Wednesday, April 14, 2010

ZAID IBRAHIM – PAS SANGGUP PEJAM MATA?

Saya tidak terkejut dengan pengumuman Datuk Zaid Ibrahim, 59, sebagai calon pakatan pembangkang bagi Parlimen Hulu Selangor.

Bagaimanapun saya terkejut apabila ada blog proPAS begitu membangkang pemilihan Zaid sebagai calon dan menyatakan tidak akan bekerja untuknya.

Bukan sekadar itu blog proPAS ini pergi lebih jauh dengan mengatakan Zaid tidak wajar disokong.

Kenapa? Antaranya ialah kerana Zaid dikatakan pewain tegar serta beberapa sebab lain termasuk soal hudud dan juga pendirian Zaid mengenai Islam.

Zaid yang dilahirkan pada 10 April 1951 di Kota Bharu adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas kapasiti senator yang pernah mencetuskan kontroversi apabila bertindak melepaskan jawatannya pada 15 September 2008.

Beliau melakukannya selepas beberapa bulan sahaja dilantik sebagai menteri ekoran tidak dapat menerima penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pengamal media, orang awam dan ahli politik.

Dalam memperjuangkan isu-isu seperti ISA, Zaid di antara tokoh pemimpin UMNO yang paling berani apabila mengirim surat terbuka kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Badawi di samping mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan akta tersebut.

Pada 3 Disember 2008, beliau dipecat daripada UMNO ekoran beberapa tindakannya termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang dan menyalahi peraturan parti. Antaranya dilaporkan pernah menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam.

Justeru Zaid menyertai PKR di Bangi, Selangor pada 13 Jun 2009.

Zaid secara rasmi semalam dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mewakili pembangkang disifatkan sebagai tokoh yang telah teruji, menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mana ada menteri UMNO yang sanggup letak jawatan untuk pertahankan hak rakyat,” ujarnya yang mengumumkan Zaid sebagai calon PR dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini. Pengumuman itu dibuat pada jam 11.00 malam semalam i di hadapan kira-kira 5,000 orang yang memenuhi Dewan Komuniti Serendah dan pekarangannya.

Anwar menyifatkan Zaid sebagai serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia dalam memperjuangkan isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman.

Sepanjang penglibatan Zaid bersama PKR, beliau dilihat sebagai tokoh amat komited dalam usaha merangka dasar bersama PR sehingga berjaya merapatkan lagi jurang pakatan yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Zaid yang berucap selepas diberikan laluan oleh Anwar pula berkata, beliau menyedari dan menginsafi amanah yang dipikul itu sangat berat. Menurutnya: “(Tuan Guru) Nik Aziz sewaktu bercakap dengan saya minta kita semua bekerja untuk umat. Saya bukan asing di Selangor, saya tahu masalah orang Selangor, saya tahu masalah orang Hulu Selangor. Saya boleh menjadi suara untuk semua rakyat di sini.”

Kelmarin, sebuah blog proPAS mengatakan pihaknya tidak dapat menyokong Zaid kerana tiga sebab berikut:

1. Zaid Ibarahim adalah berfahaman sekular yang tegar.

2.Zaid Ibrahim pernah menyaman hudud Kelantan dan Terengganu.


3. Zaid Ibrahim adalah peminum wain yang tegar.

Menurut penggendali laman itu, walaupun sebelum ini mereka tidak pernah lekang dengan pilihan raya kecil membantu pembangkang, tetapi untuk ke Hulu Selangor tidak sekali-kali.

Berdasarkan apa yang dikatakan oleh blog berkenaan, adalah aneh apabila Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang turut hadir pada majlis memperkenalkan calon semalam begitu bersemangat menyokong Zaid.

Malah menurut Hadi yang turut berucap pada majlis itu menegaskan parti itu memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon PR yang ditonjolkan PKR itu.

“Saya mengarahkan seluruh jentera PAS seluruh kawasan Hulu Selangor turun padang dan bekerja keras. Calon yang dipilih adalah yang terbaik untuk bawa suara rakyat ke parlimen.

“Pilihan raya kecil ini medan rakyat untuk tegur kerajaan, rakyat perlu jadi hakim,” ujarnya.

Apakah Hadi lupa apa yang pernah dilakukan oleh Zaid? Apakah Zaid sudah bebas dan terlepas daripada ‘dosanya terhadap PAS”?

Dan jika benar tuduhan blog berkenaan bahawa Zaid adalah pewain tegar, apakah Hadi yakin Zaid adalah ‘calon terbaik’?

Sehari selepas menimbulkan pertanyaan terhadap peribadi Zaid, blog proPAS berkenaan menegaskan, tugas memilih calon sama ada dalam pilihan raya kecil atau pilihan raya umum adalah satu amanah yang dipertanggungjawab kepada pengundi. Semesti apa yang diundi akan dihitung di akhirat kelak. Ianya bukanlah sekadar main-main atau seronok-seronok begitu sahaja.

“Setiap pengundi yang mengundi calon pilihan mereka tentu sekali ada hujah dan terbaik buat mereka ketika memangkah itu, kecuali undi-undi yang telah dibeli tanpa maruah,” katanya.

Bagaimanapun, mungkin selepas menerima reaksi atau komen-komen pedas, blog proPAS berkenaan berlembut sedikit apabila mengatakan: “Bagi saya, sekiranya ada pilihan di dalam memilih dua calon yang bertanding, iaitu satu yang ketagih arak tegar dengan satu yang nampak baik tetapi hakikatnya bersama kerajaan yang meluluskan kilang arak itu sendiri maka saya lebih berminat untuk memilih yang peminun tegar itu tadi.

Pun begitu saya tetap berdoa situasi tersebut tidak berlaku keatas diri saya didalam membuat pilihan. Peminun arak itu tetap berdosa keatas diri beliau seorang kerana kesalahan meminum arak, beliau tidak mengajak atau membuka ruang kepada orang lain untuk bersama-sama mentekedarah minuman haram itu. Sementara seoarang lagi calon yang bersekongkol bersama-sama dengan kerajaan yang meluluskan pembinaan kilang dan mengeluarkan lesen mengimpot arak dari luar negeri.”

Katanya lagi: “Apabila membuka kilang untuk mengeluarkan arak sudah semesti menghasilkan arak yang banyak untuk minuman orang ramai. Maka ianya telah membuka ruang, bersubahat didalam menghasilkan arak itu sendiri. Hasil undi yang kita pangkah dengan tangan kita yang memegang pensil itulah calon yang menang telah bersama-sama kerajaan yang meluluskan lesen arak. Kita subahat sama di dalam membuka ruang pembinaan kilang arak tersebut.”

Mungkin merujuk kepada Zaid, blog berkenaan mengatakan: “Sedangkan sekiranya memilih peminum tegar tadi, beliau dibuka hidayah oleh Allah untuk bertaubat maka selesailah untuk diri beliau. Namun bagi pembina kilang tadi ianya telah menyediakan atau menyajikan minuman haram tersebut kepada orang ramai. Menggalakan rakyat dengan membuka kilang dan mengimpot arak dari luar itu lebih besar mudaratnya,”

Persoalannya di Hulu Selangor itu, apakah tidak ada Melayu-Islam lain yang lebih layak daripada Zaid?

Bukankah sebelum ini banyak nama dikemukakan dan apakah Zaid begitu layak hingga dipersetujui sebulat suara.

Baca entri berikut:

Ini mungkin PRK Pertama Kami tak Hadir

12 April 2010 Semenjak Pilihanraya umum ke 12 Mac 2008, sudah beberapa kali pilihanraya kecil diadakan. bermula dengan parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu,Penanti, Bukit gantang, Bukit Selambau, Permatang Pasir, manik Urai dan Bagan Pinang.

Kesemua pilihanraya kecil tersebut samada Dun atau parlimen kami sempat menjenguknya.



Misalnya di Permatang Pauh, sebaik selesai Muktamar Pas ke-54 di Ipoh kami terus ke Permatang Pauh. Begitu juga di Bukit Selambau, walaupun semua pertugas Terengganu diarahkan ke Bukit Gantang, kami sempat menjenguk 2 hari di Bukit Selambau.

Sementara di Bagan Pinang, kami berada agak lama sedikit dari tempat lain dan gerakjerja juga lebih kuat dan tersusun. Kini Pilihanraya Kecil datang lagi, ianya di parlimen Hulu Selangor, sempadan dengan Tanjung Malim Perak, dulu dikenali sebagai Parlimen Kelumpang.

Kerusi ini adalah kerusi PKR, tidak boleh tidak ianya mestilah diserahkan kepada PKR. Kecuali ada seseuatu yang diluar jangka. PKR sendiri dikhabarkan akan meletakkan Zaid Ibrahim sebagai calon. Saya bukanlah jenis yang berselindung-selindung.

Terus terang secara jujur saya katakan bahawa mungkin inilah pilihanraya kecil selepas PRU 12 yang saya tidak akan hadir sekiranya sah Zaid Ibarhim sebagai calon PKR.

Saya ada 3 sebab sendiri yang membuatkan saya tidak akan turut sama didalam PRK tersebut:


1. Zaid Ibarahim adalah berfahaman sekuler yang tegar.

2.Zaid Ibrahim pernah menyaman hudud kelantan dan Terengganu.

3. Zaid Ibrahim adalah peminum wain yang tegar.


Mungkin ada pengunjung dan pembaca yang tidak dapat menerima alasan saya, terserah kepada anda, saya juga tidak bercadang untuk mempengaruhi anda supaya sama sama tidak ke PRK tersebut, ini cumalah luahan saya.

Selamat maju jaya, Berjuanglah kerana untuk mencari redha Allah, bukannya redha manusia. Selamat berPRK.

MUFTI WAJAR TENTUKAN FUNGSI JK KHAS MENGENAI AGAMA

Saya juga fikir penjelasan mufti adalah jalan terbaik mengenai fungsi jawatankuasa khas mengenai agama.

Walaupun jawatakuasa khas yang dipengerusikan oleh bekas Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Ilani Ishak mendapat kelulusan Kabinet demi mewujudkan keharmonian dan persefahaman antara agama, fungsinya perlulah jelas.

Ia juga perlulah mengambil kira sensitiviti umat Islam dan Jawatankuasa Fatwa Negeri.
Kerana itu saya mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa satu perjumpaan khas dengan semua mufti akan diadakan dalam masa terdekat bagi menerangkan fungsi sebenar jawatankuasa berkenaan.

Selain mengambil kira pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri, penjelasan Muhyiddin itu jelas menunjukkan bahawa jawatankuasa itu penting kepada kerajaan, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Berikutan itu Timbalan Perdana Menteri menafikan laporan sebuah portal berita propembangkang yang sengaja menonjolkan pandangan pihak yang berkepentingan sedangkan Muhyiddin langsung tidak mengatakan sedemikian.

“Laporan dalam Malaysiakini memuatkan kononnya saya menyebut ‘small fry’ (tidak penting) terhadap jawatankuasa itu. Saya langsung tidak menyebut perkataan tersebut. Saya percaya pihak berkenaan mempunyai kepentingan tertentu sehingga mereka meletakkan saya menggunakan perkataan tersebut terhadap jawatankuasa berkenaan, “ katanya.

Mengenai jawatankuasa khas mengenai agama itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak baru-baru ini mengambil ketetapan sebulat suara membantah kelulusan Kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa itu.

Kelmarin (12 April 2010) Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan dukacita terhadap kelulusan jawatankuasa khas itu berkata, ia bukan medium yang sesuai kerana dibimbangi wujud tuntutan tidak munasabah dalam kalangan penganut agama lain.

Harussani bimbang kewujudannya adalah rentetan daripada kegagalan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama yang telah ditentang dan ditolak umat Islam. Keputusan menolak penubuhan jawatankuasa khas itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 6 hingga 8 April lalu.

Jawatankuasa Fatwa Perak menganggap perbincangan tentang agama Islam tidak memerlukan campur tangan bukan Islam kerana ia boleh mengundang implikasi negatif. Ini kerana setiap agama yang wujud tidak boleh disamakan dengan agama Islam yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam (Ali Imran: 19).


Selain itu, jelas Harussani, setiap orang Islam juga berkewajipan memelihara agamanya daripada sebarang anasir yang boleh merosakkannya. Menurutnya lagi, walaupun sebarang bentuk rundingan atau dialog berhubung agama dibolehkan, namun ia patut dielakkan sama sekali apatah lagi jika rundingan itu dilakukan di kalangan masyarakat umum yang lebih mengundang ketidakfahaman terhadap mereka.

Kerana itu,sebarang bentuk dialog yang boleh mencemar dan menjatuhkan imej dan kesucian Islam hendaklah dielakkan. Ia bertepatan dengan kaedah fikah itu sendiri iaitu membendung kerosakan diutamakan daripada menarik kemaslahatan.

Berikutan itu, Jawatankuasa Fatwa Perak mencadangkan supaya penubuhan jawatankuasa khas antara agama tidak sahaja dirujuk kepada Kabinet untuk tujuan kelulusan tetapi juga kepada Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa tertinggi terhadap agama Islam.

Selain Jawatankuasa Fatwa Perak, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa mufti dan alim ulama di seluruh negara mengeluarkan fatwa serta pandangan berhubung penubuhan jawatankuasa khas tersebut.

Perkasa bimbang kewujudannya akan meletakkan agama Islam setaraf dengan agama lain sedangkan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi negara.

Muhyiddin sebaliknya menjelaskan semalam jawatankuasa yang ditubuhkan baru-baru ini, berbeza dengan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan Majlis Antara Agama yang telah ditolak kerajaan sebelum ini.

Jawatankuasa ini hanyalah sebuah badan di peringkat pentadbiran bagi berbincang mengenai usaha untuk mengukuhkan perpaduan.

Ia termasuk berbincang mengenai usaha untuk meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama dan ia terletak di bawah Panel Perpaduan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri.

Jawatankuasa itu tidak akan membincangkan perkara-perkara berkaitan tuntutan agama sebaliknya ia adalah satu ruang kepada semua pihak untuk berbincang dan berusaha memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Dengan kata lain, jawatankuasa itu tidak akan mengambil sebarang tindakan, semua cadangan akan diserahkan kepada kerajaan dan kerajaan akan menilainya.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hendaklah mengambil langkah segera untuk mengadakan perjumpaan tersebut.

Penerangan itu bagi menjelaskan peranan jawatankuasa berkenaan yang sebenarnya tidak mencampuri urusan pokok agama Islam.

Jelas sekali tindakan segera terhadap bantahan yang timbul terhadap pembentukan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama yang diumumkan kerajaan sebelum ini mendapat reaksi spontan apabila perkara itu akan dibincangkan bersama semua mufti negeri hari ini.

Tindakan segera ini akan menjadikan satu muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang secara kebetulan dijadualkan hari ini akan digunakan sebagai platform untuk membincangkan persoalan yang timbul mengenai jawatankuasa khas berkenaan.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin berkata, muzakarah ini akan turut membincangkan pelbagai perkara lain yang melibatkan umat Islam di negara ini.

Tuesday, April 13, 2010

HULU SELANGOR - PERTEMBUNGAN ZAID-PALANIVEL TIDAK BERLAKU?

Pada 2 April lalu Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel berkata dialah satu-satunya pemimpin yang dinamakan oleh MIC untuk dinilai oleh Perdana Menteri sebagai calon pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Menurutnya, beliau yang satu-satunya dinamakan oleh MIC kerana beliau adalah Ketua Bahagian MIC Hulu Selangor, selain Pengerusi MIC Selangor disamping Timbalan Presiden MIC.

Beliau juga adalah bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) selama empat penggal di situ sehingga dikalahkan pada pilihan raya umum Mac 2008.

Lagi pun pada pilihan raya lalu Palanivel kalah tipis iaitu 198 undi sahaja.

Hampir 53 peratus atau 34,020 daripada 64,500 pemilih berdaftar adalah pengundi Melayu manakala kaum Cina dan India masing-masing terdiri 16,964 pengundi (26.3 peratus) dan 12,453 pengundi (19.3 peratus).

Semua kata-kata ini untuk menyokong beliau sebagai paling layak untuk diumumkan sebagai calon yang akan dibuat lusa (Khamis).

Sementara bagi pembangkang, hari ini adalah pengumuman calon mereka untuk bertanding yang akan diadakan pada satu majlis yang akan berlangsung di pusat komuniti Serendah jam 8.30 malam ini.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir pada pengumuman itu selain Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng. Turut dijadualkan hadir ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, naib presiden PKR Azmin Ali, setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution dan ahli parlimem Bukit Gantang dari PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon pada 17 April dan pengundian pada 25 April.

Teka-teki siapa akan menjadi calon BN dan pembangkan pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor semakin menarik.

Cuma aneh sedikit pembangkang mengatakan mereka akan meletakkan Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding jika Palanivel bertanding.

Masalahnnya, pengumuman oleh BN akan hanya dibuat lusa.

Persoalannya juga apakah Zaid akan berputih mata jika BN umumkan orang lain selain Palanivel?

Rasa-rasanya hasrat Zaid untuk bertanding pilihan raya kecil Hulu Selangor akan berkecai.
Berasaskan kenyataan Parti Keadilan Rakyat bahawa Zaid akan diturunkan jika Palanivel bertanding jelas tidak akan mendatangkan berita baik untuk Zaid.

Ini kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menegaskan bahawa calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini adalah anak tempatan.

Selain Palanivel, nama lain yang disebut-sebut ialah Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor K. Balasundram, Setiausaha Agung MIC S. Murugesan, Ketua Pemuda MIC bahagian itu V. Mugilan, Anggota Jawatankuasa MIC Hulu Selangor, K. Arunasalam, Ketua Penerangan MIC kebangsaan P. Kamalanathan dan bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam.

Mugilan dan Subramaniam dikatakan calon popular kerana kedua-duanya merupakan anak tempatan, masing-masing berasal dari Ladang Kerling dan Ladang Lima Belas, Hulu Selangor.

Apa yang pasti, seperti kata Muhyiddin, individu yang terpilih adalah terjemahan "denyut nadi" rakyat di kawasan itu bagi memastikan kerusi itu kembali ke tangan BN.

Dalam konteks MIC, jelas sekali Palanivel mempunyai ‘pengaruh’ yang besar apabila beliau mampu untuk menakut-nakutkan calon lain daripada bahagian itu.

Kenyataan Mugilan umpamanya menunjukkan beliau ‘tidak sanggup mengambil risiko’ untuk membuat kenyataan awal mengenai kemungkinan beliau dicalonkan.

Ini kerana Mugilan menafikan khabar beliau berminat menjadi calon atau mahu dicalonkan oleh MIC sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu.

UMNO bahagian itu dikatakan mahu Mugilan yang lahir di Ladang Kerling bertanding di situ kerana beliau disukai oleh penduduk di kawasan itu, termasuk orang-orang Melayu.

"Beliau (Mugilan) bermula dari bawah. Beliau seorang peramah dan suka membantu orang ramai pada peringkat akar umbi. Beliau juga rapat dengan budak-budak Melayu di kawasan ini," kata satu sumber UMNO.

Mengenai desakan Umno bahagian itu Mugilan berkata, "Palanivel adalah mentor saya dan saya bersetuju sekiranya Palanivel dipilih sebagai calon.”

Kata Mugilan, khabar itu sengaja disebarkan untuk menggugat mentornya, Palanivel, yang sudah dipersetujui MIC sebagai calon.

Beliau yang juga ketua MIC Hulu Selangor menegaskan beliau berdiri teguh di belakang Palanivel, yang membawanya ke dalam MIC dan menyokongnya.

“Saya penyokong setia. Tidak ada usaha melobi kerusi berkenaan, katanya.
Lebih hebat beliau berkata: “Jika Palanivel tidak mendapat kerusi itu, saya akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Pemuda MIC dan Ketua Pemuda Hulu Selangor.” Mugilan berkata beliau akan menjamin Palanivel memang pilihan raya itu untuk merampas kembali kerusi berkenaan.

Bagi Muhyiddin pula, senarai calon sudah hampir disenarai pendek tetapi Muhyiddin enggan mengulas mengenai bilangan calon BN itu.

"Kita ada beribu tokoh di Hulu Selangor, hampir-hampir nak shortlist. Dalam tempoh tiga hari lagi akan tahulah... (calon) dari Hulu Selangor. Insya-Allah daripada orang tempatanlah," katanya selepas menyampaikan geran permulaan prasekolah swasta Kementerian Pelajaran di Bandar Sungai Buaya di Rawang semalam.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden UMNO dan timbalan pengerusi BN berkata banyak faktor yang diambil kira dalam menentukan calon termasuk latar belakang, kelayakan dan boleh bekerjasama dengan pemimpin.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil kira semua maklumat dan maklum balas yang diterima daripada penduduk Hulu Selangor sebelum memutuskan calon yang sesuai.

BN sudah mendengar pelbagai pendapat dan Muhyiddin yakin calon yang dipilih adalah terbaik yang boleh memastikan kemenangan BN. “Kita di sini pun ada input daripada pelbagai sumber, jadi kita tahu apa kehendak pengundi di sini, yang mana yang rakyat mahukan," katanya.

Soal penting ialah yang rakyat mahukan dan mampu menjalankan amanah sebagai wakil mereka, tidak ada skandal, latar belakang yang berkelayakan dan berkelulusan tinggi, yang boleh bekerjasama dengan pemimpin di bawah.

Juga penting ialah mampu melaksanakan program-program pembangunan sosio ekonomi, tegas Muhyiddin.

Berasakan kepada anak tempatan, diyakini penuh bahawa Palanivel tidak akan tersenarai dan jika Palanivel tidak tersenarai, apakah PKR akan meletakkan orang lain selain Zaid?
Seorang lagi nama yang disebut ialah pakar bedah saraf, Dr Halili Rahmat.

Pilihan raya kecil kawasan itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat Datuk Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Persoalannya jika benar Palanivel tidak dicalonkan, apakah beliau akan terus menyumbangkan kudratnya untuk memenangkan calon BN yang datangnya dari MIC Hulu Selangor?

Apakah jentera MIC akan berfungsi pernah pada ketika UMNO dan MIC selain komponen lain bekerja keras untuk merampas kerusi berkenaan?

DOAKAN SULTAN KELANTAN CEPAT SEMBUH

Rakyat semakin memerhati. Sesetengahnya gelisah.

Namun yang penting doakan supaya Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pulih.

Mengejutkan juga membaca “Step Down: Says Ku Li - Acting Kelantan Sultan ‘must relinquish post to his father”, demikian lapor The Star semalam, 12 April 2010.

Saya tidak pasti apakah tajuk yang memetik Tengku Razaleigh Hamzah itu sesuai atau kata-kata separuh jalan.

Bahaya jika membaca tajuk sedemikian kerana ia memberikan pelbagai gambaran dan persoalan.
“Turun, kata Ku Li - Pemangku Sultan Kelantan mesti melepaskan jawatan dan menyerahkannya balik kepada ayahndanya”, lebih kurang begitulah bunyi tajuk itu.

Mambaca tajuknya ia agak keras dan memberikan gambaran seolah-olah Tengku Razalegh mahukan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail menyerahkan kembali ‘takhta’ itu kepada ayahndanya.

Besar dan penuh makna kata-kata atau tajuk berkenaan kerana ia memberikan implikasi kepada banyak pihak.

Ini termasuklah kerajaan negeri yang kini nampaknya menjunjung segala perintah Tengku Faris.
Berlainan sedikit dengan laporan Bernama dan akhbar Melayu lain apabila Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, isu Istana Kelantan boleh diselesaikan apabila Sultan Kelantan, pulih sepenuhnya daripada kegeringan dan mampu memerintah semula.

"Ia bukan suatu konflik dalam istana...Jika ada konflik bermakna ada perkara-perkara baru timbul, terserah kepada Tuankulah untuk perbetulkan. Tunggulah dia sihat dulu," katanya mengulas mengenai isu Istana Kelantan itu.

Malah beliau tidak menganggap isu yang berlaku dalam Istana Kelantan sekarang sebagai suatu konflik dan beryakinan ia akan berakhir juga.

Kelmarin, Tengku Razaleigh hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-13, Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid Kelantan yang disempurnakan oleh Tengku Bendahara, Tengku Mohammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, yang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Tengku Razaleigh yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri (MPN) dan merupakan ayahanda saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berkata, beliau tidak bercadang untuk campur tangan dalam isu itu.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Kelantan bertenang dalam menghadapi isu berhubung istana sekarang. Beliau yakin Sultan Kelantan boleh kembali mentadbir dan memulakan tugas sebagai ketua agama negeri ini setelah sembuh sepenuhnya daripada kegeringan.

Menurut The Star, Tengku Razaleigh Hamzah berkata apabila Sultan Kelantan sudah sihat Tuanku bolehlah menentukan sama ada untuk terus memerintah dalam kedudukan sebagai Pemangku atau sebagainya.

Beliau menegaskan tidak akan campur tangan kerana Tuanku aku sembuh dan akan menentukan seterusnya.

Beliau tidak perlu campur tangan dalam masalah tersebut walaupun Tengku Muhammad Faris memecat abangnya, Tengku Aziz daripada jawatan Pengerusi MPN.

"Tidak ada sebab untuk saya campur tangan pada peringkat ini tidak ada yang kritikal.

"Itu (pemecatan) apa yang dilakukan oleh Pemangku Raja, kalau katalah benda itu betul tak timbul masalah ini. Kalau tak betul saya percaya akan diperbetulkan oleh sultan selepas sembuh nanti," katanya.

Menurut Tengku Razaleigh Sultan Kelantan sudah boleh makan dan bercakap dan akan menentukan kedudukan istana seterusnya.

“Kesihatan Sultan kini semakin memuaskan, dulu kena usung apabila hendak dirawat di Singapura, namun kini tidak lagi, sudah boleh berjumpa rakyat serta ingatan baginda begitu baik, jauh berbeza dari dulu,” katanya.

Persoalannya, dalam kedudukan sebegini kenapakah kerajaan Kelantan tidak mengumumkan dari masa ke masa tahap kesihatan Sultan Kelantan.

Malah amat mengejutkan apabila pada 28 Mac Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Sultan Kelantan masih gering. “Kalau tuan-tuan berasa hendak ziarah atau menghadap sendiri sila lakukan, tengok sejauh mana tahap kesihatan tuanku, boleh buat kerja atau tidak," katanya.

Kenapa Nik Aziz bercakap sedemikian? Apakah beliau merasakan bahawa bagaikan ada suatu tekanan terhadap kerajaan Kelantan yang dilihat memihak?

Yang pasti, pada 7 April lalu, Sultan Kelantan yang diiringi Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid meluangkan masa bersama kira-kira 100 anak yatim di Istana Mahkota di Kota Bharu. Pada majlis jamuan teh yang diadakan secara santai di perkarangan istana itu, baginda kelihatan berborak dan bergurau senda dengan tetamu yang hadhir, sambil turut berhibur dengan berkaraoke bersama Tengku Anis.

Turut hadhir Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah di samping bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang juga `Setiausaha Sulit' baginda.

Amat menarik kenyataan Tengku Razaleigh yang tidak mahu campur tangan dalam masalah itu walaupun Tengku Faris memecat abangnya, Tengku Aziz daripada jawatan Pengerusi MPN.
"Tidak ada sebab untuk saya campur tangan pada peringkat ini tidak ada yang kritikal. Itu (pemecatan) apa yang dilakukan oleh Pemangku Raja, kalau katalah benda itu betul tak timbul masalah ini. Kalau tak betul saya percaya akan diperbetulkan oleh sultan selepas sembuh nanti," katanya.

Kata-kata itu dalam maknanya dan rakyat menunggu dan mendoakan supaya Sultan Kelantan segera pulih dan mengatasi apa juga kemelut istana Kelantan.

Pertanyaan ialah apakah langkah pembetulan itu akan menyebabkan berlaku perkembangan baru kepada kerajaan Kelantan yang selama ini seperti berpihak dalam kemelut ini?

Kita tunggu juga apakah benar ada kumpulan tertentu yang terbabit dengan kemelut ini dan apa pula tindakan terhadap mereka.

Malah individu seperti Menteri Besar sendiri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Tengku Abdul Aziz dan Datuk Wan Hashim Wan Daud akan menjadi tumpuan selepas ini.