Monday, September 19, 2016

PERSEMPADANAN SEMULA - BENARKAH BN AKAN DAPAT MAJORITI 2/3 DI DEWAN RAKYAT?


Benarkah persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan manipulasi terburuk dalam sejarah Malaysia?

Juga apakah langkah SPR itu sebagai usaha untuk mendatangkan keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) semata-mata?

Berikutan itu, SPR bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai pertanyaan mengapa persempadanan semula kali ini “lagi tidak adil dan tidak demokratik”.

Malah SPR dituduh mengabaikan prinsip satu pengundi, satu undi, satu nilai.

SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula Khamis lepas (15 September).

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

SPR akan mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu selama satu bulan bermula 15 Sept hingga 14 Oktober depan.
.
SPR juga akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya bagi Sabah selaras dengan pindaan Fasal 2 Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang telah diwartakan pada 18 Ogos 2016.

Abdul Ghani...persempadanan semula ikut peruntukan Perlembagaan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan diteliti oleh anggota Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 23 September adalah antara perkara yang akan diberi perhatian oleh UMNO menjelang pilihan raya umum akan datang.

Usul itu akan turut dibawa pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 30 September ini dan sebarang syor atau bantahan yang diputuskan hasil penelitian tersebut kemudiannya diserahkan kepada SPR  yang bertanggungjawab memutuskan perkara berkenaan.

“Pilihan raya berkait tentang bilangan dan kawasan di mana jumlah kerusi mempengaruhi keutuhan sesebuah kerajaan memerintah, jadi proses persempadanan semula antara yang boleh memberi impak kepada perkara itu.

“Ia wajar diambil perhatian oleh parti,” katanya.

Pada ketika BN dan UMNO akan membincangkan perkara itu, dua parti besar pembangkang iaitu PKR dan DAP menyifatkan langkah SPR itu akan merugikan mereka.

Namun, pemimpin utama PAS masih membisu seribu Bahasa mngenai perkara ini. Persoalannya, apakah PAS berpuashati dengan cadangan SPR itu?

Sejauh ini PAS Terengganu ada menyuarakan bantahan mereka yang disifatkan untuk memenangkan UMNO dan BN di negeri berkenaan.

Apa yang menarik, PKR memberi amaran kepada parti komponen BN dan sekutunya bahawa cadangan persempadanan semula oleh SPR itu  merupakan perebutan kuasa oleh Umno.

"Bukan sahaja PKR, DAP, PAS, Amanah, dan BERSATU berjuang menentang proses persempadanan semula ini, saya mahu mengingatkan MIC, MCA, Gerakan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Makkal Sakti, dan apa sahaja parti yang ada, yang mereka sedang lemas dan akan diketepikan," kata ADUN Sri Andalas Dr Xavier Jeyakumar (gambar kanan)

Menurutnya melalui usaha SPR ini UMNO seperti memberitahu secara langsung bahawa UMNO tidak memerlukan undi mereka dan akan dilantik kemudian. Dengan kata lain, mereka tidak memiliki persamaan lagi dengan UMNO.

"Itulah mesej UMNO mno kepada semua parti komponennya, dan saya rasa parti-parti ini perlu tegas mengenai apa yang berlaku sekarang bagi membolehkan mereka mengambil tindakan, dan lantang bersuara mengenai apa yang berlaku," tegasnya.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berpendapat adalah perlu bagi 13 kawasan Parlimen yang bersaiz “super” yang diwujudkan dalam cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR dipecahkan.

Menurut beliau, kuota kerusi Parlimen untuk Tanah Melayu adalah 68,814, purata jumlah pengundi setiap kawasan Parlimen.

Namun ada 13 kerusi Parlimen saiz “super” yang mempunyai lebih 100,000 pengundi.

Tiga belas kerusi saiz “super” itu adalah Damansara seramai 150,439; Bangi (146,168); Klang (141,275); Petaling Jaya (129,363); Subang (128,330); Gelang Patah (112,081); Kota Raja (121,126); Pasir Gudang (108,156); Kota Melaka (105,067); Kuala Terengganu (101,875); Sungai Petani (101,829); Tumpat (101,318); dan Kapar seramai 100,456 pengundi.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyifatkan persempadanan semula itu sebagai “gerimander terburuk antara lima persempadanan semula” dalam sejarah Malaysia.


Contohnya, Damansara (dahulunya Petaling Jaya Utara, kerusi Ahli Parlimen Tony Pua) bertukar menjadi kawasan pilihan raya terbesar dengan jumlah pengundi 150,439 iaitu dua kali ganda kuota 68,814 untuk kerusi Parlimen.

PKR pula mendakwa di bawah cadangan SPR, BN boleh menang hampir 10 peratus daripada 222 kerusi parlimen tanpa mendapat undi tambahan.

Selangor juga akan menghadapi risiko jatuh kepada BN, walaupun Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali menguasai 65 peratus sokongan popular rakyat di negeri itu.

Persempadanan semula ini bukan sahaja menyebabkan BN berada di tampuk pemerintahan selesa, malah dijangka berupaya untuk mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Menurut Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar, dengan mengandaikan tahap sokongan yang sama dan pertandingan satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang, persempadanan semula baru SPR boleh menyebabkan pembangkang menangung kesan di beberapa kerusi utama.

Malah pembangkang dikatakan mungkin tidak memenangi sebarang kerusi baru sama sekali.

Menurut pengiraan PKR,  persempadanan semula yang baru meninggalkan pembangkang dengan kemungkinan kurang daripada satu pertiga kerusi Parlimen, iaitu kurang daripada 74 kerusi).

"Membiarkan kerajaan yang sedia ada mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen adalah seumpama menyerahkan cek kosong ke dalam tangan BN," tegas Nurul Izzah.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan  tindakan SPR itu  melanggar semangat demokrasi dan prinsip keadilan dalam proses pilihan raya.

“Saya menggesa agar pengundi yang terkesan akibat pemindahan mendadak di kerusi-kerusi Parlimen dan Dun untuk segera memasukkan bantahan mereka. Walaupun ramai yang mungkin bertanya ke mana hala tuju negara selepas ini, atau apakah kita mampu menyelesaikan masalah-masalah besar seperti dialami sekarang, saya percaya ramai juga yang masih menaruh harapan bahawa wujud masa depan yang lebih baik buat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, rakyat harus terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan keadilan dan melawan kezaliman.
Beliau percaya dengan iltizam rakyat untuk menentukan masa depan negara yang lebih cerah, sekali gus mengatasi keruncingan yang melanda.

Berikutan itu, PKR akan menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong terhadap cadangan persempadanan semula oleh SPR itu yang didakwa bertentangan prinsip termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Persempadanan semula perlu ditolak sehingga suruhanjaya bebas ditubuhkan seperti dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada tahun 2012.

PKR dan kerajaan Selangor juga akan berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai perkara itu bagi melihat kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang.


Sumber – FMT, Malaysiakini, Sinar Harian

Friday, September 16, 2016

SELEPAS SERPIHAN MH370 DIKENAL PASTI, SIASATAN KINI BAGAIMANA INSIDEN BERLAKU...


"Pemeriksaan lanjutan ke atas serpihan akan diteruskan supaya bukti lanjutan diperoleh yang mungkin memberi petunjuk baharu kepada maklumat lanjut lain selain mengkaji bagaimana insiden itu berlaku."

Akhirnya misi pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang membuahkan hasil.

Malaysia semalam  mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di pulau Pemba, perairan Tanzania, Jun lalu,  adalah milik syarikat penerbangan negara.

Ia disahkan oleh pakar dari Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Sudah pasti penemuan ini melegakan banyak pihak selepas banyak masa, tenaga dan perbelanjaan dikeluarkan bagi tujuan berkenaan.

Kos misi mencari dan siasatan ke atas pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 itu dikatakan menjadi misi paling mahal dalam sejarah penerbangan.

Menurut angka yang dianggarkan oleh Fairfax Media, selepas empat minggu sahaja, ia sudahpun melepasi kos misi mencari pesawat Air France AF447 yang sebelum ini memegang rekod paling mahal dengan nilai perbelanjaan mencecah $50 juta (RM164 juta).

Kos perbelanjaan tinggi ini melibatkan kapal laut, satelit, kapal terbang dan kapal selam yang dihantar ke Laut China Selatan, Selat Melaka dan selepas itu hingga ke bahagian selatan Lautan Hindi.


Pencarian yang dipimpin Australia menggunakan peralatan tidak berawak di dasar laut dan perlengkapan sonar untuk memeriksa kawasan  seluas lebih 120,000 kilometer.

Pada peringkat awal, sebanyak 26 buah negara antaranya Singapura, Indonesia, Vietnam dan Amerika Syarikat mengerahkan aset ketenteraan mereka bagi membantu menjalankan operasi mencari pesawat jenis Boeing 777 itu ketika mula-mula berita kehila­ngannya tersebar luas.

Menurut jawapan bertulis di Parlimen, kerajaan membelanjakan sebanyak RM231,452,287 setakat Oktober 2015 dalam operasi pencarian pesawat MH370 itu.

Anggaran kos keseluruhan bagi misi pencarian itu mungkin didedahkan selepas ini selain jumlah pampasan kepada penunpang dan anggota kabin.

MAS  dan kerajaan juga kini boleh menarik nafas lega kerana pencarian yang sukar bermula ternyata berbaloi.

Penemuan ini pastinya turut menggembirakan sebahagian besar anggota keluarga mengatakan mereka tidak ingin pencarian dihentikan sampai pesawat ditemukan.

Setelah pengesahan ini diumumkan, langkah seterusnya ialah mengkaji bagaimana insiden itu berlaku.


Malaysia  berharap mendapat lebih maklumat berhubung serpihan berkenaan.

Serpihan kini  berada di Austra­lia dan kerajaan  akan bawa pulang tetapi ia akan mengambil masa kerana perlu dianalisis lebih mendalam di sana.

Misi mencari lebih dua tahun itu menghasilkan beberapa penemuan serpihan pesawat Boeing 777 yang hilang pada Mac 2014 ketika membawa 239 penumpang dan anak kapal, tidak lama selepas berlepas dari Kuala Lumpur, menuju ke Beijing, China.

Antara yang dikenalpasti, termasuk beberapa nombor bahagian serta rupa bentuk fizikal, dimensi dan pembinaan disahkan serpihan seksyen dalam pesawat bagi flaperon Boeing 777.

Pengesahan itu berdasarkan pemeriksaan dan analisis menyeluruh, ATSB dengan persetujuan Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 mengenal pasti beberapa penemuan.

Pengesahan juga termasuk beberapa nombor bahagian serta rupa bentuk fizikal, dimensi dan pembinaan disahkan serpihan seksyen dalam pesawat bagi flaperon Boeing 777.

Beberapa serpihan pesawat yang dikaitkan dengan MH370 ditemui sejak tahun lalu, namun hanya bahagian flaperon yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis disahkan sebagai 100 milik pesawat malang itu.


Nombor siri dan tarikh pembuatan pada serpihan yang ditemui sepadan dengan MH370. Ia dihantar ke Australia untuk dianalisis oleh ATSB.

Pengeluar bahagian pesawat dari Itali turut mengesahkan semua nombor pada bahagian berkenaan mempunyai kaitan dengan nombor siri yang sama bagi flaperon yang dihantar kepada Boeing sebagai nombor jajaran 404.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata semalam tarikh yang dicap berkait dengan satu daripada bahagian menyatakan bahawa pengeluaran adalah pada 23 Januari 2002, yang mana konsisten dengan tarikh penghantaran bagi MH370 pada 31 Mei 2002.

Pengeluar turut  mengesahkan jajaran nombor pesawat 404 dihantar kepada Malaysia Airlines dan didaftarkan sebagai 9M-MRO (MH370).

Pakar merumuskan yang serpihan iaitu flaperon luar adalah berasal dari pesawat 9M-MRO, yang juga dikenali sebagai MH370," katanya.

"Sebagai tambahan kepada nombor bahagian Boeing, semua penanda identifikasi mempunyai nombor 'OL' kedua yang mana ia adalah pengenalpastian unik berkaitan pembinaan bahagian (pesawat)," katanya dalam satu kenyataan.

Penyiasat sebelum ini mengesahkan sekeping serpihan yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis pada Julai 2015 sebagai sebahagian daripada MH370.


Mereka juga sedang memeriksa beberapa serpihan lain yang ditemui di Mozambique, Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues, sebuah wilayah di Mauritius.

Tiong Lai berkata, pemeriksaan lanjutan ke atas serpihan itu akan diteruskan supaya bukti lanjutan diperoleh yang mungkin memberi petunjuk baharu kepada apa yang berlaku kepada MH370.

"Pasukan penyiasat akan meneliti maklumat lanjut lain sekarang dan mengkaji bagaimana insiden itu berlaku," katanya.

Friday, September 9, 2016

DR AHMAD ZAHID - BERANI, JUJUR AKUI KELEMAHAN DALAM PERKHIDMATAN...


Penegasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mahu wujud sindrom penafian dalam jabatan atau agensi kerajaan terhadap kelemahan operasi dan perkhidmatan kepada rakyat perlu dijadikan amalan segera.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri mahu  jabatan dan agensi kerajaan perlu berani serta jujur mengakui kelemahan dalam perkhidmatan yang ditawarkan sekiranya benar.

Situasi sebenar di sebalik permasalahan perlu dimaklumkan kepada rakyat. Ini akan membolehkan mereka memahami situasi, selain menyelesaikan segera masalah yang timbul. 

Malah, beliau membidas 'kacang hantu' dalam jabatan-jabatan, termasuk di bawah KDN yang sanggup bertindak membelakangkan integriti.

Akibat perbuatan itu, ia mendatangkan pelbagai persepsi buruk kepada imej dan perkhidmatan di kementerian dan jabatan kerajaan.


Sebagai kementerian yang menawarkan banyak perkhidmatan kepada orang awam, Dr Ahmad Zahid tidak boleh berkompromi untuk menyimpan atau memiliki individu seperti itu di bawah pentadbirannya.

"Bagi mereka yang merasakan sudah tidak boleh bekerjasama dengan KDN, carilah organisasi lain di luar sana yang dia selesa bekerjasama," katanya berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya semalam.

Setiap individu yang berkhidmat dalam organisasi kerajaan perlu berani mengakui kesilapan jika ada melakukannya. Segala masalahan yang berlaku boleh diatasi.

“Kita harus akui kelemahan kita. Semua individu harus bangkit berkhidmat demi rakyat,” katanya.

Jangan sesekali ada sindrom menafikan kesalahan.

Namun begitu, masyarakat juga perlu adil pada kakitangan sesuatu jabatan.

Memberi contoh rungutan berhubung perkhidmatan Jabatan Imigresen seperti isu pengeluaran pasport dan pelanggan terpaksa beratur panjang di kaunter, beliau berkata keadaan itu sememangnya wujud dan perlu diakui dengan jujur.

"Saya juga mahu rakyat faham bahawa masalah tersebut bukan sepenuhnya disebabkan kelemahan jabatan. Ia juga diakibatkan oleh faktor luaran seperti pembekal dan vendor yang gagal menyediakan item memenuhi spesifikasi serta masa yang ditetapkan Imigresen," katanya.

Mustafar...profesionalismenya perlu diteladani.
Kerana itu beliau memuji sikap profesionalisme yang ditunjukkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali menangani masalah di jabatan itu.

Pada Ogos lalu, Jabatan Imigresen dibanjiri orang awam yang mengalami kelewatan proses permohonan dan memperbaharui pasport sehingga menyebabkan situasi panik.

Mustafar tampil memberi penjelasan bahawa imigresen sedang menjalani proses peralihan kepada pasport versi baharu.

“Saya puji tindakan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali yang serius menangani isu kelewatan ini dengan menjelaskan keadaan sebenar dalam tempoh yang cepat,” tegasnya.

Mustafar yang berkhidmat hampir 30 tahun dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilantik Ketua Pengarah di Jabatan Imigresen 1 Ogos lalu.

Pertukaran beliau dianggap sebahagian usaha memerangi salah laku dalam imigresen.


Ternyata kedatangan Mustafar ke jabatan itu berjaya membuktikan bahawa sikap profesionalisme tetap wujud dalam perkhidmatan awam dan perlu dijadikan teladan.

Tuesday, September 6, 2016

RUU 355 – SEBARANG KECACATAN, KEGAGALAN AKAN DILETAKKAN DI BAHU UMNO/BN...


"Mengapa PAS yang bentang RUU ini bukan kerajaan? Ada persepsi PAS dengan UMNO sudah bersama...Lebih membimbangkan bukan Islam apabila ia dibentangkan oleh PAS kerana di Kelantan dan Terengganu ada enakmen Hudud."

Tarikh untuk bentang Rang Undang-undang (RUU) 355 atau Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 di Dewan Rakyat semakin dekat.

Bacaan kedua bagi RUU355 itu dijangka bakal berlaku pada sesi sidang Dewan Rakyat bulan depan selepas bacaan pertama, Mei lalu.

Di sebalik tarikh yang semakin hampir, perjalanannya dijangka masih jauh. Silap pendekatan akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada Barisan Nasional (BN).

Bagi PAS, ia boleh mendakwa suatu kejayaan baginya kerana berjaya menunaikan janji untuk membentangkannya.

Selebihnya terserah kepada kerajaan untuk melaksanakannya. Sama ada dari segi tugas membuat penjelasan, mahupun pelaksanaan dan penguatkuasaannya.

Bagaimana jika gagal atau tersekat-sekat? Akhirnya kerajaan BN juga yang akan menanggung bebannya.

Jika berjaya, PAS akan mengambil kredit dengan mengatakan segala usaha adalah daripadanya.

PAS boleh mengatakan tiada apa yang pelik dengan pindaan Akta 355, yang dibawa usul oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu.

Namun sejauh ini pendirian parti komponen BN seperti MCA, Gerakan, MIC dan beberapa parti lain dari Sarawak dan Sabah, termasuk PBS belum jelas.

Isu RUU 355 adalah persoalan yang agak berat dan masih mengelirukan bagi masyarakat bukan Islam.

Malah, perbahasan di kalangan masyarakat Islam juga tidak terkecuali.

Pintu belakang bagi pelaksanaan Hudud?
Seperti disebut Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw bukan Islam dan bukan Melayu mempunyai persoalan sama ada RUU 355  ini merupakan pintu belakang bagi pelaksanaan hudud di negara ini.


"Soal hari ini bukan soal RUU sahaja. Kita mesti pandang ke seluruh negara tentang apakah perasaan masyarakat bukan Islam ke atas RUU ini. Sebelum kita bahas tentang RUU, ia sudah pun tersebar luas di seluruh negara menerusi media sosial.  Adakah RUU ini pintu belakang (pelaksanaan) hudud?," tanya beliau.

Perkara itu ditimbulkan olehnya pada Wacana Sinar Harian 'Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi' di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam semalam.

Isu RUU yang dibawa oleh PAS ini diakui telah menimbulkan persepsi tertentu terhadap kerajaan dan PAS.

Antara pertanyaan ialah,  mengapa PAS yang bentang RUU ini bukan kerajaan? Berikutan itu ada persepsi PAS dengan UMNO sudah bersama. Itulah persepsi yang timbul sekarang," kata Seng Giaw.

Sebagai pihak yang lebih berpengetahuan dalam soal RUU, kata Seng Giaw, PAS mesti tahu bagaimana hendak mententeramkan hati yang gelisah tentang pelaksanaan RUU.

Persoalannya berjayakah PAS memberikan penerangan yang jelas dan lengkap?

Menyulitkan suasana kerana wujud kalangan  ahli politik menggunakan isu agama ketika membincangkan cadangan pindaan itu dan menyemarakkan sentimennya sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat berbilang kaum.


Perlu diingat bahwa kalangan orang bukan Islam mempunyai  latar belakang yang berbeza sejak merdeka dan memburukkan keadaan, ada kalangan ahli politik daripada pelbagai parti menggunakan isu agama dan perkauman.

Lebih membimbangkan bukan Islam dan sensitif bagi mereka apabila ia dibentangkan oleh PAS kerana di Kelantan dan Terengganu ada enakmen hudud.

Juga persoalan yang ditimbulkan ialah, wujud persoalan tentang hak bukan Islam selepas RUU itu dipinda selain tanda-tanya sama ada akta ini adalah strategi awal PAS untuk melaksanakan hukum hudud.

Sehingga ini semua persoalan itu belum terjawab dan bagaimana boleh dielakkan prasangka dan emosi seperti itu di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia?

Lihat sahaja MCA, ia menyatakan pendiriannya akan  kekal untuk menolak pindaan RUU 355  yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Ketua pasukan perlaksanaan Dasar dan Undang-undang Syariah, MCA Pusat, Gan Ping Sieu berpendapat, pindaan tersebut dipertikai masyarakat bukan Islam memandangkan terdapat agenda tersirat yang dibawa berhubung pelaksanaan itu.

"Bukan saja persepsi tapi secara realitinya, ini satu yang membimbangkan keseluruhan rakyat kita," katanya.

MCA menyatakan terkilannya  dengan cadangan pelaksanaan pindaan akta tersebut yang diawalkan tanpa pengetahuan daripada parti kompenan BN yang lain.

Gan...kecewa tiada rundingan dalam BN.
Malah, beliau memaklumkan tiada sebarang rundingan atau perbincangan dibuat sebelum ini di platform Kabinet mahupun parti berhubung perkara tersebut.

“Antara sebab kita bantah dan tak setuju dengan pindaan RUU 355 ini adalah berhubung agenda di sebalik pelaksaannya selepas ini sama ada ia akan bercanggah dengan Artikel 8 iaitu hak kesaksamaan sesama rakyat,” katanya.

Seperti Seng Giaw, beliau memaklumkan bahawa pelaksaan pindaan akta tersebut bukan sahaja merisaukan MCA malah turut melibatkan seluruh masyarakat di negara ini.

Kebimbangan utama ialah  tujuan tersirat berhubung pindaan tersebut adalah bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan selepas ini.

Dengan kedudukan ini amat jelas bahawa PAS seakan-akan menyerahkan kepada BN untuk membuat penjelasan dan beban itu akan menyebabkan UMNO menerima padah dikritik oleh komponen lain dalam BN.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan pada  ‎wacana Sinar Harian semalam menjelaskan, sekurang-kurangnya terdapat tiga akta ‎yang sama dengan akta 355 di negara ini.

"Saya seorang pengamal undang-undang, saya rasa wajar mengatakan dalam negara kita ini terdapat sekurang-kurangnya tiga akta yang mempunyai 'background' yang sama iaitu pertama Akta Mahkamah Rendah 1948, Akta Mahkamah Kehakiman 1964, dan terakhir Akta Mahkamah Syariah 1965.

"Daripada ketiga akta ini saya mengabungkan sebagai akta-akta bagi tujuan yang sama, jadi saya kira sebagai ahli politik dan pengamal undang-undang  tiada apa-apa yang pelik tentang akta 355 apabila ia dicadangkan melalui satu usul ahli Parlimen bukan kerajaan,"

Ujarnya lagi, untuk meminda akta ini, tindakan ini dibenarkan oleh Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Walaupun jarang-jarang berlaku, tetapi Speaker dan Menteri benarkan Ahli Parlimen Marang membuat usul, jadi ini adalah satu proses biasa untuk pinda undang-undang sebab itu tiada perkara yang pelik untuk menjadikan ia satu konflik atau menimbulkan satu kebimbangan," katanya.

Memanglah untuk PAS ia tidak membimbangkan, namun parti komponen BN, khususnya MCA, MIC dan Gerakan dan  pastinya juga parti komponen lain, kebimbangan parti-parti  itu memuncak apabila dakwanya wujud laporan dalaman Jawatankuasa Teknikal Syariah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) , ia adalah fasa sebelum pelaksanaan hudud di seluruh negara.

Walaupun diyakini Jakim tidak berhasrat melaksanakan hudud tetapi pada Mei 2014, laporan dalaman Jawatankuasa Teknikal Syariah Sivil secara singkatnya ia adalah cadangan hudud berfasa seluruh negara.

Jadi, dengan mengambil pendekatan dua fasa untuk melaksanakannya - iaitu (melalui) pindaan Akta 355, sudah pasti ia merisaukan parti berkenaan.

Malah, bagi MCA, ia kecewanya apabila pindaan akta itu tidak dibawa dalam Majlis Tertinggi BN agar komponen parti dimaklumkan terlebih awal.

Di pihak orang Islam pula, kenyataan oleh pihak-pihak tertentu, termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri  yang mewajibkan ahli Parlimen beragama Islam menyokong RUU 355 itu dilihat boleh menimbulkjan berbagai persepsi rakyat.

Ini kerana sekiranya ahli Parlimen beragama Islam menolak untuk menyokong, masyarakat Islam pastinya akan mengecam tindakan wakil rakyat  tersebut.

Zulkifli melalui siri Bayan Linnas: Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat menyatakan ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong manakala yang bukan Islam perlu menyokong memandangkan pindaan itu membawa ke arah kebaikan.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat,  apabila mufti mengatakan wajib, setiap Ahli Parlimen yang menolaknya nanti akan menghadapi pandangan serong atau dikecam dalam kalangan orang Islam.

“Ini kerana pandangan seseorang mufti itu akan memberi pengaruh besar kepada pemikiran masyarakat Islam,” katanya.

Mufti...wajib sokong RUU 355
Pendapat Zulkifli itu dilihat oleh  Parti Amanah Negara (AMANAH) dibuat dengan tidak melihat secara menyeluruh kerana RUU 355 atau Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 masih belum diperincikan di Dewan Rakyat.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mujahid Yusof Rawa  hairan dengan mufti berkenaan. ini kerana ia isu legislatif yang ada prosedurnya.

“Sebagai ahli legislatif, kita berbahas atas fakta, kerangka prosedur, Perlembagaan dan sebagainya. Bagaimana kamu buat pendirian tanpa kamu dengar apa Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bentang lagi?”

Katanya, kenyataan ‘wajib’ itu dibuat tanpa melihat keseluruhan isu-isu ‘legal’, prosedural yang lebih rumit daripada sekadar suruh sokong,” katanya.

Berikutan itu beliau mengingatkan Mufti Wilayah Persekutuan itu agar tidak menggunakan kedudukannya dalam menjatuhkan hukum wajib atau tidak berkaitan urusan undang-undang.

Untuk menghilangkan kekeliruan dan ‘kekecohan’, saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri supaya diberikan kefahaman, terutamanya  kepada bukan Islam bahawa pindaan tersebut hanya melibatkan orang Islam, perlu tindakan secara bersama.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kalau kefahaman ini dapat digarap bahawa Akta 355 itu bukan hudud, bukan potong tangan, bukan potong kaki, bukan rejam, akan lebih membuka mata mereka yang ragu-ragu atau bimbang mengenainya.

Persoalannya siapa yang bertanggungjawab menerangkannya? Juga sejauh ini, apa kesan penerangan berkenaan?


Tidak wajar melengah-lengahkan penerangan mengenai RUU 355 ini kerana pada titah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Parlimen ke-13, Mac lalu, Tuanku Abdul Halim mahu langkah-langkah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah disegerakan.