Showing posts with label HARAPAN. Show all posts
Showing posts with label HARAPAN. Show all posts

Saturday, December 15, 2018

TANPA DR MAHATHIR, KERAJAAN HARAPAN AKAN RUNTUH...



Maka berkata-katalah pihak tertentu bahawa ada gerakan mahu menyingkirkan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada jawatan Perdana Menteri.

Berdasarkan searangan pemimpin DAP terhadap isu kemasukan pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO ke BERSATU akhir-akhir ini seolah-oleh ada gerakan menjatuhkan Dr Mahathir.

Juga kenyataan-kenyataan pemimpin tertentu mengenai perimbangan kuasa dalam politik Malaysia jika tidak berhati-hati boleh menjut Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apakah terfikir oleh mereka dengan menjatuhkan Dr Mahathir akan turut meranapkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN)?

Kesannya, akibat tamak dan bersifat mementingkan kuasa dan kaum, kelak akan menjadi anjing yang mengejar bayang dalam air, yang akhirnya semuanya kelak akan kehilangan ‘tulang yang sudahpun digonggong di mulut’.

Pemimpin DAP yang membuat onar mengkritik BERSATU tidak lain dan tidak bukan mulai bimbang terhadap kesan perhimpunan ICERD baru-baru ini selain sokongan orang Melayu/Bumiputera-Islam terhadap ‘parti kecil’ dalam HARAPAN.

Mengharapkan UMNO/ Barisan Nasional?

Mungkin mereka sudah hilang kepercayaan apabila dua pemimpin besar mereka – Presiden dan bekas Presiden UMNO – kini berdepan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan di mahkamah.

Jadi, apa ada lagi harapan untuk mereka? Mengharapkan PAS?

Parti itu tidak akan ke mana-mana walaupun tidak jemu-jemu mengatakan akan memerintah Malaysia.

PAS hanya sebuah parti yang didokong dan disokong oleh mereka yang yakin kepada kepimpinan yang boleh ‘mengubah warna mengikut kepentingan semasa’, bukan gerakan Islam yang boleh diharapkan.

Tinggal kini BERSATU.

Berkaitan perkara ini ada menyifatkan penyertaan anggota Parlimen pembangkang dalam HARAPAN boleh menjadi nilai tambah kepada usaha mengukuhkan kerajaan sedia ada.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan situasi itu sekaligus boleh menyumbang kepada penguasaan dua pertiga majoriti oleh HARAPAN dalam Dewan Rakyat.


Dr Mahathir yang mengetuai kerajaan HARAPAN bukan sebarang pemimpin. Beliau dilabelkan’ultra-Melayu’ dan ‘pemimpin Islam berwawasan’ bukan berkhutbah tetapi melaksanakannya.

Jasanya terhadap dasar Ialam di Malaysia tidak boleh dipertikaikan. Sama ada penubuhan dalam konteks institusi kewangan Islam, pendidikan Islam, perundangan Islam atau juga perpaduan Islam.

Ini belum lagi di peringkat antarabangsa.

Meriknya ialah ada yang menyifatkan penyertaan anggota Parlimen pembangkang dalam HARAPAN boleh menjadi nilai tambah kepada usaha mengukuhkan kerajaan sedia ada. Jadi apa masalahnya?

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berpendapat, situasi itu sekaligus boleh menyumbang untuk dapat penguasaan dua pertiga majoriti oleh HARAPAN dalam Dewan Rakyat.



Jadi, tidak hairan jika ada pemimpin DAP yang gusar dengan kenyataan  Dr Mahathir yang mengalu-alukan pemimpin UMNO yang mahu menyertai HARAPAN, apa lagi BERSATU.

Kerana itu wajar jika Ketua Pimpinan BERSATU Negeri Terengganu, Senator Datuk Razali Idris (kanan mempersoalkan kenapa DAP resah tidak tentu pasal mengenai kemasukan ahli Parlimen UMNO ke dalam BERSATU.

Jika benarlah ada lagi lebih 30 ahli Parlimen yang mahu menyertai HARAPAN dan separuh LEBIH  daripadanya menyertai BERSATU , tidak sukar untuk BERSATU memiliki sekurang-kurang 30 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Mungkin juga semua ‘katak politik’ itu semuanya sertai BERSATU.

Apa ini? Mereka adalah Melayu-Bumiputera-Islam yang pastinya dengan sendirinya akan menenggelamkan pengaruh UMNO dan PAS. Kedua-duanya jika dicampur mungkin tidak sampai pun 40 Ahli Parlimen.

DAP pastinya risau kerana tidak semua Ahli Parlimen PKR akan menyokong mereka dalam isu-isu membabitkan Melayu dan Islam.

Walaupun PKR ialah parti berbagai kaum namun dalam isu Melayu dan Islam, pemimpin PKR Melayu dan Islam pastinya berfikir dua kali untuk menyokong DAP jika mereka menentang perkara yang berkaitan Melayu-Islam.

Sudah pasti AMANAH akan berpihak kepada Tun Dr Mahathir kerana kesemua pemimpin mereka kini mendapat jawatan penting dalam kerajaan, selain pengerusi agensi-agensi tertentu.

Amat nyata, perimbangan kuasa dalam HARAPAN akan bertukar jika BERSATU memiliki lebih 50 Ahli Dewan Rakyat. Ini bermakna penghijrahan Ahli Parlimen UMNO adalah rahmat bagi HARAPAN dan BERSATU, bukan menerima SAMPAH seperti dfisifatkan oleh sesetengah pemimpin DAP.

Lagi pun, Dr Mahathir sudah menyatakan beliau mempertahankan keputusannya menerima bekas pemimpin UMNO untuk menyertai BERSATU meskipun ia dilihat kurang disenangi oleh rakan parti komponen HARAPAN.

Ini kerana  bukan semua ahli Parlimen UMNO itu semuanya SAMPAH. Mereka akan dinilai terlebih dahulu sebelum diterima masuk.

“Orang UMNO ada yang baik, pun ada yang jahat. Yang jahat kita tak terima, yang baik kita terima la. Saya sendiri ahli Umno. Dia orang terima saya. (Penasihat DAP Lim) Kit Siang terima saya,” katanya semalam.


Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan membuat tapisan dan bukan secara semborono menerima pemimpin UMNO ke dalam parti itu.

Maka eloklah pemimpin besar DAP (Kit Siang dan Lim Guan Eng) menasihati ‘anak buah mereka’ yang membuat bising itu supaya menutup mulut kerana kenyataan-kenyataan mereka boleh mengeruhkan suasana dalam DAP.

BERSATU sudah meletakkan syarat bukan menerima membabi-buta. Malah, mereka yang mahu menyertai BERSATU juga perlu bebas daripada sebarang rekod jenayah.

Apakah syarat itu tidak cukup? Persoalannya apakah pemimpin DAP semuanya putih bersih seperti kapas dan tidak mempunyai rekod lampau?

Ingatlah kemenangan HARAPAN dan undi rakyat bukan semata-mata kerana manifesto HARAPAN atau Barisan Nasional terlalu teruk. Memang diakui Datuk Seri Najib Razak teruk.

Tetapi kemenangan HARAPAN juga diakibatkan oleh pejuangan Dr M

Sumbangan Dr Mahathir menenang rasuah, menentang kleptokrasi dan mengumpulkan keyakinan orang Melayu dan bukan Melayu yang mahukan Malaysia Baru adalah faktor penting yang perlu diakui semua.

Menidakkan keupayaan dan faktor peribadi Dr Mahathir adalah sikap dan amalan politik cetek. Sedangkan Dr Mahathir menjadi pencetus penting kenapa DAP dan PKR boleh membentuk kerajaan bersama BERSATU dan AMANAH di Putrajaya.

Tanya diri sendiri. Bermuhasabah. Apa rekod DAP dan PKR dalam memperjuangkan kemenangan pilihan raya umum lalu tanpa kepimpinan  Dr Mahathir menyertai mereka sebelum ini?

Apa pencapaian Kit Siang dan Anwar sebelum ini ketika tidak bergabung dengan Dr Mahathir? Bolehkah mereka mengalahkan BN?

Tanya diri dan SEDARLAH DIRI!

Wednesday, February 21, 2018

DAFTAR HARAPAN - KERAJAAN, AGENSI TIDAK CEKAP & TELUS.?..



Kerajaan Barisan Nasional (BN) sering melaung-laungkan ia memiliki kerajaan yang sempurna, cekap dan telus.

Untuk meyakinkan rakyat,  kerajaan termasuklah  jabatan dan agensinya sering diuar-uarkan sebagai bertindak pantas dalam menyelesaikan sesuatu isu.

Mereka juga mendakwa adil dalam sebarang tindakan.

Namun apa dan bagaimana berlaku kepada  Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam isu pendaftaran Pakatan Harapan (HARAPAN)?

Apakah ia benar-benar telus? Apakah ia benar-benar cekap?

Jika ia cekap dan telus, pastinya tidak ada masalah bagi HARAPAN untuk mengetahui punca dan tidak akan ada pertanyaan kenapa ROS enggan melayan mereka seperti pendaftaran syarikat atau pertubuhan lain?

Berang dan jemu menunggu keputusan ROS selain  jabatan itu gagal menjawab soalan dikemuakan, HARAPAN kemungkinan besar akan membawa kes permohonan mereka ke mahkamah.

Tidak beradab dan kejamkah HARAPAN jika berbuat demikian?

Awal bulan ini, HARAPAN telah menghantar surat rasmi kepada ROS yang ditujukan kepada Ketua Pengarah ROS, Suriyati Ibrahim.

Suriati,,,KP ROS
Setiausaha Agung HARAPAN Datuk Saifuddin Abdullah di dalam suratnya difahamkan menyatakan bahawa mesyuarat dengan Suriyati pada 20 November tahun lalu, HARAPAN sudah diberitahu permohonan mereka tidak boleh diproses.

Ia akibat ROS masih menunggu laporan mesyuarat agung tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), selain laporan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Namun bagaimana mungkin selepas ROS sudah mengiktiraf pemilihan semula DAP, sudah sampai masanya pendaftar pertubuhan itu mengiktiraf BERSATU sebagai organisasi berdaftar.

Menghairankan, ROS terus membisu.

Keenggan ROS menjawab permohonan HARAPAN pastinya akan menjejaskan persiapan mereka dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.

Atau apakah ROS mengikut telunjuk pihak tertentu agar melambat-lambat atau tidak meluluskan pendaftaran HARAPAN?

Telunjuk siapa?

Sehingga kini ROS membisu dan tiada sebarang  jawapan daripada mereka. Ini pastinya merimaskan HARAPAN untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

Walaupun HARAPAN cuba berhubung dengan mereka, namun masih tidak sebarang jawapan.

Benar HARAPAN tidak boleh mengatakan ROS menolak permohonan  mereka berasaskan  tindakan membisu mereka itu.

Saifuddin...KSU HARAPAN
Namun apakah ini menggambarkan sebuah kerajaan yang telus dan cekap?

ROS sedang bermain silap mata untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya dan pemerintah atau apa?

Malang sekali kerajaan yang diterjaui BN/UMNO menggunakan ROS untuk melemahkan parti lawan melalui taktik melambat-lambatkan pendaftaran mereka.

Kenapa ROS turut bimbang seperti BN/UMNO bimbang menentang HARAPAN pada pilihan raya umum akan datang?

Semalam, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan perundangan akan difailkan hujung minggu ini terhadap ROS untuk jawapan mereka.

Wajar dan benar sekali HARAPAN terpaksa mendesak kerana sudah menunggu berbulan-bulan jawapan daripada ROS.

Malah tidak pelik dan hairan jika Dr Mahathir menuduh sikap ROS yang berdiam diri itu sebagai membantu BN memenangi PRU ke-14.

Sewajarnya rakyat, khususnya penyokong HARAPAN marah dan mengritik sikap ROS ini.

Tidak wajar sama sekali bagi agensi kerajaan seperti ROS bersikap berat sebelah dalam menjalankan tugas.

ROS juga bagaikan menjadikan dirinya sebagai hakim dan penjaga BN untuk dengan sengaja melemahkan HARAPAN.

Jika ROS sebagai agensi telus dan berhemah, silakan beri jawapan yang sewajarnya dalam isu pendaftaran ROS ini.


 Apakah mesyuarat agung PPBM tidak melayakkan HARAPAN untuk didaftarkan?

Rakyat memerhati.

Mungkin BN/UMNO melihat cara ini – dengan mengamalkan pentadbiran kerajaan yang tidak cekap dan telus – sebagai langkah terbaik untuk mereka menang pilihan raya.

Tidak bimbangkah BN/UMNO nanti ditolak oleh rakyat kerana perbuatan mereka sendiri yang menggambarkan kerajaan hari ini sebagai mengamalkan  cara pentadbiran tidak telus dan berat sebelah?

Selain itu kerajaan hari ini juga dilihat mementingkan kepuasan hati puak atasan dalam membenarkan HARAPAN didaftarkan.

Hanya jawapan ROS dapat merungkaikan segala tohmahan terhadapnya.

Diharapkan semua syak-wasangka ini salah.

Namun jika ia benar bagaimana?


Wednesday, December 21, 2016

HARAPAN SENGAJA DEDAHKAN DIRINYA UNTUK DIANGGAP ‘KAPAL BURUK’....


"Kenapa tidak cuba mencari seseorang yang 
terbaik dalam kepimpinan pembangkang - yang lebih berintegriti, berilmu serta keagamaannya yang tidak boleh  dipersoalkan untuk jawatan Perdana Menteri?

 Jangan salahkan orang lain, termasuk orang UMNO dan PAS kalau anggap Pakatan Harapan (HARAPAN) ‘kapal buruk bakal karam kerana berebut PM'.

Semalam, Ketua UMNO bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengibaratkan pakatan pembangkang umpama kapal buruk berikutan perebutan jawatan utama kepimpinan negara.

Sebenarnya semuanya adalah salah HARAPAN sendiri kerana terpedaya dengan jerat UMNO yang mendesak untuk dinyatakan Kabinet bayangan dan siapa Perdana Menteri dan timbalannya jika menang.

Pemimpin pembangkang bagai ‘tak faham-faham’ strategi pemimpin Barisan Nasional (BN) yang memang mahir dan berpengalaman berpolitik seperti Datuk Seri Nazri Aziz dan lain-lain. Mereka tahu bagaimana mahu mengasak dan porak-perandakan HARAPAN.

Akibat sibuk dengan siapa nak jadi Perdana Menteri, sedangkan seperti kata Syed Ali, ‘kapal belum siap’, pemimpin pembangkang buat kenyataan gila-gila yang mencerminkan kelemahan dan perpecahan mereka sendiri.

Memang benar ramai daripada mereka yang sudah berdekad sertai politik tetapi keadaannya tetap ‘tidur sebantal tapi mimpi lain-lain’.

Kenapa nak berbahas di media mengenai siapa akan jadi Perdana Menteri atau Kabinet bayangan yang akhirnya menyerlahkan lagi kelemahan pembangkang.

Amat jelas ada yang tidak habis-habis dengan kemahuan menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,  walaupun tahu laluan itu sukar.

Dengan mengemukakan formula yang akan menyebabkan timbulnya masalah, pastinya akan mendedahkan HARAPAN untuk dilihat berjuang bagi kepentingan masng-masing.

Mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai perasuah, menyeleweng, tidak cekap dan gagal mentadbir negara dengan baik, menyebabkan negara bermasalah dan sebagainya tetapi masih mengharapkan individu yang dipersoalkan peribadinya yang  mempunyai ‘rekod yang boleh dipersoalkan dan dianggap buruk'?


Jika demikian ada bezanya Najib dan Anwar?

Kenapa tidak cuba mencari jalan – walau panjang sedikit – menentukan  seseorang yang lebih baik di kalangan yang terbaik dalam kepimpinan pembangkang iaitu seseorang yang lebih berintegriti, berilmu, profesionalisme  serta keagamaannya yang tidak boleh  dipersoalkan untuk jawatan penting itu?

Bernostalgia dengan Anwar atau pemimpin tertentu bukan sepatutnya menjadi pilihan utama jika dari segi moral, keupayaan dan keyakinan rakyat terutamanya orang muda dibelakangkan.

Begitu juga dalam konteks anggota Kabinet bayangan.

Jangan kerana hanya mahu menjawab soalan pembangkang, buat kenyataan yang tidak memberikan keyakinan kepada rakyat, apa lagi yang boleh dipermainkan oleh UMNO dan sekutunya.

Penulis menyokong pendapat Syed Ali bukan kerana dia UMNO atau Ketua Bahagian UMNO tetapi persoalan yang ditimbulkannya.

Pendapatnya perlu membuka mata pemimpin pembangkang. Kita tidaklah mendesak hingga seputih kapas tetapi kalaupun sudah sedikit luntur, janganlah ada nila atau dakwat walau setitik pun.

Benar kata Syed Ali itu, "Kapal belum siap tetapi masing-masing dah kemaruk nak jadi nahkhoda, akhirnya kapal yang akan karam sebelum sempat belayar.  Belum apa-apa di kalangan mereka mula berebut dan mengidam jawatan PM, inilah pembohongan politik pembangkang yang meletakkan kepentingan peribadi dalam perjuangan mereka.”

Syed Ali turut mengatakan,  pemimpin pembangkang terlalu optimis bahawa mereka mampu menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang bagaimanapun kapal buruk pasti akan tenggelam di dasar lautan sebelum sempat singgah di daratan.

Ini kerana menurutnya, mereka hanya bermain dengan harapan dan angan-angan bagaikan  dongeng politik untuk mengabui mata rakyat.

Jangan cepat melenting. Sebaliknya ambillah sindiran itu sebagai cabaran. Jadikan ia sebagai permasalahan dan carilah jawapan sesuai buatnya.

Berperang di media tidak mendatangkan faedah tetapi carilah formula penyelesaian terhadap permasalahannya.

Hakikatya, ini bukan suatu sindiran. Ini kenyataan yang perlu direnung dan ditelan oleh parti pembangkang.

Benar kata Syed Ali bahawa  umum sudah boleh menilai sejauhmana kejujuran pembangkang yang selama ini memperdaya rakyat kononnya mereka berjuang untuk keadilan.

Jika  HARAPAN  dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu bertemu tidak lama lagi untuk memuktamadkan mengenai calon mereka untuk jawatan perdana menteri, teruskan.

Ini langkah baik tetapi jangan hadkan hanya satu atau dua nama sahaja.

Banyak yang  pakar di kalangan mereka dan elakkan daripada mencalonkan yang nama mereka dusah tercemar, walau atas sebab apa pun.

Elakkan memilih pemimpin yang sebelum ini sudah ditolak oleh rakyat kerana mengamalkan rasuah, salah laku, penyelewengan dan ‘sebab-sebab moral’.

Jangan letak syarat atau menamakan terus siapa dia. Bincang, runding dan cari yang terbaik. Ini lebih meyakinkan rakyat.

Kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata keputusan mereka tidak berubah iaitu mahukan bekas ketua pembangkang Anwar, yang kini dipenjarakan sebagai perdana menteri  atau  terpaksa melantik seorang perdana menteri sementara terlebih dahulu, juga sangat meragukan.

Apakah sebuah negara boleh dibiarkan ‘terumbang-ambing’ sekiranya tiada Perdana Menteri selepas sesuatu pilihan raya hanya kerana menunggu Anwar?

Sangat tidak meyakinkan.

Cadangan  Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu yang mencadangkan Presiden PKR yang juga dan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil peranan itu juga wajar diperdebatkan.

Kenapa asyik-asyik Anwar, dan isteri Anwar atau daripada keluarga  Anwar?

Tidak adakah orang lain selain satu keluarga itu mampu untuk menjadi Perdana Menteri bagi mentadbir Malaysia?

Masa dan ruang masih ada. Jangan kerana taksub atau berkepentingan tertentu, isu Perdana Menteri menjadi penghalang yang kelak ditertawakan orang.

Jika berterusan, rakyat bukan sahaja jemu tetapi akan hilang keyakinan, apaalagi apabila pemimpin UMNO dan BN berjaya memutar-belit dan menimbulka seribu keraguan.


Ingatlah, HARAPAN bukan kapal buruk atau kapal lama. Ia baru di bina dan mahu dijadikan alternatif kepada BN.

Kerana itu tunjukan kesegaran dan kelebihannya bukan mengulangi atau memutarkan kembali agenda lama berulang-ulang yang ternyata rakyaat pun kini sudah cuak dan muak.

Tuesday, December 13, 2016

KERJASAMA - APA ADA PADA PPBM SEHINGGA PKR, DAP DAN AMANAH BEGITU TERUJA?


Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) bukan parti besar orang Melayu dan ‘tidak se gah’
UMNO, PAS atau AMANAH untuk dibimbangi oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Banyak pemimpin UMNO memperkecilkan keupayaan PPBM sebelum ini dan akhir-akhir ini sahaja sesetengah pemimpin mereka menunjukkan sedikit perubahan ke arah kebimbangan.

Namun kebimbangan itu bukan kerana mampu membentuk menjadi kerajaan sama ada di Putrajaya atau negeri, sekadar mungkin akan kehilangan beberapa kerusi tertentu jika UMNO tidak berwaspada.

Jadi, apabila PPBM mula mengintai kerajasama dengan PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) yang ketika ini disertai oleh PKR, DAP dan AMANAH, ada beberapa pihak, khususnya PAS mulai bimbang akan menyebabkan pakatan yang diimpi dibentuk mereka – Blok Ketiga – akan tergugat.

Pemimpin PPBM sebelum ini secara terang-terangan mengatakan mereka sudah melanjutkan rundingan dengan parti-parti pembangkang untuk membentuk pakatan dan menetapkan agenda baru untuk "menyelamatkan Malaysia".

Sementara HARAPAN memanaskan idea berkenaan, walaupun mereka sedar PPBM dipimpin oleh bekas pemimpin UMNO yang mungkin mengamalkan budaya yang tidak jauh daripada amalan bekas parti mereka.

PAS pula sudah menyatakan dengan jelas tidak akan bekerjasama dengan BERSATU jika mereka menyertai HARAPAN kerana parti Islam itu menganggap DAP dan AMANAH sebagai musuh.

Hari ini, 13 Disember 2016 HARAPAN dan PPBM dilaporkan  akan memutuskan untuk menggunakan satu daripada empat pilihan dalam hal membentuk pakatan pilihan raya.

Itu kata Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa satu mesyuarat peringkat tertinggi antara empat parti itu akan diadakan hari ini  di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.


Penting sangatkan PPBM sehingga PKR, DAP dan AMANAH memberikan perhatian sebegitu rupada sedangkan PPBM hanya ada kerusi tunggal di Dewan Rakyat berbanding dengan PKR sebanyak 29 kerusi, DAP (37) dan AMANAH pula 7 kerusi?

Biarpun diperkecilkan oleh UMNO dan sekutunya, hakikat PPBM kini ialah:

1.      Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sedikit pengalamannya apabila pernah menjadi Pengarah Pilihan Raya untuk UMNO dan BN. Pengalamannya berbanding pemimpin UMNO lain, selain Presiden UMNO dan Pengerusi BN kalau pun tidak lebih tetapi setanding.

Kerjasama yang dirundingkan hari ini ialah bagi tujuan pilihan raya. Kerana kekuatan dirinya, UMNO terpaksa bermain dengan politik serangan peribadi, iaitu ‘kes wanita’, walaupun hakikatnya dalam UMNO sendiri kes seperti ini ‘adalah rahsia yang diketahui ahli dan umum’, khususnya di kalangan pemimpin tertentu;

2.      Kepimpinan PPBM walaupun tidak sehebat UMNO yang memiliki barisan kepimpinan Naib Presiden yang ‘gah’ termasuk Timbalan Perdana Menteri, mempunyai hasrat dan tujuan yang sama itu memenangi pilihan raya;

3.      Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang terdiri daripada kalangan menteri, Menteri Besar dan mereka yang ‘terpilih’ dan kalangan ‘orang istimewa’  memang berkuasa dan mempunyai kedudukan tinggi. Namun apakah mereka ‘dipandang tinggi’ oleh rakyat?

Apa kurangnya anggota kepimpinan pusat PPBM yang juga terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan ‘bersih’ berbanding sebilangan ahli MKT UMNO yang terpalit dengan berbagai perkara;

4.      Setiausaha Agong UMNO dan Setiausaha Kerja UMNO memang dua insan yang hebat dan sumbang mereka kepada UMNO diakui penting. Di sebalik itu, Setaiusaha Agung PPBM yang juga bekas pemimpin UMNO dan masih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, mungkin kurang pengalaman dan kedudukan, namun bertungkus-lumus membawa PPBM ke arah satu kedudukan dan darjat yang lebih tingi;

5.      Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abu Jalil mempunyai pengikut yang ramai tetapi apakah kesemuanya bekerja keras dan sukarela untuk parti? Shahrizat dibelenggu oleh banyak perkara yang dilihat negatif oleh sesetengah pihak, walaupun ia sekadar persepsi.

Ketua Srikandi PPBM...Anina Saadudin.

     Berlainan dengan wanita PPBM dengan jumlah yang kecil. Namun, jumlah ahli yang kecil tidak bermakna tiada sokongan kerana banyak wanita kini mengeluh dengan kedudukan kos kehidupan yang tinggi, ‘belanja dapur yang melambung’ serta berbagai isu wanita yang lain, sudah semestinya kalangan wanita akan melihat, apa perjuangan wanita PPBM sebenarnya berbanding perjuangan Wanita UMNO yang dilihat sebagai ‘pelengkap jentera parti semata-mata’;

6.   Ketua Pemuda UMNO tidak ada tolak banding hebatnya hingga mengumumkan dirinya mahu bertanding ke sukan antarabangsa. Pemuda UMNO juga dilihat sebagai ‘pelengkap jentera UMNO’. Namun dengan berbagai skandal melibatkan rasuah di Kementerian Belia dan Sukan serta ‘kehidupan mewah dan glamour’ pemimpin muda dalam UMNO ini, apakah ia akan memberikan kelebihan kepada pemuda PPBM?

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidaklah ‘sekarisma’ Khairy Jamaluddin, namun dia ada rancangannya sendiri untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

Dan di sebalik semua itu, jangan lupa penasihatnya adalah bekas Perdana Menteri selama 22 tahun dan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pasti amat mahir dengan ‘sepak terajang politik Malaysia’.

Jadi janganlah yang ‘berhingus dalam politik’ cuba mengajar beliau atau menasihatkan beliau supaya belajar politik membangkang atau menjadi sebahagian pembangkang.


Secara keseluruhannya kini yang paling nyata diperhatikan rakyat terhadap apa juga parti ialah dasar perjuangan pada saat dan ketika ini (at this juncture).

Pada ketika UMNO dilihat dan dituduh MEMPERTAHANKAN NAJIB, kepimpinan PPBM pula dilihat mahu ‘Selamatkan Malaysia’ daripada gejala rasuah dan penyelewengan serta kepayahan hidup rakyat.

Rakyat melihat perkara ini dan mungkin DAP, PKR dan AMANAH tertarik untuk bekerja dengan ‘parti kecil’ ini kerana faktor di atas, bukan kerana ramainya ahli atau banyaknya cawangan PPBM.

PPBM bernafas dan bergerak melalui penyokongnya yang bukan semesti ahli partinya. Rakyat memberikan sokongan kepada PPBM, bukan seperti UMNO oleh seramai tiga juta ahlinya.

Kalaupun PPBM tidak mempunyai ibu pejabat yang tersergam indah seperti di PWTC atau bangunan baru yang akan dibina, atau melalui Bahagian dan cawangan UMNO yang bertaburan di Semenanjung dan Sabah, PPBM disokong oleh orang Melayu di Semenanjung sahaja kerana di Sarawak, rakan sekutunya pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sedang bergerak cergas.

Kita ingin melihat sejauh mana rundingan hari ini akan membuahkan hasil kerana pengumuman rasmi diikuti dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara PPBM  dan HARAPAN dijangka diadakan pada sebelah petang.

Soal penting yang dikatakan oleh Mukhriz ialah HARAPAN dan PPBM sudah menunjuk dan  memberikan komitmen mereka untuk bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang dan membentuk kerajaan bersama-sama jika mempunyai cukup kerusi.

Tidak mengapa kalau pun cara sebenar membentuk kerjasama itu masih belum diputuskan. Namun hasrat dan matlamat sudah jelas dan itulkah sebenarnya inti daripada pertemuan hari ini.

"Kami ada beberapa pilihan, ia hanya akan diketahui opsyen mana akan dipilih (esok)," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Dengan kata lain, petang ini akan dikethui apa bentuk kerjasama antara meraka, sama ada:

-        HARAPAN plus PPBM;
-        PPBM menyertai HARAPAN;
-        Membentuk sebuah gabungan baru bersama; atau
-        Satu lagi bentuk kerjasama lain.
-         
Apa yang penting, selain mewujudkan kerjasama dan strategi menghadapi pilihan raya. idea keseluruhan adalah demi  memastikan cara terbaik membentuk kerajaan baru.

Amat nyata kerjasama ini bukan untuk jangka masa pendek tetapi usaha ‘Selamatkan Malaysia’ bagi suatu tempoh yang panjang sebagai parti pemerintah demi memastikan rakyat berbagai bansga  berada dalam keadaan lebih baik berbanding sekarang.