseorang itu meminta, merayu atau mendabik dada mengatakan dia boleh menjadi Perdana Menteri tetapi kalau partinya tidak mendapat majoriti di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN), bagaimana mereka akan dilantik sebagai Perdana Menteri atau Menteri Besar?

Sukar untuk mencari seseorang yang benar-benar berciri dan mematuhi qudwah (contoh) Rasulullah yang yang benar-benar ‘tidak meminta-minta jawatan’.

Apabila seseorang bertanding jawatan presiden parti atau menang tanpa bertanding, atau dilantik atau melantik dirinya sendiri, mereka sebenarnya sudah bergelut dengan jawatan.

Apabila Hadi menyebut ‘orang yang meminta jawatan dan terlalu inginkannya adalah orang yang meringankan kewajipan menunaikan amanah untuk menegakkan agama Allah dan Allah tidak menolongnya. Tetapi kalau orang itu tidak meminta-minta namun diberi jawatan supaya memegang amanah, nescaya diberi pertolongan Allah’, bagaimanakah caranya mencari tokoh atau pemimpin yang bercirikan sebegini di zaman ini?

Memanglah semua Khulafa ar-Rasyidin tidak mencalonkan diri masing-masing menjadi khalifah tetapi bagaimana melaksanakan proses pelantikan ini jika ada pemilihan dalam parti?

Juga bolehkah Hadi terangkan bagaimana pelantikan itu boleh dibuat seperti di era Khulafa ar-Rasyidin dalam kedudukan orang Islam dan bukan Islam hampir sama jumlahnya di Malaysia ketika ini?

Jika apa yang diperkatakan oleh Hadi itu sebagai pernyataan akademik semata-mata dan dalam PAS sendiri pun ada pertandingan dan penonjolan bahawa ‘aku boleh menjadi itu dan ini’, pandangan beliau itu  sebenarnya semakin mengelirukan bukan menjernihkan proses pemilihan seseorang pemimpin.

Yang diperlukan ketika ini ialah pemimpin yang boleh memerintah dengan adil, saksama dan menjadikan negara ini dalam keadaan harmoni dan makmur.


Prasyaratnya jangan dia seorang yang mementingkan kroni, sahabat dan kaumnya semata-mata, apa lagi memerintah dengan zalin.

Rakyat berbagai kaum perlu mendapat pembelaaan sewakarnya dan melalui kejujuran dan sifat amanahnya, negara akan terjamin makmur dan sejahtera.


Malaysia memerlukan pemimpin yang mampu menyatupadukan rakyat, mempunyai wawasan dan mampu membawa negara ke tahap yang cemerlang yang mana ciri-ciri keIslaman itu diterjemahkan menjadi dasar dan pentadbiran, bukan slogan politik semata-mata.

Kita bukan mahu mengagungkan negara bukan Islam tetapi persoalannya bagaimana sesetengah negara berkenaan  mempunyai ciri-ciri amalan Islam melebihi Malaysia, walaupun akidah rakyatnya bukan Islam.

Persoalannya juga, sebagai orang Islam kita memang mahukan pelantikan pemimpin dilandaskan kepada tuntutan Islam.

Namun dalam kedudukan sekarang, bilakah aganya kita akan mencapai keadaan yang membolehkan seseorang yang dilantik itu selari dengan sabda Baginda SAW iaitu “Demi Allah! Aku tidak melantik orang yang meminta jawatan atau rakus mahukan jawatan.”


Yang kita cari dan harapkan ialah TIDAK BERTEMU dan TERLEPAS daripada pemimpin yang disebutkan oleh Baginda melalui hadisnya: “Antara kemusnahan umatku pada akhir zaman (ialah) apabila jawatan menjadi pemimpin dianggap peluang untuk diri, keluarga dan kroni.”

Jika rakyat Malaysia dapat membebaskan dirinya daripada memilih pemimpin dalam kategori seperti itu pada PRU14 nanti, rasanya ia sudah memadai.

Kita perlu berusaha dan berdoa kepada Allah swt supaya mengabulkan permintaan kita. 

Bersatu dan berdoalah agar dihantar kepada kita pemimpin yang beramanah dan berwawsan!

Monday, June 5, 2017

RM9.5 JUTA - NAJIB, SHAFIE PERLU TELUS ‘BERSIHKAN DIRI’...


Seorang  anggota Majlis Tertinggi UMNO menegaskan parti itu menjadi sebuah parti yang beruntung kerana mempunyai seorang presiden yang telus, iaitu Datuk Seri Najib Razak.

UMNO  disifatkan beruntung kerana ketua parti sangat berterus terang dan sudah terangkan banyak kali dari mana dana untuk parti itu diperolehi..

Beliau menyatakan perkara ini sebagai jawapan kepada saranan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Muhajid Yusof Rawa yang  meminta semua ketua bahagian UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menerima dana didakwa dari kantung SRC International supaya bertaubat dan memulangkan wang berkenaan.

Ini kerana ia adalah milik rakyat.

Apakah Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan  dan Presiden UMNO -= orang yang diamanahkan menjaga kepentingan kepentingan rakyat - sanggup mengambil wang rakyat?


Rakyat belum lupa bahawa dokumen yang diumumkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada sidang media pada Januari tahun lepas menunjukkan sekurang-kurangnya RM32 juta disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri daripada SRC International.

Namun Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku. Ia atas alasan bahawa perdana menteri tidak sedar menerima wang berkenaan.

Berkaitan perkara ini, dengan sikapnya yang ‘selamba badak’ Najib menafikan dakawan bahawa beliau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Kini apabila Najib dipalitkan dengan isu pembayaran RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Muhammmad Safie Abdullah, jangan pula Najib dan pemimpin UMNO berdiam diri dan tidak meminta Najib supaya telus menjawab persoalan ini.

Kenapa lama menunggu untuk menjawab persoalan ini? Kedua-duanya perlu menjawab 'ya atau tidak'?

Apa lagi isu ini turut dikaitkan dengan wang dari SRC International dan menggugat masruah dan keredibiliti Najib sekiranya  jika terus berdiam diri.

Nyata sekali pendedahan oleh Sarawak Report ini menimbulkan persoalan asas – bagaimana wang dari SRC International disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib?


Sarawak Report  mendakwa Najib membayar wang berkenaan menggunakan dana anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Malah penjelasan Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz kelmarin mengenai wang berjumlah RM9.5 juta yang disalurkan Najib Razak ke akaun Shafee dianggap tidak mencukupi.

Semalam Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya kesal kerana sehingga kini perdana menteri dan peguam kanan itu tidak menjawab dakwaan berkenaan.

Bagi Wan Azizah  rakyat Malaysia sejauh ini hanya mendengar alasan remeh yang diberi oleh Nazri.

Kenapa dianggap remeh?

Ini kerana persoalan pokok tidak dijawab mengapa engapa dana dari SRC International ini berada di dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib.

Juga berkaitan dengannya mengapa RM 9.5 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadi Shafee.

Kedua-duanya perlu tegas menepis dakwaan Sarawaj Report ini dan kekalutan ini pastinya bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara.

Bukan sekadar wujud tanda tanya apakah bayaran berkenaan mempunyai kaitan dengan kes liwat kedua terhadap suami Wan Azizah tetapi kini keputusan mahkamah terhadap Anwar mula dipersoalkan.

Najib perlu bersihkan dirinya sebagai individu, apa lagi sebagai Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional,Presiden UMNO, Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pekan – bebas daripada melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA 2014).

Jika beliau gagal membersihkan dirinya, maka satu lagi episod hitam akan menghantui dirinya dan kerajaan BN selepas gagal menjernihkan tuduhan mengenai wang RM2.6 bilion yang terpalit dengan dirirnya sebelum ini.

Saturday, June 3, 2017

‘RM9.5 JUTA UNTUK SHAFIE’ – RAKYAT DENGAR, PANDANG SAHAJA?

Pendedahan ‘RM9.5 Juta Untuk Shafie’ - JIKA BENAR  - jelas perbuatan tidak bertanggungjawab  yang akan menggugat dan mengancam sistem politik dan pentadbiran negara.
Ini  kerana wang yang didakwa disalurkan kepada peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah sebelum kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan wang peribadi, sebaliknya wang kerajaan.

Pendedahan oleh Sarawak Report mengaitkan Perdana Menteri mengenai perkara ini pastinya amat mengejutkan semua pihak.

Wang yang digunakan itu adalah wang SRC International (SRC) yang dipinjam daripada dana awam Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang didakwa oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat sebagai wang yang telah diseleweng.

Bukti bertulis yang didedahkan Peguam Negara pada 27 Januari 2016 bahawa perdana menteri telah menerima wang daripada SRC adalah kes prima facie wujudnya salah laku jenayah pecah amanah oleh perdana menteri.

Perdana Menteri hingga saat ini tidak menafikan menerima wang tersebut, malahan tidak pula membayar balik kepada KWAP walaupun telah dibuktikan ianya wang KWAP.

Yang nyata kini, tiada seorang pun pemimpin UMNO yang berani memberikan reaksi – selain Datuk Seri Mohd Nazri Aziz - membela Najib memandangkan  bayaran jutaan ringgit itu menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap kerajaan dan  UMNO sendiri.

Nazri yang juga  bekas menteri undang-undang pun 'lari daripada jawapan sebenar' sekadar mengatakan tidak tahu bayaran sebenar kepada Shafie.

Apa sebenarnya kesan daripada pendedahan Sarawak Report ini?

Pertama ialah kemungkinan sistem politik dan kehakiman di negara ini yang dilihat terpalit dengan rasuah ‘di siang hari’;

Kedua, ia membabitkan integriti pihak pendakwaan;

Ketiga, kebebasan badan kehakiman menjadi tanda tanya kerana Shafee adalah peguam yang dilantik Peguam Negara terdahulu; dan

Keempat, jika tiada tindakan, imej dan maruah Malaysia akan terjejas teruk dan kini sistem keadilan dan kehakiman kita pula akan diseret sebagai satu lagi kebubrukan negara, selain isu kleptokrasi.

Isu yang sebegini serius harus disiasat pihak polis dengan sedalam-dalamnya kerana Shafee mempunyai percanggahan kepentingan dalam kes tersebut.

Paling penting, pembayaran sebanyak RM9.5 juta kepada Shafie ini menimbulkan spekulasi negatif kerana dibimbangi boleh mencemar ketelusan dan keadilan keputusan rayuan tersebut.

Di pihak rakyat pula, ada yang terkejut tetapi langsung tidak tahu dan tidak mampu kaitkan kes ini dengan kebejatan Najib.

Di kalangan rakyat yang lain pula, mereka tahu tetapi kepada siapa mahu diaju dan ditunjukkan kemarahan mereka;

Ada sebilangan rakyat yang bertindak membuat laporan polis dan tuntutan siasatan dijalankan.

Sementara pemimpin yang sudah kenyang dengan dedak Najib akan terus membisu seribu bahasa.

Mereka mungkin takut atau berperasaan ‘lantaklah,  biar Najib yang jawab’ kerana ini kes politik peribadi beliau.


Kita bangga apabil Ketua ARMADA Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Abdul Rahman seawal pagi semalam tampil  membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

Tindakannya itu mendahului parti pembangkang lain, termasuk PKR yang bekas Ketua Umumnya menjadi antara individu penting dalam kes ini.

Syed Saddiq  dengan bernainya menamakan Shafee Abdullah sebagai peguam yang menerima dana daripada Najib.

Risiko ini tinggi namun bagi Syed Saddiq, "Semua orang tahu bahawa Shafee adalah orang kepercayaan Najib dan hadir di rumahnya, ketika mesyuarat dengan Saiful berlangsung, tetapi bayaran lumayan kepada peguam itu adalah konflik kepentingan.

"Saya menyeru orang ramai supaya tampil bersama saya dan membuat laporan polis mengenai isu ini. Kita harus bersama-sama dan berjuang untuk membersihkan badan kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Saddiq berkata walaupun kerajaan mempunyai kuasa untuk melantik seorang pendakwa raya luaran, namun bayaran hendaklah dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan bukan perdana menteri.

Yang pasti,  seperti kata timbalan ketua pemuda AMANAH, Faiz Fadzil,  pendedahan ini memberikan impak negatif terhadap profesion peguam kerana peguam perlu bertindak secara integriti dan digniti sepertimana yang termaktub dalam Legal Profession (Practice and Etiquette) Rules 1978.

Menariknya hari ini, Majlis Peguam juga mahu polis menyiasat tanpa rasa takut dan pilih kasih dakwaan Sarawak Report mengenai seorang peguam terkemuka menerima RM9.5 juta daripada Perdana Menteri.

Presidennya, George Varughese menegaskan walaupun masih terlalu awal bagi Majlis Peguam untuk merujuk peguam itu kepada Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara, majlis itu perlu mengumpul bukti yang cukup untuk membuktikan Shafie melakukan salah laku profesional.


Varughese berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Syed Saddiq semalam yang menyebut beliau membuat laporan itu demi mengelak sebarang persepsi negatif terhadap sistem kehakiman Malaysia.

Selain dakwaan terbaru ini Najib sudah berhadapan dengan kecaman ekoran laporan The Wall Street Journal pada 2 Julai 2015 mendakwa RM2.6 bilion disalurkan ke dalam akaun bank peribadi beliau pada Mac 2013.

Bagaimanapun Najib menafikan sebarang salah laku sambil mendakwa wang itu adalah sumbangan kerabat diraja Arab Saudi untuk membiayai kempen pilihan raya umum UMNO pada tahun 2013.

Dengan kedudukan ini selain  adanya laporan oleh Syed Saddiq itu,  polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara perlu mengambil langkah segera agar siasatan dapat dijalankan di bawah pelbagai undang-undang jenayah.

Ini  termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 terhadap semua individu atau organisasi yang telah dibayar oleh Perdana Menteri daripada wang SRC ini.

Adalah penting siasatan dibuat bagi memberitahu rakyat bahawa pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab undang-undang dan sosial untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Malah hasil siasatan juga akan memberitahu rakyat apakah tuduhan Sarawak Report itu sengaja mahu mencemar imej Shafie, Perana Menteri dan institusi kehakiman negara ini?

Benar apa yang disebut oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, P Ramkarpal Singh bahawa Kementerian Kewangan boleh mendedahkan bayaran sebenar kepada Shafie .

Dengan kenyataan Kementerian Kewangan, ia akan meredakan spekulasi, selain menafikan laporan yang dibuat oleh Sarawak Report.

Lagipun sebelum ini Parlimen diberitahu Shafie hanya dibayar RM1,000 untuk berkhidmat di pihak kerajaan yang menyebabkan Anwar dipenjarakan.

Harapkan Perdana Menteri membuka mulut mengenai isu dakwaan salah laku dalam skandal penyelewengan berskala mega ini?

Ia sama sekali tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini.

Ia kerana akan mendedah atau membuka pekong mengenai dirinya yang sudah hilang sifat akauntabiliti dalam diri beliau sendiri.

Tuduhan ini juga menggambarkan bahawa Malaysia akan terus berdepan dengan berbagai krisis kredibiliti, integriti dan maruah seorang Perdana Menteri bernama Najib Razak.


Selagi Najib berada di kerusinya, akan banyak lagilah maruah negara akan tercalar!