Saturday, March 28, 2009

Satu lagi kekuatan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan beliau akan menyertai semula UMNO.

Ini semangat dan kemenangan moral kepada Najib dan saf kepimpinan UMNO, kecuali bagi mereka yang merasakan Dr Mahathir ‘sebagai pengacau’ sebelum ini.

Juga hari ini secara rasmi Datuk Seri Abdullah Badawi mengumumkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Razak pada 2 April ini.

Segala-galanya berlaku dalam keadaan yang akan menguntungkan UMNO dan akan menutup mulut pemimpin pembangkang yang sebelum ini mengatakan UMNO dilanda krisis dan sebagainya.

Respon kepada dua perkembangan ini, Najib mengatakan Dr Mahathir dan Abdullah ada peranan untuk UMNO.

Presiden Umno baru itu bagaimanapun belum membuat keputusan peranan yang boleh dimainkan Dr Mahathir dan Abdullah dalam kepimpinannya.

"Saya belum buat keputusan lagi, tapi ada peranan untuk mereka. Tunggu sehingga saya masuk pejabat dulu," katanya pada sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2008 di Kuala Lumpur, hari ini.

Juga menarik daripada perkembangan terbaru dalam UMNO ialah Abdullah secara terbuka menyatakan beliau sama sekali tidak marah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencetuskan idea supaya disegerakan perubahan kepimpinan UMNO untuk membolehkan parti itu terus diterima orang Melayu dan rakyat.

Menurut Perdana Menteri, beliau mahu bersara dengan rasa senang hati dan tidak mahu ada perasaan-perasaan yang tidak baik dibawanya selepas ini.

``Saya ingin nyatakan di depan semua yang ada, saya sebenarnya tidak pernah marah pada dia (Muhyiddin) sebab itu saya tidak pernah balas apa yang dia cakap.

``Saya maafkan saudara, kepada kawan-kawan yang lain kita mahu persahabatan kita terus berkekalan,’’ kata Abdullah semasa berucap pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO ke-59 hari ini.

Dengan kata lain kini, UMNO hamper pulih sepenuhnya dari segi kesepakatan kepimpinan dan ini sewajarnya diteladani oleh mereka di peringkat bahagian dan cawangan.

Biar apapun yang berlaku sebelum ini, hendaknya semua ahli UMNO kembali ke pangkal jalan. Perhimpunan dan pertandingan selesai maka pertarungan dan perselisihan pun selesai.

Adalah penting bagai Pengurusan UMNO dan Ibu Pejabat UMNO menyelesaikan mana-mana kes tertunggak khususnya dalam meleraikan masalah-masalah bahagian umpamanya Bahagian Larut.

Pada perhimpunan kali ini, perwakilan Larut dibiarkan ‘merempat’ tanpa adanya tempat khusus untuk mereka – kalau pun tidak boleh mengundi.

Pada masa hadapan, di harapkan kejadian seperti ini tidak berlaku dan sewajarnya ada tempat – sebagai pemerhati khas – bukan duduk merata-rata sebagai pemerhati biasa.

Muhyiddin yang dijangka mengetuai Pengurusan UMNO wajar melihat kepada masalah ini dan kalau sekiranya perlu ada ‘pembersihan’ di Ibu Pejabat UMNO, lakukan segera bagi menjamin UMNO mantap.

Elakkan Ibu Pejabat UMNO dianggap tempat di mana ada percaturan dan permainan politik tertentu. Jika ia berterusan, peranan UMNO tidak akan dapat menyatu dan meyakinkan ahli.
Dengan ikrar Muhyiddin bahawa beliau akan menjadi seorang timbalan yang setia kepada Presiden Umno seperti yang dilakukan Najib kepada Abdullah, akan memperkukuhkan kedudukan Najib.

Ini kerana banyak pihak mengatakan Muhyiddin ‘akan langgar’ Najib seperti yang dilakukan oleh beliau terhadap Abdullah.

Muhyiddin, yang memenangi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Khamis lalu, berkata beliau akan memberi sokongan tanpa berbelah-bahagi kepada Najib untuk memimpin parti dan menjayakan agenda perubahan Umno.

