Tuesday, April 13, 2010

DOAKAN SULTAN KELANTAN CEPAT SEMBUH

Rakyat semakin memerhati. Sesetengahnya gelisah.

Namun yang penting doakan supaya Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pulih.

Mengejutkan juga membaca “Step Down: Says Ku Li - Acting Kelantan Sultan ‘must relinquish post to his father”, demikian lapor The Star semalam, 12 April 2010.

Saya tidak pasti apakah tajuk yang memetik Tengku Razaleigh Hamzah itu sesuai atau kata-kata separuh jalan.

Bahaya jika membaca tajuk sedemikian kerana ia memberikan pelbagai gambaran dan persoalan.
“Turun, kata Ku Li - Pemangku Sultan Kelantan mesti melepaskan jawatan dan menyerahkannya balik kepada ayahndanya”, lebih kurang begitulah bunyi tajuk itu.

Mambaca tajuknya ia agak keras dan memberikan gambaran seolah-olah Tengku Razalegh mahukan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail menyerahkan kembali ‘takhta’ itu kepada ayahndanya.

Besar dan penuh makna kata-kata atau tajuk berkenaan kerana ia memberikan implikasi kepada banyak pihak.

Ini termasuklah kerajaan negeri yang kini nampaknya menjunjung segala perintah Tengku Faris.
Berlainan sedikit dengan laporan Bernama dan akhbar Melayu lain apabila Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, isu Istana Kelantan boleh diselesaikan apabila Sultan Kelantan, pulih sepenuhnya daripada kegeringan dan mampu memerintah semula.

"Ia bukan suatu konflik dalam istana...Jika ada konflik bermakna ada perkara-perkara baru timbul, terserah kepada Tuankulah untuk perbetulkan. Tunggulah dia sihat dulu," katanya mengulas mengenai isu Istana Kelantan itu.

Malah beliau tidak menganggap isu yang berlaku dalam Istana Kelantan sekarang sebagai suatu konflik dan beryakinan ia akan berakhir juga.

Kelmarin, Tengku Razaleigh hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-13, Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid Kelantan yang disempurnakan oleh Tengku Bendahara, Tengku Mohammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, yang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Tengku Razaleigh yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri (MPN) dan merupakan ayahanda saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berkata, beliau tidak bercadang untuk campur tangan dalam isu itu.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Kelantan bertenang dalam menghadapi isu berhubung istana sekarang. Beliau yakin Sultan Kelantan boleh kembali mentadbir dan memulakan tugas sebagai ketua agama negeri ini setelah sembuh sepenuhnya daripada kegeringan.

Menurut The Star, Tengku Razaleigh Hamzah berkata apabila Sultan Kelantan sudah sihat Tuanku bolehlah menentukan sama ada untuk terus memerintah dalam kedudukan sebagai Pemangku atau sebagainya.

Beliau menegaskan tidak akan campur tangan kerana Tuanku aku sembuh dan akan menentukan seterusnya.

Beliau tidak perlu campur tangan dalam masalah tersebut walaupun Tengku Muhammad Faris memecat abangnya, Tengku Aziz daripada jawatan Pengerusi MPN.

"Tidak ada sebab untuk saya campur tangan pada peringkat ini tidak ada yang kritikal.

"Itu (pemecatan) apa yang dilakukan oleh Pemangku Raja, kalau katalah benda itu betul tak timbul masalah ini. Kalau tak betul saya percaya akan diperbetulkan oleh sultan selepas sembuh nanti," katanya.

Menurut Tengku Razaleigh Sultan Kelantan sudah boleh makan dan bercakap dan akan menentukan kedudukan istana seterusnya.

“Kesihatan Sultan kini semakin memuaskan, dulu kena usung apabila hendak dirawat di Singapura, namun kini tidak lagi, sudah boleh berjumpa rakyat serta ingatan baginda begitu baik, jauh berbeza dari dulu,” katanya.

Persoalannya, dalam kedudukan sebegini kenapakah kerajaan Kelantan tidak mengumumkan dari masa ke masa tahap kesihatan Sultan Kelantan.

Malah amat mengejutkan apabila pada 28 Mac Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Sultan Kelantan masih gering. “Kalau tuan-tuan berasa hendak ziarah atau menghadap sendiri sila lakukan, tengok sejauh mana tahap kesihatan tuanku, boleh buat kerja atau tidak," katanya.

Kenapa Nik Aziz bercakap sedemikian? Apakah beliau merasakan bahawa bagaikan ada suatu tekanan terhadap kerajaan Kelantan yang dilihat memihak?

Yang pasti, pada 7 April lalu, Sultan Kelantan yang diiringi Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid meluangkan masa bersama kira-kira 100 anak yatim di Istana Mahkota di Kota Bharu. Pada majlis jamuan teh yang diadakan secara santai di perkarangan istana itu, baginda kelihatan berborak dan bergurau senda dengan tetamu yang hadhir, sambil turut berhibur dengan berkaraoke bersama Tengku Anis.

Turut hadhir Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah di samping bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang juga `Setiausaha Sulit' baginda.

Amat menarik kenyataan Tengku Razaleigh yang tidak mahu campur tangan dalam masalah itu walaupun Tengku Faris memecat abangnya, Tengku Aziz daripada jawatan Pengerusi MPN.
"Tidak ada sebab untuk saya campur tangan pada peringkat ini tidak ada yang kritikal. Itu (pemecatan) apa yang dilakukan oleh Pemangku Raja, kalau katalah benda itu betul tak timbul masalah ini. Kalau tak betul saya percaya akan diperbetulkan oleh sultan selepas sembuh nanti," katanya.

Kata-kata itu dalam maknanya dan rakyat menunggu dan mendoakan supaya Sultan Kelantan segera pulih dan mengatasi apa juga kemelut istana Kelantan.

Pertanyaan ialah apakah langkah pembetulan itu akan menyebabkan berlaku perkembangan baru kepada kerajaan Kelantan yang selama ini seperti berpihak dalam kemelut ini?

Kita tunggu juga apakah benar ada kumpulan tertentu yang terbabit dengan kemelut ini dan apa pula tindakan terhadap mereka.

Malah individu seperti Menteri Besar sendiri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Tengku Abdul Aziz dan Datuk Wan Hashim Wan Daud akan menjadi tumpuan selepas ini.

No comments:

Post a Comment