Showing posts with label Shafie. Show all posts
Showing posts with label Shafie. Show all posts

Monday, June 5, 2017

RM9.5 JUTA - NAJIB, SHAFIE PERLU TELUS ‘BERSIHKAN DIRI’...


Seorang  anggota Majlis Tertinggi UMNO menegaskan parti itu menjadi sebuah parti yang beruntung kerana mempunyai seorang presiden yang telus, iaitu Datuk Seri Najib Razak.

UMNO  disifatkan beruntung kerana ketua parti sangat berterus terang dan sudah terangkan banyak kali dari mana dana untuk parti itu diperolehi..

Beliau menyatakan perkara ini sebagai jawapan kepada saranan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Muhajid Yusof Rawa yang  meminta semua ketua bahagian UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menerima dana didakwa dari kantung SRC International supaya bertaubat dan memulangkan wang berkenaan.

Ini kerana ia adalah milik rakyat.

Apakah Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan  dan Presiden UMNO -= orang yang diamanahkan menjaga kepentingan kepentingan rakyat - sanggup mengambil wang rakyat?


Rakyat belum lupa bahawa dokumen yang diumumkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada sidang media pada Januari tahun lepas menunjukkan sekurang-kurangnya RM32 juta disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri daripada SRC International.

Namun Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku. Ia atas alasan bahawa perdana menteri tidak sedar menerima wang berkenaan.

Berkaitan perkara ini, dengan sikapnya yang ‘selamba badak’ Najib menafikan dakawan bahawa beliau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Kini apabila Najib dipalitkan dengan isu pembayaran RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Muhammmad Safie Abdullah, jangan pula Najib dan pemimpin UMNO berdiam diri dan tidak meminta Najib supaya telus menjawab persoalan ini.

Kenapa lama menunggu untuk menjawab persoalan ini? Kedua-duanya perlu menjawab 'ya atau tidak'?

Apa lagi isu ini turut dikaitkan dengan wang dari SRC International dan menggugat masruah dan keredibiliti Najib sekiranya  jika terus berdiam diri.

Nyata sekali pendedahan oleh Sarawak Report ini menimbulkan persoalan asas – bagaimana wang dari SRC International disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib?


Sarawak Report  mendakwa Najib membayar wang berkenaan menggunakan dana anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Malah penjelasan Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz kelmarin mengenai wang berjumlah RM9.5 juta yang disalurkan Najib Razak ke akaun Shafee dianggap tidak mencukupi.

Semalam Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya kesal kerana sehingga kini perdana menteri dan peguam kanan itu tidak menjawab dakwaan berkenaan.

Bagi Wan Azizah  rakyat Malaysia sejauh ini hanya mendengar alasan remeh yang diberi oleh Nazri.

Kenapa dianggap remeh?

Ini kerana persoalan pokok tidak dijawab mengapa engapa dana dari SRC International ini berada di dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib.

Juga berkaitan dengannya mengapa RM 9.5 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadi Shafee.

Kedua-duanya perlu tegas menepis dakwaan Sarawaj Report ini dan kekalutan ini pastinya bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara.

Bukan sekadar wujud tanda tanya apakah bayaran berkenaan mempunyai kaitan dengan kes liwat kedua terhadap suami Wan Azizah tetapi kini keputusan mahkamah terhadap Anwar mula dipersoalkan.

Najib perlu bersihkan dirinya sebagai individu, apa lagi sebagai Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional,Presiden UMNO, Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pekan – bebas daripada melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA 2014).

Jika beliau gagal membersihkan dirinya, maka satu lagi episod hitam akan menghantui dirinya dan kerajaan BN selepas gagal menjernihkan tuduhan mengenai wang RM2.6 bilion yang terpalit dengan dirirnya sebelum ini.

Saturday, March 4, 2017

NAJIB GUNAKAN PERBINCANGAN PERIBADI MENYERANG PENENTANGNYA?


"Apakah Dr Mahathir pernah mendedahkan perbincangan sulit dengan menteri atau pemimpin partinya dalam perkara seperti memilih Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalannya, bukan Najib Razak sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat?"

Berhati-hatilah pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang lain.

Datuk Seri Najib Razak mungkin akan menggunakan perbincangan peribadi atau yang dianggap rahsia untuk menyerang seseorang demi kedudukannya.

Apakah Perdana Menteri sebelum Najib menggunakan taktik serangan peribadi sebegini untuk menjatuhkan mereka yang menentangnnya?

Apakah bekas Perdana Menteri seperti Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mendedahkan perbincangan sulit dengan menteri atau pemimpin partinya umpamanya dalam perkara seperti memilih Timbalan Perdana Menteri?

Apakah diberitahu kepada rakyat kenapa Dr Mahathir memilih Abdullah Ahmad Badawi (Tun), bukan Najib sebagai timbalannya mengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Anwat dipecat?

Walaupun ada pertelingkahan dengan kedua-duanya, Dr Mahathir tidak pernah mendedahkan sebarangan perbincangan antara mereka sehingga sekarang.

Ada yang tahu rahsia itu tetapi oleh kerana Dr Mahathir sendiri tidak bercakap mengenainya, mereka yang tahu mengenai perkara itu turut menyimpan rahsia parti.

Dengan Najib melakukan pendedahan perbincangannya dengan Datuk Seri Shafie Afdal kelmarin, perlakukan sebegini turut menimbulkan persoalan, apa ruang atau peluang yang ada untuk seseorang bekas menteri mempertahankan dirinya daripada tuduhan sedemikian.

Bagaikan sudah habis modal untuk diceritakan kepada rakyat Sabah, Najib hari ini membuat serangan peribadi ke atas seorang bekas menteri persekutuan dari Sabah.

Menggunakan rahsia perbincangan dan hubungan intim selama ini dengan bekas seorang menteri persekutuan dari Sabah Najib untuk meyakinkan rakyat Sabah dan menyerang menteri berkenaan untuk menunjukkan kononnya beliau berjuang untuk rakyat,  adalah perbuatan memalukan.


Inikan cara terbaik untuk mengajak rakyat Sabah menyokong BN?

Tidak adil mendedahkan hasil perbincangan seorang menteri dengan  beliau, malah ‘suasana akrab dan manis’ yang kini menjadi ‘muram dan masam’,  tidak wajar didedahkan kepada rakyat.

Jelas Perdana Menteri semakin muflis idea dan modal untuk mengkritik pemimpin lawan serta mengajak rakyat menyokong BN, terutamanya di Sabah.

Dengan mendedahkan kononnya seorang bekas menteri persekutuan yang kini presiden parti pembangkang, pernah menemuinya dan meminta supaya dilantik menjadi ketua menteri Sabah adalah perbuatan tidak beretika.

Apa lagi pendedahan yang  menyifatkan permintaan itu sebagai cita-cita peribadi bekas menteri persekutuan itu, sangat menjijikkan.

Tidakkah perbincangan sulit dan peribadi antara ketua sebuah parti dengan pemimpin dalam partinya adalah sesuatu yang perlu dirahsiakan?

Walau apa juga keadaannya, sebagai pemimpin utama – apa lagi perbincangan yang bersifat peribadi seperti ini kalaupun benar – sama sekali tidak wajar didedahkan kepada umum walaupun orang berkenaan mungkin mengatakan sedemikian.

Jika beginilah bentuk kepimpinan pemimpin utama parti, maka berhati-hatilah pemimpin UMNO dan BN.

Ini  kerana mungkin Najib boleh dan akan menggunakan sebarang perbincangan ‘dari hati ke hati’ sebagai senjata atau untuk ‘mengugut seseorang’ kemudian hari.

Kata Najib: “Bagi saya, cita-cita peribadi tidak boleh mengatasi perjuangan untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Perumahan Rakyat Taman Batu Sapi semalam.

Sambil itu Najib berkata mana boleh sebuah parti politik ditubuhkan atas cita-cita peribadi, dan parti seperti itu tidak akan bertahan lama.


Walaupun tidak menamakan pemimpin terbabit, Najib jelas merujuk kepada bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga ahli Parlimen Semporna dan presiden Parti Warisan Sabah.

Najib berkata penubuhan sesebuah parti politik dibuat atas perjuangan murni, suci serta penuh idealisme, misalnya penubuhan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, UMNO dan BN ditubuhkan untuk membawa rakyat Malaysia lebih berjaya dan maju.
“Ini parti politik, ini perjuangan, institusi yang mesti dijaga. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi BN mesti kekal terus memerintah di bumi Malaysia yang bertuah ini.

“Perjuangan kita sambung menyambung daripada satu pemimpin kepada pemimpin yang lain dan sebab itu Malaysia berjaya,” katanya.

Memanglah tujuan  Najib bertujuan mengingatkan rakyat supaya tidak termakan dengan hasutan pembangkang yang kelak akan merugikan mereka.

Namun dengan mendedahkan perbincangan – mungkin juga perbincangan peribadi – dengan menterinya yang kini didedahkan kepada umum adalah perbuatan cuba mendedahkan aib dan untuk menunjukkan orang lain tidak ‘berjiwa rakyat’ seperti beliau.

Najib menhentam bekas menteri itu bukan dalam konteks perjuangan parti atau apa yang ditawarkan untuk rakyat Sabah tetapi semata-mata untuk menunjukkan menteri itu sebagai ‘tamak kuasa dan berjuang demi matlamat peribadi’.

Malang sekali rakyat mempunyai Perdana Menteri yang menggunakan ‘perbincangan peribadi’ sebagai modal politik untuk menyerang lawan beliau.

Yang rakyat mahu tahu ialah apa jaminan kehidupan mereka di masa hadapan, bukan siapa meminta apa atau sebagainya.

Apakah menteri lain tidak meminta apa-apa daripada beliau sebagai Perdana Menteri?

Jika ada – berhati-hatilah menteri berkenaan – patuhnya selama-lamanya kerana jika anda menentang Najib, mungkin ada perkara sulit yang dibincangkan dengan Najib akan didedahkan.

Anda semua pun mungkin berdepan dengan tindakan seperti yang diperlakukan terhadap bekas menteri pusat berkenaan.

Yang nyata, kerana tersepit dan semakin hilang keyakinan, Perdana Menteri kini terpaksa menggunakan perbincangan peribadi dengan mendedahkan kepada rakyat.

Apakah rakyat termakan dengan taktik serangan peribadi seperti ini bagi menyokong terus UMNO dan BN di Sabah?

Monday, April 23, 2012

'SAYA TIDAK BERI ZAHIDA WANG SEBANYAK RM1.5 JUTA" - SHAFIE AFDAL


Sudah pasti ketika ini Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamarudin yang dipanggil ‘Mak Lampir’ oleh rakan-rakan blogger berada dalam keadaan seram sejuk dan ‘nak terkencing pun ada, terberak pun ada’.
Kenapa tidaknya?  

Dia berkemungkinan menghadapi saman di mahkamah bersama ‘pembekal maklumat’ iaitu bekas pemandu Menteri yang kebetulan kemudian menjadi pemandu artis Zahida Rafik.

Hari ini,Datuk Seri Shafie Afdal secara terbuka menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan bekas pemandunya, Noor Azman Azemi yang mengaitkan beliau dengan pembayaran wang dalam jumlah yang besar kepada seorang artis Zahida Rafik sejak beberapa tahun lalu.

Zuraidah ketika membuat kenyataan akhbar baru-baru ini.
Jawapan pastinya melegakan banyak pihak sama ada di kalangan Menteri, anggota Kabinet dan rakyat yang mahu mengetahui keadaan sebenar.

Sebelum ini Zahida sudah membuat kenyataannya sendiri mengenai perkara ini namun tanpa kenyataan Menteri berkenaan, dibimbangi kenyataan Zahida sahaja akan semakin 'mengeruhkan keadaan'.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, segala maklumat yang disebutkan dalam laporan polis yang dibuat oleh Noor Azman, yang dibuat bulan lalu, adalah tidak benar sama sekali.

Menurut kenyataan penuh Datuk Seri Shafie:

Kenyataan Zahida pada 20 April 2012
“Saya mengikuti dengan rapat beberapa laporan di dalam media dan blog-blog tempatan yang telah mengaitkan nama saya dengan satu laporan polis oleh seorang yang bernama Noor Azman bin Azemi (No. K/P: 740214146237) No report AMPANG/007017/12 yang bertarikh 13 Mac 2012 yang mendakwa bekerja sebagai pemandu di bawah saya, dan mengaitkan saya dengan pembayaran wang yang sebegitu banyak kepada seorang artis bernama Zahida Binti Mohamed Rafik,” 

“Dengan ini, saya ingin menyatakan bahawa semua yang tertera di dalam laporan polis berkenaan adalah TIDAK BENAR sama sekali dan kenyataan-kenyataan iringan oleh individu yang menyebarluaskan salinan laporan polis berkenaan adalah BERNIAT JAHAT dan BERUNSUR POLITIK semata-mata.

 “Sehubungan dengan itu, saya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa saja yang terus-terusan memfitnah saya dan mengaitkan saya dengan perkara ini."

Naib Presiden Umno itu berkata tindakan segelintir pihak yang menyebarkan laporan polis tersebut sebagai berniat jahat yang bermotifkan kepentingan politik pihak tertentu.

Siapa bertanggungjawab menuduh beliau?

1. Zuraida – yang mendedahkan maklumat itu berdasarkan laporan polis yang telah dibuat oleh pemandu peribadi artis terbabi ekoran tindakan artis tersebut yang membuat laporan polis menuduh beliau melarikan duitnya RM200,000 pada 3 Mac lalu. Di dalam laporan polis yang dibuat pada 13 Mac lepas, pemandu itu mendakwa artis berkenaan telah membuat laporan palsu terhadapnya kononya beliau melarikan wang itu.

Zuraidah meminta menteri berkenaan menjawab persoalan yang beliau bangkitkan itu. "Daripada sumber mana beliau peroleh wang tunai berjuta ringgit, dan sebagai seorang menteri beliau bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan harus jelaskan dari mana sumber beliau," katanya.

2. Pemandu peribadi artis berkenaan yang kebetulan juga bekas pemandu Menteri berkenaan - Noor Azman Azemi yang dilaporkan Noor Azman pula membuat laporan polis mendakwa bahawa seorang menteri Kabinet menyerahkan wang sejumlah RM1.5 juta kepada Zahida.

Pemandu ini dilkatakan sudah menghilangkan diri.

Shafie sudah menegaskan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berterusan memfitnah dan mengaitkan namanya dengan isu tersebut.

Zahida sebelum ini membuat laporan polis terhadap Noor Azman yang dikatakan telah melarikan sejumlah RM200,000 wang syarikatnya setelah meminta pemandunya itu memasukkan wang tersebut dalam akaun syarikat perniagaan milik keluarganya.

Spekulasi itu terus meruncing apabila beberapa pemimpin parti politik pembangkang membuat sidang akhbar menyebarkan dakwaan tersebut dengan mengaitkan nama Shafie sebagai menteri terbabit yang memberikan wang beberapa kali kepada Zahida dalam jumlah yang besar.

Noor Azman, 38, yang bekerja sebagai pemandu peribadi Zahida sejak tiga tahun lalu mendedahkan skandal itu dalam laporan polis terhadap artis itu, yang menuduhnya melarikan wang RM200,00.

Tuduhan Zahida terhadap Noor Azman itu dilaporkan sebuah akhbar pada 3 Mac lalu.

Friday, March 27, 2009

UMNO PADU DI BAWAH NAJIB

Jelas UMNO inginkan perubahan.

Mereka yang mahu menggugat UMNO dan cuba melemahkan kepimpinan UMNO akan menerima pukulan padu kali ini.

Ketara iallah wakil Sabah kini menduduki kerusi Naib Presiden UMNO untuk kali pertama dalam sejarah UMNO.

Selepas kegagalan Datuk Seri Osu Sukam mencuba nasib untuk kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal kini adalah yang pertama dari negeri itu memenangi kerusi Naib Presiden.

Mohd Shafie dengan 1,445 undi di belakang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memperoleh undi tertinggi 1,592 undi, dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan 1,515 undi .

Ketika ditemui media selepas pengumuman keputusan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan memainkan peranan untuk membantu memperkuatkan parti bagi memperolehi dokongan daripada rakyat keseluruhannya.

Shafie menyifatkan kemenanganya sebagai satu pengiktirafan daripada perwakilan seluruh negara.

"Saya amat menghargainya dan saya tahu bagi jawatan ini, sesiapapun boleh menang kerana calon-calonnya terdiri daripada tokoh-tokoh yang berkebolehan dan berkeupayaan," katanya.

Beliau berkata, kemenangannya itu akan memberi peluang kepada Umno untuk memperkuatkan sokongan rakyat Sabah kepada Barisan Nasional (BN) menerusi Umno.

Dengan kemenangan Shafie, kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin kukuh kerana Sabah kini mempunyai wakil yang kukuh dalam UMNO apabila Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman memenangi jawatan Ahli Majlis Tertinggi, disamping Datuk Lajim Ukin dan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Sementara Ketua Puteri UMNO kini turut dipegang oleh Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Kemenangan ketiga-tiga tokoh ini untuk Naib Presiden akan memperkukuhkan kedudukan Datuk Seri Mohd Najib kerana mereka memang ‘orang Najib’ sejak awal.

Zahid adalah bekas Setiausaha Politik Najib, Hishamuddin mempunyai pertalian keluarga sementara Shafie adalah penyokong kuat Najib sejak mereka dalam Pergerakan Pemuda UMNO lagi.

Malah ketiga-tiga mereka adalah orang kuat Pemuda UMNO, termasuk Shafie yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Sabah, selain Exco pergerakan itu.

Dengan kemenangan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden, Naib mempunyai orangnya sendiri di tempat paling penting iaitu Timbalan dan Naib Presiden UMNO.

Katanya, tugas utama yang akan beliau lakukan susulan kemenangan semalam adalah memulihkan semula imej parti.

Ini kerana transformasi dalam Umno yang disuarakan oleh ahli akar umbi perlu dilakukan di peringkat dalaman parti.

"Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab yang cukup berat untuk kita merapatkan semula perpaduan dalam Umno."Imej Umno juga harus dipulihkan dengan segera bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Umno," katanya dengan mendapat 1,575 undi.

Lebih memudahkan Najib, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam meminta ahli Umno memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Razak untuk membolehkan beliau memimpin Malaysia ke mercu kejayaan lebih gemilang.

Berucap pada Perhimpunan Agung Umno di sini, Presiden Umno itu turut berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri baru.
"Saya percaya saya menyerahkan tanggungjawab negara kepada nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudi bahtera negara," katanya.

Abdullah, dalam ucapan dasarnya yang terakhir sebagai presiden parti, turut menyatakan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana melantik saya menganggotai Jemaah Menteri, melantik saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya memberikan laluan kepada saya menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri," katanya.

Bagi Zahid: petikan klik http://www.utusan.com.my Kita akan beri peluang kepada Datuk Seri Mohd Najib (Tun Razak) mengambil sedikit masa untuk memikirkan bersama-sama kita tentang agenda perubahan yang akan diterjemahkan khususnya elemen-elemen untuk memperkuatkan institusi kepresidenan, kepimpinan dan kepengikutan yang ada pada kita.

"Bagi saya, apa yang penting adalah Umno itu harus harus direlevankan dengan situasi semasa," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin menganggap kemenangan beliau sebagai peluang yang diberikan perwakilan untuk beliau terus berkhidmat kepada parti.

"Banyak kerja yang perlu kita lakukan dan Insya-Allah, dengan tempat yang diberi, kita akan bekerja bersungguh-sungguh dengan barisan yang telah pun ditentukan bagi memastikan Umno terus relevan dan diterima oleh masyarakat.

"Walaupun cabaran di hadapan berat untuk dipikul tetapi dengan pasukan yang dipilih hari ini, saya yakin kita boleh lakukan," katanya.

Ditanya sama ada beliau gentar memikul jawatan Naib Presiden daripada jawatan Ketua Pemuda sebelum ini, Hishammuddin berkata, sememangnya ia merupakan satu lanskap dan dimensi baru baginya namun beliau yakin akan terus diberikan sokongan.

Wednesday, December 3, 2008

PRODUK KRAF TANGAN MALAYSIA DIJUAL DI HARRODS

Tak percaya? Mimpi di siang hari?

Terfikirkah kita bahawa produk kraftangan kita mampu memasuki gedung jualan terkemuka di Kota London?

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebaliknya tetap yakin ia akan berlaku.

Ini kerana pusat beli-belah terkemuka Harrods di London sudah mengenal pasti 60 peratus produk kraf tangan dari Malaysia untuk dijual di situ menjelang awal tahun depan.

Antara produk dipilih ialah batik dan songket yang mendapat perhatian pegawai-pegawai Harrods yang melihat barangan itu dalam beberapa acara pameran.

Benarkah berita ini? Khayalan semata-mata?

Apa baiknya produk kraftangan Malaysia hingga boleh memasuki Harrods?

Kita berharap dan berdoa Mohd Shafie dapat menjadikan usaha ini sebagai kenyataan kerana produk kraftangan Malaysia juga bernilai dan penting sebagai pendapatan untuk mereka yang mengusahakannya.

Saya masih ingat pada pertengahan 1990an, pemilik gedung, Mohamed Al-Fayed pernah datang ke Malaysia kerana menghadiri satu pameran produk yang diadakan di Carcosa Sri Negara. Kuala Lumpur.

Inisiatif ini dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir dan menarik ramai pelabur dan pengusaha Malaysia menyertai pameran berkenaan.

Harapan cukup besar waktu itu bahawa produk kita bukan sahaja masuk tetapi kekal di jual di gedung berkenaan. Namun, selepas beberapa ketika kempen untuk menjamin barangan memasuki Harrods, dingin kembali.

Untuk memasuki gedung perniagaan di Brompton Road di Knightsbridge, London itu, sudah pasti produk dari kawasan-kawasan terpencil di Malaysia menjadi barangan antarabangsa yang setanding dengan yang datang dari negara lain.

Harrods yang keluasannya kira-kira 18,000 meter persegi memiliki kira-kira 1 juta persegi ruang jualan membabitkan 330 jenis kedai. Harrods standing dengan gedung terkenal dunia seperti Macy’s New York dan Selfridges.

Dengan bermotokan Omnia Omnibus Ubique —- All Things for All People, Everywhere sudah pasti barangan yang dijual di gedung itu mempunyai kualiti untuk seluruh pengguna dunia dari mana juga datangnya mereka.

Mohd Shafie menjelaskan, ia bukan sesuatu bersifat fantasia atau akan menjadi mimpi di siang hari bagi pengusaha kraf tangan Malaysia memasuki Herrods.

Perjanjian untuk memasarkan produk kraftangan Malaysia di Harrods sudah ditandatangani antara pegawai syarikat itu dengan Perbadanan Kraftangan Malaysia menerusi Karyaneka Sdn. Bhd. (Karyaneka) baru-baru ini.

Usaha menjual kraftangan tempatan di Harrods ini adalah satu langkah untuk memberi peluang perniagaan dan perusahaan kepada rakyat Malaysia, di samping menyumbang pendapatan kepada negara.

Bercakap selepas satu program di Bukit Gantang pada Ahad 30 November 2008 lalu, Mohd. Shafie, berkata pada peringkat permulaan tidak banyak produk kraf tangan dipasarkan kerana pihaknya perlu melihat selera pasaran di negara-negara Eropah.

Beliau bagaimanapun sedar bahawa keupayaan untuk membekalkan barangan juga harus diambil kira sekiranya permintaan meningkat.

Mohd Shafie amat yakin jenis dan jumlah produk kraf tangan dari Malaysia ke luar negara akan terus bertambah pada masa depan.

Pada 1 Ogos lalu di London, Mohd Shaife berkata produk kraf tangan Malaysia seperti batik dan songket akan menjadi setaraf dengan jenama barangan terkenal dunia apabila ia bakal dijual di pusat beli-belah terkemuka Harrods di sini menjelang Mac tahun depan.

Jika inisiatif Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) itu menjadi kenyataan, ia merupakan antara pencapaian paling cemerlang setakat ini dalam usaha negara untuk memasarkan barangan songket dan batik hingga ke peringkat antarabangsa.

''Harrods sudahpun menerima tawaran kita untuk menyediakan ruang pameran dan jualan barangan batik dan songket di sana,'' katanya selepas melancarkan Pameran Lukisan Semesta di La Galleria Pall Mall, di London.

Pelancaran pameran sempena program Minggu Malaysia '08 itu turut dihadiri Datuk Bandar Southwark London, Eliza Mann; Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom (UK), Rustam Yahaya; dan Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara, Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Menurut Mohd. Shafie, sebelum hasrat itu direalisasikan, beliau akan mengadakan perbincangan dengan para pengeluar batik dan songket di tanah air bagi memastikan produk yang dihasilkan kelak memenuhi piawaian mutu serta kehendak pasaran semasa.

Perkara itu perlu diberi perhatian serius memandangkan produk kraf tangan Malaysia terutamanya songket dan batik bakal bersaing dengan jenama-jenama barangan terkemuka dari seluruh dunia yang sudah lama diakui mutu serta prestijnya.

Barangan yang dijual di Harrods mengenakan tapisan mutu yang amat tinggi dan terkawal. Sebagai sebuah pusat beli-belah yang berprestij, mereka amat mementingkan perkara-perkara tersebut.

Beliau yakin mutu barangan kraf tangan kita termasuklah batik dan songket juga amat halus buatannya. Contohnya, tenunan, barangan berasaskan kulit dan perak.

Saya benar-benar berharap agar usaha yang sudah dimulakan lebih sedekad lalu ini dijayakan oleh Mohd Shafie – bukan untuk kepentingan pengusaha kraftangan sahaja tetapi meletakkan produk Malaysia bersaing di arena antarabangsa.

Saya kira usaha Shafie sedikit dipermudahkan dengan beliau kini akan menerajui Pertubuhan Parlimen Komanwel (CPA) yang dianggotai 57 negara sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif bagi tempoh tiga tahun.

Thursday, October 23, 2008

SHAFIE AFDAL DARIPADA SUDUT KEUTUHAN UMNO/BN

Jika tembok besar menjadi penghalang kepada kejayaan serangan bala tentera Mongol terhadap kerajaan Dinasti Ming, begitulah fungsi UMNO Sabah dalam konteks serangan pembangkang dalam membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di Malaysia.

Walaupun mungkin ada yang memperlekehkan perbandingan ini, namun yang nyata, UMNO Sabah begitu penting dan banteng kepada Barisan Nasional (BN).

Ini kerana dengan 13 kerusi yang dimiliki UMNO Sabah di Parlimen, ia ibarat pendinding dan pelindung kerajaan BN daripada ditumbangkan.

Daripada 140 kerusi BN di parlimen, 51 dimenangi di Sabah dan Sarawak. Parti-parti pembangkang memilki 82 kerusi – setiap satu di Sabah dan Sarawak.
Dalam konteks UMNO pula, ia kini mempunyai 79 kerusi di Semenanjung dan Sabah.
Daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, 13 milik UMNO, 4 UPKO, 3 SPDP, 2 SAPP dan satu masing-masing PBRS, LDP dan DAP.

Sebelum 16 September 2008, ramai yang menumpukan perhatian kepada Sabah khususnya di kalangan pembangkang kerana menganggap wakil rakyat dari Sabah mudah dibeli.
Analoginya diasaskan kepada pemilihan 1993.

Maksudnya di sini, pada tahun berkenaan, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasratnya melawan Timbalan Presiden UMNO ketika itu – Tun Ghafar Baba – Sabah menjadi tumpuan orang Anwar kerana perwakilan Sabah boleh menentukan undi untuk memihak kepada bos mereka.

Yang nyata, usaha digemblengkan oleh penyokong Anwar dan hebohlah kononnya ‘pink form’ berterbangan melepasi Laut China Selatan ke Sabah dan kerana itu masih melekat di kepala sesetengah orang UMNO dan pembangkang – khususnya penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) - ‘orang politik Sabah khususnya UMNO mudah dibeli!”

Akibatnya, walaupun Ghafar adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah ketika itu, Anwar mendapat sokongan hampir 99 peratus daripada UMNO Sabah.
Ghafar akhirnya mengalah dan dengar ceitanya akibat perbuatan itu, Ghafar tidak memaafkan perbuatan Anwar sehinggalah beliau menutup mata untuk selama-lamanya!

Andaian kejayaan ‘projek pink form’ inilah sebenarnya yang menyebabkan PKR dan Anwar sendiri begitu yakin dapat membentuk kerajaan pada 16 September melalui ‘projek melompat’ ke dalam PKR.

Dan teori serta pengalaman inilah dijual kepada anggota pembangkang yang lain khususnya Pas dan DAP bahawa Pakatan Rakyat mampu membentuk Kerajaan Pusat apabila anggota BN Sabah menyeberang selepas dilaksanakan projek seperti ‘pink form’ pada 1993.

Namun yang nyata, pada 2008, kejadian atau peristiwa seperti 1993 itu sudah ‘tidak laku dan enggan dilayan oleh pemimpin Sabah’ sama ada dari UMNO atau komponen lain dalam BN.
Kenapa berlaku sedemikian?

Pada saya, kepimpinan baru Sabah hari ini sedar bahawa banyak mudaratnya proses memberikan undi secara ‘rasuah’.
Mereka kini sukar digula-gulakan dan pendirian tegas pemimpin UMNO Sabah menolak rasuah politik sewajarnya dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Mereka juga sudah belajar bagaimana kerana silap memberikan undi, banyak masalah politik timbul selepas 1993 dan kesannya masih dirasai hingga ke hari ini.
Dengan kedudukan di mana BN sukar digugat dan kerana faktor Sabah, kerajaan BN terus berdiri tegak dan sekukuh KLCC atau Menara Telekom atau juga Tembok Besar China, personaliti tertentu di Sabah jangan diperlekehkan.

Sumbangan mereka besar dan jangan ada perbuatan memperkecil dan memperlekehkan mereka. Dengan kedudukan itu UMNO Sabah berada di tangga kedua menyumbangkan kerusi UMNO paling banyak di Parlimen selepas Johor sebanyak 16 kerusi UMNO daripada 26 kerusi Parlimen dari negeri itu.

Pemimpin Sabah seperti, Datuk Seri Shafie Afdal, Datuk Seri Musa Aman, Datuk Seri Lajim Okin, Datuk Anifah Aman, Datuk Abdul Ghafur Salleh serta banyak lagi memang memberikan sumbangan besar.Pemimpin seperti Shafie yang lima penggal berada dalam Majlis Tertinggi UMNO dan menang melalui pertandingan hendaklah diambil kira.
Begitu juga pemimpin lain dari Sabah yang masih kekal memberikan sumbangan, hendaklah juga diberikan perhatian.

Dengan kedudukan dan sumbangan sedemikian, apakah kita patut teragak-agak untuk meletakkan mereka di tempat yang sewajarnya?Yang pasti kini Shafie yang akan bertanding Naib Presiden sudahpun melepasi kuota pencalonan dan sewajarnya UMNO Sabah bersatu menjamin kemenangan Shafie selepas Datuk Seri Osu Sukam hampir mencapai kemenangan untuk Naib Presiden pada pemilihan 2000.

Sewajarnya pemimpin Sabah bersatu di bawah satu jentera untuk menjamin kemenangan Shafie dan beberapa pemimpin lain yang bertanding untuk kerusi Majlis Tertinggi UMNO.
Jika pemimpin Sabah menang, ia bukan untuk Sabah sahaja.
Dan apa ruginya sekiranya Shafie diberikan jawatan Naib Presiden UMNO kerana bukankah ini pengiktirafan terhadap Sabah?

Ia pastinya untuk Malaysia dan demi kerajaan BN yang kukuh dan stabil.
Dengan kestabilan, kerajaan mampu membawa pelbagai bentuk pembangunan untuk rakyat Sabah bagi membolehkan mereka maju dan setanding dengan rakan mereka di Semenanjung.
Juga penting untuk dilihat ialah, jika UMNO Sabah kukuh dan bersatu melalui faktor Shafie, kepimpinan Presiden UMNO dan Perdana Menteri (sehingga ini yang dilihat dan dengan izin Allah adalah Datuk Seri Mohd Najib Razak) selepas Mac 2009 akan menjadi lebih terjamin kerana UMNO Sabah ‘solid’ menyokong kepimpinan beliau.

Yang nyata, sehingga kini UMNO Sabah dilihat sebagai penyelamat BN untuk terus berkuasa dan fungsi itu akan lebih terserlah jika ada pemimpin Sabah, khususnya Shafie menjadi Naib Presiden. Sabah tidak meminta lebih dengan meletakkan calon untuk menjadi Timbalan Presiden atau lebih tinggi tetapi hanya sekadar peringkat Naib Presiden. Kebetulan dua lagi Naib Presiden kemungkinan besar adalah dari Semenanjung.

Adalah adil dan wajar jika satu kerusi Naib Presiden diberikan kepada Sabah yang kebetulan Shafie bertanding bagi pihak Sabah.Pemimpin UMNO Sabah perlu berfikiran jauh dan melupakan sengketa sesama mereka jika ada bagi menjamin kemenangan calon Naib Presiden mereka. Ini kerana peluang kedua ini tidak lagi boleh terlepas begitu sahaja.
Lagipun, dengan angin perubahan yang melanda sekarang dan kebetulan Shafie mendapat pencalonan yang baik, sewajarnya peluang ini dipergunakan sepenuhnya.

Bagi pemimpin UMNO dari Semenanjung, tiada cara terbaik pada musim pemilihan ini selain memberikan kemenangan kepada UMNO Sabah untuk salah satu jawatan tinggi.
Hendaknya, janganlah pemimpin UMNO Semenanjung bersikap orang yang tidak tahu membalas budi kerana dengan adanya kesetiaan dan sikap setiakawan UMNO Sabahlah, kerajaan BN bertahan.

Dan melalui setiakawan UMNO Sabahlah, ramai pemimpin UMNO Semenanjung terus menikmati habuan seperti jawatan penting dalam kerajaan dan agensi-agensi, selain keusahawan dan perniagaan dapat dinikmati kerana Kerajaan Pusat terus berdiri!


FAKTA:

18 Mac 2008 - Sekarang :
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan

2004 - 2008 : Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

1999 - 2004 : Timbalan Menteri Pertahanan Mei

1999 - Dis 1999 :
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

1995 - 1999 :
Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan

1991 - 1993 :
Setiausaha Politik Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi