Monday, November 28, 2011

SMS UGUT BUNUH - SUP BEKAS MB TERENGGANU KENA PENJARA

Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ramzi Mohd Zubir dihukum penjara setahun selepas didapati bersalah atas empat tuduhan termasuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur bunuh.

Hakim Mahkamah Sesyen, M Bakri Majid, menjatuhkan hukuman tiga bulan masing-masing bagi tiga tuduhan menghantar SMS bunuh dan jumlah yang sama bagi dakwaan fitnah.

Bagaimanapun, peguambela tertuduh memohon hukuman ditangguhkan sementara rayuan dibuat.

Berikutan itu, hakim membenarkan Ramzi dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin.

Dr Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E-726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dr Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Perbicaraan kes tersebut menyaksikan lebih 20 saksi memberi keterangan mereka di mana kes itu dikendalikan Hakim M.Bakri Abd.Majid.

Tertuduh diwaklili peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman manakala pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz.

Friday, November 25, 2011

Umno Perlu Berterus Terang, Bawa Idea Baru - Penganalisis Politik

Analisis Berita Oleh Ahmad Shukran Shaharudin (Bernama, 24 Nov 2011)

Umno perlu berterus terang dan jujur dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah dalaman selain membawa idea-idea baru dalam menentukan hala tuju parti dan mendapat sokongan rakyat, kata seorang penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Ghapa Harun berkata pada Perhimpunan Agung Umno 2011 minggu depan, seharusnya parti membuat penilaian kendiri mengenai keadaan, tidak kira sama ada daripada peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan.

"Masalah ini terdiri daripada segi kualiti iaitu kepimpinan dan komitmen anggota terhadap matlamat perjuangan sebenar Umno. Ada yang melihat lemahnya komitmen anggota di peringkat bawahan dalam gerakan semangat perjuangan parti sendiri," katanya.

Ini, katanya adalah kerana wujud percanggahan di dalam parti mengenai isu peribadi dan sebagainya.

"Umno harus jujur menilai keadaan sebenar, menilai masalah-masalah sebenar yang menjadi landasan di dalam parti. Jadi saya rasa setiap perwakilan harus jujur, berterus terang dengan masalah yang ada. Tanpa maklum balas daripada anggota bawahan, masalah parti sukar sampai ke pimpinan pusat," katanya

Bekas presiden Umno dan negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata anggota bawahan Umno perlu memberi teguran jika berpendapat ia penting untuk anggota dan negara keseluruhannya.

"Jika tidak ada teguran, pemimpin akan berpendapat segala yang dilakukan memang diterima dengan itu jika apa yang dilakukannya salah, maka kesalahannya akan bertambah," kata bekas perdana menteri yang dipetik dalam rancangan Soal Jawab menerusi TV3 yang dihoskan Datuk Ahmad A Talib malam semalam.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata pihak yang membuat teguran itu perlu berhati-hati supaya perkara yang dibangkitkan tidak dijadikan isu oleh parti pembangkang.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun Che Hamdan Mohamed Razali berkata pada perhimpunan kali ini, anggota perwakilan Umno seharusnya tampil dengan idea-idea baru untuk menarik sokongan pada pilihan raya akan datang dan tidak setakat mengutarakan masalah sahaja.

Beliau memberikan contoh penganjuran Konvensyen Media Sosial yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad lepas yang dilihat mendapat sokongan golongan muda yang sebahagian besar menjadi pengundi pada pilihan raya akan datang.

"Tetapi kita tidak mahu pula mereka ini dikelirukan dan dipengaruhi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Umno juga dilihat terlalu bertahan. Anggota Umno perlu tampil dengan idea baru dan di dalam media sosial, mereka sepatutnya menjadi ejen menyampaikan maklumat sebenar kepada masyarakat," katanya.

Selain itu, Che Hamdan berkata anggota parti perlu dimaklumkan siapakah pemimpin yang dipilih menjadi calon supaya semua pihak memberi sokongan kepada mereka yang terpilih dan ini dapat mengelak kes mensabotaj calon sesama parti.

Beliau berkata bukan hanya transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri yang perlu disokong, malahan perwakilan sendiri perlu membawa satu transformasi baru dalam konteks sekarang.

Setakat ini produk yang dibawa parti serta slogan dilaungkan kerajaan adalah idea yang baik tetapi dibimbangi pasarannya kepada masyarakat "tidak berapa" bergerak, kata beliau.

Wednesday, November 23, 2011

SKUAD HARIMAU MUDA TERIMA RM30,000 SEORANG

Saya bangga dengan kekentalan semangat dan daya tahan Skuad Harimau Muda kendalian jurulatih Ong Kim Swee.

Tahniah untuk mereka dan wajar sekali jika diberikan ganjaran RM30,000 seorang. Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah berkenan dengan ganjaran itu.

Berita itu diumumkan pengurus skuad negara Datuk Hamidin Mohd Amin malam semalam.

"Selepas perlawanan menentang Indonesia semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah bersetuju mengurniakan RM30,000 seorang bagi setiap pemain di atas kejayaan gemilang mereka itu," katanya.

Dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Isnin, skuad bawah 23 tahun negara itu menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia 4-3 menerusi sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Hamidin berkata skuad itu juga akan dihantar ke Sydney, Australia mulai pertengahan bulan Disember bagi menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab terkemuka di sana.

"Selepas mesyuarat teknikal FAM sebentar tadi, kami telah bersetuju untuk menghantar skuad kendalian Ong Kim Swee ini untuk ke Austalia dan Alhamdullilah Majlis Sukan Negara (MSN) turut menerima dan menyokong hasrat kami ini," katanya.

Tuesday, November 22, 2011

APABILA TUAN RUMAH TERPAKSA MENGALAH DENGAN AMAH...

Tahniah untuk anak muda kita yang sanggup bertarung dalam kedudukan ancaman bukan sahaja di padang tetapi juga di luar padang.

Apa dosa anak muda kita yang bertanding pada Sukan SEA 2011 sehingga dilayan begitu rupa?

Pada pertembungan terakhir peringkat kumpulan menetang Indonesia Khamis lalu, skuad Harimau Muda terpaksa menaiki Barakuda ketika mahu pulang ke hotel atas nasihat pihak keselamatan Indonesia sendiri.

Penggunaan Bakuda itu merupakan kali kedua setelah skuad negara berdepan situasi yang sama ketika perlawanan akhir Piala Suzuki AFF tahun lalu.

Kenapa rakyat Indonesia jadi begini?

Apa dosa kita dengan Indonesia? Kenapa pemerintah Indonesia membiarkan rakyatnya kurang ajar dengan kita sedangkan kita berusaha menjaga hati mereka setiap masa.

Perlukah ‘tuan rumah’ sepanjang masa menjaga hati ‘amah’? Perlukah kita mengalah sepanjang masa?

Kenapakah kita begitu takut dengan Indonesia? Atau apakah kerana ramai pemimpin kita merasakanm tidak apa kerana mereka keturunan dari sana?

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memang wajar jika membuat laporan kepada persatuan sukan antarabangsa termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung layanan sedemikan.

Sikap penyokong Indonesia yang boleh mengancam keselamatan skuad bola sepak negara dan atlert lain sudah melampau.

Pihak berkuasa antarabangsa perlu mengambil tindakan tegas terhadap penyokong Indonesia, termasuk skuad Garuda kerana selain memastikan semangat kesukanan sentiasa terjamin, nyawa rakyat Malaysia juga perlu diberikan perhatian mendalam.

