Wednesday, May 27, 2009

NILAI ‘TUDUHAN’ ANIFAH RM100 JUTA

Anwar saman Anifah RM100 juta. Banyak tu!
Ada duit ke Anifah nak bayar kalau kalah di mahkamah.

Kalaupun keluarga Anifah dan Anifah sendiri mungkin kaya, apakah tuntutan itu berbaloi?
Persoalannya tidak betul ke apa yang didakwa oleh Menteri Luar Datuk Anifah Aman terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari?

Yang pasti, Anwar marah dengan kenyataan Anifah pada 16 Mei lepas di Jabatan Negara di Washington semasa sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton bahawa - Anwar ada menawarkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri kepadanya sekiranya pembangkang menubuhkan kerajaan pada 16 September tahun lepas.
Anwar menganggap Anifah ‘berjaya’ mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu.Dalam isu seperti ‘mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu’, apakah Anwar tidak pernah buat kepada orang lain?

Tidakkah Anwar pernah melakukan perkara yang sama kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Najib Razak?

Hairannya mereka ini tidakpun membuat tindakan yang sama.
Persoalannya sekarang, siapa lagi yang tahu mengenai tuduhan Anifah itu?

Mungkin kalau ada yang tahu pun cuba menyembunyikannya. Yang pasti antara kedua-duanya sahajalah yang tahu kes ini.

Jadi, Anifah kenalah jawab di mahkamah dan Anwar pula kena buktikannya.
Kalau tidak ada bukti, susah juga Anwar mahu menafikan beliau tidak melakukan perkara itu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu dilaporkan hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Anifah bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung kenyataan menteri itu pada satu sidang akhbar di Washington baru-baru ini.

Writ saman itu difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 2.10 petang oleh firma guaman Messrs S.N.Nair & Partners.

Saman itu menamakan Anifah berdasarkan kedudukannya sebagai seorang individu dan Anggota Parlimen Kimanis sebagai defendan pertama,Menteri Luar sebagai defendan kedua, dan kerajaan Malaysia dinamakan defendan ketiga.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang menuntut ganti rugi pampasan RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan injunksi untuk menahan Anifah melafaz, bercakap atau menulis atau menerbitkan perkataan fitnah itu.

Anwar juga berkata Anifah memfitnahnya dengan menyatakan beliau sedang membuat cubaan untuk membeli Anggota Parlimen dan Anwar memburukkan imej negara.

Anwar juga mendakwa Anifah telah mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu.

RAJA PETRA TAKUT ROSMAH?

Apa dah jadi kepada penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin?
Betulkah beliau seorang pengecut?
Sebelum ini beliau mencabar semua pihak. Namun kini mungkin usaha mencarinya akan sampai ke peringkat Interpol.
Polis sudah menyatakan akan meminta bantuan Interpol sekiranya diperlukan untuk mengesan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, polis sedang berusaha mengesan kedudukan penulis blog itu selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.
"Jika diperlukan kami akan minta bantuan Interpol," katanya semalam.
Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur semalam, sekali lagi mengeluarkan waran tangkap ke atas Raja Petra selepas beliau tidak hadir untuk perbicaraan kes memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain.

Ini merupakan kali kedua waran tangkap dikenakan terhadap penulis blog itu selepas beliau gagal menghadirkan diri di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 April lepas.
Apakah Raja Petra akan terus membisu sehingga kes akan disebut semula pada 2 Julai depan?

Waran tangkap kali ini dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mohamad Sekeri Mamat selepas Timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis mengemukakan permohonan tersebut.

Mahkamah turut mengeluarkan notis tunjuk sebab ke atas isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah selaku penjamin kerana tidak hadir pada prosiding tersebut.

Ini kali kedua waran tangkap dibuat ke atas Raja Petra selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 April lalu mengeluarkan perintah yang sama selepas dia tidak hadir perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan di laman web tersebut.

Mahkamah kelmarin sepatutnya mendengar perbicaraan hari pertama kes Raja Petra yang didakwa memfitnah Rosmah semasa suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan Timbalan Perdana Menteri (kini Perdana Menteri).

Raja Petra, 59, didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam satu akuan bersumpah yang diikrarkannya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 10.25 pagi 18 Jun 2008.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda jika sabit kesalahan.

Raja Petra diwakili oleh peguam bela, Amarjeet Singh.
Fernandis ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 18 orang saksi bagi memberi keterangan.

Persoalannya, bagaimana Raja Petra yang cuba mendedahkan Datin Seri Rosmah Mansor boleh menghilangkan diri.

Menurut penulisannya, Rosmah adalah wanita ‘hina’ dan ‘penyebab dan yang menimbulkan masalah kepada suaminya’ dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya.
Namun ternyata kini Raja Petra kecut perut dan bagaikah takut kepada Rosmah?

Pada 1 Julai 2008, Rosmah menyatakan tidak bimbang dengan dakwaan yang mengaitkannya dengan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu kerana beliau tidak bersalah.

Katanya, beliau telah memberikan keterangan kepada polis sejelas-jelasnya berhubung dakwaan dalam akuan bersumpah yang dibuat oleh pengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang mengaitkannya dengan kes itu.

Rosmah menegaskan, beliau bukan seorang ahli politik malah tidak bertanding untuk merebut jawatan dalam parti, oleh itu tiada ada yang perlu dirisaukannya.

Pada 27 Jun 2008, polis berkata pihaknya akan mengambil tindakan ke atas penulis blog dan editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin jika aduan bersumpah yang dibuatnya pada 18 Jun 2009 itu terbukti mengandungi unsur fitnah dan menjejaskan kredibiliti negara.

Raja Petra memfailkan aduan bersumpah di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada tarikh itu yang antara lain turut mengaitkan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dengan kes pembunuhan Altantuya pada 19 Oktober 2006.

Raja Petra menamakan dua lagi individu yang didakwanya turut dikaitkan dalam kes bunuh itu iaitu Leftenan Kolonel Aziz Buyong, yang beliau katakan sebagai pakar bahan letupan C4, dan isteri Aziz, Norhayati, yang didakwa pegawai pengiring (ADC) Rosmah.
Rosmah sudah menjelaskan, Norhayati bukan ADC beliau.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin memberitahu, polis menunggu arahan Jabatan Peguam Negara berhubung siasatan ke atas akuan bersumpah itu yang mengaitkan beberapa orang dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Pada 2 April lalu, Raja Petra diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini membayar ganti rugi saman fitnah sebanyak RM1 juta kepada Bendahari UMNO, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Keputusan itu dibuat oleh Penolong Kanan Pendaftar, Norhatini Abdul Aziz dalam saman berhubung penyiaran dua artikel berunsur fitnah pada 9 Februari dan 19 Februari 2008 melibatkan Raja Petra sebagai defendan.

Dalam penghakimannya, Raja Petra diarah membayar RM500,000 bagi gantirugi am, RM300,000 bagi ganti rugi teruk dan RM200,000 bagi ganti rugi teladan.

Begitu juga faedah daripada jumlah RM1 juta itu bermula dari tarikh penghakiman sehingga selesai supaya turut dibayar oleh defendan.

Norhatini mengeluarkan perintah itu di kamarnya selepas mendengar hujahan oleh peguam Sunil Abraham berhubung penilaian ganti rugi selepas Abdul Azim berjaya mendapat penghakiman ingkar pada 8 Ogos 2008.

AMINAH MAMPU KECEWAKAN PKR

Aminah Abdullah kini semakin mendapat simpati.
Selain mendedahkan beliau ditawarkan untuk disogokkan, kini beliau menghadapi kemungkinan akan naik turun mahkamah pula.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menegaskan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Aminah Abdullah dan beberapa dakwaan termasuk ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang sekiranya beliau kembali menyertai parti itu dan memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti Ahad ini - tidak berasas semasa sekali.
Pengerusi Badan Perhubungan PKR Negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim, berkata "kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara ini (dakwaan oleh Aminah) berterusan," katanya.
Pengarah Pilihan Raya PKR DUN Penanti, Saifuddin Nasution, turut berkata pihaknya akan menghantar notis peguam kepada Aminah supaya minta maaf berhubung dakwaannya.
Kesian dengan Aminah kerana pada sidang media semalam turut mengemukakan rakaman audio yang didakwanya mengandungi bukti bahawa beliau ditawarkan RM80,000 dan jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang jika beliau menyertai semula parti sekiranya menang pilihan raya kecil Penanti Ahad ini.

Zahrain berkata, beliau tidak pernah mendengar sebarang arahan daripada pemimpin PKR untuk menawarkan sebarang ganjaran kepada Aminah.

"Saya juga tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk buat tawaran kepada Aminah dan saya rasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi peluang membuat siasatan terlebih dahulu sebelum kami buat sebarang keputusan berhubung dakwaan itu," katanya.

Pada ketika PKR mengatakan ia mahu menyaman Aminah, dua pemimpin PKR menafikan mereka telah menawarkan ganjaran dalam bentuk ganti rugi kepada calon Bebas, Aminah Abdullah jika sanggup tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Kedua-dua pemimpin berkenaan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Cheah Ka Peng, 43, dan Pegawai Khas kepada Exco PKR Pulau Pinang, Peter Lim Eng Nam, 32, mengaku mereka adalah dua individu yang terdapat dalam rakaman suara yang didedahkan oleh Aminah semalam.

"Kami tidak menawarkan apa-apa kepadanya... hanya berbincang perkara-perkara biasa," kata Cheah pada sidang media khas bagi menjelaskan mengenai isu tersebut semalam.

Selain itu mereka juga menafikan dakwaan Aminah bahawa kedua-dua mereka datang menemuinya. Sebaliknya mereka menjelaskan pertemuan pada 13 Mei itu telah diatur oleh Aminah sendiri.

Peter adalah Timbalan Ketua PKR Bahagian Batu kawan yang juga Pembantu Khas kepada Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Law Choo Kiang.

Beliau pernah bertanding di DUN Batu Maung pada pilihan raya umum 2004.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakankan menyiasat dakwaan Aminah ditawarkan jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan wang tunai RM80,000 supaya menarik diri daripada pertandingan.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Latifah Md Yatim, berkata pihaknya sedia memulakan siasatan berhubung dakwaan tawaran rasuah oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya Aminah menarik diri.

Aminah yang juga bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang turut mendakwa PKR menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I jika beliau menang pilihan raya kecil itu, dengan syarat menyertai semula parti berkenaan.

Kelmarin, Aminah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cakera padat (CD) mengandungi rakaman perbualan berhubung tawaran ganjaran wang tunai RM80,000 dan jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) jika beliau menarik diri bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Aminah berkata beliau menyerahkan salinan cakera padat audio dan beberapa keping gambar pertemuan beliau dengan dua wakil PKR kepada suruhanjaya itu di Butterworth semalam.
Menurutnya, selain merekodkan keterangannya, SPRM turut mengambil kelengkapan MP4 yang digunakan untuk merakam perbualan serta telefon bimbit yang digunakan ketika berkomunikasi dengan wakil PKR.

"Dalam MP4 itu ada rakaman perbualan siri kedua dan ketiga antara saya dan pihak berkenaan (PKR) dan ia tidak sama dengan perbualan yang terdapat dalam cakera padat (yang diedar kepada media) semalam," Aminah dipetik berkata.

SPRM berminat menyiasat lanjut Aminah dan perkara itu disahkan oleh calon berlambangkan kunci berkenaan.

Aminah turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT), tengah hari semalam, kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarganya.

Sambil mengulangi tidak ditaja mana-mana parti politik, Aminah menegaskan pendedahan itu dibuat berikutan desakan berterusan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mohamed Zahrain Hashim.

Monday, May 25, 2009

MOGOK LAPAR HARAM SAMA SEKALI

(Kemaskini)
Mogok lapar tiga hari. Lepas ini apa pula Labu?

Apakah akan ada lagi peristiwa aneh akan berlaku di negeri Perak gara-gara keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada pembangkang?
Ketika mahkamah memberikan kelebihan kepada Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin tempoh hari, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima keputusan dengan ‘tangan terbuka’ dan redha.
Kenapa pada ketika mahkamah membuat keputusan tidak menyebelahinya, Mohd Nizar dan pembangkang ‘tidak redha’?
Selain itu, sebelum ini mereka yang tidak mendapat pembelaan Sultan Perak dan mahkamah pernah mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok.
Maka benarlah kata-kata Dr Zambry bahawa gelaran “Menteri Besar Mahkamah’ patut diberikan kepada Mohd Nizar kerana telah memulakan proses mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Perak yang sah.

Beliau berkata oleh kerana proses mahkamah itu dimulakan oleh Mohd Nizar, sewajarnyanya gelaran itu diberikan kepada bekas menteri besar Perak itu dan bukan dirinya.

“Jadi proses mahkamah itu dilakukan oleh Nizar, bukannya saya. Tok Guru (Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang saya hormati pun manusia juga, dia pun buat silap dan bukannya manusia maksum, “ kata Dr Zambry.

Seperti biasa dan sudah dijangka, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak sebagai mengecewakan.

Beliau berkata, keputusan itu juga bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau pun diluar dugaan.
Malah, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa, keputusan tersebut memperlihatkan kepada rakyat bahawa badan kehakiman negara telah 'hancur' dan perlu diperbetulkan.
Anwar menegaskan, apabila isu di Perak diserahkan kepada mahkamah untuk dibuat keputusan, penghakiman telah dibuat mengikut selera politik dan arahan.

"Saya melihat keputusan itu sebagai menghancurkan institusi penting negara kita iaitu badan kehakiman apabila demokrasi di negara ini sudah tidak lagi berkesan,” tegas Anwar.

Yang jelas, krisis politik Perak kini dikatakan melangkah ke tahap baru berikutan keputusan pemimpin pembangkang negeri itu untuk mengadakan mogok lapar tiga hari sebagai sebahagian daripada usaha terbaru mereka untuk mendapatkan kembali hak rakyat. Ia akan berlangsung hari ini.

Mesej mogok lapar itu kononnya menggesa Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan kembali kepada rakyat, kata Mohd Nizar. Katanya langkah itu telah lama diputuskan dan tiada kaitan dengan keputusan Mahkamah Rayuan semalam.
Mereka akan mengadakan mogok lapar di Wisma DAP yang terletak berhampiran dengan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Exco dan Dewan Undangan Negeri.
Lapan wakil rakyat dikatakan telah mengesahkan penyertaan mereka termasuk dari PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Jika menurut Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin, ADUN Titi Gajah (http://rajaahmadzainuddin.blogspot.com), isu mogok lapar yang dirancang oleh Pakatan Pembangkang Perak hanyalah mainan politik mereka yang semakin kehabisan modal untuk meraih simpati dan belas ihsan rakyat selepas kerajaan pembangkang hilang kuasa di Perak.

Isu mogok ini adalah modal terbaharu pembangkang selepas Dr Zambry disah dan kekal sebagai Menteri Besar Perak oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, Jumaat lepas.

Lantas beliau bertanyakan Mufti dan ulamak termasuk yang ada dalam parti politik untuk mengeluarkan fatwa atau ulasan-ulasan tentang mogok lapar ini, jika melibatkan masyarakat Islam.

Fatwa dan ulasan sedemikian penting bagi menggelakan sebarang perpecahan dan gambaran yang bolehmengelirukan generasi muda hari ini.

Selepas melihat kedudukan politik ‘yang menjemukan’ di Perak, elok juga kalau kita Beristifar sebentar – merenung kata-kata Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Beliau membidas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Dr. Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Beliau berkata, mereka sepatutnya menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak menimbulkan masalah apabila keputusan itu tidak memihak kepada bekas Menteri Besar, Mohd Nizar.

''Kenapa hendak datangkan masalah, kalau menang belah dia tidak apa tetapi apabila kalah hendak bangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia ketika berada di Mekah.

Ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,".

Pendapat Harussani disokong oleh dua lagi mufti yang menganggap mogok lapar adalah haram dan menyerupai amalan agama lain!

Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya menyifatkan Dr Juanda menegaskan, umat Islam diharamkan sama sekali melakukan mogok lapar kerana perbuatan itu menyerupai amalan dalam agama Buddha dan Hindu.

Kata beliau, jika seseorang penganut Islam itu meninggal dunia ketika sedang melakukan mogok lapar, dia dikhuatiri mati dalam keadaan tidak beriman.

"Justeru saya ingatkan penganut Islam, jangan membudayakan mogok lapar kerana ia jelas berbeza dengan amalan puasa yakni ibadat yang dituntut," tegasnya.

Kata Juanda, selain amalan mogok lapar beliau juga khuatir dengan aktiviti berhimpun sambil menyalakan dan mengarak lilin yang berleluasa di negara ini.

Dalam pada itu, Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin menegaskan, umat Islam diharamkan menyertai mogok lapar itu dan pihak berkuasa pula perlu menghalangnya daripada berlangsung kerana ia boleh menimbulkan fitnah besar kepada negara.

Katanya, jika sesuatu mogok lapar berjaya dilangsungkan, ia mungkin menjadi permulaan kepada fitnah-fitnah lain pada masa akan datang.

"Orang Islam sama sekali diharamkan terlibat dalam mogok ini walaupun bertujuan memberi sokongan. Ini kerana umat Islam wajib menjaga nyawa sendiri.

"Jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, ia harus diselesaikan melalui rundingan atau perundangan," katanya.

Hakikatnya, bak kata Utusan Malaysia, mogok lapar itu boleh diumpamakan sebagai bayi menangis inginkan perhatian!

Selepas mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri bawah pokok dan membina monumen 'demokrasi', pakatan pembangkang tidak sudah-sudah mahu mencetuskan suasana tidak stabil di Perak.

Apa yang boleh dilihat daripada tindakan mogok lapar ini ialah enggan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah semalam.

Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming berkata, kempen tersebut akan dirasmikan oleh Mohd Nizar dan bekas Speaker, V Sivakumar dan ia berterusan selama 72 jam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pakatan pembangkang seharusnya tidak mentafsir keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai sesuatu yang negatif.

Sebaliknya, kata jika timbul perasaan tidak puas hati, Mohd Nizar boleh membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

''Ini merupakan keputusan Mahkamah Rayuan. Jika tidak berpuas hati, hak mereka untuk membawa ke Mahkamah Persekutuan kerana ini adalah proses undang-undang, seperti juga Zambry (Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir) yang merayu ke Mahkamah Rayuan sebelum ini," katanya.

Sebenarnya mogok lapar itu hanya gimik politik pakatan pembangkang untuk menarik perhatian rakyat.

Dengan kata lain, daripada menunjukkan sikap ‘terpaksa telan’ keputusan mahkamah berkenaan, lebih baik kalau mereka melakukan sesuatu.

Jawapan mereka yang paling mudah ialah mogok lapar.

Hakikat sebenar ialah Mohd Nizar sudahpun memutuskan tindakan selanjutnya – membuat rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan.