Showing posts with label pemimpin. Show all posts
Showing posts with label pemimpin. Show all posts

Wednesday, June 21, 2017

APA UNTUNGNYA TENTUKAN PM, KABINET BAYANGAN PH SEKARANG?

 

Tidak bolehkah parti-parti politik di bawah Pakatan Harapan (PH) mengawal ‘mulut tempayan’, menghentikan membuat kenyataan, laporan dan latar belakang penulisan negatif mengenai pakatan itu di kalangan pemimpin mereka?

Apakah mereka cuba mencari publisiti murahan? Atau memang mulut mereka perlu disumbat agar tidak membuat kenyataan yang memeningkan kepala rakyat, khususnya penyokong PH sendiri?

Baru-baru ini kecoh kenyataan oleh pemimpin PKR mengenai siapa patut menjadi Perdana Menteri, termasuklah menjaja Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘Perdana Menteri ke 7’.

Kemudian akibat daripada ‘mulut tempayan’ juga, timbul isu siapa akan memimpin PH sama ada jawatan Pengerusi, Presiden atau juga Ketua Umum.

Malah ada juga 'mulut tempayan' yang mengatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sewajarnya mengetuai PH yang menyebabkan timbul perbahasan yang kurang enak.

Kenyataan oleh pemimpin DAP, khususnya oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pada 14 Jun lalu yang menolak kemungkinan dua jawatan utama Pakatan Harapan diisi tokoh PPBM juga bukan menghasilkan suasana yang harmoni dalam kalangan PH.


Guan Eng menyatakan perkara itu ditanya mengenai kemungkinan kedua-dua jawatan berkenaan - yang belum diketahui kedudukannya - diisi oleh Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengapa menyatakan tidak setuju di luar mesyuarat mengenai  jawatan pengerusi dan presiden PH sedangkan ia boleh ditimbulkan dalam mesyuarat. Malah beliau sering diundang untuk hadir dalam mesyuarat PH.

Rakyat melihat dengan meluat gelagat beberapa pemimpin pembangkang yang seolah-oleh bercakaran.

Tidak cukupkah dengan  membiarkan pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO membuat berbagai kenyataan spekulasi  akibat kebimbangan mereka terhadap perkembangan PH yang mendapat perhatian rakyat berbanding BN?

Perlukah pemimpin PH ikut terpengaruh dengan tarian dan mainan BN  yang kemudiannya menyebabkan terjadinya perbincangan hangat di media sosial yang kelak merugi PH sendiri?

Kenapa mesti apa-apa keputusan mesyuarat PH boleh begitu cepat pecah di luar?

Kenapa tidak amalkan budaya  ‘biar pecah di perut, jangan pecah di mulut’ di kalangan pemimpin tertentu dalam PH. 

Belajarlah daripada BN umpamanya dalam  isu RUU355, setiap komponen tidak membuat sebarang kenyataan bercanggah dan menunjukkan solidariti mereka selepas bermesyuarat.
Yang baik mengenai pentadbiran BN perlu dipuji dan dijadikan panduan.

Kegilaan mendapatkan publisiti murahan ini akan merugikan PH yang akhirnya menyulitkan usaha menewaskan BN dan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kelmarin ‘kegilaan mendapatkan publisiti’ terus belaku apabila Datuk Zaid Ibrahim daripada DAP yang sudah berapa banyak parti disertainya sebelum ini membuat spekulasi dan ramalan yang langsung tidak menguntungkan PH dengan kenyataannya berkaitan Perdana Menteri dan Kabinet Bayangan PH.


Memang penulis hormati keupayaan Zaid. Sesiapa pun boleh menyatakan pandangan peribadi tetapi biarlah membawa kepada kebaikan PH, bukan menimbulkan spekulasi  bersifat tidak relevan.

Jangan kerana rapat dengan pemimpin tertinggi parti tertentu Zaid merasakan dia berhak membuat berbagai spekulasi yang melibatkan kepentingan parti lain dalam PH.

Apa hak beliau untuk menyatakan siapa perlu diangkat daripada parti PKR, AMANAH, DAP dan juga PPBM?

Beliau ahli DAP dan tidak wajar cuba menunjuk ajar pemimpin parti lain mengenai siapa yang wakar dilantik, walaupun ia hanya Kabinet Bayangan.

Memanglah pemimpin tertinggi PH tidak ambil pusing mengenai kenyataan Zaid tetapi rakyat di bawah akan jadi keliru. Ramai melihat ada sahaja ‘perkara yang tidak kena’ dalam PH.

Persoalannya siapa Zaifd untuk umum Kabinet Bayangan PH? Difahamkan, beliau tidak terlibat langsung dalam mesyuarat penting PH tetapi  sebaliknya beria-ia mengumumkan siapa layak itu dan ini.

Apa bukti dan alasan Zaid apabila mengatakan pengumumkan senarai Kabinet Bayangan PH akan meredakan perbezaan parti gabungan terhadap jumlah kerusi yang perlu ditandingi.

Apa lesen diberikan oleh PH untuk Zaid menyebut pemimpin PH layak pegang itu dan ini?

Benarkah perbincangan isu pelantikan Kabinet lebih awal akan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka bersedia membentuk kerajaan?

Tanpa menamakan 'siapa memegang apa' bermakna PH tidak bersedia membentuk kerajaan?


Akibatnya? Menteri UMNO Datuk Seri Rahman Dahlan semalam membidas Zaid seperti “terdesak” kerana mendesak Dr Mahathir sekali lagi memegang tampuk kekuasaan dan memimpin negara.

Ahli majlis tertinggi UMNO itu yang disediakan peluru oleh Zaid berjaya menembak bukan sahaja Zaid tetapi menembak PH dengan mengatakan "cadangan meletakkan seorang tua ke kedudukan tinggi itu seolah mengatakan PH tiada pemimpin lain untuk memimpin negara".

Malah, alasan Zaid yang mengatakan pengumuman awal itu akan mengelakkan pertikaian baru daripada meletus di kalangan semua pihak, yang hanya akan melemahkan pakatan rapuh berkenaan,  juga tidak tepat.

PH pun belum bersedia berdepan pilihan raya dengan satu logo dan satu manifesto tetapi sudah mempunyai Kabinet Bayangan?

Memang tidak salah mengucapkan terima kasih kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri PH tetapi jangan mengheret kedudukan itu sebagai lesen untuk beliau memandai-mandai  mengumumkan jawatan penting dalam PH.

Sebenarnya sudah cukup perbahasan mengenai cadangan supaya Dr Mahathir sebagai calon layak untuk menduduki jawatan perdana menteri.

Malah kenyataannya bahawa Perdana Menteri yang dilantik perlu memastikan kesemua barisan kabinetnya melakukan kerja dengan betul dan jujur serta memecat mereka jika gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing, bagaikan mahu mengajar siapa juga bakal Perdana Menteri yang akan dilantik nanti.

Malah kenyataannya bahawa jawatan timbalan perdana menteri perlu dibiarkan kosong sebagai isyarat kuat kepada Anwar yang kini dalam penjara bahawa jawatan tersebut disimpan untuk beliau,  juga boleh mendatangkan banyak telahan kelak.

Menamakan terus seperti Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Menteri Pendidikan dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Minyak manakala Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali memegang jawatan Menteri Kewangan juga cadangan yang tidak dibuktikan dengan kesesuaian dan bukan hasil daripada persetujuan rundingan.


Semua itu akan menyulitkan perundingan kemudian hari. Ia juga berkemungkinan akan membawa kepada pertelingkahan sesama parti dalam PH.

Kenapa Zaid tidak sabar dan tidak boleh tunggu keputusan dibuat oleh Majlis Presiden PH atau mesyuarat khusus mengenainya sebelum pilihan raya?.

Zaid berpendapat sementara menunggu pemimpin pembangkang untuk bersetuju siapa yang patut menjadi perdana menteri, mengapa tidak selami senarai beliau mengenai anggota kabinet dalam kerajaan baru.

Soalannya apakah perkara ini lebih penting daripada memantapkan dulu gabungan dan gagasan PH untuk berdepan pilihan raya?

Dalam beliau mengemukakan siapa yang wajar dilantik,kenapa pula beberapa nama tercicir umpamanya di mana kedududkan Guan Eng dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir?

Apa pula peranan  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti?

Apakah mereka tidak penting dalam barisan Kabinet Bayangan Zaid?

Atau mereka memang tidak penting dalam kepimpinan PH ketika ini dan akan datang?

Kerana itu antara perkara penting dalam menjaga keharmonian dalam PH ialah seperti disebut oleh Muhyiddin pada 8 Jun lalu meminta supaya 'Jangan bocorkan rahsia kita'.

Menurut beliau, banyak lebih baik tidak dibincangkan secara terbuka. Kerana ia akan menimbulkan pelbagai salah faham atau kekeliruan.

"Ia akan memberi tanggapan bahawa pembangkang ini tidak bersatu. Mereka (rakyat) nak sokong kita tapi ada tanggapan yang kita ini tidak bersatu. Lebih baik kita duduk dan bincang, jangan bocorkan rahsia kita," katanya.

Malah, sewajarnya cadangan  Lim Kit Siang kelmarin yang mahukan pemimpin pembangkang berhenti bercakap dengan media selama sebulan berkenaan rundingan dan mesyuarat di kalangan anggota Pakatan Harapan, dipatuhi.
Ia suatu moratorium bagi mengelakkan kenyataan negatif dan pemberian maklumat yang boleh dieksploitasi parti musuh.

“Terlalu banyak yang melahirkan rasa tidak yakin dan kecewa masyarakat tentang perubahan politik dan pilihan raya negara," kata Kit Siang.
Sebaik-baiknya Kit Siang juga menegur Zaid jangan membuat kenyataan yang boleh menimbulkan berbagai spekulasi kerana yang penting bagi PH ialah bertindak balas secara positif terhadap rintihan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kawasan.

Tugas ini akan memudahkan kepimpinan PH merancang untuk mengubah dan memulihkan semula dasar dan arahan pembangunan negara.
Peluang yang terdedah itu jika digunakan sepenuhnya akan meyakinkan rakyat bahawa PHlah sebenarnya yang boleh menggantikan BN di atas faktor dan dasar BN yang lemah dan menyusahkan rakyat ramai ketika ini.

Tuesday, June 6, 2017

TOLAK PEMIMPIN YANG MENGANGGAP PELUANG UNTUK DIRI, KELUARGA DAN KRONI...

 

Siapakah dan dari parti manakah selain PAS yang meminta menjadi pemimpin,  sama ada peringkat cawangan, daerah atau bahagian, negeri dan Perdana Menteri di Malaysia hari ini?

Jika menurut kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang, “adapun ahli dan penyokong PAS yang sangat setia sanggup tidak berpeluh dan berpecah kepala bertanya siapa calon sama ada jawatan penghulu kampung, anggota dewan undangan negeri, parlimen dan jauh sekali siapa calon perdana menteri.”

Menurutnya, selepas mengikuti perbincangan hangat di kalangan semua parti yang berjuang menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan begitu galak menamakan calon perdana menteri, nyata sekali hanya PAS yang tidak mencalonkan sesiapa.

Apakah ini menggambarkan bahawa mereka yang dipilih dalam kepimpinan PAS adalah yang ‘menolak-nolak untuk dilantik’ tetapi tercalon dengan sendiri?

Maka kerana dicalonkan mereka menerima jawatan yang ditawarkan itu?

Juga apakah dengan kenyataan ini bermakna PAS tidak berminat untuk menonjolkan calonnya sebagai Perdana untuk memerintah negara ini jika ditakdirkan berpeluang?

Ini kerana kerana jika menonjolkan tokoh pemimpinnya ia tidak memcerminkan kedudukan sebenar dan tidak selari dengan slogan Muktamar PAS terakhir. Sejahtera Bersama Islam.


Meneliti kenyataan Presiden PAS seperti disiarkan oleh Malaysiakini semalam yang bertajuk, “Polemik calon PM: Tolak tokoh meminta-minta jawatan” membawa kepada suatu keadaan di mana setiap individu perlu merasa takut untuk dinobatkan sebagai pemimpin.

Kata Hadi, “orang yang meminta jawatan dan terlalu inginkannya adalah orang yang meringankan kewajipan menunaikan amanah untuk menegakkan agama Allah dan Allah tidak menolongnya. Tetapi kalau orang itu tidak meminta-minta namun diberi jawatan supaya memegang amanah, nescaya diberi pertolongan Allah.”

Beliau turut menyatakan “semua para Khulafa ar-Rasyidin tidak mencalonkan diri masing-masing menjadi khalifah”.

Malah beliau turut menyebut  Firman Allah SWT (bermaksud): Ikutlah orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (Yasin: 21)

Berdasarkan kepada pandangan Hadi ini, siapakah sebenarnya yang layak untuk memimpin masyarakat Malaysia yang terdiri daripada 52 peratus orang Islam ketika ini?

Membandingkan antara parti yang bertanding dalam pilihan raya akan datang (Pilihan Raya Umum ke-14) nanti – jika berasaskan kepada kenyataan Hadi – apakah UMNO yang menjadi tonggak Barisan Nasional, PKR, AMANAH atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak boleh menonjolkan pemimpin mereka yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri?


Maknanya ketua bagi parti-parti berkenaan seperti Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Mohamad Sabu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau juga Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak sewajarnya menjadi Perdana Menteri.

Malah Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut diperkatakan akan diletakkan sebagai ‘Perdana Menteri sementara’ juga tidak layak, walaupun beliau tidak mencalonkan dirirnya?

Apakah yang diperkatakan Hadi ini sebagai suatu sindiran kepaada ketua-ketua parti politik bagi mengatakan dirinya (Hadi) tidak berebut untuk menjadi Perdana Menteri?
         
Atau bagi Hadi sendiri beliau mungkin mempertimbangkannya hanya jika beliau dalam keadaan seperti Umar Abdul Aziz yang diminta menjadi khalifah, dengan menganggap pelantikan itu sebagai bala bencana buat dirinya, namun tetap menjadi amanah Allah.

Apabila diminta berbuat demikian, Hadi akan terus ke masjid, menaiki mimbar dan menyampaikan ucapan: “Saya telah dicalonkan menjadi pemimpin kamu. Jawatan ini adalah juga hak kamu yang tidak boleh dipermainkan. Adakah kamu semua bersetuju saya yang dipilih?”

Apabila seluruh jemaah bersatu suara dengan kuat mempersetujuinya maka Umar menerima pelantikan itu dan bertugas dengan cemerlang.

Dalam konteks Malaysia hari ini, apakah masjid itu boleh digantikan dengan Dewan Rakyat (Parlimen) untuk mengesahkan perlantikannya.

Ini kerana di situlah boleh didapatkan persetujuan semua parti politik, khususnya yang mempunyai majoritI selepas PRU14.


Namun persoalannya, jika PAS tidak mendapat majoriti atau disokong melalui pakatan dengan parti lain, apakah Hadi berpeluang mendapat peluang untuk melakukan seperti Umar Abdul Aziz?

Lalu peluang itu berpindah kepada orang lain tetapi prosesnya tetap sama di mana walaupun seseorang itu meminta, merayu atau mendabik dada mengatakan dia boleh menjadi Perdana Menteri tetapi kalau partinya tidak mendapat majoriti di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN), bagaimana mereka akan dilantik sebagai Perdana Menteri atau Menteri Besar?

Sukar untuk mencari seseorang yang benar-benar berciri dan mematuhi qudwah (contoh) Rasulullah yang yang benar-benar ‘tidak meminta-minta jawatan’.

Apabila seseorang bertanding jawatan presiden parti atau menang tanpa bertanding, atau dilantik atau melantik dirinya sendiri, mereka sebenarnya sudah bergelut dengan jawatan.

Apabila Hadi menyebut ‘orang yang meminta jawatan dan terlalu inginkannya adalah orang yang meringankan kewajipan menunaikan amanah untuk menegakkan agama Allah dan Allah tidak menolongnya. Tetapi kalau orang itu tidak meminta-minta namun diberi jawatan supaya memegang amanah, nescaya diberi pertolongan Allah’, bagaimanakah caranya mencari tokoh atau pemimpin yang bercirikan sebegini di zaman ini?

Memanglah semua Khulafa ar-Rasyidin tidak mencalonkan diri masing-masing menjadi khalifah tetapi bagaimana melaksanakan proses pelantikan ini jika ada pemilihan dalam parti?

Juga bolehkah Hadi terangkan bagaimana pelantikan itu boleh dibuat seperti di era Khulafa ar-Rasyidin dalam kedudukan orang Islam dan bukan Islam hampir sama jumlahnya di Malaysia ketika ini?

Jika apa yang diperkatakan oleh Hadi itu sebagai pernyataan akademik semata-mata dan dalam PAS sendiri pun ada pertandingan dan penonjolan bahawa ‘aku boleh menjadi itu dan ini’, pandangan beliau itu  sebenarnya semakin mengelirukan bukan menjernihkan proses pemilihan seseorang pemimpin.

Yang diperlukan ketika ini ialah pemimpin yang boleh memerintah dengan adil, saksama dan menjadikan negara ini dalam keadaan harmoni dan makmur.


Prasyaratnya jangan dia seorang yang mementingkan kroni, sahabat dan kaumnya semata-mata, apa lagi memerintah dengan zalin.

Rakyat berbagai kaum perlu mendapat pembelaaan sewakarnya dan melalui kejujuran dan sifat amanahnya, negara akan terjamin makmur dan sejahtera.


Malaysia memerlukan pemimpin yang mampu menyatupadukan rakyat, mempunyai wawasan dan mampu membawa negara ke tahap yang cemerlang yang mana ciri-ciri keIslaman itu diterjemahkan menjadi dasar dan pentadbiran, bukan slogan politik semata-mata.

Kita bukan mahu mengagungkan negara bukan Islam tetapi persoalannya bagaimana sesetengah negara berkenaan  mempunyai ciri-ciri amalan Islam melebihi Malaysia, walaupun akidah rakyatnya bukan Islam.

Persoalannya juga, sebagai orang Islam kita memang mahukan pelantikan pemimpin dilandaskan kepada tuntutan Islam.

Namun dalam kedudukan sekarang, bilakah aganya kita akan mencapai keadaan yang membolehkan seseorang yang dilantik itu selari dengan sabda Baginda SAW iaitu “Demi Allah! Aku tidak melantik orang yang meminta jawatan atau rakus mahukan jawatan.”


Yang kita cari dan harapkan ialah TIDAK BERTEMU dan TERLEPAS daripada pemimpin yang disebutkan oleh Baginda melalui hadisnya: “Antara kemusnahan umatku pada akhir zaman (ialah) apabila jawatan menjadi pemimpin dianggap peluang untuk diri, keluarga dan kroni.”

Jika rakyat Malaysia dapat membebaskan dirinya daripada memilih pemimpin dalam kategori seperti itu pada PRU14 nanti, rasanya ia sudah memadai.

Kita perlu berusaha dan berdoa kepada Allah swt supaya mengabulkan permintaan kita. 

Bersatu dan berdoalah agar dihantar kepada kita pemimpin yang beramanah dan berwawsan!

Monday, August 15, 2011

PAS - AKIDAH DIKETEPI DEMI KUASA, PUTRAJAYA?

Akidah adalah soal masa depan ummah yang akan dihisab di akhirat kelak. Kerana itu ia perlu ditangani oleh seluruh umat Islam di negara ini, khususnya yang diamanahkan menjadi pemimpin.

Apakah pemimpin PAS Pusat tidak lagi beramanah?

Apakah pemimpin PAS sudah tidak takut dihisab di akhirat?

Dilema apa ada dalam diri pemimpin besar PAS seperti Presiden, Musyridul Am PAS, TImbalan Presiden dan Naib-Naib Presidennya?

Siapa diharap menjadi banteng umat Islam bagi memastikan umat Islam tidak terus dimurtadkan?

Dewan Pemuda PAS Pusat pimpinan Nasrudin Hassan semalam berikrar untuk menjadi benteng mempertahankan akidah umat Islam.

Namun mampukah beliau pada ketika PAS Pusat membuat pendirian yang berbeza khususnya dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memalukan seluruh umat Islam di Malaysia?

Pemimpin seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Nik Abdul Aziz serta pucuk pimpinan Pas sehingga sekarang gagal menyatakan pendirian menyokong tindakan JAIS yang memeriksa Gereja Methodist Damansara Utama yang dikatakan cuba memurtadkan 12 individu Islam.

Malah, jika PAS Pusat sudah enggan melakukannya, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sedia mengambil alih tugas PAS untuk menjadi benteng mempertahankan kesucian agama Islam.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata semalam, keputusan tersebut terpaksa dibuat walaupun badan itu bukan pertubuhan politik kerana PAS yang selama ini mendakwa parti Islam dan pernah bercita-cita mahu menubuhkan negara Islam, gagal berbuat demikian.

Menurut Ibrahim, sejak bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas tidak lagi mementingkan soal agama, sebaliknya apa yang dikejar oleh parti itu adalah undi, sehingga sanggup membisu dan menghalalkan apa sahaja perbuatan yang dilakukan oleh musuh Islam.

Hakikatnya parti PAS amat maklum bahawa murtad kini menjadi ancaman serius kepada kemuliaan agama Islam di Malaysia.

Namun, PAS bagaikan meletakkan isu ini ke tepi untuk sementara waktu demi bekerjasama dengan puak-puak bukan Islam untuk kepentingan politik dan kuasa.

Bagi PAS hari ini, mendapatkan kuasa dan berkongsi kuasa dengan kafir harbi lebih utama dalam menundukkan UMNO yang juga memperjuangkan Islam.

Dengan data Mahkamah Syariah menunjukkan seramai 863 individu Islam telah memohon untuk menukar status agama mereka sejak 2000 hingga tahun lalu, PAS tidak melihat isu ini sebagai mendesak.

Kerana itu PAS tidak berani membuat pendirian sedangkan Nasrudin begitu bimbang dengan masalah murtad ini kerana masalah murtad adalah isu akidah yang melepasi sempadan politik.

Berikutan itu Dewan Pemuda Pas Pusat sekali lagi mendesak pucuk pimpinan parti itu supaya membuat pendirian rasmi berhubung isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Malah bagi memastikan masalah murtad tidak menjadi barah kepada umat Islam pada masa hadapan, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat itu mendesak agar kerajaan meluluskan Akta Murtad dengan segera dan menjadikan mata pelajaran Pengajian Islam sebagai subjek wajib lulus.

Beliau mengulangi pendirian Dewan Pemuda Pas Pusat menyokong penuh tindakan JAIS memeriksa Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat terdapat cubaan memurtadkan 12 individu Islam walaupun dikecam pihak tertentu dalam parti berkenaan.

Nasrudin menjadi mangsa terbaru selepas Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dikecam pemimpin Pas pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beberapa hari lalu, kerana beliau mengeluarkan kenyataan keras mahu mempertahankan akidah umat Islam sekalipun dengan darah dan nyawa.

Namun beliau tidak berganjak daripada pendirian terdahulu yang tegas tidak mahu menggadaikan maruah Islam hanya kerana kepentingan politik.

Monday, January 18, 2010

TAHU TAK PE....

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa peka terhadap perubahan semasa dan tuntutan-tuntutan baru rakyat untuk kekal relevan serta terus mendapat sokongan. Perubahan ini perlu dilakukan dari semasa ke semasa berdasarkan senario politik negara dan kemahuan rakyat yang sering berubah.

Sebagai contoh, katanya, generasi muda di negara ini semakin terdedah dengan nilai-nilai dunia seperti memperjuangkan hak asasi manusia dan menuntut institusi kerajaan yang telus serta lebih bertanggungjawab.

Keadaan itu, jelas beliau, berbeza dengan era 20 tahun lalu yang menyaksikan masyarakat lebih menyayangi serta menghormati UMNO dan BN kerana terikat dengan 'nostalgia' kemerdekaan hasil perjuangan gagasan tersebut.

Tau Tak Pe...Persoalannya sejak Pehimpunan Agung UMNO lalu yang bergegar dengan janji-janji mahu berkhidmat untuk rakyat, apakah ia sudah mula digerakkan?

Apakah UMNO kini bergerak ke arah perubahan atau masih menabur janji untuk berubah?

Berbalik kepada kepentingan golongan muda, apakah pemimpin UMNO mendekati golongan itu?

Atau apakah UMNO hanya bermain dengan slogan seperti 1Malaysia yang masih belum ‘jelira’dengan rakyat kebanyakan?

Mendekati rakyat bukan melalui majlis besar yang menghimpunkan ramai orang.

Majlis bersama rakyat adalah aktiviti yang dapat dirasai oleh rakyat, biarpun satu atau keluarga.

Kempen oleh orang yang menerima bantuan atau jasa UMNO lebih berkesan daripada kempen oleh pemimpin UMNO yang pandai bersandiwara.

UMNO tidak mampu lagi mempunyai pemimpin ‘touch & go’. UMNO memerlukan pemimpin yang boleh duduk dengan rakyat, bukan turun sekali dua di rumah bapa angkat atau emak angkat dan kemudian ‘ghaib’ entah ke mana!

Pemimpin di negeri atau bahagian bukan pemimpin yang turun sebulan atau dua bulan sekali. Mereka perlu seseorang yang memahami keadaan budaya, cara hidup dan keinginan penduduk setempat.

UMNO tidak memerlukan pemimpin yang hanya menggerakan 1Malaysia tetapi pengisiannya tiada.

Contohnya bagi pemimpin yang diamanahkan untuk menjaga sesebuah negeri jika dia seorang menteri, kerjanya sebagai menteri memang sibuk, kemudian menjadi pula ketua bahagian – lagilah sibuk. Ini belum lagi memenang Jawatakuasa tertentu dalam parti dan sebagainya.

Akhirnya dengan melantik wakil, keadaan akan menjadi punah ranah. Wakil yang mewakili menteri ini akan berlagak seperti menteri dan sering mengganggu-gugat politik negeri kerana kepentingan peribadi.

Lebih memburukkan keadaan wakil berkenaan sudah ada masalah di negerinya sendiri dan dengan perlantikannya memarahkan lagi penyokong parti.

Daripada keadaan yang aman dan tenteram, beberapa bahagian akan bergolak dan akhirnya UMNO mula dibenci dan pembangkang mengambil kesempatan.

Daripada tidak ada modal untuk kritik UMNO mereka menjadikan wakil dan pembantu menteri sebagai isu.

Yang buruk akhirnya UMNO dan tempiasnya kepada pemimpin peringkat negeri yang tidak ada kena mengena.

Kerana itu, sesuai dengan apa yang dikatakan Muhyiddin itu, Presiden dan Timbalan Presiden perlu menilai semula Ketua Perhubungan UMNO Negeri sekarang.

Lihat dan kaji siapa yang berfungsi atau tidak berfungsi.

Jangan lantikan dibuat kerana kroni, ada pertalian keluarga atau kerana menang dalam pemilihan parti.

Kemenangan dalam pemilihan parti tidak menentukan seseorang pemimpin mampu turun ke bawah.

Kalau memang dia seorang bersifat aristokrat – kerana sikap peribadi atau kerana keturunan, buatlah keluarga angkat berpuluh-puluh pun, mereka tidak akan jadi seperti ‘orang kampung’atau ‘orang setempat’. Mereka boleh ‘turun padang tapi masih pemimpin kayangan.

Baginya semua itu adalah pengalaman baru baginya sedangkan bagi pemimpin setempat, kerja-kerja seperti itu sudah menjadi rutin harian atau mingguannya.

Bagi mereka ini ‘turun padang’adalah kerja harian dan mingguan mereka!