Saturday, December 26, 2009

JUARA RAKYAT – GAGAL BOLEH HANCURKAN UMNO

Transformasi besar buat UMNO.


Mendengar slogannya sahaja sudah cukup gah. Kalau sebelum ini UMNO sering dikaitkan sebagai ‘pembela rakyat’ kini ia menjadi ‘Juara Rakyat’.

Secara rasminya UMNO Pembela Rakyat akan bermula 9 Januari ini apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor akan melancar slogan bersama dengan programnya pada 9 Januari depan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak orang Melayu selain membuka ruang peluang kepada bukan Melayu, UMNO tidak perlu mempunyai slogan sedemikian, jika rakyat memahaminya.

Namun sebagai langkah besar dan transformasi besar untuk UMNO melangkah terus pada dekad ke 21, UMNO yang ditubuhkan pada dekad 40an, perlu menyatakan kepada rakyat – khususnya generasi muda – bahawa ia tetap berjuang dulu, kini dan selamanya.

Tradisi parti untuk benar-benar menjuarai kehidupan rakyat bukan slogan main-main kerana ia memerlukan dokongan kedua-dua pihak, lebih-lebih lagi di pihak rakyat.

Dengan program yang tersusun, bersepadu dan mantap UMNO boleh menterjemahkan hasrat menjadikan parti itu sebagai juara bukan sahaja untuk seluruh sayap dan parti UMNO tetapi juga sebagai ‘penghulu’ komponen Barisan Nasional (BN).

Slogan atau tema ini mungkin sengaja dipilih bagi menjamin UMNO terus menjuarai kehidupan rakyat. UMNO perlu meneruskan tradisinya membela rakyat, membangunkan negara dan menjadikan rakyat sebagai keutamaan melalui tradisi membela rakyat.

Biarlah pakatan pembangkang datang sebagai satu jenama untuk pembangkang tetapi yang penting UMNO perlu tetap dan terus menjuarai rakyat bukan setakat pakat-pakat dan tiba mendabik dada sebagai juara di hati dan minda rakyat.

Dalam menjamin rakyat tidak ‘tawar hati’ dengan UMNO, slogan ini perlu dijayakan dan jangan ia menjadi slogan pilihan raya dan ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Pemimpin UMNO perlu sedar bahawa UMNO kini diperlekeh dan ‘dihina’ begitu teruk sekali. Menyakinkan orang muda satu hal dan mengekalkan sokongan orang dewasa dan tua juga satu hal.

UMNO berdepan dengan tekanan dan cabaran sokongan kerana ‘perbuatan beberapa pemimpinnya’ yang masih sehingga kini masih ada dalam UMNO, selain terus memegang jawatan.

Cabaran baru kepada pemimpin yang baru dipilih pada perhimpunan agung lalu ialah menjamin diri mereka benar-benar menjadi ‘Juara Rakyat’ selain membantu pemimpin yang sudah ‘dibenci’ rakyat untuk diterima kembali.

Dengan kata lain, UMNO perlu menjamin bekerja dua kali ganda, menghapuskan imej lamanya dan menonjolkan dirinya sebagai ‘Juara Rakyat’ yang sebenar-benarnya.

Jika ia gagal melakukannya, imej UMNO akan menjadi lebih buruk dan selepas ini kalaupun ada usaha untuk bangkit, ia akan tetap menerima padahnya.

Yang diharapkan, dengan pelancaran program tersebut yang amat penting kepada bukan sahaja UMNO tetapi BN, UMNO mampu untuk mengukuhkan sokongan rakyat kepada parti.

Sudah pastinya agenda utama di bawah program yang akan digerakkan ke seluruh negara adalah untuk menunjuk dan mengingatkan bahawa UMNO dan BN adalah parti yang selama ini menjuarai hasrat rakyat.
Kita tidak mahu mendengar pemimpin UMNO sukar didampingi, program UMNO untuk diri bukan untuk parti dan bermacam perasaan tidak puas hati lagi.

Selepas ini bukan slogan sahaja yang perlu menyerap di hati dan sanubari rakyat tetapi program dan ‘kelakuan sebenar UMNO’ berjiwakan ‘Juara Rakyat’.

Tuesday, December 22, 2009

AHMAD SAID CUBA DIMALUKAN PADA SIDANG DUN...





KETERANGAN GAMBAR - Dulu bersama kini tidak lagi...tinggal empat sahaja...ada yang meminta maaf secara terbuka dan ada yang sudah boleh duduk semeja dengan Mat Said. Pada barisan depan yang masih belum bersama Mat Said, dua di tengah dan dua di belakang (sebelah kiri).

Daripada sepuluh, hanya ada empat – seorang melepaskan ‘bom’semalam dan tiga lagi membisu.

Itulah kedudukan terkini ‘10 Budak Hitam VS Mat Said’ kerana enam pemain 10 Budak Hitam sudah

bertukar gelanggang bermain dengan berkaptenkan Mat Said.

Malang sedikit ada seorang pemain yang sepatutnya bermain untuk memenangkan pasukan pimpinan Mat Said -- semalam kerana sebab-sebabnya sendiri - sumbat gol sendiri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Memburukkan keadaan pemain berkenaan adalah kesayangan pengurus pasukan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Malah, gajinya dibayar oleh Hishamuddin.

Apakah pemain ini (Datuk Din Adam) diarah atau dibayar oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu bagi ‘menyumbat gol sendiri?”. Inilah yang menjadi pertanyaan.

Apakah pengurus pasukan UMNO Terengganu itu sengaja kacau kapten Atau memang pemain ini tidak mampu dikawal oleh Hishamuddin sebagai pengurus pasukan?

Berikutan itu, Ahmad Said Said pada sidang DUN ketika soal jawab mengingatkan pemain-main UMNO (Barisan Nasional) supaya “Jangan jadikan dewan (Sidang Dun) ini untuk membuat sesuatu tuduhan yang tidak menentu hanya hendak melepaskan perasaan setelah menyembunyikan diri sekian lama.

“Muncul dengan ledakan-ledakan ‘bom’ yang tidak sepatutnya digugurkan di tempat yang berlainan yang sepatut digugurkan. Ini yang saya katakan. Siapa dendam siapa?,” ujarnya di Wisma Darul Iman, 21 Disember 2009, semalam

Beliau turut menyelar sikap Adun-adun BN yang pentingkan diri agar mengambil sikap muhasabah diri dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Malah, Ahmad turut menyifatkan Adun BN Bukit Besi” itu yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri sebagai ‘tidak cerdik’ ketika meminta penjelasannya.

“Saya rasa Adun Bukit Besi ini dia (Din) pun jadi Exco juga dahulu. Jadi janganlah tunjuk ketidak-cerdikan (bodoh) kita (Adun) pada dewan (Sidang Dun) ini,” jelasnya.

Laporan-laporan oleh laman web dan blog semalam menyebut Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi pembentangan bajet 2010 yang bermula semalam, menunjukkan ‘belang’ sebenar  Ahli-ahli DUN ’10 Budak Hitam’ yang kononnya telah berdamai dengan Menteri Besar.

Umpama ‘terkejut dari tidur’ mereka telah menamatkan kempen ‘protes senyap’ dan kembali bersuara dengan mengambil bahagian dalam sidang DUN kali ini.
Hampir keseluruhan mereka menyertai perbahasan serta mengemukakan soalan lisan di dewan yang mulia itu.

Namun ia agak mengejutkan dan kontra dengan pengakuan Hishamudin yang mengatakan perpaduan dalam Umno Terengganu telah mula terjalin.

Kumpulan Adun ‘10 budak hitam’ menggunakan peluang bersuara  ‘menyerang’ Ahmad Said

Adun Alor Limbat, Alias Abdullah membidas kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang lebih mengutamakan kepentingan Zoo Bikit Takal, di Kemaman dari penyediaan Infrastruktur kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, masalah rakyat yang memerlukan Projek Monsoon Drain daripada Baruh Muring Tasek ke Padang Leban dan Sungai Bukit Payong masih belum dilaksanakan.

“Masalah infrastruktur yang tidak sempurna dan ditambah pula dengan banjir yang berlaku setiap tahun. Saya selalu bangkitkan dalam dewan (Dun) ini supaya kerajaan mempercepatkan pengambilan-balik tanah.

“Apakah tidak ada langsung keutamaan kerajaan dalam pembangunan untuk melaksanakan projek ini. Yang mana lebih penting Zoo Bukit Takal di Kemaman atau Infrastruktur kepada rakyat,” soalnya ketika mengambil bahagian dalam soalan lisan di dewan tersebut.

Bahkan, beliau turut menyifatkan Ahmad Said cuba mengelirukan dewan (Sidang DUN) kononnya projek (Monsoon Drain) tersebut telah diluluskan sebelum ini.

“Semasa saya menjadi Timbalan (Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan neger) beliau (Ahmad) memberitahu satu kelulusan telah diberikan untuk melaksanakan projek tersebut.

“Jadi apa yang hendak saya maklumkan kepada dewan (Sidang Dun) supaya dewan ini tidak diberi ‘salah arah’ (maklumat).

“Ianya (Projek Monsun Drain) tidak berlaku sama sekali dan tidak ada sebarang kelulusan sebelum ini untuk melaksanakan projek itu,” jelasnya ketika membidas jawapan dari MB tersebut.

Soalan asalnya, Alias bertanyakan bila Projek Monsoon Drain daripada Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong akan dilaksanakan?

Ahmad Said ketika menjawab soalan tersebut menjelaskan pada dewan (Sidang Dun) bahawa satu kelulusan projek telah dibuat dan kerajaan prihatin tentang masalah tersebut.

“Sebab itu, saya sebut sejarahnya (Alias) tadi. Saya telah bina dan itu menggambarkan kerajaan prihatin tentang masalah ini.”tegs Ahmad Said.

Dalam pada itu, Din Adam meimbulkan isu beliau tidak tahu bahawa akan ada perlombangan semula di Bukit Besi.

Monday, December 21, 2009

PENGERUSI BN PULAU PINANG - ALASAN UMNO KUKUH...

Gerakan pegang jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang selama 35 tahun. Masa yang lama.

Walaupun pernah suatu ketika UMNO menang lebih banyak kerusi daripada Gerakan dan komponen lain, UMNO akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).


Selain tidak ‘merampas’ jawatan Ketua Menteri, UMNO juga akur Gerakan terus menjadi Pengerusi BN.
Semalam Naib Presiden Gerakan, Senator A Kohilan Pillay berhujah, UMNO perlu menghormati keputusan yang dibuat kepemimpinan tertinggi BN yang mengiktiraf Gerakan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang sejak 35 tahun lalu.
Untuk rekod, jawatan pengerusi BN Pulau Pinang tidak pernah dipegang wakil UMNO dan jawatan itu kini dipegang Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Kata Kohilan, pengiktirafan itu tidak perlu dipersoalkan mana-mana komponen parti BN kerana ia sudah

mencapai kata sepakat antara pucuk pemimpin BN sejak parti itu bergabung.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Selangor berkata, walaupun keputusan itu tidak termaktub dalam perlembagaan parti, ia sudah mencapai persefahaman yang jelas dan menjadi panduan kepada pemimpin BN selama ini.

Bagus kalau ingat begitu. Gerakan dan komponen lain tidak menng satu kerusi pun berbanding Umno yang memiliki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri dan dua Parlimen.

Apa maknanya dari segi sokongan orang Cina dan India di Pulau Pinang? Mereka menolak Gerakan tetapi orang Melayu dan sebilangan bukan Melayu masih setia dengn UMNO.

Cadangan menukar Pengerusi BN Pulau Pinang itu diputuskan pada mesyuarat UMNO negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Georgetown, Pulau Pinang Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan pemimpin UMNO negeri dengan alasan jawatan itu telah disandang oleh para pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Malah Kohilan berkata, Gerakan juga mengatakan BN Pusat yang lantik Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang untuk terus mentadbir, bukan Gerakan yang lantik dan pelantikan ini dipersetujui Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Razak.

Bagi Gerakan, semua pihak kena hormati keputusan itu dan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Gerakan untuk terus menerajui Pulau Pinang, tidak kira pada masa parti itu kalah atau menang besar pada pilihan raya.

Di pihak UMNO pula, kenapa ia mahu jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada parti itu?

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, permintaan itu adalah munasabah kerana hanya wakil UMNO telah memenangi semua kerusi yang dikuasai BN di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lepas.

"Parti komponen lain tidak ada satu kerusi pun di Pulau Pinang,” kata Zahid.

Selain itu usaha ini adalah bertujuan mengukuhkan kedudukan perikatan itu di peringkat negeri.Gerakan dikatakan gagal menjalankan program untuk menarik semula sokongan rakyat selepas kalah teruk pada pilihan raya umum lalu.

Soal penting kata Zahid, UMNO Pulau Pinang tidak puas hati dengan Gerakan yang langsung tidak menjalankan program memastikan BN kembali menawan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.
Kata Zahid, tuntutan itu telah lama dibuat tetapi baru diumumkan kelmarin setelah pihaknya mendapati Gerakan masih tidak melakukan apa-apa program sepatutnya dansekiranya Gerakan meneruskan program yang baik untuk BN di Pulau Pinang, beliau berpendapat UMNO sendiri boleh membantu.

“Jadi soal Tsu Koon (Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon) mahu lepas atau kekalkan jawatan, itu soal dia. Kita hanya minta, pelantikan Pengerusi BN negeri kuasa mutlak Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya,

Jelas, permintaan UMNO Pulau Pinang ini benar-benar menguji kewibawaan dan keputusan Najib.
Yang pasti sebarang keputusan yang diambil kelak akan mengambil kira semangat permuafakatan BN dan lebih penting kemenangan BN di Pulau Pinang.

Kenapa kemenangan BN dilihat penting?

Pertama, kemenangan BN akan membolehkan Pulau Pinang dibangunkan seiring dengan kepentingan Pusat.
Kedua, pembangunan Pulau Pinang yang kini dilihat cenderung kepada sesuatu pihak sahaja perlu diperbaiki kerana sebelum ini kerajaan pimpinan Gerakan sudah ditegur.

Apabila pembangkang mengambil alih, pembangunan dilihat menjurus kepada kepentingan kaum tertentu sahaja dan kumpulan miskin terus terhimpit.

Najib perlu melihat semua sudut dan jikapun masih mahu mengekalkan status quo, kepentingan mereka yang diwakili UMNO hendaklah diberikan perhatian penuh.

Jangan biarkan apa yang berlaku kepada rakyat Pulau Pinang seperti ketika kepimpinan Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri.

Sokongan rakyat kepada UMNO menggambarkan kehendak pengundi.

JIKA BENAR BERANI & PUNYA FAKTA...

Untungnya menjadi penggendali blok dan mempunyai wang. Jika ada masalah dengan tulisan sendiri, boleh lari atau menyelinap ke luar negara.

Selain itu, pada ketika mendabik dada fakta yang ditulis memang benar dan tepat – bukan kutip daripada sumber tidak berasas – seseorang yang berduit mampu berselindung di sebalik apa juga ‘kekebalan’.


Itulah mungkin yang dinikmati oleh pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin ketika ini.

Dia mungkin mempunyai wang dan kalaupun tidak cukup, mungkin dibantu oleh ‘orang di belakang’ kerana sejauh ini tulisan-tulisannya selain yang “telus dan bernas’ada juga yang disangsikan punca sumber dan untuk siapa beliau mengemukan pandangannya.

Raja Petra, 59, dibicarakan atas tuduhan menerbitkan satu artikel berunsur hasutan dalam Malaysia Today pada 25 April tahun lalu di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini.

Ada laporan akhbar sebelum ini memetik sumber, polis berjaya mengesan penulis blog itu dan mendapati Raja Petra lari dari Malaysia menuju ke Thailand melalui jalan haram sebelum menaiki penerbangan terus ke Australia.

Isunya bukan ‘melakukan tangkapan dan menyoal’Raja Petra mengenai sumbernya tetapi sejauh mana tulisannya – khususnya dakwaannya terhadap beberapa individu termasuk isteri Perdana Menteri – apakah berasas atau sebaliknya.

Juga dia perlu diheretkan ke mahkamah kerana beberapa kesnya yang tertangguh itu.
Pada 12 November lalu, polis menegaskan akan terus menjejaki Raja Petra yang didakwa menerbitkan artikel berunsur hasutan, walaupun mahkamah melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan itu semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menegaskan, penulis itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja dan usaha menjejaknya kini dipertingkatkan. "Kita tidak akan hentikan usaha mengesan Raja Petra selagi waran penahanannya masih ada.”Saya tegaskan di sini, kita akan bertindak untuk menangkapnya dan membawa ke mahkamah," katanya.

Sehari sebelum itu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Rozina Ayob membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Raja Petra selepas polis masih gagal menjejaki beliau walaupun waran tangkap sudah dikeluarkan.

Kita mengalu-alukan hasrat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memohon perintah ekstradisi terhadap) jika benar dia kini berada di sebuah pangsapuri mewah di London.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya tidak akan lepas pandang mengenai laporan tersebut dan kini sedang menyiasat sama ada benar Raja Petra sedang bersembunyi di negara itu.

Menurut beliau, pihaknya turut meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) dan kerajaan British bagi memastikan dakwaan itu benar.

‘‘Kita sedang siasat laporan Mingguan Malaysia hari ini dan meminta bantuan Interpol serta kerajaan British. Jika benar dia (Raja Petra) berada di sana, kita akan minta bantuan kerajaan British mendapatkan perintah ekstradisi kerana dia perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah,’’ katanya.

Kelmarin Mingguan Malaysia melaporkan pengendali laman web itu dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.

Menurut sumber, Raja Petra dipercayai menyewa salah sebuah unit di pangsapuri mewah enam tingkat itu sejak menjadi buruan polis, kira-kira lapan bulan lalu.

Pangsapuri terbabit dikategorikan sebagai kediaman mewah. Setiap unitnya mempunyai dua bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.

Persoalan paling penting ialah bagaimana Raja Petra menyelinap keluar dari Malaysia dan polis pula gagal mengesannya sejak sekian lama?

Siapa dalang di sebalik pemergiannya ke London dan apakah selama lapan bulan ini kita tidak meminta bantuan Interpol?

Pada 26 November lalu, polis mengatakan ia tidak menerima sebarang laporan yang mengatakan pengendali laman web Malaysia Today itu kini berada di Melbourne, Australia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis tidak tahu di mana dia (Raja Petra) berada kerana semuanya dalam siasatan. “Saya tidak tahu dari mana datangnya laporan itu (Raja Petra bersembunyi di Melbourne),” mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mengatakan penulis laman blog itu dikesan berada di Melbourne selepas lebih tujuh bulan usaha mencari dilakukan.

Apapun, polis perlu terus menyiasat kerana hanya keadilan di mahkamah dapat membuktikan Raja Petra memang menulis dengan ‘tepat dan berwibawa’sementara mereka yang dituduh juga mempunyai hak untuk menafikan ada juga tuduhan oleh Raja Petra.