Showing posts with label FAM. Show all posts
Showing posts with label FAM. Show all posts

Tuesday, May 27, 2014

KEPIMPINAN FAM - TENGKU ABDULLAH MINTA MASA EMPAT TAHUN


Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah minta peminat-peminat bola sepak tempatan menilai barisan kepimpinannya selepas empat tahun.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu itu berkata, beliau diberi amanah besar dan ini bukan kemenangan.

“Kerjasama amat diperlukan bagi memperbaharui segala kekurangan yang ada. Saya juga sedia bekerjasama dan menghulur tangan dengan sesiapa sahaja. Ini adalah agenda negara.

“Kepada calon-calon yang tidak terpilh kali ini, jangan kecewa kerana bagi saya apabila nama sudah dicalonkan ia adalah satu kemenangan,” jelas beliau kepada media selepas majlis Kongres Tahunan Ke-50 FAM, kelmarin (Ahad).

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengucapkan tahniah kepada Tengku Abdullah yang memenangi pemilihan jawatan Presiden FAM.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang kalah dalam pertandingan satu lawan satu untuk jawatan presiden, berharap Tengku Abdullah dapat memberikan pembaharuan dan menukar landskap bola sepak Malaysia.

"Semoga Kebawah Duli Tuanku dapat memberikan pembaharuan dan menukar landskap bola sepak Malaysia. Insya-Allah," katanya dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh laman sosial rasmi Harimau Selatan itu. Tengku Mahkota Pahang memenangi jawatan presiden selepas mengalahkan TMJ dengan majoriti dua pertiga undi.

Tengku Abdullah memperoleh 27 undi manakala TMJ 12 undi pada kongres FAM ke-50 di Shah Alam, Selangor.

Tengku Abdullah berkata, dalam masa terdekat ini beliau akan berjumpa dengan ahli-ahlinya dalam melengkapkan perancangan dan hala tuju.

“Saya harapkan permulaan yang baik, dan selepas ini saya akan duduk bersama dengan ahli-ahli yang lain melakukan perbincangan. Segala keputusan yang dibuat berdasarkan keputusan bersama ahli.

"Dalam masa ini juga saya akan membuat audit dalam bukan sahaja bahagian kewangan tetapi semua termasuk pentadbiran, kejurulatihan dan pengadilan.

“Bagi saya sedikit masa. Apa yang saya harapkan agar masyarakat akan membuat penilaian barisan kepimpinan saya ini selepas empat tahun,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah yang juga Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) mengakui dua tugas besar dalam satu masa merupakan beban besar yang perlu ditanggung.


“Ia merupakan satu beban tapi saya perlu bijak menguruskan masa. Cuma saya harap kalau ada sesiapa yang berminat dan boleh menguruskan hoki, sila tampil ke depan,” katanya.

Sebelum kongres kali ini berlangsung, penyandang Presiden Sultan Ahmad Shah mengumumkan penarikan diri daripada bertanding di atas faktor usia.

Baginda mengumumkan penarikan diri itu bagi memberi ruang kepimpinan baharu. "Saya dengan ini menarik diri daripada bertanding bagi jawatan presiden.

"Atas sebab faktor usia, saya membuat keputusan ini dan berharap lebih banyak kejayaan dicapai dalam barisan kepimpinam baharu nanti," jelas baginda dalam ucapan perasmian kongres ini.

Kongres Tahunan Ke-50 yang berlangsung di Holiday Inn Kuala Lumpur, Ahad lalu menyaksikan perubahan besar-besaran yang mana menyaksikan sepuluh daripada 15 ahli yang terpilih adalah muka baharu.

Wednesday, November 23, 2011

SKUAD HARIMAU MUDA TERIMA RM30,000 SEORANG

Saya bangga dengan kekentalan semangat dan daya tahan Skuad Harimau Muda kendalian jurulatih Ong Kim Swee.

Tahniah untuk mereka dan wajar sekali jika diberikan ganjaran RM30,000 seorang. Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah berkenan dengan ganjaran itu.

Berita itu diumumkan pengurus skuad negara Datuk Hamidin Mohd Amin malam semalam.

"Selepas perlawanan menentang Indonesia semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah bersetuju mengurniakan RM30,000 seorang bagi setiap pemain di atas kejayaan gemilang mereka itu," katanya.

Dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Isnin, skuad bawah 23 tahun negara itu menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia 4-3 menerusi sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Hamidin berkata skuad itu juga akan dihantar ke Sydney, Australia mulai pertengahan bulan Disember bagi menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab terkemuka di sana.

"Selepas mesyuarat teknikal FAM sebentar tadi, kami telah bersetuju untuk menghantar skuad kendalian Ong Kim Swee ini untuk ke Austalia dan Alhamdullilah Majlis Sukan Negara (MSN) turut menerima dan menyokong hasrat kami ini," katanya.