Monday, January 2, 2017

GARA-GARA 1MDB, PUTRAJAYA DIHERET BERTELAGAH DENGAN KERAJAAN ASING?


"...kegagalan 1MDB membayar hutang dan faedah diramalkan oleh pakar kewangan dan perbankan antarabangsa akan mendatangkan kesan terhadap pasaran matawang dan saham di Malaysia, selain terpaksa membelanjakan berbilion dolar untuk menyelamatkan syarikat itu." 

Yang dijangka mulai berlaku...

Kerajaan Malaysia kini berdepan kritikan kerajaan asing dalam isu kleptokrasi, keengganan bekerjasama dengan peguam negara asing untuk mendakwa mereka yang disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram serta juga ENGGAN kerjasama mendakwa beberapa individu yang disabitkan dengan perbuatan 'mencuri dan merompak' dana rakyat.

Malah, Malaysia kini juga dilihat sebagai sebuah negara yang kerajaannya BERSEDIA menjadi penjamin kepada sebuah sayarikat dana yang berhutang tetapi enggan melunaskan hutang dan membayar faedah yang terbeban.

Kesemuanya ini ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta bekas anak syarikatnya.

Media antarabangsa nampaknya sangat berminat dengan isu 1MDB dan memilih untuk mempersoalkan sikap Putrajaya dengan menganggap pelan penyusunan semula 1MDB kini ‘terhincut-hincut’ dan munkin terpaksa melalui jalan yang berduri.

Yang pasti media tempatan tidak akan memperkatakan perkara sebegini kerana mereka hanya akan memaparkan berita ‘baik sahaja’ mengenai mengenai 1MDB, walaupun hakikatnya pengurusan media berkenaan mengetahui bahawa ramai rakyat Malaysia sendiri mulai sedar tentang perkara sebenar.

Negara yang memberi perhatian terhadap isu 1MDB
Pada  2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tersangat yakin pelan pemulihan untuk mengurangkan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan berhasil dengan kerjasama Kementerian Kewangan.

Katanya, langkah pemulihan boleh dilakukan untuk mengurangkan jumlah hutang 1MDB dan inilah perkara yang sedang diusahakan kerajaan, katanya pada perhimpunan bulanan kementerian itu pada 19 Mei 2015.

 Namun kini?  

Pelan menyusun semula 1MDB dilihat berdepan masalah khususnya dalam isu melupuskan aset hartanah dan pertelagahan dengan Abu Dhabi mengenai pertikaian membabitkan lebih AS$6.5 billion (RM28,925 juta jika pada kadar AS$1 – RM4.45sekarang) dari segi obligasi hutang.

Menurut sumber pegawai dalam syarikat yang menjadi rakan projek 1MDB dan peguam yang terlibat dalam usaha melupuskan hartanah utama di Kuala Lumpur dan Pulau Penang untuk pembangunan bersama, masalah timbul apabila wujudnya pertelagahan mengenai penilaian.

Selain berbagai isu membabitkan pentadbiran, penilaian ini dikatakan ada kaitan dengan kejatuhan nilai ringgit.

Selain itu, hubungan tegang juga dikatakan  wujud antara kerajaan Abu Dhabi dan Putrajaya membabitkan hutang dan faedah bernilai berbilion dolar.

Menurut peguam, ia menjadi semakin buruk sejak akhir-akhir ini, selepas persetujuan awal dibuat apabila kerajaan Malaysia yang berjanji menyelesaikan masalah melalui perundingan , kini mula mengubah pendirian.

Untuk rekod, kerajaan melalui Kementerian Kewangan adalah penjamin kepada 1MDB dan anak syarikatnya, SRC International.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, yang bertanggungjawab menguruskan penyelesaian hutang 1MDB, dilaporkan memahami dengan jelas wujudnya jalan yang berliku dalam menjayakan pelan pemulihan itu.


Beliau sudah menyatakan kepada The Straits Times Singapura bahawa isu itu akan dapat diatasi. 1MDB sehingga kini enggan memberikan sebarang ulasan kepada akhbar brbahasa Inggeris itu.

Satu Pasukan Petugas dilaporkan ditubuhkan di bawah Johari, diberi nama Jawatankuasa Budiman untuk menguruskan penyusunan semula 1MDB. Bagi Johari,  memang banyak isu, namun perkara utama seperti penjualan aset janakuasa,  sudah pun dilaksanakan.

Langkah segera ialah merancakkan pembangunan hartanah di Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange (TRX). Ia merujuk kepada projek mewujudkan ‘wilayah kewangan’ di pinggir Bandaraya Kuala Lumpur.

Juga penting ialah pertelingkahan 1MDB - International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dilihat akan berterusan untuk beberapa ketika walaupun ada usaha dilakukan bagi meredakkannya.

Pertelingkahan berlaku berikutan dana pelaburan negara Abu Dhabi itu meminta hutang kira-kira AS$6.5 bilion oleh 1MDB ditunaikan dan pemegang saham tunggalnya, Kementerian Kewangan Malaysia semestinya bertangggungjawab. IPIC mendakwa bahawa syarikat dana Malaysia itu memungkiri perjanjian penstrukturan semula hutang adengan  syarikat itu pada 2015.

Tahun lalu apabila 1MDB berdepan kekurangan tunai, IPIC bersetuju untuk memberikan pinjaman kecemasan AS$1 Bilion (RM4,450 juta) kepada syarikat itu dan mengambil alih pembayaran faedah bagi hutang AS$3.5 bilion yang ditanggung 1MDB.

Namun IPIC kemudian dilaporkan membatalkan persetujuan tersebut setelah menuduh 1MDB memungkiri syarat-syarat utama yang dipersetujui selain enggan membuat bayaran faedah yang perlu dilunaskan.

1MDB sepatutnya membayar pinjaman melalui anak syarikat IPIC namun untuk kali pertamanya pada April, ia mengatakan tidak pernah menerima sebarang bayaran.

Pertelagahan 1MDB-IPIC memuncak selepas sekurang-kurangnya AS$ 3.5 bilion yang sepatutnya dibayar oleh kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investments PJS,  dilaporkan hilang atau lesap begitu sahaja.

Bayaran itu termasuk cagaran yang sepatutnya dibayar oleh 1MDB sebagai pertukaran untuk jaminan IPIC kepada dua bonnya, serta pembayaran bagi penamatan pilihan untuk Aabar melanggan aset tenaga 1MDB.

Wang itu sebaliknya dikatakan dialihkan ke sebuah syarikat di Kepulauan Virgin British yang mempunyai nama yang sama dengan Aabar Investments PJS, tetapi tidak mempunyai hubungan dengan IPIC.


Persoalan mula timbul, penyangak manakah yang menyebabkan kehilangan atau besekongkol ‘menggelapkan wang’ sebanyak RM15,575 juta itu?

Wang hilang dan hutang tidak terbayar!

1MDB mengakui ia gagal membayar hasil pulangan dari bon-bonnya April lalu  yang diramalkan oleh pakar kewangan dan perbankan akan medatangkan kesan terhadap pasaran matawang dan saham di Malaysia, selain membangkitkan kebimbangan bahawa kerajaan Malaysia mungkin akhirnya terpaksa membelanjakan berbilion dolar untuk menyelamatkan syarikat tersebut.

1MDB turut mengesahkan bahawa ia gagal membayar hasil pulangan dari bon AS$1.75 bilion (RM7,787 juta) yang dikeluarkannya pada 2012, setelah gagal membayar faedah AS$50 juta yang sepatutnya dilunaskan.

Ia dikatakan enggan membuat bayaran faedah yang matang tahun lepas ke atas dua bon yang dijamin oleh IPIC sebagai sebahagian daripada perjanjian penstrukturan semula.  Keputusan ittu menyebabkan 1MDB turut gagal membayar hasil pulangan dari dua bon bank Islam, berjumlah RM7.4 bilion .

Salah satu bon tersebut mempunyai syarat yang menyatakan para pelabur boleh mendapatkan pelaburan mereka sekiranya 1MDB berhenti membuat bayaran bagi sebarang hutangnya yang lain.

Kegagalan membayar hasil pulangan dari bon juga boleh mencetuskan klausa "kesan material yang buruk" terhadap hutang RM800 juta dari Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia, menurut 1MDB.

Syarikat tersebut bagaimapaun menyatakan, ini tidak mencetuskan 'cross-defaults' atau mungkir bayar kerana gagal melunaskan pembayaran lain - merujuk kepada bon AS$3 bilion yang dikeluarkan secara privet oleh 1MDB pada 2013, atau terhadap bon AS$1.75 bilion yang juga dikeluarkan oleh syarikat itu pada 2012.

1MDB sebelum ini menyatakan ia menangguhkan pembayaran faedah yang tertunggak "atas dasar prinsip", kerana percaya ia patut dibayar oleh penjamin bon yang sebelum ini sekutu 1MDB,  dana harta benda IPIC.


Johari pernah mengakui bahawa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB berdepan dengan isu membabitkan IPIC ini.

Anehnya,  laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) mengatakan 1MDB terhutang kepada rakan kongsinya IPIC hanya sebanyak AS$1 bilion atau RM4 bilion. Namun IPIC mendakwa Malaysia terhutang kepadanya sebanyak AS$6.5 bilion atau RM26 bilion.
  
Apa dah jadi?

Putrajaya melalui Johari cuba mengendurkan pertikaian dengan Abu Dhabi.

Pada 11 Ogos lalu, Johari dipetik  The Straits Times, Singapura bahawa Malaysia memohon penyelesaian secara baik berhubung pertikaian lebih AS$6.5 bilion itu dengan IPIC, yang ditetapkan bermula untuk proses timbang tara antarabangsa pada September lalu.

Johari berjanji kementeriannya akan menyelia 1MDB dan diuruskan secara baik dengan mengatakan mereka bukan dalam proses ‘timbang tara’, sebaliknya pada peringkat pengurusan. “Jadi biarkan kami menyelesaikannya,” tegas beliau.

Menurut pegawai ditugaskan menyelesaikan hutang 1MDB, ada perbincangan diadakan diantara pegawai Malaysia dan Abu Dhabi sejak Jun lalu. Tujuannya mengatasi isu ini dan mencari penyelesaian dengan baik untuk mengelakkan ia menjadi lebih teruk jika melalui Mahkamah Timbang Tara London (LCA).

Ini kerana 70 peratus daripada kes di LCA mengambil lebih daripada 18 bulan untuk diselesaikan. (Untuk rekod, IPIC membawa kes ini ke LCA pada pertengahan Jun lalu.)

Dikatakan kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan awal (sementara) beberapa minggu sebelum ini untuk membuat pembayaran awal kira-kira AS$1.2 bilion daripada jumlah sebenar yang dipertikaikan.

Ia sebagai syarat awal mengatasi pertelingkahan antara kedua pihak bagi menyelesaikan keseluruhan hutang AS6.5 bilion dan AS$1bilion yang dipinjamkan oleh IPIC, tidak termasuk faedah untuk kedua-duanya.

Menurut Bloomberg,  Johari pada 21 Disember lalu, 1MDB telah melunaskan bayaran faedah ke atas salah satu bon pada suku tahun ini, selepas gagal membuat bayaran pada awal tahun ini kerana pertikaian dengan penjamin,

1MDB membuat bayaran kupon dalam apa yang dipercaya sebagai usaha untuk menyelesaikan pertikaian antara 1MDB dan IPIC.

Bagaimanapun, walaupun ada perjanjian awal, Putrajaya kini dikatakan mulai ‘berubah hati’ dan memilih untuk menguruskan pertikaian melalui ‘timbangtara’.


Tidak diketahui kenapa dan sejauh mana kebenarannya tetapi itulah yang diperkatakan di luar negara tetapi media tempatan membisu mengenainya.

Kenapa Putrajaya memilih penyelesaian melalui LCA dan tidak melanjutkan proses perundingan seperti yang sudah dipersetujui, walaupun masih di peringkat awal?

Bukankah ini akan lebih menjejaskan lagi imej negara dalam kedudukan di mana skandal 1MDB ini kini dianggap antara ‘skandal penipuan dan pengubahan wang haram dunia?


Tidak malu dan tidak bermaruahkah kita bangsa Malaysia?

Friday, December 30, 2016

GST – BILA LAGI JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN MAHU TENTUKAN SYARAKNYA?

Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin...pertimbangan bebas
"Pertimbangan hukum yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hendaklah bebas daripada parti politik sebaliknya berasaskan kepentingan rakyat serta penemuan intensif pakar syariah dan ekonomi tempatan."
Apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan, antara perkara yang dijanji ialah untuk mengkaji sama ada ia mematuhui hukum syara atau sebaliknya.

Menurut rekod kerajaan, ada sebanyak 200,000 syarikat daripada 430,000 syarikat yang mendaftar GST di seluruh negara.

Apa yang jelas kini ialah kerajaan hanya mementingkan soal duit masuk kantong mereka semata-mata apabila menekankan berapa banyak yang berjaya dan akan dikutip,  selain tindakan terhadap  mereka yang ingkar.

Janji lain seperti harga barangan akan menjadi lebih murah, rakyat akan mendapat pulangan setimpal dan hasil untuk membangunkan negara, atau kadar GST akan diilai semula tidak lagi diperkatakan dalam menilai dan mengkaji tuntutan rakyat.

Kerajaan mengatakan apa yang dilaksanakan melalui GST ketika ini akan kekal kerana ia menjadi pendapatan penting kerajaan sebagai pengganti kepada hasil gas dan petroleum akibat kejatuhan harga bahan itu di pasaran dunia.

Dengan kata lain, rakyat dan syarikat kini menjadi penyelamat kepada kerajaan untuk mendapatkan hasil sedangkan sumbangan baik daripada hasil itu kepada rakyat tidak diperincikan.

Apakah langkah ini wajar dan bertepatan dengan tuntutan agama?

Bagaimana dengan janji untuk mengkajinya kedudukan enam parameter syarak yang perlu dirujuk dalam pelaksanaan GST?

Enam perkara itu membabitkan:

1.      Komitmen kerajaan dalam melaksanakan syariat Islam;
2.      Sumber kewangan;
3.      Cukai yang dikutip hanya untuk memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiyat;
4.      Bebanan cukai dikutip secara adil;
5.      Cukai dibelanjakan untuk maslahah ummah dan bukan untuk maksiat; serta
6.      Agihan cukai perlu bertepatan dengan ijithad ulama semasa dan setempat.

Sejauh ini  ulama memberikan pendapat yang berbeza semasa perbincangan yang dibuat mengenai pelaksanaan cukai itu, sama ada haram atau harus. Bagaimanapun selepas perbincangan tersebut, ulama sebulat suara menyatakan pelaksanaan GST harus dilaksanakan tetapi dengan berpandukan enam syarak yang ditetapkan.

Harapkan ulama PAS untuk memperkatakan isu GST? Pendirian mereka semakin tidak jelas walaupun mulanya menentang tetapi malah ada mengatakan mereka menyokong pelaksanaan GST walaupun tahu keadaan ketika ini sangat terkesan kepada rakyat.

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April 2015 terus diperkatakan rakyat biasa dan akan menjadi  salah satu isu dalam pilihan raya akan datang. Yang pasti, rakyat ternyata tidak berpuas hati dengan pelaksanaan dan pengagihannya.

Banyak pendapat diluahkan, malah ada mengatakan GST zalim dan menekan rakyat. Di pihak kerajaan, ia baik untuk mereka dan pendapatan negara.

Yang pasti, berkaitan GST dan hubungannya dengan  Majlis Fatwa Kebangsaan, tempoh selama setahun diberikan dalam pelaksanaan GST  agar dikaji - apakah ia mematuhi hukum syarak yang ditetapkan - sudah matang tempohnya.

Namun sehingga kini kajian mengenai kedudukannya dari segi syarak dan apakah adil untuk masyarakat, berlalu begitu sahaja.

Di mana ciri-ciri Wasatiyyah yang menekankan kesederhanaan dalam perlaksanaan GST ini?

Tidakkah kesederhanaan ini bermaksud tidak menekan rakyat dan tidak pula membelanjakan pendapatan untuk tujuan lain tetapi dikembalikan hasilnya untuk kesejahteraan dan kebaikan rakyat?

Dengan kata lain, kalau terdesak mahu melaksanakannya biarlah kadarnya bersesuaian dan hasilnya dipulangkan kepada rakyat dengan seadil-adilnya.

Menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 19 Oktober 2016, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kutipan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM dari Januari hingga Oktober 2016 ialah RM29.34 bilion.

Johari...kutipan GST meningkat
Ia meningkat sebanyak RM1.41 bilion berbanding sembilan bulan tahun lalu yang berjaya meraih RM27.93 bilion.

Katanya, walaupun kerajaan menetapkan kadar GST sebanyak enam peratus, namun jumlah barangan dan perkhidmatan yang efektif dikenakan cukai tersebut hanya pada kadar 3.6 peratus.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula kelmarin berkata pihaknya menyasarkan kutipan tambahan lebih RM3 bilion melalui pendekatan operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) yang lebih bersifat pematuhan pendidikan pada tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk T. Subromaniam berkata, sasaran itu berdasarkan kutipan tambahan RM1 bilion yang berjaya dikutip dalam tempoh empat bulan selepas Ops CBOS dilaksanakan.    

Menurutnya pendekatakan yang dilaksanakan sebelum ini lebih kepada bentuk penguatkuasaan yang dilihat kurang berkesan. Kerana itu strategi diubah yang lebih bersifat mesra pelanggan dan berteraskan pendidikan dalam usaha memberi tunjuk ajar kepada peniaga yang masih keliru dan kurang faham tentang GST.

Walaupun sudah dilaksanakan lebih 18 bulan, masih ramai peniaga tidak faham mengenai GSTselain ada da juga yang tidak membayar GST dengan betul, malah ada yang mengikrarkan GST lebih rendah daripada kadar ditetapkan, selain yang mengutip tetapi tidak membayar kepada JKDM.

Sejak GST dilaksanakan sebanyak 4,000 kertas siasatan dibuka dengan 400 syarikat sudah didakwa di mahkamah membabitkan kesalahan seperti tidak menghantar penyata GST, menghantar penyata tetapi tidak membayar, tidak mendaftar GST dan penipuan GST.    

Melalui usaha ini, JKDM yakin dapat mencapai sasaran kutipan GST yang ditetapkan kerajaan sebanyak RM40 bilion pada tahun 2017 iaitu peningkatan RM1 bilion berbanding sasaran pada tahun ini sebanyak RM39 bilion.    

Bolehkah dipericikan di mana wang yang dikutip sejauh ini akan datang iaitu RM40 bilion dibelanjakan? Jangan hanya sebit BR1M dan pembangunan melalui duit GST.

Mufti Perak....Harussani
Ini kerana GST yang dikutip adalah melalui tabungan khusus, bukan pendapatan bercampur dan mudah untuk dijelaskan ke mana ia disalurkan.

Bolehkah kerajaan menyatakannya dengan telus?

Apakah benar ia akan digunakan untuk membayar hutang kerajaan daripada cukai yang dikenakan terhadap rakyat dan syarikat-syarikat di negara ini?

Wajahkah ia dibelanjakan bagi tujuan berkenaan? Juga benarkah ia juga digunakan untuk menampung pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang didakwa?

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin, pada 20 April 2015 berkata pada ketika itu, terlalu awal untuk membuat sebarang tafsiran berhubung sistem percukaian yang mula dikuatkuasa pada awal  April tahun lalu.

Kita bersetuju memang ia terlalu awal pada ketika itu. Namun kini? Kenapa jawatankuasa itu masih membisu?.

Jawatankuasa itu sebelum ini mengatakan pihaknya memberi masa sekurang-kurangnya setahun untuk melihat sama ada pelaksanaan GST ini mengikut hukum syarak atau tidak.

Kini tempoh setahun sudah melepasi waktunya dan apakah majlis itu kini sudah bersedia menilainya?

Sewajarnya dalam menyokong kerajaan dalam berbagai polimik, alim ulama termasuk mufti-mufti, termasuk Mufti Perak,Tan Sri Hurussani Zakaria atau Mufti Pahang, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang lantang dan sering menyokong kerajaan’ turut memperkatakan isu yang dilihat ‘menekan rakyat’ ini.

Mereka yang arif mengenai agama sewajarnya melihat masalah rakyat sebagai keutamaan, selain isu-isu seperti tempat duduk berasingan dalam bas atau isu mengejar Pokemon.

Mufti Pahang...Dr Abdul Rahman
Alim ulama berperanan untuk memperkatakan isu masyarakat, bukan sahaja dalam isu ibadah, kepercayaan, soal salah laku dan sebagainya yang membabitkan fardu ain tetapi juga dalam konteks GST yang rata-ratanya dirasai sangat menyusahkan rakyat. Apalagi kini dalam kedudukan harga barangan yang semakin naik, selain kejatuhan nilai ringgit yang menyebabkan harga barangan keperluan meningkat dan menggugat kehidupan harian rakyat Malaysia?

Apakah ulama Malaysia hanya layak  bercakap soal fardu ain dan tidak fardu kifayah yang ada kena mengena dengan kehidupan seharian majoriti rakyat biasa berbanding mempertahankan pendapat dan pendirian orang politik dan pemimpin kerajaan semata-mata?

Yang diharapkan, seperti janji Abdul Shukor sebelum ini,  pertimbangan hukum yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ialah ia tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Malah, keputusan hendaklah dibuat selepas mengambil kira laporan intensif yang disediakan penyelidik di kalangan pakar syariah dan ekonomi dari universiti tempatan.

Thursday, December 29, 2016

PPBM 'LEBIH BERNASIB BAIK' BERBANDING AMANAH HADAPI PRU14?

 

AMANAH boleh buat kenyataan apa sahaja kerana mungkin mereka merasakan kedudukan lebih kuat berbanding parti baru dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) yang tidak mempunyai kekuatan setara mereka ketika ini.

Mungkin juga oleh kerana AMANAH mempunyai enam kerusi di Dewan Rakyat, mereka merasakan ada kelebihan berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Namun, dalam konteks realitinya, PPBM mungkin akan lebih ‘bernasib baik’ berbanding AMANAH.

Kenapa penulis mengatakan demikian?

Pertama, AMANAH mempunyai dua musuh yang baharu dibentuk olehnya sendiri selepas penubuhannya, iaitu musuh tradisinya UMNO dan musuh baharu yang kini tidak boleh bertentangan muka, iaitu PAS;

Kedua, AMANAH membawa 'lari' enam kerusi yang dimenanginya ketika berada dalam PAS dan realitinya, kemenangan enam pemimpin AMANAH menggunakan jentera PAS untuk menang di kerusi berkenaan.

Mungkin juga ia hasil sokongan dua parti pembangkang lain, iaitu PKR dan DAP – membolehkan Ahli Parlimen AMANAH berada di kedudukannya sekarang;


Ketiga, rekod AMANAH sedikit tercalar apabila kalah di dua pilihan raya kecil Parlimen – Sungai Besar dan Kuala Kangsar – tempoh hari walaupun dibantu oleh DAP, PKR dan pemimpin yang keluar UMNO (sebelum penubuhan BERSATU).

Ini bermakna bahawa AMANAH gagal dalam ujian pertama mereka. Dua calon AMANAH gagal mendapatkan undi yang diharapkan.


Namun di sebalik itu, AMANAH membuktikan sebagai parti baru mereka memiliki potensi. Malah di dua kerusi Parlimen ini, AMANAH bertembung secara bersemuka dengan UMNO dan bekas rakan parti mereka, PAS.

Berbalik kepada PPBM, ia memang parti baru yang ‘membawa lari' hanya satu kerusi Parlimen dan ‘dua kerusi DUN' iaitu satu masing-masing di Kedah dan di Johor. Satu lagi kerusi Parlimen 'dibawa lari' ke Sabah oleh Datuk Seri Mohd Shafie Afdal di Semporna.

PPBM tidak bermusuh dengan PAS dan kini sudah membentuk persefahaman untuk kerjasama dengan DAP, PKR dan AMANAH sendiri bagi hadapi pilihan raya akan datang.

Musuh mereka adalah UMNO dan Barisan Nasional seperti juga PAS dan HARAPAN.

Dalam konteks ini, PPBM mempunyai kelebihan kerana sokongan daripada penyokong HARAPAN adalah solid, juga mungkin daripada penyokong PAS, di kawasan yang PAS tidak bertanding.

Perundingan untuk kerjasama pilihan raya antara PPBM dan PAS sedang berjalan dan dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh seminggu dua ini.

Selain itu, penyokong PPBM adalah di kalangan bekas ahli UMNO, ahli UMNO yang ‘marahkan’ pemimpin UMNO serta rakyat umum yang mahukan perubahan.

Dengan kata lain yang membenci dan menentang PPBM hanyalah ‘penyokong UMNO totok’ dan daripada Barisan Nasional yang ‘setia’.

PPBM tidak banyak musuh berbanding AMANAH yang selain PAS, UMNO dan BN, juga mungkin parti PKR yang bimbang kerusi mereka akan diambil atau diserahkan kepada AMANAH.

Berikutan itu, AMANAH sewajarnya jangan mendabik dada dan cuba menjadi pengatur kerusi untuk berdepan pilihan raya umum akan ndatang.

Khalid...AMANAH mahu 40 kerusi Parlimen
Kenyataan PAS bahawa AMANAH mungkin 'mencuri' kerusi PKR seperti didakwa oleh PAS kelmarin akan menyebabkan timbul kebimbangan di kalangan pemimpin PKR. Namun itu dakwaan semata-mata.

Juga jangan sampai PPBM, PKR atau DAP ‘terasa hati’ kerana mereka sudah ada musuh tradisi dan musuh baru – UMNO, BN dan PAS – kelak akan menyulitkan mereka.

Pemimpin seperti Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad jangan membuat kenyataan akhbar yang boleh mengguris hati dan menimbulkan syak-wasangka di kalangan pemimpin PAKATAN dan PAS.

Khalid tidak wajar menyatakan bagi pihak HARAPAN bahawa ia bercadang membenarkan parti Islam (PAS) itu “mengetuai” pembangkang di Kelantan dan Terengganu.

Pengarah Komunikasi AMANAH amat tidak wajar untuk mengatakan,  “Jika PAS mahu turut serta, sudah tentu kami akan benarkan mereka ‘mendahului’ di Kelantan dan Terengganu.” kerana rundingan mengenai kerusi belum pun bermula.

Jangan terlalu ke hadapan kerana PAS akan lebih ‘dengar’ apa dikatakan oleh PPBM daripada AMANAH DAN kerana itu PAS sanggup duduk berunding dengan PPBM.

PPBM juga akan berunding dengan PKR untuk kerusi di mana PPBM tidak menghadapi masalah dengan DAP kerana PPBM dan DAP tidak akan bertindih dalam menentukan kerusi pilihan raya.
 
PPBM akan bertanding di kawasan majoriti Melayu dan bagi kawasan bercampur, PPBM tidak akan ‘menagih’ kerusi berkenaan, kecuali ditawarkan.

Lalu timbul persoalan, di mana AMANAH akan mendapat kerusi untuk bertanding sehingga menyasarkan 40 kerusi Parlimen pada PRU14?

Memanglah Khalid boleh mengatakan sudah mengenal pasti 40 kerusi Parlimen yang mereka  berminat turunkan calon selain dirasakan ada harapan dan peluang untuk menang.

Sekali lagi, soalnya siapa akan beri atau tawarkan kerusi kepada AMANAH?

DAP? Tidak sekali-kali kerana kerusi mereka memang ekslusif untuk kerusi majoriti bukan Melayu dan Islam.

Kerusi yang ada adalah majoriti Melayu dan Islam di pinggir bandar dan di luar bandar. Kerusi ini terpaksa dibahagi-bahagikan pula di kalangan PKR, AMANAH dan PPBM.

Apa yang nyata, sejauh ini jika dilihat kepada PAS, ia hanya sanggup berunding dengan PKR dan PPBM sahaja. Jadi, apa nak jadi kepada AMANAH?.


Jaminan oleh Timbalan Presiden Salahuddin Ayub (gambar kiri) bahawa diputuskan AMANAH secara prinsipnya,  tidak akan bertanding di mana-mana kerusi sekutu politiknya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, sedikit melegakan berbanding kenyataan Khalid.

Apapun, ia tertakluk kepada perbincangan bersama parti pembangkang lain pada masa depan.

Pendirian Salahudin ini berbeza dengan pendirian Khalid kelmarin yang tegas mengatakan AMANAH tegas mahu bertanding di kira-kira 40 kerusi Parlimen, termasuk yang dimiliki PKR dan PAS.

"Setakat ini apa yang saya faham AMANAH berada dalam Pakatan Harapan maka saya boleh memberikan jaminan bahawa AMANAH tidak akan bertanding mana-mana kerusi PKR kerana PKR adalah rakan kita dalam HARAPAN dan BERSATU," demikian kata Salahuddin semalam.

Beliau berkata ada banyak kemungkinan id mana perundingan kerusi-kerusi yang boleh dibincangkan umpamanya kerusi-kerusi baru yang mungkin boleh dibuat  pertukaran, (misalnya) PKR boleh ambil kerusi parlimen manakala AMANAH tanding di kerusi DUN.
  
Apapun timbul persoalan, ikhsan siapa dan daripada siapa kerusi yang mereka akan bertanding untuk bagi 34 kerusi daripada enam (6) yang mungkin mereka pertahankan sekarang?

Apakah PAS merelakan enam kerusi mereka yang ‘dibawa lari’ oleh bekas pemimpinnya untuk dipertandingkan atas tiket AMANAH?

Rasanya tidak. Apa akan jadi?

Nampak gayanya PKR dan PPBMlah harapan AMANAH untuk dapatkan kerusi melalui pintu belakang jika mahu dilakukan melalui perundingan.

PPBM sudah pasti perlu mendapat ‘ikhsan PAS dan PKR’ untuk dapatkan kerusi. Mungkin kerusi Parlimen Pagoh dan kerusi Dewan Undangan Negeri dimiliki Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak disentuh. Bagaimana yang lain?

Muhyiddin...Ahli Parlimen Pagoh
PPBM pastinya akan juga mengintai kerusi di Terengganu, Kelantan dan Kedah serta Pahang, selain Johor yang dikatakan ‘power base’ PPBM.

Untuk mendapatkan kerusi berkenaan, PPBM perlu berunding dengan PAS selain PKR dan AMANAH.

Isunya apakah PPBM sanggup menyerahkan kerusi yang ‘difaraidkan oleh PAS’ untuk mereka kepada AMANAH sedangkan mereka tahu PAS cukup ‘berang' dengan AMANAH?

Mana lebih baik PPBM bertanding dengan sokongan penuh PAS, atau menyerahkan kepada AMANAH yang mungkin akan disabotaj oleh PAS untuk kalahkan AMANAH.

Jika AMANAH kalah, kemungkinan UMNO akan menang dan matlamat mengalahkan BN tidak kesampaian. Berikutan itu, persetujuan mengenai kerusi antara PAS-PPBM akan sia-sia sekiranya diserahkan pula kepada AMANAH.


Inilah sebenarnya hakikat dan dilema AMANAH yang juga menjadi dilema PPBM yang perlu diatasi dengan baik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Wednesday, December 21, 2016

HARAPAN SENGAJA DEDAHKAN DIRINYA UNTUK DIANGGAP ‘KAPAL BURUK’....


"Kenapa tidak cuba mencari seseorang yang 
terbaik dalam kepimpinan pembangkang - yang lebih berintegriti, berilmu serta keagamaannya yang tidak boleh  dipersoalkan untuk jawatan Perdana Menteri?

 Jangan salahkan orang lain, termasuk orang UMNO dan PAS kalau anggap Pakatan Harapan (HARAPAN) ‘kapal buruk bakal karam kerana berebut PM'.

Semalam, Ketua UMNO bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengibaratkan pakatan pembangkang umpama kapal buruk berikutan perebutan jawatan utama kepimpinan negara.

Sebenarnya semuanya adalah salah HARAPAN sendiri kerana terpedaya dengan jerat UMNO yang mendesak untuk dinyatakan Kabinet bayangan dan siapa Perdana Menteri dan timbalannya jika menang.

Pemimpin pembangkang bagai ‘tak faham-faham’ strategi pemimpin Barisan Nasional (BN) yang memang mahir dan berpengalaman berpolitik seperti Datuk Seri Nazri Aziz dan lain-lain. Mereka tahu bagaimana mahu mengasak dan porak-perandakan HARAPAN.

Akibat sibuk dengan siapa nak jadi Perdana Menteri, sedangkan seperti kata Syed Ali, ‘kapal belum siap’, pemimpin pembangkang buat kenyataan gila-gila yang mencerminkan kelemahan dan perpecahan mereka sendiri.

Memang benar ramai daripada mereka yang sudah berdekad sertai politik tetapi keadaannya tetap ‘tidur sebantal tapi mimpi lain-lain’.

Kenapa nak berbahas di media mengenai siapa akan jadi Perdana Menteri atau Kabinet bayangan yang akhirnya menyerlahkan lagi kelemahan pembangkang.

Amat jelas ada yang tidak habis-habis dengan kemahuan menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,  walaupun tahu laluan itu sukar.

Dengan mengemukakan formula yang akan menyebabkan timbulnya masalah, pastinya akan mendedahkan HARAPAN untuk dilihat berjuang bagi kepentingan masng-masing.

Mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai perasuah, menyeleweng, tidak cekap dan gagal mentadbir negara dengan baik, menyebabkan negara bermasalah dan sebagainya tetapi masih mengharapkan individu yang dipersoalkan peribadinya yang  mempunyai ‘rekod yang boleh dipersoalkan dan dianggap buruk'?


Jika demikian ada bezanya Najib dan Anwar?

Kenapa tidak cuba mencari jalan – walau panjang sedikit – menentukan  seseorang yang lebih baik di kalangan yang terbaik dalam kepimpinan pembangkang iaitu seseorang yang lebih berintegriti, berilmu, profesionalisme  serta keagamaannya yang tidak boleh  dipersoalkan untuk jawatan penting itu?

Bernostalgia dengan Anwar atau pemimpin tertentu bukan sepatutnya menjadi pilihan utama jika dari segi moral, keupayaan dan keyakinan rakyat terutamanya orang muda dibelakangkan.

Begitu juga dalam konteks anggota Kabinet bayangan.

Jangan kerana hanya mahu menjawab soalan pembangkang, buat kenyataan yang tidak memberikan keyakinan kepada rakyat, apa lagi yang boleh dipermainkan oleh UMNO dan sekutunya.

Penulis menyokong pendapat Syed Ali bukan kerana dia UMNO atau Ketua Bahagian UMNO tetapi persoalan yang ditimbulkannya.

Pendapatnya perlu membuka mata pemimpin pembangkang. Kita tidaklah mendesak hingga seputih kapas tetapi kalaupun sudah sedikit luntur, janganlah ada nila atau dakwat walau setitik pun.

Benar kata Syed Ali itu, "Kapal belum siap tetapi masing-masing dah kemaruk nak jadi nahkhoda, akhirnya kapal yang akan karam sebelum sempat belayar.  Belum apa-apa di kalangan mereka mula berebut dan mengidam jawatan PM, inilah pembohongan politik pembangkang yang meletakkan kepentingan peribadi dalam perjuangan mereka.”

Syed Ali turut mengatakan,  pemimpin pembangkang terlalu optimis bahawa mereka mampu menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang bagaimanapun kapal buruk pasti akan tenggelam di dasar lautan sebelum sempat singgah di daratan.

Ini kerana menurutnya, mereka hanya bermain dengan harapan dan angan-angan bagaikan  dongeng politik untuk mengabui mata rakyat.

Jangan cepat melenting. Sebaliknya ambillah sindiran itu sebagai cabaran. Jadikan ia sebagai permasalahan dan carilah jawapan sesuai buatnya.

Berperang di media tidak mendatangkan faedah tetapi carilah formula penyelesaian terhadap permasalahannya.

Hakikatya, ini bukan suatu sindiran. Ini kenyataan yang perlu direnung dan ditelan oleh parti pembangkang.

Benar kata Syed Ali bahawa  umum sudah boleh menilai sejauhmana kejujuran pembangkang yang selama ini memperdaya rakyat kononnya mereka berjuang untuk keadilan.

Jika  HARAPAN  dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu bertemu tidak lama lagi untuk memuktamadkan mengenai calon mereka untuk jawatan perdana menteri, teruskan.

Ini langkah baik tetapi jangan hadkan hanya satu atau dua nama sahaja.

Banyak yang  pakar di kalangan mereka dan elakkan daripada mencalonkan yang nama mereka dusah tercemar, walau atas sebab apa pun.

Elakkan memilih pemimpin yang sebelum ini sudah ditolak oleh rakyat kerana mengamalkan rasuah, salah laku, penyelewengan dan ‘sebab-sebab moral’.

Jangan letak syarat atau menamakan terus siapa dia. Bincang, runding dan cari yang terbaik. Ini lebih meyakinkan rakyat.

Kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata keputusan mereka tidak berubah iaitu mahukan bekas ketua pembangkang Anwar, yang kini dipenjarakan sebagai perdana menteri  atau  terpaksa melantik seorang perdana menteri sementara terlebih dahulu, juga sangat meragukan.

Apakah sebuah negara boleh dibiarkan ‘terumbang-ambing’ sekiranya tiada Perdana Menteri selepas sesuatu pilihan raya hanya kerana menunggu Anwar?

Sangat tidak meyakinkan.

Cadangan  Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu yang mencadangkan Presiden PKR yang juga dan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil peranan itu juga wajar diperdebatkan.

Kenapa asyik-asyik Anwar, dan isteri Anwar atau daripada keluarga  Anwar?

Tidak adakah orang lain selain satu keluarga itu mampu untuk menjadi Perdana Menteri bagi mentadbir Malaysia?

Masa dan ruang masih ada. Jangan kerana taksub atau berkepentingan tertentu, isu Perdana Menteri menjadi penghalang yang kelak ditertawakan orang.

Jika berterusan, rakyat bukan sahaja jemu tetapi akan hilang keyakinan, apaalagi apabila pemimpin UMNO dan BN berjaya memutar-belit dan menimbulka seribu keraguan.


Ingatlah, HARAPAN bukan kapal buruk atau kapal lama. Ia baru di bina dan mahu dijadikan alternatif kepada BN.

Kerana itu tunjukan kesegaran dan kelebihannya bukan mengulangi atau memutarkan kembali agenda lama berulang-ulang yang ternyata rakyaat pun kini sudah cuak dan muak.