Apakah dengan semangat mahu menjaga hubungan baik kedua-dua kerajaan kita asyik dibuli dan pembuli itu sebenarnya banyak bergantung kepada kita dari segi tenaga kerja.

Ada seramai lebih satu juta pekerja Indonesia di Malaysia yang halal dan yang haram yang kita tidak tahu mungkin lebih ramai!

Yang mendapat kerakyatan juga ramai dan yang bermustautin di negara ini, khususnya selepas kejatuhan ekonomi Indonesia pada akhir dekad ke 20 juga ramai.

Laporan terbaru awal bulan ini menyebut, pekerja Indonesia di Malaysia mengirim pulang ke tanah air mereka wang berjumlah AS$1.7 bilion (RM5.3 bilion) pada suku ketiga tahun ini (2011).

Catatan bank pusat, Bank Indonesia (BI) menganggarkan angka itu mewakili lebih daripada separuh jumlah wang sebanyak AS$2.91 bilion (RM9.02 bilion) yang dikirim pulang oleh tenaga kerja Indonesia (TKI) yang bekerja di kawasan Asia Pasifik.

Jurucakap BI, Difi Johansyah berkata, kiriman wang oleh pekerja Indonesia di luar negara ke tanah air mereka mencapai AS$5.05 bilion (RM15.7 bilion) atau kira-kira Rp43 trilion sepanjang suku ketiga tahun ini dan TKI bekerja di Asia mengirim pulang paling banyak wang.

“TKI di kawasan Asia Pasifik mengirim wang ke Indonesia mencapai AS$2.91 bilion. Terbesar dibandingkan kawasan lain,” kata Difi yang dipetik detikfinance melalui portal berita detik.com baru-baru ini.

TKI yang bekerja di kawasan Asia Barat dan Afrika mengirim pulang wang berjumlah AS$2.01 bilion (RM6.23 bilion) dan daripada jumlah itu mereka yang bekerja di Arab Saudi menyumbang jumlah paling besar iaitu sebanyak AS$1.68 bilion RM5.21 bilion).

Bayangkan jika kita hentikan pengambilan buruh Indonesia dan gantikan dengan tenaga tempatan, negara kita dapat menjimatkan RM5,000 juta setahun.

Bayangkan dengan wang sebanyak itu, banyak yang boleh kita makmurkan rakyat kita, bukan menanggung biawak hidup yang asyik-asyik menyusahkan kita!

Monday, November 21, 2011

MSO PERLU DEDAHKAN SIAPA MB DIMAKSUDKAN, BUKAN MENYERANG SAYA!


Mohd Sayuti Omar atau MSO memberi reaksi kepada penulisan saya (posting 13 November bertajuk “MB Khalwat – Tunggu Pendedahan MSO, Pengarang’ ) dengan menyerang peribadi dan merendahkan kredibiliti saya bukan menjawab persoalan yang saya timbulkan.

Pada postingnya bertajuk “Siapa Bloger Bermuka Babi - Respons Kepada Beberapa Pertanyaan” pada 13 November 2011, walaupun beliau tidak menyebut nama – seperti juga beliau tidak menyebut nama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dalam postingnya 25 Oktober - tetapi saya tahu dia tujukan ‘serangan’ itu kepada saya.

Buktinya beliau merujuk saya sebagai “seorang blogger yang bekerja dengan Ahmad Said dan penerima anugerah Hadiah Kajai."

Saya bukan blogger yang bekerja dengan Menteri Besar kerana saya memulakan blog saya ini sebelum pun bekerja dengan Datuk Seri Ahmad Said lagi.

Menurut beliau: “…ada seorang bloger yang dikenal pasti bekerja dengan Ahmad Said mencabar saya dan sumber saya (pengarang) agar mendedah seterusnya tentang laporan itu. Bloger ini juga nampak tidak reti dan belum sampai ke tahap boleh menerima anugerah berprestaj Rahim Kajai dalam dunia penulisan.

Saya minta dia membaca sebaik mungkin apa yang saya tulisan sebelum mencabar saya. Secara tidak langsung apabila bloger ini bersikap demikian ia seakan mengesahkan apa yang saya laporkan itu adalah bosnya. Ertinya yang membusukkan nama bosnya adalah dia sendiri bukan orang lain jauh sekali saya."

Saya tidak menuduh atau mengatakan beliau terbabit kerana jelas MSO tidak merujuk pun dalam tulisannya bahawa MB yang ditangkap khalwat itu Menteri Besar Terengganu.

Yang saya minta ialah beliau atau Pengarang yang beliau maksudkan itu dedahkan siapa sebenarnya MB yang dimaksudkan.

Perkataan saya ialah : “Ironinya, sehingga hari ini, kita masih menunggu pendedahan lanjut oleh blogger, Mohd Sayuti Omar (MSO) mengenai posting ‘MB Dua Isteri Ditangkap Khalwat’ pada blognya. Ini kerana pada postingnya bertarikh 25 Oktober lalu, MSO mengatakan seorang Pengarang portal akan mendedahkan lebih lanjut kes ini.

Selanjutnya saya mengatakan: “Sengaja saya memang tidak memberikan reaksi pantas kepada posting MSO ini untuk menunggu MSO dan Pengarang berkenaan membuat pendedahan lebih lanjut seperti dijanjikan.

Namun hingga ke saat ini MSO membisu dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said naik angin dan menyatakan akan menyaman blogger yang mendakwa beliau berkhalwat dan bernikah satu lagi. Mengejutkan kerana beberapa blog yang sebelum ini turut memetik apa yang disiarkan oleh MSO tiba-tiba memadamkan terus dan ada juga blog yang terus memohon maaf kepada Ahmad Said.”

Hakikatnya, yang membuat kesimpulan mengenai ‘pembabitan fitnah oleh blog MSO Melayu’ ini adalah kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sendiri.

Menteri Besar mungkin mendapat nasihat daripada pihak tertentu untuk ‘menuding jari’ kepada MSO tetapi bukan ‘nasihat atau pandangan’ daripada saya.

Ahmad Said menimbulkan isu ini pada sidang media. Pertama pada 9 November 2011 dan kemudian membuat laporan polis pada petang 14 November 2011.

Jadi saya fikir agak keterlaluan kalau MSO ‘bengang’ dan menyerang saya sedemikian rupa kerana saya hanya memperkatakan soal isu bukan peribadi (walaupun saya tahu saya tidaklah blogger ternama dan ‘semulia orang beragama’ seperti MSO).

Saya hanya mengharapkan beliau dan pengarang yang dimaksudkan dapat mendedahkan identity MB yang dimaksudkan. Jika membiarkan ia tergantung seperti itu maka banyaklah tohmahan dan fitnah akan berlegar.

Kita tidak mahu fitnah dan tohmahan berlegar, Itu sahaja, Jika memang MB itu kena tangkap basah, umumkan, Biar padan mukanya dan pembangkang akan dapat untung. MSO tentu gembira jika pembangkang ada modal politik!

Selain itu, saya ulangi, amat benar sekali MSO tidak menyebut MB Terengganu pada postingnya secara khusus.

Jadi, dengan landasan sedemikian kenapa menyerang saya sedemikian rupa?

PEMBLOG PRO-BN 'ASKAR BARU' LAWAN PEMBANGKANG - NAJIB

Mungkin hanya Datuk Seri Najib Razak dan beberapa yang lain sahaja menyifatkan pemblog pro-Barisan Nasional (BN) sebagai “askar baru” perikatan tersebut melawan pembangkang.

Yang lain tidak peduli dan mengganggap cara lama - ceramah, akhbar, tv dan radio - masih amat penting.

Najib semalam melahirkan sokongan padu kepada pemblog-pemblog dan pengguna media sosial pro-Barisan Nasional (BN) dengan menyifatkan mereka sebagai “askar baru” perikatan tersebut melawan pembangkang.

Pengerusi BN itu berkata dunia atas talian adalah medan pertarungan antara pembangkang dan perikatan pimpinannya, dan ramai yang kini mengunjungi laman-laman web, portal dan blog sebagai saluran maklumat.

“Barisan Nasional mengiktiraf anda semua, pengamal-pengamal media sosial. Anda pejuang-pejuang kami, askar baru kami,” kata Najib (gambar) selepas melancarkan Konvensyen Media Sosial 1 Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Perdana Menteri berkata pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli BN perlu mengadaptasi mengikut perubahan masa dengan menggunakan media sosial jika mahu kekal relevan.

Media sosial menjadi semakin penting dalam arena politik negara ini dengan 11.3 juta rakyat Malaysia menggunakan Facebook setakat pertengahan tahun ini.

Najib juga memberitahu peserta konvesyen itu, kebanyakannya pemblog pro-BN bahawa mereka perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia atas talian tentang usaha-usaha diambil kerajaan dan kejayaannya, serta melawan kenyataan-kenyataan pembangkang yang bersifat bohong dan separuh benar.

“Ini adalah peranan pejuang-pejuang atas talian, yang akan meneruskan usaha mereka menggunakan BlackBerry, komputer bimbit dan iPad.

“Jika tidak boleh tangani gelombang ini, kita akan hanyut,” kata Najib.

Sunday, November 20, 2011

TAHNIAH MOHD. SAIFUL KERANA TERUS CEKAL

Di sebalik cabaran dan dugaan berdepan isu liwat, Mohd. Saiful Bukhari Azlan masih mampu mencapai kejayaan dalam pelajaran apabila menerima Anugerah Sijil Dekan Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam.

Beliau yang mengikuti pengajian jarak jauh di UUM cawangan Kuala Lumpur dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Hal Ehwal Antarabangsa memperoleh purata nilai gred keseluruhan (CGPA) melebihi 3.50.

"Anugerah dekan ini membawa makna besar kepada saya, keluarga dan sahabat-sahabat saya. Ia memberi motivasi dan semangat terhadap saya untuk mengekalkan prestasi ini di samping meningkatkan potensi diri sehingga tamat pengajian.

"Walaupun terdapat beberapa pihak yang memandang hina terhadap saya berhubung kes liwat tersebut yang berjalan lebih tiga tahun, namun saya tetap cekal dan fokus terhadap pelajaran kerana saya juga ingin berjaya dalam hidup," katanya kepada Mingguan Malaysia pada Majlis Penganugerahan Sijil Dekan UUM di Kuala Lumpur, semalam.

Mohd. Saiful Bukhari, 26, adalah antara 72 pelajar pengajian jarak jauh UUM cawangan Kuala Lumpur menerima Sijil Anugerah Dekan dan Sijil Kecemerlangan Akademik universiti itu.

Anugerah disampaikan Naib Canselornya, Datuk Dr. Mustapha Ishak.

Saturday, November 19, 2011

FITNAH AHMAD SAID DITANGKAP KHALWAT – “KITA JUMPA DI MAHKAMAH…”

Setiausaha Politik MB Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (tiga dari kiri) dan Setiausaha Akhbar, Rosli Zakaria membuat laporan polis pada 14 November lalu.

“See You In Court” atau “Kita Jumpa Di Mahkamah” , itulah keputusan Menteri Besar Terengganu , Datuk Seri Ahmad Said yang nekad mahu mengambil tindakan undang-udang terhadap penulis blog yang menfitnah beliau.

Ahmad Said sudah berpatah arang untuk tidak memaafkan sesiapa sahaja yang memfitnahnya dan hanya akan bertemu mereka di mahkamah.

Menurutnya, tidak ada guna lagi permintaan maaf daripada blogger yang memfitnahnya dan juga mereka yang membuat pautan dan turut sama menyebarkan firnah berkenaan.

Katanya, dia tidak akan memaafkan mereka kerana yang dilakukan itu cukup mengaibkan dirinya dan keluarga. “Jika saya memaafkan mereka, bermakna senanglah kalau ada lagi penulis yang memfitnah orang, kemudian tampil minta maaf, selepas itu bebas.

“Itu sangat tidak adil bagi pihak yang ditabur fitnah dan yang memfitnah perlu bertanggungjawab dan menerima hukuman sewajarnya.

“Saya serah semua ini kepada pihak polis. Selepas polis selesai menjalankan siasatan, saya akan melantik peguam dan jumpa dimahkamah,” katanya pada siding media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Rabu 16 November 2011 lalu.

Katanya, penulis-penulis itu mahu musnahkan reputasi dan kerjaya saya dan sekarang sudah tiba masanya “kita jumpa di mahkamah”.

“Saya menolak dakwaan penulis blog itu kononnya berkahwin kali ketiga dan mengaitkannya dengan isu tangkap khalwat. Saya tidak berkahwin kali ketiga,” katanya.

Menteri Besar sebelum ini dilaporkan membuat laporan polis dan berniat menyaman dua pemilik laman blog yang dikatakan memfitnah dirinya berhubung isu beliau dikatakan telah ditangkap basah sebelum ini.

Beliau merujuk dua blog iaitu http://msomelayu.blogspot.com/ dan guanopulok.blogspot.com yang didakwa memfitnah beliau sejak tiga bulan lalu.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti pemilik blog itu sebagai blog 'MSO' manakala sebuah lagi blog iaitu 'guanopulok' masih lagi disiasat kerana blog tersebut dipercayai telah didaftarkan di California.

Dalam laporan pada 4 Oktober lalu, pemilik blog guanopulok.blogspot.com mendakwa Menteri Besar itu telah 'ditangkap' oleh seseorang di Hilton Sentral.

Banyak versi mengenai cerita isteri ketiga Ahmad Said ini tetapi yang paling memarahkan beliau ialah kononnya beliau ditangkap khalwat.

Blog ini pada posting 13 November lalu menyebut, bukan rahsia lagi, Menteri Besar Terengganu sering bermalam di Hotel Hilton Sentral jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur.

Dan kerana itu ada tuduhan mengatakan beliau ditangkap khalwat di hotel berkenaan.

Persoalannya, apakah mungkin ada pihak boleh bolos ke bilik Menteri Besar di hotel berkenaan sedangkan untuk menggunakan lif pun terpaksa pakai kad khas.

Apakah berani staf hotel berkenaan membenarkan sesiapa sahaja bolos ke bilik tetamu begitu sahaja? Lagipun bukan mudah untuk ke bilik penginapan Menteri besar berkenaan kerana beliau adalah ‘regular customer’ di hotel berkenaan yang pastinya mendapat ‘perlindungan yang cukup’.

Jika benar boleh bolos, siapakah yang menangkap beliau? Ada repot polis atau Jabatan Agama Islam Wilayah tentang kejadian itu?.

Menurut Teganukita, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin mengesahkan telah menerima laporan berhubung perkara itu.

"Saya tak boleh ulas panjang mengenai perkara itu tapi kita akan siasat kes tersebut di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya.

Friday, November 18, 2011

REMAJA PEREMPUAN MUDAH DIPERDAYA MELALUI INTERNET

Masa sudah tiba dan sesuai sangat jika diadakan satu cara atau membentuk langkah berkesan kempen keselamatan siber demi untuk melindungi remaja perempuan daripada menjadi mangsa penyalahgunaan internet dan juga telefon bimbit.

Malah ibu bapa juga perlu diberikan pendidikan untuk mengetahui akan bahaya yang sedang menanti anak-anak remaja mereka jika terdedah kepada penyalahgunaan siber ini.

Satu tinjauan yang dijalankan oleh Women’s Centre for Change (WCC)di Pulau Pinang mendapati, remaja perempuan mudah terpedaya dengan orang yang tidak mereka kenali melalui telefon bimbit dan juga internet.

Tinjuan tersebut mendapati, 80% daripada 100 remaja perempuan berusia antara 15 hingga 17 tahun dengan mudah menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang yang tidak mereka kenali menerusi telefon bimbit sementara 54% lagi telah bersembang melalui internet dengan orang yang tidak mereka kenali sebelum ini.

Pengarah WCC, Dr Prema Devaraj berkata dalam satu sidang akhbar hari ini, tinjauan lapan bulan itu juga mendapati, wanita muda juga kini dengan mudah terdedah kepada orang yang tidak mereka kenali termasuklah mereka yang mempunyai niat jahat.

“Mereka ini tidak sedar akan bahaya yang mereka hadapi dengan berkongsi maklumat peribadi dengan orang yang tidak mereka kenali. “Malah kebanyakkan mereka tidak faham akan bahaya menjalinkan persahabatan dengan orang yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini melalui cara bersembang dalam talian atau menerusi telefon," katanya.

Menurut Dr Prema, remaja perempuan dan wanita muda ini mungkin berpendapat adalah masih selamat untuk berkomunikasi dengan orang yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini menerusi talian atau sms kerana tidak bertemu muka.

Bagaimanapun tegas Dr Prema, mereka yang berniat jahat akan dengan mudah memperdayakan remaja dan wanita muda ini secara tidak sedar tanpa mangsa mereka merasa suspek apa-apa.

Ini mereka lakukan dengan memperolehi kepercayaan mangsa mereka terlebih dahulu sebelum mula bertindak ke atas mangsa.

"Kita dapati, sesetengah mangsa rogol telah melalui pengalaman seperti ini," katanya.

Mangsa kemudiannya dengan mudah diugut setelah foto mereka melakukan adegan-adegan yang terlarang jatuh ke tangan penjenayah ini.

Dr Prema juga berkata, tinjauan mereka turut mendapati, satu pertiga daripada perempuan remaja telah diminta mengirimkan bahan-bahan yang menghairahkan atau memiliki unsur seks oleh orang yang tidak mereka kenali ini sama ada menerusi internet atau telefon bimbit.

Tinjauan itu yang dijalankan antara Januari hingga Ogos tahun ini di 10 buah sekolah di sini juga mendapati 17.3% daripada remaja perempuan telah menjalin persahabatan dengan orang yang tidak mereka kenali sebelum itu menerusi telefon bimbit.

Katanya lagi, 29.6% responden yang memiliki telefon bimbit telah terdedah kepada sms atau mms berunsur ghairah atau seksual daripada orang yang tidak mereka kenali.

Pada masa yang sama katanya, 36% responden yang berinteraksi menerusi rangkaian sosial seperti Facebook, Friendster dan MySpace, pula telah terdedah kepada pertanyaan berunsur seksual.

“Kita dapati 23% daripada responden telah berkongsi maklumat peribadi seperti nama sebenar, alamat dan umur dengan orang yang tidak dikenali,” kata beliau.

Thursday, November 17, 2011

POPULARITI ANWAR, NIK AZIZ & GUAN ENG MERUDUM...

Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat dengan mantap sejak 2009, tetapi yang sebaliknya berlaku kepada tiga pemimpin utama pembangkang.

Di sebalik itu, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap disanjungi dan rakyat melihat beliau sebagai pemimpin teladan.

Ini kajian oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) wei...Bukan kajian yang dibayar atau disponsor.

Prof. Datuk Syed Arabi Idid daripada Jabatan Pengajian Komunikasi UIAM yang mengetuai kajian ini bukan calang-calang tokoh.

Kajian itu mendapati Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, menyaksikan populariti mereka merosot.

Selain daripada Najib, kajian terhadap populariti lima personaliti kepimpinan di Malaysia yang dijalankan oleh Unit Kajian Media dan Pilihan Raya UIAM menunjukkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus kekal popular walaupun berundur pada 2003.

Kajian oleh Prof. Datuk Syed Arabi Idid dari Mac 2008 hingga Julai 2011 bersama penyelaras penyelidikan, Azrul Hisyam Wakichan menggunakan sampel rambang purata 1,500 responden terdiri pengundi Melayu, Cina dan India dari seluruh negara ditanya mengenai kepuasan mereka terhadap kualiti kepimpinan kelima-lima pemimpin itu.

Kajian itu menunjukkan peningkatan dalam populariti Najib adalah hasil usaha berterusan beliau untuk mendekati hati rakyat dan memimpin negara ke arah masa depan yang lebih cerah.

“Kajian ini dengan jelas menunjukkan responden Melayu, Cina dan India kini menerima Datuk Seri Najib,” katanya.

Pada Oktober 2008, 35 peratus responden Melayu, 33 peratus Cina dan 41 peratus India menunjukkan yang mereka puas hati atau sangat puas hati dengan Najib, tetapi menjelang Julai 2011, penerimaan masing-masing meningkat kepada 59 peratus, 45 peratus dan 62 peratus.

“Hakikatnya rakyat kini lebih bersedia menerima Datuk Seri Najib sebagai pemimpin mereka,” kata Syed Arabi yang menjalankan kajian mengenai populariti pemimpin-pemimpin sejak 1989.

Mengenai punca kemerosotan populariti Anwar, Nik Aziz dan Lim, beliau berkata, ia banyak berpunca kerana isu-isu semasa dan kegagalan untuk mencapai kata sepakat dalam banyak hal.

Azrul Hisyam, yang menyelaras kajian itu, berkata, kajian yang sama mendapati rakyat Malaysia masih memandang tinggi Dr. Mahathir dan segala sumbangannya.

Purata 74 peratus daripada responden dalam soal selidik itu menunjukkan mereka menyanjungi Dr. Mahathir sepanjang kajian empat tahun itu.

Azrul Hisyam berkata, rakyat Malaysia melihat Dr. Mahathir sebagai pemimpin yang telah membuktikan kebolehannya dan masih lantang bersuara.

Wednesday, November 16, 2011

KHIR BAHAROM, DR ABDULLAH PENASIHAT AGAMA PENGAMPU?

Ini satu lagi isu memening kepala orang biasa seperti saya yang 'jahil' mengenai agama.

Semalan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya (gambar kanan) menyelar tindakan "penasihat agama" yang didakwanya tidak membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam urusan haji, sebaliknya "lebih kepada budaya ampu".

"Tidak bermanfaat, tidak bermanfaat," kata beliau.

Beliau tujukan 'serangan' itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan penasihat agama kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Md Zin yang dilapor mempertahankan status haji Najib setelah ditegurnya sebelum ini.

Juanda pada 9 November lalu melahirkan rasa terkejut dengan laporan berita bahawa seorang pemimpin kanan negara bersama isterinya serta orang kenamaan lain telah selesai ibadat haji.

Kuatkah mengampunya Jamil Khir dan Dr Abdullah Mohd Zin itu?

Kata Dr Juanda :"Yang bagi komen di Malaysia ini kononnya hendak bantu, sebenarnya bukannya membantu akibat tidak mahu faham, tetapi lebih kepada budaya ampu. Jadi rakyat makin keliru. Perkara asas ilmu haji, saya yakin semua jemaah dan bekas jemaah haji semua boleh faham."

Juanda yang juga bekas profesor pelawat di Universiti Oxford, United Kingdom mengatakan sebelum ini, paling awal jemaah haji menamatkan ibadat paling awal pada 8 November atau 12 Zulhijah selepas solat Zohor bagi yang nafar awal.


Susulan itu, Jamil Khir menjelaskan, kenyataan daripada Twitter Najib bahwa beliau selesai menunaikan haji, sedangkan masih ada rukun belum dilaksanakan, telah disalah tafsir dengan selesai wukuf.

Manakala Abdullah pula menyifatkan tuduhan bahawa Najib dan isteri gagal mengerjakan haji sebagai fitnah pihak yang terdesak, yang didakwa mengeksploitasi agama untuk mengelirukan orang ramai.

Kata Abdullah, dakwaan Najib dan isterinya Rosmah gagal mengerjakan haji merupakan fitnah oleh orang "jahil" dalam ilmu mengerjakan haji.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini semalam, Juanda berkata, beliau kasihan kepada Najib yang mempunyai pegawai yang banyak tetapi "tidak dimanfaat dan tidak bermanfaat".

"Kenapa tak bawa penasihat-penasihat agama ini daripada awal dalam rombongan PM yang 20 orang itu, agar hal macam ini tak berlaku daripada awal? Berlambak mereka ini ikut buat haji. Jemaah haji biasa pun duduk dengan pembimbing haji siang malam agar dibantu dan diberi nasihat ibadat," katanya.

Juanda yang juga profesor pelawat di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) di Shah Alam berkata, komen pihak lain, yang tiada dalam rombongan itu akan merendahkan lagi imej Najib dan merumitkan lagi keadaan.

Tak taulah kita, dan kepada yang tahu jawablah.

Susah nanti Perdana Menteri kita. Bukan sekadar soal ibadah haji tidak tamat, isu Datin Seri Rosmah Mansor 'tidak bertudung' pun menjadi isu pilihan raya kelak!

Sunday, November 13, 2011

MB KHALWAT - TUNGGU LANJUTAN PENDEDAHAN MSO, PENGARANG

Kita akan buat laporan polis dalam sehari dua ini dan akan bincang dengan peguam untuk tindakan undang-undang. Macam-macam dakwaan mereka, sehingga ada yang kata saya kena tangkap basah dengan pelajar UiTM, pramugari, ada kata budak Besut, Pasir Panjang dan macam-macam lagi.

Ini tidak berasas. Walaupun saya tahu ini adalah serangan politik tetapi demi maruah anak saya dan keluarga, saya akan mengambil tindakan. Kita orang politik, tahan tekanan tapi anak-anak saya dan keluarga bukan orang politik. Kesianlah mereka.

Demikian tegas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengenai dakwaan blog bahawa beliau ditangkap khalwat dan berkahwin Rabu lalu.

Ironinya, sehingga hari ini, kita masih menunggu pendedahan lanjut oleh blogger, Mohd Sayuti Omar (MSO) mengenai posting ‘MB Dia Isteri Ditangkap Khalwat’ pada blognya.

Ini kerana pada postingnya bertarikh 25 Oktober lalu, MSO mengatakan seorang Pengarang portal akan mendedahkan lebih lanjut kes ini.

Menurut Sayuti, “Baru sekejap tadi seorang pengarang sebuah portal berita menghubungi saya untuk meminta pengesahan berhubung seorang Menteri Besar yang dikatakan telah berkahwin seorang lagi. Kejadian itu berlaku pada bulan Ramadhan lalu. MB itu katanya ditangkap berkhalwat dengan perempuan yang kini sudah menjadi isterinya itu.

Isteri yang baru dikahwinkan itu merupakan yang ketiga. MB ini mencatat sejarah sebagai satu-satunya MB yang mempunyai lebih dari dua isteri dalam satu masa.

Sengaja saya memang tidak memberikan reaksi pantas kepada posting MSO ini untuk menunggu MSO dan Pengarang berkenaan membuat pendedahan lebih lanjut seperti dijanjikan.

Namun hingga ke saat ini MSO membisu dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said naik angin dan menyatakan akan menyaman blogger yang mendakwa beliau berkhalwat dan bernikah satu lagi.

Mengejutkan kerana beberapa blog yang sebelum ini turut memetik apa yang disiarkan oleh MSO tiba-tiba memadamkan terus dan ada juga blog yang terus memohon maaf kepada Ahmad Said.

Amat jelas takut juga mereka ini dengar Menteri Besar Terengganu mahu saman. Ada juga yang nakal membuat komen di blog teganuku menyebut : “Ambo raso pelik lah !!! biasanya blog MSO Melayu dan rangkaian blog Hambali yang kuat 'back up' Mat Said. Apa dah jadi dengan 2 orang ini ? Dah tak sebulu lagi ke dengan Mat Said???

Pada Rabu, Ahmad Said berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua blogger yang didakwa memfitnahnya, setelah kecewa dengan dakwaan tangkapan khalwat melibatkan dirinya.

Beberapa blog turut merangkaikan cerita ini (lihat di sini) tetapi Ahmad Said memilih hanya dua blog sejauh ini.

Menurutnya, beliau terpaksa bertindak menyaman pemilik blog http://guanopulok.blogspot.com dan http://msomelayu.blogspot.com kerana terlalu sedih dan kecewa dengan fitnah melampau yang ditujukan kepadanya dengan membabi buta.

Kedua-dua blog ini mengatakan Ahmad Said ditangkap di hotel.

Bukan rahsia lagi, Menteri Besar Terengganu sering bermalam di Hotel Hilton Sentral jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur.

Dan kerana itu ada tuduhan mengatakan beliau ditangkap khalwat di hotel berkenaan.

Persoalannya, apakah mungkin ada pihak boleh bolos ke bilik Menteri Besar di hotel berkenaan sedangkan untuk menggunakan lif pun terpaksa pakai kad khas.

Apakah berani staf hotel berkenaan membenarkan sesiapa sahaja bolos ke bilik tetamu begitu sahaja? Lagipun bukan mudah untuk ke bilik penginapan Menteri besar berkenaan kerana beliau adalah ‘regular customer’ di hotel berkenaan yang pastinya mendapat ‘perlindungan yang cukup’.

Jika benar boleh bolos, siapakah yang menangkap beliau? Ada repot polis atau Jabatan Agama Islam Wilayah tentang kejadian itu?

Kata Ahmad Said, dia mengetahui tentang tuduhan itu sejak tiga bulan yang lalu namun bertindak mendiamkan diri kerana hanya menyifatkannya sebagai satu cubaan serangan politik kepadanya.

“Tetapi saya tidak boleh bertahan apabila anak gadis saya yang balik bercuti menangis kerana diejek rakan-rakannya mengenai itu.

“Sebagai bapa, saya perlu lakukan sesuatu kerana ia sudah melibatkan orang-orang yang rapat dengan saya. Setelah berfikir panjang, saya rasakan saya perlu ambil tindakan dan akan bertindak menyaman blog-blog yang terlibat,” katanya.

Menteri Besar itu sudah mengenal pasti pemilik blog ‘MSO’ dan kini sedang mengenal pasti pemilik blog ‘Ganopulok’ kerana siasatan pihaknya mendapati, alamatnya telah dipindahkan ke California, Amerika Syarikat.

Kerana itu jika MSO ada bukti atau Pengarang yang disebutnya ada bukti, seperti ditegaskan Ahmad Said, mereka yang berkenaan harus tampil dan bukannya bersembunyi.

Mungkin MSO dan Pengarang berkenaan mempunyai jawapan?

Saturday, November 12, 2011

APA SPRM BUAT DI PETRONAS KALAU TIDAK SIASAT?

Lawatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Petroliam Nasional Berhad (Petronas) adalah sebahagian daripada prosedur operasi standardnya selepas menerima aduan.

Demikian menurut kenyataan Petronas. Maknanya, SPRM datang ke Petronas walaupun bukan secara serbuan.

Pegawai SPRM berada di ibu pejabat Petronas baru-baru ini untuk memudahkan prosedur laporan maklumat pertamanya, yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard agensi itu berikutan sebarang aduan mengenai dakwaan salah laku.

Kenyataan Petronas menjelaskan, tiada serbuan dilakukan terhadap syarikat minyak dan gas negara itu dan tiada fail atau dokumen diambil oleh SPRM.

Sebelum itu, portal berita melaporkan bahawa SPRM menyerbu Petronas sejak minggu lalu selepas menerima maklumat berhubung dakwaan rasuah oleh juru perunding projek yang bekerja dalam usaha eksplorasi dan pengeluaran di perairan Malaysia.

"Petronas ingin mengulangi komitmen penuhnya dan berpegang kepada proses dan prosedur yang diiktiraf antarabangsa dalam proses tender dan kerja dan mempunyai dasar tidak bertolak ansur terhadap amalan rasuah," kata kenyataan itu.

Petronas ditubuhkan pada Ogos 1974 dan disenaraikan sebagai antara 500 perbadanan terbesar oleh Fortune Global. Ia menduduki tangga ke-107 tahun lalu selepas berada dalam senarai 100 teratas pada 2008 dan 2009.

Petronas mempunyai lebih 40,000 pekerja tetap di Malaysia dan 35 negara yang mengendalikan operasi.

Rakan sekerja ketika di New Straits Times pada 1990-an, Jahabar Sadiq melaporkan melalui The Malaysian Insider semalam bahawa SPRM menyerbu bangunan syarikat minyak nasional Petronas baru-baru ini berhubung dakwaan amalan rasuah di kalangan konsultan projek terlibat dalam kerja-kerja meneroka dan mengeluar minyak di perairan Malaysia,.

Memetik sumber, The Malaysian Insider difahamkan fail-fail berkaitan turut diambil oleh pegawai-pegawai SPRM dan Datuk Seri Najib Razak telah pun dimaklumkan sebelum beliau pergi ke Arab Saudi untuk menunaikan haji. Perdana Menteri kembali ke tanah air kelmarin.

"Pegawai-pegawai penyiasat telah mengunjungi pejabat itu ekoran banyak aduan mahu mendapatkan ganjaran sebagai pulangan kepada syor mendapatkan kontrak," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider tetapi tidak mahu identitinya didedahkan.

Satu lagi sumber mengesahkan bahawa siasatan SPRM telah dimaklumkan kepada Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. SPRM tidak mengesahkan tindakan mereka kerana bimbang akan menjejaskan siasatan.

Sumber-sumber industri berkata rasuah semakin kerap sejak saban tahun memandangkan Petronas mengurniakan siri kontrak melibatkan pelbagai operasi termasuk usaha mendapatkan lapangan minyak yang baru.

Bagaimanapun mereka tidak mengatakan bahagian di Petronas yang menjadi sasaran siasatan SPRM.

"Ia bukan sesuatu yang luar biasa. Setiap orang tahu permainan itu," katanya.

Satu lagi sumber memberitahu bahawa pengurusan Petronas telah mengadakan pelbagai mesyuarat untuk membincangkan dakwaan berkenaan amalan rasuah di kalangan pekerjanya, yang merupakan antara mereka yang mendapat gaji paling tinggi di Malaysia termasuk pinjaman perumahan menarik, manfaat perubatan dan insentif-insentif lain.

"Mereka pernah menjadi pekerja terbaik dan jujur tetapi terdapat terlalu banyak kontrak sejak kebelakangan ini dan ada yang mengambil langkah mudah," katanya lagi sambil menambah, ada pegawai Petronas yang hidup di luar kemampuan mereka.

"Terlalu banyak gosip dan cakap-cakap belakang. Ada kontraktor yang mengadu mereka perlu bayar untuk ditimbangkan bagi mendapat projek. Jadi tidak mengejutkan SPRM sudah berada di sana," katanya lagi.

Tuesday, November 8, 2011

AMBIGA DISOKONG, MENDAPAT DANA SIAPA?

Dari mana Pengerusi Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), Datuk S. Ambiga dapat dana menganjurkan Seksualiti Merdeka 2011?

Ambiga nampak bukan sahaja berani tetapi selesa untuk menganjurkan programnya yang bersifat menentang peraturan negara dan amalan hidup rakyat di negera ini mungkin kerana mempunyai ‘sokongan di belakang yang kuat’.

Bekas Presiden Majlis Peguam yang sering menunjukkan penentangannya kepada undang-undang negara sewajarnya disiasat mengenai siapa dalang yang menaja program anjuran beliau.

Dua perkara yang dibangkitkannya Ambiga tidak boleh dipandang ringan kerana amat jelas program Seksualiti Merdeka serta himpunan haram Bersih 2.0 merupakan agenda sistematik pihak terbabit untuk menjejaskan kestabilan, keamanan serta keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Dua gerakan Ambiga itu amat berbahaya dan kita tidak dapat menjangka apa lagi selepas ini.

Menghairankan sebagai peguam, Ambiga tahu peraturan dan undabng-undang negara tetapi beliau berani mencabarnya. Siapa sebenarnya di belakang beliau dan dana dari mana beliau gunakan?

Jika tidak kerana sokongan padu daripada pihak tertentu, Ambiga tidak akan berani dan sanggup mencabar kerajaan dan begitu mudah menganjurkan program bersifat antarabangsa itu.

Pihak berkuasa perlu menyiasat sedalam-dalamnya ‘keupayaan luar biasa’ Ambiga untuk mengetahu sumber dana dan sokongannya.

Kita berharap hasil siasatan diumumkan kepada rakyat dan jika ada yang ‘tidak kena’ dengan penajaan dan dana yang digunakan, Ambiga wajar dikenakan hukuman setimpal.

Kegagalan mengenakan tindakan akan menjadikan rakyat merasakan kerajaan dan pihak berkuasa hanya berpura-pura bertindak tetapi hakikatnya ‘takut’ kepada individu yang mendapat sokongan dan penajaan pihak tertentu yang mungkin cukup berkuasa mungkin dari luar negara.

Friday, November 4, 2011

LGBT - BAGAIMANA PAS BOLEH TERUS BERKAWAN DENGAN SYAITAN....

Ilmu sains politik di Malaysia sudah berubah pada abad ke 21 ini. Apa yang dipelajari dan diajari pada abad ke 20, khususnya pada tahun 1970, 1980 dan 1990 sudah berubah jauh.

Ketika itu perlakuan seks yang dikategorikan sebagai LGBT atau lesbian, gay, biseksual dan transgender tidak dikaitkan dengan demokari dan hak kekebasan individu.

Malah tiada langsung dalam definisi sama ada oleh ilmuan sains politik yang mengatakan LGBT sebagai suatu bentuk demokrasi dan hak asasi atau hak kebebasan manusia sejagat.

Namun kini sejak parti politik khususnya Parti Keadilan Rakyat yang menjadi rakan ‘sepermainan’ PAS dan DAP, LGBT adalah antara perjuangan parti berkenaan dan PAS memilih-milih untuk membantah.

Dengan kata lain, PAS bantah sebahagian dan menyokong sebahagian, Bagi PAS pada pakatan antara PKR dan DAP itu bagai minyak dan air, ia tidak bercampur.

Maknanya, PAS boleh sisih ke tepi perkara seperti LGBT ini tetapi untuk kuasa dan berjuang mendapatkan kuasa, perkara seperti ini dianggap kecil.

Bagi PAS, tidak salah bergaul dan berkawan dengan ‘syaitan dan iblis’ asalkan matlamat menumbangkan UMNO dan BN yang dilihat lebih teruk daripada syaitan PKR dan DAP!

Sebaliknya UMNO dan Barisan Nasional (BN) dicabar dan ditekan untuk membebaskan LGBT di atas nama demokrasi.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menegaskan 2 November lalu, jika negara ini ingin dihormati sebagai sebuah negara demokrasi, ia mestilah terlebih dahulu menghentikan sebarang penindasan ke atas golongan minoriti seksual yang terdiri daripada LGBT ini.

Majlis Peguam juga mahu kerajaan bertindak segera memberi perlindungan kepada golongan ini dengan memperkenalkan satu undang-undang baru bagi mengantikan undang-undang yang menggenakan kawalan yang tidak sepatutnya ke atas hak individu golongan LGBT di Malaysia.

Kerana itu Majlis Peguam, memberi sokongan ke atas program Seksualiti Merdeka yang telah pun bermula dari 1 November lalu dan sepatutnya tamat pada 13 November ini.

Program Seksualiti Merdeka amat jelas satu program untuk memberi sokongan moral kepada golongan LGBT.

Mengejutkan, Majlis Peguam berasa bangga untuk menjadi sebahagian daripada penyokong dan pendokong program berkenaan walaupun ia mendapat tentangan ramai kerana berpendapat, golongan LGBT yang selama ini hidup tertindas sebenarnya memerlukan pembelaan dan sokongan moral.

Amat jelas dalam isu LGBT ini, Majlis Peguam Malaysia terlepas pandang dengan bertindak tanpa mengambil kira sensitiviti ribuan ahlinya yang juga terdiri daripada Peguam-peguam yang beragama Islam.

Yang pasti aama lain juga menentang kebebasan atau demokrasi berbentuk seperti ini yang pastinya boleh mengharu-birukan institusi kekeluargaan dan menambahkan barah kepada moral masyarakat.

Agama Islam secara terang-terangan mengharamkan homoseksual, baik yang bergelar gay mahupun lesbian di mana pengamal homoseksual ini dilaknat sekeras-kerasnya oleh agama Islam.

Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan membenarkan rakyat menganut agama masing-masing tetapi tidak pula menyatakan bahawa rakyat boleh terjerumus sehingga kepada aktiviti LGBT.

Malah, terdapat pendapat di dalam agama Kristian sendiri yang mengatakan perhubungan homoseksual adalah suatu dosa di mana ia dinyatakan di dalam ajaran-ajaran seperti Gereja Roman Katolik, Gereja Eastern Orthodox, Gereja Methodist dan lain-lain lagi.

Kita bersyukur kerana polis telah mengharamkan program Seksualiti Merdeka yang mempromosikan seks bebas, berkuatkuasa serta-merta berikutan bantahan meluas pelbagai pihak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, mereka tidak menyekat hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

"Namun jika program itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan orang ramai, ia mungkin mewujudkan keadaan huru-hara dan mengancam ketenteraman awam.

Program Seksualiti Merdeka yang diadakan sejak 2008 dilaporkan menyediakan pelbagai aktiviti bertemakan 'Queer Without Fear', antara program yang diadakan termasuk bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan.

Polis menggesa orang ramai supaya tidak menghadiri program itu kerana mereka boleh ditahan untuk soal-siasat.

Polis telah memulakan siasatan dan mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 penganjur program itu termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S.Ambiga dan kes tersebut akan disiasat dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 27A(1)(c) Akta Polis 1967.

Mengejutkan ialah polis mengatakan pihak penganjur tidak pernah memohon permit untuk mengadakan program tersebut tetapi kenapa membiarkan ia berlangsung beberapa hari dan mengharamkannya selepas didesak?

Sebelum didesak, apa yang polis lakukan walaupun mengetahui Seksualiti Merdeka sebagai satu-satunya pesta di Malaysia yang mempertahankan hak golongan yang mengamalkan hubungan sejenis?

"Anak Saya Tidak Berada di Australia, Rosmah Tidak Beli Barang Kemas..."

Akhirnya ‘tuan badan’ yang berada di Tanah Suci, iaitu Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak menjelaskan bahawa anak perempuannya bukan berada di Australia semasa beliau menghadiri mesyuarat ketua-ketua kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, baru-baru ini.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kini sedang mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci.

Seperti saya katakana sebelum ini, adalah baik ‘tuan badan’ yang menjawabnya. Dalam jawapannya beliau berkata orang ramai sepatutnya tidak terpedaya atau terbabit menyebarkan pembohongan.

"Jangan percaya atau sebar pembohongan. Malah, anak perempuan saya tidak berada di Australia dan isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) tidak membeli apapun barang kemas," kata Najib dalam Twitter terbarunya.

Ulasan beliau adalah berikutan penerbitan satu artikel dalam sebuah akhbar Australia yang mendakwa anak perempuannya membelanjakan $60,000 di sebuah pusat beli belah di Perth, venue perhimpunan CHOGM.

Laporan itu juga menyebut mengenai "seorang wanita pertama diketahui telah membeli mutiara bernilai $150,000 WA (Barat Australia)".

Bagaimanapun, ia tidak menamakan individu yang menjadi tanda tanya.

Isu ini kelihatan selesai tetapi bagaimana dengan ‘fitnah’ yang disebarkan?

Apakah akan ada saman malu atau membiarkan sahaja pihak-pihak yang memulakan khabar angin itu bebas bagaikan ‘angin yang berlalu’?

Kes ini kes besar membabitkan maruah keluarganya.

Apakah Najib mampu menyerap ‘fitnah dan nista’ ini begitu sahaja?

Thursday, November 3, 2011

SENATOR - BAKAL JADI BAHAN LAWAK, RUGIKAN BARISAN NASIONAL

Kelmarin saya menyebut bahawa perlantikan Senator dibuat kerana jasa dan sumbangan seseorang kepada negara.

Hari ini blogger GMW membuat ulasan mengenai perkara ini tanpa merujuk kepada sesiapa dengan mengatakan jika tidak berhati-hati, jawatan senator bakal menjadi bahan lawak jenaka menjelang piliharaya umum kelak.

Malah lebih bahaya, ia menjadi 'modal selesa' untuk menyerang dan membelasah Barisan Nasional.

Sebagai rakyat dan blogger kita hanya boleh memperkata dan mengemukakan pendapat.

Namun siapa mahu mendengar pendapat kita?

Cakap banyak nanti ada yang akan tuduh, kau tidak dapat cakap banyaklah!

Hakikatnya hari ini pemimpin Barisan Nasional akan melakukan dengan rasional bahawa "mereka lebih tahu dan sudah mendapatkan pandangan banyak pihak" terlebih dahulu, umpamanya dalam kes terbaru iaitu perlantikan Datuk K S Nallakaruppan.

Namun ingin saya turut mengingatkan semua pemimpin BN bahawa rakyat biasa juga kini tahu banyak dan mampu memberikan pandangan mereka melalui kertas undi. Tunggu PRU13 untuk ketahui apa pandangan rakyat!

Apapun baca artikel tulisan GMK ini:

EKSKLUSIF ... Perlantikan Senator BAKAL MENJADI BAHAN LAWAK?
Gelombang Wangsa Maju (Thursday, November 3, 2011)


GWM terpanggil untuk memberi pandangan secara terbuka mengenai perlantikan senator masa kini kerana dikhuatiri jawatan senator bakal menjadi bahan lawak jenaka menjelang piliharaya umum kelak.

Tidak mustahil perkara ini boleh dijadikan 'modal selesa' pakatan haram untuk membelasah Barisan Nasional dalam ceramah-ceramah pakatan haram sebelum menjelangnya pilihanraya umum.

Sememangnya tidak dinafikan, hak perlantikan senator terletak kepada Yang di-Pertuan Agong dimana baginda boleh melantik 44 senator dan 3 senator dilantik bagi mewakili Wilayah Persekutuan.

Selebihnya perlantikan senator terletak kepada Sultan setiap negeri dan atas nasihat Perdana Menteri.
Namun apa yang membimbangkan 'trend' perlantikan senator lebih menjurus kepada perumpamaan perlantikan 'dulu lu belasah gua, sekarang lu jilat gua, lu boleh jadi senator'!

GWM perlu bersikap terbuka dalam hal ini kerana unjuran 'trend' golongan yang terpilih menjadi senator adalah golongan yang pernah mengkhianati kerajaan dan Barisan Nasional khususnya.

Teguran bukan bererti membenci kerajaan dan Barisan Nasional namun kerajaan perlu lebih matang dalam menilai perlantikan seorang senator.

Apakah dengan hanya menjadi seorang 'defector' dari barisan pembangkang, dengan semudah itu jawatan senator layak disandang sebegitu mudah?

Perlukah dengan hanya membekalkan 'peluru penabur' untuk membunuh langkah pembangkang, murahnya darjat kebesaran seorang senator diperlakukan?


Begitu mudah senator 'defector' ini dilantik dan begitu mudahnya golongan ini mempunyai keistimewaan duduk semeja dengan menteri malah bersama Perdana Menteri!

Bagaimana pula mereka yang telah lama berkhidmat dalam kerajaan dan mempunyai rekod cemerlang namun tidak diberikan keistimewaan ini.

Bagaimana pula dengan tokoh-tokoh pejuang dalam UMNO, MCA, MIC dan sebagainya dalam Barisan Nasional yang telah lama berjuang mempertahankan kredibiliti dan imej kerajaan yang terlepas pandang.

GWM yakin masih ramai golongan professional yang terpinggir dari dilantik menjadi senator berdasarkan track record cemerlang dalam perkhidmatan awam mahupun mereka yang bergerak dalam NGO-NGO di Malaysia.


Apa yang GWM khuatirkan jika terjadi satu situasi yang agak aneh (bukan mustahil) ... jika ditakdirkan 'Anugerah Tuhan' melakukan satu turning point memberikan 'peluru hidup' kepada Barisan Nasional untuk membunuh pakatan pembangkang.


Adakah kerajaan juga akan melantik 'Anugerah Tuhan' sebagai seorang senator gara-gara kembali melutut dan menyokong Barisan Nasional ...


Huh ... bakal menjadi bahan lawak politik Malaysia satu abad lamanya.

Wednesday, November 2, 2011

ISU PERIBADI - BIAR 'TUAN BADAN' YANG MENJAWABNYA!

Akhir-akhir ini ramai blogger proUMNO dan prokerajaan seperti merajuk. Tidak tahu punca utama.

Namun yang saya dapat maklumat, mereka bagaikan tidak diendah. Faham-fahamlah!

Ada yang mengatakan UMNO atau pemimpin kerajaan kini begitu ‘selesa’ dengan kedudukan mereka seolah-olah tidak akan kalah.

Pilihan raya seperti permainan bolasepak. Apa sahaja akan berlaku dan masa-masa kecederaan amat penting untuk menjaga gawang daripada dibolosi.

Kebimbangan saya bukan kerana saya tidak diendahkan atau dipandang sebelh mata tetapi isu-isu yang dibangkitkan blogger propembangkang kadang kala sukar untuk ditepis.

Maklumat tidak ada dan kadangkala terlalu bersifat peribadi.

Contoh berikut ini hanya ‘tuan badan’ sahaja boleh menafikannya.

Baca dan teliti!

Anak gadis Najib belanja RM195,000 dari sumber sahih

Berita mengenai anak gadis Perdana Menteri yang berbelanja sebanyak RM195,000 di sebuah gedung membeli belah terkemuka di Australia, adalah daripada sumber yang sahih.
Keratan akhbar West Australian bertajuk “Delegates go shopping and sightseeing‘ itu diperoleh menerusi satu kiriman email oleh satu sumber yang dipercayai kepada Keadilan Daily.

Sumber itu memperoleh keratan berkenaan daripada seorang ahli politik Australia, yang enggan dinamakan atas sebab-sebab politik.

Bagaimanapun, laporan berita dari akhbar bercetak West Australian itu tidak disiarkan di dalam akhbar dalam talian mereka.
Ekoran itu, keratan berita itu kini turut tersebar di internet dan dimuatkan di blog dan dalam laman sosial seperti Facebook.

Nilai wang yang dibelanjakan anak gadis Najib bagaimanapun dianggarkan sebanyak RM195,000 mengikut kadar tukaran semasa dan bukan RM180,000 seperti dilaporkan pada awalnya.


Semalam, Keadilan Daily menyiarkan berita anak perempuan Datuk Seri Najib Razak membelanjakan kira-kira RM180,000 atau A$60000 untuk barangan jenama di David Jones- sebuah gedung terkemuka di negara itu.


Memetik keratan akhbar Australia itu, seorang wanita Pertama yang tidak dinamakan turut membelanjakan A$150,000 (RM487,000) bagi membeli mutiara.


Kesempatan membeli belah itu diambil ketika Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas ke Perth untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), minggu lalu.

Antara yang turut serta dalam delegasi berkenaan ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim dan Presiden PPP, Datuk M Kayveas.


Ekoran daripada itu, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang sebelum ini dikatakan membeli cincin berlian berharga RM24 juta, terus menerima kritikan.


Dipetik dari tranungkite.net/v11/

Nallakaruppan - Kerajaan Pilih Calon 'Tepat' Jadi Senator

Bekas 'rakan tenis' Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik senator hari ini.

Tentu jasanya besar kepada negara!

Ada laporan mengatakan orang ini turut membekalkan sesuatu kepada Anwar sebelum ini dan mungkin juga beberapa ahli politik lain.

Juga dia mampu menyumbangkan tenaga kepada kebaikan negara dan kerana itu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bersetuju mengenai pelantikannya.

Tahniah kepada kerajaan Barisan Nasional kerana memlilih calon 'tepat'.

Datuk K S Nallakaruppan mengangkat sumpah di Dewan Negara yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengumuman itu dibuat menerusi pemberitahuan parlimen selepas diedarkan kepada petugas media, lapor sebuah akhbar.

Ahli perniagaan itu merupakan bekas sahabat rapat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga rakan karib bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu.

Beliau pernah menjadi timbalan ketua pemuda MIC pada sekitar tahun 1980an.

Nallakaruppan juga pernah bergiat dalam PKR pimpinan isteri Anwar - Presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail - pada 2007 tetapi keluar parti kira-kira setahun selepas itu.

Nallakaruppan kemudiannya menubuhkan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) tetapi tidak menyertai pilihan raya umum ke-12 bagi menumpukan kepada kerja-kerja dalaman.

Beliau terkenal ahli politik yang lantang mengkritik kepimpinan Anwar dan PKR.

Akan semakin ramailah rakyat yang akan 'menyokong kerajaan' BN selepas ini.

Selain Nallakaruppan, turut akan mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara, esok adalah ketua pemuda MCA Chiew Lian Keng dan bendahari MIC Datuk Jaspal Singh.