Wednesday, April 14, 2010

MUFTI WAJAR TENTUKAN FUNGSI JK KHAS MENGENAI AGAMA

Saya juga fikir penjelasan mufti adalah jalan terbaik mengenai fungsi jawatankuasa khas mengenai agama.

Walaupun jawatakuasa khas yang dipengerusikan oleh bekas Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Ilani Ishak mendapat kelulusan Kabinet demi mewujudkan keharmonian dan persefahaman antara agama, fungsinya perlulah jelas.

Ia juga perlulah mengambil kira sensitiviti umat Islam dan Jawatankuasa Fatwa Negeri.
Kerana itu saya mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa satu perjumpaan khas dengan semua mufti akan diadakan dalam masa terdekat bagi menerangkan fungsi sebenar jawatankuasa berkenaan.

Selain mengambil kira pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri, penjelasan Muhyiddin itu jelas menunjukkan bahawa jawatankuasa itu penting kepada kerajaan, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Berikutan itu Timbalan Perdana Menteri menafikan laporan sebuah portal berita propembangkang yang sengaja menonjolkan pandangan pihak yang berkepentingan sedangkan Muhyiddin langsung tidak mengatakan sedemikian.

“Laporan dalam Malaysiakini memuatkan kononnya saya menyebut ‘small fry’ (tidak penting) terhadap jawatankuasa itu. Saya langsung tidak menyebut perkataan tersebut. Saya percaya pihak berkenaan mempunyai kepentingan tertentu sehingga mereka meletakkan saya menggunakan perkataan tersebut terhadap jawatankuasa berkenaan, “ katanya.

Mengenai jawatankuasa khas mengenai agama itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak baru-baru ini mengambil ketetapan sebulat suara membantah kelulusan Kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa itu.

Kelmarin (12 April 2010) Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan dukacita terhadap kelulusan jawatankuasa khas itu berkata, ia bukan medium yang sesuai kerana dibimbangi wujud tuntutan tidak munasabah dalam kalangan penganut agama lain.

Harussani bimbang kewujudannya adalah rentetan daripada kegagalan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama yang telah ditentang dan ditolak umat Islam. Keputusan menolak penubuhan jawatankuasa khas itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 6 hingga 8 April lalu.

Jawatankuasa Fatwa Perak menganggap perbincangan tentang agama Islam tidak memerlukan campur tangan bukan Islam kerana ia boleh mengundang implikasi negatif. Ini kerana setiap agama yang wujud tidak boleh disamakan dengan agama Islam yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam (Ali Imran: 19).


Selain itu, jelas Harussani, setiap orang Islam juga berkewajipan memelihara agamanya daripada sebarang anasir yang boleh merosakkannya. Menurutnya lagi, walaupun sebarang bentuk rundingan atau dialog berhubung agama dibolehkan, namun ia patut dielakkan sama sekali apatah lagi jika rundingan itu dilakukan di kalangan masyarakat umum yang lebih mengundang ketidakfahaman terhadap mereka.

Kerana itu,sebarang bentuk dialog yang boleh mencemar dan menjatuhkan imej dan kesucian Islam hendaklah dielakkan. Ia bertepatan dengan kaedah fikah itu sendiri iaitu membendung kerosakan diutamakan daripada menarik kemaslahatan.

Berikutan itu, Jawatankuasa Fatwa Perak mencadangkan supaya penubuhan jawatankuasa khas antara agama tidak sahaja dirujuk kepada Kabinet untuk tujuan kelulusan tetapi juga kepada Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa tertinggi terhadap agama Islam.

Selain Jawatankuasa Fatwa Perak, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa mufti dan alim ulama di seluruh negara mengeluarkan fatwa serta pandangan berhubung penubuhan jawatankuasa khas tersebut.

Perkasa bimbang kewujudannya akan meletakkan agama Islam setaraf dengan agama lain sedangkan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi negara.

Muhyiddin sebaliknya menjelaskan semalam jawatankuasa yang ditubuhkan baru-baru ini, berbeza dengan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan Majlis Antara Agama yang telah ditolak kerajaan sebelum ini.

Jawatankuasa ini hanyalah sebuah badan di peringkat pentadbiran bagi berbincang mengenai usaha untuk mengukuhkan perpaduan.

Ia termasuk berbincang mengenai usaha untuk meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama dan ia terletak di bawah Panel Perpaduan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri.

Jawatankuasa itu tidak akan membincangkan perkara-perkara berkaitan tuntutan agama sebaliknya ia adalah satu ruang kepada semua pihak untuk berbincang dan berusaha memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Dengan kata lain, jawatankuasa itu tidak akan mengambil sebarang tindakan, semua cadangan akan diserahkan kepada kerajaan dan kerajaan akan menilainya.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hendaklah mengambil langkah segera untuk mengadakan perjumpaan tersebut.

Penerangan itu bagi menjelaskan peranan jawatankuasa berkenaan yang sebenarnya tidak mencampuri urusan pokok agama Islam.

Jelas sekali tindakan segera terhadap bantahan yang timbul terhadap pembentukan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama yang diumumkan kerajaan sebelum ini mendapat reaksi spontan apabila perkara itu akan dibincangkan bersama semua mufti negeri hari ini.

Tindakan segera ini akan menjadikan satu muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang secara kebetulan dijadualkan hari ini akan digunakan sebagai platform untuk membincangkan persoalan yang timbul mengenai jawatankuasa khas berkenaan.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin berkata, muzakarah ini akan turut membincangkan pelbagai perkara lain yang melibatkan umat Islam di negara ini.

No comments:

Post a Comment