Showing posts with label Dr Ahmad Zahid. Show all posts
Showing posts with label Dr Ahmad Zahid. Show all posts

Monday, March 20, 2017

RISIKO APA MENANTI UMNO, BN SELEPAS DAPAT `TEMAN BARU'???


Pada Jumaat lalu (17 Mac 017) diumumkan secara rasmi di Kuala Terengganu bahawa UMNO akan mendapat teman baru.

UMNO menyifatkan ia mendapat teman baru hasil doanya yang mahu menyatukan orang Melayu.

Ia disifatkan berlaku di sebalik kehilangan segelintir kawan sementara kawan baru itu adalah kumpulan yang lebih besar daripada kawan yang meninggalkan UMNO.

Pada ketika UMNO menyambut baik kedatangan kawan barunya, pembangkang juga bersorak gembira dengan pemergian kawan mereka ke pangkuan UMNO.

Kedua-duanya kumpulan bersorak gembira kerana sebab masing-masing. Ia berkaitan dengan kesan jangka panjang dan kesan dalam pilihan raya umum akan datang - Pilihan  Raya Umum ke-14 (PRU14),

Malah kesan kedatangan dan pemergian yang disifatkan sebagai ‘kawan ‘ itu akan pastinya terjawab pada PRU14 nanti.

“InsyaAllah, dengan doa untuk kita menyatukan orang Melayu, biar kita kehilangan kawan segelintir,

InsyaAllah kita akan mendapat kawan baru yang akan bersama-sama dengan kita yang kumpulannya lebih besar daripada yang telah keluar itu.”

Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  berucap sempena Perasmian Kelompok Persidangan Agung UMNO Cawangan dan  Sayap-Sayap Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, Jumaat lalu.


Kehadirannya sehari selepas 3M – Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Munyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai program `Bicara Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad - `BERANI BERUBAH’ DI Ajil pada malam Khamis.

Program itu dianjurkan oleh Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Terengganu secara solo dan dihadiri lebih 3,500 orang.

Walaupun tidak disebut oleh Dr Ahmad Zahid siapa kawan baru itu, ia tidak mungkin PKR atau AMANAH, sebaliknya yang dimaksudkan ialah PAS.

Memang ketika ini PAS dilihat kuat apabila memiliki 14 kerusi Parlimen (selepas 6 menyeberang ke  AMANAH dan seorang ke PKR) selain memerintah Kelantan (32 kerusi selepas seorang dipecat), serta mempunyai 13                                                                                                                                              (daripada 15 kerusi  Dewan Undangan Negeri)di Selangor dan 14 kerusi DUN di Terengganu.

PAS juga ada kerusi DUN di Kedah (8 daripada 9), Perak (5) Pulau Pinang (1), Melaka (1), Perlis (1), Pahang ( daripada 3) dan Johor (3 daripada 4).

Sementara itu siapa pula kawan segelintir yang kini tidak lagi menjadi kawan UMNO dan BN?

Sudah tentu ia dirujuk kepada PPBM  yang mana kini menjadi pesaing paling kuat kepada UMNO.

Ia juga mungkin akan menjadi pesaing yang hebat kepada BN walaupun ketika ini hanya mempunyai  satu kerusi Parlimen (Johor) dan dua kerusi DUN sahaja (Kedah dan Johor).

Di Terengganu pula PPBM kini sudah mempunyai lapan Ketua Bahagian dan jenteranya mulai aktif sejak dua bulan lalu.

Dr Ahmad Zahid pada Perasmian Kelompok Persidangan Agung UMNO Cawangan dan  Sayap-Sayap Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, Jumaat.
Dr Ahmad Zahid menegaskan, orang Melayu masih memerlukan UMNO dan BN  kerana pada PRU13, daripada  5.2 juta pengundi Melayu  4.1 juta daripadanya mengundi BN.


Baginya, perkembangan positif  itu membuktikan terdapat kira-kira 78.7 peratus orang Melayu masih sayangkan UMNO dan BN.

Malah menurutnya, iaitu sasaran UMNO dan inilah simpanan tetap politik UMNO, sebaliknya ada yang cuba memecahkan kekuatan orang Melayu yang berasal daripada organisasi kita, tetapi `ketam-ketam batu’ ini UMNO ketepikan.

Namun, beliau seakan lupa bahawa itu sebelum wujudnya berbagai isu yang berkisar sekitar Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden UMNO (memangku) itu lupa bahawa senario politik sudah banyak berubah sejak dua tahun kebelakangan ini.

Dengan isu seperti hutang, kehilangan dana, kecurian, penyelwengan, pecah amanah dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu kegelisahan rakyat kerana kenaikan harga barang, GST, pengagguran, pembaziran kerajaan dan sebagainya, BN kini benar-benar tertekan.

Dengan bernostalgia dengan sokongan hasil PRU13, Dr Ahmad Zahid lupa bahawa BN kini semakin terancam kedudukannya, malah keputusan PRU13 sebenarnya lebih buruk daripada keputusan PRU12.

Kemenangan Najib pada PRU13 adalah sokongan semua pihak, termasuk Dr Mahathir Mohamad.

Namun dengan pemecatan beberapa pemimpin penting UMNO -Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi – selain beberapa yang lain, apakah senario selepas PRU13 masih serupa?

Tidakkan ‘ketam-ketam’ batu itu akan merubah pantai dan laut yang kian bergelora?

Berbalik kepada kawan baru yang sangat dinanti dann dialu-alukan oleh Dr Ahmad Zahid itu, apakah mereka rakan sepermainan UMNO sebelum ini?

Memanglah PAS pernah menjadi rakan BN ketika ia mula dibentuk sekitar 1973 dan sama-sama bertanding menggunakan logo dacing pada PRU 1974. Namun hubungan tidak kekal lama kerana pada 1977-1978, PAS terpaksa tinggalkan UMNO dan BN.

Selepas lebih 40 tahun, kepimpinan PAS kini seolah-olah berbaik semula dengan BN, itupun selepas kematian pemimpin PAS yang ‘keras’ seperti Datuk Fadzil Nor, Datuk Yusuf Rawa dan Datuk Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat.

Kenapa tiba-tiba Presiden PAS sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba-tiba berlembut dengan UMNO?

Apakah semata-mata kerana UMNO sokong pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) atau kerana sebab lain?

Ketua Pemuda Pas Pusat Nik Mohd Abduh Nik Aziz berkata, tiada salahnya parti itu bersatu dengan Umno bagi menyokong pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355 jika MCA dan DAP bersatu menentang akta tersebut.

Di sebalik punca penyatuan, persoalan penting ialah, bagaimana pemimpin UMNO dan penyokong UMNO di bawah akan menyesuaikan diri menerima kalangan pemimpin dan penyokong PAS?

Sudah berdekad musuh UMNO adalah PAS dan sebaliknya, apakah boleh dicuci dalam tempoh beberapa bulan sebelum PRU14?

Menarik untuk melihat garis pertemuan antara mereka yang selama ini musuh ketat terutamanya dalam isu Islam.

Bagaimana reaksi orang UMNO kepada `AMANAT HADI’yang sebelum ini menghukum orang sebagai KAFIR. Ini tidak termasuk meletakkan hukum seperti haram memakan daging binatang yang disembelih oleh orang UMNO, pernikahan oleh kadi UMNO tidak sah dan tidak sah solat berimamkan imam UMNO yang membawa kepada solat berasingan (dua imam).

Di Terengganu, amalan ini masih dilakukan walaupun dalam kumpulan amaat kecil. Bersediakah Hadi menarik balik atau mengakui kesilapannya kerana amanat di Banggol Peradong itu?

Dr Ahmad Zahid menjelaskan kawan baru itu adalah kalangan musuh politik UMNO tetapi mereka telah `tabayyun’, memahami dan mampu menyelesaikan permasalahan untuk ditangani bersama.

Persoalannya jika penyatuan dua kawan ini menjadi, apakah kekuatan sebenar yang menjadi ikatan antara mereka?

Apakah hanya kerana faktor Melayu dan Islam semata-mata atau kerana kepentingan politik untuk mempertahankan dua manusia – kedua-dua ketua parti yang dilihat sangat erat dan meempunyai kepentingan bersama – Datuk Seri Najib Razak dan Hadi?


Juga apakah penyatuan ini akan berkekalan dengan  tidak berlaku seperti perpecahan sebelum ini yang kesannya sangat menyedihkan umat Islam, khususnya di Pantai Timur yang menyebabkan solat dua imam dan so;at berasingan di surau serta masjid PAS dan kerajaan?

Apakah kelak akan berlaku di mana surau dan masjid yang digunakan oleh PAS untuk ‘mencaci, menempelak serta mengutuk’ pemimpin dan pengikut UMNO selama ini dibubar atau dikosongkan?

Dan jika digunakan, akan tiada laagi caci hamun seperti sebelum ini? Penyokong PAS dan UMNO saling bermaafan seperti kaum Ansar dan Muhajirin di Madinah?

Juga apakah akan ada kerajaan campuran dengan PAS dan bagaimana rakan parti BN lain melihat penyatuan ini?

Pemimpin PAS, MCA, MIC serta Gerakan dan parti lain di Sarawak dan Sabah akan turut gembira dengan langkah yang diusahakan oleh UMNO ini?

Kenapa  pemimpin seperti Dr Ahmad Zahid sanggup mengambil risiko di atas usaha ini dan jika ia tidak berlaku seperti dijangkakan apakah UMNO sanggup menerima kesannya?

PAS walaupun ‘Parti Islam’ tetapi politiknya tiada beza dengan parti lain. Pemimpin atasannya mungkin boleh berkorban tetapi tidaak semua akan mendapat tempat dalam kerajaan campuran.

Apakah penyokong  boleh berkorban jika pemimpin mereka tidak mendapat tempat dalam kerajaan Pusat dan negeri seperti diharapkan?

Juga apakah pemimpin UMNO juga sanggup mengorbankan umpamanya kerusi pilihan raya, jawatan penting dalam kerajaan dan sebagainya?

Apakah PAS akan menjadi lebih ‘lembut’ dalam konteks hubungannya dengan bukan Islam dan menghentikan serangannya terhadap bukan Islam dalam DAP?

Suasana akan jauh berbeza apabila berada di samping UMNO dalam BN kerana parti komponen BN seperti MCA, MIC serta Gerakan di samping parti bukan Melayu dan bukan Islam di Sarawak dan Sabah juga mempunyai sensitiviti masing-masing dan kadangkala bersikap lebih daripada DAP.

Bersesuaian dengan usaha merapatkan saf dua kawan baru ini, Dr Ahmad Zahid meminta supaya tanpa mengetepikan agama lain, semua ahli UMNO dan BN bersama-sama dengan PAS menegakkan perundangan RUU 355.

Dr Ahmad Zahid pernah menegaskan perkara ini yang bertujuan menjaga kepentingan orang Islam supaya orang Islam terus menjadi kumpulan yang tahu menghormati dirinya dengan perundangan.

Bagaimana jika parti komponen BN, termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bwesatu di Sarawak (PPB) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) RUU355, apakah PAS boleh bertolak ansur dengan memejam mata dan memekakkan telinga?

Dr Ahmad Zahid terlalu yakin akan kehadiran kawan baru ini.

Bagaimana jika usahanya gagal, sanggupkah beliau mengikut jejak langkah Dato’ Onn Jaafar yang mengambil tindakan meletakkan jawatannya dalam UMNO?

Untuk rekod, Datuk Onn sebagai presiden UMNO pada persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 hingga 26 Ogos 1951 mengundurkan diri akibat gagal memujuk orang Melayu menerima bukan Melayu.

Juga apakah Hadi akan meletakkan jawatan ataau dipaksa meletakkan jawatan jika usahanya memujuk ahli bersatu dengan UMNO tetapi tiba-tiba tidak berlaku seperti dirancang.

Atau, kalaupun bekerjasama, hasrat dan matlamat mereka tidak tercapai.

Lebih buruk jika PAS kecundang teruk pada pilihan raya akibat penyokong mereka protes keputusan Hadi melalui PRU14.


Memalukaan lagi jika kerusi di Dewan Rakyat yang diharapkan sebanyak 40 tidak mencapai sasaran dan Kelantan jatuh akibat kerjasama dengan UMNO yang menyaksikan pakatan AMANAH, PKR dan PPBM menewaskan mereka!!!

Wednesday, November 23, 2016

RUU 355 SEBAGAI PENCETUS KERJASAMA UMNO-PAS HADAPI PRU-14?


"Apakah menteri Kabinet yang sesetengahnya ketua parti komponen BN akan menyokong RUU 355...jika menentang apakah akan digugurkan daripada Kabinet atau mereka sukarela meletakkan jawatan?

PAS boleh mencipta sejarah hari ini atau esok kerana usul Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 akan berjaya dibentangkan sama ada hari ini atau esok.

Ia juga akan menjadi pencetus kepada kerjasama UMNO-PAS yang akan menjadi kenyataan selepas ini bagi kepentingan Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) dan kepentingan umat Islam.

Usaha PAS melobi dan menyokong kerajaan dalam banyak perkara mendatangkan kemenangan politik dan moral kepada PAS.

Kebimbangan PAS bahawa usul itu akan tersekat kini tiada lagi. Pada hari pertama sidang parlimen Oktober lalu, usul persendirian yang dibawa anggota parlimen Marang yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada pada giliran nombor empat.

Dari giliran keempat, usul Hadi bagi membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) itu, diturunkan ke tempat ketujuh dalam kertas aturan mesyuarat.

Ia kemudian diturunkan apabila lebih banyak usul kerajaan dimasukkan dalam senarai apabila usul kerajaan didahulukan berbanding usul persendirian.

Berbaloi Hadi  menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu derma RM2.6 bilion, tiada kecurian dan penyelewengan wang rakyat, serta tidak menyertai BERSIH 5.0 terbaru, serta banyak lagi.

Kenyataan-kenyataan yang dilihat menyokong, menepis tanggapan pembangkang lain dan membela Perdana Menteri kini berbalas apabila Akta 355 dapat dibentangkan akhirnya.


Kejayaan membawa usul RUU 355 ini adalah kemenangan kepada PAS sebelum PRU14 dan keyakinan kepada UMNO bahawa ia kini mempunyai rakan rapat yang akan menjamin kuasa Melayu dan Islam (untuk menjamin UMNO dan PAS sama-sama membentuk kerajaan).

Penyatuan ini diyakini oleh UMNO-PAS untuk menggagalkan usaha pakatan pembangkang yang bersekutu dengan bukan Islam untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Najib.

Malah, DAP kini semakin digambarkan sebagai parti cauvinis, anti-Islam serta anti-Melayu, walaupun bergabung dengan PKR, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan penuh keyakinan mengatakan Akta 355 itu akan dapat dibentangkan sebelum tamatnya sidang Dewan Rakyat kali ini. Sesi parlimen tahun ini akan berakhir esok (Khamis}.

"Akan dibentangkan minggu ini, akan dibentangkan minggu ini," katanya kepada pemberita selepas memberikan taklimat khas kepada anggota parlimen Islam berkaitan RUU Akta 355 di bangunan sementara Parlimen, semalam.

Turut serta memberikan taklimat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Zahid yang juga ketua whip BN menjelaskan semalam,  beliau turut akan mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri untuk menubuhkan jawatankuasa pemilihan (select committee) bagi memberi penjelasan terperinci berhubung pindaan akta berkenaan.

"Oleh yang demikian, penjelasan kita bincang tadi antaranya mengambil keputusan supaya sebuah jawatankuasa pemilihan dibentuk yang melibatkan ahli parlimen Islam dan bukan Islam dalam jawatankuasa itu.

"Ia untuk memperincikan jika terdapat unsur tak jelas mengenai pembahagian kuasa yang ada dalam Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil," katanya sambil menegaskan pindaan akta tersebut hanya untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah sahaja.

Tengku Razaleigh...apa reaksinya?
Menurut anggota parlimen Bagan Datoh itu lagi, cadangan penubuhan jawatankuasa berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri untuk mendapat persetujuan Kabinet.

"Saya akan bawa cadangan ini kepada perdana menteri untuk dibentangkan di mesyuarat jemaah menteri bagi mendapat persetujuan kabinet supaya perkara ini dapat diterima pakai kerana cadangan-cadangan yang disebut ahli parlimen dari pelbagai parti adalah pertama kali.

"Ia satu permulaan yang baik dan kita hormati sensitiviti agama lain...dan tidaklah tujuan Marang (Abdul Hadi) untuk mempolemikkan keadaan atau mengeruhkan suasana kepelbagaian agama di negara ini," katanya lagi.

Hadi yang dijangka akan membentangkan rang RUU itu dijangka akan diluluskan  pada bacaan pertama dan kerajaan akan angkat untuk sesi debat pada sidang akan datang.

Untuk meluluskannya, jelas sekali memerlukan persetujuan oleh semua ahli parlimen Islam untuk membolehkan perbahasan akan dilakukan  pada sidang parlimen sesi tahun hadapan.

Kini PAS sudah memenangi pusingan pertama dan kesediaan UMNO untuk membukan  laluan sudah tentu menuntut sokongan PAS bagi UMNO berdepan isu penting yang mengancamnya ketika ini.

Namun di sebalik itu, apakah tidak akan ada bantahan daripada anggota Parlimen Islam dari pembangkang dan UMNO sendiri untuk pengundian?

Apakah ahli Parlimen UMNO seperti Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) akan turut akur atau tetap dengan pendiriannya menentang RUU 355?

Juga sejauh ini belum dapat dipastikan apa reaksi anggota Parlimen pembangkang terhadap usul yang akan bentangkan hari ini atau esok.

Apakah mereka tetap dengan pendirian menolak Akta 355?

Bagaimana pula dengan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) bukan Islam sama ada dari Semenanjung atau Sabah dan Sarawak?

Kebimbangan tetap wujud bahawa mereka akan kekal menentang usul ini dan kelak apa kesannya kepada keutuhan BN itu sendiri?

Parti komponen seperti MCA, Gerakan dan MIC sebelum ini menentang dan begitu juga komponen dari Sarawak seperti Parti Pesaka Bumiputera (PPB) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dari Sabah.


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adnan Satem (gambar atas)sendiri menentang Akta 355 dan bagaimana Menteri Kabinet yang mewaKILI parti berkenaan?

Kerajaan, UMNO dan BN berusaha untuk mendapatkan sokongan apabila membuat cadangan penubuhan jawatankuasa untuk dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri untuk mendapat persetujuan Kabinet.

Ini bermakna KONSENSUS belum ada di kalangan menteri Kabinet, khususnya di kalangan pemimpin parti komponen BN mengenai isu ini.

Persoalannya apakah menteri Kabinet daripada pelbagai parti semuanya akan menyokong RUU355 dan sanggup mengubah pendirian mereka?

Jika mereka menentang, apakah kesannya? Apakah menteri berkenaan yang rata-rata Presiden kepada parti komponen penting BN digugurkan daripada Kabinet?

Atau mereka meletakkan jawatan seperti ‘diikrarkan’ sebelum ini?

Atau apakah perkahwinan PAS dan UMNO kerana RUU 355 ini hanya bersifat mutaah untuk kepentingan PRU14 semata-mata selepas perkara ini difahamkan kepada rakan (komponen) mereka dalam BN?

Dr Ahmad Zahid sudah berjanji untuk melakukan apa sahaja terhadap cadangan agar diterima oleh Kabinet dan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ini ujian penting untuk Dr Ahmad Zahid untuk membuktikan keupayaannya dan sebarang ‘masalah’ atau mungkin ‘kekecohan’ kelak adalah tanggungjawabnya.

Tahniah kerana berani ‘meletakkan pisau di leher’ tetapi usaha Dr Ahmad Zahid ini jika ditakdirkan berjaya, akan membuka kepada ruang kerjasama UMNO-PAS yang akan semakin kukuh.

Melayu dan Islam UMNO-PAS akan semakin kukuh.

Namun,  apakah yang bukan Melayu dan bukan Islam terus menyokong BN?

Apakah mereka boleh menerima UMNO yang  yang kini mendapat sekutu baharu yang selama ini dilihat oleh mereka ‘membawa suatu pendekatan’ yang dianggap bertentangan dengan Perlembagaan?


Juga apakah mereka sanggup dan bersedia mengakui bahawa Akta 355 itu BUKAN HUDUD dan ia semata-mata untuk kepentingan orang Islam?

Thursday, September 22, 2016

DR AHMAD ZAHID, HISHAMUDDIN, SILA BUKTIKAN UMNO TEGUH BERDEPAN PRU14...

 

“There are growing tensions between the supporters of Deputy Prime Minister Abdul Zahid Hamidi, who is also Umno's deputy president, and the party's third-most senior leader, Mr Najib's cousin Hishamuddin Hussien, which could undermine party unity and expose Umno to internal sabotage during the polls.”

Mungkin ada mengatakan ia hanya pendapat seorang koresponden sebuah akhbar semata-mata, Ia bukan mencerminkan pendirian rasmi sebuah akhbar.

Namun pendapat penulis dalam satu perenggan dalam artikel bertajuk "Window of opportunity for Najib in early polls" yang disiarkan oleh The Straits Times, Singapura semalam boleh mendatangkan berbagai kesan dan pertayaan.

Apa tujuan dimasukkan perenggan ini pada penulisan yang memfokuskan peluang Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-14 nanti (PRU14) akan datang?

Anehnya, perenggan itu dibiarkan tanpa ulasan dan tanpa sumber yang menyatakan sedemikian.

Leslie Lopez...hubungan penyokong dua Naib Presiden UMNO tegang
Apakah penulisnya Leslie Lopez sengaja melakukan sedemikian sebagai suatu provokasi?

Disebut olehnya, hubungan antara penyokong Dr Ahmad Zahid dan Hishammuddin semakin meruncing, yang ada petanda jelas menunjukkan PRU14 akan diadakan selewat-lewatnya tahun depan.

Ketegangan di antara timbalan perdana menteri itu dengan Hishammuddin, yang juga sepupu Datuk Seri Mohd Najib Razak, boleh menyebabkan prestasi UMNO terjejas, mendedahkannya kepada sabotaj menjelang pilihan raya umum.

Lantas perlu ada jawapan atau penjelasan sama ada Putrajaya, Barisan Nasional (BN), UMNO atau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sendiri bahawa keadaan itu tidak pernah wujud.

Juga kena ada penjelasan bahawa UMNO tetap teguh dan bersiap siaga menempuh PRU14 untuk kekal memerintah.

Pertanyaan yang sewajarnya diakukan kepada ST, khususnya Leslie ialah:

Pertama, bagaiamana dia boleh mengatakan ada perselisihan atau ketegangan hubungan antara penyokong dua Naib Presiden UMNO itu. (ketika ini Dr Ahmad Zahid sedang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO);

Kedua, siapakah yang mendedahkan kononnya wujud ketegangan berkenaan; dan

Ketiga, untuk apa diselitkan perenggan ini jika bukan untuk menunjukkan bahawa UMNO khususnya sedang berdepan dengan ketidak=ketentuan kepimpinan?

Kita amat  maklum bahawa ST sudah banyak menyiarkan berita mengenai Malaysia khususnya dalam isu yang ada kaitan dengan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berita-berita sensasi lain membabitkan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Apakah di sebalik mengatakan Perdana Menteri dan BN, di sebalik keyakinan akan dapat menarik kembali sokongan orang Cina untuk membolehkan BN menang PRU13 menggambarkan sesuatu yang tidak baik dalam parti komponen utama BN, iaitu UMNO?

Kerana itu adalah baik sekiranya bantahan secara mendapatkan maklumat sebenar bagaimana peranggan itu boleh ditulis dan kebenarannya dilakukan oleh pihak yang terbabit.

Perlu diingat bahawa Dr Ahmad Zahid dan Hishamuddin bukan sahaja ada kaitan dalam parti tetapi juga kerajaan.

kenapa penyokong kedua mereka menjadi tegang?

Apakah kerana masing-masing mahu menuntut hak bahawa antara mereka lebih menyumbang dan berjasa kepada parti dan kerajaan?

Atau masing-masing mahu menunjukkan pengaruh dalam keadaan siapa yang akan menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri selepas ini?

Sedangkan hakikatnya, cengkaman Najib ke atas UMNO dilihat sangat membantunya kekal berkuasa sepanjang kemelut 1MDB.

Kata Leslie, menyelesaikan sebarang perbezaan sebelum PRU akan menentukan berapa lama beliau kekal berkuasa.

Ini mungkin termasuk menyelesaikan isu ketegangan penyokong Dr Ahmad Zahid dan Hishamuddin?


Kalaupun ada ia tidak memerlukan campurtangan Najib kerana kedua-dua Naib Presiden itu tahu apa mahu dilakukan. Mereka tidak akan sanggup membiarkan UMNO tumpas!

Apapun, menurut ST, Najib masih berpeluang memenangi PRU ke-14 yang perlu diadakan sebelum 2018, tetapi dengan syarat ia diadakan lebih awal dalam masa setahun.

Dengan adanya laporan ini jangan pula ada pihak di Malaysia menganggap laporan sebegini juga diakibatkan oleh Yahudi yang mahu memporak-perandakan Malaysia.

Ia hanya mungkin suatu provokasi penulis dan ST tetapi jangan biarkan ia berulang di masa hadapan.

Pemimpin terbabit atau penyokong perlu menegas dan membuktikan kepada rakyat, termasuk akhbar berkenaan bahawa keadaan ‘baik belaka di Malaysia’.

Malah UMNO tetap padu dan teguh dalam menghadapi PRU14.

Tuesday, September 20, 2016

DR AHMAD ZAHID SEDANG DIPERSIAPKAN...JANGAN TUDUH NAJIB

Dr Ahmad Zahid sedang berucap di UNGA semalam.

(Najib) mahu beri pendedahan dan kepercayaan kepada saya untuk berada di pentas antarabangsa...Alhamdulillah saya tidak riak dan takabur, ia menjawab sendiri fitnah dan kata-kata negatif yang dipalingkan kepada saya.”
- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Hari ini dilaporkan Timbalan Perdana Menteri mengucapkan ‘Terima kasih Najib’ kerana memberi beliau peluang berucap di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Itulah sewajarnya dilakukan oleh seseorang yang bijak mengenang  budi dan tahu arah politik yang sedang dibentuk oleh ‘bosnya’, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh membaca kenapa beliau dihantar ke New York mewakili Perdana Menteri.

Dr Ahmad Zahid tiba di New York pada Sabtu mengetuai perwakilan Malaysia ke sesi ke-71 Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York itu.

Soal orang lain mahu membuat penekaan atau ramalan, itu soal lain. Biarkan...

Jika ia baik untuk diri Dr Ahmad Zahid dan negara kenapa perlu dipertikaikan.


Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memangku jawatan Timbalan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid dilihat sedang ‘disediakan’ untuk menggantikan Perdana Menteri jika apa-apa berlaku.

Rakyat kena faham, Perdana Menteri kini dalam keadaan yang sibuk dengan persediaan untuk membentangkan Bajet 2017 yang meletakkan ‘rakyat Malaysia’ sebagai yang didahulukan.

Selain itu banyak isu politik dan pengurusan ekonomi negara perlu didahulukan.

Tiada ada kaitan langsung dengan majlis pelancaran kempen ‘Mulakan Hari Anda Dengan Madu’ dan ‘Kelulut Walk 2016’ di Putrajaya.

Takut untuk keluar negara? Tidak benar kerana Najib tiada kaitan langsung dengan laporan oleh Jabatan kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sementara isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor langsung tidak ada dalam laporan. Hanya Riza Aziz yang ada disebut.

Jadi, jangan tuduh Najib sembarangan.

Apapun, bukan skrip Najib atau bukan skrip Dr Ahmad Zahid membolehkan beliau ke persidangan UNGA ke 17 itu tetapi ia suatu ketentuan.


“Alhamdulillah dengan pendedahan yang diberikan Perdana Menteri, saya tidak perlu riak dan takabur, ia menjawab sendiri fitnah dan kata-kata negatif yang dipalingkan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung sesetengah pihak yang mempersoalkan perwakilan beliau pada persidangan tersebut dalam program Bicara Khas Bersama Timbalan Perdana Menteri di RTM malam tadi.

Beliau turut menjelaskan bukan sesuatu perkara luar biasa apabila beliau selaku timbalan perdana menteri ditugaskan mengetuai delegasi negara kerana banyak negara lain yang menghantar wakil bagi mewakili ketua negara dan kerajaan masing-masing.
  
Bagi Dr Ahmad Zahid, peluang ini ialah satu pengiktirafan dan tanggungjawab buat dirinya, untuk  pendedahan kepadanya untuk berada di pentas antarabangsa.

“Pada hemat dan bacaan saya, beliau (Najib) mahu memberi pendedahan dan kepercayaan kepada saya untuk berada di pentas antarabangsa.

Ini  kerana ada yang mempertikaikan saya masih belum layak untuk menjadi pembantu beliau kerana saya tidak mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Padahal sewaktu saya jadi Menteri Pertahanan saya mempengerusikan banyak majlis yang dihadiri menteri-menteri pertahanan antarabangsa dan juga di beberapa persidangan antarabangsa lain,” tegasnya.


Ahmad Zahid tidak perlu bimbang kerana untuk rekod, ada Perdana Menteri sebelum ini ada yang tidak mendapat pendedahan antarabangsa secara meluas pun ketika menjadi menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Mungkin Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Abdullah Ahmad Badawi mendapat pendedahan sebegini kerana banyak terlibat dengan rundingan antarabangsa.

Malah rekod sudah dicipta semalam (20 September), apabila pemimpin dunia pada UNGA menerima pakai Deklarasi New York bagi Pelarian dan Migran, menzahirkan kesungguhan politik untuk menangani isu-isu berkaitan membabitkan kumpulan itu dan berkongsi tanggungjawab bagi pergerakan lebih besar dalam skala global.

Menariknya, Dr Ahmad Zahid mewakili Malaysia hadir dan berucap pada mesyuarat peringkat tinggi PBB mengenai isu menangani pemindahan besar-besaran pelarian dan migran itu bertujuan merangsang semua negara bertindak secara lebih berperikemanusiaan dan pendekatan yang selaras.

Sudah pasti Timbalan Perdana Menteri akan bersama-sama Presiden UNGA, Peter Thomson bagi  mengusulkan komitmen keahlian untuk memulakan proses yang membawa kepada inisiatif global mengenai migrasi serta menyokong inisiatif global ke atas pelarian.

Juga kehadiran Dr Ahmad Zahid itu penting kerana Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut melancarkan kempen baharu, 'Together - Respect, Safety dan Dignity for All' bagi mengatasi masalah kebangkitan xenophobia.

Yang jelas dan nyata, kehadiran Dr Ahmad Zahid berbaloi kerana semalam juga Ban Ki-moon dan  Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) William Lacy Swing menandatangani perjanjian baharu yang membolehkan IOM menjadi organisasi berkaitan bagi PBB.


Ini akan mengukuhkan pendekatan menyeluruh global mengenai migrasi yang Malaysia tidak terkecuali.

Friday, September 9, 2016

DR AHMAD ZAHID - BERANI, JUJUR AKUI KELEMAHAN DALAM PERKHIDMATAN...


Penegasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mahu wujud sindrom penafian dalam jabatan atau agensi kerajaan terhadap kelemahan operasi dan perkhidmatan kepada rakyat perlu dijadikan amalan segera.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri mahu  jabatan dan agensi kerajaan perlu berani serta jujur mengakui kelemahan dalam perkhidmatan yang ditawarkan sekiranya benar.

Situasi sebenar di sebalik permasalahan perlu dimaklumkan kepada rakyat. Ini akan membolehkan mereka memahami situasi, selain menyelesaikan segera masalah yang timbul. 

Malah, beliau membidas 'kacang hantu' dalam jabatan-jabatan, termasuk di bawah KDN yang sanggup bertindak membelakangkan integriti.

Akibat perbuatan itu, ia mendatangkan pelbagai persepsi buruk kepada imej dan perkhidmatan di kementerian dan jabatan kerajaan.


Sebagai kementerian yang menawarkan banyak perkhidmatan kepada orang awam, Dr Ahmad Zahid tidak boleh berkompromi untuk menyimpan atau memiliki individu seperti itu di bawah pentadbirannya.

"Bagi mereka yang merasakan sudah tidak boleh bekerjasama dengan KDN, carilah organisasi lain di luar sana yang dia selesa bekerjasama," katanya berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya semalam.

Setiap individu yang berkhidmat dalam organisasi kerajaan perlu berani mengakui kesilapan jika ada melakukannya. Segala masalahan yang berlaku boleh diatasi.

“Kita harus akui kelemahan kita. Semua individu harus bangkit berkhidmat demi rakyat,” katanya.

Jangan sesekali ada sindrom menafikan kesalahan.

Namun begitu, masyarakat juga perlu adil pada kakitangan sesuatu jabatan.

Memberi contoh rungutan berhubung perkhidmatan Jabatan Imigresen seperti isu pengeluaran pasport dan pelanggan terpaksa beratur panjang di kaunter, beliau berkata keadaan itu sememangnya wujud dan perlu diakui dengan jujur.

"Saya juga mahu rakyat faham bahawa masalah tersebut bukan sepenuhnya disebabkan kelemahan jabatan. Ia juga diakibatkan oleh faktor luaran seperti pembekal dan vendor yang gagal menyediakan item memenuhi spesifikasi serta masa yang ditetapkan Imigresen," katanya.

Mustafar...profesionalismenya perlu diteladani.
Kerana itu beliau memuji sikap profesionalisme yang ditunjukkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali menangani masalah di jabatan itu.

Pada Ogos lalu, Jabatan Imigresen dibanjiri orang awam yang mengalami kelewatan proses permohonan dan memperbaharui pasport sehingga menyebabkan situasi panik.

Mustafar tampil memberi penjelasan bahawa imigresen sedang menjalani proses peralihan kepada pasport versi baharu.

“Saya puji tindakan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali yang serius menangani isu kelewatan ini dengan menjelaskan keadaan sebenar dalam tempoh yang cepat,” tegasnya.

Mustafar yang berkhidmat hampir 30 tahun dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilantik Ketua Pengarah di Jabatan Imigresen 1 Ogos lalu.

Pertukaran beliau dianggap sebahagian usaha memerangi salah laku dalam imigresen.


Ternyata kedatangan Mustafar ke jabatan itu berjaya membuktikan bahawa sikap profesionalisme tetap wujud dalam perkhidmatan awam dan perlu dijadikan teladan.

Monday, June 20, 2016

KENAPA TIMBULKAN PRASANGKA & LAGAKAN DR AHMAD ZAHID, SHAHIDAN DENGAN NAJIB?


"Jangan berterusan mengaitkan Dr Ahmad Zahid sebagai  ‘PM Proxy’ dan Shahidan sebagai  ‘barua’. Tidak sewajarnya mewujudkan perasaan syak-wasangka di kalangan pemimpin UMNO, apa lagi Pilihan Raya Umum tidak berapa lama lagi."

 Membaca komen-komen pada tulisan Raja Petra Kamarudin bertajuk ‘MAHATHIR WANTS ZAHID TO REPLACE MUHYIDDIN AS THE PROXY PM’ pada postingnya  kelmarin (18 Jun 2016), kebanyakannya terpedaya dengan mainan kata-kata blogger berkenaan.

Masing-masing jelas bersemangat mengutuk ‘orang tua itu’ yang menurut mereka bagaikan  desperado untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai proksi Perdana Menterinya jika Datuk Seri Mohd Najib Razak dapat digulingkan sebagai Perdana Menteri.

Persoalannya, kenapa Raja Petra TIBA-TIBA kini babitkan Dr Ahmad Zahid pula? Apa tujuan sebenar beliau berbuat demikian?


Siapa yang menyediakan plot cerita ini?

Rekaan Raja Petra atau pihak lain untuk ‘kacau daun’ dan menimbulkan prasangka buruk di kalangan pemimpin UMNO, khususnya antara Perdana Menteri dan Timbalannya?

Kita tidak mahu sejarah berulang apabila wujudnya ‘syaitan-syaitan’ yang membisikkan suara jahat yang boleh menimbulkan masalah seperti yang berlaku ketika Perdana Menteri pertama – antara Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dengan Allahyarham Tun Razak, Tun Hussein Onn dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan antara Dr Mahathir dengan Tun Musa Hitam dan kemudian Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apakah kita rela melihat hubungan keruh antara Perdana Menteri dan timbalannya?

Kini, bukan sekadar berterusan  berusaha memburuk-burukkan Muhyiddin dan dengan itu serentak mengaitkan Dr Mahathir dengan ‘skandal Muhyiddin’ tetapi wujud pula kononnya akan ada ‘mainan rahsia’ antara Dr Mahathir dengan Dr Ahmad Zahid.

Tujuannya satu sahaja menurut Raja Petra, iaitu menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri.

Malah berburuk sangka yang ditunjukkan oleh Raja Petra ialah kononnya, jika Dr Ahmad Zahid bersetuju dengan permainan ini, syarat penting ialah melantik Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Persoalannya ada dua – pertama, kenapa Raja Petra takut sangat dengan Mukhriz bagaikan mahu menyekat peningkatan politiknya pemimpin muda itu selain mempunyai agenda ‘membunuh karier politik Mukhriz’ sedemikian?

Atau suara Raja Petra ini suara beberapa pemimpin UMNO yang terlalu bimbang dengan  melihat Mukhriz sebagai pesaing berbahaya?

Perkara kedua ialah, apakah ahli UMNO akan membenarkan cara yang dikatakan oleh Raja Petra – iaitu jalan belakang sedemikian?

Menurut Raja Petra, Dr Mahathir tidak gembira dengan skandal Muhyiddin kerana beliau ialah rakan seperjuangan (running mate) bekas Perdana Menteri itu dalam gerakan Kempen Anti-Najib (ANC).


Mulanya Muhyiddin dikatakan akan menjadi Perdana Menteri proksi sahaja apabila Najib berjaya digulingkan.

Apabila Muhyiddin dilantik, beliau akan menjadikan Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri. Itulah paksinya, keseluruhan strategi dan isu sebenar yang berkisar sekitar kritikan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), demikian pendapat Raja Petra.

Bermakna bagi Raja Petra atau mereka yang ‘sewaktu’ dengannya, perjuangan Dr Mahathir melalui Deklarasi Rakyat, khususnya fasa kedua yang menekankan isu 1MDB bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk melonjakkan Mukhriz sebagai Perdana Menteri.

Dengan kata lain, Dr Mahathir berjuang bukan untuk kepentingan rakyat jelata, bukan untuk mencari kebenaran atau mendedahkan salah laku pemimpin (jika ada) tetapi menggunakan isu 1MDB untuk membolehkan Mukhriz menjadi Perdana Menteri.

Tidak tahulah analogi apa yang digunakan. Namun kini ternyata fitnah bertaburan bukan sahaja terhadap Dr Mahathir dan Muhyiddin serta Mukhriz, tetapi juga seorang lagi pemimpin UMNO, iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim.

Kata Raja Petra : “So tomorrow (semalam) an emissary will be attending Zahid’s buka puasa function so that this person can whisper into Zahid’s ear the proposal from Mahathir. And the proposal is: Mahathir is prepared to make Zahid the proxy Prime Minister once they manage to oust Najib, but only if Zahid can agree to appoint Mukhriz as his Deputy.
The whole thing hinges on Zahid agreeing to take Mukhriz as his number two once he takes over from Najib — if and when Najib is ousted. And the man who Mahathir plans to send to whisper into Zahid’s ear is Shahidan Kassim, someone who Mahathir has been using to do such things for more than 30 years.”

Tak pasal-pasal nama Shahidan dikaitkan. Malah lebih buruk seolah-olah Shahidan juga ‘main belakang’ Najib.

Nika Ghee Siew Yee
Kata Raja Petra lagi, “Mukhriz might also attend Zahid’s buka puasa tomorrow semalam) but now that this plan has been exposed he might just lie low instead and not attend after all like he gave Muhyiddin’s meeting yesterday a miss.” (Menurut Raja Petra ada satu mesyuarat di rumah Muhyiddin pada jam 5 petang pada 17 Jun membincangkan dua perkara.  Pertama mencari jalan memujuk Nika Gee Siew Yee menggantikan peguamnya dengan peguam DAP bagi perbicaraan empat hari di mahkamah bermula Isnin yang ditangguhkan dan berusaha memujuk suami Nika -  Stanley Clement Augustin – sama ada menarik balik Akaun berumpah (SD) atau menandatangani satu SD baru).

Menurut Raja Petra, pada ketika mesyuarat diadakan Dr Mahathir menelefon Muhyiddin bertanyakan apa bentuk tindakan seterusnya. Namun selepas mendengar penerangan Muhyiddin, ‘orang tua itu’ yakin bahawa ia adalah jalan penamat untuk Muhyiddin.

Dakwa Raja Petra – menangguhkan kes dan mendapatkan SD kedua tidak ubah seperti mengakui kesalahan.

Mengenai sama ada Mukhriz datang berbuka puasa di rumah Dr Ahmad Zahid, seorang pembantu Timbalan Perdana Menteri itu berkata Shahidan memang datang untuk majlis. Namun bayang Mukhriz langsung tidak menjelma. “Tak da...confirm.” kata pembantu berkenaan merujuk kepada kedatangan Mukhriz.

Nilailah sendiri bagaimana Raja Petra membuat andaian untuk spinnya.

Adalah tidak masuk akal kalau Shahidan datang pada majlis berbuka puasa itu semata-mata mahu berbisik hal sedemikian. Majlis berrbuka puasa itu untuk sahabat politik Timbalan Perdana Menteri.

Isu parti dan negara yang sangat penting bukan itu tempatnya untuk dibincangkan.

Tidak tahu apa yang mahu dispinkan  oleh Raja Petra mengenai Dr Mahathir dan Muhyiddin dalam hubungan antara  gerakan ANC dan melonjakkan Mukhriz sebagai Perdana Menteri.

Mungkin Raja Petra merasakan kini pelurunya sudah mengena...Muhyiddin berjaya 'dilondehkan' dan Dr Mahathir pula ‘kalah pilihan raya.’ Ibarat kata Raja Petra, Dr Mahathir kini sudah kena 'penampar rakyat'.

Mungkin strategi seterusnya ialah ‘mengebom Mukhriz’. Persoalannya senjata bagaimana pula akan digunakan?

Dan siapa pula yang akan dikaitkan?

Jangan berterusan mengaitkan Dr Ahmad Zahid sebagai  ‘PM Proxy’ dan Shahidan sebagai  ‘barua’.

Tidak sewajarnya mewujudkan perasaan syak-wasangka di kalangan pemimpin UMNO, apa lagi Pilihan Raya Umum tidak berapa lama lagi.

Dibimbangi, daripada melakukan spin untuk menjatuhkan musuh – Dr Mahathir dan pembangkang -  silap-silap spin yang digunakan Raja Petra dan konco-konconya meranap BN dan menjatuhkan PM.