"Saya insaf, sebagai timbalan saya adalah orang nombor dua. Orang nombor dua harus jadi seperti orang nombor dua, bukan (orang) nombor satu.

Kalau berkelakuan seperti orang nombor satu, nanti akhirnya semuanya akan musnah,” katanya.

Yang penting sekarang ialah setiap pihak mengambil berat pesanan Abdullah supaya anggota parti agar memelihara perpaduan dan menghidupkan semangat kekeluargaan.
Beliau meminta mereka agar tidak sekali-kali mengkhianati parti dan berhenti daripada memfitnah pemimpin.

Menekankan semangat setiakawan, Abdullah berkata hanya dengan cara itu kekuatan parti dapat dipertingkat.

“Ini adalah penting. Kita mahu supaya kekuatan parti akan dapat diteguhkan lagi, akan dapat ditingkatkan lagi. Kita mesti terus menjadi penyokong, penyokong yang kuat bukan saja kepada pemimpin, tapi kita sebenarnya menyokong parti kita melalui pemimpin-pemimpin kita.

Hakikatnya setiap ahli UMNO perlu menjadi penyokong dan kawan setia, kawan pada masa susah, kawan pada masa senang.

Inilah ertinya setiakawan, inilah ertinya keluarga dalamUMNO.

APA MAKNA PEMILIHAN MT?


(Isu Sabtu)


Bertanding jawatan tinggi sama ada sebagai Naib Presiden atau Ahli Majlis Tertinggi – demi memperkuatkan parti atau mendapatkan jawatan dalam kerajaan?

Apakah dengan menduduki kerusi itu kedudukan seseorang dalam kerajaan akan terjamin?
Lebih jauh apakah juga bermakna dengan mendapat jawatan parti, seseorang akan melonjak naik dalam kerajaan?

Soal pokok kepada pertandingan MT bertujuan memperkukuhkan parti.

Kini suara-suara supaya mereka yang menduduki jawatan parti perlu mengutamakan parti terlebih dahulu semakin ketara.

Persoalan ialah apakah pemilihan untuk MT kali ini mencerminkan kehendak ahli untuk meletakkan pemimpin yang mampu menggembalikan maruah parti?

Apakah 25 ahli MT ini mempunyai kelebihan sendiri untuk berjuang demi parti?

Dengan kata lain ahli UMNO akan mempersoalkan mereka yang dipilih, apakah mereka menyumbang untuk UMNO atau untuk kedudukan mereka dalam Kabinet?

Persoalannya, apakah mereka yang kalah tidak lagi perlu menyumbangkan tenaga untuk parti?

Apakah wajar menyerahkan tugas memulihkan parti bergantung bulat-bulat kepada Presiden, timbalan, naib-naib, ahli majlis tertinggi serta barisan pemimpin wanita, pemuda dan puteri?

Bila melihat kepada kekalahan beberapa Pengerusi Perhubungan UMNO pada pemilihan kali ini, banyak persoalan yang timbul di kepala kini.

Apa maknanya kepada kejutan kekalahan semua empat Menteri Besar dan dua Menteri Kabinet yang bertanding Ahli Majlis Tertinggi?

Keempat-empat Menteri Besar yang tewas ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Dua menteri Kabinet yang tewas ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Turut gagal pada pemilihan MT yang keputusannya diumumkan malam ini ialah bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad. Dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom dan Datuk Hassan Malek turut tewas.

Apakah mereka dilihat tidak mampu menyumbang kepada parti atau negeri-negeri berkenaan memerlukan pemimpin lebih kuat dan mampu membawa arus perubahan?

Atau apakah mereka ini sudah terlalu lama dalam politik dan tidak lagi menggambarkan ‘kepentingan golongan kepimpinan baru’?

Bagaimana yang baru kali pertama mencuba? Juga mungkin ada persepsi bahawa kalaupun kalah, mereka tetap akan dilantik semula dan dengan melantik ‘orang luar’, akan lebih ramai bekerja untuk UMNO.

Tetapi apa pula maknanya kemenangan kepada mereka yang tidak mempunyai jawatan kerajaan, sebaliknya hanya memegang kerusi pengerusi agensi kerajaan?

Kemenangan besar kepada mereka yang yang tidak berada pada jawatan penting dalam kerajaan melebihi 40 peratus.

Apakah mereka menang kerana dilihat mampu memberikan sumbangan kepada parti?

Ramai juga yang menimbulkan pertanyaan, bagaimana mereka ini boleh menang. Apakah kerana mereka berkedudukan sebagai Pengerusi kepada agensi kerajaan yang penting dan boleh menawarkan ‘ganjaran untuk ahli UMNO’ dan bagaimana pula yang tidak berjawatan?

Bagaimana mereka yang tidak berjawatan ini mampu berkempen dan menawan hati ahli UMNO untuk memilih mereka?

Mereka adalah (mengikut nombor kemenangan dan jumlah undi) : (4) Senator Datuk Azian Osman (2,060), (5) Datuk Zainal Abidin Osman (2,054) (10) Dr Mohd Puad Zarkashi (1,700), (11) Datuk Tajuddin Abdul Rahman (1,685), (14) Datuk Seri Dr Jamaluddin Mohd Jarjis (1,622), (16) Senator Datuk Dr Norraesah Mohamad (1,611), (17) Datuk Seri Mahadzir Khalid (1,580), (20) Datuk Bung Moktar Radin (1,517), (21) Datuk Dr Awang Adek Hussin (1,481), (24) Datuk Seri Idris Jusoh (1,275) dan (25) Datuk Azeez Abdul Rahim (1,265).

Mengambil beberapa contoh – Azian ialah Pengerusi Syarikat Perumahan Negara, Tajuddin (Felcra), Dr Awang (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) dan Idris (Pengerusi Mara) sementara Zainal adalah Penasihat Kementerian Luar Bandar.

Berbalik kepada soal berbakti kepada parti, adalah menjadi cabaran kepada mereka ini supaya membalas kepercayaan ahli UMNO.

Ujian paling awal adalah tiga pilihan raya kecil. Apakah mereka ini mampu memberikan sumbangan besar menjamin kemenangan Barisan Nasional?

Kita tunggu bagaimana cara mereka bekerja dan bertindak.

Bola sudah berada di kaki mereka!

Friday, March 27, 2009

UMNO PADU DI BAWAH NAJIB

Jelas UMNO inginkan perubahan.

Mereka yang mahu menggugat UMNO dan cuba melemahkan kepimpinan UMNO akan menerima pukulan padu kali ini.

Ketara iallah wakil Sabah kini menduduki kerusi Naib Presiden UMNO untuk kali pertama dalam sejarah UMNO.

Selepas kegagalan Datuk Seri Osu Sukam mencuba nasib untuk kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal kini adalah yang pertama dari negeri itu memenangi kerusi Naib Presiden.

Mohd Shafie dengan 1,445 undi di belakang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memperoleh undi tertinggi 1,592 undi, dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan 1,515 undi .

Ketika ditemui media selepas pengumuman keputusan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan memainkan peranan untuk membantu memperkuatkan parti bagi memperolehi dokongan daripada rakyat keseluruhannya.

Shafie menyifatkan kemenanganya sebagai satu pengiktirafan daripada perwakilan seluruh negara.

"Saya amat menghargainya dan saya tahu bagi jawatan ini, sesiapapun boleh menang kerana calon-calonnya terdiri daripada tokoh-tokoh yang berkebolehan dan berkeupayaan," katanya.

Beliau berkata, kemenangannya itu akan memberi peluang kepada Umno untuk memperkuatkan sokongan rakyat Sabah kepada Barisan Nasional (BN) menerusi Umno.

Dengan kemenangan Shafie, kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin kukuh kerana Sabah kini mempunyai wakil yang kukuh dalam UMNO apabila Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman memenangi jawatan Ahli Majlis Tertinggi, disamping Datuk Lajim Ukin dan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Sementara Ketua Puteri UMNO kini turut dipegang oleh Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Kemenangan ketiga-tiga tokoh ini untuk Naib Presiden akan memperkukuhkan kedudukan Datuk Seri Mohd Najib kerana mereka memang ‘orang Najib’ sejak awal.

Zahid adalah bekas Setiausaha Politik Najib, Hishamuddin mempunyai pertalian keluarga sementara Shafie adalah penyokong kuat Najib sejak mereka dalam Pergerakan Pemuda UMNO lagi.

Malah ketiga-tiga mereka adalah orang kuat Pemuda UMNO, termasuk Shafie yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Sabah, selain Exco pergerakan itu.

Dengan kemenangan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden, Naib mempunyai orangnya sendiri di tempat paling penting iaitu Timbalan dan Naib Presiden UMNO.

Katanya, tugas utama yang akan beliau lakukan susulan kemenangan semalam adalah memulihkan semula imej parti.

Ini kerana transformasi dalam Umno yang disuarakan oleh ahli akar umbi perlu dilakukan di peringkat dalaman parti.

"Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab yang cukup berat untuk kita merapatkan semula perpaduan dalam Umno."Imej Umno juga harus dipulihkan dengan segera bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Umno," katanya dengan mendapat 1,575 undi.

Lebih memudahkan Najib, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam meminta ahli Umno memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Razak untuk membolehkan beliau memimpin Malaysia ke mercu kejayaan lebih gemilang.

Berucap pada Perhimpunan Agung Umno di sini, Presiden Umno itu turut berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri baru.
"Saya percaya saya menyerahkan tanggungjawab negara kepada nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudi bahtera negara," katanya.

Abdullah, dalam ucapan dasarnya yang terakhir sebagai presiden parti, turut menyatakan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana melantik saya menganggotai Jemaah Menteri, melantik saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya memberikan laluan kepada saya menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri," katanya.

Bagi Zahid: petikan klik http://www.utusan.com.my Kita akan beri peluang kepada Datuk Seri Mohd Najib (Tun Razak) mengambil sedikit masa untuk memikirkan bersama-sama kita tentang agenda perubahan yang akan diterjemahkan khususnya elemen-elemen untuk memperkuatkan institusi kepresidenan, kepimpinan dan kepengikutan yang ada pada kita.

"Bagi saya, apa yang penting adalah Umno itu harus harus direlevankan dengan situasi semasa," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin menganggap kemenangan beliau sebagai peluang yang diberikan perwakilan untuk beliau terus berkhidmat kepada parti.

"Banyak kerja yang perlu kita lakukan dan Insya-Allah, dengan tempat yang diberi, kita akan bekerja bersungguh-sungguh dengan barisan yang telah pun ditentukan bagi memastikan Umno terus relevan dan diterima oleh masyarakat.

"Walaupun cabaran di hadapan berat untuk dipikul tetapi dengan pasukan yang dipilih hari ini, saya yakin kita boleh lakukan," katanya.

Ditanya sama ada beliau gentar memikul jawatan Naib Presiden daripada jawatan Ketua Pemuda sebelum ini, Hishammuddin berkata, sememangnya ia merupakan satu lanskap dan dimensi baru baginya namun beliau yakin akan terus diberikan sokongan.

Thursday, March 26, 2009

NAJIB KINI PRESIDEN UMNO

Sudah sah, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah Presiden UMNO yang baru.
Perisytiharan Najib sebagai Presiden Umno yang baru dibuat pada Perhimpunan Agung Umno 2008 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ia diumumkan oleh Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Onn Ismail.

Najib, 55, menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden akan mengambil alih jawatan nombor satu daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang memegang jawatan itu sejak Oktober 2004.

Abdullah, 69, dalam ucapan dasarnya yang terakhir sebagai Presiden parti, menyeru supaya Najib diberikan sokongan padu untuk membolehkan beliau memimpin Malaysia ke mercu kejayaan yang lebih cemerlang.

Perdana Menteri yang turut berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri baru, berkata beliau percaya untuk menyerahkan tanggungjawab menerajui negara kepada Najib yang merupakan “nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudi bahtera negara.”

Onn turut mengumumkan Datuk Mohamad Aziz yang menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Pengerusi Tetap parti.
Proses pengiraan undi pemilihan bagi memilih barisan pimpinan Majlis Tertinggi (MT) Umno telah bermula pada pukul 4 petang tadi.

Bagaimanapun, keputusan rasmi dijangka akan diumumkan pada pukul 10 malam ini.
Sementara itu, pada sebelah pagi tadi kempen pada saat-saat terakhir sebelum para perwakilan Perhimpunan Agung Umno memilih barisan pimpinan MT terus mewarnai suasana sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Seawal pukul 7 pagi peraih undi dan penyokong calon-calon yang bertanding berkumpul dan berbaris di sepanjang laluan masuk ke PWTC mengedarkan risalah dan kad yang tertera nombor calon-calon.

Mencuri perhatian, penyokong kepada calon Naib Presiden Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar tampil dengan memakai topeng wajah beliau.

Menerusi kaedah kempen sedemikian, Syed Hamid yang memegang nombor pencalonan '05' dilihat seolah-olah berada di mana-mana.

Penyokong bagi calon-calon juga tidak ketinggalan dengan cara kempen masing-masing sama ada dengan menyanyi mahupuan sorakan secara berkumulan.

Sekurang-kurangnya dua perwakilan Muar memboikot pengundian jawatan tertinggi Umno hari ini kerana membantah Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin dibenarkan mengundi.

Datuk Kadar Shah Sulaiman Shah dan adiknya Hassan memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak akan menyertai lebih 2,050 perwakilan memangkah calon pilihan masing-masing.

Tindakan mereka diambil ekoran surat bantahan mereka berhubung perkara itu telah ditolak oleh pengerusi tetap perhimpunan agung Umno, Tan Sri Onn Ismail.

Lembaga Disiplin Umno minggu lalu mendapati naib presiden itu dan Khairy bersalah selepas ejen-ejen mereka terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.

Mohd Ali dilarang bertanding jawatan timbalan presiden, manakala Khairy diberi amaran tetapi dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno yang dimenanginya semalam.

Onn memanggil Kadar naik ke pentas untuk mengambil jawapannya terhadap bantahannya itu.

Bantahannya jelas ditolak apabila Onn memanggil Mohd Ali dan Khairy mengundi calon-calon yang bertanding.

Sebelum pengundian bermula kira-kira 12 tengah hari tadi, suasana kempen saat akhir sampai ke kemuncaknya pagi ini apabila penyokong bersesak-sesak mengedar kad nombor calon-calon masing-masing.

Selepas presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selesai menyampaikan ucapan dasar pada 11.15 pagi, para penyokong menjerit-jeritkan nombor calon pilihan masing-masing tanpa henti.

Ratusan penyokong berkumpul di hadapan pintu keluar Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam pakaian dan tag bercetak nombor pengundian bagi calon pilihan mereka.

Malaysiakini melaporkan, suasana sesak dan terlalu bising itu menyebabkan pergerakan menjadi sukar dan mengganggu hampir seratus petugas media yang menunggu barisan pemimpin tertinggi parti itu keluar dari dewan untuk mendapatkan komen mereka berhubung ucapan Abdullah.

Keadaan gamat dan sesak itu memaksa polis dan anggota RELA beberapa kali membuka laluan untuk pemimpin parti itu keluar dari dewan.

Anggota penguatkuasa juga menutup tempat itu dengan plastik penghadang bagi mengelak kumpulan penyokong mengganggu pergerakan orang ramai di sekitar kawasan tersebut.
Pada pemilihan kali ini tumpuan pastinya diberikan kepada dua jawatan utama yang menyaksikan pertandingan sengit iaitu bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib selepas Lembaga Disiplin Umno membatalkan penyertaan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mohd Ali didapati bersalah di bawah Artikel 10.1 Tataetika Ahli Umno melibatkan politik wang.
Sementara itu bagi jawatan Naib Presiden, seramai lapan orang yang betanding bagi jawatan berkenaan.

Mereka ialah Datuk Seri Hinshammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Tan Sri Mohd Isa Samad, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Bagi jawatan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menang tanpa bertanding apabila Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatan.