Benarkah persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan manipulasi terburuk dalam sejarah
Malaysia?
Juga apakah langkah SPR itu sebagai usaha untuk
mendatangkan keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) semata-mata?
Berikutan itu, SPR bertanggungjawab untuk menjelaskan
kepada rakyat mengenai pertanyaan mengapa persempadanan semula kali ini “lagi tidak adil dan tidak
demokratik”.
Malah SPR dituduh mengabaikan prinsip satu pengundi, satu undi, satu nilai.
SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan
Sabah bermula Khamis lepas (15 September).
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini
memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2)
Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14
Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.
SPR akan mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan
Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu selama satu bulan
bermula 15 Sept hingga 14 Oktober depan.
.
SPR juga akan melaksanakan kajian semula persempadanan
bahagian-bahagian pilihan raya bagi Sabah selaras dengan pindaan Fasal 2
Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang telah diwartakan pada 18 Ogos 2016.
Abdul Ghani...persempadanan semula ikut peruntukan Perlembagaan.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor berkata usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan
diteliti oleh anggota Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 23 September
adalah antara perkara yang akan diberi perhatian oleh UMNO menjelang pilihan
raya umum akan datang.
Usul itu akan turut dibawa pada mesyuarat Majlis
Tertinggi UMNO pada 30 September ini dan sebarang syor atau bantahan yang
diputuskan hasil penelitian tersebut kemudiannya diserahkan kepada SPR yang bertanggungjawab memutuskan perkara
berkenaan.
“Pilihan raya berkait tentang bilangan dan kawasan di
mana jumlah kerusi mempengaruhi keutuhan sesebuah kerajaan memerintah, jadi
proses persempadanan semula antara yang boleh memberi impak kepada perkara itu.
“Ia wajar diambil perhatian oleh parti,” katanya.
Pada ketika BN dan UMNO akan membincangkan perkara itu, dua
parti besar pembangkang iaitu PKR dan DAP menyifatkan langkah SPR itu akan
merugikan mereka.
Namun, pemimpin utama PAS masih membisu seribu Bahasa mngenai
perkara ini. Persoalannya, apakah PAS berpuashati dengan cadangan SPR itu?
Sejauh ini PAS Terengganu ada menyuarakan bantahan mereka
yang disifatkan untuk memenangkan UMNO dan BN di negeri berkenaan.
Apa yang menarik, PKR memberi amaran kepada parti komponen
BN dan sekutunya bahawa cadangan persempadanan semula oleh SPR itu merupakan perebutan kuasa oleh Umno.
"Bukan sahaja PKR, DAP, PAS, Amanah, dan
BERSATU berjuang menentang proses persempadanan semula ini, saya mahu
mengingatkan MIC, MCA, Gerakan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Makkal
Sakti, dan apa sahaja parti yang ada, yang mereka sedang lemas dan akan diketepikan," kata
ADUN Sri Andalas Dr Xavier Jeyakumar (gambar kanan)
Menurutnya melalui usaha SPR ini UMNO seperti memberitahu
secara langsung bahawa UMNO tidak memerlukan undi mereka dan akan dilantik
kemudian. Dengan kata lain, mereka tidak memiliki persamaan lagi dengan UMNO.
"Itulah mesej UMNO mno kepada semua parti
komponennya, dan saya rasa parti-parti ini perlu tegas mengenai apa yang
berlaku sekarang bagi membolehkan mereka mengambil tindakan, dan lantang
bersuara mengenai apa yang berlaku," tegasnya.
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berpendapat adalah
perlu bagi 13 kawasan Parlimen yang bersaiz “super” yang diwujudkan dalam
cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR dipecahkan.
Menurut beliau, kuota kerusi Parlimen untuk Tanah Melayu
adalah 68,814, purata jumlah pengundi setiap kawasan Parlimen.
Namun ada 13 kerusi Parlimen saiz “super” yang mempunyai
lebih 100,000 pengundi.
Tiga belas kerusi saiz “super” itu adalah Damansara seramai
150,439; Bangi (146,168); Klang (141,275); Petaling Jaya (129,363); Subang (128,330);
Gelang Patah (112,081); Kota Raja (121,126); Pasir Gudang (108,156); Kota
Melaka (105,067); Kuala Terengganu (101,875); Sungai Petani (101,829); Tumpat (101,318);
dan Kapar seramai 100,456 pengundi.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyifatkan persempadanan
semula itu sebagai “gerimander terburuk antara lima persempadanan semula” dalam
sejarah Malaysia.
Contohnya, Damansara (dahulunya Petaling Jaya Utara,
kerusi Ahli Parlimen Tony Pua) bertukar menjadi kawasan pilihan raya terbesar
dengan jumlah pengundi 150,439 iaitu dua kali ganda kuota 68,814 untuk kerusi
Parlimen.
PKR pula mendakwa di bawah cadangan SPR, BN boleh menang
hampir 10 peratus daripada 222 kerusi parlimen tanpa mendapat undi tambahan.
Selangor juga akan menghadapi risiko jatuh kepada BN,
walaupun Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali menguasai 65 peratus sokongan
popular rakyat di negeri itu.
Persempadanan semula ini bukan sahaja menyebabkan BN
berada di tampuk pemerintahan selesa, malah dijangka berupaya untuk mendapat
majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Menurut Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar,
dengan mengandaikan tahap sokongan yang sama dan pertandingan satu lawan satu
dalam pilihan raya akan datang, persempadanan semula baru SPR boleh menyebabkan
pembangkang menangung kesan di beberapa kerusi utama.
Malah pembangkang dikatakan mungkin tidak memenangi
sebarang kerusi baru sama sekali.
Menurut pengiraan PKR, persempadanan semula yang baru meninggalkan
pembangkang dengan kemungkinan kurang daripada satu pertiga kerusi
Parlimen, iaitu kurang daripada 74 kerusi).
"Membiarkan kerajaan yang sedia ada mempunyai
majoriti dua pertiga di parlimen adalah seumpama menyerahkan cek kosong ke
dalam tangan BN," tegas Nurul Izzah.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
menyifatkan tindakan SPR itu
melanggar semangat demokrasi dan prinsip keadilan dalam proses pilihan
raya.
“Saya menggesa agar pengundi yang terkesan akibat
pemindahan mendadak di kerusi-kerusi Parlimen dan Dun untuk segera memasukkan
bantahan mereka. Walaupun ramai yang mungkin bertanya ke mana hala tuju negara
selepas ini, atau apakah kita mampu menyelesaikan masalah-masalah besar seperti
dialami sekarang, saya percaya ramai juga yang masih menaruh harapan bahawa
wujud masa depan yang lebih baik buat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, rakyat harus terus istiqamah dalam perjuangan
menegakkan keadilan dan melawan kezaliman.
Beliau percaya dengan iltizam rakyat untuk menentukan
masa depan negara yang lebih cerah, sekali gus mengatasi keruncingan yang
melanda.
Berikutan itu, PKR akan menghantar petisyen kepada Yang
di-Pertuan Agong terhadap cadangan persempadanan semula oleh SPR itu yang
didakwa bertentangan prinsip termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Persempadanan semula perlu ditolak sehingga suruhanjaya
bebas ditubuhkan seperti dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada
tahun 2012.
PKR dan kerajaan Selangor juga akan berbincang dengan
pihak-pihak berkepentingan mengenai perkara itu bagi melihat kemungkinan untuk
mengambil tindakan undang-undang.
Sumber – FMT, Malaysiakini,
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment