Tuesday, February 11, 2014

TAIB MAHMUD BUKAN MAHU ‘MENONGKAT LANGIT, SEDIAKAN PENGGANTI YANG SETANDING…


Tidak benar tuduhan dan cercaan pihak tertentu bahawa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mahu ‘menongkat langit’.

Kata-kata bahawa beliau akan terus kekal di jawatan itu kononnya untuk mengaut kekayaan tidak ada kena mengena dengan kesediaannya menjawat jawatan itu selama 33 tahun hingga ke hari ini.

Sebaliknya Taib mendedahkan di Kuching semalam bahawa beliau hampir bersara sedekad yang lalu.

"Saya mahu memberitahu anda sesuatu, yang menjadi rahsia di kalangan sejumlah kecil di PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu)," kata Taib.

Beliau memberitahu kepada ratusan hadirin pada perhimpunan Tahun Baharu Cina oleh Dewan Perniagaan dan Industri Cina di Kuching semalam bahawa Sembilan atau 10 tahun lalu, Kerajaan Sarawak mengusahakan dasar yang dikenali sebagai Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak(Score). Selepas fakta dasar itu dikumpulkan, saya fikir ia adalah masa untuk saya bersara namun teman-teman beliau di PBB berkata tidak.

“Kita hanya boleh buktikannya bila ia (Score) berjaya. Kamu perlu membentangkannya dahulu dan buktikan ia dapat dilaksanakan, katanya bahawa sejak itu batu penjuru telah berubah menjadi empangan Bakun.

"Sekarang Score begitu jauh melangkaui jangkaan kita... Malam ini, saya berharap untuk memberitahu anda mengenainya, bahawa sembilan atau 10 tahun lalu saya kurang yakin mengenai pengganti saya.

"Hari ini, saya begitu pasti mereka boleh melakukan tugas itu. Sudah cukup kerja sepasukan. Orang yang sama telah melalui banyak pengalaman… saya beritahu anda, tiba masanya untuk saya bersara,” katanya.


Taib adalah pelajar cemerlang apabila pada tahun 1958, kejayaan dalam peperiksaan Senior Cambridge membolehkan Taib layak mendapat biasiswa Shell untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti Adelaide di Australia Selatan.

Beliau berjaya mendapat ijazah pertama dalam bidang undang-undang pada tahun 1960. Apabila kembali ke Sarawak, beliau bekerja dalam Crown Council dari 1962 sehingga 1963. Beliau mengambil bahagian dalam Majlis perundangan negeri Sarawak pada 22 Julai 1963. Ini bermakna beliau turut terlibat dengan pembentukan Malaysia pada September 1963.

Beliau dilantik menjadi Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri dari tahun 1963 hingga 1966 dan Menteri Pembangunan dan Perhutanan pada 1967. Beliau mewakili Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA), salah satu parti komponen Perikatan Sarawak dalam pilihanraya Malaysia 1969.

Semasa pilihan raya Parlimen Sarawak pada 1970, Taib telah dipilih sebagai ahli parlimen Malaysia bagi kerusi Kota Samarahan. Taib pernah dilantik sebagai Timbalaan Menteri Persekutuan bagi Perdagangan dan Industri dari 1968 hingga 1970. Beliau kemudiannya dilantik ke pelbagai portfolio termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1970-1972) dan Menteri Sumber Semula Jadi (1972-1974).

Pada tahun 1973, Taib menjadi timbalan presiden untuk PBB yang baru ditubuhkan sebelum dilantik sebagai Parti Presiden. Disebutkan juga bahawa Abdul Rahman Ya'kub adalah mentor politik untuk Taib Mahmud selama 20 tahun.

Selepas memenangi pilihanraya kecil Sebandi (sekarang Asajaya) pada tahun 1981, beliau telah dilantik sebagai Menteri Tanah dan Lombong Sarawak sebelum mengambil tempat bapa saudaranya, sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Beliau mempertahankan kerusi Sebandi sehingga 1987 sebelum dipilih sebagai ADUN di kawasan Asajaya. Dalam pilihan raya Sarawak 2001, beliau bertanding di kawasan Balingian sehinggalah pilihan raya negeri yang lalu. Taib kini amat yakin penggantinya dapat menjadikan Sarawak sebagai satu kejayaan.

Malah semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut ditanya pandangannya jika pengunduran Taib akan memberi kesan kepada PBB, Dr Mahathir berkata sedikit sebanyak ia akan memberi kesan. Namun menurutnya beliau yakin dengan perpaduan mantap yang dimiliki, parti itu akan terus cemerlang.

"Saya fikir PBB masih kuat. Kita seharusnya ambil kira soal parti juga, tidak kira siapa pemimpinnya. Parti ini (PBB) banyak berjasa kepada Sarawak, banyak pembangunan yang dilakukan oleh pemerintahan parti ini di bawah Abdul Taib Mahmud, saya yakin penggantinya juga akan dapat berbuat demikian nanti," katannya.

Dr Mahathir turut memuji khidmat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib yang dianggap amat baik sehingga membolehkan negeri itu kekal memiliki pemerintah yang disokong kuat oleh rakyat. Ini terbukti apabila parti pimpinan Taib berjaya memenangi banyak pilihan raya sebelum ini, katanya.

Dr Mahathir Mohamad dengan Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 18 Oktober 1996.
Di bawah teraju Taib, PBB yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) Sarawak dilihat memiliki perpaduan yang cukup mantap, kemas, kuat dan banyak menyumbang jasa kepada Sarawak menerusi projek pembangunan yang dibawanya.

"Saya harap siapa jua yang ganti (Taib) nanti akan dapat sokongan yang sama dan tidak ada permusuhan antara bakal pengganti," katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.

Namun menurut bekas perdana menteri, apabila usia semakin lanjut, seseorang pemimpin itu juga perlu sanggup berundur untuk memberi peluang kepada orang lain.

Taib, 78, yang merupakan Presiden PBB dan pengerusi BN Sarawak, mengumumkan hasrat untuk berundur sebagai Ketua Menteri ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PBB tiga hari lepas. Namun, semasa mesyuarat parti komponen BN negeri semalam, beliau tidak menyatakan tarikh untuk berbuat demikian.

Semalam, Taib menjelaskan beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Sabtu ini untuk menyampaikan hasratnya meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Beliau perlu mengikut protokol untuk meneruskan perancangannya melepaskan jawatan itu yang telah dipegangnya selama 33 tahun sejak 26 Mac 1981.

Ketika ditanya semalam sama ada beliau akan meletak jawatan pada akhir bulan ini, Taib secara berseloroh menjawab: "Yeah...saya fikir begitu...supaya saya dapat gaji penuh (saya) bagi Februari."

Laporan Utusan Malaysia menyebut, Barisan Nasional (BN) Sarawak menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, berikutan keputusan Taib melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada akhir bulan ini.

Ini kerana Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu perlu melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian sebagai syarat sebelum dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin  yang akan berakhir tempoh perkhidmatan pada 28 Februari ini.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom berkata, dalam mesyuarat bersama pemimpin parti-parti komponen, Ahli Parlimen dan ADUN BN Sarawak semalam, Taib sekali lagi memaklumkan hasrat akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada akhir bulan ini.

"Persoalan sama ada akan berlaku PRK DUN Balingian selepas peletakan jawatan beliau pada hujung bulan ini bagaimanapun terserah kepada SPR kerana kami perlu memenuhi syarat suruhanjaya itu," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mesyuarat khas Ketua Menteri Bersama Pemimpin Parti Komponen, Ahli Parlimen dan ADUN BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di Kuching, semalam.

Menurutnya, dalam mesyuarat tersebut, Taib turut memberi nasihat agar parti komponen BN di negeri ini bersatu padu, bersiap sedia dan bekerja keras untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Kesebelas (PRN-11) pada 2016 nanti.

Beliau berkata, nasihat diberikan itu akan dijadikan platform untuk BN terus bergerak maju. Yang pasti semua parti komponen juga sebulat suara memberi mandat kepada Taib untuk memilih calon pengganti dan berjanji memberi sokongan kepada pemimpin yang dipilih itu.

"Kami percaya dan yakin siapa sahaja dipilih beliau akan berupaya bekerja dengan baik. Kami juga diberi keyakinan oleh Ketua Menteri bahawa pintu sentiasa terbuka untuk berjumpa beliau bagi mendapatkan nasihat mentadbir, melindungi negeri dan menjaga hak serta perlembagaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Stephen berkata, parti komponen bersetuju untuk mengekalkan hubungan baik antara kaum dan memelihara hak kaum bumiputera di Sarawak termasuk tidak membenarkan UMNO masuk ke negeri ini.

"Kita ada perjanjian sebelum menyertai Malaysia dan kita kekalkan perjanjian itu. UMNO tidak perlu masuk (Sarawak). Apa yang penting ialah semua kaum bumiputera hidup harmoni di Sarawak. Keadaan di sini berbeza dengan Semenanjung Malaysia. Jadi, kita kena pelihara itu (keharmonian) agar perpaduan dapat dikekalkan di negeri ini yang mempunyai lebih 43 etnik," katanya.

Beliau berkata, tiada siapa dapat memahami keadaan di negeri ini kecuali rakyat Sarawak sendiri sebab itu adalah tidak sesuai bagi orang bukan Sarawak dipilih memimpin negeri ini.

Yang pasti, semua parti komponen BN Sarawak tetap memiliki 100 peratus kesetiaan kepada Malaysia. Mereka sanggup berkorban apa sahaja untuk negara ini tetapi pada masa sama memastikan Sarawak selamat dan hak rakyatnya terpelihara seperti yang dilakukan Taib Selama ini.

Saturday, February 8, 2014

TOLERANSI BERAGAMA BUKAN BERERTI MEMBENARKAN ISLAM, KALIMAH ALLAH DIPERSENDA...

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.”


Amat jelas Firman Allah SWT di dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4 seperti di atas menuntut umat Islam mewujudkan keharmonian antara penganut agama sebagai jalan penyelesaian terhadap konflik yang berlaku antara penganut agama di seluruh dunia.

Islam menyeru kepada seluruh umat Islam sekalian agar mengeratkan silaturrahim sesama kita.Perjuangan bagi mempertahankan dan menegakkan agama Allah serta hak-hak eksklusif umat Islam merupakan perjuangan yang suci yang dijamin mendapat pertolongan serta bantuan daripada Allah SWT.

Oleh itu, sebagai umat Islam kita wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT.

Berikutan itu, sangatlah tidak wajar pemimpin bukan Islam di negara ini memetik ayat-ayat al-Quran tertentu termasuk Khutbah Jumaat, yang kemudian dimanipulasi kononnya orang Islam menggalakkan permusuhan.

Mereka seharusnya mendengar keseluruhan kandungan khutbah Jumaat dan mengelak daripada menuduh Islam menggalakkan permusuhan dengan penganut agama lain.

Bagi Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin, sudah tiba masanya kerajaan menggubal undang-undang pencegahan ekstrem agama bagi membendung amalan beragama tidak sihat termasuk mencampuri agama lain.

Pada ketika pemimpin politik BUKAN ISLAM semakin bertindak berani mempertikaikan amalan agama termasuk teks khutbah Jumaat dan penggunaan kalimah Allah yang ternyata hanya untuk umat Islam, perbuatan seumpama itu tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan.

Zamihan bimbang banyak lagi perkara yang kemungkinan dibangkitkan pihak terbabit demi kepentingan politik mereka. Persoalannya bagaimana dengan mereka (bukan Islam) yang terang-terangan mempersenda dan memperlekehkan agama Islam

Bukan sekadar diperlekehkan oleh bukan Islam tetapi memburukkan keadaan, ada pula pemimpin Islam sendiri yang turut mempersendakan Islam umpamanya dalam isu Kalimah Allah.

Menyedari dan bimbang Islam semakin dipermainkan, Mimbar Jumaat Masjid Wilayah Persekutuan semalam bertajuk KEHARMONIAN ANTARA AGAMA (baca juga teks Khutbah Jumaat minggu lalu bertajuk MANHAJ ISLAMI DALAM PERPADUAN UMMAH) menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam agar sama-sama kita menjaga kesucian dan identiti agama dengan tidak bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang melibatkan dasar akidah dan tauhid disalahgunakan oleh agama lain.


Perbuatan itu amat merbahaya kerana matlamat utama mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan kemudiannya mendakwa bahawa semua agama adalah sama.

Mimbar berkenaan berpesan: “Ingatlah bahawa semua gejala kerapuhan akidah ini sebenarnya akan menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.”

Berkaitan perkara lain mengenai usaha mempersenda dan memperlekehkan Islam, Khutbah Jumaat yang dibacakan di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini menyebut:  "...terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja kelihatan mahu menggugat keharmonian serta toleransi antara agama. Umat Islam hari ini diserang dan diancam dengan pelbagai isu akidah seperti ada yang mendakwa dirinya diangkat menjadi rasul, memiliki kerajaan yang memerintah dari langit, mendakwa dirinya sebagai Tuhan, solat sempurna boleh dengan niat sahaja, solat wajib untuk tiga (3) waktu sahaja.


Selain itu kita juga diancam dengan isu kalimah Allah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Dengan itu, mimbar yang mulia ini sekali lagi ingin menegaskan bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 telah membahaskan Isu Tuntutan Penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam.

Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

Oleh itu menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan dipelihara kesuciannya kerana ianya berkait rapat dengan akidah.

Sebagai umat Islam yang beriman kita perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

Oleh itu, mimbar menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang melibatkan dasar akidah dan tauhid disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan kemudiannya mendakwa bahawa semua agama adalah sama.

Ingatlah bahawa semua gejala kerapuhan akidah ini sebenarnya akan menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72:


Maksudnya:  “Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”

Kelmarin, sebuah laman portal berita melaporkan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Darell Leiking mempersoalkan khutbah Jumaat yang disediakan JAKIM yang didakwanya boleh mencetuskan perbalahan antara agama di negara ini.


Nada sama disuarakan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang kesal khutbah Jumaat dilihatnya sebagai sengaja meniup sentimen persengketaan agama.

Semalam, khutbah yang dibaca di Masjid Wilayah, Jalan Duta dengan jelas antaranya menyebut:

1. Berdasarkan kepada Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan atau dimaksudkan juga sebagai Agama Negara. Bagaimanapun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Oleh itu, mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa agama Islam juga telah mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak-hak kemanusiaan merentasi bangsa, warna kulit dan agama. Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mana-mana pihak hanya disebabkan perbezaan agama dan budaya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 13:


Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

2. Dalam Piagam Madinah telah termaktub bahawa sesiapa yang hidup dan tinggal di Wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, khianat dan huru hara, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya: “Sesiapa yang menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka dia telah menyakiti aku, dan sesiapa yang menyakiti aku, maka dia telah menyakiti Tuhan”.(Riwayat Abu Daud). Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah RA katanya: “Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah SAW berdiri. Lalu kami pun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulallah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah SAW “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah”.(Riwayat al-Bukhari) Hadith ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum, kerana Islam ini, menuntut kita supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih sopan santun serta berjiwa kemanusiaan sesama manusia yang lain. Menurut Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya fatawa Ibn Taimiyah bahawa: “Kesejahteraan umat manusia tidak dapat diwujudkan di dunia maupun di akhirat, kecuali mereka bergabung menjadi sebuah masyarakat, bekerjasama dan saling tolong menolong untuk menciptakan kesejahteraan dan mencegah kesengsaraan.”

Khutbah Jumaat semalam, selanjutnya menyebut: Sebagai umat Islam kita dituntut bertoleransi di bawah norma dan etika hidup beragama. Namun perlu diingat, toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan akidah, agama Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kekufuran atau kesyirikan. Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah kita tidak melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Sikap melampaui batas sebenarnya akan menjadi pemangkin kepada kecelaruan minda dan perpecahan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara. 

Berikutan itu, mimbar berkenaan berpesan kepada umat Islam supaya sentiasa bersikap terbuka dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Mimbar ingin juga menyeru kepada semua pihak agar usahlah mempertikaikan perkara yang telah termaktub di dalam perlembagaan dan dipersetujui bersama serta mempertikai hak-hak eksklusif orang Islam.

Mimbar juga menggesa pihak yang berkuasa agar menangani isu ini dengan penuh berhikmah agar mereka yang cuba memporak-perandakan pegangan dan akidah umat Islam akan menyedari dan insaf bahawa usaha-usaha mereka itu sebenarnya tidak akan membawa kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam sebuah negara yang berdaulat.

Kita bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian dan sebab itulah kita perlu mencegah lebih awal anasir-anasir yang boleh menggugat keamanan serta menolak sebarang unsur yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum dan agama.

Ingatlah bahawa agama Islam sentiasa unggul dan ianya akan terus unggul. Al-islamu ya’lu wala yu’la ‘alaih. Marilah sama-sama kita meletakkan perhambaan kita kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan dengan mengabdikan diri kita dengan sebenar-benarnya kepada Allah SWT dan menjaga akidah kita daripada terpesong jauh dari landasan yang digariskan oleh Allah SWT.

Sehubungan dengan ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 41:


Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan i’tiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam Al-Qur’an ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar.”


Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, kelmarin memberi amaran, apa yang berlaku sekarang pihak tertentu cuba menilai kandungan khutbah dari sudut bertentangan dengan mesej yang cuba disampaikan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Nilai keseluruhan kandungan khutbah, bukan mengambil satu topik yang kemudian dimanipulasi untuk kepentingan politik.

Tindakan itu menggugat ketenteraman awam dalam negara majmuk seperti Malaysia,” katanya. Mohamad Shukri berkata, tindakan pihak yang tidak menghormati amalan beragama itu seharusnya dihentikan segera kerana dibimbangi menggugat keharmonian kaum yang wujud sejak sekian lama.

Kandungan teks khutbah Jumaat tidak terkeluar daripada topik peringatan kepada umat Islam termasuk mengamalkan ajaran agama serta menjauhi larangannya dan tiada ayat yang menggalakkan persengketaan dengan penganut agama lain.

“Jelas sekali khutbah menyampaikan mesej yang baik bukan saja kepada umat Islam, malah penganut agama lain… malangnya ada pihak tertentu yang melihat dari sudut pandangan negatif iaitu lain yang kita tegakkan, lain pula yang mereka nampak,” katanya.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, menjelaskan,  asas paling penting untuk disampaikan dalam teks khutbah adalah umat Islam perlu bersatu padu dan hidup dalam keadaan harmoni.

Khutbah disediakan sebagai peringatan dan didikan khusus untuk umat Islam.

Dalam menyediakannya JAKIM merujuk nas al-Quran sebagai sumber, pegangan dan sandaran khutbah.

Amat jelas ia bukan mengajak ke arah permusuhan tetapi menuntut persefahaman dan saling mnghormati antara satu sama lain.

ISU PKNS - ANWAR TUDUH MEDIA FITNAH KHALID SERANG AZMIN...


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar menegaskan semalam, isu penamatan perkhidmatan pekerja kontrak anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak akan mengganggu kempen pilihan raya kecil (PRK) Kajang kerana ia bukan isu politik.

Katanya, setelah mendapat penjelasan dari pihak terlibat termasuk Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan wakil kakitangan kontrak itu Dr Alif Aiman Abdullah, beliau menganggap isu itu tiada kena mengena dengan perseteruan Khalid dengan pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali.

"Saya periksa semua media terrmasuk TV3 dan mendapati Tan Sri (Khalid) tidak pernah menyebut atau merujuk kepada Azmin. Ini soal pentadbiran korporat," kata Anwar kepada media di Kajang semalam.

Rupa-rupanya Anwar takut isu ini akan menjadi 'duri dalam daging' kepadanya.

Sebaliknya melalui satu kenyataan semalam, Azmin dilaporkan berkata bahawa Abdul Khalid sepatutnya menarik balik surat penamatan kontrak dan meminta maaf kepada kakitangan terlibat.

Anwar cuba menegakkan benang basah apabila isu antara Khalid dan Azmin dimainkan oleh media Umno semata. Malah katanya, beliau akan berbincang dengan semua yang terlibat bagi mencari penyelesaian yang baik.

 "Kerana kena waspada mainan media Umno. Yang kata Tan Sri Khalid serang (Azmin) tidak ada. Jangan beri reaksi kepada media fitnah." "Saya lebih nak tumpu soal kakitangan (yang terlibat) dan tangani dgn baik," katanya.

Khalid kelmarin  mendakwa kakitangan yang dipecat tersebut bergaji tinggi dan mempunyai kerja yang bertindih dengan kakitangan tetap PKNS.

Mereka juga didakwa diambil bekerja tanpa temuduga dan dengan persetujuan lembaga pengarah PKNS yang turut dianggotai oleh Khalid dan Azmin sendiri.

Baca ulasan berikut untuk mengetahui kenapa Anwar cuba menepis dakwaan bahawa beliau yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semakin kehangatan gara-gara isu pemberhentian pekerja PKNS itu.

PERANG KHALID-AZMIN - ANWAR AKAN TERIMA AKIBAT PADA PRK KAJANG



"Rakyat Selangor kini memerhati dengan serius pertelingkahan di kalangan pemimpin PKR yang semakin ketara khususnya menjelangnya pemilihan PKR April nanti...hukuman awal ialah mengalahkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di PRK berkenaan."

Ternyata rakyat Selangor semakin meluat dengan pertelingkahan kerajaan dengan pemimpin parti dalam PKR, selain isu pemecatan kakitangan kontrak PKNS yang dianggap zalim.

Pertelingkahan ini akan menjadi ‘barah’ kepada pakatan pembangkang dalam usaha mereka mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan 23Mac depan.

Malah, rakyat Selangor kini memerhati dengan serius pertelingkahan di kalangan pemimpin PKR yang semakin ketara khususnya menjelangnya pemilihan PKR April nanti.

Sejauh mana rakyat Selangor akan membiarkan keadaan itu berterusan dan apakah mereka – khususnya di Kajang – akan melakukan satu hukuman awal  iaitu mengalahkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di PRK berkenaan.

Semalam perang mulut terus berlaku apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Selangor memandang serius dakwaan kononnya Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali terlibat dalam pengambilan pekerja kontrak di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB).

Pekerja kroni kepada Azmin?

Menurut beliau, pihaknya akan mendedahkan kepada umum hasil siasatan yang mengaitkan Mohamed Azmin yang juga bekas ahli lembaga pengarah PKNS yang digugurkan sebelum ini.

Selasa lalu PHSB memecat 22 kakitangannya, tanpa sebarang sebab munasabah, dengan notis 24 jam berkuat kuasa Isnin lalu.

Kesemua kakitangan PHSB, yang juga anak syarikat PKNS, menerima surat penamatan kontrak itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan selepas hadir bekerja seperti biasa.

"Pasa masa ini saya andaikan dakwaan itu tidak benar, tapi saya akan siasat. Jika ia benar, kita perlu dedahkan...kalau tak benar pun kita perlu dedahkan. Walaupun hal berkaitan PKNS adalah sulit, tapi saya boleh beri arahan supaya kertas-kertas sulit berkaitan (jika ada) supaya didedahkan kepada umum," katanya pada sidang media di Bangunan SUK di Shah Alam semalam.

Kini wujud dakwaan bahawa Mohamed Azmin terlibat dalam pelantikan kakitangan PHSB yang dibuat tanpa mengikut prosedur  perjawatan dan menerima gaji yang tinggi.

Amalan tanpa telus dan pilih kasih?

Selain itu Azmin yang sebelum ini turut digugurkan daripada ahli lembaga pengarah PKNS menggesa Khalid selaku pengerusi perbadanan itu membatalkan pemecatan 22 kakitangan PHSB itu.

Malah pelantikan pekerja kontrak juga menyebabkan berlakunya pertindihan tugas dengan kakitangan tetap sedia ada.

Tidakkah ini pembaziran?

Kesemua kakitangan PHSB, yang juga anak syarikat PKNS, menerima surat penamatan kontrak itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan selepas hadir bekerja seperti biasa. Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Amat nyata kini konflik terbuka dua pemimpin utama PKR Selangor makin berpanjangan apabila Azmin menyifatkan Khalid bertindak melanggari undang-undang dalam isu penamatan kontrak 22 kakitangan PHSB itu.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mendakwa Khalid menggunakan PKNS sebagai 'senjata politik' terhadap musuh politiknya.

"Pemecatan secara tiba-tiba kakitangan PHSB di bawah perintah Menteri Besar bukan sahaja melanggar undang-undang pekerjaan tetapi terlalu tidak berperikemanusiaan. Demi kepentingan keadilan dan tadbir urus yang baik, Tan Sri Abdul Khalid mesti berhenti menggunakan PKNS sebagai senjata peribadi terhadap pesaing politiknya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Azmin: "Ia benar-benar bercanggah dengan prinsip yang didukung oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bahawa semua pekerja perlu dilayan dengan bermaruah. Saya menyeru pihak berkenaan membatalkan dengan segera surat pemecatan dan meminta maaf kepada rakyat Selangor berhubung tindakan yang tidak bertimbang rasa ini," katanya.

Khalid yang juga Pengerusi PKNS berkata, beliau boleh mencadangkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi menjalankan sesi pendengaran awam menyiasat pelbagai dakwaan dan spekulasi termasuk yang mengaitkan Azmin.

"Saya boleh cadangkan tapi ia terpulang kepada DUN untuk membuat pendengaran...boleh memanggil orang-orang yang membuat cerita tersebut supaya dapat berikan penerangan. "Dengan cara itu pengurusan di PKNS adalah telus dan bertanggungjawab," katanya.

Persoalan timbul ialah apakah isu ini akan memberikan kelebihan awal kepada Barisan Nasional apabila rakyat Selangor, khususnya di Kajang mulai sedar bahawa kerajaan pakatan pembangkang sebenarnya bukanlah bersih, berkebajikan dan berintegriti seperti yang dilaung-laungkan.

Ia juga menggambarkan betapa di sebuah negeri pun pemimpin PKR gagal membuktikan kecekapan dan ketelusan yang dilaung-laungkan, inikan pula jika Putrajaya berjaya di kawal oleh mereka.

Tidak mustahil pertelingkahan dan amalan mementingkan kroni, tidak telus serta pembaziran akan berlaku jika mereka dipilih untuk memerintah kerajaan pusat.

Yang nyata tuduhan liar dan sindiran yang dibuat oleh pembangkang selama ini kini semakin terserlah selepas diberikan keyakinan oleh rakyat untuk memerintah. Kini rakyat boleh melihat dan menilai sendiri bagaimana perebutan kuasa, mementingkan kroni, pembaziran serta unsur-unsur rasuah berleluasa dalam kerajaan pakatan pembangkang di Selangor.

Tunggu apa lagi wahai rakyat Selangor...Bangkitlah!

Friday, February 7, 2014

LUMUR DARAH AYAM, TAWARAN TAMPAR TERESA KOK PERNYATAAN KEMARAHAN MELAYU ISLAM


"Ia adalah simbolik peristiwa berdarah, bermakna kita beri amaran kepada Teresa Kok supaya jangan cetuskan peristiwa yang menggugat keamanan dan perasaan orang Melayu. Darah ini maknanya peristiwa 13 Mei... faham-fahamlah,"

Kenapa sekumpulan NGO yang menggelarkan diri mereka 'Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia' semalam menyembelih empat ekor ayam dan melumur darahnya pada kain rentang yang tertera gambar pemimpin DAP dan PKR?

Juga kenapa mereka menawarkan RM500 kepada sesiapa yang sanggup menampar mulut Ahli Parlimen Seputeh, Tereka Kok yang celupar itu?

Kenapa tidak ada kejadian seperti itu sebelum ini?

Apakah mereka perkauman dan gila publisiti? Apakah kerana itu mereka akan ditahan dan disiasat polis sementera mereka yang menyebabkan timbulnya kemarahan itu lepas dan bebas?

Malaysiakini yang membuat laporan itu mengatakan tindakan itu dibuat dalam perhimpunan yang dinamakan 'Bantahan penghinaan terhadap kepimpinan Melayu, Yang di-Pertuan Agong, dan agama Islam serta maruah Melayu' oleh segelintir ahli politik yang didakwa cauvinis Cina.

Apa dia?

'Bantahan penghinaan terhadap kepimpinan Melayu, Yang di-Pertuan Agong, dan agama Islam serta maruah Melayu' oleh segelintir ahli politik yang didakwa cauvinis Cina.’


Ia berlangsung berhampiran Jalan Tun Perak berdekatan Puduraya, petang semalam. Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 30 peserta itu merupakan reaksi kepada video Tahun Baru Cina yang dilakonkan Teresa dengan tajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014' dan flashmob oleh Khai Loon di Pulau Pinang.

Flashmob tersebut menyaksikan sayur kangkung disumbat ke dalam mulut patung kayu dengan karikatur menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi membantah kenaikan harga barang baru-baru ini.

Selain itu satu tawaran dengan ganjaran RM500 buat mana-mana individu yang berjaya menampar Teresa Kok dan merakamkannya.

Tawaran itu dibuat aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mustafa Hamzah yang menjadi pengacara majlis demo ringkas perikatan NGO itu berhampiran Jalan Tun Perak, tengahari semalam.

"Pada mereka yang sanggup menampar Teresa Kok akan diberikan ganjaran RM500.Ganjaran ini akan diberikan secara tunai kepada pemuda-pemuda yang berani mempertahankan tanahair. Ganjaran ini akan dikumpul dari NGO Jemaah Islam Malaysia," katanya penuh bersemangat.

Sebahagian peserta himpunan sebelum itu memegang poster dengan gambar ayam yang kepalanya diganti dengan kepala Teresa Kok.

Poster itu menawarkan ganjaran RM500 kepada individu pertama yang berjaya menampar Kok dan merakamkannya sebagai bukti.


Mustafa mengacarakan perhimpunan itu mengetuai laungan, "Jahanam Teresa Kok!" sebanyak enam kali dan disambut oleh peserta-peserta lain. Ia disusuli pula dengan laungan "Petualang mesti dihancurkan dari bumi bertuah ini!" yang turut diulang oleh peserta-peserta lain

Tawaran luar biasa itu dipercayai dibuat sebagai reaksi kepada video Tahun Baru Cina yang dilakonkan Kok dengan tajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014'. Kok memainkan watak sebagai hos dalam acara bual bicara dengan menemuramah panel pakar tentang apa yang diharapkan dalam Tahun Kuda.

Mereka yang melakonkan pakar itu ialah - Brother Wai, lelaki mudah tersentuh dan mengalirkan air mata; Puan Jit, wanita gemuk berambut besar yang suka barang kemas dan beg tangan, dan Cik Yan Yan, pakar dalam pelancongan dan Feng Shui.

Nasihat pakar-pakar tersebut antaranya melibatkan beberapa isu termasuk keselamatan, kekayaan, pendidikan dan ekonomi, menjadi topik dengan anekdot biasa kepada rakyat Malaysia

 Antara lain, merujuk kepada cincin berlian, beg tangan berjenama dan hartanah di New York dan juga beberapa bahan berita lain yang berkaitan pelancongan dan pendidikan vernakular.

Perhimpunan ringkas itu turut disertai beberapa NGO pro-Islam lain dan wakil-wakil mereka turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan.

Pengerusi Angkatan Perpaduan Islam Sejagat Malaysia (API), Datuk Seri Aziz Nani menggesa pihak berkuasa bertindak ke atas Teresa Kok jika tidak mahu mereka bertindak sendiri.

"Ini semua NGO Islam, seandainya pihak berkuasa gagal bertindak terhadap Teresa Kok, kami sendiri akan bertindak seperti yang perlu pada Teresa Kok," katanya tegas.

Wakil penganjur, Zulkifly Sharif dari Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) yang berucap sewaktu ayam-ayam itu disembelih berkata mereka yang wajahnya ada pada poster tersebut cuba memanipulasi kenaikan harga barang baru-baru ini.

"Kenaikan harga barang seperti yang dihebohkan sekarang ini adalah satu jenis propaganda bagi memburukkan kepimpinan Melayu. "Mereka cuba mencetus kebencian dan memperkotak-katikkan kepemimpinan Melayu agar rakyat membenci dan menghina kepimpinan Melayu.

"Kami amat terkejut dengan tindakan pelampau Cina dan Kristian ini yang melakonkan imej pemimpin Melayu disumbat mulutnya dengan kangkung yang mana pemimpin-pemimpin ini telah dipilih secara demokrasi oleh rakyat Malaysia," katanya. 


Pemimpin yang wajahnya terdapat pada kain rentang pembantah adalah:

1. MP Seputeh, Teresa Kok,

2. MP Gelang Patah, Lim Kit Siang,

3. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP, dan

4. ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dari PKR.

Mencuri perhatian di antara peserta himpunan NGO pro-Melayu itu adalah seorang lelaki Tionghua dikenali sebagai Sunny Goh.

Memegang jawatan sebagai pengerusi perhubungan hal ehwal masyarakat Cina bagi Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib), Goh menggesa pemimpin DAP agar berhenti "membuat kecoh".

"Saya bernama Mr Goh, saya mewakili rakyat Malaysia, rakyat Cina tak kira bangsa, saya minta pemimpin pembangkang jangan buat kecoh.  Di negara-negara lain tak aman, di Malaysia sahaja aman. Saya mewakili Cina Malaysia dan seluruh masyarakat Malaysia berharap agar parti politik Cina tolonglah jangan cetuskan kekecohan yang tak perlu," katanya

Sebelum itu, beberapa peserta turut bertindak memijak kain rentang dengan wajah pemimpin itu.

Di akhir perhimpunan, penganjur mengedarkan lebih dua raga sayur kangkung kepada peserta himpunan dan orang ramai yang hadir pada majlis itu.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Zulkifly berkata tindakan menyembelih dan melumur darah ayam itu adalah simbolik kepada "peristiwa berdarah" 13 Mei 1969.

"Ia adalah simbolik peristiwa berdarah, bermakna kita beri amaran kepada Teresa Kok supaya jangan cetuskan peristiwa yang menggugat keamanan dan perasaan orang Melayu. Darah ini maknanya peristiwa 13 Mei... faham-fahamlah," katanya.

NGO-NGO lain yang turut serta dalam perhimpunan itu adalah Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah (Pekida), Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), serta Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).